HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

23 Julai 2012

KRITERIA KELUARGA: KESAN KEPADA PELAJAR

PARA  pelajar pada awal remaja sewajarnya didekati  seperti seorang sahabat dengan  kasih sayang yang bertegas;  ba ibu bapa mahupun para pendidik.Sikap bertegas tidak salah namun alangkah baiknya kita melayani mereka sebagai teman di sisi, berkongsi suka duka agar mereka berasa disayangi dan dihargai seperti anak-anak atau pelajar yang lain.
Sebenarnya perubahan  pelajar pada awal remaja ke arah negatif  bukanlah menjadi masalah besar andainya guru/pendidik  sedia berubah persepsi minda,   memahami tempoh tersebut adalah zaman pancaroba  pelajar dan adalah penting guru memahami  warna dan tona dalam kehidupan para pelajar.Justeru elakkan jangan terlalu mengawal atau membiarkan mereka sewenang-wenangnya hanyut dengan pelanggaran disiplin di sekolah.
 
 Guru sepatutnya berbincang aspek pro dan kontra akan  setiap perubahan tingkahlaku demi masa hadapan para pelajar.0leh itu keupayaan guru memahami pengaruh dan lingkungan kehidupan ibu bapa pelajar, persekitaran psikologikal dan sosial adalah suatu kelebihan bernilai.Keupayaan guru boleh mempengaruhi perkembangan pelajar pada tempoh awal remaja yang mana tempoh penting  mencegah dan membimbing selaras dengan perumpamaan Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya.  Guru; sama ada guru kurikulum, guru kokurikulum,guru darjah/tingkatan/mentor, guru kaunseling dan guru disiplin yang memahami perbezaan didikan keluarga yang berbagai-bagai  latar,corak dan ragam boleh mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam pengurusan bilik darjah,hal ehwal pelajar serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
 
a.       Keluarga Yang Autokratik
Menurut kajian  rumah rangga   autokaratik merupakan rumah tangga yang di dalamnya tidak ada penyesuaian,  sentiasa berkonflik ,sering berlaku  perselisihan faham  antara ibu bapa dengan anak-anak  yang bagaikan berumah di tepi tebing.  Walhal anak-anak atau pelajar ini sangat memerlukan perhubungan sosial yang baik, hubungan kekeluargaan yang sempurna serta lingkungan yang kondusif.  Dalam situasi begini  pelajar merasakan bahawa kepentingan dan minatnya tidak dipedulikan atau tidak dianggap penting.  Manakala pelajar berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu bapa atau guru di sekolah dengan berusaha menonjolkan diri minta diberi perhatian walaupun terpaksa menerima hukuman atau denda kerana kesilapan akhlak yang dilakukannya.   Lantaran sikap ibu bapa yang tidak memberikan perhatian
 untuk memahaminya,  mereka lebih cenderung tidak menghiraukan  keluarga dan sikap ini terbawa-bawa ke bilik darjah.

     Terdapat dua bahagian sikap autokrtik ibu bapa terhadap pelajar. Pertama, autokratik  bersifat kekal :  iaitu ibu bapa yang mengamalkan sikap autokratik  sejak awal perkahwinan dan mereka tidak tidak mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya . Kedua, autokratik yang tidak mahu bertolak- ansur dengan segala keinginan  anak-anak mereka yang mana lebih bersikap tidak  mahu  
bekerjasama dengan anak-anaknya. Akibatnya,pelajar bersikap memberontak dan sering mempamerkan  gejala-gejala immoral.
b.      Keluarga Yang Terlalu Toleransi

Keluarga yang terlalu toleransi adalah pelajar  yang mendapat perhatian berlebihan daripada keluarga. Bahkan kedapatan sikap ibu bapa menyamai perilaku  mereka.  Hal ini bertepatan dengan kajian yang  menunjukkan bahawa ibu bapa yang terlalu toleransi    mempengaruhi perkembangan  pelajar dari sudut kebebasan. Kesannya pelajar mengalami kesukaran penyesuaian dalam  bilik darjah, budaya sekolah, masyarakat dan lingkungannya . Pelajar lebih selesa mencari perhatian dan bantuan orang lain tanpa mahu berusaha dan berdikari. Pelajar begini  sangat bergantung  kepada ibu bapa  sehingga impaknya  mendambakan kehidupan  setelah dewasa dan di alam perkahwinan  serta tidak mahu tinggal jauh daripada ibu bapa. Mereka  juga didapati kurang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan pembelajaran dan tugasan.
c.       Keluarga Yang Demokratik

