HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 Mei 2018

BEKERJA DI LUAR NEGARA

BAGI rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara; pada kebiasaannya mempunyai pelbagai sebab. Ada yang bekerja di sektor kerajaan negara berkenaan, bekerja di agensi-agensi / pejabat
kerajaan negara asalnya di luar negara, bekerja di sektor swasta negara berkenaan, bekerja di pejabat-pejabat sektor swasta di luar negara; bahkan ada yang bekerja sendiri berdagang di rantau orang untuk mengubah nasib sendiri. Dan tidak kurang juga yang 'merajuk hati' membawa hati dan jasad diri di perantauan.


New York USA


Pengalaman penulis yang telah menjejaki sahabat-sahabat senegara yang telah bertahun-tahun di rantau orang cukup teruja. Ada yang yang telah memperoleh 'Green Card" bekerja atau berkelana di negara Uncle Sam (USA). Kad hijau atau permit bekerja boleh diperbaharui setiap 10 tahun. 

lni memberi peluang mereka mencari rezeki di sana. Ada sesetengahnya telah mendapat status penduduk tetap (PR). Bahkan ada yang telah membulatkan tekad, bertukar taraf kewarganegaraan kerana berasa selesa dengan kehidupan negara berkenaan.

Di antara ribuan rakyat Malaysia yang berada di USA, penulis temui seorang wanita Melayu yang telah memiliki ijazah B.A.Hons dari Universiti Malaya sejak awal tahun 1960-an. Boleh dikatakan hebat, kerana kelayakan akademik ijazah asas pada awal 1960-an bukan calang- calang orangnya. 


Pada awal tahun 1960-an beliau telah bekerja di sektor awam sebagai pegawai penyelidik.Namanya juga terukir sebagai penulis yang telah mencipta nama. Namun entah apa sebabnya beliau "berhijrah" ke USA (ada versi mengatakan beliau 'patah hati') dan bekerja di sana. Pada tahun 1994, beliau ada pulang ke Malaysia.

Sepulangannya ke Malaysia, penulis kebetulan  bertemu di suatu majlis puisi di ibu kota. Beliau masih anggun dan kelihatan sofistikated. Keluhuran budi dan kesopanan tutur bicaranya tidak lekang daripada keterikatan budaya Melayu walaupun sudah bertahun-tahun bermastautin di USA. 

Dan sepulangannya ke Malaysia; sebuah akhbar arus perdana telah mengambil kesempatan memberi ruang atau kolum untuknya menulis corat-coret dari USA.Tulisannya sungguh menarik dan banyak memberi info. Selang beberapa bulan, penulis memndapat khabar beliau berangkat semula ke USA. Dan sehingga kini penulis tidak tahu khabar beritanya.

Selain USA, penulis juga pernah bertemu anak Malaysia bekerja di kota besar Eropah di London, Paris & Frankfurt. Seorang pegawai kanan KPM,  penulis temui di London berkhidmat di kedutaan Malaysia sebagai Pengarah MSD. Sudah tentulah, jawatannya di sana merupakan kenaikan pangkat yang menyebabkan beliau terdorong mahu berkhidmat di kedutaan (Suruhanjaya Tinggi).


London UK

Selain kenaikan pangkat beliau terdedah dengan pelbagai pengalaman diplomatik. Justeru, bekerja di luar negara sebagai pegawai kanan kerajaan Malaysia tidak banyak menyukarkan kehidupannya dengan kerenah birokrasi dan masalah kewangan. Beliau berhak menerima berbagai-bagai insentif dan elaun kehidupan. Ah, sudah tentu lumayan.

Ada juga anak Malaysia yang "mengembara dan menjaja" seluruh Eropah dan bermastautin di Amterdam, Belanda  kerana dorongan rasa cintanya kepada kesenian dan atas sebab-sebab peribadi. Dan kerana pendedahan ke peringkat antarabangsa, karya-karya lukisannya dipandang di mata dunia dan berharga ribuan Euro.

Siapa sangka anak Melayu insan kerdil dari sebuah kampung dalam daerah Muar,berjaya mencipta nama dengan hasil karya seni lukisnya. Kembaranya bertahun-tahun akhirnya beliau bertemu jodoh dengan gadis Eropah (khabarnya Belanda) dan kini mempunyai anak dan keluarga di sana. Dua tahun lalu, pelukis tersohor ini pulang ke kampungnya dan kembali semula ke Eropah.

Pada hari ini ramai anak-anak Malaysia mula berani keluar dari kepompong 'kemiskinan' untuk memperoleh pendapatan yang lebih terutamanya dalam bidang perubatan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat. Mereka mula berani mengorak langkah berani berkhidmat dengan syarikat-syarikat besar antarabangsa dalam bidang petroleum, pembinaan dan multi teknologi.

