HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

3 Ogos 2013

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA DISOKONG

MEMANG ada logiknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpegang kepada keputusan untuk tetap mahu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 6 September ini.
Ini disebabkan PPPM itu sendiri dicapai hasil pertemuan dengan rakyat pelbagai lapisan yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan - yang disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.
Sebenarnya, tidak ada sudahnya pun untuk kita melayan kehendak dan tentangan menggila Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

PPPM dihasilkan dari Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April tahun lepas di 15 lokasi di seluruh negara.
Dalam suatu pertemuan penulis dengan Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin  beliau sendiri melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik'.

Dalam program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.
Malah, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pendidikan menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.

"Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.

"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.

"Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.

"Ini menunjukkan isu- isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya.

Sebenarnya DNPN yang menghasilkan PPPM merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

Dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.

Wan Mohd. Zahid sendiri dan beberapa lagi panel berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.
Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.

Bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.
Daripada siri persidangan meja bulat bagi dialog tersebut, rata-rata respons yang diberikan sangat memberangsangkan.

Kata Wan Mohd. Zahid kepada penulis: "Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.

"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global."

Dianggarkan lebih 11,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.

Panel dialog juga dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.
Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.

Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.
Pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.
Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.

Kata beliau kepada penulis: "Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti.

"Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.
"Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia."

Jadi, kalau begitu kenyataannya bermakna PPPM adalah hasil suara dan hak rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Maka dengan ini, bertepatanlah ketegasan Muhyiddin bahawa kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

Malah agenda Dong Zong menyuarakan tuntutan terbabit amatlah diragui apabila Muhyiddin secara terbuka mencabar pertubuhan Cina itu membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan - yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.
Kita tidak tahu apa sebenarnya agenda Dong Zong.(sumber:UM, 03/08/13)


2 Julai 2013

AWANG HAD SALLEH DALAM KENANGAN



"BELIAU telah banyak berjasa bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin demi kemajuan anak bangsa."

Itulah ungkapan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, semalam.



Menurut Alimuddin, beliau banyak membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.

"Ketika itu saya bertugas sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.

Kata beliau, satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian walaupun telah bekerja.

"Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.

"Selepas itu dari 1951 hingga 1954 telah belajar di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.

Kegigihan Allahyarham untuk belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

Pada 1956, Allahyarham telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Allahyarham yang berkhidmat di UM sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Alimuddin, satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.

"Banyak jasa yang telah Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.
"Kita juga tidak boleh melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989," katanya.

Selepas persaraan di UUM, Awang Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan sehingga 1990.

Selain itu, beliau juga memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai Pro Canselor universiti berkenaan.

Allahyarham turut terlibat dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, penulis, Haris Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.
Menurutnya, Allahyarham mula menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah disiarkan akhbar Berita Harian.

"Cerpen itu memenangi hadiah sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar berkenaan.

"Bakat kreatifnya turut digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.

Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.

Skrip dramanya bertajuk Buat Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.
Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.

"Awang Had terus menjadi tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah air kita," tulis Haris.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anugerah akademik yang diterima beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.

Allahyarham yang berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.
Semangat Allahyarham untuk terus berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.

Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat gagah,
Menunaikan fungsi khalifah,
Di bumi bertuah,
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan mudah patah,
Menahan hasrat jangan cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan tercapai sudah.

Sebagai seorang tokoh akademik Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.
Al-Fatihah.(sumber: UM,02/07/13)

7 Mei 2013

ABDUL GHANI OTHMAN : NOKHTAH SEBUAH IMPIAN



telah kukatakan sejak permulaan itu

kau bagaikan mahu menggantung hayatmu

di hujung usia meninggalkan tanahmu, sungai mati

warga emas serom yang setia menanti kepulanganmu

hampa, hari demi hari menghitung neraca waktu

apakah kau melupai kesetiaan orang di sini

beriktikaf di masjid melihat pusara muhasabah diri

kerana asyik melihat tanah emas di hujung negeri

yang kau mahu bangunkan atas nama kemajuan santeri



masih terngiang-ngiang getar suara cikgu othman kechik

berbisik padaku pada tahun 1980-an dahulu

ketikaku seorang guru muda tidak dikenali

agar aku turut membantu menyokongmu

menyebarluaskan dirimu mencanang ke serata kampung

agar bintangmu terus mengerdip di langit zaman




kini setiap tiga aidilfitri mendatang

pekan sungai mati terus berwajah kusam

tiada lagi perantau yang menanti baryani lebaran

deretan mobil sepanjang jalan akan lengang

sana sini tiada melayu cina india datang berlenggang

pulau penarik akan sepi tidak dikenali di peta hati

kerana segala-galanya yang hidup di sini telah mati



hari ini sahabatku chong hai tidak kehilangan apa

begitu juga letchumi ketua jabatan tempat isteriku bekerja

terus menanti laba pangkat tanpa perih derita

ganalingam terus menulis dengan dana yang berselera

sementara aku terus menanti honorarium yang tidak seberapa

kadangkala hilang dalam tipu daya sengsara

kerana gelangku patah dalam musnah belantara!



DR RAJIEE HADI
Bandar Baru Nilai,
5 Mei 2013,

( Sumber :Harakahdaily.net 6/5/2013).

26 April 2013

AGENDA MENYEKAT PENDATANG ASING PERLU

Dr Rajiee Hadi,

BARISAN Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) patut menyebut dalam akujanji atau manifesto masing-masing bagaimana mahu membendung kemasukan menggila pendatang asing ke negara kita. Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ada yang dikategorikan pendatang tanpa izin/haram (PATI), pendatang tanpa permit, pendatang menyalahgunakan  pas lawatan sosial dan pendatang yang menyalahi peraturan-peraturan lain imigresen.

BN sebagai kerajaan yang memerintah lebih  55 tahun sepatutnya ada pelan pembangunan yang terkawal dan tidak amat bergantung kepada pendatang asing.

Mencontohi Singapura negara maju yang membangun era 1970-an adalah wajar. Singapura telah 'menghalau atau mengusir' pekerja-pekerja asing yang membanjiri republik itu suatu ketika dahulu. Apabila negara tersebut tidak lagi bergantung sangat kepada pekerja asing separuh mahir maka Singapura dapat membendung pelbagai gejala sosial yang kita sedia maklum.

Kini difahamkan jika kita meninjau di beberapa lokasi hospital kerajaan contohnya Hospital Serdang, Selangor , saban hari akan adanya kelahiran anak-anak pekerja lndonesia, Vietnam, Myanmar, lndia, Bangladesh, Filipina bahkan Afrika!  Itu hanya contoh kelahiran di sebuah hospital. Dan bagaimana pula kelahiran di luar hospital dan seumpamanya?


Tidakkah ini memberi impak masalah dan beban sosial pada masa akan datang.? Bak  kata seorang teman; bukan mustahil pula 20-30 tahun akan datang pendatang  asing contohnya pendatang Vietnam ini akan menzahirkan  tanpa segan-silu  keperluan  bahasa Vietnam akan diajukan pula di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan macam-macam perkara yang bukan mustahil kelak.

Justeru adalah bukan cerita lawak jika dikatakan pendatang asing kini telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah.


Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka kian ramai sudah pun ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Itu belum termasuk pendatang asing yang lain. Mereka kini bebas ke mana-mana. Seolah-olah mereka telah ‘menawan’ negara kita .Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang asing termasuk pati bekerja di sektor yang menyalahi undang-undang.


