HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 September 2011

PENDIDIKAN KANAK-KANAK BAGAI MELENTUR BULUH



MEMANG  tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak pewaris para nabi.


Kejayaan Anak Adalah Harapan Seorang Bapa ( Gambar Hiasan)




Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.

Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak.

Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan mereka dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan anak-anak mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang yang mereka anggap sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi.

Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia.

Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang.

PERANAN IBU BAPA 

Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri.

Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. 



Tetapi peranan ibu bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya adalah golongan orang yang rugi.

Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah.

Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka.

Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk" menagih dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri. 

ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU 

Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan.

Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggungkan api yang berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.

Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman.

Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.

KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL? 
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak. 

Faktor Pertama : BALASAN 
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan. 

Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".

Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik

Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK 
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina). 

Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya. 

SOLAT/SEMBAHYANG?
Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?  

Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud : 
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari  (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)". 

Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.

ROTAN/PUKUL-DERA?
Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan". 

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya. 

KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.

Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.

Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.

TINDAKAN SUSULAN 
Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu sitausinya lebih mencabar. Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya. 

Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa.

Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinabungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan.

Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'kerahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :

"Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya".

Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.

ANAK YANG SOLEH 
Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam kesolehannya.

PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH:
1. Memberi semangat.
2. Memberi dorongan.
3. Memberi galakan.
4. Memberi perangsang.
5. Mengambil berat.

Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah "Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka. Ada dikalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi.

Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja. Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan. Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya. Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam neraka. 

MENGAMBIL BERAT 
Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi 'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin dalam kemeseraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan meresa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni mereka sebagai kasih dan sayang.

Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan sebagai rutin antaranya ialah: 
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak kita? Adakah ianya mencukupi?Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya. Kalau hanya setakat 'spend' kawan sahaja tidaklah menjadi hal, tetapi apa yang kita takutkan, dia akan membeli benda-benda yang tidak berfaedah, melalaikan dan merosakkan atau yang kita tidak ingini ia akan menjadi mangsa peras ugut rakan sebaya. 

2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka mungkin berangapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku. 

3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi? Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan menanggung resiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.

4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-lunas agama.

MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk meladeni (melayani) karenah anak-anak.

Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan (menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)

BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG

Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.

Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.

BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.

Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh kometmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.

KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa kesemasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka usaha yang murni (artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.

Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu mencuba dengan usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus mencuba teori-teori yang cuba diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang kadang-kala bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita yang maha suci.

Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT. (-DRH)



23 September 2011

PROSEDUR MENILAI PRESTASI GURU WAJAR DIPERBETULKAN

PENULIS  terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.
Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain.Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.
Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.

Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.
Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.
Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.
Walaupun begitu  penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya? Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?
Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?
Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.
Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni.Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM  yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?
Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam! (oleh Dr Rajiee Hadi)

20 September 2011

PPSMI : ADA DALANG YANG TIDAK BERKESUDAHAN

SIASAH:MEWAWANCARAI DR. RAJIEE HADI ISU PPSMI (Siasah , 15-21 Mac 2009)


ISU PPSMI semakin hangat sekarang.  Pada 7 Mac lalu perarakan raksasa 100,000 orang ke Istana Negara adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap dasar yang akan merugikan bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh jangka panjang. Kepupusan tulisan jawi berlaku selama 30 tahun selepas dihapuskan pembelajaran tulisan itu di sekolah-sekolah.  Maka perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Melayu dalam jangka masa 30 tahun lagi.

Ramai pihak yang menentang dan yang paling lantang ialah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof, Dr. Shahrir Mat Zin dan SN Datuk A. Samad Said.

Salah sebuah pertubuhan yang membantah PPSMI ialah Persatuan Pengamal Pendidik Malaysia (PPPM/Pendidik) yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang memiliki tauliah dan kelayakan ikhtisas  dalam bidang pendidikan sama ada yang sedang berkhidmat atau yang sudah bersara.  Sehubungan dengan itu SIASAH telah berkesempatan mewancara Presiden Pendidik baru-baru ini iaitu Dr. Rajiee Hadi.

