HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

8 Julai 2014

MAKTAB PERGURUAN BAHASA

oleh : Dr Hj. Rajiee Hadi

KETIKA saya menerima tawaran dan mula mengikuti kursus asas perguruan di maktab  perguruan tersohor iaitu Maktab Perguruan Bahasa /MPB (Language lnstitute) di Lembah Pantai,Kuala Lumpur pada tahun 1976, perasaan,emosi dan minda saya berbau syukur, bangga yang patriotik dan terharu yang boleh menyebabkan titis-titis jernih membasahi pipi.Bapa saudara saya Abdul Hamid Puteh yang saya panggil ‘Ucu’ (adik bongsu emak saya) yang bekerja sebagai anggota polis telah menanti saya di Hentian Pudu Raya,Kuala Lumpur.

Walapun saya pernah datang bergelandangan di Kuala Lumpur pada tahun 1975 dan bekerja sebagai pembantu gerai beberapa bulan sahaja di Hentian Kota Raya atau dipanggil ‘Hentian Toshiba’ iaitu terminal bas ke Klang yang berhampiran ‘Central Market’ tetapi sebagai anak remaja bahaya boleh datang pada bila-bila masa. lbu bapa (panggilan emak dan abah) berpesan agar Ucu menunggu dan membawa saya ke Jalan Pantai Baharu atau lebih dikenali dengan nama Lembah Pantai.


Perjalanan saya dengan bas bersambung dari Muar ke Melaka (Mos Omnibus Sdn.Bhd), Melaka ke Tampin, Tampin ke Seremban (Southern Bus Company) dan Seremban ke Kuala Lumpur (Foh Hup Sdn.Bhd) memakan masa lima jam.Perjalanan amat penat dan meletihkan.Mujur Ucu telah sedia menunggu dan kami terus menaiki bas Seri Jaya untuk ke Jalan Pantai Baharu. Kebetulan bas penuh dikerumumi oleh mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM kampus lama).


Saya terasa teruja dan sedikit cemburu melihatkan telatah berberapa gaya dan penampilan mahasiswanya yang menjadi idaman saya semasa zaman persekolahan di tingkatan enam dahulu.Lagu ‘Kasih Sayang’ nyanyian A.Riyanto daripada filem ‘Akhir Sebuah Impian’ ketika itu begitu memberi motivasi di kalangan kami. Jauh di hati kecil saya tentu di kampus UM telah ‘ditakluki’ rakan-rakan sepersekolahan seperti Syed Jaafar, Abdul Rahman Abdol,Tumaisuri Sukaimi, Borhan Amin, Hashim Mos dan Ariffin Jais. Di UKM tentu saya boleh bertemu Abu Hassan Harun, Masjidin dan Sit Zaleha .

Dan kemasukan saya ke MPB atau Language lnstitute (L.I) tentulah sesuatu yang membanggakan kerana maktab perguruan ini dianggap berprestij dan tersohor namanya.Nama-nama tenaga pengajarnya yang telah mencipta nama di situ seperti Lokman Musa, Awang Had Salleh, Adibah Amin dan Mustaffa Kamal Yassin (Kala Dewata, bapa aktor Azmil Mustaffa) sudah amat dikenali umum.Sudah tertanam di sanubari saya bahawa kemasukan saya ke MPB ini adalah sebagai laluan untuk saya jadikan batu loncatan untuk saya melanjutkan pelajaran ke menara gading pada suatu hari nanti.

Sebagai bekas pelajar tingkatan enam yang menempuh dan meraih Sijil Tinggi Persekolahan (STP/HSC) sudah tentu saya merasakan ada sedikit kelebihan daripada para pelajar lepasan SPM/MCE.Selepas menjamu selera di kantin MPB bersama Ucu  pada petang itu lalu Ucu menghantarkan saya ke pusat pendaftaran pelajar baru di lantai bawah Asrama Bukit Pantai. Kemudian kami pun berpisah danUcu pulang ke Depoh Briget Pasukan Polis Hutan (PPH) Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur.


Namun sangkaan saya meleset. Di MPB saya bertemu rakan-rakan guru pelatih yang lebih senior usianya. Ada yang pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih, ada yang sebelum itu pernah bekerja di sektor awam mahupun swasta. Dan ada yang menganggur bertahun-tahun sebelum berjaya ke MPB.Dan di sinilah kami bertemu, bergaul berganding bahu dan menimba ‘cerita kota ’ suka duka selama dua tahun. Dan di sinilah nama ‘Rojins’ disebut setiap rakan MPB sebagai panggilan nama manja..

Dan dengan elaun guru pelatih di luar kampus RM150 setiap bulan atau RM40 berbaki setiap bulan jika tinggal dalam kampus maka boleh menyebabkan bertambah lagi air mata saya jatuh berguguran ketika baru menginjak usia yang ke-19 tahun.Bagi kami, ibu bapa pada zaman itu hanya membekalkan semangat dan doa restu; bukan wang ringgit atau apa jua yang boleh melegakan. Jika ada guru pelatih yang berwang kemungkinan mereka sebelum itu telah mempunyai pekerjaan lain.

Kejayaan memasuki kursus  pendidikan asas perguruan semata-mata demi menjamin kerjaya masa hadapan di samping minat yang mendalam dalam bidang pendidikan dan keguruan. Dalam bab ini dan seterusnya bukanlah saya mahu mengisahkan rentetan perjalanan kehidupan saya semasa di MPB tetapi mahu menghubung kaitkan bagaimana Maktab Perguruan lslam (MPI) itu telah menyentuh kehidupan saya seawal tahun 1977 lagi. Ketika itu saya berada pada tahun kedua di MPB.