Oleh itu penggunaan frasa 'menawan'  bagaikan   mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tidak begitu berkesan lagi menangani pelbagai karenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengakui penguat kuasa Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang berniaga di gerai-gerai, pasar awam dan sebagainya. Ini baru kesalahan  kecil yang belum lagi termasuk jenayah besar dan sofistikated.


Maka negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang berbagai-bagai kategori pendatang dari seluruh dunia. Dan kita dapati semakin hari semakin galak kehadiran dan jumlahnya makin bertambah.

Pelbagai berita jenayah oleh pendatang yang serius tersiar dalam media elektronik dan media cetak hampir setiap hari bagaikan sudah menjadi semacam fiksyen hiburan.


lsunya kini dalam kempen-kempen PRU 13; baik BN mahupun PR adakah mana-mana pihak mahu membangkitkan isu membendung kebanjiran pendatang asing ini? Apakah isu seperti ini tidak disedari oleh parti-parti politik yang bertanding? Adakah pihak berkenaan tidak menyedari bahawa ini  boleh memberi banyak kredit patriotik kepada parti mereka pada masa berkempen sekarang? Terserahlah kepada mereka.(sumber: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily, 26/04/13)




19 April 2013

PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG BAHARU IALAH ..........

PERDANA MENTERI melontarkan tiga nama, termasuk beliau sendiri, untuk dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya umum nanti.

Tiga nama ini sebetulnya subteks jujur sebagai perlambangan tiga tokoh parti Melayu (walau PKR lebih pelbagai kaum) yang berupaya merebut Putrajaya.

Lim Kit Siang, Karpal Singh atau Lim Guan Eng tidak tersenarai kerana dalam paradigma politik negara ini, khususnya dari kaca mata Umno, pemimpin bukan Melayu tidak layak dipilih menerajui Malaysia.

Najib Abdul Razak melontarkan tiga nama ini sewaktu berceramah ketika melancarkan manifesto BN atau Akujanji BN.

Selain bimbang asakan Pakatan Rakyat, beliau juga kelihatannya risau tahap sokongan dari dalam parti BN sendiri.

Maka rayuannya itu turut meraih simpati terhadapnya (baca: calon boleh menang pilihannya) daripada penyokong BN sendiri -- membayangkan rasa tergugat dengan strategi terbarunya itu, "winnable candidates".

Pilihan senarai calon BN, seperti juga Pakatan, akan menentukan tahap sokongan dan sabotaj.

BN awal-awal lagi cuba mendisiplinkan "warlords" di peringkat bahagian dengan mengugut mereka agar mematuhi pucuk pimpinan.

Isu disiplin sentiasa menjadi agenda majlis tertinggi Umno dan media arus perdana sejak Najib memperkenalkan konsep "winnable candidates".



Difahamkan, sejak dua tahun lalu, presiden Umno terpaksa menggunakan saluran maklum balas akar umbi yang berharga puluhan juta ringgit dan jenteranya sendiri untuk memastikan konsep ini dapat dijayakan.

Melaluinya, sekali gus akan membelakangkan saluran Umno bahagian bersama "warlords" masing-masing, wang pelincir jentera tersebut akan disalurkan terus kepada "calon-calon boleh menang" pilihan Najib.

Presiden Umno, dengan sistem pangkalan data ini, mencipta saluran maklum balas baru selain bahagian-bahagian dan jentera kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Langkah Najib ini bolehlah dikira pintar tetapi beliau bukanlah terlalu popular sehingga jentera tradisi bahagian-bahagian Umno boleh menerimanya sebegitu sahaja.

Umno bahagian -- seperti juga parti-parti Pakatan -- ada waktu-waktunya boleh melancarkan "serangan balas" melalui pelbagai taktik sabotaj -- sama ada membiarkan calon sendirian, menyokong calon lawan, merosakkan jentera kempen atau tidak keluar mengundi.

Apatah lagi Najib dan keluarganya digayuti pelbagai kontroversi yang merimaskan Umno akar umbi.

Selain bermacam-macam kontroversi Najib, isterinya Rosmah Mansor dikatakan satu daripada beberapa punca akar umbi parti itu sulit untuk mempertahankan Umno daripada asakan pembangkang.

Penjelasan Jacob & Co, tauke barang kemas tersohor dunia, Sabtu lalu dalam hal cincin RM24 juta menunjukkan betapa seriusnya palitan kontroversi itu terhadap keluarga Najib dan risiko isu ini pada pilihan raya umum.

Gara-gara cincin "puaka" ini, Rosmah sebelumnya terpaksa bersumpah dalam satu majlis makan malam di Kementerian Pertahanan dan juga mengulangkan penafiannya dalam buku autobiografinya yang terbit baru-baru ini.



Tidak hairanlah, kononnya, satu kajian di sebuah universiti menunjukkan tanggapan terhadap Rosmah jauh lebih buruk di kalangan ahli Umno berbanding orang ramai yang sedia negatif sikapnya.

Namun, mungkin keluarga Najib tidak menyedari betapa ganjil imej isterinya di mata umum.

Lihat sahaja pelancaran buku autobiografinya -- pelancaran awal dibuat oleh sultan Pahang dan pelancaran sebenarnya oleh mantan perdana menteri yang paling berkuasa Dr Mahathir Mohamad!

Apakah pernah ada sebuah buku isteri seorang perdana menteri yang baru memerintah selama empat tahun mendapat layanan seistimewa ini?

Namun, bukan hanya Najib bergelut dengan kontroversi. Calon perdana menteri Anwar Ibrahim juga tidak pernah kering daripada kontroversi.

Selain kes mahkamah sejak 1998 dan gosip-gosip seksual terkini, Anwar juga berdepan krisis kepercayaan di kalangan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan sendiri, khususnya PAS.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang kelihatan tidak bercita-cita memimpin negara juga tidak selesa dengan Anwar.

Bukan sekarang, malah sejak projek 16 September 2008 lagi, Abdul Hadi bersama barisan penasihat kanannya meragui Anwar sehingga projek itu gagal dilaksanakan oleh mantan timbalan perdana menteri itu.

Bagi PAS, lebih baik Tengku Razaleigh Hamzah -- rakan kongsi lama dalam projek Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 -- dipilih menerajui negara daripada Anwar.

Ahli parlimen Gua Musang akan berpindah kiblat politik sekiranya PAS mengundangnya berbuat demikian. Sejauh mana tokoh Umno Kelantan itu bersetuju dengan 'grand design' tersebut tidaklah dapat dipastikan.



Begitulah, khabarnya, keraguan kumpulan pemimpin atasan PAS terhadap Anwar.

Bagaimanapun selepas beberapa siri rundingan antara PAS dengan PKR yang menawarkan Ku Li dan siri rundingan balas yang dibuat PKR terhadap PAS, isu tersebut yang bermula sekitar Februari kini sudah reda.

Satu-satunya calon perdana menteri Pakatan, setakat hari ini (hari lain mungkin berubah lagi), hanyalah Anwar.

Jadi, apabila nama Hadi disebut oleh Najib, beliau sendiri tahu bahawa tokoh utama PAS itu bukanlah pencabar dekatnya.