Penulis juga temui mereka yang berkhidmat di Arab Saudi khususnya di Jeddah, Madinah dan Makkah.Selain itu, para profesional Malaysia bukan begitu asing kini berkhidmat di kota-kota metropolitan di negara-negara teluk seperti di Dubai, Qatar dan Bahrain.Sesetengahnya telah berhijrah lebih 10 tahun di Dubai.


Dubai UAE

Dipendekkan cerita, kerana sebab-sebab peribadi, nilai wang negara asing yang tinggi, gaji dan elaun yang lumayan serta kehidupan yang kondusif maka mendorong individu tersebut rela berhijrah ke luar negara. Faktor-faktor luaran dan dalaman inilah juga mendorong penulis berikhtiar untuk menambah rezeki di luar negara. 

Penulis pernah berfikir; apakah penulis boleh menjawat jawatan KSN (Ketua Setiausaha Negara) suatu jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam? Tentu tidak. Gaji dan elaun sebesar KSN (ketika itulah..)? Tentu tidak! Segala kemudahan dan layanan istimewa? Tentu tidak juga!

Penulis tidak sanggup pada ketika itu  (era  tahun 2000-an) merantau jauh hingga ke USA, Eropah atau ke  Australia mahupun Beijing atau Tokyo tatkala usia yang mula digilap keselesaan. Apatah lagi meninggalkan jauh keluarga yang memerlukan seribu satu macam keperluan dan tuntutan khususnya ibu penulis yang dimamah usia dan kian uzur.

Bandar Seri Begawan Brunei DS

Namun jauh di sanubari penulis berasa amat tidak puas hati kerana perjawatan dan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan KPM begitu terhad  (sebelum era TS Mahyyuddin Mohd Yassin menjadi Menteri Pendidikan)  bahkan tiada peluang langsung. lni termasuk mana-mana penjawat awam yang memiliki ijazah lanjutan Master dan PhD. 

Apatah lagi dengan sikap kronisme dan nepotisme dengan seribu macam muslihat & ampu mengampu. Zaman penulis, bukan sedikit rakan-rakan senior penulis dalam perkhidmatan KPM yang telah berijazah lebih 20 tahun yang bersara ( wajib 55 tahun) hanya berada di tangga maksimum gred 48 dan 41 (ketika itu tiada gred 44) sahaja.

Penulis pernah terfikir; apakah penulis boleh berkhidmat lagi di institusi-institusi dalam negara tetapi bertukar lokasi misalnya di Perlis atau Pulau Pinang, di Kelantan, Sabah atau Sarawak. Pada anggaran penulis perjalanan dengan kapal terbang sekitar dua jam sahaja.Jika penulis bertugas dalam negara; gaji yang diperolehi tidak jauh beza. Cuma di Sabah atau Sarawak bagi penjawat awam dari Semenanjung akan memperoleh elaun wilayah dan pelbagai elaun lain.

Apabila tiba waktunya; penulis tidak perlu sedu-sedan itu. Dengan tekad membulat penulis meninggalkan perkhidmatan awam di Malaysia dan buat beberapa waktu berkhidmat sebagai konsultan dengan beberapa agensi kerajaan. Seperti biasa, penulis mengajukan permohonan rasmi/resume ke sebuah IPTA di luar negara melalui kedutaannya di Kuala Lumpur dan di kementerian berkenaan .

Penulis bernasib baik kerana dipanggil temuduga di pejabat kedutaan tersebut di KL. Dan selepas satu bulan penulis menerima berita gembira ditawarkan jawatan Pensyarah Kanan di sebuah IPTA dengan amaun  nilai wang RM menghampiri gaji KSN! Yang penulis tidak sangka, penulis diberi tempat tinggal percuma bertaraf hotel 3@4 bintang dengan sebuah kereta Nissan percuma. Penulis difahamkan sewa bulanan hotel tersebut sekitar RM3-4 ribu sebulan. 

Penulis amat berterima kasih kepada kerajaan NBDS yang memberi layanan baik  kepada penulis sebagai penjawat awam sepenuh masa di negara tersebut. Dan nostalgia bekerja di luar negara tetap menggamit di sanubari penulis sepanjang jalan kenangan. Terlalu banyak yang penulis mahu hebahkan tetapi memadailah setakat ini. (DRH)

1 ulasan:

  1. Baccarat in the UK - Online casino, live baccarat - Worrione
    Baccarat 바카라 in the UK. worrione Bet on your favorite online slots and baccarat on the go with our top-rated live casino app. Play your favorite baccarat 1xbet games and

    BalasPadam