Perhubungan  dan komunikasi yang baik mudah diperpolehi dalam keluarga yang mengamalkan demokratik. Ibu bapa lebih memahami  pelajar sebagai individu yang mempunyai keterampilan peribadi dan tidak mengarah pelajar secara autokratik.  Pelajar lebih diberikan kebebasan berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri. Dengan ini pelajar  berkesempatan  mengupayakan kebebasan minda sendiri dengan kritis dan analitis.
Ada berberapa cara  merealisasikan rumah tangga  demokratik yang antara lainnya:

1.   Menghormati keperibadian pelajar dalam rumah tangga.
2.   Berusaha mengembangkan sahsiahnya dengan menganggap pelajar memiliki standard keunggulan, kemampuan kendiri dan berbagai-bagai kecenderungan  tersendiri dan harus memberinya kesempatan untuk berkembang sejauh mungkin.
3.   Memberikan ruang seluas-luasnya aspek kemahiran berfikir secara kritis, berekspresi dan tahu hala tuju kerjaya masa hadapannya.   Namun demikian kebebasan itu masih dalam koridor kebaikan bersama dan tujuan-tujuan yang bersifat umum. Tegasnya di sini  kebebasan itu bukan tanpa batas tetapi masih dibatasi oleh ketentuan-ketentuan sosial.
 
      Keluarga  demokratik itu banyak mendatangkan kebaikan dalam hubungan kasih sayang . Manakala keluarga  autokratik lebih memberi kesan elemen kekerasan, ketakutan dan pelanggaran disiplin.  Pelajar yang datang dari keluarga demokratik yang sihat mendorong  lebih bersifat  bertanggungjawab dalam kehidupan,  mempunyai idea yang mampu berfikir positif, bersedia saling membantu  dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat Kesimpulannya bahawa di samping memperoleh maklumat dan data daripada pihak Hal Ehwal Murid (HEM), guru yang bijaksana dan berhemah akan menyelidiki serba sedikit latar situasi para pelajarnya apabila penerapan gabung jalin dengan pelbagai aktiviti,kaedah,pendekatan dan teknik tatkala pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Dalam erti kata lain, sikap guru juga ada baiknya selaras dengan perkembangan psikologi dan persekitaran pelajar agar hubungan komunkikasi dua  antara guru dan pelajar  terjalin demi manfaat bersama.(tulisan oleh: DR RAJIEE HADI, dipetik daripada majalah PENDIDIK)
 

JENAYAH DAN MAHKAMAH HARI INI

PEGAWAI penyiasat pihak berkuasa, pasukan pendakwaan dan pembelaan  dan mahkamah yang berpengalaman telah menempuhi prosiding dan perbicaraan kes-kes jenayah yang disabitkan pada masa-masa lalu.Manakala orang awam telah beberapa kali mengikuti perkembangan perbicaraan kes-kes berprofil tinggi seperti pembunuhan misteri yang mensabitkan hukanan mandotori gantung sampai mati dan sebagainya.

Tentulah setiap kali perbicaraan dan hukaman dijatuhkan setiap episod menjadi teka-teki dan perhatian. Apa yang orang awam mahu ialah biarlah para penjenayah yang melakukan kejahatan jenayah itu dijatuhi hukuman setimpal dan undang-undang tidak diperkotak-katikan. Orang ramai juga tentu berdukacita andainya si penjenayah sebenarnya terlepas di tali gantung atau diringankan hukuman lantaran kelemahan pendakwaan, saksi-saksi yang berpaling tadah dan bersikap 'auta' serta kelicikan di pihak pembelaan pula.