Lagipun, menurut sumber dalaman PAS, Hadi masih dibelenggu rasa tidak yakin diri atau "inferiority complex" untuk menerajui PAS berdepan isu-isu kompleks negara.

Bukan sahaja Hadi kekok berdepan dengan Umno, malah berdepan dengan PKR atau DAP. Hadi hanyalah seorang tuan guru yang selesa dengan kehebatannya itu.

Malah disebut-sebut juga ada presiden "de facto" dalam PAS yang menggerakkan Hadi; tidak ubah menteri besar "de facto" semasa parti itu menguasai Terengganu.

Maka, Perdana Menteri tidak menjadikan Hadi sebagai sasaran serangannya di Bukit Jalil. Sebaliknya Anwar diburuk-burukkan oleh Najib.

Tetapi rakyat tentunya sedar -- sama ada perdana menteri atau calon perdana menteri -- kedua-duanya bergelumang dengan kontroversi yang besar dan kedua-duanya juga berdepan dengan sabotaj dalaman yang boleh merosakkan peluang masing-masing.

Pada hari mengundi nanti, kita layak memberikan kata dua kepada Najib dan Anwar.

Dan sekali gus terpaksa menjawab persoalan ini: Kontroversi siapakah yang mahu kita sokong -- kontroversi reformasi atau kontroversi transformasi? (sumber oleh Fathi Aris Omar editor kanan Malaysiakini, judul asal Mahu pilih siapa - Najib, Anwar atau Hadi?)

13 April 2013

POLITEKNIK KPT: PELUANG NAIK PANGKAT CERAH.....


BERDASARKAN  pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bertarikh 6 0gos 2012 permohonan pemangkuan atau kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi (Pensyarah) PPPT gred DH 43/44 ke DH 48 di KPT khususnya di politeknik-politeknik KPT adalah berdasarkan lapan kriteria:

1.Telah disahkan dalam perkhidmatan.
2.Mencapai tahap prestasi (markah LNPT) yang telah ditetapkan bagi tiga tahun gred semasa. Penilaian LNPT bagi tahun pertama di gred semasa hendaklah sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan ke atas.
3.Melepasi tahap kecemerlangan perkhidmatan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.
4.Diperakukan oleh Ketua Jabatan (Pengarah di politeknik).
5.Bebas daripada sebarang hukuman tatatertib.
6.Lulus tapisan keutuhan SPRM.
7.Telah membuat pengisytiharan harta.
8.Telah menandatangani Surat Akuan Pinjaman Pendidikan institusi/tabung pendidikan.

Apabila para pemohon warga KPT yang memenuhi  lapan kriteria di atas maka mereka bolehlah memohon secara talian/online dan mengemukakan kepada Ketua Jabatan (Pengarah politeknik/pengarah bahagian) dengan menyertakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan.

lsunya di sini ialah, alangkah malangnya PPPT senior yang 'berasal' dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang pada mulanya 'dijanjikan' peluang kenaikan pangkat yang lebih baik tetapi janji tidak ditepati! Sebagaimana yang kita sedia maklum KPM kini melaksanakan dasar tempoh berkhidmat(time-based) bagi urusan kenaikan pangkat secara automatik iaitu gred 44 setelah lapan tahun berada dalam PPPS gred 41 dan 12 tahun berada dalam PPPS berkhidmat dalam gred 41/44 untuk ke gred 48 dan begitulah seterusnya.

Bagaimana pula dengan PPPT di KPT yang memiliki ijazah lanjutan seperti sarjana dan PhD? Tetapi kelulusan itu tidak dinilai untuk kenaikan pangkat? Justeru,  apakah gunanya saranan Datuk Seri Khaled Nordin Menteri, Pengajian Tinggi mahu agar pensyarah KPT (termasuk di politeknik) memiliki ijazah lebih tinggi seperti PhD? Tidakkah ini kelakar maharaja lawak?

Adakah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT hanya 'copy & paste' sistem lama KPM yang telah ketinggalan zaman? Di manakah tranformasi dan globalisasi yang dilaung-laungkan itu?

Kedapatan para pensyarah senior sedih kerana KPT bagaikan mengundur ke belakang dalam menentukan kenaikan pangkat ini. Dan bagaikan tidak sehaluan dengan pemikiran PM Datuk Seri Mohd Najib yang mahukan adanya anjakan pardigma yang inovatif agar tranformasi pendidikan berjalan dengan lancar.Diharapkan juga Bahagian Sumber Manusia unit Kenaikan Pangkat dan menyemak kembali dan mengenal pasti mana-mana pegawai (PPPT) yang tercicir dalam kenaikan pangkat seberapa segera sebagaimana yang dilakukan di Kementerian Pelajaran Malaysia agar mereka yang terbabit tidak teraniaya! (sumber: Yang Mengharap: Harakahdaily.net, 8/10/12)

8 April 2013

PSIKOLOGI WAJAR DIKAWAL DENGAN AKTA?




PSIKOLOGI sebagai satu disiplin keilmuan ditakrifkan sebagai satu bidang yang mengkaji dan memahami tingkahlaku manusia secara saintifik. Ia mengkaji perhubungan dan perkaitan di antara fungsi otak dan pemikiran, emosi, biologi, sosial dan tingkahlaku seseorang individu manusia dan kesannya kepada individu terbabit.

Sementara itu, psikologi merupakan satu bentuk perkhidmatan yang berasaskan kepada ilmu dan pengetahuan dalam bidang psikologi yang dilaksanakan berdasarkan kepada asas sains atau disokong oleh fakta dan kajian yang empirikal.

Sebagai satu bentuk perkhidmatan, ia adalah satu profesion yang akan memberi implikasi di mana bidang psikologi dan segala kemahiran serta pengetahuan yang ada padanya akan diaplikasikan dalam seluruh ruang kehidupan individu. Matlamatnya untuk mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan manusia yang terbit daripada kestabilan dan kesejahteraan. Kesejahteraan psikologi dilihat sebagai kestabilan pada aspek yang melibatkan emosi, pemikiran dan tingkah laku.

Oleh itu, dalam erti kata lain, psikologi, sama ada sebagai satu bidang ilmu atau pun profesion, adalah merupakan bidang yang membantu dan mendorong umat manusia untuk mencapai dan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dalam sepanjang kehidupan mereka.

Memiliki tahap kesihatan mental yang baik sepanjang masa dalam segenap ruang kehidupan bermakna berusaha membantu manusia agar dapat mencapai kesejahteraan dalam keluarga dan masyarakat, sejahtera dalam kerjaya dan organisasi tempat kerja mereka, dan mampu mewujudkan perhubungan interpersonal yang baik serta berusaha untuk mengekalkan perhubungan yang baik itu pada setiap masa.

Memandangkan sedemikian rupa matlamat dan kumpulan sasaran bidang ini, secara asasnya ia diiktiraf secara global sebagai bidang yang memiliki ruang lingkupnya tersendiri dalam mewujudkan masyarakat yang memiliki tahap kesejahteraan dan kesihatan mental yang baik pada sepanjang masa.

Sebagai satu profesion yang terlibat secara langsung dalam meningkatkan tahap kesihatan mental dan kesejahteraan individu dan masyarakat manusia, ia sudah pasti akan tertakluk kepada nilai dan peraturan hukum yang tertentu dalam sesuatu masyarakat itu. Inilah asas dan indikator kepada sesuatu bidang perkhidmatan yang ingin mencapai tahap profesionalisme mereka.