Saya masih ingat MPI ‘menumpang’  premis MPB ketika saya seronok menjalani aktiviti kokurikulum di sebelah petang. Saya aktif dalam pasukan pengakap MPB.Saya juga bergiat dalam aktiviti kesenian di samping turut masuk kelab karate MPB dan persatuan-persatuan lain.Kisah ini akan saya paparkan khusus dalam bab lain.

Setiap petang rabu saya akan siap beruniform pengakap bersama rakan-rakan sekuliah; Sahak Wahid, Museri Talib, Chew Hock Liong, Azizi Zakaria, Arshad, Arumugasamy dan lain-lain. Kami dari kelas kuliah kumpulan PMIA 2 (Pengajian Melayu & llmuAlam). Manakala pasukan pandu puteri atau pengakap wanita dari kelas kami ialah Teh Khadijah, Rusni, Asmah, Rukiah,Che Puteh dan Rohayah. Kumpulan pengakap dari kelas kuliah PMS (Pengajian Melayu & Sejarah) seingat saya Hassan Topit, Khairuddin anak Kuala Pilah (Allahyarham) Abdul Kadir Abdullah (Yang DiPertua Persatuan Guru Pelatih MPB 1977)Jailani Ahmad (anak Serom Lima) Masjidin, Sobri,Rashid Dogol dan Kamaruzaman Abdullah.

Dari kelas PIIA (Pengajian lnggeris & llmu Alam) antaranya Roslan, Shanmugam, Rashid, Ranjit Singh dan Reduan. Dan dari kelas PPAK (Pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak) tidak ketinggalan Chan, Khairuddin Wahab, Khatijah dan Hajah Kamisah Puasa. Apabila tiba jam 3.30 petang kami berkumpul di Dataran MPB di hadapan bangunan ala Minangkabau lalu berbaris dan berkawad dengan penuh semangat yang berkobar-kobar.

Kebetulan saya adalah ketua kumpulan bagi grup saya. Sahak Wahid pula penolong ketua kumpulan. Dalam angin sepi-sepoi bahasa petang itu rambut saya yang panjang dengan cermin mata persis Bruce Lee, berbuai-buai ditiup angin. Kebetulan pada waktu itu juga jelas di hadapan dataran tempat kami berhimpun kelihatan para guru pelatih MPI keluar dari bilik kuliah masing-masing kerana menikmati waktu rehat.

Ada juga kelihatan beberapa pelajar MPI bersembang di hadapan pejabat pengetua. Pengetua  MPI (pengetua pertama) ketika itu,  Dr Abdul Hamid 0thman (Tan Sri, meninggal dunia 2012).Sebagai anak-anak muda tentu kami ada sikap mahu menunjuk-nunjukkan ‘kehebatan dan ketampanan’ kami ketika berkawad ketika itu.Apatah lagi ketika pelajar-pelajar puterinya@ bakal-bakal ustazah yang melintas hilir-mudik di hadapan kami dengan tunduk sopan tersenyum-senyum mendalam penuh makna.

Sebenarnya pada peringkat awalnya, MPI hanya merupakan satu unit Pendidikan Agama Islam di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras, Kuala Lumpur pada bulanFebruari 1977.
Unit Pendidikan  Agama Islam telah menawarkan kursus kepada 87 orang pelatih dengan tiga orang pensyarah. Kursus yang ditawarkan hanyalah KursusPerguruan Sekolah Menengah sahaja.

Selepas itu pada 25 April 1977, tertubuhlah Maktab Perguruan Islam secara rasmi dan berpindah dari satu unit di MPIK ke bangunan MPB, sesi sebelah petang sehingga November 1977. Di sini, Kursus Pendidikan Perguruan Sekolah Rendah dimulakan dengan pengambilan 237 orang pelatih baru Tahun 1. Tiga jabatan diwujudkan iaitu Jabatan Pengajian Agama Islam, JabatanPendidikan dan Jabatan Bahasa Malaysia.

MPI di MPB hanyalah sehingga November 1977, ketika saya kian hampir menamatkan kursus perguruan asas. Kemudian MPI berpindah kali kedua di bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Petaling Jaya sehingga April 1983. Bermula bulan  Mei 1983, Maktab Perguruan Islam berpindah pula di bangunan UKM, Lembah Pantai Kuala Lumpur, sementara menunggu bangunan baru maktab siap di pinggiran Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

MPI mengalami perkembangan pesat sejak ia ditubuhkan. Pada tahun 1990 bilangan pelatih meningkat kepada 1,217 orang dan pensyarahnya bertambah kepada 110 orang. Kursus-kursus yang ditawarkan selain dari Kursus Perguruan Asas Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah, Kursus Dalam Cuti, Kursus Diploma Pendidikan dan Kursus Dalam Perkhidmatan turut ditawarkan.

Dan sudah tentu kini di MPI setelah dinaikkan taraf kepada lnstitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai 1 April 2006 telah menjalani banyak perubahan pesat dalam kurikulumnya; antaranya mengendalikan kursus sarjana muda perguruan (B.Ed.) dan terus mengelolakan Kursus Perguruan Lepasan ljazah (KPLI), Kursus Lepasan ljazah Guru J-QAF dan latihan-latihan guru dalam perkhidmatan.

Sepanjang yang saya tahu dan ketika travelog ini ditulis lapan buah jabatan telah ditubuhkan iaitu Jabatan Pendidikan Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan PengajianMelayu, JabatanBahasa, Jabatan Kajian Sosial dan Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Penyelidikan. Dan seterusnya dari MPB ke MPI maka perjuangan saya dalam dunia pendidikan bermula dan berterusan tanpa noktah akhirnya.