HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

26 September 2016

MELAYU BOLEH HILANG DI DUNIA

Champa (Campa) : Tragis Sebuah Negara Melayu Yang Hilang Daripada Peta Dunia


Peta lndochina (nama asal: Champa kemudian bertukar menjadi Vietnam Utara & Vietnam Selatan.Kini Republik Komunis Vietnam)




BERATUS-RATUS  tahun yang silam. sebelum  bangsa/wangsa Melayu menangisi kehilangan pulau Singapura (nama asal Temasik), kita telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina. Lebih menyakitkan, wilayah tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan bukti tamadun awal rumpun Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan kawasan daratan dan perairan Asia Tenggara.



Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah Champa, yang telah berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka juga akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum Thai (Sukotai, Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China. Champa, atau apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan Houan-Wang (catatan China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang China), dan Tawalisi (catatan Ibnu Battutah).


Kini hanya tinggal sejarah dan penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam dan  Cambodia ( Kemboja) dan menjadi kaum minoriti di bumi sendiri.




Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan dalam legenda Cham sebagai Binasuar Manakala sejarah Dinasti Ming mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun 1360 masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari yang terakhir sebelum terbenam menghilang'’.


 Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam.


Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama iaitu dalam Syair Siti Zubaidah merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri. Bahkan  kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada tahun 1676 hingga 1678 masihi.


Dan catatan itu menyebut  bahawa Raja dan sebahagian besar penduduk negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana. Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M. Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah dihadiahkan sebuah Al-Quran.


Mahkota Kebesaran Champa


Maklumat mengenai raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum.lni kerana  kebanyakan raja-raja Champa semasa era Pandurangga (Phan Rang) sebagai ibu kota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan negeri-negeri Melayu di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.


Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara. Wan Bo dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi panglima perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja Chandranekalawa atau Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet. Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 masihi, Wan Bo bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan yang berpusat di Pandurangga.


Baginda kemudian diisytiharkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan bapa mertuanya Ban-La-Tra-Toan yang telah ditawan dan mangkat dalam tahanan musuh. Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 masihi dan digantikan oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan kemudiannya Wan Abdul Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).

Riwayat Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan regim Nguyen pada tahun 1570. Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang sudah sangat lanjut usianya telah ditawan dan mangkat dalam kurungan sangkar besi semasa diarak ke Kota Hue.


Pada tahun 1577, Datu Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani dan bersama anak saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera Kelantan bertolak dari kota Pangkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet untuk merebut kembali Pandurangga. Sebahagian besar darpadai bumi Champa yang telah jatuh ke tangan Dai-Viet sejak tahun 1471 masihi telah dapat dikuasai semula sehingga hampir ke Kota Hue. Setelah peperangan tamat dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah ditabal menjadi Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Dalam kalangan orang-orang Cham dan Vietnam, baginda lebih dikenali degan pangilan Po Rome,.Manakala orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.


Walau bagaimanapun, dalam tahun 1684 masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan Dai-Viet dan negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop). Po Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di Kemboja untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet. Putera kepada Po Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh Dai-Viet menjadi Raja Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia mengakui untuk membayar ufti kepada kerajaan Nguyen.


Setelah Po Jatamuh mangkat, kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top. Dalam tahun 1692, baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen setelah membuat pakatan dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di Kemboja dan kemudian terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan perbatasan Kemboja.


Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan berundur kembali bersama keluarganya ke Patani . Ayahandanya Po Ibrahim yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di Kampung Brek Bak. Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki kedaulatan sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan rajanya yang terakhir iaitu Po Chong Chan.




Sejarah kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan masa ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam artikel ilmiah yang terhad ini. Namun begitu, ianya bagaikan tidak bermakna pada hari ini kerana hanya tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah kekuasaannya telah susut sedikit demi sedikit sebelum hilang sepenuhnya. Dan kini seolah-olah menjadi tanah air asal untuk kaum Dai-Viet (Vietnam). Apatah lagi selepas perang saudara 1967 (perang ideologi) antara komunisme di utara dan kapitalisme di selatan menjadikan kini Republik  Komunis Vietnam.


Negara Champa telah merakamkan sisi gelap dalam sejarahnya yang sering menyebabkan kejatuhan sesebuah kerajaan di Nusantara.lni disebabkan perpecahan dalam kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta pengkhianatan yang dibuat oleh orang kepercayaan sendiri.Selain itu disebabkan sifat tamakkan ganjaran dunia. Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri pada hari ini tidak kira di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, termasuk di selatan Thailand dan di selatan Filipina, bukan mustahil  kadangkala tidak tahu mengenai kewujudan negara Champa.
Akhirnya saya sampai di Saigon (kini Ho Chi Minh City di selatan) manakala Hanoi City di utara Republik Komunis  Vietnam (dahulu: Kerajaan Melayu Champa)


Justeru, adalah amat mustahil untuk sebuah negara Champa wujud semula pada hari ini. Kadangkala saya terfikir, apakah mungkin kemusnahan Champa sebagaimana yang telah ditakdirkan; boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita semua pada hari ini. Dan bahawa sesungguhnya kegemilangan dan tingkat tamadun bukanlah suatu jaminan untuk sesebuah negara itu akan kekal selama-lamanya, melainkan dengan izin Allah jua.


Begitu juga dengan kehilangan pulau Singapura, boleh kita pelajari dan dijadikan refleksi kendiri, bagaimanakah bentuk dan corak negara kita pada masa akan datang jika kita terus tertipu dengan permainan golongan ultra-kiasu. Saya hanya ingin menekankan kepada dua aspek iaitu kita mesti bersatu dan bersikap amanah. Kita boleh berbeza fahaman dalam aliran politik seperti yang sedia wujud dalam politik kepartian di Malaysia antara UMNO-PAS-AMANAH-PKR dan sebagainya. Namun jangan sesekali berpecah ukhuwah dan menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan tanah air sendiri.


Pada hari ini, ada /beratus-ratus blog,youtube,istagram  dan laman sesawang yang diwujudkan hanya untuk menyerang mereka yang berbeza fahaman politik sesama kita Kendatipun kedapatan agak melampau dan berlebihan hingga 'melondehkan' keaiban  sesama sendiri kepada 'pihak luar' namun boleh dibilang dengan jari bilangan blog yang menyeru kepada mencari titik persamaan dan persefahaman dan menggalakkan penyatuan di sebalik perbezaan yang wujud.

Janganlah menyesal jika anak cucu kita pula kelak pada masa akan datang yang akan menangisi ‘kehilangan’ negara mereka dan menyalahkan serta mengutuk tindakan yang telah kita  buat pada hari ini.(sumber rujukan: lbnu Rushdi).

Disesuaikan  oleh SYEIKH AL-LATIS.