Dalam konteks masyarakat di negara ini, bidang psikologi sebagai satu profesion masih lagi dilihat tidak tertakluk kepada mana-mana nilai setempat, atau secara khususnya ia tidak dinaungi atau dikawal oleh mana-mana akta. Setakat ini, tiada sebarang akta yang mampu mengawal profesion ini, baik untuk para pengamalnya, mahupun kepada pesakit atau klien yang datang memerlukan perkhidmatan mereka.

Sesuatu akta adalah merupakan satu set rang undang-undang yang mengawal perilaku sesuatu profesion dan perkhidmatan, ahli profesional serta pelanggan yang datang kepada mereka untuk mendapatkan khidmat mereka.
Kebiasaannya, undang-undang ini membicarakan perihal hak dan peranan atau tanggungjawab serta maruah dan kehormatan kedua-kedua belah pihak sebagai pemberi dan penerima. Objektif undang-undang ini adalah bagi menjamin wujudnya satu bentuk perhubungan atau interaksi yang adil untuk semua pihak, tanpa wujud sebarang ketidakadilan dan penganiayaan.

Apabila tiada sebarang peraturan yang dapat mengawal profesion seperti ini, maka akan muncullah salah laku dan kezaliman di mana-mana pihak.

Psikologi merupakan bidang yang amat luas dengan pengkhususan profesion yang pelbagai. Profesion yang sudah biasa dikenali adalah seperti psikologi kaunseling, industri, sukan, perubatan dan klinikal. Buat masa kini, hanya beberapa pengkhususan iaitu psikologi kaunseling yang tertakluk kepada undang-undang di bawah Persatuan Kaunseling Malaysia, manakala psikologi klinikal bakal tertakluk kepada undang-undang mereka yang akan dipantau dan dikawal oleh Kementerian Kesihatan melalui Akta Sains Kesihatan Bersekutu.

Begitu juga bidang perubatan psikologi atau psikiatri adalah tertakluk kepada Akta Perubatan dan Akta Kesihatan Mental. Sementara itu, bidang psikologi lain, seperti psikologi sukan dan industri serta lain-lain, masih tidak dikawal oleh sebarang rang undang-undang ataupun akta, walhal ahli-ahlinya semakin bertambah dan turut memberikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat, namun tanpa kawalan dan seliaan.

Tambahan pula, sekarang ini terdapat pelbagai isu berkaitan bidang pengkhususan dalam perkhidmatan psikologi seperti ujian dan pemeriksaan, rawatan dan intervensi, latihan, khidmat kesihatan mental, penyaksian di mahkamah, dan sebagainya yang didapati semakin berkembang luas tetapi dilakukan oleh mereka yang sekadar berminat, atau dengan niat yang ikhlas, namun tidak mempunyai sebarang latihan dan kemahiran asas yang khusus dalam keilmuan psikologi individu.

Ilmu dan bidang psikologi adalah bidang yang menyeronokkan dan menarik minat ramai, sehinggakan terdapat pihak yang sanggup menyamar dan mengaku sebagai pakar psikologi, lantas memberi perkhidmatan rawatan dan ujian psikologi, serta melatih ramai orang untuk menjadi pakar dan mengambil upah untuk khidmat yang diberikan walaupun tanpa kebenaran dan sokongan akademik. Ia berlaku secara bebas tanpa sebarang kawalan.
Profesion ini sebenarnya amat memerlukan satu undang-undang yang khusus untuk semua individu yang memiliki kelayakan akademik dalam bidang psikologi tanpa mengira sebarang status pengkhususan, dan yang dapat mengawal aktiviti semua ahli dan pelanggannya.

Persoalannya, siapakah atau manakah kementerian atau jabatan di peringkat kerajaan yang akan menguruskan usaha-usaha untuk menubuhkan satu undang-undang yang dapat mengawal aktiviti dan perkhidmatan profesional ahli-ahli psikologi seperti ini?

Memang betul negara mempunyai Persatuan Psikologi Malaysia atau PSIMA yang ditubuhkan pada 1988 dan di peringkat perkhidmatan awam atau JPA turut memiliki Bahagian Pengurusan Psikologi yang mula beroperasi pada 1992, namun peranan mereka boleh diberi perhatian lebih mendalam oleh kerajaan seperti meningkatkan lagi jumlah pegawai psikologi yang bertauliah, melibatkan mereka dalam urusan di peringkat dasar berkaitan pemartabatan ilmu dan profesion psikologi peringkat nasional, atau menaiktaraf perkhidmatan dan bahagian psikologi sedia ada kepada taraf jabatan atau institut seperti yang diamalkan di kebanyakan negara-negara yang lebih maju.

Usaha ini perlu bagi memperluas dan memperkayakan lagi perkhidmatan yang telah sedia ada, serta dapat membantu mempercepatkan lagi kewujudan akta psikologi negara yang akan dapat mengawal profesion psikologi dan semua ahlinya.

Dalam Islam, pengamal psikologi juga boleh bertindak sebagai seorang da'i, iaitu berusaha memupuk nilai-nilai yang mulia dan murni agar pelanggan dapat kembali menghayati ajaran agama sebagai asas kepada rawatan psikososial. Ambillah kesempatan mulia ini kerana mereka adalah diiktiraf sebagai pakar rujuk kepada ummah dan ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah An Nahl (14) ayat 43 yang bermaksud - bertanyalah kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (sumber: Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM))




7 April 2013

BAHA ZAIN & NOSTALGIA DBP



DATO’ BAHARUDDIN ZAINAL, atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, mantan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merupakan tokoh penyair, penulis dan pemikir sastera negara. Pada bulan Disember 2011, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pena yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Editor Dewan Sastera (DS),Fadli al-Akiti mewawancara sasterawan yang tidak asing lagi dalam persuratan tempatan ini, melihat liku dan harapan masa hadapan nadi sastera kebangsaan.