Dr. Rajiee Hadi adalah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS) dari tahun 2000-2005.  Beliau sekarang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di salah sebuah universiti di luar negara.
DR. RAJIEE HADI


SIASAH       
Apakah pendirian  Persatuan Pendidik dalam isu PPSMI?
DR. RAJIEE
Persatuan kami berdiri teguh dan menyokong penuh GMP yang gigih memperjuangkan supaya PPSMI dihapuskan.  Kita mahu kembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Ketika menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia  ( KKGBMS) dahulu, pernahkah kesatuan ini dipanggil untuk membincangkan isu PPSMI ini?

KKGBMS ialah sebuah kesatuan sekerja yang mewakili golongan guru.  Ianya macam sebuah badan pemikir dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu.  Berbagai-bagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah-sekolah dibincangkan dalam Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM ini.  Mengenai PPSMI, seingat saya pernah iaitu pada tahun 2002.  Pada tahun itu, Dr. Mahathir telah membangkitkan betapa ramainya pegawai diplomatik (PTD) dan pelajar universiti tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.  Dr. Mahathir tidak senang dengan keadaan itu dan mencadangkan supaya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Kami dipanggil dalam suatu taklimat bagi membicangkan isu PPSMI ini.  Pada taklimat itu  Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu (sekarang Kementerian Pelajaran) Allahyarham Tan Sri Mohd, Rafie Mahat memberitahu bahawa PPSMI merupakan projek percubaan atau perintis selama lima tahun.  Sekiranya tidak berjaya maka projek ini akan dibatalkan. Juster, tiada perbincangan serius. Mungkin kerana ianya hanya percubaan.  Ia serupa dengan projek Sekolah Bestari.
Selama 6 tahun, projek ini ternyata gagal maka kerajaan harus membatalkannya tanpa bersusah payah mengadakan perbincangan meja bulat.

Akan tetapi kami dapat merasakan bahawa taklimat itu hanya sebagai memenuhi proses pengurusan dan pentadbiran  sahaja.  Saya dapat merasakan keputusan sudah diambil untuk melaksanakan PPSMI ini.  Pada awal tahun 2002, ketika Kongres Pendidikan Melayu diadakakan, borang-borang kaji selidik sudah diedarkan kepada para peserta.  Kesatuan kami membantah pelaksanaan projek ini kerana akan menghadapi permasalahan kekurangan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris dan dari aspek ilmu psikolinguistik cara ini bertentangan.

Pengarah-pengarah Pendidikan yang lain tidak membantah?

Saya percaya ramai yang tidak bersetuju termasuk Ketua Pengarah DBP.  Oleh kerana mereka ini pegawai kerajaan yang mesti patuh kepada kerajaan dan tertakluk di bawah General Order  maka mereka tidak ada keberanian untuk menyuarakan bantahan secara jelas.

Apakah diundang golongan akademik, ahli bahasa dan persatuan-persatuan penulis seperti GAPENA dalam perbincangan ini?

Pada taklimat itu tidak ada seorang pun golongan akademik, ahli bahasa dan GAPENA.  Mereka tidak dipanggil kerana mungkin mereka bukan Ahli  Majlis Permuafakatan  KPM ini.

Adakah selepas taklimat itu mereka dipanggil?
Seingat saya tidak ada.  Itulah taklimat pertama dan terakhir.  Isu sesi taklimat bukan sesi perbincangan atau percambahan pendapat.  Sebab itu saya yakin keputusan sudah dibuat terlebih dahulu.  Saya tidak ingat ada apa-apa sesi perbincangan pun sebelum dilaksanakan PPSMI ini pada tahun 2003.  Mungkin pihak atasan, saya tidak tahu.  Tetapi kalau pihak atasan takkan berani mereka menyuarakan bantahan.  PM sendiri sudah mula melaksanakan dasar itu.

Jadi, jelas bantahan sudah dibuat pada peringkat awal lagi dan tidak pernah diadakan perbincangan dengan para akademik, ahli bahasa dan persatuan penulis?

Ya! Tidak ada.  Tidak payah pun susah-susah hendak diadakan persidangan meja bulat bagi melaksanakan PPSMI ini.  Sekarang ini entah berapa banyak persidangan meja bulat diadakan bagi mengkaji keberkesanan projek PPSMI ini.  Saya rasa membuang masa sahaja.  Daripada kajian para akademik, professor dalam bidang  matematik, bahasa dan pendidikan seperti Prof. Dr. Shahrir Mat Zain, Prof. Abdullah Hassan dan beberapa orang lagi profesor dan pensyarah, jelas menunjukkan bahawa PPSMI ini gagal dalam projek perintisnya.  Kalau kajian atau pendapat profesor-profesor ini kita tidak percaya, siapa lagi harus kita percaya? Prof Dr. Shahrir yang pernah belajar di aliran kebangsaan dan mendapat Ph.Dnya di Australia dalam bidang matematik tentu sedia arif. Maaf, kalau hendak dibandingkan dengan Menteri Pelajaran kita, pendapat siapa harus kita terima?

Tidak timbullah isu ini  tetapi baru ditimbulkan sekarang pula?

Perkara ini sudah dibangkitkan pada 2002 lagi.  Selepas itu ada suara-suara bantahan daripada pejuang-pejuang bahasa, persatuan-persatuan penulis dan orang Melayu.  Bahkan seminar, kongres dan memorandum turut diserahkan kepada pihak berkuasa.  Mungkin suara-suara mereka tidak selantang sekarang kerana pada masa  itu masih lagi  dalam percubaan.  Tetapi sekarang sudah 6 tahun, jelas projek ini gagal.Hapuskan sahajalah.  Tidak payah lagi nak diadakan meja bulat. Menteri ada kuasa membatalkannya.  Lebih lama dibiarkan, akan lebih rumit dan parah lagi.

Bagaimana pandangan Dr. terhadap saranan PM minta Menteri Pelajaran atasi segera kemelut ini bagi mengelakkan tercetus masalah yang lebih besar lagi?

Ini satu perkembangan yang baik.  Ada nada positif  dalam saranannya itu.  Dalam bahasa politik, ianya suatu bayangan bahawa PM memberi arahan kepada Menteri Pelajaran supaya PPSMI ini dihapuskan segera.  Mungkin saya salah, tetapi itu bacaan saya.

BN khususnya UMNO mesti mengambil berat isu  ini kerana orang Melayu suda mula marah pada kerajaan yang semacam bersikap sambil lewa menangani isu ini.  Kekalahan BN/UMNO dalam pilihan raya umum tahun 2008 diikuti oleh pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah juga disebabkan oleh isu ini.  Kalau UMNO mahu sokongan Melayu semula, hak dan bahasa kepunyaan orang Melayu ini hendaklah dikembalikan .  ingat. SN A. Samad Said juga telah menyarankan, jika PPSMI tidak dimansuhkan, beliau telah meminta pengundi menggunakan kuasa undi mereka dalam mana-mana pilihan raya.  Suara Pak Samad tidak boleh diremehkan.  Pengaruh beliau sudah menular di kalangan rakyat terutama orang Melayu.

Tetapi saya kira isu ini dapat diselesaikan segera kalau PM sendiri mengambil keputusan menghapuskan PPSMI ini.  PM juga semacam tidak ada political will dalam menyelesaikan isu ini.  PM mesti ada keberanian, kerana projek ini hanya percubaan.  Tetapi sekarang ianya mahu terus dikekalkan pula.  Pasti ada dalang di sebalik usaha meneruskan PPSMI ini.  Jikalau Hishamuddin tanya siapa dalang di sebalik GMP, maka kita juga boleh bertanya siapakah dalang di sebalik usaha mahukan PPSMI ini?
Apakah impaknya daripada perhimpunan dan perarakan ajuran GMP pada 7 Mac lalu?
           