21 September 2016

DARI PULAU KE PULAU: MENJEJAKI PUJANGGA RAJA ALI HAJI DI PULAU PENYENGAT


PENGALAMAN menyusuri dari sebuah pulau ke sebuah pulau di Kepulauan Melayu atau di Nusantara ini adalah sesuatu yang nostalgik dan patriotik. Dalam catatan ini, tidaklah dapat saya mencatatkan satu persatu apa yang menarik di setiap pulau yang saya kunjungi. Kemungkinan pada waktu-waktu lain yang senggang dapat saya berbuat demikian. Ada perjalanan laut saya menggunakan feri mewah, ada yang menggunakan feri kecil, bot laju bahkan pernah juga menggunakan perahu berenjin dan tongkang. Dan sudah tentulah perut saya yang mudah alahan/alergik sering kembung angin dan kerapkali mengalami kekejangan abdomen.
Pulau Pangkor, Perak.
Bermula dari Pulau Besar Melaka, saya menyusuri ke pesisir pantai barat Semenanjung ke Pulau Pangkor dan kemudian ke Pulau Pinang.Dari Pulau Pinang saya menaiki feri mewah ke Pulau Langkawi.Dari Pulau Langkawi saya bergerak ke Pulau Phuket. Dari sini, hasrat saya mahu menuju ke pulau-pulau Andaman hingga menuju ke laut Benggala dan ke Dacca, Bangladesh serta ke Pulau Maldive dan ke Pulau Mauritius terpaksa saya tangguhkan kerana keadaan cuaca dan laut  pada bulan Disember ketika itu bergelora serta ancaman tsunami.

Saya tiba juga  di Pulau Phuket,Thailand

Perjalanan ke Pulau Krabi di Thailand dari Pulau Langkawi dengan menaiki feri besar memakan masa hampir dua jam ke Satun (masyarakat Melayu menyebut: Setul), Thailand. Satun ialah bandar yang sedang giat membangun yang termasuk dalam Wilayah Satun di Selatan Thailand. Pada asalnya Wilayah Satun adalah di bawah naungan Perlis/Kedah. Sebab itu penduduk di sini lebih 90% berketurunan Melayu/lslam dan bertutur bahasa Melayu dialek Perlis/Kedah. Dari Satun ke Hatyai dan Songkla menggunakan jalan darat (ada kereta persendirian dan bas awam/ekspres) yang memakan masa tiga jam dengan menggunakan lebuh rayanya (tanpa tol) yang moden dan selamat.


Dari bandar raya Hatyai banyak alternatif pengangkutan darat yang boleh disewa termasuk pakej pelancongan untuk ke destinasi Pulau Krabi. Perjalanan yang jauh memakan masa lebih daripada lima jam.Usahlah cemas, kerana ramai kini penduduk di Hatyai dan Songkla yang boleh bertutur Bahasa Melayu dengan baik. Saya melalui pengalaman ini dengan tawakal dan berpegang kepada bidalan Melayu,"malu bertanya sesat jalan.."
Pulau Kapas Terengganu terkenal pasir pantainya yang putih bersih.

Saya bergerak ke pantai timur Semenanjung dari Alor Setar ke Kota Baharu melalui lebuh raya Jeli yang sungguh mempesonakan. Di sepanjang jalan saya temui kehijauan hutan belantara, saujana tasik dan empangan yang terbentang serta ada yang mencemaskan apabila melihatkan gaung dan lereng keluk yang menyeramkan di pinggiran lebuh raya. Saya membatalkan hasrat ke Pulau Redang tetapi memilih Pulau Kapas di Terengganu dan Pulau Tioman di Pahang. Tidak dinafikan kedua-dua pulau ini ada daya tariknya yang tersendiri. Bagi pengagum alam dan riadah laut, Pulau Kapas dan Pulau Tioman adalah pulau yang paling sesuai menepati cita rasa.
Di Pulau Tioman, Pahang
Seterusnya saya ke Pulau Singapura (nama asalnya Pulau Temasik), kota kosmopolitan yang sering saya kunjungi untuk 'melarikan diri' buat seketika daripada suasana Malaysia. Saya kemudian ke Pulau Batam yang kini pesat membangun. Pulau Batam kini bagaikan pusat marina dan destinasi utama selepas Singapura bagi destinasi ke seluruh pulau di lndonesia. Bahkan Jawa, Sulawesi,Menado, Kalimantan dan Sumatera dalam wilayah lndonesia juga adalah wilayah-wilayah kepulauan.Dan seterusnya ke pulau-pulau Sulu, Pahlawan, Cebu,  Mindanao dan lain-lain lagi dalam wilayah kepulauan Filipna.

Saya ke Pulau Bintan tidak melalui pangkalan atau terminal feri Tanah Merah di Singapura. Kali ini saya menggunakan terminal feri di Stulang Laut di selatan Johor, Malaysia.Saya sudah lupa berapakah tambangnya, Tetapi seingat saya tidaklah mahal. Tambang sehala sekitar Rm60-RM80 sahaja. Feri yang saya naiki  berlabuh di terminal feri Bentan Telani di Tanjung Pinang, dalam Wilayah (Propinsi) Kepulauan Riau (Kepri).
Di suatu pemandangan pesisir Pulau Batam, lndonesia dari anjung Harris Hotel, Batam Center.


Saya di Pulau Batam, Kepulauan Riau,lndonesia.

Apabila teringat Pulau Bintan (loghat Melayu/ Johor-Riau: 'Bentan')  dan Bintan Telani, secara automatik saya teringat beberapa buah filem Melayu terawal seperti Panggilan Pulau, Permata di Perlimbahan, Juwita dan filem-filem keluaran Cathay Keris Singapura pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an dahulu seperti filem  Lancang Kuning, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Gurindam Jiwa, Air Mata Duyung Keris Sempena Riau, Dang Anum, Hang Jebat, Seri Mersing dan banyak lagi. Manakala filem-filem terbitan Shaw Brother seperti Singapura Dilanggar Todak, Dayang Senandung, Lubalang Daik, Lampung Karam,Semerah Padi, Anak Buluh Betong dan sebagainya.

Budaya dan jiwa Melayu, filem-filem Melayu dan pulau-pulau persekitaran pulau Singapura bagaikan sinonim dan bagaikan saling lengkap melengkapi. Jika anda orang Melayu jati, anda mesti pernah mendengar atau mengetahui nama-nama pulau seperti Pulau Daik, Pulau Lingga, Pulau Karimun,Pulau Bangka, Pulau Penyengat dan beberapa lagi pulau kecil. Nama-nama tersebut sering atau pernah kita temui dalam puisi-puisi Melayu tradisional/klasik (syair,pantun,gurindan,seloka) dan dalam lirik-lirik lagu Melayu asli dan pop Melayu.

Saya sampai di Pulau Bintan dan bermalam di Tanjung Pinang. Di bandar (kota) ini banyak tersedia penginapan hotel yang selesa. Banyak restoran di bandar kecil ini yang menyajikan pelbagai juadah cita rasa lndonesia dan Malaysia. Banyak juga kedai dan toko-toko yang berjualan untuk pengunjung membeli aneka cenderamata sebagai ole-ole.Selepas dua malam saya berada di Tanjung Pinang dan meninjau beberapa tempat menarik di pulau yang luas ini, saya mengambil keputusan untuk bertolak ke Pulau Penyengat yang jauhnya sekitar 2km sahaja.
Saya menuju ke jeti (dermaga) ke Pulau Penyengat di Tanjung Pinang, Bntan(Bentan)


Pemandangan sebahagian daripada Pulau Penyengat 

Kelihatan Masjid Raya Sultan Riau terserlah indah.

Pompom (perahu bermotor/berenjin)yang saya naiki.

Saya berada dalam 'pompom' dan hanya bertawakal kepada Allah SWT.


Pulau Penyengat berukuran panjang 2,000 meter dan lebar 850 meter. Jaraknya dari Pulau Bintan sejauh 35km. Saya bertolak menggunakan perahu bermotor/berenjin yang dipanggil 'pompong' yang memakan masa lebih kurang 20 minit. Apabila saya beratur untuk menaiki perahu di jeti (dermaga), fikiran  saya terbang ke zaman silam lalu teringat seperti aksi dalam filem 'Pendekar Bujang Lapuk'.
Dan setibanya saya di jeti Pulau Penyengat, kebetulan waktu tengah hari maka perut mula berkeroncong. Di situ ada beberapa gerai yang menyajikan masakan segar Melayu seperti gulai asam pedas, ikan bakar, sambal tumis, aneka ulam dan sebagainya.

Dari jeti ke pintu masuk Pulau Penyengat yang berlatarkan Masjid Raya Sultan Riau

Setibanya saya di situ, para penduduknya bertutur loghat Johor-Riau.Apatah lagi, saya seperti berada di bumi Johor dengan masakan aslinya asam pedas yang enak,lazat dan menyelerakan.Menurut penduduk di situ ramai pelancong dari Singapura dan Johor sering bertandang ke Pulau Penyengat. Dan saban tahun pula kerabat diraja dari Selangor datang berziarah makam-makam di situ. Saya mengelilingi pulau ini dengan menaiki bemo (beca bermotor) dengan bayaran RP25ribu.


Saya berada di kawasan kompleks Makam Raja Ali Haji
Di Makam Raja Ali Haji 

Balai Adat Melayu di Pulau Penyengat


Saya berada di ruang dalam Balai Adat  Melayu  Kesultanan Johor-Riau

Makam Marhum Kantor (Makam Raja Jaafar dll).Kini dicat berwarna kuning.
Pulau Penyengat begitu menyentuh hati saya kerana keislaman dan kemelayuannya banyak menyerlah di sini. Pulau Penyengat merupakan pulau yang bersejarah dan ada hubungan yang kait mengait dengan peristiwa jatuh bangunnya Empayar Melayu sebelum berdirinya empayar Kesultanan Johor, Pahang, Siak dan Lingga (rujuk buku Sejarah Melayu) yang terletak di selatan Semenanjung.

Peranan penting kesultanan ini berlangsung selama 120 tahun sejak wujudnya Kerajaan Riau pada tahun 1722 yang akhirnya diambil sepenuhnya oleh Belanda pada tahun 1911. Sebelum itu Perjanjian lnggeris-Belanda 1826 telah "memecah belah antara rumpun Melayu di Semenanjung (lnggeris) dengan rumpun Melayu di Sumatera dan Kepulauan Riau (Belanda)".

Pada awalnya Pulau Penyengat hanya sebuah tempat persinggahan  armada-armada perlayaran yang hilir-mudik di perairan Pulau Bintan(Bentan), Selat Melaka dan persekitarannya. Mereka singgah di pulau ini kerana mahu mengambil bekalan air tawar yang banyak tersedia. Kerana ada mereka yang melanggar pantang larang, mereka telah diserang ratusan serangga sengat berbisa. Sejak itu pulau ini dipanggil Pulau Penyengat. Orang Belanda menyebut pulau ini Pulau Mars.

Namun pada tahun 1719 meletuslah perang saudara merebut tahta Kesultanan Johor antara keturunan Sultan Mahmud Shah yang dipimpin putera baginda Raja Kecil dengan keturunan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah yang dipimpin Tengku Sulaiman.Pulau Penyengat dijadikan kubu pertahanan oleh Raja Kecil yang memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Tinggi (Johor Lama) ke Riau iaitu di Hulu Sungai Carang di Pulau Bintan.

Perang saudara ini telah dimenangi Tengku Sulaiman dan kerabatnya yang mana turut dibantu lima putera Bugis Luwu bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Celak, Daeng Kemasi dan Daeng Menambun. Selepas kemenangan ini, Tengku Sulaiman mendirikan kerajaan baharu iaitu Kerajaan Johor-Riau-Lingga pada 4 Oktober 1722. Manakala Raja Kecil pula membawa diri ke Siak dan mendirikan Kesultanan Siak (rujuk buku Sejarah Johor oleh Buyong Adil).

Selepas itu, pusat pemerintahan Kerajaan Riau berpindah ke Pulau Penyengat dengan nama Pulau Penyengat lndera Sakti.Pada tahun 1803, Pulau Penyengat telah dibangunkan daripada sebuah pusat pertahanan menjadi sebuah negeri di bawah pentadbiran Yang DiPertuan Muda Kerajaan Johor- Riau-Lingga. Manakala kediaman rasmi Sultan terletak di Pulau Daik-Lingga.Pada tahun 1900 Sultan Riau-Lingga berpindah ke Pulau Penyengat dengan lengkapnya pulau tersebut sebagai pusat pemerintahan, agama lslam, adat istiadat dan kebudayaan Melayu.Sebenarnya terlalu banyak yang mahu saya tuliskan, tetapi memadailah setakat ini.

PANTUN JENAKA PULAU PENYENGAT
(buat LEO AWS)


Penyengat bukan sebarang menyengat,
ada aura ada semangat,
jauh datang mesti ingat,
Melayu suka makan pengat.

Terima berita buku baharu,
daripada Leo Darul Naim,
dalam pompom jangan garu,
jika baca SMS Tuk Him.

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji,
pujangga terbilang makam di sini,
asam pedas jangan dipuji,
kelak rupiah dibayar seguni.

Putar-putar naik bemo,
dua puluh lima ribu sejam bayaran,
berat kami macam sumo,
minta lebih mengaku jiran.

Dalam cendol ada tapai,
tepi laut balai adat,
tangan pendek tidak tergapai,
tangan panjang dipotong beradat.

Gadis pasentren entah di mana,
ada madrasah mengaji agama,
Pulau Penyengat hantaran istana,
usah mimpi ikut bersama.

Bertenang jangan asyik terkenang,
bersabar saat menanti debar,
masa lalu berkuak renang,
masa sekarang di dalam gebar.




DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat, Riau, lndonesia.
28 Jun 2012.


oleh SYEIKH AL-LATIS

(Teks, Foto & Puisi Hak Cipta Dr Haji Rajiee Hadi. Hak Cipta Dilindungi SKMMM)

16 September 2016

SUATU KETIKA BERSAMA PLKN

PADA tahun 2006 saya menjalankan tugas dan kewajipan saya sebagai Ketua Koordinator dan Ketua Fasilatator Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kawasan zon tengah iaitu di Kem  Geo Kosmo PLKN Behrang Perak Darul Ridhwan, Kem Millenium, Beranang dan Kem Princess Haliza Sepang dalam negeri Selangor Darul Ehsan.

Berkhidmat di PLKN bagi menjayakan program kokurikulum yang berkaitan sastera dan budaya dengan kerjasama DBP (format lama) adalah suatu pengalaman yang mencabar, perlukan kesabaran tinggi tetapi menyeronokkan juga.Berkhidmat di tiga kem PLKN ini saya temui pelbagai cara kepemimpinan, beraneka masalah tetapi boleh segera diatasi.


Bersama para peserta/pelatih PLKN 2006 di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor D.E

Dan saya temui pelbagai lapisan gaya rakan setugas dalam skop penyampaian dan pengajaran. Maklumlah ada di antara petugas-petugas seni ini bukan mereka yang bertauliah dalam bidang pedagogi atau pengajaran.Namun rata-rata mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi demi menyampaikan misi dan visi pihak yang mengajurkannya iaitu Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang di bawah pengawasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

0leh kerana kami rakan setugas dan dikategorikan super matang maka apabila ada masa terluang kami akan bercerita dunia dan pengalaman  dalam kegiatan seni dan kerjaya masa lalu termasuk cabaran-cabaran asam garam rumah tangga.


Saya dan sebahagian pelatih PLKN

Di samping petugas tetap dan petugas yang berkhidmat secara kontrak dengan pihak Jabatan Latihan Khdmat Negara (JLKN) yang di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia, terdapat juga petugas atau fasilatator yang berkhidmat secara sambilan seperti rakan-rakan saya; A.Ghani Abdullah (penulis,mantan Pegawai DBP), Yalal Chin  (dramatis, mantan Pegawai Kebudayaan USM, Allahyarham), Nasir Ali (dramatis, Allahyarham) dan  lbrahim Akhir (dramatis), Haji Taha A. Kadir (mantan Prof Madya UPM), Haji Mutalib (mantan pensyarah), Jamaluddin Kadir (dramatis veteran) dan ramai lagi. 


Yang menyeronokkan, kami sering berseloroh dengan kisah dan kelakar masing-masing lantaran pengalaman dan penglibatan karier masa lalu banyak menjadi modal untuk dijadikan bahan lelucon apabila dimbas dan dikisar kembali. Ada kisah suka,ada kisah duka dan banyak kisah yang menyentuh jiwa. Saya masih terkesan dengan kisah tragis kehidupan peribadi Allahyarham Yalal Chin yang dibawanya hingga ke akhir hayat.


Allahyarham Yalal Chin

Di Kem PLKN Beranang saya bersua kembali dengan rakan lama yang pernah sekuliah dengan saya di UPM dahulu iaitu Sdr Zahid Ahmad (maaf saya terlupa pangkat beliau dalam tentera) yang bertugas sebagai Timbalan Komandan di kem tersebut. Saya tidak pasti; adakah sdr Zahid dipinjamkan daripada KPM ke ATM atau telah bersara awal; saya tidak pasti. Sayangnya, selepas tugas saya di PLKN hubungan kami terputus tanpa disengajakan. Saya tidak pasti di manakah beliau sekarang.



Saya bersama penggiat teater/dramatis  lbrahim Akhir, Mubarak Majid & A.Rahman Adam


Sebenarnya PLKN ialah satu program pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan untuk membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda ,memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah kerahan tenaga dan tidaklah mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakanakan ala Malaysia berteraskan tiga modul utamanya.


Apa yang nyata PLKN yang saya dan rakan-rakan kendalikan dahulu adalah bertujuan lima objektif utama iaitu: 1.Meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, 2)Memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. 3)Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. 4)Menyemarakkan semangat kesukarelaan. 5)Melahrkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

Apa yang kami harapkan , saya dan khususnya semua petugas di kem zon tengah serta semua staf dan pengendali yang terlibat dalam PLKN dan harapan negara agar semua graduan PLKN akan menjadi warganegara yang berguna dan bermanfaat untuk agama,negara dan bangsa Malaysia tanah air tercinta ini.

Selamat Hari Malaysia 16 September 2016!



oleh Dr.Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al-Latis.

Teks & Foto Hak Cipta Penulis dan Hak Cipta Terpelihara Dilindungi SKMMM.





13 September 2016

DI LERENG PERMULAAN KEHIDUPAN INI



SEBELUM Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rata-ratanya penduduk Tanah Melayu menjalankan kegiatan pertanian sara diri sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Bahkan pepatah lama , ‘rezeki secupak,tidak akan jadi segantang’ begitu menebal di sanaubari masyarakat Melayu tradisi. Kebanyakan mereka mengusahakan sawah padi , menoreh getah  dan menangkap ikan sungai sebagai punca pendapatan..

Lokasi Serom dan Sungai Mati dalam peta Muar


Justeru ,bagi penduduk Kampung Serom 2 Hilir dalam Mukim Serom (mengandungi Kampung Serom 1 (satu) hingga Kampung Serom 8 (lapan), pos Sungai Mati  dalam negeri Johor Darul Takzim yang terletak kira-kira 14km dari Bandar Muar (dikenali Bandar Maharani) masih dibelenggu kehidupan desa yang asli serba kekurangan infrastruktur.


Apabila mahu ke Bandar  Maharani,Muar mereka akan berkumpul di jeti penambang Tanjung Agas menanti feri kecil yang sering berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang menyeberang Sungai Muar  iaitu sungai terpanjang negeri Johor ke Bandar Maharani,Muar.Tambang feri ketika itu sekitar 10-20 sen sehala perjalanan. Kuih apam balik, kacang rebus dan mee bandung Muar menjadi  sangat popular untuk dijadikan  ole-ole dibawa pulang dan bagaikan suatu kemestian .Apabila jambatan Muar yang dikenali dengan nama Jambatan Sultan lsmail dibuka secara rasmi 1967 maka perkhidmatan feri penambang pun dihentikan sedikit demi sedikit.
Jeti Feri Penambang Tangga Batu Tanjung Agas Muar 1963


Pada zaman itu, penduduk Kampung Serom 2 Hilir yang terletak 1 km dari jalan besar menuju ke Bandar Muar masih menggunakan sumber air perigi dan lampu gasolin dan pelita minyak tanah. Pada malam hari bunyi bersahutan burung-burung hutan adalah suatu kebiasaan. Pada masa itu, cerita hantu kopek, hantu galah, hantu Jepun dan pontianak  menjadi hiasan bibir orang-orang tua dan menakutkan anak-anak remaja dan kanak-kanak. Apatah lagi pada waktu itu siri cerita pontianak lakonan Maria Menado begitu terkenal dan banyak ditayangkan di pawagam seluruh negeri Johor.


Kampung Serom 2 Hilir yang berkongsi sebatang jalan merah  ke Kampung Sungai Keladi di penghujung jalan di pesisir hulu Sungai Muar, tidak ketinggalan mengusahakan pertanian getah, pinang, kelapa, dusun buah-buahan dan tanaman kontan seperti pisang, ubi keladi dan sayur-sayuran. Penduduk Kampung Sungai Keladi, Belemang dan Kampung Serom 3 Panggung (panggung bermaksud lantai yang bertiang di tepi sungai yang dijadikan jeti/pangkalan kecil bagi meninjau ke seberang sungai) menjalankan aktiviti harian memancing,  menjala, memukat dan memasang lukah ikan tapah, mayung, sembilang, keli, udang dan ketam di pesisiran Sungai Muar yang kaya dengan hasil sungainya.


Ibu saya, Misah ( dikenali di kampung dengan nama Kintan) adalah anak kedua yang berbapakan Mos (dikenali juga dengan nama Musa) dan beribukan Fatimah  binti Hussein Abang sulung ibu saya ialah Abdul Rahman. Apabila jodoh Mos (tidak lama kemudian meninggal dunia) bersama Fatimah tidak panjang, nenek  saya ’Fatimah’ (saya panggil ’atuk’)berkahwin secara ’salin tikar’ bernikah dengan Puteh bin Midon yang telah kematian isterinya(kakak kepada nenek saya). Puteh, datuk tiri saya (yang saya panggil ’ayah’) membawa dua anak juga iaitu Tijah dan Rahmah. 


Selepas perkahwinan Puteh dan Fatimah mereka dikuniakan  empat anak iaitu Zainun (Allahyarham), Ahmad, 0nn dan Abdul Hamid. Walaupun dalam keluarga ibu saya ada yang tidak seibu sebapa namun hubungan mereka adik beradik amat akrab seperti adik beradik kandung.Bahkan saya sendiri membesar  sehingga dewasa tidak merasakan wujudnya perbezaan dalam hubungan antara sepupu kami. Hubungan kami di rumah gadang peninggalan datuk moyang kami sungguh meriah dengan kasih sayang.


Ibu saya Misah @ Kintan (kini Hajah Misah) berkahwin dengan Abdul Hadi bin Manja (lahir 1911) pemuda Kampung Sungai Mati, Muar yang telah berusia lewat 30-an pada tahun 1951.Manakala ibu saya ketika itu baharu berusia 18 tahun (lahir 1933) .Abdul Hadi berbapakan Manja  bin Sintal bin Latis dan beribukan Mimah binti Buang. Keturunan bapa saya dari susur-galur Penghulu Latis yang pernah menjadi penghulu di Mukim Temiang dalam daerah Muar yang luas umapama sebuah negeri. Penghulu Latis pernah bersama Temenggung lsmail menandatangani peristiharan bersama pada tahun 1877 mengiktiraf pemerintahan Maharaja Abu Bakar bagi Negeri Johor dan jajahan takluknya (rujuk buku: Sejarah Johor oleh Buyong Adil).  


Manja dan Mimah walaupun sepupu tetapi jodoh mereka tidak panjang.Sebagai anak tunggal, Abdul Hadi tinggal bersama ibunya di sebuah rumah usang berhampiran pekan Sungai Mati di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan lnggeris Pei Hwa, Sungai Mati. 


Kemudian Mimah bernikah dengan Limat dan dikuniakan anak-anak: Jaafar, Rajimah, Etan dan Umar. Manja pula bernikah dengan Endut dan dikurniakan anak-anak: Hashim, Nong, Gayah, Md.Zin dan Saemah@Not. Walaupun datuk saya Manja dikhabarkan banyak meninggalkan harta dan tanah pesaka dan berasal daripada keturunan penghulu yang susur galurnya dari zaman Temenggung lbrahim, Muar,  namun bapa saya yang sejak kecil hidup dalam daif dan kemiskinan bersama ibu kandungnya tidak pernah menuntut haknya sehingga ke akhir hayatnya.



lbu melahirkan anak sulungnya Mohamad  Zaidin pada tengah hari 27 Disember 1952 di  rumah gadang datuk saya di Kampung Serom 2 Hilir. Anak comel yang berkulit putih cerah kemerah-merahan ini ditatang dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Ketika itu bapa saya sudah pun meninggalkan kerja-kerja kampung membuka,menajak dan membajak tanah bendang di Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati bersama bapa tirinya, 


Limat. Bapa saya juga pernah  menjadi drebar/pemandu teksi tetapi berhenti kerana menurut ibu saya bapa  sering beriktikaf di Masjid Jame’ Sungai Mati. Nenek Mimah (saya juga memanggilnya ’atuk’) mahukan bapa mendirikan rumah sendiri di belakang rumahnya selepas berkahwin dengan ibu. Tetapi ibu kurang bersetuju. lantaran ada kawan bapa mencadangkan agar bapa mecari rezeki di tempat baru di Wealth Estate iaitu ladang getah milik konglomerat lnggeris (dikenali juga dengan nama Joo Kam Estate), Jementah, Segamat,Johor. Dan pada tahun 1952 bapa dan ibu pun berpindah di tempat baharu.

Setiap menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, bapa dan ibu akan balik ke Kampung Serom 2 Hilir rumah sebelah ibu dan menjenguk juga rumah datuk sebelah bapa di Kampung Sungai Mati.. Jarak antara kampung ini lebih kurang 4 km sahaja.  Apabila ibu mengandungkan saya, ibu juga pulang ke rumah gadang itu. Pada 23 Disember 1955, selepas zuhur sekitar jam 3.00 petang saya pun dilahirkan untuk berhijrah ke alam duniawi dari rahim ibu dengan begitu mudah di rumah datuk saya di bumi bertuah Kampung Serom 2 Hilir.


Saya dan abang sulung Mohamad Zaidin dibawa tinggal bersama bapa dan ibu di Wealth Estate,Jementah, Segamat. Menurut cerita ibu, semasa bayi ,tubuh saya yang montel dan berkulit cerah sering dikelek,ditatang dan dikendong oleh gadis-gadis remaja ,anak jiran-jiran di kuarters ladang tersebut. Bapa dan ibu yang menoreh getah di ladang akan mengambil kami di rumah pengasuh yang dipanggil ’Kak Zai’ pada sebelah tengah hari.

Apabila ibu saya mengandungkan anak ketiganya Zulasri, bapa dan ibu berpindah ke tempat baharu bagi menambah rezeki dengan lebih baik iaitu di Sagil Estate,Tangkak,Johor milik Dunlop Estate  Berhad yang beribu pejabat di Melaka. Di Sagil Estate atau Ladang Sagil kami ditempatkan di kuarters yang bernama Kongsi Sepuluh atau Gunung Ledang Division yang terletak kira-kira 65 km dari Bandar Muar dan 35 km dari Bandar Segamat


Dii kuarters ini kami sekeluarga tinggal di barek teres setingkat. Kami berkongsikan air pili yang dipam dari tangki kecil berhampiran rumah. Rumah barek yang tidak berbilik hanya disediakan bilik mandi, ruang dapur dan ruang tidur yang beralaskan ambin papan.Ada juga disediakan pangkin di bahagian luar bagi tujuan berbaring berseorangan atau duduk bersantai.


Pada tahun 1959, abang sulung Mohamad Zaidin yang amat manja dengan bapa mula menginjak usia tujuh tahun. Demi masa hadapan, bapa yang mahukan anak-anaknya berjaya menuntut ilmu telah sedia berkorban berpisah dengan anak sulungnya. Bapa melepaskan ’Abang Din’ tinggal bersama datuk di Kampung Serom 2 Hilir,Muar. Abang Din mendaftar masuk darjah satu di Abdullah  Primary English School di pekan Sungai Mati. Abang Din sering dihantar Tuk Puteh@ayah yang setiap awal pagi mencari rezeki dengan memandu teksi yang disewanya sering menumpangkan Abang Din ke sekolah dengan teksinya. 
Bangunan Asal Sekolah Kebangsaan Abdullah Sungai Mati,Muar ( Ditubuhkan 10 Mac 1957 dengan nama Goverment Primary English School. Kemudian bertukar nama Abdullah Primary English School).


Saya pernah mendengar  cerita bahawa rakan persekolahan Abang Din antaranya ialah Jaafar 0nn seorang seleberiti yang terkenal.Semasa cuti sekolah Abang Din akan pulang ke rumah kami di  kuarters Kongsi Sepuluh..Saya masih ingat, ketika itu usia saya empat tahun, Abang Din berkebolehan dan amat gemar menyanyi lagu Allahyarham P.Ramlee berjudul ’Kalaulah Kaca Menjadi Intan’


Dan tidak siapa pun menduga pada awal tahun pembukaan persekolahan  tahun 1961, Abang Din yang pada pagi itu tidak menumpang teksi Tuk Puteh tetapi membonceng duduk di palang hadapan basikal yang ditunggangi Pak Cik Onn (bapa saudara saya, adik ibu saya yang ketika itu berusia 12 tahun) telah mendapat kemalangan ngeri, dihempap batang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menghempap kepala Abang Din di hadapan Sekolah Menengah lnggeris Pei Hwa, pekan Sungai Mati.  


Akibat malapetaka itu, Abang Din meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami pendarahan teruk di tempurung kepalanya. Takdir telah menentukan, Pak Cik Onn terselamat dan panjang umur hingga ke saat ini.  Saya masih ingat, kejadian itu memberi bekas mendalam dalam kehidupan bapa dan ibu saya.


Apabila saya mula diterima belajar ketika berusia enam tahun (sebenarnya lima tahun)  pada tahun 1961 di Kelas Tumpangan (seakan kelas tadika pada zaman sekarang) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate (SKSE) yang terletak di Central Sagil Estate iaitu kira 20 km dari barek kami. Pada awalnya bapa saya telah menghantar saya ke sekolah dengan berbasikal berulang-alik. Mujur tidak lama kemudian seorang lelaki Cina yang kami panggil ’Ah Kau’ dan kemudian adik iparnya ’Ah Chow’ bersedia menawarkan perkhidmatan menggunakan kereta persendiriannya bagi menghantar saya  dan kawan-kawan pergi-pulang dari sekolah secara bayaran bulanan.


Beberapa tahun kemudianya SKSE ditukarkan namanya kepada Sekolah Kebangsaan Ladang Sagil (SKLS). Sekolah rendah ini dikongsi bersama dengan murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang beroperasi pada sebelah petang. Sekolah ini hanya berdindingkan kadbod keras yang memisahkan antara satu kelas dengan satu kelas yang lain.Guru-gurunya  hanya sekitar enam hingga lapan orang. 


Saya masih ingat antara nama-nama guru yang mengajar SKSE ketika itu ialah Cikgu Mahmud, Cikgu Haris, Cikgu Misdi dan Cikgu Baharom. Tidak ada guru bahasa lnggeris yang mengajar kami.Saya hanya bertahan belajar di SKSE hingga setakat darjah empat. SKSE kini hanya tinggal tapak nostalgia. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina sekolah kebangsaan di tapak yang baharu di Northern Division, Ladang Sagil yang jaraknya empat kilometer dari pekan Sagil, Tangkak,Ledang dengan nama baharu Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang.



Sebenarnya selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian Abang Din pada tahun 1961, bapa dan ibu saya agak serik mahu menghantar saya bersekolah di kampung datuk yang prasarananya lebih baik.Tetapi memandangkan di rumah kongsi tidak ada guru yang boleh mengajar membaca al-Quran, akhirnya saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom Tiga (3), pekan Serom pada tahun 1966 dan masuk ke darjah lima. Dan babak kehidupan seterusnya saya tinggal bersama datuk di rumah gadang di Kampung Serom 2 Hilir, tempat saya dilahirkan sehinggalah saya masuk belajar di tingkatan satu di sekolah dua aliran bahasa (Bahasa Kebangsaan & Bahasa lnggeris) di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, (STMI)  Sungai Mati, Muar pada tahun 1968. 
Bandar DiRaja, Bandar Maharani Muar terkini


Di kampung ini saya belajar mengaji al-Quran  sehingga khatam dengan Puan Zaharah yang mesra dipanggil ’Kak Arah’ iaitu ibu kepada sahabat sekampung saya, ldris Abon yang lebih akrab dipanggil ’Apah’. Di kampung ini juga saya dan adik-adik saya yang turut ikut jejak tinggal di kampung datuk iaitu Zulasri dan Mohamad Shafiee telah belajar kelas agama Jabatan Agama lslam Johor (JAIJ) pada sebelah petang.



Apabila Pak Uteh Abdullah (menantu datuk saya) meninggal dunia pada tahun 1966 dan kemudian disusuli isterinya, Mak Uteh Zainun (adik ibu saya) pada tahun 1967, mereka meninggalkan lapan orang anak yatim piatu iaitu Mohamad Zain, Zabedah, Abdul Karim, Abdul Rashid, Zambroo, Zalina,Nora dan Halib. Pada awal-awal tahun kematian ibu bapa mereka, datuk saya telah memelihara lapan anak yatim piatu ini bersama saya dan dua adik saya. Dan turut tinggal sama juga sepupu saya Sulaiman dan Abdul Kadir. 


Oleh itu bagi saya untuk  memperoleh kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada datuk saya tentulah mustahil.Namun masa saya yang terluang banyak disikan  dengan membaca buku-buku cerita, akhbar jawi Utusan Melayu dan novel. Saya juga gemar meneliti buku atlas peta dunia dan membaca bahan yang berkaitan sejarah dan ilmu alam (geografi).


Tidak tinggal  bersama ibu bapa dan kehilangan kasih sayang adalah asam garam kehidupan saya semasa kecil dan remaja..Pada masa itu, bukan tiada remaja nakal yang ponteng sekolah, merokok, menghisap ganja dan berjudi.Mujur saya tidak terjebak dengan elemen negatif yang melanggar disiplin sekolah. Dengan memperoleh keputusan terbaik,kepujian dan lulus semua subjek dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1970 maka melayakkan saya belajar di tingkatan empat.


Kemudian dengan meraih pangkat kedua dan menjadi pelajar terbaik subjek Sejarah  dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1972 dan lulus subjek English Language Sylibus X, MCE, saya bersama rakan sekelas iaitu Ngarisan bin Jurimi (pesara Guru Besar), Liza binti Sitam (Allahyarham, bekas kakitangan perkhidmatan awam Negeri Johor), dan Norizan bin Kulob (pernah menjawat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor/SUK dan Pengarah Jabatan Agama lslam Johor) telah terpilih sebagai para pelajar cemerlang sekolah dan terpilih memasuki ke tingkatan enam pada tahun 1973 di sekolah  berasrama harian berprestij ketika itu, Sekolah Menengah Dato’Seri Amar DiRaja (SDAD)di Bandar Maharani, Muar, Johor.


Di lereng kehidupan ini, saya mula yakinkan diri akan memulakan pendakian ke puncak kejayaan. Kerjaya sebagai peguam mula berputik dalam jiwa saya. Apabila ada masa terluang saya akan cuba menghadirikan diri ke galeri awam dalam mahkamah di Bandar Maharani, Muar bagi mengikuti tertib prosiding yang dijalankan.Dalam diri saya berazam mahu menjadi seorang pejuang demi masa hadapan keluarga, agama, bangsa dan negara saya.Dan bagaimana pula saya bertukar arah menjadi seorang guru atau pendidik/pensyarah, hanya sejarah dalam kehidupan yang telah melakarinya dari semasa ke semasa  setelah dilantik menjadi guru terlatih pada 3 Januari 1978.-(oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al Latis)

HAK CIPTA TERPELIHARA DILINDUNGI SKMM.

3 September 2016

CAMBODIA : KEMBARA KEMANUSIAAN & KASIH SAYANG


DALAM siri jelajah kembara saya ke negara-negara dalam Asia yang seterusnya ialah ke destinasi negara Kemboja (Cambodia) khususnya di Phnom Penh City. Saya begitu teruja apabila menjejaki Phnom Penh kerana ibu kota ini  pernah dikenali sebagai "Mutiara Asia" pada zaman 1920-an dan mempunyai seni bentuk bina Perancis dan Khymer.

Phnom Penh menjadi pusat perdagangan, politik dan kebudayaan negara Kemboja mempunyai penduduk satu juta iaitu petempatan yang paling ramai di Kemboja.Bandar ini telah menjadi ibu kota Kemboja sejak abad ke-15, apabila raja Ponhea Yat  memindahkan pusat pemerintahan Kerajaan Khymer . Saya juga bertemu dengan pekerja hotel, gadis Melayu Champa yang pernah bekerja beberapa tahun di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.
Peta negara Cambodia (Lihat lokasi Tonle Sap, tasik paling besar di Asia)

  
Di tengah kota Phnom Penh berhampiran pasar besar, ada restoran halal milik orang Malaysia,  D'Nyonya Penang Restaurant yang mana pengurusnya anak muda Melayu dari Batu Pahat, Johor. Di restoran ini, kita boleh menikmati teh tarik tarik, roti canai dan segala aneka mee; termasuk sate dan lontong cita rasa Malaysia.
D'Nyonya  Penang  Restaurant Phnom Penh.

  
Manakala kota Siem Reap di sebelah barat laut yang bersempadan Thailand, Laos, Vietnam dan China adalah kota atau bandar yang paling pesat pertumbuhannya di Kemboja sebagai kota kecil yang menawan dan tempat persinggahan utama sebelum mengunjungi  candi-candi terkenal (bagi yang bukan lslam) di Angkor. Daya tarikan  Angkor Wat ini menyebabkan Siem Reap telah bangkit menjadi pusat pelancongan utama dan  menjadi kota yang hidup dengan dipenuhi hotel dan tarikan pelancongan lainnya khususnya dari Barat.

Umat Islam di Kemboja sekarang kelihatan mulai bangkit selepas dicengkam kekejaman rejim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-1979) di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang zalim.Beliau dan rejim pimpinannya bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam kira-kira setengah juta rakyatnya termasuk  Islam dan bukan lslam , golongan dewasa, wanita dan bayi. 

Saya  menitiskan air mata menyaksikan sendiri ‘Padang Pembunuhan’ (The Killing Field). Saya merasakan begitulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia dan di negara-negara sahabat saya di Brunei, lndonesia, Singapura dan Thailand. untuk bersama-sama bersyukur kerana masih bebas mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai.Pemerintahan komunis Khmer Rouge membunuh sesiapa sahaja yang beragama. 


Saya sendiri menyaksikan ribuan tengkorak manusia mangsa pembunuhan kejam.


Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja yang bukan sahaja tiada manusia hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge bahkan haiwan juga tiada lagi bernyawa kerana semuanya dibunuh kejam oleh komunis Khmer Rouge. Saya berpeluang melawat lokasi bersejarah seperti tempat seksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh) dan padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil ‘Killing Field’ (Padang Pembunuhan). 

Pokok bercerita .... pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak dan bayi

Di celah-celah pokok rendang di padang itu masih tertegak sebatang ‘pohon pembunuh’ yang digunakan askar komunis Phnom Penh untuk membunuh bayi dan anak kecil tidak berdosa yang menangis tanpa henti-henti mohon simpati Andai kata pokok itu boleh berbicara, pasti diceritakan bagaimana askar Khmer Rouge menghayunkan kepala bayi dan anak kecil ke pokok  itu hingga tidak bernyawa. 

Saya merasakan pohon tersebut turut menangis kesedihan  kerana kekejaman manusia yang tidak bertimbang rasa.Pohon menangis bukan suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam sirah Nabawiyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan tempat Rasulullah S.A.W berkhutbah menangis.

Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar: “Suatu ketika dahulu Nabi Muhammad S.A.W berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala baginda membuat mimbar maka baginda telah berpindah ke mimbar itu.Kemudian batang kurma itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta menangis).Maka Nabi S.A.W mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi) 

Di padang pembunuhan itu, di hadapan ‘pohon pembunuh’ itu juga bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan tembakan ke arah mereka oleh askar yang tiada peri kemanusiaan. Bayi tidak bernyawa itu kemudian disepak dan diterajang ke dalam satu lubang besar yang menempatkan mayat bayi-bayi yang tidak berdosa itu.  Apabila ditanya kepada penduduk tempatan;  mengapakah askar Khmer Rouge sanggup memperlakukan sedemikian lalu mereka memberitahu askar Kemboja itu amat kejam dan tidak berhati perut. 

Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar itu telah dirasuk untuk mencapai matlamat ideologi komunis yang kononnya mahu melahirkan masyarakat sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya supaya bersederhana dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik. 


Saya, di sisi Sungai Mekong


SELAMAT PAGI PHNOM PENH


Mentari di hujung senyuman Mekong
telah lama mengintai derita tanah air
dalam kancah dan pecah penjajah
perang dan berang sesama sendiri
dirimu yang rugi merana di setiap bilah hari

Purnama malam kelmarin kelihatan
di hadapan Royal Palace yang sepi
sesekali anak muda Perancis hilir-mudik
menyusuri warisannya dan meneguk cafe
bangga bertutur bahasanya dengan anak peribumi

angin sendu di Stupa Genosid Memorial
jasad mangsa Choeung Ek dipelihara penuh hormat
kerana angkara algojo Khmer Rouge
kenangan kegelapan suram Him Sophy
boleh didengar di mana-mana setiap masa
kubur 166 ngeri tidak berkepala

kotak gelas tulang dan rumah roh
pokok kekejaman bercerita padang pembunuhan
melingkari sejarah Pol Pot dan konco-konco merahnya
setiap rakyat mewarisi derita sengsara lara
kehilangan bayi, ulama dibunuh seksa, gadis diperkosa
oh! Phnom Penh disemadikan kini dalam kejap udara pagi!


RAJIEE HADI,
Phnom Penh, Cambodia.
6 Jun 2012.

Selepas saya meneroka setiap pelosok Phnom Penh dan persekitarannya (di timur laut Phnom Penh, ialah wilayah Kampung Cham yang didiami majori lslam Melayu Champa) selama tiga hari, saya pun bertolak ke sebelah barat lautnya menuju Siem Reap.  Saya  berada di kota Siem Reap selama tiga malam empat hari. .Saya dapati  di mana-mana sikap rakyat Kemboja (Cambodia) lebih suka berurusan jual beli dengan Dolar USA ( USD) kerana mahukan keuntungan. Sebenarnya nasihat saya, bertegaslah gunakan wang Kemboja (Riel Kemboja). Dengan gunakan Riel kita akan dapat harga yang lebih menguntungkan dalam urusan jual beli di Kemboja.

Terminal bas utama di Phnom Penh

Perjalanan menggunakan jalan darat dengan bas dari Phnom Penh ke Siem Reap sekitar lapan jam dengan tambang 11,000 riel dengan bas Syarikat Sorya yang agak lambat dan banyak kerenahnya. Dengan bas syarikat Paramount sekitar USD 5 agak lancar. Terlalu banyak ragam dan kerenah saya perhatikan gelagat masyarakat Kemboja yang juga pelbagai etnik; baik dalam bas mahupun sepanjang perjalanan yang saya lihat di luar bas.
Salah satu warisan seni bina  bangunan peninggalan Perancis.

Ada yang agak santai buang air kecil sesuka hati di mana-mana. Ada penumpang yang bawa hasil ternakan ayam dan anak kambing hidup dalam bas.Manakala video dalam bas, memutarkan lagu-lagu dan tarian tradisi Kemboja. Kebanyakan lagu yang diputarkan penuh kesyahduan. Walaupun saya tidak faham tetapi dari segi nilai rasa dan emosi, karya seni tradisi itu banyak menyuarakan suara dan rintihan hati rakyat Kemboja pada masa lalu yang punah  kehilangan akibat perang saudara. Sebagai seorang peneliti sosiobudaya dan psikologi segala ragam ini saya amati dari sisi lain.

Saya bertolak dari Phnom Penh sekitar jam 11 pagi dan sampai kota Siem Reap sekitar jam 8 malam. Saya sampai di terminal lalu disambut dalam samar kegelapan malam seorang pemandu teksi beroda tiga (seperti tuttut di Thailand).Walaupun ini adalah pengalaman pertama saya dan tidak mengenali sesiapapun namun saya hanya bertawakal kepada Allah. 

Mujurlah pengetahuan masa lalu, semasa di alam kanak-kanak dan remaja saya suka kepada subjek geografi/ilmu alam dan sangat gemar menelaah atlas peta dunia membuatkan saya sering berfantasi mahu mengembara seluruh dunia, membuatkan saya bersemangat dan bermotivasi tinggi. Yang lucunya dalam hidup saya, di sekolah saya pernah mendapat anugerah pelajar terbaik bagi subjek Sejarah. Tetapi apabila terpilih mengikuti kursus perguruan saya dipilih untuk mengikuti opsyen Geografi/Ilmu Alam. Lantaran itu, jadilah saya seorang guru geografi buat beberapa tahun.

Saya terus dibawa ke kota Siem Reap yang perjalanan dari terminal sekitar 20 minit. Saya bernasib baik mendapat bilik hotel yang sederhana harganya, bersih, ada sarapan dan di tengah kota.Harga hotel sekitar 2-3 bintang puratanya antara  USD 15 -USD 25 . Manakalah 'guest house' bagi pengembara yang mementingkan bajet harganya satu malam sekitar USD 2-5 .

Di Siem Riep masjid yang berhampiran bandar terletak di sebuah perkampungan lslam kira-kira 2km  iaitu di Stueng Thmey Village. Saya  menjamu selera di Restoran Muslim Kemboja (Cambodian Muslim Restaurant) milik Encik Yan Soffy yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa lnggeris dengan baik. Encik Yan Soffy pernah datang dan bekerja di Malaysia semasa zaman mudanya dahulu.Pelbagai menu termasuk makanan Thai yang sudah sebati dengan selera orang Malaysia.Restoran dan perkampungan lslam ini (ada kira 350 buah keluarga) terletak di perkampungan tersebut.

Sebuah sekolah rendah terapung di Tasik Tonle Sap sebuah tasik terbesar di Asia

Sebenarnya Siem Reap merupakan ibu kota lama kerajaan Kemboja purba dan bandar bagi keluarga diraja. Bandar ini terletak di bahagian barat laut negara dan merupakan pusat pelancongan  dan budaya penting di Kemboja kerana menjadi pintu masuk menuju kawasan purbakala kota Angkor yang terkenal. Bandar ini memiliki iklim tropika. Pada tahun 2006, bandar  ini memiliki jumlah penduduk seramai 139,458 orang.Kini tidak mustahil penduduknya telah bertambah lebih 200,000 orang.
  
Angkor Wat di Siem Reap antara tujuh keajaiban dunia

Siem Reap memiliki bangunan tua kolonial dan seni bina  negara China di sekitar pengaruh Perancis dan Dalai Lama.Lapangan terbang antarabangsa Siem Reap menghubungkan bandar ini dengan dunia luar. Di bandar  ini terdapat gedung pertunjukan  tarian tradisional Apsara, pusat cenderamata, kilang kain sutera, sawah padi di perkampungan, desa nelayan, dan suaka burung berhampiran tasik/danau Tonle Sap.Tasik Tonle Sap adalah tasik yang terbesar di Asia. Di tasik ini banyak perkampungan terapung pelarian Vietnam. Saya telah berkunjung ke sebuah sekolah rendah terapung di tasik ini. Perasaan sayu yang mendalam membuatkan saya terkenangkan tanah air saya.

Kata Siem Reap bermaksud 'Kekalahan Siam'(kini Thailand) dan merujuk pada permusuhan dan pertumpahan darah selama berabad-abad dan peristiwa yang diperingati dalam ukiran sejarah dan monumen. Nama ini juga dapat diterjemahkan sebagai 'Kegemilangan Siam', kerana selama 500 tahun sebelum peperangan, kota ini menjadi jalan utama dari Kemboja kuno menuju ke Thailand (Negara Siam ketika itu)

Pada 1901 École Française d'Extrême Orient (EFEO) mula menghubungkaitkan dengan Angkor apabila beliau mula menerokai kembara  ekspedisi memasuki Siam dan Bayon. Pada 1907 Angkor, yang telah direbut daripada Siam dengan paksa, dikembalikan kepada Kemboja. EFEO bertanggungjawab membersihkan situs purbakala ini daripada cengkeraman hutan.

Pada tahun yang sama pelancong pertama tiba di Angkor dan sejumlah 200 orang pelancong  yang tinggal di Angkor selama tiga bulan. Angkor kembali diselamatkan daripada diselubungi hutan tebal dan mula mendapat perhatian dunia.
Ketika ditemui penjelajah Perancis pada abad ke-19, Siem Reap hanyalah berupa desa sederhana.Dengan penguasaan Angkor oleh Perancis pada 1907, Siem Reap mulai berkembang dan menerima gelombang pelancong pertamanya. Grand Hotel d'Angkordibuka tahun 1929 dan candi-candi di Angkor menjadi salah satu daya tarik pelancongan Asia utama hingga akhir 1960-an.
Tokoh terkenal seperti Charlie Chaplin dan Jackie Kennedy, adalah mereka yang pernah mengunjungi Angkor. Pada 1975, sebahagian  besar penduduk kota Siem Reap, bersama seluruh penduduk kota lainnya di Kemboja dianiayai kejam oleh komunis Khmer Merah yang mana baki penduduknya menyelamatkan diri dan tinggal di kawasan kampung pedalaman.
  
Seluruh negara dan rakyat Kemboja menderita di bawah rejim kejam Khmer Merah sehingga kedatangan misi keamanan PBB dan kematian Pol Pot pada 1998 barulah  keamanan mulai terserlah dan membangkitkan industri pelancongan yang sangat penting untuk memulihkan Kemboja. Justeru setelah sekian lama menyep barulah kinii Siem Reap mulai bangkit sejak pertengahan 1990-an.

Kini anak Kemboja ramai yang pintar sehingga ada berjaya melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama umat Islam dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Inilah sumbangan kerajaan Malaysia memberi pendidikan kepada umat Islam di negara penganut Islamnya minoriti. 

Bagaimanapun di sebalik kedaifan itu kini  ramai anak Kemboja berjaya bangkit daripada kesan kancah api perang saudara dan mula  bersaing sesama mereka untuk merebut kejayaan dalam kehidupan. Yang membanggakan rakyat Muslim Kemboja ada yang sudah berjaya  menjawat jawatan Timbalan Menteri, wakil rakyat, ada juga menjadi usahawan berjaya. 

oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh Al-Latis

Teks, Foto & Puisi Hakcipta Rajiee Hadi. Hakcipta Terpelihara SKMM.