DS: Dato’ terlibat dalam dunia secara formal ketika orang sastera mula mendapat pendidikan universiti. Boleh Dato’ ceritakan situasi waktu itu?
Baha: Saya mula bekerja di DBP sebagai pekerja sementara pada tahun 1962 dan 1963 sewaktu cuti panjang universiti di bahagian penyelidikan di bawah seliaan (Allahyarham) A. Samad Ahmad. Projek kami yang pertama ialah menyalin persembahan penglipur lara yang dirakam daripada mikrofilem ke dalam tulisan rumi. Kebanyakan mikrofilem ini datang dari (Universiti) Leiden. Kemudian, pada tahun 1963 selepas graduate, saya diminta untuk terus bekerja di DBP sebagai penolong pegawai penyelidikan. Tawaran tersebut, bertepatan dengan minat saya dalam sastera. Walau bagaimanapun, saya terikat dengan perjanjian untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan. Atas usaha (Allahyarham) Tun Syed Nasir, masalah tersebut diatasi sehingga saya dapat bekerja di DBP. Pada 1965 saya diminta untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua di Bahagian Perkamusan. Saya tertarik untuk menerima cabaran tersebut memandangkan saya boleh menyumbang pada pembangunan bahasa. Projek tersebut dilaksanakan di bawah Dr Teuku Iskandar dan penasihat UNESCO, Dr Teuw. Dr Teuw sekali datang, akan duduk selama empat bulan. Kami berkongsi bilik di dalam pejabat. Bekerja dengan Teuw juga satu pengalaman yang menarik. Orang Eropah, Belanda dan Jerman memang luar biasa sewaktu kerja. Kerja dengan dia memang cabaran yang besar. Lagipun, proses mengumpul perkataan tidak sama macam sekarang. Sangat sukar. Perkataan yang dicari digunting dan ditampal di atas kad. Selepas itu disusun ikut abjad. Itulah kerja saya. Kami sama-sama menyusun dan berbincang sehingga malam. Sebab itu kata orang, kalau hendak seksa orang, jangan masukkan ke dalam penjara, tetapi masukkan ke dalam bahagian perkamusan, suruh buat kamus. Kerja di bahagian ini bermula dari siang sampai malam. Setelah balik kerja, kami datang kembali pada pukul 8 malam. Dr Teuku Iskandar, yang sudah terlatih dalam tradisi Belanda, seorang ketua yang sangat berdisiplin dan serius dalam melakukan pekerjaan. Seorang yang sangat teliti. Bahagian itu bahagian luar biasa.
DS: Mengapa luar biasa?
Baha: Disiplinnya sangat ketat. Kami semua hanya boleh minum selama 15 minit pada pukul sepuluh, dan untuk keluar minum, tidak boleh lebih dua orang.
DS: Dr Iskandar dipinjamkan dari Leiden?
Baha: Saya rasa tidak. Dr Iskandar adalah seorang ahli dalam sastera tradisional. Saya kira, beliau ialah kelompok yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan situasi politik di Indonesia, jadi beliau bekerja di Malaysia. Apabila projek itu siap pada tahun 1969, saya mohon ke Indonesia untuk membuat penyelidikan khas tentang kebudayaan dan kesusasteraan. Setelah balik, DBP waktu itu diketuai oleh Pegawai Tadbir Diplomat (PTD), saya ditukarkan ke Bahagian Bahasa. Saya menolak tawaran tersebut kerana beberapa sebab. Walau bagaimanapun saya dipaksa dan akibatnya saya menulis notis berhenti satu bulan. Beliau terkejut dengan tindakan saya. Beliau ialah seorang PTD, jadi, tidak terbiasa dengan budaya kerja di DBP. Akhirnya melalui Keris Mas dan Tongkat (Usman Awang), beliau memujuk saya supaya menarik keputusan tersebut. Saya bersetuju dan kami membuat beberapa tuntutan. Antaranya, royalti kepada penulis dibayar sekali gus. Selepas peristiwa itu, saya dihantar ke Bahagian Sastera, Cawangan Kajian.
DS: Jadi, di situlah bermulanya hubungan Dato’ dengan Keris Mas dan Tongkat Warrant?
Baha: Saya, Keris dan Tongkat agak rapat sebelum itu lagi. Tahun 1972 sewaktu saya mula bekerja di bahagian tersebut, saya bukan orang asing lagi. Kami masing-masing mengenal dari sudut idealisme. Di situ, saya mula rapat dengan pengarang lain, kebanyakannya bekas wartawan seperti Wijaya Mala, Samad Ahmad, dan Awam al-Sirkam. Orang seperti Keris dan Tongkat ialah individu yang sudah mendapat latihan di Singapura. Keris sangat aktif dalam Kesatuan Melayu Muda waktu di Singapura. Keris rapat dengan Pak Sako. Pak Sako seperti abang kepada Keris. Tongkat dan Said Zahari, pernah menjadi ketua mogok di Utusan Melayu. Orang seperti mereka sudah matang. Keris seorang yang luar biasa dan rendah diri. Beliau berpendidikan agama, tidak pernah menggurui orang dan menerima orang seadanya. Beliau kaya dengan gagasan dan sumbangannya sangat besar kepada dunia kesusasteraan kita. Sebab itulah, mulai tahun 70, banyak idea Keris dilaksanakan, misalnya Anugerah Karya Sastera. Anugerah Sastera Negara juga gagasan Keris. Keris ialah seorang pemikir yang sentiasa mempunyai gagasan. Hubungan Keris dengan Tongkat seperti abang dengan adik. Jadi, apabila Keris mahu menguji gagasannya, dia tidak akan mengujinya dengan Tongkat kerana dia tahu, Tongkat tidak akan bertengkar dengannya. Jadi, Keris ini orang yang rasional, dia menguji gagasannya melalui kritikan orang. Dia akan uji saya dengan melontarkan gagasannya. Dia tidak panggil saya ke biliknya, sebaliknya dia datang ke bilik saya. Secara umumnya gagasan dan ideanya saya setuju. Malah, banyak gagasannya tidak terfikirkan oleh saya. Walaupun bukan graduate dan tidak mendapat pendidikan tinggi, tetapi dia tidak berasa takut untuk berhadapan dengan orang muda, malah sangat pandai memanfaatkan golongan muda. Keris tidak pernah mengarahkan orang. Kadang-kadang dia ingatkan hal-hal yang sensitif, itupun melalui perbualan. Dia menghadapi kita sebagai orang dewasa. Tetapi, orang seperti Keris bukan seorang sahaja di DBP. Syed Nasir misalnya ialah Exco UMNO, tetapi beliau dikelilingi oleh cerdik pandai yang sentiasa bertentangan dengan kerajaan. Wan Hamid, Setiausaha DBP pernah ditahan kerana terlibat dengan komunisme. Waktu itu juga ada Kassim Ahmad dan Syed Hussein Alatas. Beliau pandai memanfaatkan orang yang tidak sehaluan. Sebab itu DBP menjadi terkenal dan disegani.
DS: Jadi, DBP tempat berkumpul golongan pemikir dan berkebolehan?
Baha: Satu, orang-orang seperti ini matang, berpengalaman dan faham masalah sebenar. Sebab, orang-orang ini bukannya bermentaliti pegawai. Mereka pemikir yang bekerja dan berpengalaman, sanggup menghadapi risiko apapun demi kebaikan bersama. Syed Nasir menjadikan DBP sebagai satu kapal untuk membawa misi kebudayaan beliau. Jadi, beliau gunakan orang ini untuk itu. Sistem politik dan pemerintahan waktu itu juga masih dalam proses mencuba-cuba, tidak seperti sekarang yang sudah ketat. Kemudian, keadaan itu disemarakkan oleh gerakan rakyat. Penghormatan masyarakat memang luar biasa terhadap DBP pada waktu itu.
DS: Apakah pengalaman manis Dato’ sewaktu di DBP, khususnya sewaktu bekerja dengan Usman Awang dan Keris Mas?
Baha: Yang menariknya, saya tidak pernah ingat idea saya ditolak oleh Keris. Banyak idea saya diperbaiki dan diperkuatkan. Umpamanya pada 1977, kami mengadakan Asean Writers Conference, saya menjadi pengerusinya. Kami jemput pemerhati dari Eropah dan India, satu acara yang sangat besar pada peringkat Asia. Program itu dirasmikan oleh (Tan Sri) Ghazali Shafie, itupun saya mendapat sokongan yang kuat daripada Keris. Idea saya banyak juga yang diterima, khususnya sepanjang proses kelahiran Dewan Sastera. Sebelum saya berangkat ke Indonesia lewat tahun 1970, kami sudah duduk bersama bincang hal ini. Sebab itu, saya tidak berhenti-henti menulis dari Indonesia. Cerpen saya yang pertama juga keluar di DS. Sebelum itu, kita ada penyair dan pelukis. Idea tongkat. Bersama-sama seiring secara tidak rasmi sebelum dirasmikan. Banyak idea yang kita bincang antara generasi Tongkat dan generasi kami yang dilaksanakan. Bagi saya itu pengalaman yang luar biasa. Tongkat dan Keris Mas tidak ada ego, hierarki itu tak ada, kerana kehidupan kesusasteraan itu tidak melihat hierarki tetapi kreativiti walaupun dalam satu institusi kesusasteraan yang formal. Jadi, itu perkara yang saya ingat sampai ke hari ini.
DS: Ketika meletusnya 13 Mei dan disusuli MAGERAN, Seniman dan sasterawan apakah yang mereka cita-citakan. Adakah mereka ada menginginkan pembaharuan?
Baha: Sebelum itu, DBP adalah tempat pejuang bahasa menentang dasar kerajaan tentang bahasa. Memang perhubungan antara intelektual, penulis, sangat rapat. Keranda 152, peristiwa Telok Gong, itu semua memperlihatkan aspirasi penulis, intelektual dan golongan seniman pada waktu itu. Tetapi Keris tidak menonjol. Yang menonjol ialah Usman. Pada tahun 1969, isu bahasa mengobarkan isu perkauman. Perasaan perkauman sangat tajam waktu itu. DBP sendiri ditubuhkan pun untuk mengangkat bahasa dan kebudayaan Melayu. Apabila berlaku 13 Mei, ada kesedaran dalam kalangan seniman pelbagai kaum. Kita menjadi lebih rapat dan rasional. Perasaan perkauman ini tidak lagi tajam. Kita kekal dan mahu asas kemelayuan dan mereka, golongan bukan Melayu juga lebih terbuka. “Konflik 69″ banyak mengajar kita. Selepas MAGERAN, struktur berubah, dengan sistem penyatuan ejaan bahasa Melayu, pendidikan nasional, bahasa kebangsaan dan lain-lain. Ini bukanlah tindakan yang mengekang kebebasan mereka.
DS: Mengapakah zaman tersebut pelbagai golongan menyumbang tulisan diDS, bukan sahaja sasterawan? Seperti ada satu iklim antara sasterawan dan seniman lain yang sihat dan saling menyumbang.
Baha: Selepas 13 Mei, wujud satu keinsafan. Orang seperti Keris dan Tongkat, sudah menerima kaum lain senasib dengan orang Melayu. DS ialah percikan-perciakan sikap penggerak sastera waktu itu. Piyadasa, misalnya ada menulis artikelnya dalam DS. Begitu juga dengan Tin Cai. Kalau mereka tulis dalam bahasa Inggeris, tulisan itu akan diterjemahkan, seperti Dr. Shan. Banyak pengarang dari luar negara datang. Terjemahan karya luar negara pun ada, ada dari negara China dan lain-lain. Jadi, DStidak hanya untuk sasterawan sahaja, tetapi kita membuka ruang kepada pelukis. Sulaiman Esa dan Piyadasa antara yang prolifik. Jauh berbeza dari sekarang. Mereka menulis macam-macam, tentang teater, tentang seni.
DS: Bagaimana pula pengalaman Dato’ sebagai editor?
Baha: Seorang editor mesti ada intergriti. Mesti berani menghadapi risiko dan bersedia mempertahankan keputusan. Seorang editor mesti mempunyai fikiran yang jelas. Sebagai contoh, seorang editor mesti jelas sebab dia mengedit sesuatu tulisan. Bagi saya, tulisan kreatif tidak boleh diedit, kecuali membetulkan ejaan. Jika perlu edit juga, mesti dibawa berbincang dengan pengarangnya. Jika tidak boleh, jangan terbitkan, jangan kerana hendak terbit sampai diedit. Kerja editor mesti bijaksana dan berani, mesti tahu sempadannya. Kadang-kadang kita sahaja yang menganggapnya ada sempadan, tetapi kadang-kadang itu hanyalah imaginasi. Jadi, kita jangan rasa terlalu kerdil. Mesti ada keberanian untuk menguji sempadan. Jika tidak akan jadi klise. Seorang editor mesti berani mencabar dirinya, bersaing dengan diri sendiri. Ini proses editorial, intelektual yang berterusan. Sebab itu, editor yang mahu selamat saja, akhirnya akan menghancurkan majalahnya.
DS: Selepas 1971, bagaimana sambutan bukan Melayu terhadap DS? Bagaimana mereka melihat sastera Melayu pada waktu itu?
Baha: Pertentangan tidak pernah ada dalam sastera. Keris Mas dan Tongkat bukanMalay-centric. Sebab itu, ramai bukan Melayu datang ke DBP. Kita bersahabat dengan mereka, Llyod Fernando, Dr Shan dan Piya. Hubungan saya dengan mereka kekal dan lama. Hubungan saya dengan Piya misalnya, sampai beliau meninggal dunia, sampai saat-saat terakhir beliau menghembuskan nafasnya. Waktu hidup, sering juga saya bertengkar dengan dia tentang idealisme, tetapi hal itu tidak menjejaskan keakraban kami. Kemudian, Salah Joned. Dia menulis dalam bahasa Inggeris. Saya yang tarik dia supaya menulis dalam bahasa Melayu. Bagi saya, dia seorang yang mempunyai pemikiran yang tajam. Ini contoh-contohnya. Kalau Saleh yang sinikal hormat pada DS, itu jadi satu penanda araslah.
DS: Apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperkenalkan, ada sekumpulan sasterawan di luar sastera kebangsaan, mereka seperti mempersoalkannya. Mengapa mereka tidak boleh diiktiraf sebagai sastera kebangsaan?
Baha: Sebab, apabila kita sebut kebangsaan, itu sudah menjadi politik. Saya merasakan mereka berasa itu hak mereka. Saya sendiri tidak bersetuju dengan istilah tersebut. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Secara automatik, sastera dalam bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kerana bahasa ialah kompenen penting dalam sastera. Tetapi bukannya untuk menekan, sebaliknya kita boleh menggalakkan mereka menulis dalam bahasa Inggeris. Asal jangan menentang. Sebab manusia kreatif ialah bakat yang terkecil dalam mana-mana negara. Macam saya, walaupun saya bersekolah Inggeris, tetapi saya tidak boleh menulis dalam bahasa Inggeris, kecuali mungkin esei. Jadi, jika mereka boleh menulis dalam bahasa Inggeris, itu ialah kekayaan negara.
DS: Sekarang wujud pula golongan penulis muda yang menulis di luar semangat sastera kebangsaan. Mereka kelihatan selesa dengan bentuk tulisan protes dan berpandangan mereka menulis sesuatu yang ditulis oleh penulis zaman dahulu. Apa pandangan Dato’ tentang perkembangan ini? Golongan ini tidak mengikuti sastera kebangsaan, tetapi mereka diangkat oleh golongan penulis yang menulis dalam bahasa Ingggeris.
Baha: Perkembangan seperti ini mesti disorot secara objektif. Setuju atau tidak itu hal yang lain. Memang akan timbul dalam generasi baharu, golongan penulis yang bukan lagi akrab dengan masyarakatnya. Mereka ini golongan deviant. Cuma, saya rasa orang seperti ini patut dihadapkan dengan dialog. Jika kita merasakan tidak sesuai dan tidak bersetuju, soalnya mengapa? Jadi, kita mesti bersedia berhujah dengan mereka. Jika kita tidak bersetuju dengan mereka pun, mereka tetap ada. Golongan muda yang pelbagai telatah, pasti ada, di luar mainstream. Sebab, satu, dia tercabut daripada akar yang dahulunya ketat. Dia sudah mendapat kebebasan. Mereka hidup dalam dunia tersendiri, kelompok tersendiri, bahasa mereka sendiri. Cuma, masalahnya bagaimana kita menanganinya, sebab mereka inipun akan berubah. Mereka ada semangat memberontak. Bila kita semakin berpengalaman, semakin luas pergaulan, kita akan mula menerima orang lain yang lebih dominan. Masalahnya, cuma kita tidak mahu berkomunikasi dengan mereka, dan bersedia berdialog.
DS: Apakah Dato’ rasa kita perlu gubal Dasar Sastera Kebangsaan?
Baha: Yang pertama, tidak pernah ada dasar. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pun tidak pernah diwartakan secara rasmi. Tetapi untuk memperjuangkan sastera dalam bahasa Melayu mesti diteruskan. Kita boleh berdebat secara terbuka dan matang hal ini. Tetapi jangan sampai projek sastera kita sehingga menafikan kreativiti dalam bahasa lain, kerana hal tersebut ialah persoalan bakat. Jadi, mereka (yang tidak menulis dalam bahasa Melayu) janganlah menuntut pengiktirafan. Mereka seharusnya berjiwa besar kerana mereka ada perjuangan yang mereka fikirkan besar. Sebab itu, kadang-kadang saya fikir kita kena pecahkan lingkungan kita. Kita mesti seret ke arah nilai. Itu yang membezakan kita daripada binatang. Manusia bertolak daripada nilai. Tetapi kita selalu terlupa. Binatang kalau lapar dia makan. Kita tak, kita fikir dahulu.
DS: Pada pandangan Dato’, apakah penulis perlu terlibat dalam politik atau membebaskan dirinya daripada politik?
Baha: Ada dua. Satu perjuangan politik dan satu lagi perjuangan kebudayaan. Saya kira seorang penulis boleh sahaja masuk parti politik dengan risiko idealisme penulisannya perlu ditanggalkan. Atau jika dia kekal dengan idealismenya, maka, dia akan ditinggalkan atau menjadi minoriti dalam parti.
DS: Seperti satu pegangan orang kita, bahawa kestabilan sesebuah negara terlalu diasaskan kepada kepentingan politik dan ekonomi tanpa mengambil berat isu bahasa. Jika dilihat, ekonomi dan politik ada turun naiknya. Jika kita menghadapi bencana politik dan ekonomi, tanpa ada kekuatan bahasa, bagaimana harus kita menghadapinya kerana bahasa sebagai pemersatu negara tidak lagi berfungsi?
Baha: Bahasa sebahagian daripada nilai. Kita berkomunikasi tentang nilai melalui bahasa. Jati diri kita pun dalam bahasa. Orang politik, ekonomi, pegawai tinggi, pembuat dasar dan keputusan, mereka tidak faham erti kebudayaan. Apabila sebut kebudayaan, mereka hanya nampak ukiran, tarian, warisan kuno yang tersisa, nyanyian, seramik dan kain songket. Ini aspek-aspek luaran yang menjadi manifestasi estetika. Bukannya nilai. Sedangkan dimensi yang paling penting ialah nilai dan pandangan alam. Ini orang kebanyakan tidak faham. Jadi, bila sebut kebudayaan, hanya hal luaran tadi disebut. Segala dasar ini, ekonomi dan politik, sentiasa berubah. Mereka mesti memperhitungkan aspek nilai, termasuk bahasa. Satu, bahasa ialah alat pemersatu, dua, bahasa ialah identiti, dan alat untuk menyampaikan nilai-nilai. Nilai-nilai itulah yang paling “fundamental”. Pembangunan material tanpa pembangunan moral, jika ketinggalan, akan memberikan kesan yang buruk. Kita boleh sahaja mempunyai gajet yang canggih, tetapi jika perkembangan moral tidak seimbang, maka akan menghancurkan kita. Jadi, apabila bahasa diperlekehkan, itu menunjukkan kemunduran nilai.
DS: Saya tertarik dengan pandangan Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh baru-baru ini, dalam wacana Hang Tuah yang menyatakan Sulalatus Salatinialah Shakespeare untuk Malaysia. Malah, beliau menyatakan eloklah jika setiap rak perpustakaan dan rumah mempunyai Sulalatus Salatin. Dan saya teringat dengan masyarakat di Ireland, mereka ini tidaklah mengenal sastera, tetapi mereka akan membeli novel James Joyce, Ulysseus, dan diletakkan di rak rumah mereka.
Baha: Ireland berbeza dengan negara kita, mereka Christian based, dan kebanyakan mereka katolik, mereka ini monoculture, seperti juga Thailand dan Jepun. Ireland ini pula dibentuk oleh semangat penentangan terhadap Inggeris. Jadi, mereka jelas dengan kebudayaan, bahasa dan tradisi mereka. Kita pula bukan monoculture. Orang Melayu sendiri dari segi komposisinya sekitar 60 peratus. Manakala, bangsa-bangsa lain, seperti kaum India dan Cina datang daripada tradisi yang besar. Jadi hal ini kembali kepada culture engineering. Jadi, apa yang dikatakan oleh Muhammad ialah satu usaha yang bagus. Cuma kita mesti ada komitmen, satu misi yang kita buat untuk memperkenalkan karya agung, sepertu Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Merong Mahawangsa. Karya-karya ini, dalam kalangan intelektual Melayu sendiri kadang-kadang tidak pernah mendengarnya. Jadi, pandangan Muhammad itu memang usaha yang baik. Jadi, ada usaha perlu difikirkan supaya penyebarannya luas dan boleh dimiliki oleh semua golongan. Bayangkan, Hang Tuah diterjemahkan setelah 50 tahun. Jadi, bayangkan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris begitu lambat, ini semua soal penyebaran. Yayasan Karyawan ada menerbitkan kanun kita, tetapi dalam edisi mewah. Jadi, perlu ada cara yang dilakukan untuk menyebarluaskan kanun kita dengan cara yang betul sehingga semua orang mampu memilikinya. Cuba buat kajian berapa orang yang banyak membaca karya-karya tadi? Tidak banyak, dan hal ini merugikan kita sebab kanun kita tinggi mutunya. Misalnya Hikayat Hang Tuah ialah tragedi dan epik Melayu yang hebat seperti Hamlet. Tetapi watak Hamlet ialah manusia ragu-ragu, yangto be or not to be, dia ragu-ragu dalam mengambil tindakan dan murung. Dia percaya bahawa dalam hidup ini memang ada kedurjanaan dan dia menerimanya. Tetapi tidak Hang Jebat dan Hang Tuah. Mereka ini manusia yang bertindak. Satu kualiti yang hebat dalam watak kesusasteraan kita. Jadi, cara kita menangani klasik kita harus betul. Kini timbul pula masalah pengajaran sastera. Masalahnya pendekatan, falsafah dan pedagogi ini tidak betul. Kita menyuruh pelajar kita belajar hal yang teknikal, seperti plot, persoalan dan lain-lain. Sepatutnya sastera diajar dengan lebih luwes dan terbuka, para pelajar diberi kebebasan untuk mentafsirkan kisah itu mengikut pengalaman budaya mereka. Sama ada mereka setuju atau tidak, itu persoalan yang lain. Jadi, satu kita ada akar sejarah yang kuat, tetapi kita tidak sebarkan. Kemudian, kita tidak tidak ajar kesusasteraan kita dengan cara yang betul. Kita tidak ajar falsafahnya, sebaliknya hal-hal yang sangat teknikal. Bayangkan jika Hang Tuah diajarkan, biar pelajar kita membincangkan “Siapa yang salah?” Dengan cara itu, kita dapat mengasah daya intelektual mereka. Dalam hal Hang Tuah, saya menghormati (Prof.) Khoo Khay Him. Beliau tidak menyatakan Hang Tuah tidak wujud, tetapi beliau menyatakan bahawa beliau tidak menemui bukti kewujudan Hang Tuah. Tindakan ini berasaskan kepada peraturan akademik, yang berfikir dan menganalisis berdasarkan bukti yang ada. Tetapi, dalam masa yang sama, Muhammad Haji Salleh juga betul. Bagaimana kita hendak menolak kewujudan Hang Tuah, kerana sudah pasti ketika zaman tradisi lisan, kita tidak akan menemui bukti seperti yang disyaratkan ilmu moden. Jadi, hal ini yang perlu dibawa dan dibincangkan di sekolah. Barulah kita dapat menyebarkan tradisi kita.
DS: Adakah Dato’ mahu menyatakan bahawa sastera di sekolah tidak menarik dan silibusnya perlu ditukar dan disesuaikan?
Baha: Bukan sahaja silibus, tetapi aspek pedagoginya patut diolah dan dinilai semula. Sebab itu, apabila GAPENA hendak jadikan subjek sastera sebagai compulsory di sekolah, bagi saya, itu terlalu jauh. Kita mesti menyediakan prasarananya. Kemudian, jangan bebankan sekolah ini dengan pelbagai hal. Orang pencinta alam hendakcompulsory, keselamatan jalanraya hendak compulsory. Apabila mengajar sastera, kita perlu fikirkan aspek pembangunan kognitif. Kita mesti meyakinkan para pelajar bahawa karya seperti Hang Tuah, yang dipelajari oleh mereka adalah karya yang baik. Karya-karya yang baik tentunya dapat membangunkan soft skill, supaya mereka dapat menulis dengan baik, berbahasa dengan baik, dan berucap dengan baik. Tetapi kini kita seperti bertolak daripada kekosongan apabila memilih bahan sastera di sekolah.
DS: Apakah pandangan Dato’ tentang isu penganugerahan?
Baha: Saya rasa, hal anugerah ini tidak perlu diperdebatkan. Kerana kita mengajar orang cara yang salah. Kita menulis bukan untuk mendapat anugerah. Hal ini menggambarkan sastera Melayu yang negatif. Kita banyak masalah dengan budaya kita. Kalau golongan profesional seperti akauntan jauh dengan bahasa Melayu, kita dalam dunia sastera pun tidak tahu apakah hak kita yang perlu diangkat. Seorang penulis yang baik mesti menulis kerana visi, bukan kerana hendak mendapatkan anugerah. Anugerah yang paling tinggi ialah dari Allah. Kita perlu ingat, bakat menulis ialah satu amanah dari Allah. Jadi, kita ada tanggungjawab yang besar. Oleh sebab itu, jangan sempitkan dengan hal-hal seperti penganugerahan.
DS: Ada karya Dato’ yang didasarkan pada kisah haiwan. Dan Dato’ satirakan dengan hal masyarakat.
Baha: Saya orang kampung, jadi memang saya kaitkan dengan binatang. Sebenarnya dalam Islam pun ada banyak kisah-kisah binatang. Binatang ini tidak pandai berbohong, tidak korup, mereka setia dengan naluri mereka. Unta tidak akan bersetubuh di hadapan khayalak ramai. Kuda ada banyak kehebatan mereka dalam sejarah. Burung kelicap, misalnya, boleh membawa lalang yang panjang untuk dibuat sarang. Bagaimana mereka jalin lalang-lalang panjang itu juga sesuatu yang boleh direnungkan.
DS: Antara intelektual dan seniman, penyair itu siapa?
Baha: Satu, penyair tidak pernah mengumumkan dirinya penyair. Begitu juga dengan seniman, tidak pernah mengakui dirinya sebagai seniman. Orang lain yang mengiktiraf dan memberikan jolokan. Tetapi dalam kegiatannya hal itu jelas. Seorang penyair sentiasa bertolak dengan perasaan dan gerak hatinya. Mereka tidak seratus peratus intelektual. Saya rasa peranan emosi dan fikiran itu kalau tidak sama kuat, perasaan lebih. Jika kita ada idea sekalipun, kita akan memberi perasaan terhadap idea itu. Tidak seperti saintis yang menidakkan perasaan.
DS: Jadi, apakah tunjang seorang penyair yang baik?
Baha: Satu, mesti original. Dia mesti membangunkan saripati atau intisari daripada sesuatu. Sebagai contoh, isu politik sekarang yang dikatakan penuh dengan fitnah. Apakah intisarinya? Intisarinya ialah kekuasaan. Saya rasa puisi patut menjadi rumah kepada intisari sesuatu pengalaman dan peristiwa. Tetapi bukan sekadar pengalaman semata, tetapi dengan maksud faham. Pemahaman tentang pengalaman itu yang penting. Seperti membaca Hikayat Hang Tuah, kita terhibur dengan cerita tersebut. Bagi saya, puisi yang baik ialah yang mempunyai intisari, seperti Amir Hamzah, Chairil Anwar. Hal ini tidak boleh dibuat-buat, tanpa penghayatan. Saya sentiasa cuba sehabis baik untuk memindahkan, dalam ruangan Monolog Kecil, untuk memindahkan intisari perasaan dan kefahaman saya tentang sesuatu isu. Justeru di situlah cabarannya. Lebih-lebih lagi, apabila saya menulis, saya mahu orang faham. Saya mahu berkomunikasi dengan orang lain melalui tulisan saya. Saya tidak mahu menulis sesuatu yang tidak difahami. Malah kalau boleh saya mahu menulis secara ekonomi, tetapi memberikan kesan. Itu suatu yang sangat susah bagi saya.
(sumber: Dewan Sastera,DBP)

(Nota: Walaupun ada pro dan kontra, DRH mengucapkan tahniah dan syabas kepada 'Dato' Baha' kerana dianugerahi Sasterawan Negara ke-12 baru-baru ini (2013). Apa jua pendapat, setiap individu ada asasnya untuk memberi pendapat sama ada menyokong atau sebaliknya.Selagi hasil atau karya penulisan itu ada misi dan visi untuk kesejahteraan hidup sejagat maka selagi itulah perjuangan akan diteruskan dengan wadah penulisan yang ada hala tuju; bukan semborono. Biarkanlah mereka yang menulis dengan dunia syok sendirinya! -DRH)