HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Disember 2012

SAJAK AKHIR TAHUN

perjalanan semusim 
bermukim dan bermusim
di celahan mendung
dan hujan berterusan
ada kesakitan 
yang tidak diundang
namun ada keriangan
yang terus mendatang

akhir tahun pun
kian menghampiri
terhitungkah jejak-jejak
yang telah pergi
walau ada sekelumit 
ragu di bilah-bilah hari
siapakah antara kita
yang mahu menggigit jemari diri

secantik manakah
aturan angka hari
dapatkah mengubah dan mengatur takdir llahi
andainya tiada persiapan
segala bekalan amalan
untuk teman sejati
di alam sana nanti.


RAJIEE HADI,
Seri Pajam, 11.11.11.

5 Disember 2012

KEPENGARANGAN T.ALIAS TAIB SATU KAJIAN TEKSDEALISME

KAJIAN ini bertujuan mengkaji puisi-puisi T.Alias Taib dari aspek pembinaan teks yang berasaskan Teori Teksdealisme berdasarkan empat prinsipnya: kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme.
Prinsip pertamanya mengkaji sumber pengalaman dan idea dalam proses kepengarangan dengan memberi makna yang baharu.Prinsip kedua dengan meneliti aspek pengekalan dan pembaharuan dalam teks.Prinsip ketiga ialah aspek pengukuhan yang memperlihatkan proses pemantapan dan penyempurnaan teks. Dan seterusnya prinsip keempat menyuguhkan dan menampilkan keperibadian pengarang dan teks.

Oleh yang demikian kajian ini merupakan satu kajian kualitatif yang menggunakan analisis kandungan untuk mengenal pasti sejauh manakah prinsip-prinsip dalam Teori Teksdealisme memperlihatkan keunggulan teks dengan merujuk puisi-puisi pilihan T.Alias Taib (berdasarkan kumpulan puisi persendirian: Pemburu kota,1978, Seberkas Kunci,1985, 0pera,1988, Piramid,1999, Petang Condong,1996 dan puisi-puisi pilihan yang dikutip daripada akhbar-akhbar dan majalah tempatan semasa).

Pengkaji telah menganalisis dan mengenal pasti kehadiran pelbagai unsur yang mendasari prinsip-prinsip 'Teksdealisme' dalam penciptaan si pengarang. Justeru didapati kajian ini menunjukkan teks-teks T.Alias Taib mencapai darjah keunggulannya berdasarkan kajian Teori Teksdealisme. (@Hakcipta Terpelihara.

(sumber: oleh Rajiee bin Abdul Hadi,sedutan tesis M.A, Universiti Kebangsaan Malaysia) 





: