HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

24 Julai 2017

Puisi: AYAH

setelah terpisah
sekian lama
rindu memacu
jarak mendekat
matahari berlalu

beku merindu
mencair waktu
tiada kalimat
kian merapat
antara kita

ayah oh ayah
kuingin sekali
mematuhi nasihat
hati terjerat
menyusuri kudrat

ayah oh ayah
semakin lapang
semakin lelah
menjadi bimbang
menghitung impian

aku, di sini ayah
masih seribu cerita
membaca sejuta makna
kau telah tiada
aku rindu padamu!



RAJIEE HADI,
McD, BSP Bangi SDE.
24 Julai 2017.

23 Julai 2017

PUISI:SUKMA

masih lagikah
sepi memburu
membelah sukma
merungkai sanubari

masih lagikah
semarak kata
membara makna
membisik kalbu

masih lagikah
madah berbunga
melayukan frasa
menggoncang wacana

masih lagikah
setiap kalimat
setiap hasrat
menyayat kudrat?

RAJIEE HADI
Anggerik USIM,
23 Julai 2017.

21 Julai 2017

Puisi: ISTERI

setiap saat
kehidupan ini
berubah rupa
tempat berteduh
terik matahari
pesanku padamu
hiduplah sepenuhnya
setiap detik masa
sementara ada waktu
entah esok ada
atau tiada lagi

sesungguhnya payah
menemui seseorang
menyayangi mengasihimu
sepenuh kalbu hati
jika ada seperti itu
dia terbaik untukmu
pegang erat tangannya
insan baik pekerti
entah esok ada
atau tiada lagi

jika ada seseorang
semena-mena hadir
dengan isyarat mata
memanggil namamu
kawallah nurani hati
walau kalbumu
getar berdebar
fikirlah waktu ini
apa yang ada ketika ini
sebuah kisah terjadi
entah esok ada
atau tiada lagi

setiap saat
kehidupan ini
berubah rupa
tempat berteduh
terik matahari
amanah isteri
hiduplah sepenuhnya
setiap saat itu
masih ada waktu
setia berbakti
kematian pasti
entah esok ada
atau tiada lagi.


RAJIEE HADI,
Bandar Seri Putra,Bangi,SDE.
1 April 2005.





Puisi: DATARAN

dataran cancelori
suatu waktu dahulu
himpunan wacana ilmu
galeri cenderamata
kiost buku-buku terkini
tumpuan siswa siswi
gamatnya memori itu

karaoke dari mana
arah gema kumandang
mengikut perdana arus
giur angkatan muda
dendangan klasik moden
mahu melupakan getir
politik ombak melanda

seketika mengenangkan
tidak siapa peduli lagi
seminar forum diskusi
gelisah sosial ekonomi
resah takdir generasi
jiwa debar gelora
untuk siapa mengapa.



RAJIEE HADI,
UKM, Bangi.
20 Julai 2017.

17 Julai 2017

Puisi: DADAH

tidak berguna lagi
dadah kian laju
tiada hala tuju
melayu kian layu

tidak berguna lagi
otak akal bestari
jawatan melangit tinggi
dadah kuasai diri

tidak berguna lagi
rempit membunuh diri
dadah menggantung emosi
membunuh keluarga sendiri

tidak berguna lagi
canang negara maju
debu karpet disembunyi
sengketa sesama sendiri

tidak berguna lagi
lena semua agensi
sepi di pusat serenti
penjara tidak bererti

tidak berguna lagi
cempedak menjadi dedak
nangka menjadi puaka
puaka menjadi neraka!


RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
16 Julai 2017.

16 Julai 2017

Puisi: JODOH

jodoh azali itu
dalam rahim ibu
ketentuan-Mu llahi
rahmat saksama-Nya
kasih sayang fitri
kehidpan maya ini

bukan tiada jodoh
haluan tidak menentu
umpama buih lautan
terapung menghilang
tiada upaya diri
hidup tiada erti

bukan tiada jodoh
jika sudah termeterai
ijab kabul mungkiri
nikmat kufur dicari
tanpa syukur redai
murka kafarah Rabbi

jodoh itu rezeki
membina rumah Allah
pahala jamak berganda
bertangisan iblis laknatullah
tiada jalan lagi
merosakkan umat nabi.



RAJIEE HADI,
Residensi Awan Prima,
Bangi, SDE.
15 Julai 2017.

15 Julai 2017

Puisi: KENANGAN

masa berlalu
tidak kembali
catatan kenangan
jadikan sempadan
di bayangan impian

biarlah tenggelam
di lautan dalam
semoga di pelabuhan
mencatat ingatan
samudera kehidupan

hari-hari ini
taulan kian saling
berkunjung salam
mahu membina
kenangan menghilang

hari-hari ini
terimalah hakiki
dahulu berjauhan
kini bersahutan
tiada kepastian

hari-hari esok
usah ditangisi
kita bina kembali
kekurangan diri
doa,reda & pasrah
di sini menanti.


RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota,SDE.
15 Julai 2017.


14 Julai 2017

Puisi: DI PERHENTIAN ITU

di perhentian itu
aku setia menanti
duhai kehadiranmu
peluit kereta api
mahu berlepas pergi
ke destinasi abadi

kaupun datang
akupun termangu
apakah pintu itu
telah ditutup rapi
sebelum berangkat
meninggalkan daku

sesekali menoleh
ke arahku menyepi
kerana mengenangmu
memungkiri janji
tanpa mengotakan
rukun bersemi

saat itu pasti
apabila waktunya
isyarat pun berbunyi
landasan terbentang
tiada simfoni lagi
kereta api pun pergi.

RAJIEE HADI
14 Julai 2017
BBM, Bangi.

13 Julai 2017

PUISI : MERDEKAKAH

Loh, diburu-buru
letih fantasi
lemas birokrasi
lama diselongkari
laba menanti
lumunankah kini

hasil khazanah
habuan negeri
hisab akauntasi
hindari nurani
hambatan duniawi
histeriakah kini

di manakah insani
dibaham si kerdil
disekat perjalanan
di lapangan benua
dinafi kebebasan
dajalkah kini

ngeri bermimpi
negaraku pertiwi
niaga korupsi
nadi terhenti
nilai disingkiri
naga menanti!

RAJIEE HADI,
BSP Bangi.
13 Julai 2017.

PUISI : MALAM

sunyi malam
ada suara
suara getar
getar batini
batini sepi
sepi mandiri

dinihari malam
ada bisikan
bisikan kalbu
kalbu jauhari
jauhari sufi
sufi maknawi

gelita malam
ada kelam
kelam alam
alam benderang
benderang jiwa
jiwa rohani

bicara malam
ada tafsiran
tersirat firasat
firasat hakiki
hakiki diri
diri & Ilahi.

RAJIEE HADI,
Nilai N9.
12 Julai 2017.

12 Julai 2017

PUISI: AWAN

sebenarnya awan
aku tidak pernah
jauh dari hidupmu
kau yang tidak
pernah menyedari
aku ada dalam
hidupmu dahulu
hinggi kini membuat
bulan & matahari
pun jadi keliru

sebenarnya awan
kau yang tidak
pernah melihat
ketika mendung itu
aku setia menantimu
walaupun tiba-tiba
hujan di tengah hari
kau pun menghilang
aku pun kebasahan
nestapa air mata

sebenarnya awan
kau melupai janjimu
tatkala berarak indah
burung berterbangan
langit memayungimu
bianglala menghiasi
suria bayu mengerti
saujana kalbu merindui
namun hamparan lautan
tidak pernah dusta
tidak pernah dusta!


RAJIEE HADI
PUTRA NILAI, N9.
11 JULAI 2017.


9 Julai 2017

PENYAKIT

SETIAP penyakit adalah ujian dan tanda Allah kasihkan kita. Bahkan penyakit yang datang dalam hidup kita adalah penghapus dosa daripada Allah Yang Maha Pengasih.Semoga kita akan dikuatkan iman dan takwa menghadapinya dan dengan iringan doa syafakallah daripada Yang Maha Berkuasa.

Begitulah saya; beberapa bulan yang lalu  sering sakit perut (dalam abdomen), rasa banyak angin (gas), kekadang sesak nafas, pening, degupan jantung yang kencang dan sebagainya. Kemudian saya mengambil keputusan membuat diagnosis (pemeriksaan klinikal) segera di sebuah pusat kesihatan, melalui ujian darah dan urin (urine).

Oleh kerana rasa pedih-pedih hati (liver), saya mencari info dari sumber internet. Saya pun berhenti makan yang pedas atau makanan mengandungi lada/cili, masam (asid), minuman berkarbonat dan kafein (kopi,teh dsb.), mengurangkan gula dan garam dalam  minuman dan makanan serta merta.

Saya mengesyaki saya mengalami keradangan usus kerana tanda permulaan sukar membuang air (besar atau kecil), sukar benafas dan stres. Setelah dibuat ujian klinikal ( blood test report)  "H. PYLORl " (Helicobacter Pylori igT)  perut/usus, keputusannya  perut/usus saya dijankiti kuman (bakteria xxx)/" POSITIVE : Serological evidence of an active infection or an asymptomatic colonisation by H.Pylori. SUGGEST: Urea Breath test to confirm (Normal Range: kurang 10 negative/10-20 equivocal/lebih 20 postive/ CURRENT: 35)

Alhamdulillah, mujurlah dapat dikesan awal selepas 30 Jun 2017. Apa yang saya suka memberitahu , puncanya daripada jenis pemakanan termasuk daripada makanan dan minuman yang mengandungi bakteria (kuman) sama ada dari kedai-kedai makanan ataupun makanan dan minuman terdedah di rumah dan di luar rumah (Awas: Jangan minum minuman/makanan yang terdedah/terbuka lebih 24 jam KECUALI disimpan dalam peti sejuk kerana telah belaku tindak balas fizik yang menghasilkan bakteria jahat). Dan amat merbahaya andainya dalam tubuh anda telah merosot imunasi (immune).\

Tahukah kalian, jika kita tidak peka boleh menyebabkan ulser perut/usus luka yang boleh menyebabkan najis atau muntah berdarah;najis kehitaman, dan apabila asid yang banyak menghasil alkaline phospathe (Normal Range: 56-119: Current: 134/2017/ Previous: 150/2015) yang boleh menyebabkan pedih hati yang mana jika tidak dikawal cegah boleh 'abdominal pain' dan  menyebabkan Hept.B dan penyakit-penyakit kanser perut (Nahuzubillah Minzaliq).

Apa yang mahu saya kongsikan, janganlah pandang remeh dan ambil sikap tidak acuh apabila kita sakit perut atau sakit dalaman abdomen (usus, batu karang, buah pinggang, hati,apendik,dll). Langkah pemeriksaan awal adalah langkah pencegahan. Doktor telah memberi saya dua jenis antibi
dan Antibiotik xxx) bagi"memusnahkan" kuman (bakteria jahat) tersebut.Sekarang saya dalam proses pengubatan/rawatan (treatment). Saya juga perlu mendapat nasihat doktor untuk diberikan suntikan imunasi (imune) untuk pencegahan Hep.B kerana ujian klinikal saya  (Hep B  Surface Antbody) kini hanya  level 51 ( non-immune kurang 10/ low level immunity 10-50/ immune lebih 50).

Doa daripada anda semua (termasuk sesiapa yang mengalami masalah yang sama) agar saya diberikan kesembuhan (syafakallah) segera dan dijauhikanlah daripada sebarang penyakit kronik sama ada yang merbahaya atau tidak merbahaya.Semoga Allah SWT jua yang membalas segala doa tuan/puan/sdr/sdri untuk kebaikan dan kesembuhan buat saya.

Sesungguhnya saya amat bersyukur Allah Yang Maha Pengasih telah membuka awal pintu hati saya menyedari awal simpton ini.Semoga jua pengalaman saya ini dapat dikongsi kepada semua sebagai peringatan dan ikhtibar serta amal jariah & tarbiyah daripada saya. Yang baik datang dari Allah SWT, yang lemah datang daripada saya. Amin ya Rabbal al' amin. (DRH).














8 Julai 2017

PUISI: BULAN

bulan sabit
tidak dipuja
namun dinanti
tabir senja
lebaran tiba

bulan sabit
mercu bicara
tiada ungkapan
membisu bahasa
darimu juita

bulan sabit
petanda usia
tanpa waspada
wahai adinda
mengapa alpa

bulan sabit
tatkala lamaran
di hujung dinihari
sepi sendiri
cinta hampa

bulan sabit
kian menghilang
di tirai fajar
menanti purnama
tiada erti.


RAJIEE HADI
Bukit Mahkota, Bangi.
8 Julai 2017.

3 Julai 2017

Puisi: NILAI TIGA

di manakah waris
pepatah-petitih
bumi beradat
kucari tiang seri
kehilangan arah
tiada di sini
negeri terasing

apakah bermimpi
di sini Lahore
atau Rawalpindi
pelancong Malaysia
keturunan Melayu
berpusu-pusu menemani
di hujung minggu

karpet silih berganti
langsir bertukar warni
cadar corak baharu
tudung & jubah
mesti dibeli
walau di almari
masih mewangi

di manakah waris
penjaga pusaka
gadis muslimahku
bergesel bahu
bergoyang tubuh
nafsu mata penjual
kian liar terpendam

di kaki lima itu
saban detik waktu
gelincir matahari
tidak siapa peduli
tergadai susila
maruah tercela
di tanah negaraku!


RAJIEE HADI
Nilai 3 N 9,
24 Jun 2017.

2 Julai 2017

PUISI: UNIVERSITI


apakah universiti
kian membeku
tidak ditimbuni
buku-buku ilmu
terasa membisu

profesor kontrak
emiratus atau adjung
tidak putus-putus
pidato kunjung
datang & pergi

universiti sepi sunyi
unggas-unggas berbunyi
burung-burung bersiulan
memecah keheningan
tukang cuci berkeliaran

apakah universiti ini
kantor musim lebaran
sana-sini bersantai
bunyi fon berterusan
tidak siapa peduli.

RAJIEE HADI,
B.B.Bangi.
6 Syawal 1438H.
30 Jun 2017.

1 Julai 2017

SAAT DEMI SAAT

CERPEN

SAAT DEMI SAAT


Oleh RAJIEE HADI


Sepanjang penerbangan kita ke Kota Denpasar iaitu destinasi indah di Pulau Bali, Mira asyik bercerita mengenai kebimbangannya meninggalkan Emilda dan Emran. Sesekali kau bercerita pasal saat-saat kehidupanmu bersama arwah yang terdahulu.

Aku berdiam diri sahaja bukan bermakna aku berminat mendengar celotehmu itu tetapi kerana aku memahami dirimu kini yang dilanda krisis identiti dan gangguan personaliti. Tetapi tanpa kuduga kau mengambil kesempatan untuk terus bercerita dan berceloteh atas isu yang sama dan berterusan berulang-ulang kali.

Aku tidak jemu pula sentiasa menenangkan gelojak jiwa dan kecelaruan mindamu dengan memberi kata-kata motivasi dan menanamkan keyakinan dalam dirimu. 

Sebagai manusia biasa, hatiku juga tersentuh apabila kau mempersendakan dan memperlelekehkan berhubung perkara-perkara yang tidak manis kuperkatakan.

Aku tidak pasti sama ada kau di bawah sedar atau sebaliknya memperkatakan banding beza hal-hal peribadi.

Aku dan Mira cuma berhasrat mahu bersantai sahaja di kawasan Kuta di Denpasar pulau Bali yang terkenal itu. Tambahan pula kami kesuntukan waktu; sekadar tiga malam.Pada hari pertama, kami cuma berehat di dalam kamar di sebuah hotel yang sesuai untuk kami umpama seperti pasangan yang berbulan madu.

Hotel yang kami diami itu tidak jauh dari pantai Kuta dan kawasan yang sibuk dengan berjualan aneka oleh-oleh dan cenderamata yang pelbagai ragam.

Pada hari kedua aku dan Mira di Denpasar, pada sebelah petang kami berkesempatan ke Tanah Lot di Kabupaten Tabanan yang terkenal dengan keindahan puranya di atas batu karang di pinggir pantai . Kami dapat menyaksikan keindahan matahari terbenam yang menakjubkan.

Sebelum itu pada sebelah pagi dan tengah hari kami ke Ubud, kawasan membeli-belah di kawasan tanah tinggi. Kami kemudian bertolak ke Kintamani dengan van yang dipandu oleh Pak Arman. lndahnya aku dan Mira dapat menyaksikan pemandangan Gunung Batur dan danau Batur di Kabupaten Bangli sambil makan tengah hari yang enak di restoran puncak itu.

Hari berikutnya pula aku dan Mira berkesempatan ke Nusa Dua dan pantai Jimbaran. Nusa Dua terletak di selatan Bali dan terkenal kerana keindahan alam pagi yang mempesonakan. Di sini aku dan Mira saling mengambil potret untuk kenang-kenangan kami.

Pantai Jimbaran yang terletak di sebelah selatan  bersebelahan dengan pantai Kedonganan.Pantai ini terkenal kerana kejernihan airnya, nyaman  dan sesuai untuk berenang , bersantai dan berjemur diri.

Sekurang-kurang aku dapat melihat mata Mira jernih seketika lantaran dapat melupakan perkara remeh-temeh yang difikir-fikirkannya selama ini.

Dalam hatiku sering berteka-teki dan bersoalan ; apakah ini petanda dan gejala keresahan jiwamu Mira, yang menghantui kehidupanmu masa lalu? Adakah ini juga simpton ketidakpuasan kehidupan silammu yang terdahulu? 

Walaupun aku cuba berdiam diri namun aku juga cuba ketawa dan mengeluarkan hujah-hujah yang bersalutkan gurau senda. Seperti telahanku, ada kebenarannya bahawa jika aku menyatakan bahawa tanpa kau sedari, kau tidak berpuas hati akan kehidupan masa lalumu itu.

Sebab itu kau membangkitkan isu berkulit gelap dan berperut buncit. Apakah arwah berkulit gelap dan berperut buncit? Apa yang aku tahu penghidap atau pesakit kanser hati keadaan fizikalnya sememangnya begitu.

Adakah kau masih tidak memahami situasi dan kondisi itu? Ataupun kau berpura-pura tidak mahu memahaminya?

Namun bersandarkan pengetahuan psikologi yang kutahu, hal-hal sebeginilah yang dikatakan gangguan-gangguan personaliti yang menghantui fikiranmu. Katamu Mira, kau tidak merasai alam percintaan praperkahwinan pada
ijab kabul yang terdahulu. Kau pun mengakui bahawa perkahwinan pertamamu masa lalu dengan bekas tunangan orang dan bukan pilihan hatimu tetapi atas kehendak keluarga.

Bahkan pada awal perkahwinanmu juga kau ada memberitahu kepadaku bahawa kau sendiri tahu yang arwah menghidap penyakit kanser yang merbahaya itu. 

Adakah ini menyebabkan jiwamu sering berasa tidak puas kerana ketika itu kau memaksa dirimu menyintai arwah?

Justeru, adakah kepura-puraanmu telah menjadi penyebab kau rasa bersalah setelah kematiannya dan setelah memperoleh dua anak?

lbn Qayyim al Jawziyyah dalam kitab at-Tibb an Nabawi ada menyebut selain penyakit jasmani terdapat sejenis penyakit hati atau rohani yang merupakan satu penyakit yang dihidapi oleh manusia.

Mira, ketahuilah bahawa penyakit rohani merupakan salah satu penyakit yang dihidapi manusia tetapi kurang mempunyai petanda zahir.la melibatkan emosi,jiwa dan perasaan serta roh yang tidak boleh dilihat dengan zahir pada pandangan mata kasar manusia.

Bahkan aku rasa Mira pun tahu bahawa penyakit hati ada disebut dalam al-Quran sebanyak 28 kali seperti mana antaranya dalam Surah al-Baqarah ayat 10, al-Maidah ayat 52, al-Anfal ayat 49, at-Taubah ayat 125, al-Hajj ayat 53 dan lain-lain lagi.

Menurut lbn Qayyim lagi penyakit hati itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit syubbah atau syak dan penyakit syahwat iaitu ingkar atau bangga. Justeru
lbn Qayyim menegaskan penyakit hati atau rohani ini jelas disebut dalam al-Quran seperti dalam surah al-Baqarah ayat 10 yang bermaksud:

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki),maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka…”

Mira aku juga mahu memetik firman Allah SWT dalam surah al-Mudassir ayat 31 yang bermaksud:

“…dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hati mereka dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?”

Manakala berkaitan penyakit syahwat itu Mira, lbn Qayyim juga mengaitkan dengan penyakit syahwat itu dengan perbuatan zina yang mana ada melalui al-Quran Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lemah lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”

Dan kesannya, adakah kau kini sentiasa teringatkan arwah dan tidak semena-mena aku pula yang menjadi mangsa keadaan atau korban percintaan? Dan adakah sebenarnya kau teringatkan impianmu bersama khayalanmu tatkala kau berstatus balu dahulu?

Aku juga masih ingat lagi, selepas majlis pernikahan kita yang sederhana itu, kau masih bercerita mengenai memori masa lalumu. Dan kau bagaikan tidak percaya bahawa kau telah selamat dijabkabulkan denganku oleh seorang kadi veteran lepasan pengajian lslam daripada Universiti lslam Antarabangsa Madinah, Saudi Arabia.

Bukan calang-calang orangnya. Tuan Kadi yang fasih berbahasa Arab dan Melayu itu. Syukur, pernikahan kita sah mengikut hukum syarak dan menepati syarat rukun-rukun nikah.

Apakah kau fikir, pernikahan itu wajib disertakan mengikut adat istiadat yang berdulangkan barangan mewah berjenama ? Ataupun diselaputi emas,permata dan berlian? 

Apakah mahar yang kuberikan khusus untukmu dengan persetujuanmu juga sebagai hak seorang isteri dan nilaiannya lebih tinggi daripada kadar mahar seluruh negeri di Malaysia itu tidak  bernilai buatmu, Mira?

 Apakah hantaran senaskah Al-Quran yang kuberikan sebagai simbolik untuk pedoman kehidupan kita di duniawi dan ukhrawi tidak bermakna bagimu? 

Dan apakah sebentuk cincin belah rotan buatan tempatan fesyen terkini yang terbaik dari negeri Cik Siti Wan Kembang yang kusarungkan di jari manismu itu hanya menjadi cebikan di bibirmu?

Bahkan kau sedia maklum Mira, menurut hadis riwayat lbn Hiban, Hakim, Baihaqi dan Ahmad ada menyebut, “ Sebaik-baik perempuan adalah yang paling murah maharnya.”

Dalam hadis riwayat Abu Muslim pula ada menyebut, “Abu Salamah bin Abdurrahman, berkata,”Aku bertanya kepada Aisyah isteri Nabi Muhammad SAW, “Berapakah nilai mahar yang diberikan oleh Rasulullah? Aisyah menjawab , “Mahar yang diberikan baginda kepada isteri-isteri  baginda ialah sebesar 12 uqiyah dan nasya.

Aisyah berkata, “Apakah kau tahu apakah nasya itu? Aku berkata ,”Tidak”. Kata Aisyah, “Nasya itu adalah setengah uqiyah. Maka nilainya sekitar 500 dirham. Demikianlah mahar Rasulullah untuk isteri-isteri baginda.”

Oleh itu Mira, benarlah apa yang diperkatakan oleh Ustazah Zawiyah seorang pendakwah bebas yang terkenal itu yang mana adalah bertepatan sekali ujarnya,  bahawa seorang gadis atau wanita yang paling baik adalah yang paling murah maharnya. lni bertepatan dengan hadis Rasulullah. Ustazah tersebut mengingatkan semula apa yang disampaikan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.
           
Malam ketiga kita dapat menjalinkan hubungan suami isteri dengan lebih intim.  Apa yang telah kita dapat laksanakan sebagai pasangan suami isteri, biarlah menjadi album kenangan peribadi kita yang indah.

Apa yang telah Mira buat dan apa yang Mira kecapi pada malam itu biarlah menjadi lipatan sejarah yang mempesonakan bersama hembusan angin malam yang beralun-alun desirannya dari arah pantai Kuta.

Angin malam itu bagaikan mengerti dan merestui hubungan suci kita di kota Denpasar ini. Angin malam itu bagaikan memahami impianmu dan impianku bersatu mencipta kenikmatan bersama anugerah Yang Maha Berkuasa.

Angin malam itu umpama dapat merasakan bahawa keintiman kita terasa lebih mengasyikkan. Biarlah detik-detik yang kita lewati itu menjadi hiasan abadi dalam dekorasi rumah tangga kita kelak.


Sebenarnya Mira, ketika kau meminta mahar dan hantaran yang mahal; sedangkan bakal suami yang melamarmu tidak memiliki sesuatu yang kau pinta; itu petanda kau boleh kehilangan keberkatan perkahwinan itu.lni disebabkan kau telah menyulitkan sesuatu yang baik bagimu iaitu sebuah pernikahan.


Bahkan dalam suatu ceramah di TV berkaitan bab munakahat seorang ustaz menjelaskan bahawa seharusnya pihak bakal isteri mempermudahkan maharnya, mempermudahkan bakal suaminya yang hendak melamarnya. Kerana ini adalah sunah Rasulullah. Hakikatnya adalah bahawa wanita sangat memerlukan pendamping sepanjang kehidupannya.

Seandainya wanita itu menolak lantaran kerana isu mahar maka wanita itu telah kehilangan seorang lelaki Muslim yang soleh dan akan merasai kerugiannya. Situasi ini berbeza jikalau bakal suami itu seorang yang berharta.Tidak salah memberi mahar yang tinggi kepada bakal isteri itu, kerana mahar itu adalah bentuk penghargaan yang memuliakan wanita.

Justeru Mira, aku juga sedar betapa Rasulullah sangat memuliakan wanita, begitu pula dengan mahar-mahar yang tinggi pada isteri-isteri baginda. Apatah lagi Rasulullah juga seorang hartawan dan dermawan.

Aku juga masih ingat sirah Nabawi mengenai soal mahar apa yang dikisahkan oleh Rasulullah kepada seorang pemuda ketika dia hendak berkahwin.Pemuda itu meskipun tidak memiliki sebarang harta namun Rasulullah menyuruhnya mencari sebentuk cincin walaupun daripada besi.

Apa yang menjadi peringatan kepada kita Mira, sesungguhnya lslam sangat memuliakan wanita. Sebab apa? Kerana sekiranya wanita atau bakal isteri itu tidak meminta mahar yang lebih maka tidak ada alasan mengapakah seorang suami enggan memuliakannya. Berdasarkan keterangan yang aku nyatakan ini, aku harap Mira memahami dan menerimaku seadanya.

Oleh yang demikian apa yang aku harapkan, apa yang telah Mira miliki dan apa yang telah Mira kecapi  semasa kami bersama di Kota Denpasar ini ,terlihat jelas daripada pancaran keriangan di wajahnya. Dan aku tabah membiarkan kenangan di Denpasar, Bali itu berlalu dan beransur-ansur hilang dalam pesawat yang membawa kami pulang ke tanah air. Masih kau ingatkah lagi Mira?



**************************************************************** 
 Hak Cipta Dr Haji Rajiee Hadi@ Tidak dibenakan plagiat,ciplak,adaptasi dan apa jua peniruan.Kesalahan tersebut akan didakwa di mahkamah. Hak cipta dilindungi SKMM.