Dalam era yang serba celik ini, kita faham kadang-kadang sukar pihak penyiasat  mahu memperoleh maklumat jika setiap prosedur biasa yang dilakukan akan ditohmah dengan pelbagai  kecaman di pihak luar. Agak aneh zaman sekarang ada juga mereka yang di luar 'gemar' bersimpati dengan penjenayah sebenarnya.

 Kita faham bahawa mengikut undang-undang 'seseorang belum didapati bersalah sekiranya mahkamah belum menjatuhkan hukuman bersalah ke atas si pelaku atau 'Orang Kena Tuduh' (OKT).lnilah dilema pegawai-pegawai penyiasat yang pada masa kini kena gunakan pendekatan psikologi tinggi.

Apatah lagi jika pembabitan wang ringgit digunakan dan dimanipulasikan yang mana 'saksi-saksi boleh dibeli'. Dalam erti kata lain ' hari ini kata lain, esok cakap lain, semasa siasat cakap lain, dalam mahkamah membisu seribu bahasa dengan menggeleng-gelengkan kepala'. Segala aksi-aksi inilah juga memerlukan kebijaksanaan pihak pendakwaan.

Apatah lagi sekiranya OKT ini terpengaruh dengan filem-filem jenayah yang membabitkan perbicaraan di mahkamah.Pihak berkuasa juga boleh memikirkan tentang kesannya sekiranya OKT itu dibawa ke mahkamah untuk sesi perbicaraan bersama-sama dengan dua,tiga atau lebih kawan-kawan yang disabitkan yamg mana boleh memberi impak psikologi. Kemungkinan wujud hilang rasa ketakutan, hilang rasa bersalah bahkan seperti memberi sokongan psikologi di antara rakan-rakan mereka.

Dalam apa jua situasi pun apa yang kita harapkan semoga tiang keadilan dapat ditegakkan.Mereka yang bersalah sama ada melakukan, bersubahat dan berkomplot menerima balasan dan menerima hukuman yang sebenarnya-benarnya hukuman. Sehubungan ini setiap manusia juga mengharap Tuhan Yang Maha Berkuasa menunjukkan cahaya kepada para hakim kita agar menperoleh hidayah dan rahmat-Nya.(oleh DR RAJIEE HADI)

IPGM DAN PhD : APA MAKNANYA

AWAL tahun lalu Kementerian Pelajaran mengiklankan Pensyarah Cemerlang 2011 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang bertugas di Institut Pendidikan Guru (IPG). Baru-baru ini, IPG dan Jemaah Nazir menjalankan penyeliaan dan penilaian terhadap pensyarah yang terpilih.

Persoalan yang timbul ialah mengapa ada pensyarah IPG yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak terpilih untuk diselia dan dinilai dalam bidang kepakaran yang dimohon, sedangkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan. KPM menyatakan margin yang tinggi diberikan kepada PPPS yang memiliki ijazah PhD dalam laluan kerjaya pensyarah atau guru cemerlang tetapi nampaknya penetapan ini tidak membawa makna apa-apa kepada PPPS PhD di IPG.

Dari segi penguasaan ilmu dalam bidang kepakaran yang dimohon, sudah pasti pensyarah yang memiliki PhD dalam bidang yang dipohon menguasai ilmu berkenaan lebih baik daripada pensyarah yang tidak memiliki ijazah kedua dan ketiga dalam bidang itu.
Ada pensyarah yang dipilih memiliki ijazah pertama dalam bidang yang dimohon tetapi ijazah kedua dalam bidang lain. Ini bertentangan visi IPG seperti yang diuar-uarkan oleh IPG sendiri. 

Ada juga pensyarah yang terpilih tidak menghasilkan apa-apa penyelidikan, penulisan atau penerbitan buku atau artikel, tidak membentangkan kertas kerja pada sebarang peringkat sama ada kebangsaan, zon atau antarabangsa.  Pihak rektor IPG dan Jemaah Nazir perlu melihat semula perkara ini. 

Beri ruang kepada pensyarah PhD di IPG untuk diselia dan dinilai kebolehan dan kepakaran mereka, ketepikan perasaan kronisme dan bersikap telus. 