Oh! Impaknya besar sekali.  Jika tidak ada perhimpunan dan perarakan yang dihadiri lebih 50,000 orang itu, tentu sekalali PM tidak respons dalam masa beberapa jam sahaja pada hari yang sama.  Diikuti pula reaksi daripada pelbagai pemimpin UMNO dan menteri, sama ada positif atau negatif, tidak kiralah.  Yang jelas ianya mendapat perhatian segera daripada mereka  .  Seandainya diadakan setakat kongres, seminar, penyerahan memorandum dan laporan polis sahaja, tidak akan memberi bekas.  Perhimpunan itu adalah menifestasi rakyat membantah terhadap PPSMI.  Itu suara rakyat, itu petanda kemusnahan BN/UMNO terserahlah kepada rakyat memikirkannya.

Tapi, pada perhimpunan itu kemuncaknya adalah penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong?

Benar…tetapi itu adalah simbolik sahaja.  Jikalau penyerahan memorandum itu dilakukan oleh 7 orang wakil GMP sekalipun, impaknya menjadi berita besar, kerana penyerahan memorandum telah biasa dilakukan.  Tetapi perhimpunan dan perarakan itulah menunjukkan betapa rakyat sudah mual, jemu, bosan malah marah terhadap sikap sambil lewa Menteri Pelajaran.  Sekiranya setakat perhimpunan dalam kawasan Masjid Negara sahaja, tanpa perarakan ke Istana Negara, impaknya juga tidak sama.  Yang menjadi berita besar ialah perarakan itu dan serangan gas pemedih mata oleh anggota polis simpanan persekutuan (FRU).

Bagaimana dengan tuduhan Hishamuddin bahawa GMP didalangi oleh parti pembangkang. Apa pandangan Dr.?

Saya bersetuju dengan padangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi GMP bahawa jika ada dalang, tentu ada boneka seperti wayang kulit.  Dalang dalam wayang kulit bersembunyi di sebalik tabir.  Tetapi pemimpin parti pembangkang seperi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan yang lain-lain turut bersama-sama memperjuangkan isu ini secara terang-terangan.  Itu bukan dalang namanya.  Ada ketelusan dan keikhlasan.  Mereka tidak sembunyi di sebalik tabir.  Datuk Hassan Ahmad seorang ilmuwan dan cendekiawan, tentu sekali dia tidak mudah dijadikan boneka.  Tuduhan itu satu penghinaan kepada Datuk Hassan.  Tidak adillah.

Apa pandangan Dr. seterusnya berkaitan dengan dasar PPSMI ini?

Bagi saya dan juga Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, PPSMI ini wajar dibatalkan sahaja dan dikembalikan kepada dasar sebelum ini.  Meneruskan dasar PPSMI akan memberi kesan negatif kepada bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh 30 tahun akan datang.  Buktinya tulisan jawi.  Bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa adalah sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa yang membina tamadun bangsa itu.Apa guna jika kita mempertahankan Melayu dan institusi raja jika kita hilang bahasa kebangsaan,bahasa rasmi kita sendiri.

Saya teringat kata-kata Tun Syed Nasir salah seorang pejuang bahasa kebangsaan kita yang unggul dahulu yang saya ingat pernah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat April 1969 yang mana beliau ada menyatakan  bahawa ada sesetengah golongan mengemukakan hujah iaitu lebih baik jurusan sains itu diajar terus menerus dalam bahasa Inggeris.

 Tetapi dalam soal ini hendaklah kita faham sungguh-sungguh, iaitu jika kita lakukan demikian hanya membawa erti bahawa kita semata-mata mengajar pengetahuan sahaja, dengan tidak memberi peluang memajukan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu pengetauan.0leh itu sama-sama kita renung-renungkan dan dijadikan ikhtibar.

