HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

25 Ogos 2016

UPM: BERTEMU DR KAMARUDDIN HAJI KACHAR




APABILA menyebut bumi hijau, rata-ratanya kita berfikir tentulah kawasan pertanian yang subur.Namun dalam konteks ini saya mengibaratkan bumi hijau yang juga dikenali ‘kampus hijau’ ialah nama jolokan bagi Universiti Pertanian Malaysia (UPM, kini dikenali Universiti Putra Malaysia) yang terletak di kawasan dataran  menghijau di Serdang, Selangor Darul Ehsan. Dikatakan orang bahawa UPM ialah sebuah universiti yang terluas di dunia.


Di UPM ketika zaman saya bergelar mahasiswa sememangnya cukup kental atau begitu sinonim dengan ilmu dan pengajian yang berkaitan bidang pertanian.Di samping ada kursus Sains Pertanian, UPM juga menyediakan kursus-kursus yang ada pertalian di bidang pertanian seperti Kejuteraan Pertanian, Perniagaan Tani, Pengurusan Pertanian, Sains Tanah, Sains Alam Sekitar dan lain-lain lagi. Dan demi menghadapi persaingan global dalam pendidikan tinggi  mulai awal 1980-an, UPM mula menerima pemodenan dalam perubahan struktur kurikulumnya.


Dan atas sebab inilah maka di antara fakulti yang sedia menerima perubahan dan menawarkan peluang-peluang baharu dalam ijazah pendidikan ialah  Fakulti Perkhidmatan Pendidikan yang dikendalikan oleh Profesor Dr Atan Long (Allahyarham).  Fakulti ini telah dirombak dengan menawarkan kursus-kursus baharu di peringkat ijazah dengan memperkenalkan program Bachelor of Education (Hons) atau Sarjana Muda Pendidikan (Kep.)  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia . Kemudian fakulti ini ditukar nama kepada Fakulti Pengajian Pendidikan yang mana dekan pertamanya ialah Prof Madya Dr Kamaruddin bin Haji Kachar (kemudiannya, Prof  Datuk Dr Kamaruddin Kachar, Timbalan Naib Canselor  HEP).


Justeru atas anjakan paradigma itu maka jabatan-jabatan yang sedia  ada dalam fakulti seperti Jabatan Bahasa, Jabatan Bimbingan Kaunseling, Jabatan Sains Pertanian dan sebagainya merangka dan menawarkan program ijazah pertama; apa yang dinamakan sebagai ‘Bacelor Pendidikan’. Maka bermula pada awal 1980-an baharulah dimulakan program Bacelor Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama/ BP (PBMP), Bacelor Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa lnggeris Sebagai Bahasa Kedua/ BP (TESL) Bacelor Pendidikan dengan Bimbingan dan Kaunseling/BP (B&K) dan seterusnya yang lain-lain. Semua program ijazah pertama ini bertaraf setara dengan sarjana muda dengan kepujian.


Begitulah lintasan ringkas kewujudan Fakulti Pengajian Pendidikan yang mana sebelum ini hanyalah melatih dan menawarkan kursus-kursus diploma sains dalam pendidikan untuk menyediakan guru-guru terlatih di pasaran luar kerjaya keguruan. Dengan kerjasama dengan KPM maka guru-guru yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang berkaitan serta beroleh dalam pencapaian akademik maka ditawarkan kursus Bacelor Pendidikan. 0leh kerana dasar KPM mahukan kian ramai guru berijazah pada masa hadapan maka keterbukaan UPM sangat membantu. KPM menawarkan kepada guru-guru terlatih yang belum berijazah menyambung pengajian dengan tawaran cuti belajar sepenuh masa separuh gaji. KPM juga  menawarkan kepada pelajar-pelajar baharu dengan biasiswa perguruan KPM.


Saya yang mula menjadi guru terlatih pada 1978 tetapi tidak pernah memadamkan hasrat membara  mahu mencapai menara gading yang sudah sekian lama terbenam di tangkai sukma. Semasa saya menjadi pelajar sekolah peringkat STP/HSC 1974, subjek peringkat prinsipal amat terbatas. Saya merasakan seolah-olah pelajar-pelajar zaman saya tidak digalakkan mudah memperoleh semaksimum prinsipal bagi membolehkan kami mudah berjaya masuk universiti.


Apatah lagi, UM dan UKM, ITM (UiTM), Institut Teknologi Kebangsaan (ITK , kini UTM)  tidak banyak memberi peluang kepada kami. Senario ini juah berbeza pada zaman sekarang yang menawarkan konsep sijil terbuka dan peluang yang jauh lebih luas dan banyak. Yang tidak enak bagi pelajar sekarang ialah kurangnya daya tahan, dan tidak ada dorongan kendiri.


Saya tidak ingat mulai tahun bilakah subjek Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu dipecahkan menjadi dua prinsipal. Begitu juga subjek Sejarah dan Kertas Am (Pengajian Am) yang dipecahkan menjadi subjek prinsipal. Apa yang saya ingat, saya bersama-sama guru-guru muda di SMBG dan sekolah-sekolah persekitaran sibuk mengambil peperiksaan STP yang kemudiannya STPM saban tahun tanpa putus asa.


Ada yang bertujuan mahu meningkatkan gred gaji (C2 kepada C1), ada yang mahu melanjutkan pelajaran ke universiti, ada yang mahu mengisi masa lapang dan ada juga yang tidak tahu apakah tujuannya. Pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an mana-mana guru bukan siswazah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti akan dihormati dan dipandang tinggi. Kejayaannya akan menjadi dorongan guru lain dan menjadi bualan semasa masyarakat setempat.


Semasa saya mengajar di SMBG, pada tahun 1981 saya menerima berita Cikgu Azizul Rahman bin Abdul Rahman  dari Sekolah Menengah Tun Seri Lanang, Felda Bukit Serampang,Muar (SMTSL) berjaya ke UKM sambung belajar di bidang linguistik. Azizul ketika itu telah mula menempa nama di bidang penulisan. Rencana sensasinya sering disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia saban minggu.Jauh di hati saya kejayaan Azizul merupakan suatu cabaran yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Pada tahun 1981 saya mengambil STPM lagi tetapi masih mampu memperoleh tiga prinsipal sahaja. Guru-guru yang rajin  mencuba STPM saban tahun ialah Cikgu Abu Bakar Sobor(Allahyarham)  dan Cikgu Ali Sugiman (Allahyarham). Saya tabik kepada mereka kerana sentiasa cekal dan terus berusaha. Sayangnya cuma nasib dan rezeki belum menyebelahi mereka sehingga ke akhir hayat.


Sebenarnya saya tidak mahu membuang masa dengan sia-sia. Kerana saya nampak prospeks masa hadapan. Maka saya pun turut mendaftar belajar secara luar kampus mulai tahun 1979 (semasa itu istilah belajar program jarak jauh belum wujud) dengan Universitas Nasional lndonesia (UNAS), Jakarta, lndonesia dalam jurusan Bahasa dan Sastera lndonesia. Program ini adalah usaha sama antara pihak UNAS dengan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Saya bersama Cikgu Ali Salleh akan menghadiri kuliah pada musim cuti semester di Kuala Lumpur.Kuliah dijalankan di sebuah sekolah menengah berhampiran Kampung Baharu.


Di sinilah semangat saya terus dipupuk kerana kuliah ini turut disertai oleh ramai guru Melayu (termasuk yang bukan Melayu) dari seluruh Malaysia. Ada sesetengahnya sudah berjaya ke tahap sarjana lengkap dan doktorandus. Pensyarah (dosen) yang mengajar,membimbing dan memberi kuliah kepada saya bukan calang-calang individu. Antaranya Bapak Ghazali Dunia, HB Jassin, Drs Sidi Ghazalba, A.S.Broto, Pak Badudu dan beberapa nama lagi.Saya bertahan mengikuti kuliah ini hanyalah setakat tingkat Sarjana Muda.


Saya sama sekali tidak tahu langsung UPM ada menawarkan kursus-kursus bukan Sains. Yang saya tahu, saya cuma mengambil subjek Sains Pertanian di peringkat LCE/SRP dan lulus. Guru Sains Pertanian saya ialah Cikgu Sulaiman Mohamad. Dan sedikit sebanyak saya tahu dan telah berjaya secara amali menanam pokok pisang, ubi keladi dan tembikai di samping menanam sayur-sayuran seperti kacang, bendeh dan terung.


Ketika Allahyarham Tun Razak Perdana Menteri Malaysia ketika itu melancarkan kempen Bumi Hijau maka saya secara proaktif telah menebas dan lalu   membersih semak-samun mencangkul tanah sekeliling rumah datuk saya untuk bercucuk tanam. Walaupun percubaan ketika usia 14 tahun berhasil tetapi saya tidak lepas dimarahi datuk dan nenek saya.


Selain Azizul, pada tahun 1981 itu meletus berita  gempar di SMBG bahawa Cikgu Sheikh lsmail bin Sheikh Sailan seorang guru yang paling aktif di SMBG telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang pengajaran Pendidikan Jasmani. Bersama-sama beliau ialah Cikgu Rama bin Abdullah (seorang guru lndia hindu yang kemudiannya memeluk agama lslam) dari SMTSL ,Muar. Kejayaan rakan sejawat ini memberi impak semangat yang kuat untuk saya ke menara gading.


Cikgu Sheikh lsmail yang aktif dalam pasukan pengakap dan sukan, telah menyebabkan sebilangan besar kami merasakan kehilangannya di SMBG. Dalam diam-diam saya berazam akan mengambil STPM sekali lagi. Biarlah cabaran ini saya hadapi walaupun saya terpaksa membaca buku bertenggek di dahan pokok rambutan bersebelahan rumah ibu saya atau terpaksa mengulangkaji berseorangan di rumah gadang pusaka arwah datuk nenek saya yang tidak jauh dari rumah ibu ataupun terpaksa membawa nota dan duduk di pinggiran batu tebing di sepanjang muara Sungai Muar menjelang hari-hari peperiksaan STPM berlangsung.



Pada tahun 1982 saya tidak mahu ketinggalan, saya memohon melalui  Unit Pusat Universiti (UPU) KPM untuk memohon belajar di jurusan penulisan kreatif dan deskriftif  UM.Pada masa itu program ini popular di Fakulti Sastera dan  Sains Sosial. Apatah lagi penyelarasnya Prof Madya Dr Hashim Awang adalah pembimbing bengkel saya di Bengkel Penulisan Kreatif Wilayah Selatan anjuran DBP/PPJ/Gapena di Muar dari bulan Mei hingga Disember 1981. Kerana saya yakin proses pemilihan UPU maka saya tidaklah berusaha untuk berjumpa Dr Hashim Awang. Pilihan kedua saya ialah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.


Ketika itu Cikgu Shahnon Ahmad (Prof Datuk Dr Shahnon Ahmad) menjadi ‘orang penting’ di fakultinya. Saya cuma berupaya mengirimkan kad  ‘A.R.Register’ yang kemudiannya dibalas dengan tanda tangannya diterima permohonan tetapi gagal. lnilah takdir Allah, yang memberikan saya jodoh terlebih dahulu yang mana saya telah selamat bernikah atau  diijabkabulkan pada 8 April 1982. 


Dan permohonan saya ke UM tidak saya buat tindakan susulan segera kerana fokus buat masa itu telah beralih kepada alam rumah tangga yang baharu dibina. Namun saya tidak putus asa. Kerana tiada sebarang jawapan daripada UPU saya mengambil keputusan mahu ke Kuala Lumpur bersua muka dengan Dr Hashim Awang. Dan hati saya kian bergelora apabila mendapat berita Cikgu Alias Abdul Rahman rakan baik saya yang mengajar di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, Sungai Mati (STMI) berjaya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke kampus hijau UPM dalam program Bacelor Pendidikan (PBMP).

Dan baharulah saya tahu bahawa UPM ada menawarkan program kebahasaan. Selama ini saya memandang UPM hanya ‘sebelah mata’ kerana menyangkakan sudah tentulah saya tidak layak ke UPM kerana menyangkakan UPM menawarkan kursus-kursus berkaitan sains, kejuruteraan dan pertanian sahaja.Dan akhirnya saya kecewa kerana Dr Hashim Awang menjelaskan bahawa mesyuarat muktamad pemilihan akhir di fakulti telah berlangsung dua minggu lalu. Katanya saya terlewat menemuinya. Terasa hampa di jiwa saya tetapi cepat-cepat saya membujuk hati, segala-galanya ada hikmahnya.


Pada tahun 1983, saya tetap mengajukan permohonan ke universiti melalui UPU. Tetapi kali ini salinannya saya ajukan juga ke pejabat pendaftar UPM. Kali ini UPM adalah pilihan pertama.Selepas bulan April saya mendapat tahu ada beberapa rakan telah dipanggil temu duga.Saya risau apabila surat panggilan temu duga belum diterima. Pada akhir April 1983 biras saya Cikgu Mohamad Othman yang mengajar di Batu Pahat telah juga dipanggil temu duga.


Dari sehari ke sehari saya kian risau. lsteri pula telah berbadan dua.Pada awal bulan Mei, saya pun ke UPM menaiki bas ekspres dan turun di tepi pintu masuk UPM bersebelahan lebuh raya PLUS yang baharu dibuka. Ketika itu pintu jalan masuk UPM dibarisi pokok-pokok betik yang subur. Pokok-pokok rambutan, limau dan durian yang rendang dan berjejeran menghijau membuktikan  bahawa bumi hijau di sini tetap mempesonakan.


Di pejabat pendaftar UPM, nasib saya baik kerana dapat bertemu penolong pendaftar yang berbudi bahasa iaitu Encik Sulaiman Md. Atan (bapa Suhaimi Sulaiman, bekas pengacara TV3). Saya pun memberitahu tentang permohonan saya dan mahu mengetahui status permohonan saya. Saya beritahu satu salinan permohonan ada saya ajukan ke pejabat pendaftar .0leh kerana borang permohonan terlalu banyak maka beliau tidak berksempatan mahu menyemak satu persatu. Mujur saya siap sedia satu lagi salinan dan menyerahkan dengan serahan tangan kepadanya. Beliau  juga menyelak fail-fail dokumen  asal saya dan melihat sijil keputusan peperiksaan, sijil-sijil kursus dan surat-surat dan dokumen  sokongan  serta sijil tahap sarjana muda UNAS.


Tiba-tiba wajahnya yang pada mulanya tampak serius bertukar riang. “Saya juga dahulu guru. Dari Jasin, Melaka. Saya juga pernah belajar UNAS dan memperoleh sarjana UNAS. Bagus! Awak ada semangat belajar!”. Dia pun menerima segala dokumen permohonan saya dan berjanji akan cuba membawa ke mesyuarat yang bersidang dalam minggu itu. Dalam hati kecil berbisik, mujur saya tidak terlepas. Alahamdulillah, tuah anak.


Tidak beberapa hari kemudian, pertengahan Mei 1983 saya menerima surat panggilan temu duga peringkat kedua. Saya difahamkan peringkat ketiga adalah panggilan akhir temu duga. Tiba tarikhnya saya bergegas ke Serdang menaiki bas ekspres (kerana belum ada kemampuan membeli kereta) dengan mengusung beg besar yang memuatkan segala buku dan artikel nukilan saya.Walaupun saya terpaksa mengusung beg berat  melebihi 5 kg dari pintu masuk UPM tepi lebuh raya ke pejabat pentadbiran dengan berjalan kaki hampir 2 km namun waktu itu segala-galanya diterima dan ditempuhi dengan reda.


Saya sampai di Pejabat Pentadbiran UPM sekitar jam 1.00 tengah hari. Kemudian saya diminta ke bilik temu duga Fakulti Pengajian Pendidikan di seberang jalan berhadapan padang fakulti.Temu duga akan berlangsung jam 2.00 petang. Saya tidak pasti sama ada tiga atau empat ahli panel yang menemuduga saya.Yang banyak memandang, merenung tajam dan berwajah bengis serius ialah seorang lelaki berkeriting halus ikal rambutnya.


Daripada loghat tuturnya beliau berbicara dalam dialek Negeri Sembilan. Ada ketikanya lelaki itu menyergah saya. Namun saya jawab dengan tenang tanpa gementar. Dari soal latar diri,akademik,kegiatan kemasyarakatan, bakat dan kebolehan, beliau juga bertanya hal personal berkaitan kekeluargaan. Suasana temu duga berlangsung dalam situasi santai,mesra tetapi bertanggungjawab.


Lelaki yang banyak menyoal saya itu ialah Dr Kamaruddin Haji Kachar, dekan fakulti tersebut.Beliau memuji saya kerana belajar luar kampus UNAS dan banyak berkarya di dada-dada akhbar tempatan. Pada masa itu buku saya antologi cerpen bersama ‘Selatan’ terbitan DBP baharu berada di pasaran yang mampu saya tunjukkan. Beliau berbangga kerana dapat melihat sendiri soalan asal kertas Bahasa Malaysia SPM 1981 yang memuatkan cerpen saya ‘Cikgu Azli’ yang pernah  tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada 22 Jun 1980 lalu.


Kehidupan di kampus hijau saya lalui hari demi hari dengan sabar, tabah dan berjiwa besar. Pengetua baharu SMBG, Hussein lsmail telah melakukan kesilapan besar apabila belum diarahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) atau belum menerima arahan Bahagian Biasiswa dan Latihan KPM tetapi pengetua Hussein lsmail telah mengarahkan kerani kewangan sekolah merubah penyata kewangan (Kew.8) memberhentikan gaji saya serta merta kerana kononnya saya ditawarkan oleh Bahagian Biasiswa dan Latihan KPM  dengan kelulusan cuti belajar separuh gaji selama tempoh empat tahun pengajian.  


Pada mulanya saya menyalahkan dan  ‘marahkan’ pihak KPM dan JPN kerana begitu cepat bertindak memotong  atau menahan gaji bulanan saya. lsu ini tidak pun berlaku kepada rakan-rakan saya yang lain. Apabila saya mendapat penjelasan mengenai punca dan sebab; sehingga hari ini saya tidak dapat melupakan kejadian malang yang menimpa saya.  Natijahnya, saya terpaksa menanggung ‘azab sengsara’ hampir satu tahun setengah  saya kehilangan punca pendapatan, tidak berwang!


Hidup tidak berwang umpama anak dagang yang hidup merempat sana sini memohon belas ikhsan daripada orang lain. Lebih kurang empat bulan saya berada di kampus; anak sulung saya Muhammad Hatta dilahirkan pada 3 September 1983.


Satu tahun kemudian lahir seorang puteri,  Halimatuns Saqdiyah pada 25 November 1984. Perbelanjaan susu anak-anak kian bertambah, pakaian, kediaman dan segalanya saya mengharapkan bantuan daripada ibu bapa saya dan saudara mara yang simpati dan mengerti. Semasa cuti panjang semester, saya bersama Yusuf Mustafa dari Muar  (pelajar B.Ed.TESL) yang mempunyai kereta sendiri pergi berjualan buku secara langsung di sekolah-sekolah daerah Muar dan Batu Pahat. Sudah menjadi resmi saya, ‘biarlah derita, kutanggung sendiri’ . Justeru saya tidak suka dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya dan saudara mara. Sejak zaman kanak-kanak dan hingga remaja saya ke maktab, ibu saya tidak pernah tahu yang saya pernah cuma makan roti dan air suam sahaja semasa berbuka puasa.


Oleh yang demikian saya bersyukur kerana memperoleh hasil daripada penjualan buku yang agak lumayan juga. Setelah ditolak modal dan kos, kami berdua memperoleh keuntungan RM12 ribu dibahagi dua.


Dan bagi menampung yuran pengajian , makan minum dan bayaran asrama saya sebagai pelajar, saya memohon pinjaman pelajaran MARA. Saya juga memohon pinjaman Yayasan Johor. Dengan permohonan ini pihak universiti tidak menggesa saya melunasinya. Pihak universiti akan memotong segala hutang-piutang kelak melalui pemotongan yang akan dibuat terus di Pejabat Bendahari. Mujur mekanisme ini mengurangkan beban yang saya tanggung. Saya terus menulis di akhbar-akahbar untuk mencari wang saku.


Walaupun wajah saya diselubungi seribu satu macam permasalahan, saya tetap juga melibatkan diri dalam kehidupan kampus. Menghadiri forum-forum ekonomi dan debat siswa adalah menjadi kegemaran saya. Namun setiap hujung minggu saya akan pulang menemui anak isteri di kampung. Bukan menjadi suatu rahsia, kehidupan mahasiswa berkeluarga penuh badai dan pancaroba. Ada rumah tangga yang karam dan musnah akibat godaan duniawi,  sengketa keluarga dan korban fitnah.


Pada sambutan ‘Malam Tradisi Sastera Rakyat’ di Panggung Percubaan UPM pada awal tahun 1984, saya telah diundang membaca puisi bersama-sama penyair jemputan seperti Zurinah Hassan dan T.Alias Taib. T.Alias Taib yang telah saya kenal sebelum ini menjadi bertambah akrab hubungannya sebagai rakan penyair dengan saya. Pada malam itu teman-teman sekampus seperti Aripin Said, Lahsani, Zainal Abidin lsmail dan Wahab Darus turut membuat persembahan.


Tidak lupa persembahan pensyarah Syed Halim Syed Noh (kini di UM). Prof Madya Dr Kamaruddin Kachar yang temu duga saya dahulu, pada malam itu berucap selaku Timbalan Naib Canselor (HEP, ketika itu). Dalam  ucapan kata-kata aluannya memuji , gembira serta mengucapkan syabas kepada  pihak yang telah menjayakan malam tersebut.


Pengajian saya  sarat dan padat  dengan kuliah yang setiap kursus memakan masa antara dua hingga tiga jam kredit. Sebanyak dua atau tiga kertas kerja  bagi setiap setiap mata kuliah. Kepanjangan kertas kerja antara 25-50 halaman. 0leh kerana kami adalah pelajar perintis maka kami dapat rasakan bahawa kami seperti bahan uji kaji. Walaupun kami semua telah ada sijil perguruan/pendikan ikhtisas yang setaraf diploma namun kami juga diwajibkan menjalani dua kali praktikum iatu yang berkaitan dengan pengajaran Bahasa Melayu dan pengajaran Kesusasteraan Melayu.


Sehubungan itu saya telah menjalani praktikum pusingan pertama di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar (STMI) Sungai Mati, Muar dan pusingan kedua di Sekolah Menengah Seri Serdang, Selangor Darul Ehsan. (SMSS). Saya bersyukur kerana Prof Dr Atan Long (Allahyarham) yang menjadi salah seorang penyelia saya banyak membimbing saya dari aspek pedagogi, psikologi dan metodologi.


Berita yang menggembirakan saya ialah apabila pengajian saya dipendekkan kepada tiga tahun setengah.Saya mendapat pengecualian jam kredit bagi kursus Bimbingan dan Kaunseling dan Gerak Kerja Kokurikulum (Gerko) yang pernah saya pelajari dahulu. Apabila tamat hari peperiksaan yang terakhir pada bulan September 1986, saya merasakan diri saya umpama burung yang terlepas bebas dari sangkar yang menyeksakan. Dan saya terus mengusahakan penerbitan antologi cerpen ‘Bumi Hijau’ yang akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun l990 oleh  Marwilis Punlisher & Distributor Sdn.Bhd.


Antologi cerpen yang memuatkan 17 cerpen pilihan karya bekas mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan UPM ini (telah dijadikan teks kajian mahasiswa generasi kemudian)  banyak memaparkan memori suka duka yang sentiasa bergelut dengan cabaran semasa menuntut ilmu di bumi hijau ini. Bak kata Prof Madya Taha Kadir dalam prakata antologi ini bahawa kejayaan ‘Bumi Hijau’ adalah merupakan rentetan kejayaan kegiatan sastera dan budaya di kampus.Pihak UPM yang sentiasa memberi galakan dan dorongan  turut membantu menambahkan lagi khazanah kesusasteraan bangsa. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi Al-Latis)


21 Ogos 2016

MAHU BERTANDING PILIHAN RAYA


SAYA  anak jati kelahiran Serom,Muar,Johor. Bersandarkan susur-galur sebelah bapa saya keturunan daripada Penghulu Latis, penghulu terkenal di Mukim Temiang dalam daerah Muar yang luas itu maka saya adalah salah seorang cicit-piutnya. Penghulu Latis adalah salah seorang penghulu terkenal yang bersama Temenggung lsmail telah menandatangani peristiharan bersama menyokong kepemimpinan Maharaja Abu Bakar Johor pada tahun 1877.  Tambahan pula saudara sebelah bapa saya, Abdul Samad Arifin pernah menjadi ADUN Jorak. Manakala Abdul Ghani Othman (bekas MB Johor) adalah ADUN Serom.Justeru, tidak salah jika saya juga boleh mewarisi semangat kepemimpinan moyang saya yang terdahulu. 


Pada mulanya saya berhasrat mahu bertanding sebagai calon bebas di DUN Serom atau Parlimen Ledang dalam Negeri Johor Darul Takzim. Apakah iltizam dan gagasan yang saya kemukakan di belakang tabir nanti ? Apakah pelan pembangunan insan dan fizikal yang akan diketengahkan untuk para pengundi di DUN Serom atau parlimen Ledang?



Pembabitan saya dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa organisasi dalam pertubuhan sosial, persuratan dan kebudayaan, persatuan profesional dan kesatuan sekerja masa lalu banyak meyakinkan saya.Apatah lagi, andainya saya bertanding sebagai calon Bebas tidak menyalahi mana-mana atau menyakiti pertubuhan lain.Lagipun keahlian saya dalam sebuah pertubuhan politik ketika zaman belia lalu tidak saya perbaharui.



Setelah pertubuhan tersebut berdaftar baru, saya masih membisu hingga kini. Lantaran pada masa lalu saya seakan ‘merajuk’ apabila ketetapan dalam Perintah Am Kerajaan bahawa kakitangan kerajaan kumpulan A tidak boleh terbabit dalam politik kepartian. Mujur situasi sekarang telah berubah namun saya tetap diam membisu. Saya fikir adalah lebih adil saya  sebagai penjawat awam yang berintegriti sewajarnya tidak memihak, bersikap neutral tetapi masih meneruskan salam perjuangan!

Walau bagaimanapun bak kata pepatah, ‘sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula hati manusia’. Justeru saya mula terfikir adakah generasi yang berusia 40 ke atas di kawasan parlimen Ledang, Johor masih mengenali saya yang suatu ketika pernah menjadi Guru Penolong Terlatih selama hampir enam tahun di Sekolah Menengah Bukit Gambir (SMBG),Muar, 1978-1983? Jika pun ada generasi ketika itu sekarang; rata-ratanya mereka memegang ketua cawangan UMNO atau parti lain  di parlimen Ledang khususnya di Bukit Gambir yang mana adalah generasi anak-anak murid saya..



Semangat guru-guru lepasan SITC (Maktab Perguruan Sultan ldris,Tanjung Malim, kini UPSI)  yang memegang organisasi politik di kawasan kampung saya pada zaman itu begitu berakar umbi. Ketika tahun-tahun 1970-an dan 1980-an golongan guru begitu berpengaruh dalam kepemimpinan masyarakat setempat. Mereka adalah akal budi dan kepemimpinan melalui teladan bagi penduduk kampung.Saya yakin semangat menghormati golongan guru masih sebati walaupun generasi lama kian menghilang di mayapada ini.


Selepas itu, saya meneruskan pengajian ijazah lanjutan, master dan PhD saya banyak menumpukan bidang penulisan sebagai wadah perjuangan.Sebagai pengisian ilmu saya juga sering menghadiri berbagai-bagai simposium,konvensyen dan seminar; baik di peringkat nasional mahupun antara bangsa. Saya juga terpaksa kembara meninggalkan kampung halaman bagi menimba ilmu dan pengalaman dalam kehidupan baik di kota dalam negara mahupun terpaksa merantau ke luar negara.



Dengan rendah hati, bagi saya setiap pintu masuk dan penghujung kampung-kampung dalam parlimen Ledang seperti di Serom,Sungai Mati, Rawang, Parit Bunga,Tanjung Gading,Kampung Pantai Layang, Kampung Belemang,Tanjung Agas, Bukit Gambir,Sengkang, Kampung Hang Tuah, Kampung Melepang, Kampung Termil,Kampung Bekoh, Ladang Sagil, Kampung Sagil, Balai Polis Sagil,Ladang Air Panas,Ladang Sagil,Ladang Bukit Serampang, Kampung Melayu Raya, Kampung Banjar dan Kampung Seri Jaya Serom Lapan adalah laluan saya berbasikal semasa awal remaja.



Di kawasan Bukit Gambir, Kampung Parit Kasan, Kampung Parit Jarum Darat,Kampung Parit Jarum Laut dan Kampung Haji ldris telah saya telusuri pada zaman saya memantau para pelajar saya di SMBG dahulu.  Selain itu Kampung Meranti Sundai,Kampung Simpang Lima,Kampung Sawah Ring, Parit Kangkar,Pulau Penarik, Sungai Senduk, Kampung Teluk Rimba, Kampung Kesang Tasik dan lain-lain lagi adalah 'padang permaianan yang nostalgik sejak zaman kanak-kanak dan remaja'.  Adakah pada hari penamaan calon, pada hari itu,  Sabtu 20 April  2013 saya akan muncul di pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan SPR? lnilah yang menjadi tanda tanya.



Sebenarnya desas-desus teropong dan info yang saya terima dari jauh dan dekat,  yang datang ; ada jua rasa tidak puas hati di kalangan para pengundi di DUN Serom dan DUN Gambir. DUN Tangkak tidak menjadi masalah.MCA mewakili kaum Cina sudah menjadi tradisi sekian lama. Jika DAP berjaya merampas DUN Tangkak, masyarakat Tionghua masih diwakili kaumnya juga.Ada suara yang mengatakan calon DUN Serom yang diketengahkan sekarang mempunyai pertalian persaudaraan dengan Abdul Ghani 0thman (Dato’) .Ada suara pengundi UMNO tempatan mahukan 'orang Serom 3' Muhammad Bakar (Pengarah Jasa Johor?). Manakala di kawasan lain mahukan calon mereka juga.



Di  kerusi DUN Gambir sudah dua penggal orang MIC (PRU 11 & 12) menjadi wakil rakyat kepada 80% pengundi Melayu. Walhal pengundi lndia di DUN Gambir cuma 3% sahaja.Adakah situasi begini sesuai pada PRU 13 atau pada masa-masa akan datang? Adakah para penduduk Bukit Gambir mahukan seorang lslam menjadi wakilnya? Ada logiknya, apabila majlis berkaitan agama lslam DUN Gambir yang lalu tidak dapat duduk dalam saf atau jemaah dalam masjid.Terserahlah kepada para pengundi DUN Gambir akan datang adakah minda yang bijaksana digunakan pada PRU 13 lalu.


Sebagai pemikir dan penganalisis politik tanah air, saya sering juga memikirkan mengenai sesuatu isu penting di peringkat nasional. Terfikir oleh saya, alangkah moleknya Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) patut menyebut dalam akujanji atau manifesto masing-masing bagaimana mahu membendung kemasukan menggila pendatang asing ke negara kita. Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ada yang dikategorikan pendatang tanpa izin/haram (PATI), pendatang tanpa permit, pendatang menyalahgunakan  pas lawatan sosial dan pendatang yang menyalahi peraturan-peraturan lain imigresen.


BN sebagai kerajaan yang memerintah lebih  55 tahun sepatutnya ada pelan pembangunan yang terkawal dan tidak amat bergantung kepada pendatang asing.


Mencontohi Singapura negara maju yang membangun era 1970-an adalah wajar. Singapura telah 'menghalau atau mengusir' pekerja-pekerja asing yang membanjiri republik itu suatu ketika dahulu. Apabila negara tersebut tidak lagi bergantung sangat kepada pekerja asing separuh mahir maka Singapura dapat membendung pelbagai gejala sosial yang kita sedia maklum.


Kini difahamkan jika kita meninjau di beberapa lokasi hospital kerajaan contohnya Hospital Serdang, Selangor , saban hari akan adanya kelahiran anak-anak pekerja lndonesia, Vietnam, Myanmar, lndia, Bangladesh, Filipina bahkan Afrika!  Itu hanya contoh kelahiran di sebuah hospital. Dan bagaimana pula kelahiran di luar hospital dan seumpamanya?


Saya seringkali bertanya dalam diri saya; tidakkah ini memberi impak masalah dan beban sosial pada masa akan datang.? Bak  kata seorang teman; bukan mustahil pula 20-30 tahun akan datang pendatang  asing contohnya pendatang Vietnam ini akan menzahirkan  tanpa segan-silu  keperluan  bahasa Vietnam akan diajukan pula di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan macam-macam perkara yang bukan mustahil kelak.


Justeru adalah bukan cerita lawak jika dikatakan pendatang asing kini telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah.


Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka kian ramai sudah pun ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Itu belum termasuk pendatang asing yang lain. Mereka kini bebas ke mana-mana. Seolah-olah mereka telah ‘menawan’ negara kita .Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang asing termasuk pati bekerja di sektor yang menyalahi undang-undang.


Oleh itu penggunaan frasa 'menawan'  bagaikan   mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tidak begitu berkesan lagi menangani pelbagai karenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengakui penguat kuasa Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang berniaga di gerai-gerai, pasar awam dan sebagainya. Ini baru kesalahan  kecil yang belum lagi termasuk jenayah besar dan sofistikated.


Maka negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang berbagai-bagai kategori pendatang dari seluruh dunia. Dan kita dapati semakin hari semakin galak kehadiran dan jumlahnya makin bertambah.

Pelbagai berita jenayah oleh pendatang yang serius tersiar dalam media elektronik dan media cetak hampir setiap hari bagaikan sudah menjadi semacam fiksyen hiburan.


lsunya kini dalam kempen-kempen PRU 13; baik BN mahupun PR adakah mana-mana pihak mahu membangkitkan isu membendung kebanjiran pendatang asing ini? Apakah isu seperti ini tidak disedari oleh parti-parti politik yang bertanding? Adakah pihak berkenaan tidak menyedari bahawa ini  boleh memberi banyak kredit patriotik kepada parti mereka pada masa berkempen sekarang? Persoalan-persoalan ini sering menghantui jauh ke dasar sanubari saya.


Berbalik kepada isu pokok, adakah saya akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Serom atau dan parlimen Ledang?Adakah kisah saya mahu bertanding hanya sendaloka dan gimik politik setempat? Dan adakah hanya retorika lawak cerita politik semasa yang diterjemahkan kepada kenyataan? Apapun situasi kesihatan dan kepanjangan akal adalah pengukur yang terbaik pada saat-saat kita telah melewati zaman dan telah bertemu pelbagai teman. Carilah sahabat yang boleh menjadi ubat! Ingatlah ini impian politik masa silam saya dan  cuma gimik pada PRU 13 yang lalu. Dan tidak mungkin lagi pada PRU akan datang (14,15 dan seterusnya). Saya bukan lagi jambatan buatnya! (oleh Dr Haji Rajiee Hadi: BERSAMBUNG)


14 Ogos 2016

PENULIS GURU MALAYSIA: CATATAN LINTASAN SEJARAH


oleh RAJIEE HADI

NAMA-NAMA penulis guru yang seangkatan saya (sekadar menyebut beberapa nama) antaranya Nawawee Mohammad,Aripin Said, Wan A.Rafar, Azmi Yusoff, Ami Masra, Lim Swee Tin, Leo AWS, Darma Mohammad, Mamat lbrahim,Awang Abdullah, Abham TR,Wan Zahari Ali , Daeng Ramliakil dan lain-lain lagi.Kebetulan pula rata-ratanya terbabit dalam penulisan puisi. Kemudian apabila saya menyelenggarakan antologi cerpen ‘Bumi Hijau’ (Marwilis Publisher & Distributor Sdn.Bhd.,1990) karya mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM, kini Universiti Putra Malaysia) era 1980-an saya telah mengumpulkan beberapa nama penulis guru yang ada; di antaranya telah mencipta nama di persada kesusasteraan tanah air seperti  Jais Sahok, Rahmat Ghazali, Omar Mamat,Marzuki Nyak Abdullah, Abdullah Sani Yahya (Lahsani), Nordin Yatim dan Zulkifli Abu.

Kemudian  terbit pula antologi puisi ‘Guru oh Guru’ (DBP,1989) selenggaraan Zam lsmailyang diterbitkan dan dilancarkan sempena pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan pada tahun 1989 yang turut juga membariskan sejumlah penulis/penyair  mapan kaum guru yang terdiri di antaranya A.Wahab Ali, Jihaty Abadi, Rejab F.l, Adi Badiozaman Tuah, Ahmad Sarju, Kemala,Sabar Bohari, Sharif Putera,Shafie Abu Bakar,Zam lsmail,Ahmad Razali, S.Panit Mahaya Mohd.Yassin,Rajiee Hadi, Ami Masra,lsmail Haji Adnan (Isbiha) dan sebagainya.

SN Usman Awang walaupun bukan seorang guru tetapi keakrabannya dengan golongan guru bagaikan sinonim dengan jiwanya yang penyayang, romantis dan dedikasi. Usman Awang menyelam hati guru dan mendedahkan sifat sempurna guru kepada semua; terutama mereka yang pernah menjadi muridnya.Bahkan Sasterawan Negara Usman Awang ini   begitu prihatin dan tafsiran semangat yang menjiwai puisinya ‘Guru Oh Guru’ ini menyerlahkan peranan dan sumbangan golongan guruterhadap  perkembangan tamadun bangsa dan nusa.
Puisi istimewa ini mengingatkan saya juga kepada seorang pesara guru yang juga seorang sasterawan iaitu Haji lsmail bin Zamzam atau lebih dikenali dengan nama pena Zam lsmail . Dalam kerjaya keguruannya, Zam lsmail tidak dinafikan lagi telah memberi sumbangan kepada dunia pendidikan negara sehinggalah beliau memperoleh pengiktirafan tertinggi sebagai ‘Tokoh Guru Kebangsaan’ yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sambutan Hari Guru 15 Mei 2004 di Stadium Melawati,Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.
Pada tahun tersebut saya masih menjadi AJK lnduk Hari Guru peringkat kebangsaan dan turut meraikan majlis makan malam bersama para peserta delegasi termasuk beliau di sebuah hotel ternama di Sunway Pyramid, Subang Jaya.Dalam sejarah perkembangan  kegiatan penulisan negeri Johor Darul Takzim, Zam lsmail adalah Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang diasaskannya bersama teman-teman penulis lain pada tahun 1966.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Satu PPJ mulai tahun 1967 hingga 1969. Dua tahun kemudian, beliau dipilih semula menjadi Ketua Satu pada tahun 1973 hingga l984.lni bermakna beliau memegang jawatan Ketua Satu PPJ selama 14 tahun. Kini beliau adalah penasihat tetap PPJ.Apa yang menariknya, saya menjadi ahli PPJ pada tahun 1978 sewaktu beliau menjawat Ketua Satu PPJ.Yang manisnya, Zam lsmail banyak mendorong dan menyokong saya untuk terus maju dalam bidang penulisan, akademik dan kerjaya.
Sewaktu ketika saya pernah merajuk,kecewa dan patah hati kerana sikap segelintir ahli yang seakan-akan cemburu dengan kehadiran penulis muda seperti saya pada waktu itu.Namun beliau optimis dan positif lalu telah memilih saya bagi  menggantikan beliau sebagai penceramah berkaitan penulisan puisi pada suatu majlis bicara puisi di Johor Baharu .Dalam suratnya   beliau  menyatakan begitu yakin dengan kemampuan dan kebolehan saya dan percaya bahawa saya tidak akan memalukan nama baik PPJ.
Alhamdulillah, saya berjaya melaksnakan tanggungjawab tersebut dengan jayanya.Haji Mas’ud Abdul Rahman yang menjadi setiausaha PPJ pada masa itu telah mengiringi dan menemani saya sepanjang majlis tersebut berlangsung.  Pada tahun 1979 saya,Zam  lsmail, Aris Tahir, Dzulkurnain lthnain, A.Kadir Bawok, Haji Jurimi, Said Jamhari,lnzura Haji Kosnin dan beberapa nama lagi telah terpilih mewakili PPJ bersama delegasi GAPENA ke Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-2 di Taman lsmail Marzuki, Jakarta, lndonesia.
Dalam antologi ‘Guru oh Guru’ selenggaraan Zam lsmail ini, dua buah sajak saya telah turut terpilih untuk dimuatkan. Usman Awang  yangmerakamkan penghargaan tinggi kepada golongan guru menerusi puisinya, ‘Guru Oh Guru’ dalam bait-bait indahnya mengungkap sebagaimana berikut:

GURU OH GURU
    Berburu ke padang datar
    Dapat rusa belang kaki
    Berguru kepala ajar
    Ibarat bunga kembang tak jadi
    (dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengaliran nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini  siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi  kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Dato’ Dr. Usman Awang, 1979.
(Dipetik daripada buku antologi Guru oh Guru yang diselenggaraan oleh Zam Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989)
Justeru apabila menelusuri perkembangan penulis guru dalam kesusasteraan Melayu moden, tidak dapat tidak,kita tidak akan boleh melupakan nama Abdullah bin Abdul Kadir. Abdullah yang dikenali sebagai Abdullah Munsyi atau Munsyi Abdullah (Guru/Pendeta Bahasa) telah diiktiraf sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden lantaran  beliau telah memulakan penulisan corak baru yang menyimpang daripada tradisi sebelumnya. Tulisan Munsyi Abdullah tidaklah lagi berkisar istana, tidak mengandungi mitos dan legenda,tidak terbina atas khayalan melulu dan yang paling ketara tulisan beliau telah berhenti mengagung-agungkan golongan istana dan bangsawan.

Selain itu Abdullah meninggalkan ungkapan-ungkapan tradisional seperti talibun yang sering diulang-ulang untuk melukiskan sesuatu gambaran. Beliau juga menggunakan ganti nama diri aku atau ku yang menjelaskan sifat keakuan dan sifat bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan. Genre-genre baru yang diterokai beliau ialah autobiografi dan memoir.Walau bagaimanapun, masih terdapat ciri-ciri sastera Melayu tradisional dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan.Di samping itu, lenggang-lenggok bahasa yang digunakan oleh beliau masih terikut-ikut dengan bahasa yang terdapat dalam Sejarah Melayu

Ekoran daripada bentuk asas kesusasteraan Melayu Moden yang dikarang oleh Munsyi Abdullah  menjadi pegangan para pengarang selepas beliau pada tahun-tahun 1860-an dan seterusnya. Pengaruh luar dan teknologi moden telah menyebabkan terhasil dan tersebar karya sastera dalam bahasa Melayu. Pendidikan (tidak kira sistem Barat atau sistem Timur Tengah) telah mempertingkatkan kadar kenal huruf. Selain itu kedapatan pelajar-pelajar Melayu terpengaruh dengan bahan-bahan bacaan dari luar sama ada dari Barat mahupun  Timur Tengah.

Fenomena ini telah mendorong mereka yang kreatif melahirkan karya-karya sendiri.Karya-karya yang dimaksudkan itu tersiar dalam akhbar dan majalah yang tumbuh akibat kemasukan teknologi percetakan.Apabila syarikat-syarikat percetakan didirikan, genre-genre sastera seperti novel dicetak dalam bentuk buku. Pada era sebelum Perang Dunia Kedua, lahir akhbar, majalah, novel, cerpen dan sajak sepertiJawi Peranakan (1876) yang merupakan akhbar terawal yang diterbitkan di Singapura. Antara akhbar-akhbar terawal  lainyang telah diterbitkan di Tanah Melayu ialah Sekolah Melayu (1883) dan Bintang Timur (1894). Menjelang tahun-tahun 1900 hingga 1920, muncul akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu, Neracha, dan Lembaga Malaya.Pada dekad seterusnya muncul pula Warta Malaya, Majlis, Warta Ahad, dan Warta Jenaka.Selain penulis guru, penulis agama dan penulis wartawan banyak mewarnai perkembangan penulisan di media cetak ketika itu.

Selain berita tempatan dan luar negeri, akhbar juga menyiarkan rencana berbentuk nasihat, politik dan sosioekonomi orang Melayu serta karya sastera seperti cerpen, novel bersiri dan sajak. Antara pengarang-pengarang yang aktif menyumbangkan karya mereka di dalam akhbar pada masa itu .Majalah-majalah yang muncul sebelum Perang Dunia Kedua ialah al-Imam (1906), Pengasuh (1918), dan Majalah Guru ( Majalah Guru (1924) telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu Moden. Majalah ini menyiarkan sajak yang ditulis oleh penulis/.penyair guru tersohor sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan seperti Punggok, Harun Aminurrashid, Embong Yahya (Ngumba) dan Abdullah Sidek.

Semasa saya belajar sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu moden di bangkutingkatan enam (1973) di Sekolah Dato Sri Amar DiRaja Muar (SDAD) dalam subjek Bahasa Malaysia 2 (ketika itu belum lahir subjek Kesusasteraan Melayu peringkat prinsipal yang berasingan) Cikgu Maimon Abdul Rahman bersungguh-sungguh meminta kami menyalin nota yang bersangkutan dengan penulis-penulis kaum guru yang mana ujarnya golongan ini telah memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan penulisan prosa dan puisi Melayu.

Menurut   Cikgu Maimon  lagi  penulis  guru  ialah  golongan  yang  bekerja  sebagai  guru  dan secara  sambilan   menghasilkan   karya   sastera.   Mereka   dilatih   di Maktab  Perguruan Sultan Idris (SITC/MPSI), Tanjung  Malim, Perak.  Di maktab itu mereka  terdorong untuk  menulis kerana  kewujudan  badan  yang  bersifat  bahasa  dan  sastera,  iaitu  Pejabat  Karang  Mengarang.  Mereka  menghasilkan   karya  untuk   membawa    masyarakat   ke arah  kemajuan dan    mengubah  cara   berfikir    orang    Melayu.   Kesedaran     demikian    timbul             kerana  dipengaruhi  idea  penulis  agama  dan  karya-karya dari Indonesia.

Tokoh-tokoh penulis guru ialah Harun Muhammad Amin (Harun Aminurrashid), Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nassaruddin, dan Za’ba. Za’ba merupakan orang Melayu yang pertama memperkatakan persuratan Melayu moden di dalam Journal of Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS) seperti Recent Malay Literature (1941).Harun Aminurrashid telah menghasilkan novel sulung ‘Melur Kuala Lumpur’ pada tahun 1930. Kemudian diikutiAbdullah Sidek ‘Bercinta Yang Tak Berfaedah’tahun 1932, Ahmad Bakhtiar ‘Rahsia Seorang Gadis’ 1936 dan Ahmad Murad Nassaruddin ‘Nasib Mertua’ 1937.

Dalam penulisan puisi puisi moden atau sajak  Cikgu Maimon memberitahu kami bahawa penyair Punggok telah menjadi pelopornya. Sajak pertama yang beliau hasilkan berjudul Di Tengah Segara yang disiarkan dalam Majalah Gurukeluaran bulan Disember 1933. Tahun-tahun berikutnya muncul beberapa orang penulis yang menyumbangkan sajak mereka di dalam majalah dan akhbar mingguan.Antaranya termasuklah Kasmani Haji Arif, Nata, Danial Din, Mohammad Yusof Awang, Ahmad Din bin Idris, Abu Samah, Mualim, dan Yusof Arshad.

Kesemuanya merupakan guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris.Oleh sebab itu, penyair guru memainkan peranan penting dalam penulisan sajak dari tahun 1933 hingga 1941.Sajak-sajak sebelum perang disiarkan di dalam majalah dan akhbar mingguan.Majalah Gurumenjadi pelopor dalam penyiaran sajak. Media lain ialah Idaman, Sarjana, Warta Ahad, dan Warta Jenaka.

Pada pendapat saya, sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu wajar dimuatkan semula dalam kurikulum Kesusasteraan Melayu moden kini. Bersandarkan pengalaman pembelajaran saya di sekolah dahulu dan pengajaran guru saya, Cikgu Maimon maka saya dapat merasakan keakrabannya subjek tersebut ke dalam diri dan jiwa saya.

Dalam erti kata yang lain, saya merasakan unsur penghayatan dapat diterapkan andainya para pelajar itu sendiri didedahkan dengan sejarah dan susur-galur perkembangansubjek itu di samping mengetahui selok belok proses penciptaan kreatifnya dan mengetahui serba sedikit latar diri penulisnya.

Dari titik tolak itulah saya teringat penyair Kemala yang juga anak didik Suluh Budiman/SITC/MPSI yang terserlah dalam sejarah perpuisian tanah air selepas mencapai kemerdekaan. Paling kurang pun, para pelajar Kesusasteraan Melayu yang mengetahui serba sedikit mengenai Kemala akan terbetik di jiwa mereka kuntuman motivasi yang membara untuk maju dan terus maju dalam bidang yang diceburinya.

Guru boleh menggunakan Kemala sebagai subjek bagi menampilkan contoh kejayaan seorang penulis guru. Apatah lagi sasterawan dan penyair- eseis Kemala atau nama penuhnya Dato Dr Ahmad Kamal bin Abdullah, 72 tahun (2013) telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara (ASN) ke-11. Kemala  ialah penyair tersohor tanah air yang telah mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih daripada 40 tahun.

Kemala anak  kelahiran  Gombak,  Selangor  Darul  Ehsan, guru sekolah rendah hingga mencapai tahap  seorang pegawai penyelidik di DBP lantaran kegigihannya menimba ilmu meraih dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh ijazah kedoktoran (Doktor Falsafah).Kini  saya difahamkan bahawa Kemala ialah Sarjana Tamu di UPM Serdang.

Seingat saya, jika tidak silap, saya  pernah bertemu Kemala pada tahun 1998 sewaktu saya dan beliau bersama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM. Pada waktu itu saya dan Kemala sama-sama sebagai siswa calon PhD di UKM.Saya kagum dengan kegigihan dan kesungguhannya sebagai seorang mahasiswa walupun sebagai calon separuh masa dan senior.Begitulah antara lintasan pemerhatian  sayake atas Kemala yang gigih bukan setakat sebagai seorang penulis-penyair tetapi sebagai seorang peneliti, penganalisis, aktivis dan pengkritik kesusasteraan Melayu yang berwibawa.

Saya amat berbangga dengan Kemala daripada seorang guru biasa lepasan MPSI /SITC beliau terus meniti dan menapak mengikut arus zaman khususnya dalam zaman ledakan teknologi maklumat. Beliau juga terus berkarya di alam siber dan membentang kertas kerja tanpa mengenal usia.Yang nyata, karya-karya beliau baik dalam puisi atau genre lain bukan sahaja memiliki nilai-nilai esteteika bahasa; bahkan turut menyuarakan keluh-kesah dan suara hati golongan marhaen dan rakyat terbanyak.Jikalaulah Kemala memiliki kriteria dan syarat-syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan maka saya tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau juga boleh dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.Kemala adalah contoh dan ikon sebuah kejayaan anak semua bangsa.

Sebagaimana yang telah saya ceritakan dalam bab terawal mengenai penglibatan saya dalam bidang penulisan iaitu apabila saya bersahabat rapat dengan rakan sejawat, Mokhtar Yusoff (Zahmy) di Sekolah Menengah Bukit Gambir (SMBG) Muar tahun 1978 dan terbabit secara aktif sebagai AJK Kegiatan Persatuan Penulis Johor (PPJ) daerah Muar maka banyak pendedahan yang saya perolehi. Saya dipilih bersama Mohd. lsnin Tawaf, Razak Mamat (Allahyarham), Dzulkurnain lthnain, Md.lshak Abdul Rahman dan Hamdan Raja Abdullah  mengikuti bengkel penulisan kreatif cerpen dan novel di Rumah Rehat Tanjung Emas, Muar,Johor pada tahun 1980 anjuran DBP-PPJ  di bawah bimbingan Hashim Awang, Anwar Ridhwan dan Hamzah Hamdani. Hasil daripada bengkel mingguan tersebut sebuah antologi cerpen bersama kami berjudul ‘Selatan’ telah diterbitkan oleh DBP tahun 1983.Antologi ini diselenggarakan oleh Anwar Ridhwan (kini SN Datuk Dr.) dan Hamzah Hamdani.

Saya juga berpeluang mengikuti bengkel penulisan berita dan rencana anjuran bersama  Berita Harian/NST dan PPJ di Batu Pahat Johor pada tahun 1979.Saya masih ingat; antara peserta yang bersama berbengkel ialah Aris Tahir, Mokhtar Yusof,Said Jamhari,Amat Mat Top dan Jamaluddin pembantu Toko Buku Manaf Muar. Semasa itu Abdu Manaf Semo pemberita sambilan yang terkenal di Muar tidak turut serta kerana beliau menganggotai Persatuan Peminat Bahasa Melayu  Melayu Muar (PPBMM).  

Bengkel tersebut dibimbing oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri A.Samad lsmail, Datuk Ahmad Sebi  Bakar dan dibantu beberapa wartawan Berita Harian biro selatan.Kenangan yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini ialah wartawan Berita Harian  ketika itu Radzi Mustaffa yang berpejabat di biro Muar terpaksa mencari sendiri alamat ‘Rumah Seribu Bintang, Tanjung Agas, Muar’ iatu rumah saya, iaitu sebuah banglo sederhana yang saya sewa ketika baru berumahtangga yang terletak bersebelahan jeti penambang lama di pinggir Sungai Muar yang  banyak membibit nostalgia bagi warga Muar sekitar tahun 1960-an dahulu.

Sebelum itu saya lebih awal menerima surat rasmi  bertarikh 15 Oktober 1981 daripada A.Samad Said pengarang Warta Tebrau (WT) yang mengundang saya menyumbangkan rencana, karya-karya kreatif dan berita semasa untuk WT yang baru dilancarkan di Johor pada 26 November 1981. Ekoran daripada itu, saya dan teman-teman PPJ Muar telah bertemu A.Samad Said dan Maarof Mohd.Noh (penyunting WT) di Muar bagi mendapat kesepakatan dan kerjasama untuk turut menghidupkan WT iaitu satu-satunya akhbar tabloid milik NST untuk bacaan harian bagi warga selatan Semenanjung.


Dan kisah Radzi Mustaffa  yang menyerahkan sendiri surat perlantikan rasmi saya sebagai stringer dan pemberita sambilan Berita Harian mulai 11 Februari 1983 dan terpaksa berkali-kali memberi salam kerana semua tingkap rumah tertutup tetap menjadi kenangan yang melucukan..Saya mohon maaf  kerana lambat membuka pintu kerana kami tertidur pada siang hari.Saya tersenyum mengenangkan Radzi yang berpeluh-peluh mencari rumah saya sambil mengusik, ‘Mana seribu bintangnya? Puas saya cari rumah yang ada bintang-bintang. Mana yang ada seribu bintang ‘tu?”Tanpa menjawab, saya hanya tersenyum dengan penuh makna.(oleh Dr Haji Rajiee Hadi)

10 Ogos 2016

MAKTAB PERGURUAN BAHASA: PART 2


KETIKA saya menerima tawaran dan mula mengikuti kursus asas perguruan yang setaraf Diploma Perguruan di maktab perguruan tersohor iaitu Maktab Perguruan Bahasa /MPB (Language lnstitute) di Lembah Pantai,Kuala Lumpur pada tahun 1976, perasaan,emosi dan minda saya berbaur syukur, bangga yang patriotik dan terharu yang boleh menyebabkan titis-titis jernih membasahi pipi.

Sebagai bekas pelajar Tingkatan Enam yang menempuh dan meraih Sijil Tinggi Persekolahan (STP/HSC) sudah tentu saya merasakan ada sedikit kelebihan daripada para pelajar lepasan SPM/MCE.

Namun sangkaan saya meleset. Di MPB saya bertemu rakan-rakan guru pelatih yang lebih senior usianya. Ada yang pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih, ada yang sebelum itu pernah bekerja di sektor awam mahupun swasta.

Dan ada yang menganggur bertahun-tahun sebelum berjaya ke MPB.Dan di sinilah kami bertemu, bergaul berganding bahu dan menimba ‘cerita kota ’ suka duka selama dua tahun.

Dengan elaun guru pelatih di luar kampus RM150 setiap bulan atau RM40 berbaki setiap bulan jika tinggal dalam kampus boleh menyebabkan bertambah lagi air mata saya jatuh berguguran ketika baru menginjak usia yang ke-19 tahun.

Bagi kami, ibu bapa pada zaman itu hanya membekalkan semangat dan doa restu;bukan wang ringgit atau apa jua yang boleh melegakan. Jika ada guru pelatih yang berwang kemungkinan mereka sebelum itu telah mempunyai pekerjaan lain.

Kejayaan memasuki kursus  pendidikan asas perguruan semata-mata demi menjamin kerjaya masa hadapan di samping minat yang mendalam dalam bidang pendidikan dan keguruan.

Dalam bab ini bukanlah saya mahu mengisahkan rentetan perjalanan kehidupan saya semasa di MPB tetapi mahu menghubungkaitkan bagaimana Maktab Perguruan lslam (MPI) itu telah menyentuh kehidupan saya seawal tahun 1977 lagi. Ketika itu saya berada pada tahun kedua di MPB.

Saya masih ingat MPI ‘menumpang’  premis MPB ketika saya seronok menjalani aktiviti kokurikulum di sebelah petang. Saya aktif dalam pasukan pengakap MPB.Saya juga bergiat dalam aktiviti kesenian di samping turut masuk kelab karate MPB dan persatuan-persatuan lain.Kisah ini akan saya paparkan khusus dalam bab lain.

Setiap petang rabu saya akan siap beruniform pengakap bersama rakan-rakan sekuliah; Sahak Wahid, Museri Talib, Chew Hock Liong, Azizi Zakaria,Arshad, Arumugasamy dan lain-lain. Kami dari kelas kuliah kumpulan PMIA 2 (Pengajian Melayu &llmu Alam).

Manakala pasukan pandu puteri atau pengakap wanita dari kelas kami ialah Teh Khadijah, Rusni, Asmah, Rukiah,Che Puteh dan Rohayah.Kumpulan pengakap dari kelas kuliah PMS (Pengajian Melayu&Sejarah) seingat saya Hassan Topit,Koshim Lebai Ahmad, Khairuddin Kuala Pilah, Zaid Melaka, Chong,, Kadir Abdullah,0mar Mamat,Rashid Dogol dan  Kamaruzaman Abdullah.

Dari kelas PIIA (Pengajian lnggeris & llmu Alam) antaranya Roslan,Shanmugam, Rashid, Ranjit Singh dan Reduan. Dan dari kelas PPAK (Pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak) tidak ketinggalan Chan, Khairuddin Wahab, Khatijah dan Hajah Kamisah Puasa.

Apabila tiba jam 3.30 petang kami berkumpul di dataran MPB di hadapan bangunan ala Minangkabau lalu berbaris dan berkawad dengan penuh semangat yang berkobar-kobar.

Kebetulan saya adalah ketua kumpulan bagi grup PMIA. Sahak Wahid pula penolong ketua kumpulan.Dalam angin sepi-sepoi bahasa petang itu rambut saya yang panjang dengan cermin mata persis Bruce Lee, berbuai-buai ditiup angin.

Kebetulan pada waktu itu juga jelas di hadapan dataran tempat kami berhimpun kelihatan para guru pelatih MPI keluar dari bilik kuliah masing-masing kerana menikmati waktu rehat.

Ada juga kelihatan beberapa pelajar MPI bersembang di hadapan pejabat pengetua. Pengetua  MPI (pengetua pertama) ketika itu, Dr Abdul Hamid 0thman (Tan Sri, meninggal dunia 2012).

Sebagai anak-anak muda tentu kami ada sikap mahu menunjuk-nunjukkan ‘kehebatan dan ketampanan’ kami ketika berkawad ketika itu. Apatah lagi ketika pelajar-pelajar puterinya@ bakal-bakal ustazah yang melintas hilir-mudik di hadapan kami dengan tunduk sopan tersenyum-senyum mendalam penuh makna.

Sebenarnya pada peringkat awalnya, MPI hanya merupakan satu unit Pendidikan Agama Islam di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras, Kuala Lumpur pada bulan Februari 1977.

Unit Pendidikan Agama Islam telah menawarkan kursus kepada 87 orang pelatih dengan tiga orang pensyarah. Kursus yang ditawarkan hanyalah Kursus Perguruan Sekolah Menengah sahaja.

Selepas itu pada 25 April 1977, tertubuhlah Maktab Perguruan Islam secara rasmi dan berpindah dari satu unit di MPIK ke bangunan MPB, sesi sebelah petang sehingga November 1977. Di sini, Kursus Pendidikan Perguruan Sekolah Rendah dimulakan dengan pengambilan 237 orang pelatih baru Tahun 1. Tiga jabatan diwujudkan iaitu Jabatan Pengajian Agama Islam, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Bahasa Malaysia.

MPI di MPB hanyalah sehingga November 1977, ketika saya kian hampir menamatkan kursus perguruan asas.Kemudian MPI berpindah kali kedua di bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Petaling Jaya sehingga April 1983.

Bermula bulan  Mei 1983, Maktab Perguruan Islam berpindah pula di bangunan UKM, Lembah Pantai Kuala Lumpur, sementara menunggu bangunan baru maktab siap di pinggiran Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

MPI mengalami perkembangan pesat sejak ia ditubuhkan. Pada tahun 1990 bilangan pelatih meningkat kepada 1,217 orang dan pensyarahnya bertambah kepada 110 orang. Kursus-kursus yang ditawarkan selain dari Kursus Perguruan Asas Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah, Kursus Dalam Cuti, Kursus Diploma Pendidikan dan Kursus Dalam Perkhidmatan turut ditawarkan.

Dan sudah tentu kini di MPI setelah dinaikkan taraf kepada lnstitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai 1 April 2006 telah menjalani banyak perubahan pesat dalam kurikulumnya; antaranya mengendalikan kursus sarjana muda perguruan (B.Ed.) dan terus mengelolakan Kursus Perguruan Lepasan ljazah (KPLI), Kursus Lepasan ljazah Guru J-QAF dan latihan-latihan guru dalam perkhidmatan.

Sepanjang yang saya tahu dan ketika memoir ini ditulis lapan buah jabatan telah ditubuhkan iaitu Jabatan Pendidikan Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Pengajian Melayu,Jabatan Bahasa, Jabatan Kajian Sosial dan Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Penyelidikan. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)

4 Ogos 2016

KISAH PENULIS KAMPUNG

oleh Dr Haji Rajiee Hadi

SECARA peribadi, saya pernah menulis untuk ruangan surat pembaca akhbar Utusan Melayu pada tahun 1970 ketika saya di bangku menengah tingkatan empat. Saya menulis mengadu mengenai sistem perparitan dan saliran yang menyebabkan seringkali berlaku banjir kilat di kampung saya khususnya rumah gadang datuk saya, di Kampung Serom 2 Hilir, Sungai Mati, Muar. 0leh kerana di sinilah tanah tumpah darah pertama saya yang mana saya dilahirkan di sini maka segala punca yang membabitkan kesejahteraan alam sekitar turut memberi kesan mendalam terhadap rasa kepekaan atau deria sensitiviti di sanubari saya.

Tidak lama kemudian selepas tersiarnya aduan tulisan saya maka datanglah sebuah jentolak kapal korek memulakan operasi pendalaman parit atau anak sungai yang kian tohor. Sebenarnya pada tahun 1960-an dahulu parit sepanjang kampung saya yang menuju ke Kampung Sungai Keladi dan alirannya terus menjengah masuk ke Sungai Muar ini tidak setohor itu. Di parit inilah saya menyaksikan budak-budak kampung saya berkubang renang sambil mencari haruan,keli dan puyu ( Pekan Serom: Masih Kuingat Lagi: Rajiee Hadi, Mastika, April 1991):


PEKAN SEROM: MASIH KUINGAT LAGI

Sungguhpun kerap pulang ke desa dan pekan kelahiranku
saban waktu sejarah mengembalikan ingatan
semasa kecil air melimpah -ruah
selepas hujan di halaman rumah opah
agung pesaka moyang sejak zaman berzaman
kini tinggal sisa-sisa menyayatkan 
Tempayan purba sepi menyembah bumi 
parit besar kami menangkap keli
mandi-manda riang nakal aku menyusuri sungai
sekampung bermukim mencucuh buluh meriam
hilang gerangan entah ke mana 
resah mengatur liku kehidupan
dibesarkan oleh luas alam berkembang
segala-galanya kini bagai hamparan kenangan.

Pulang semata-mata kerana ibu ayah
kedut wajah bagai kerikil perjalanan hidupku
menyimpan rapi sisa-sisa usia
menempuh menghambat serentetan kekesalan
seperti sepi malam di desa jauh ditinggalkan
suara cengkerik rengetan sang katak bersahutan
mencengkam ke jantung album rindu
seorang pengembara menyimpul igauan malam
tiba-tiba di desa dan pekan terbina catatan 
semuanya berubah dengan kelahiran dan kematian

Pekan Serom, tidak kutemui lagi riakmu
umpama malam-malam lalu dengan gelak tawa taulan
lagu-lagu evergreen berkumandang di pawagam Kimhwa
bujang lapuk jungle april pool watari bertukar ganti
kini detingan besi wajah kusam menyelubungi ngeri
kedai hailam roti bakar ais kepal dijilat  api
warung lontong enak tempeh kuih mata kerbau
celoteh Wak Lip, Atan Salu, Abu Amin
Atan Khatab dan diam Mat Gedebuk
khutbah Cikgu Atan bergema lantang selalu dan
pangkalan jeti panggung serom tiga setia berlagu

Di sini Matnor Kelawar terkubur dalam usia remaja
perahu penambang tanjung selabu hilir mudik
anak-anak kecil menongkah arus
menimba ilmu menyabung nyawa
ada tragedi menyayat hati luput ditelan polusi
dusun semusim di Belemang, Parit Kangkar Sungai Keladi
kini lamunan terhakis dalam hangat rinduku

Pada hari itu aku kembali  menatap potretmu
petang redup bermotosikal bersama ngarisan
gadis manis hujung kampung melambai menyentuh perasaan
bercerita tentang politik ekonomi dan masa depan Melayu
sementara dinding rumah rapuh dimamah ansai
subur pohon nyiur pelepah tua gugur disambar petir
basikal usang di bawah rumah tetangga tersungkur rebah
seterika antik tersembunyi dalam peti misteri
tv tua hitam wajah tidak berseri lagi
pintar si babu mengatur dagangan setiap hari
malam dingin lampu sepanjang jalan bergelap sekian lama
pekerja hari ini  mungkin tidak ambil peduli
asyik mengkhayalkan saham penswastaan melabakan
tanpa keringat menjual pinkform impian termahal

Ah, Pekan Serom menjenguk hadir mimpi-mimpimu
getar menggugat manusuk hati rawanku
geromal Atan Salu senyum Atan Khatab senda Abu Amin
pilu Uda Bakar puterinya menyahut panggilan Illahi
barah meragut kesalnya tidak terperi
pulangnya Mat Gedebuk kian terkumpul dalam sendu puisi
citra Pekan Serom kian hilang bagai kaca-kaca bertaburan
sayunya hati tidak upaya kucantum lagi!



Begitu juga apabila saya masih berdukacita melihatkan jalan kampung saya ini masih beralaskan batu-batu kerikil dan tanah merah.Sedangkan di kampung-kampung sekitar telahpun diturap tar.Tanah-tanah milik Melayu kian hari kian banyak yang tergadai atau terjual. Sehubungan ini saya amat susah hati. Seingat saya dalam tahun 1985 saya telah menulis dalam ruangan ‘Surat Pembaca’ Berita Harian.

 Namun entah bagaimana kemudiannya pada tahun 1989 sewaktu saya membawa murid-murid dari sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur melawat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, saya mengambil kesempatan bersua muka di luar ruang legar Dewan Rakyat lalu menyatakan masalah jalan merah di kampung saya kepada Haji Abdul Ghani Othman             (Dato’, wakil rakyat Parlimen Ledang/ ADUN Serom, kini telah bersara) .

Saya tidak pasti sama ada beliau terkejut atau tidak apabila saya terus meluru bertemunya ketika itu.Dalam pertemuan itu, mungkin tanpa berfikir panjang beliau terus mencadangkan agar saya menubuhkan cawangan Umno di kampung saya. Saya sedar selama ini, sudah turun-temurun cawangan Umno kampung saya  yang minoriti ini bergabung dengan Kampung Serom Satu.Seterusnya Haji Abdul Ghani menegaskan bahawa Kampung Sungai Keladi di penghujung kampung saya  yang turut menggunakan jalan merah kampung saya telah menubuhkan Parti Semangat 46 yang dikepalai oleh Haji Saadon Jabar(Allahyarham).

Kemungkinan ancaman senyap ini mula beliau rasakan. Namun saya juga bertegas bahawa saya bukan mahu bercakap pasal soal politik tetapi soal jalan berturap tar dan soal kebajikan rakyat. Haji Abdu Ghani terdiam dan dialog saya dan beliau hanya setakat itu dan kami kemudian tidak pernah bersua muka hingga ke hari ini. Apa yang saya tahu, selepas itu jalan kampung saya pun terus diturap tar dan kami semua selesa dengan alam sekitar tanpa debu yang menyeka mata, terima kasih. Sajak berjudul  Suatu Permintaan (buat Ngumba): (Rajiee Hadi:Warta Tebrau, 18 Februari 1982) adalah suara hati saya yang mewakili sebahagian besar penduduk kampung saya yang kepinginkan jalan  yang berturap.Ngumba ialah nama pena bagi Datuk Embong bin Yahya Ahli Parlimen Ledang dalam kawasan kampung saya.Beliau ketika itu adalah Timbalan Menteri Penerangan Malaysia. Berikut adalah puisi yang dimaksudkan:


 SUATU PERMINTAAN
(buat Ngumba)

Yang kami pinta hanyalah
kerja nyata
bukan gunting-guntingan pita
atau batu-batu permata.

Yang kami pinta hanyalah
dedikasi luhur
bukan semboyan-semboyan
mahupun slogan
ataupun pepatah kuno.

Yang kami pinta hanyalah
ketegasan sebuah harapan
bukan cuma sensasi melulu
ataupun suatu kejutan kosong.

Tuan-tuan terhormat
lihatlah kami yang terpaku
di celah-celah debu 
tatapan merah menebal.

Andainya dilupa selepas pilihan raya
kami beratap langit bertilam tanah
seperti nenek moyang mewarisi sejak dulu
apalah ertinya sebuah kemerdekaan  masa kini.

Namun di desa ini
kami tumpahkan setia
bersama keteguhan hati ini
takkan goyang ditiup angin
semangat ini takkan lebur ditimpa hujan.

Yang kami pinta hanyalah
sejalur tar menutup 
debu-debu menyeka
yang esok entah musnah ditiup angin.


Serom 2 Hilir, Muar.


Sebenarnya minat saya dalam bidang penulisan telah  terus bersinar di MPB,Lembah Pantai, Kuala Lumpur 1976-77. Lantaran itu pada tahun 1977 saya telah menyertai Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen anjuran MPB.Sememangnya tidak diduga, saya telah memenangi hadiah utama bagi penulisan puisi dan cerpen. Sayangnya, saya tidak ingat apakah judul puisi dan cerpen itu. Apatah lagi hasil karya itu  telah hilang ditelan zaman.Saya sungguh kesal kerana tidak menyangka pada hari ini, jika hasil tulisan tersebut ada tentu amat bernilai.Saya cuma dapat menerbitkan sebuah antologi/kumpulan puisi stensilan saya berjudul ‘Mereka Yang Pergi’ (1977). Suatu peristiwa lucu semasa saya di MPB ialah saya menggunakan nama samaran ‘Geletek Sayang’ untuk menulis apa jua perkara kebaikan dan cadangan-cadangan membina dan pandangan kritis di papan kenyataan utama Persatuan Pelajar MPB di laluan menuju ke dewan kantin.Saya menulis secara rahsia tanpa diketahui sesiapa.


Tulisan saya itu saya tampalkan di papan kenyataan pada sebelah malam. Pada keesokannya ramai pelajar yang membacanya dan mendapat reaksi yang pelbagai. Sejak itu menjadi tanda tanya, siapakah gerangannya ‘Geletek Sayang’ yang tidak diketahui hingga hari ini.Saya rasa Haji Abdul Kadir Abdullah (mantan Pegawai Kurikulum Bahasa di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan) yang pernah menjadi Yang DiPertua Persatuan Pelajar MPB tentu tersenyum membaca pendedahan saya ini. Saya harap beliau masih ingat lagi isu peritiwa ‘Geletek Sayang’ yang menjadi pojok tumpuan pelajar ketika itu.


Seperkara lagi yang saya suka perkatakan ialah walaupun saya telah  menempa  dalam bidang penulisan sewal 1970-an namun  secara seriusnya ialah setelah puisi ‘Aidilfitri’ disiarkan dalam Berita Minggu pada 26 0gos 1979.Namun demikian saya masih meneruskan penulisan di ruangan surat pembaca, forum pembaca, apa pembaca kata, medan pembaca dan seumpamanya bagi menyampaikan suara hati ‘rakyat bawahan’ dengan pelbagai nama samaran. Antaranya ‘Banyak Tanah Melayu Tergadai di Muar’ kiriman ‘Anak Perantau,Kuala Lumpur’ yang disiarkan dalam ‘Apa Kata Pembaca’ di akhbar Mingguan Malaysia pada 22 Februari 1987.

Saya juga bertanggungjawab menulis berita rencana bergambar mengenai keuzuran dan kedaifan Madrasah Al-Shamsuddiniah, Kundang Hulu, Muar (milik Kiyai Haji Shamsuddin yang terkenal di Johor) yang disiarkan dalam akhbar ‘Berita Minggu’ bertarikh 22 Februari 1981 dengan tajuk besar ‘Madrasah Kian Uzur, Bilakah Bantuan Nak Diberi’. Rencana ini telah menarik perhatian simpati beberapa orang kenamaan di Johor.Sekarang, siapa sangka madrasah yang uzur itu telah bertukar menjadi sekolah agama moden yang mendapat taraf ‘Sekolah Agama Bantuan Kerajaan’ (SABK) dan kini dikenali ‘ Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah’. Kundang Hulu, Muar,Johor.

Kendatipun saya diarahkan bertugas ‘pulang ke kampung’ dan melaporkan diri secara rasmi pada 3 Januari 1978 di Sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar,Johor maka bukan bermakna cita-cita saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan maju jaya dalam bidang penulisan terus berkubur di kampung halaman.Tidak sama sekali.Saya terus menulis jika ada idea atau ilham dengan menggunakan mesin taip usang yang saya tidak ingat milik siapa. Seingat saya, pada tahun 1979 saya dapat membeli mesin taip baru berjenama ‘Olivetti’  dan pada tahun 1980 pula kemudiannya saya membeli mesin taip berjenama ‘Olympia’ yang lebih besar.

Pada awal tahun 1978 saya mengajar di SMBG (Sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar,Johor).Dan karya-karya saya mula didengar kawan-kawan di Radio Malaysia (RTM) dalam rancangan ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ terbitan Kamaruddin Ahmad dan Amran Sharif. Penyampai rancangan ini yang gemersik syahdu suaranya ialah Amran Sharif, Mustaza Ma’ah, Chuari Selamat, Ngasri Sain dan Zainal Abas. Sayangnya saya terlepas pandang lantaran siaran radio itu berkemundang pada sebelah malam yang mana saya tidak pasti jaminan siarannya.Kemudian beberapa coretan tulisan saya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan ‘Secebis Kisah’ kelolaan Nora.

Buat permulaan ini, saya sering menggunakan nama samaran seperti Adzie Roha, R.Hadi , ROHA dan R.H.Roy. Walau bagaimanapun nama ringkas saya ‘Rajiee Hadi’ yang berkekalan hingga hari ini.Tetapi oleh kerana saya dianggap berbakat juga dalam penulisan rencana di akhbar dan majalah maka untuk ‘cari makan’ saya gunakan nama samaran Guru Bahasa, Pak Ngah, Adzie Hasra, Cucu Tuk Manja  dan ldah Eeijar .Karya kreatif saya pada masa itu seperti sajak,pantun dan cerpen tersiar juga di Berita Minggu, Bacaria, Watan dan di majalah-majalah seperti Variapop,URTV,Dewi,Jelita,Wanita,Dian,Aktual,Variasari dan Penghibur.. Dan antara yang pahit dan manis pada tahun 1981 saya dapat membeli seutas jam tangan berjenama ‘Citizen Digi-Ana’ buatan asli Jepun berharga hampir RM200/ hasil daripada wang penulisan saya.

Adalah sudah ditakdirkan dengan reda, pada tahun 1982 apabila saya pulang berjoging dari bandar Maharani,Muar kerana bersarapan nasi kukus yang enak di perhentias bas Jalan Maharani melalui jambatan Sultan lsmail dengan menunggang Vespa JM 195, jam tangan yang saya masukkan ke dalam saku seluar sukan telah terjatuh hilang entah di mana tanpa saya sedari. Saya amat bersedih dan air mata cuma bergenang di pelipis mata tanpa saya mahu salahkan sesiapa. Namun jam tangan itu tetap menjadi kenangan dan simbol sebuah perjuangan yang saya perolehi hasil daripada jerih ilham pena kreativiti yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit.


Di SMBG saya berkenalan dengan Cikgu Mokhtar Yusoff (Zahmy) yang sudah dua tahun mengajar di sekolah tersebut. Selain Mokhtar, saya juga memperoleh beberapa orang sahabat karib seperti Cikgu Abu Bakar Sobor (Allahyarham), Cikgu Ali Sugiman (Allahyarham), Cikgu Ghafar Saad (Allahyarham), Cikgu Abu Mansor (Allahyarham),Cikgu Mohamad Aman, Cikgu Alaguru, Cikgu Loke, Cikgu Kuan,Cikgu Shaarani Sapari, Cikgu Poh Lee Koon,Cikgu Abu Bakar Atan,Cikgu Sheikh lsmail, Cikgu Shahruddin Mukhri dan ramai lagi.Pada waktu itu jumlah guru lelaki lebih ramai daripada guru wanita

Rakan-rakan sejawat ini, selain mereka juga guru bahasa, mereka juga adalah guru-guru muda yang masih bujang dan aktif dalam pasukan pengakap daerah dan negeri..Sijil kursus asas manik kayu  786 ,bertarikh 2 Oktober 1977 (No.Pendaftaran: B 0418) yang saya hadiri di Kem Kota Raya, Jalan Padang Tembak,Kuala Lumpur sungguh amat bermakna.Lantaran pembabitan saya secara berterusan dan komited kepada pasukan pengakap maka  saya telah ditauliahkan Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Ketua Pengakap Negara sebagai pemimpin pengakap bagi kumpulan pengakap Bukit Gambir ke-3 (M4810) dengan nombor tauliah: M.19716 bertarikh 13 Disember 1979

Dan kebetulan pula di SMBG, guru lelaki yang masih bujang agak ramai maka aktiviti berpengakap begitu semarak hinggakan kami pernah menghadiri jambori negeri di kem Tangjung Labuh Batu Pahat dan aktiviti berkhemah gabungan kokurikulum di luar daerah seperti di Tanjung Bidara,Melaka, Port Diskson, Negeri Sembilan dan di Teluk Cempedak,Kuantan,Pahang bersama para pelajar pengakap dan pandu puteri. Lucunya tahun demi tahun kami menanti ‘nasi minyak’ antara kami tetapi belum ada sesiapa yang terbuka untuk menjamu kami. Malangnya, sungguhpun kami adalah guru-guru yang aktif berpersatuan namun penantian ke atas kedatangan guru-guru perempuan yang masih bujang bagi dijadikan calon isteri hanya tinggal penantian yang panjang.


Walaupun ada ketikanya kami seperti berebut-rebut apabila ada guru wanita bujang melaporkan diri di SMBG namun penghujungnya kami hampa kerana mereka tunangan orang. Kesudahannya  setiap tahun kehadiran guru bujang wanita begitu menghampakan. Sebab itulah, ramai di antara kami di SMBG ketika itu berkahwin dengan bekas anak murid. Senario pada zaman itu jauh berbeza dengan zaman sekarang. Situasi sekarang berbeza. Di mana-mana dilaporkan guru wanita jauh melebihi lelaki; termasuklah yang belum berumah tangga. Ah, alangkah bertuahnya guru zaman sekarang!

Cikgu Mokhtar Yusoff yang saya sebutkan lebih awal tadi, sudah mula mencipta nama dalam penulisan kewartawanan; termasuk rencana dan berita. Hasil-hasil penulisannya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian dan Watan sering ditunjukkan kepada saya. Saya pun mula bersahabat dan mendekati beliau dengan turut menjadi ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada tahun 1978 dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa kegiatan daerah Muar. PPJ Muar dipimpin oleh Cikgu Aris Tahir atau Said Johor (Allahyarham) seorang aktivis masyarakat yang terkenal di Muar.Mokhtar Yusoff pula adalah setiausaha PPJ Muar dan  merangkap pula AJK PPJ peringkat negeri bersama Zam lsmail, Mas’ud Abdul Rahman, Aris Tahir, Said Jamhari, Matlob,Shukor lsmail, Md.Noh Atan, Juma’noh Abdul Bunga dan lain-lain lagi.


 Apabila saya menghadiri mesyuarat PPJ Muar, menghadiri bengkel penulisan di Tanjung Emas Muar, saya terkenangkan motosikal baru jenis Honda Cub bernombor flat JX 5930 yang saya beli dari sebuah kedai motosikal di Jalan Meriam, Muar seminggu lebih awal sebelum sekolah dibuka pada sesi 1978 tahun pertama saya mengajar.Motosikal baru yang berharga RM1800/ saya beli dengan wang deposit RM600/ yang saya pinjam dahulu daripada pak cik saya. Apabila saya mendapat gaji pertama pada bulan Mac 1978, saya terus segera memulangkan wang pinjaman kepada pak cik tersebut.

Di kampung saya; baik di Serom atau Sungai Mati, nama Nora atau Haji Ali bin Haji Ahmad begitu dikenali sebagai ‘orang surat khabar’.Apatah lagi bagi penduduk di kampung Kesang Tasik atau di Batu 7 Jalan Sungai Mati-Sungai Senduk;nama  sasterawan dan wartawan Nora yang bekerja di Utusan Melayu/Utusan Malaysia sememangnya amat dikenali oleh generasi ketika itu.Nora sering memberi inspirasi kepada anak-anak kampung yang mahu menjadi penulis termasuk saya.Namun masa dan waktu terus berlalu mengikut arus kehidupan. Sehingga hampir 25 tahun selepas pertemuan terakhir 1987 maka saya kemudiannya  mencari dan akhirnya menemui Nora yang ketika itu telah lanjut usia.

 Perjalanan hidup Nora, saya tahu begitu  panjang dan berliku. Beliau tersisih dari kehidupan dan rakan-rakan. Selepas zaman kemuncaknya dalam dunia sastera beliau kini menjalani kehidupan hari tua yang sepi. Kudrat untuk berkarya semakin susut ditambah pula ingatannya semakin berkurangan akibat alzheimer yang dihidapinya.

Demikianlah kenyataan hidup seorang sasterawan Haji Ali Haji Ahmad atau Nora yang pernah mencatatkan nama di persada dunia sastera negara ini.

Pertemuan saya dengan Pak Nora kali ini amat berbeza dengan pertemuan dulu terutama ketika beliau masih bertugas di Utusan Melayu.  Pak Nora yang  saya temui pada 2011 telah berpindah rumah dari Ampang Jaya dan  menetap di Taman Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Pak Nora ketika itu berusia 84 tahun, uzur dan menghidapi alzheimer, perlahan-lahan hilang daya ingatannya. Namun kudrat kemahuannya masih ceria dan bersemangat bercerita tentang sastera , dunia penulisan dan kewartawanan.

Pak Nora lahir di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor pada 25 Jun 1927. Mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis (1951-1959) tetapi kerana minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau diberhentikan.

Kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu pada  sebagai penyunting (editor)1969 hingga 1982. Di samping menulis cerpen, beliau aktif menghasilkan skrip drama (pentas, radio dan tv), novel dan esei. Antara novelnya ialah Puntung Hanyut (1965), Gelodak (1968), Gelandangan (1975) dan Kemarau di Hujung Daun (1977),lktikaf (1994) dan banyak lagi.



Pada tahun 1976, beliau memenangi hadiah ketiga mengarang novel anjuran GAPENA dengan judul Seribu
Musim Kering. Cerpen-cerpennya terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan, Di Kelopak Senja (1973) dan lain-lain lagi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil dan Hadiah Karyawan Sastera Johor.

Hari-hari biasa Pak Nora meneruskan kehidupan  di penghujung senjanya. Sejak enam tahun lalu isterinya, Maznah juga terlantar akibat angin ahmar. Dahulu isterinyalah yang membuat kuih-muih tradisional untuk Pak Nora menghantarnya ke gerai-gerai sekitar Ampang Jaya, Selangor. Kini keadaan sudah banyak merubah hidupnya. Kedua-dua mereka terlantar tidak berdaya dan mengharapkan bantuan anak-anak dan sahabat-handai membantunya.

Apakah dalam mengejar kebendaan masyarakat kita kini, tiada pihak yang menyanjungi insan yang menghasilkan banyak khazanah bangsanya? Saya berharap kita tidak hanya mengenangkan seniman kreatif setelah ketiadaannya. Semoga karya-karya beliau dapat dihayati oleh generasi muda dengan beberapa inisiatif yang boleh difikirkan bersama untuk dihadirkan kembali kepada khalayak.

Saya sebenarnya telah lama berhajat berkunjung ziarah ke rumah Pak Nora. Saya pernah ke rumah beliau di Ampang Jaya dan bermalam di situ pada tahun 1976 dahulu sewaktu melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

Malah saya pernah berkunjung ke meja penyunting ruangan Sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia/Utusan Zaman ketika Pak Nora bertugas di sana. Pak Nora pada ketika itu berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin , Kuala Lumpur.

Semarak obor dan nyalaan semangat  membara dalam bidang penulisan ketika itu dibajai hasil kunjungan saya ke pejabat Utusan Melayu sekaligus mendekati Pak Nora yang menjadi kebanggaan kampung halaman kelahiran saya di Serom,Sungai Mati,Muar, Johor. Kesan kunjungan itu karya-karya saya yang menggunakan pelbagai nama pena yang memaparkan pelbagai kisah kasih sayang dan masyarakat mendapat tempat di akhbarUtusan Malaysia dalam kolum Secebis Kisah yang dikelolakan Pak Nora.

Walaupun seribu musim datang dan pergi namun kenangan saya kepada Pak  Nora tetap segar dalam ingatan. Kami saling berhubung sehinggalah beliau bersara daripada Utusan Melayu pada tahun 1982. Kemudian Pak Nora bergerak cergas dalam pertubuhan Al-Arqam dan mengasuh beberapa penerbitan Al-Arqam dan beberapa penerbitan lain yang bercorak keagamaan dan dakwah.

Kali terakhir saya menemui Pak Nora pada tahun 1987 di majlis baca puisi di UPM Serdang, Selangor. Selepas itu kami berpisah dan tidak kesempatan bertemu. Tetapi ditakdirkan terbuka hati saya  dan berkesempatan berkunjung ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah autobiografi kisah hidup Pak Nora yang ditulisnya tetapi disusun oleh Zakaria Sungip daripada Penerbitan Galeri llmu.

Pak Nora selepas bersara daripada Utusan Melayu lebih dikenali sebagai "Sasterawan Agama" yang terus menerus mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Khalayak bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangannya tetapi turut juga merasakan detak dan nilai rasa, limpahan sungai pengalaman kehidupannya dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah di media-media dakwah tanah air.

Pada awal tahun 2011 saya berjaya menghubungi Zakaria Sungip di Galeri llmu dan daripada beliau akhirnya saya dapat berhubung dengan anak Pak Nora dan dapat mengunjunginya bagi mendapat gambaran sebenar  keadaan beliau.Setahun kemudian saya mendapat khabar bahawa
sasterawan Nora kembali ke rahmatullah pada 7 April 2012 lalu pada usia 85 tahun. Sebagai anak jati Sungai Mati; adakah masyarakat setempat menyedarinya? Adalah wajar pihak yang berkaitan mengenangkan buat sesuatu kepada anak bangsa ini misalnya pihak berkuasa tempatan boleh menamakan sebatang jalan di Sungai Mati atau dalam daerah Tangkak dengan nama pena atau nama penuh beliau.Penulis dan Sasterawan bukanlah mudah dilahirkan.Mereka adalah anugerah alam dengan bakat batini dan deria rasa kurnia Allah SWT.Kini saya anak jati Serom 2 Hilir akan meneruskan legasi dan akan memupuk suburkan sastera bangsa selagi hayat dikandung badan (Dia Yang Pergi: Rajiee Hadi)


DIA YANG PERGI
( Al Fatihah Sasterawan Nora @ Hj. Ali bin Hj. Ahmad)

Sebagai anak sekampung pascamerdeka
segala nukilan kreatif menjadi pedoman
kebanggaan kehebatan kemashyuran
namamu Nora di tinta pena yang meniti
dari waktu remajaku bersemi alam ini

Sebagai anak sekampung yang menyeka debu
merah jalan becak bendang belukar melalang
menjadi teladan generasimu yang di kota
menyalur berita akhbar ternama di utusan
saban minggu mengasuh hati nurani sastera bangsa

Sebagai anak sekampung yang juga menitip
keluh rasa surat pembaca dan secebis kisah
kau dengan tekun membimbing dan membina
setiap bait klausa dan untaian puitis
menjadi nama besar dalam karya dan sebuah nama

Nora, di penghujung hayatmu di luar rumah utusan
nama Sungai Mati sering kau sulam dalam madah
setiap tazkirah kata hikmat pujangga sabda dan firman
katamu kehidupan di sebalik sana nanti kau impikan
kampung kelahiran  pangkalan menemui tanah sejati

Begitulah kudrat iradat yang tercatat
di mana-mana adalah milik Tuhan
kita hanya merancang dan mahu merasakan
manisnya hari di penghujung usia yang kental ini
ada ketikanya kita rapuh dengan fitrah ini
menemui Kekasih Abadi!



Rajiee  Hadi
Rumah Mahkota Bangi SDE
21/9/2012