Isu di atas bukan sesuatu yang baru. Sebenarnya JPA tidak patut dipersalahkan jika berlaku 'kecacatan' dalam kenaikan pangkat warga pendidikan Dalam bahasa yang mudah, 'guru sesama gurulah' yang merosakkan sistem dan prosedur yang telah disusun atur bagi kenaikan pangkat..

Saya akui selepas tahun-tahun 2005 hingga kini peluang kenaikan pangkat para penjawat guru PPPS untuk ke gred 44,48,52,54 dan seterusnya agak tidak begitu rigit seperti tahun-tahun terdahulu; yang penuh kecemburuan,nepotisme dan kronisme. Sebab itu, jika anda hilang kepercayaan, demi maruah lebih baik anda bersara pilihan demi harga diri. 

Tetapi tidak semua penjawat boleh bertindak sedemikian.Bayangkan jika anda memiliki PhD tetapi individu atau pihak yang menilai anda cuma memiliki ijazah pertama atau jika bernasib baik pun memiliki sarjana.Cuma yang membezakan penilai anda memilki setakuk dua gred pangkat lebih tinggi daripada anda. Anda layak tetapi siapakah yang mahu mengiktiraf jika mereka ada rasa cemburi melampau yang negatif yang mana khuatir anda akan melangkaui para penilai tersebut? 

lnilah dilema yang bertahun-tahun di KPM. Saya pernah menemui seorang pensyarah sarjana syariah dan pakar dalam khat dan tulisan jawi serta pernah berjasa di sebuah lPGM . Dialah pencipta logo dan beberapa dekorasi khat di maktab itu. Namun sehingga ke akhir persaraan wajibnya pihak ketua jabatannya tidak mencadangkan agar dia dinaikkan pangkat pensyarah pakar. Dia   berasa amat kecewa. lnilah senario yang pernah berlaku 10 tahun dahulu! Jawapannya mudah: Selagi manusia bersikap tamak,dendam kesumat,iri hati dan cemburu maka selagi itulah kisah ini berlaku dan terjadi lagi. 

16 Julai 2012

TEATER BANGSAWAN MELAYU ANTARA REALITI DAN DILEMA


SATU  daripada ciri kota berbudaya adalah wujudnya tradisi pementasan teater yang berkesinambungan atau kerap. Kota, yang tidak secara tiba-tiba terbina, juga harus menghargai bentuk teater tradisional, seperti mana ia dulu dibangunkan atas lembah, paya dan belukar. Realiti budaya itu terpancar di banyak kota dunia. Di Tokyo umpamanya, teater tradisional kabuki dipentaskan sepanjang tahun dan pelbagai pentas lain menghidangkan teater moden.


Gaya Seorang Sultan Dalam Bangsawan
 (gambar Hiasan)
Tindakan proaktif bersepadu untuk membawa teater Melayu keluar daripada kelesuannya mestilah diambil segera. Jika tidak teater Melayu akan terus nazak dalam masa panjang, hanya sekali sekala ‘mengigau’ dan ‘meracau’”Teater Melayu tradisional (seperti bangsawan) dan moden sepatutnya hidup subur di ibu kota dan di bandar lain negara ini. Teater, seperti tradisi kebudayaan besar, adalah satu daripada wadah yang memancarkan ketinggian pemikiran, intelektual serta seni estetika sesuatu bangsa. Sebab itulah di negara maju, pembangunan prasarana dan fizikal yang hebat turut disertai dengan pembangunan kesenian, termasuk teater. Ini berlaku sejak zaman Greek, Romawi atau tradisi Inggeris menerusi drama Shakespeare.

Apabila teater Melayu kurang bermaya di ibu kota, kita dapat membayangkan bagaimana nasib teater Melayu di kota kecil lain. Apabila yang hidup subur di ibu negara ialah teater Inggeris atau alunan orkestra simfoni yang membawakan lagu Barat, maka terpinggirlah citra kesenian kebangsaan negara ini yang berdasarkan kekuatan budaya Melayu dan Bumiputera lainnya.

Pembangunan semula teater Melayu memerlukan perancangan, seperti perkembangan bahasa Melayu memerlukan perancangan bahasa.

Dalam hubungan ini, wajar diambil tindakan proaktif dengan kadar segera oleh beberapa pihak seperti agensi kerajaan yang diamanahkan untuk fungsi ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) teater, penulis dan aktivis teater tanah air. Beberapa ahli perniagaan juga patut dibabitkan kerana mereka boleh memberikan idea bagaimana untuk menjadikan teater sebagai industri ‘hiburan’, atau industri kreatif yang menguntungkan.
Dr Rajiee Hadi Bersama Teman-Teman Teater: lbrahim Akhir, Mubarak Majid dan Rosli Rahman Adam di Panggung Bandar Raya KL pada 15 Julai 2012 (Gambar Hiasan)
Tidak kurang pentingnya ialah beberapa korporat nasional yang wajar mengembalikan sebahagian kecil keuntungan mereka untuk pembangunan seni kebangsaan, serta wakil media cetak dan elektronik.

Untuk membuktikan nadi teater Melayu terus berdenyut, ia memerlukan premis pementasan yang tetap. Tetap dalam erti kata pementasan teater Melayu sering dipentaskan di situ – sama ada setiap minggu, atau setiap dua minggu atau setiap bulan. Dengan adanya premis tetap serta jadual pementasan tahunan, khalayak teater tahu di mana dan bila mereka wajar menonton teater Melayu. Khalayak teater ini termasuk mereka dari Sabah, Sarawak, Semenanjung, atau dari luar negara.

Menyebut premis pementasan, penggiat teater di Kuala Lumpur pasti teringat kepada beberapa tempat. Antaranya ialah Dewan Bandaraya, Panggung Bandaraya, dan dewan utama Pusat Pelancongan Malaysia di Jalan Ampang.

Akan tetapi ketiga-tiga premis terbabit, lantaran perlu menampung keperluan lain, tidak mungkin menjadi premis tetap persembahan teater Melayu. Perancangan teater juga harus mengambil kira beberapa program lain, umpamanya penataran penulis dan tenaga produksi. Kaedah promosi serta pemasaran yang berorientasi keuntungan juga harus dianggap sebagai program bersepadu pembangunan teater.

Tidak kurang penting ialah pendidikan terhadap apresiasi seni, membabitkan pelajar sekolah dan orang ramai. Pendidikan terhadap apresiasi seni dalam kalangan pelajar sekolah dalam jangka panjang akan menyediakan khalayak seni yang tinggi daya intelek serta cita rasa seni estetika rakyat negara ini.

Tindakan proaktif bersepadu untuk membawa teater Melayu keluar daripada kelesuannya mestilah diambil segera. Jika tidak teater Melayu akan terus nazak dalam masa yang panjang, hanya sekali sekala ‘mengigau’ dan ‘meracau’ ketika ada sayembara atau pekan teater yang bermusim sifatnya. Sementara Istana Budaya agak sukar ditembusi oleh teater yang bukan bergenre muzikal.

Usaha keserakanan membabitkan pelbagai pihak bergabung tenaga dan kepakaran untuk menyegarkan semula teater Melayu, bukanlah sesuatu yang baru.

Beberapa pendapat mengenainya, baik dalam bahasa Melayu (umpamanya tulisan Khalid Salleh) atau Inggeris (umpamanya tulisan Johan Jaaffar) diterbitkan. Malangnya, belum ada pihak yang mengambil tindakan serius. Situasi ini menyukarkan penafian terhadap pandangan umum bahawa birokrasi di beberapa institusi begitu rumit, perlahan, dan kurang berkesan.

Tindakan terhadap beberapa cadangan yang membina mengenai teater, begitu lambat diproses atau diambil tindakan susulan – sama ada akibat birokrasi yang ketinggalan zaman atau ditangani oleh pegawai yang kurang arif dan kurang minat terhadap bidang terbabit.

Sementara itu, sesetengah ketua melepaskan tanggungjawab ini kepada stafnya yang kurang berpengalaman, dirinya pula disibukkan dengan mesyuarat bertali arus, atau kesibukan politik ciptaannya. Sebuah institusi budaya dan ilmu sesungguhnya memerlukan pimpinan yang tidak hanya pandai beretorik dan berpolitik.
(sumber: Dr. Anwar Ridhwan,UM,16/07/12)