(sumber:Wawancara akhbar SIASAH dengan DR RAJIEE HADI, SIASAH,15-21 Mac 2009/18-24 Rabiuawal 1430,Bilangan 0140)

8 September 2011

KRITERIA KELUARGA:KESAN KEPADA PELAJAR

Para pelajar pada awal remaja sewajarnya didekati  seperti seorang sahabat dengan  kasih sayang yang bertegas;  baik di kalangan ibu bapa mahupun para pendidik.Sikap bertegas tidak salah namun alangkah baiknya kita melayani mereka sebagai teman di sisi, berkongsi suka duka agar mereka berasa disayangi dan dihargai seperti anak-anak atau pelajar yang lain.
Sebenarnya perubahan  pelajar pada awal remaja ke arah negatif  bukanlah menjadi masalah besar andainya guru/pendidik  sedia berubah persepsi minda,   memahami tempoh tersebut adalah zaman pancaroba  pelajar dan adalah penting guru memahami  warna dan tona dalam kehidupan para pelajar.Justeru elakkan jangan terlalu mengawal atau membiarkan mereka sewenang-wenangnya hanyut dengan pelanggaran disiplin di sekolah.
 
 Guru sepatutnya berbincang aspek pro dan kontra akan  setiap perubahan tingkahlaku demi masa hadapan para pelajar.0leh itu keupayaan guru memahami pengaruh dan lingkungan kehidupan ibu bapa pelajar, persekitaran psikologikal dan sosial adalah suatu kelebihan bernilai.Keupayaan guru boleh mempengaruhi perkembangan pelajar pada tempoh awal remaja yang mana tempoh penting  mencegah dan membimbing selaras dengan perumpamaan Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya.  Guru; sama ada guru kurikulum, guru kokurikulum,guru darjah/tingkatan/mentor, guru kaunseling dan guru disiplin yang memahami perbezaan didikan keluarga yang berbagai-bagai  latar,corak dan ragam boleh mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam pengurusan bilik darjah,hal ehwal pelajar serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
 
a.       Keluarga Yang Autokratik
Menurut kajian  rumah rangga   autokaratik merupakan rumah tangga yang di dalamnya tidak ada penyesuaian,  sentiasa berkonflik ,sering berlaku  perselisihan faham  antara ibu bapa dengan anak-anak  yang bagaikan berumah di tepi tebing.  Walhal anak-anak atau pelajar ini sangat memerlukan perhubungan sosial yang baik, hubungan kekeluargaan yang sempurna serta lingkungan yang kondusif.  Dalam situasi begini  pelajar merasakan bahawa kepentingan dan minatnya tidak dipedulikan atau tidak dianggap penting.  Manakala pelajar berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu bapa atau guru di sekolah dengan berusaha menonjolkan diri minta diberi perhatian walaupun terpaksa menerima hukuman atau denda kerana kesilapan akhlak yang dilakukannya.   Lantaran sikap ibu bapa yang tidak memberikan perhatian
 untuk memahaminya,  mereka lebih cenderung tidak menghiraukan  keluarga dan sikap ini terbawa-bawa ke bilik darjah.

     Terdapat dua bahagian sikap autokrtik ibu bapa terhadap pelajar. Pertama, autokratik  bersifat kekal :  iaitu ibu bapa yang mengamalkan sikap autokratik  sejak awal perkahwinan dan mereka tidak tidak mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya . Kedua, autokratik yang tidak mahu bertolak- ansur dengan segala keinginan  anak-anak mereka yang mana lebih bersikap tidak  mahu  
bekerjasama dengan anak-anaknya. Akibatnya,pelajar bersikap memberontak dan sering mempamerkan  gejala-gejala immoral.
b.      Keluarga Yang Terlalu Toleransi

Keluarga yang terlalu toleransi adalah pelajar  yang mendapat perhatian berlebihan daripada keluarga. Bahkan kedapatan sikap ibu bapa menyamai perilaku  mereka.  Hal ini bertepatan dengan kajian yang  menunjukkan bahawa ibu bapa yang terlalu toleransi    mempengaruhi perkembangan  pelajar dari sudut kebebasan. Kesannya pelajar mengalami kesukaran penyesuaian dalam  bilik darjah, budaya sekolah, masyarakat dan lingkungannya . Pelajar lebih selesa mencari perhatian dan bantuan orang lain tanpa mahu berusaha dan berdikari. Pelajar begini  sangat bergantung  kepada ibu bapa  sehingga impaknya  mendambakan kehidupan  setelah dewasa dan di alam perkahwinan  serta tidak mahu tinggal jauh daripada ibu bapa. Mereka  juga didapati kurang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan pembelajaran dan tugasan.
c.       Keluarga Yang Demokratik

Perhubungan  dan komunikasi yang baik mudah diperpolehi dalam keluarga yang mengamalkan demokratik. Ibu bapa lebih memahami  pelajar sebagai individu yang mempunyai keterampilan peribadi dan tidak mengarah pelajar secara autokratik.  Pelajar lebih diberikan kebebasan berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri. Dengan ini pelajar  berkesempatan  mengupayakan kebebasan minda sendiri dengan kritis dan analitis.
Ada berberapa cara  merealisasikan rumah tangga  demokratik yang antara lainnya:

1.   Menghormati keperibadian pelajar dalam rumah tangga.
2.   Berusaha mengembangkan sahsiahnya dengan menganggap pelajar memiliki standard keunggulan, kemampuan kendiri dan berbagai-bagai kecenderungan  tersendiri dan harus memberinya kesempatan untuk berkembang sejauh mungkin.
3.   Memberikan ruang seluas-luasnya aspek kemahiran berfikir secara kritis, berekspresi dan tahu hala tuju kerjaya masa hadapannya.   Namun demikian kebebasan itu masih dalam koridor kebaikan bersama dan tujuan-tujuan yang bersifat umum. Tegasnya di sini  kebebasan itu bukan tanpa batas tetapi masih dibatasi oleh ketentuan-ketentuan sosial.
 
      Keluarga  demokratik itu banyak mendatangkan kebaikan dalam hubungan kasih sayang . Manakala keluarga  autokratik lebih memberi kesan elemen kekerasan, ketakutan dan pelanggaran disiplin.  Pelajar yang datang dari keluarga demokratik yang sihat mendorong  lebih bersifat  bertanggungjawab dalam kehidupan,  mempunyai idea yang mampu berfikir positif, bersedia saling membantu  dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat Kesimpulannya bahawa di samping memperoleh maklumat dan data daripada pihak Hal Ehwal Murid (HEM), guru yang bijaksana dan berhemah akan menyelidiki serba sedikit latar situasi para pelajarnya apabila penerapan gabung jalin dengan pelbagai aktiviti,kaedah,pendekatan dan teknik tatkala pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Dalam erti kata lain, sikap guru juga ada baiknya selaras dengan perkembangan psikologi dan persekitaran pelajar agar hubungan komunkikasi dua  antara guru dan pelajar  terjalin demi manfaat bersama (oleh Dr Rajiee Hadi).
 
DR RAJIEE HADI ialah mantan Pensyarah Kanan di Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.Beliau kini Presiden, Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

PROSEDUR MENILAI PRESTASI GURU WAJAR DIPERBETULKAN

PENULIS  terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.
 
Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain.Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.
 
Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.

 

Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.
 
Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.
 
Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.
 
Walaupun begitu  penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya? Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?
 
Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?
 
Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.
 
Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni.Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM  yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?
 
Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam! (oleh Dr Rajiee Hadi)
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

7 September 2011

PROFIL PELAJAR BERMASALAH DISPLIN BANYAK BANTU GURU

HASIL kajian para penyelidik di bidang pendidikan hal ehwal pelajar menunjukan 15% pelajar bermasalah disiplin yang dapat dikesan iaitu 75 pelajar berbanding 479 pelajar. Pelajar lelaki mendominasi masalah disiplin iaitu 85.3%  berbanding pelajar perempuan 14.7%.  Berdasarkan kajian mendapati kesalahan menganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas menunjukkan peratus yang tinggi  iaitu 17.3%, merokok 16% dan kesalahan yang jarang dilakukan adalah membawa bahan lucah iaitu1.33%.

Daripada maklumat yang diperolehi daripada unit disiplin, kesalahan disiplin yang dilakukan oleh enam responden adalah  seperti merokok,  ponteng kelas, berpacaran, memanjat pagar sekolah, menganggu pengajaran dan pembelajaran, bercakap  tidak sopan terhadap guru dan rakan, membawa bahan lucah dan sebagainya.


                Jadual 4.2.1: Jenis Masalah Disiplin Mengikut Jantina.
Bil
Jenis Kesalahan Disiplin
Jantina
Lelaki
Perempuan
1.
Merokok
12
0
2.
Berpacaran
7
12
3.
Ponteng Kelas
9
0
4.
Bercakap  kasar
8
1
5.
Membawa bahan lucah
1
0
6.
Memanjat Pagar Sekolah
4
0
7.
Menganggu Pengajaran dan pembelajaran
13
0
Jumlah
64
11


Berdasarkan jadual 1  menunjukkan pelajar  lelaki mendominasi  bermasalah disiplin seperti  merokok, memanjat pagar sekolah, melawan kata-kata guru, menganggu rakan-rakan semasa pembelajaran, yang kerap dilakukan pelajar berbanding responden perempuan.  Terdapat juga pelajar  yang melakukan tiga kesalahan disiplin.

                Jadual 4.2.2: Jenis Masalah Disiplin  Mengikut Usia
Bil
Jenis Kesalahan Disiplin
Usia


13
14
15
16
17
1.
Merokok
0
3
4
3
2
2.
Berpacaran
4
6
7
1
1
3.
Ponteng Kelas
0
0
7
1
1
4.
Bercakap  kasar
1
1
6
1
0
5.
Membawa bahan lucah
0
1
0
0
0
6.
Memanjat Pagar Sekolah
0
0
2
1
1
7.
Menganggu Pengajaran dan pembelajaran
1
2
7
2
1
Jumlah
6
13
33
9
6



                  Berdasarkan jadual 4.2.2  hasil kajian mendapati pelajar usia 15 tahun
menunjukkan jumlah tinggi iaitu 33 pelajar .  Manakala  pelajar berusia 14 tahun hanya 13 pelajar , bagi usia 17 dan 13  tahun hanya  enam pelajar sahaja yang melakukan kesalahan disiplin.

Responden 1 (R1)

Pelajar lelaki tingkatan dua ini adalah anak kelima daripada tujuh beradik dari
keluarga sederhana.  Bapa bekerja sebagai pegawai di salah sebuah syarikat swasta di Kajang.  Ibunya seorang suri rumah. Dia mempunyai dua abang yang salah seorangnya telah bekerja  dua kakak yang masih bersekolah. Responden seorang yang agak pendiam semasa sesi temu bual dijalankan dan tidak menunjukkan reaksi  rasa bersalah terhadap  kesalahan yang dilakukan.

                              Namun demikian, setelah  beberapa pertanyaan diajukan, penyelidik mendapati responden seorang yang suka bersosial. Ini membuktikan apabila responden menjelaskan ramai kawan yang ia temui setiap hari.

Responden 2 (R2)

Responden ialah pelajar lelaki tingkatan tiga.  Anak pertama daripada lima beradik.  Ayah seorang pegawai kerajaan manakala ibu bekerja sebagai pegawai bank di Kajang, Selangor. Menurut responden, dia jarang berkomunikasi dengan ibu bapanya kerana kedua-duanya sibuk bekerja dan melayani adik-adiknya.  Responden kurang mendapatkan perhatian daripada ibu bapanya.
           
            Semasa temu bual dijalankan, kelihatan responden resah dan suara sesekali
kurang jelas apa diungkapkan.  Apa jua tindakan yang dilakukan responden tidak
diendahkan oleh ibu bapanya. Responden kurang selesa berada di rumah.

Responden 3 (R3)

Responden ialah pelajar lelaki  tingkatan tiga. Responden yang mudah  berasa bosan ini dapat dilihat semasa sesi temu bual dijalankan .  Sesekali responden minta sesi temu bual ini segera ditamatkan. Beliau seorang pelajar yang kurang digemari  guru di sekolah kerana sikapnya yang kurang sopan dan suka melawan.

