HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

7 April 2014

DR. SITI HASMAH ALI : TIPS SIHAT CERIA

DIET  saya amat ringkas. Saya makan sedikit. Kalau makan di luar seperti di hotel, saya akan minta pinggan kecil kerana saya tidak mahu makan banyak. Kuih yang paling saya suka ialah popia dan jika dapat satu pun saya akan potong dua dan bagi satu pada suami.

“Dua pesanan ibu mertua yang saya ingat sehingga ke hari ini ialah apabila sedang seronok makan, berhenti dan jangan makan lagi. Kedua ialah apabila kita sedang disukai dan berada di puncak, undurkan diri.’’
Tip sihat dan pesanan ringkas tetapi punya maksud mendalam itu dikongsi oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis pelancaran siri pertama Forum TChat anjuran Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCD Alliance Malaysia) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada usia 88 tahun dan penglihatan yang kurang jelas, beliau masih mampu menggagahkan diri menghadiri forum tersebut bagi berkongsi pengalaman pahit manisnya.

Isteri Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, itu turut berkongsi pengalaman hidupnya sejak muda sebagai isteri, ibu dan bekas wanita pertama.

Ibu kepada tujuh orang anak ini bersyukur kerana diberikan kekuatan fizikal dan mental sehingga ke hari ini.
Baginya, setiap hari merupakan bonus kepada beliau kerana dapat melalui hari-hari yang menggembirakan di samping suami tersayang, anak-anak dan cucu.

Mengenang kembali zaman remaja, kata Dr. Siti Hasmah, semasa zaman Jepun, beliau baru berusia 16 tahun.
Semua mengetahui waktu itu beras dicatu dan beliau sekeluarga hanya makan nasi yang dimasak bersama ubi kayu.
Keluarga beliau turut mempunyai kebun yang ditanam ubi, timun, cili dan sayur-sayuran.
“Selepas British mengambil alih, kehidupan lebih baik sedikit tetapi keluarga saya masih mengamalkan makan sedikit.
“Coklat pertama yang saya dapat adalah yang diberi oleh seorang askar British.
“Makanan seharian adalah nasi dan ikan. Jarang sekali dapat makan ayam dan daging, tetapi kami banyak makan sayur. Sekali-kali apabila pergi kenduri, dapatlah kami makan daging dan ayam itu pun tidak banyak.
“Selepas tamat perang, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Singapura. Berbekalkan elaun RM15 sebulan, saya hanya makan roti yang disapu Marmite untuk sarapan, makan tengah hari dan malam,’’ cerita beliau.
Selepas tamat pengajian dan bekerja, tambah Dr. Siti Hasmah, badannya mula berisi dan pernah ditegur oleh abang.

Namun ujar beliau, bagus juga kalau ada yang menegur kerana kita akan mula menjaga berat badan.
Tun Mahathir sendiri selalu menegur kalau beliau bertambah berat badan dan jika beliau kurus, Tun akan memuji beliau nampak lebih cantik.

Bagaimanapun, kata beliau, waktu yang paling sukar ialah apabila mengikut suaminya berkempen.
Ini kerana, apabila berkunjung dari rumah ke rumah, beliau akan dihidangkan dengan teh susu atau milo dan terpaksa ditolak dengan lembut kerana beliau memang tidak minum susu pekat yang mengandungi terlalu banyak gula.

Dalam kesibukan, Dr. Siti Hasmah tetap meluangkan masa untuk bersenam dan senaman pertama yang dilakukan adalah bersenam bersama Jane Fonda yang diikuti melalui video.

Beliau juga melakukan yoga yang dilakukan bersama-sama anak dan pernah mengikuti kelas tai-chi.
Dalam pada itu forum TChat anjuran Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia, bertujuan mendidik dan mendedahkan rakyat terhadap kesedaran mengubah cara hidup bagi mencegah penyakit tidak berjangkit.
Forum tersebut merupakan siri pertama bagi 10 Forum Tchat yang dirancang sepanjang tahun ini.
Forum tersebut dilihat sebagai pentas di mana pakar dan orang ramai berkongsi pandangan, idea serta pengalaman terhadap amalan gaya hidup sihat.

Forum juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta melobi para penggubal polisi. Sesi TChat akan dirumus inti patinya dengan pesanan penting dan cara yang mudah untuk diamalkan bagi kehidupan yang lebih sihat.

Tiga orang pakar dalam bidang masing-masing telah berkongsi pandangan mereka dalam forum tersebut.
Selain Dr. Siti Hasmah sendiri sebagai tetamu jemputan, turut berkongsi maklumat Ketua Pakar Pemakanan, Institut Jantung Negara, Mary Easaw dan Pensyarah Kanan dan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Mohd Nahar Azmi Mohamed, serta Presiden NCD Alliance Malaysia, Ranjit Kaur sebagai pengerusi majlis.
Sementara itu, penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD) merupakan penyebab utama kematian, iaitu 60 peratus (35 juta) daripada keseluruhan kematian peringkat global.

Berdasarkan Profil Negara bagi NCD 2011 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit tidak berjangkit bertanggungjawab ke atas 67 peratus kematian di kalangan penduduk Malaysia.
Statistik ini sudah pasti mengejutkan memandangkan 86 peratus kematian akibat penyakit tidak berjangkit ini boleh dicegah.

Penyakit ini pada amnya adalah berkisar daripada empat faktor risiko yang boleh diubah, iaitu penggunaan tembakau (merokok), kurang aktif fizikal, pemakanan yang tidak sihat dan berlebihan mengambil minuman keras.

Selain itu, perlu juga disedari bahawa 4.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghadapi masalah berat badan berlebihan (obesiti), yang sudah tentunya meningkatkan risiko penyakit.(sumber: Meran Abu Bakar, UM,25/03/14)