GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN
|
DEFINISI
1. GURU: Guru
merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong,
membimbing dan membentuk kemenjadian murid.
2. PEMACU:
Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam
memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran.
3. TRANSFORMASI:
Membawa maksud melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan,
pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.
4. PENDIDIKAN:
Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk
membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.
HURAIAN
1. Tema Hari Guru ini
dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan
negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025, guru ialah agen penting dalam merealisasi transformasi melalui
peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020),
guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi
negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan
menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.
2. Guru perlu menanamkan
keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika
dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM
2013-2025. Guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang
bakal menerajui negara ke arah negara maju yang sejahtera, berinovasi dan
berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.
3. Dalam
konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat
melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal
internasional. Justeru , guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah,
melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan,
futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world
class thinking.
(sumber diolah daripada: Unit Komunikasi Korporat, KPM)
Selamat Hari Guru 2018
diucapkan kepada semua warga guru Kementerian Pendidikan Malaysia, para pesara
guru/mantan pegawai perkhidmatan pendidikan, semua yang berstatus guru,para
pelajar dan bekas pelajar seluruh tanah air; jadikan alam yang terkembang ini sebagai
guru. (DRH)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan