HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

29 Mei 2018

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BERI PERHATIAN POLITEKNIK

LATAR BELAKANG ISU:

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.


Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.


Politeknik Merlimau, Melaka.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').


Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.


Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.


Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.


Politeknik Nilai, Negeri Sembilan DK.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia (ketika itu), nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.


Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? (sekarang Datuk Seri ldris Jusoh). Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?


 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.



Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.


Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (Rujukan artikel: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily: 18 April 2012)




ISU TERKINI SITUASI POLITEKNIK MALAYSIA:


Status kedudukan Politeknik Malaysia (termasuk Kolej Komuniti) sering terumbang-ambing dalam kancah situasi politik negara. Seringkali "berpindah-randah" antara KPM ke KPT kemudian ke KPM ke KPT dan sekali lagi ke KPM selepas PRU 14. Semoga pembubaran KPT dan kembali semula ke KPM akan memberi impak dalam beberapa perubahan dasar dan kebajikan para pensyarahnya. 


Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak DR.


Apa yang nyata, sewajarnya para pensyarah muda Politeknik Malaysia yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas perguruan (Diploma Pendidikan, Diploma KPLI dsb) diberi peluang kursus ikhtisas perguruan seperti Kursus Dalam Cuti di mana-mana IPGM. lni bagi meningkatkan profesionalisme para pensyarah dalam P & P di bilik-bilik kuliah dengan lebih sistematik.

Kenaikan pangkat para pensyarah untuk terus ke gred 52/54/Jusa perlulah setara seperti para pensyarah di IPG dan IPT yang lain-lain. Mana-mana pensyarah yang memiliki ijazah PhD atau master perlu diberikan kenaikan gred yang setaraf dengan kelayakan akademiknya seperti rakan-rakan mereka di IPG. 

Penilaian berdasarkan kemampuan akademik sebagaimana para pensyarah di IPT bolehlah diteruskan dengan syarat validator atau penilainya sewajarlah mereka yang berkelayakan akademik setara atau lebih tinggi daripada itu. Misalnya jika di universiti; pensyarah kanan atau profesor madya akan dinilai prestasinya oleh para profesor. 


Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Baharu, Johor DT.

Adalah tidak masuk akal jika ada para pensyarah politeknik yang memiliki ijazah PhD atau master tetapi validator atau penilainya hanya memiliki ijazah sarjana muda! Sudah pasti, situasi begini boleh dijadikan bahan lelucon!


Sistem time-based seperti yang kini dilaksanakan di sekolah-sekolah di bawah KPM boleh juga disamatarafkan juga dengan kolej-kolej komuniti dan politeknik.
Dan semoga kemasukan para pelajar baharu ke politeknik juga tidak melalui "pintu belakang politik". 

Justeru, Politeknik Malaysia di bawah KPM sudah tentu mahukan merit kecemerlangan para graduannya di pasaran pekerjaan dan demi nama baik dan masa hadapannya.
Oleh itu terima kasih KPM dan selamat maju jaya Politeknik Malaysia dengan dimensi dan perspektif baharu. (DRH)











Tiada ulasan:

Catat Ulasan