                  Seorang yang agresif namun demikian penyelidik mendapati responden ini
memerlukan lebih perhatian dan penyelidik telah menggunakan teknik mengajak
berbual bersahaja untuk mendapatkan maklumat supaya responden lebih selesa
dengan sesi temu bual ini. Responden anak ketiga daripada lima adik beradik. 

                  Responden kurang mendapat perhatian daripada keluarga kerana sikapnya suka keluar rumah setiap malam.  Ayahnya seorang pegawai kerajaan dan ibunya pula seorang suri rumah. Responden lima beradik.  Menurut responden , ibunya  suka berleter dan gemar membeza-bezakan antaranya dengan abang dan kakaknya yang mempunyai prestasi cemerlang dalam pencapaian akademik.

Responden  4 (R 4)

Responden pelajar perempuan  tingkatan dua.  Anak tunggal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang masalah rumah tangga.  Ibu dan bapanya telah bercerai ketika responden berusia 10 tahun. Ibunya seorang pensyarah dan sentiasa sibuk dengan tugasan rutinnya.  Ayahnya telah berkahwin lagi dan menetap di Johor.  Responden sentiasa mendapat apa yang diinginkan daripada ibunya . Responden hanya kurang selesa bersendirian di rumah kerana kehidupan hariannya asyik menanti ibunya pulang dari pejabat.
     
Responden  5 (R5)

Responden seorang pelajar perempuan dari tingkatan lima.  Responden adalah anak  keempat dari lapan beradik.  Bapanya seorang pensyarah dan ibunya  suri rumah.  Responden juga daripada keluarga yang mengalami masalah rumahtangga.  Bapa dan ibunya bercerai ketika responden berusia 11 tahun.  Kini

responden tinggal bersama ibunya dan empat orang adik beradik yang lain.  Responden kurang mendapat perhatian daripada ibunya yang sibuk mengambil upah menjaga anak orang lain.  Responden kurang selesa dengan kehidupan ini dan sering mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan rakan-rakannya di luar rumah.

Responden 6 (R6)

Responden pelajar lelaki tingkatan tiga.  Anak keempat daripada lima  beradik. Abangnya masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam(IPTA). Manakala tiga kakaknya menuntut di salah sebuah Institusi Perguruan Malaysia (IPGM) . Ayahnya pula bertugas di Jabatan Kemajuan lslam  Malaysia (JAKIM) di Putrajaya. lbu  responden seorang guru sekolah rendah di Putrajaya.  Beliau tidak dibenarkan keluar rumah khususnya pada hujung minggu.

Beliau berasa sangat tertekan pada setiap hujung minggu. Pada
kebiasaannya dia akan tinggal bersama adiknya berusia sepuluh tahun di rumah.  Ibu bapanya sibuk menguruskan hal-hal kebajikan dan kemasyarakatan di luar rumah. Responden bertambah tertekan lagi kerana ibu  bapanya tidak memenuhi keinginannya untuk mendapatkan perkhidmatan internet dan  televisyen berbayar ASTRO di rumah.

Responden beranggapan sekiranya kedua-dua kemudahan ini disediakan, beliau tidak berasa bosan jika ditinggalkan di rumah.  Responden melakukan kesalahan disiplin dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap guru dan sering menganggu rakan-rakan ketika pembelajaran sedang dijalankan. Beliau adalah pelajar yang sering diperkatakan oleh guru-guru di sekolah.

Pernyataan  enam  responden yang ditemu bual,  membuktikan masalah disiplin yang berlaku kerap kali diperkatakan.  Namun , jika dibiarkan berterusan tanpa tindakan atau teguran terhadap apa yang dilakukan oleh responden boleh membawa implikasi buruk yang lebih besar.  Oleh yang demikian unit bimbingan


dan kaunseling perlu menjelaskan kesalahan yang dilakukan itu boleh membawa kesan negatif  dan natijah buruk yang lebih serius.

Wujud sikap malas dalam kalangan pelajar mengikuti pembelajaran bukan hanya  disebabkan sikap pelajar sendiri, sebahagian besar ibu bapa kurang memperhatikan pendidikan anak-anak.  Malah terdapat juga segelintir ibu bapa yang tidak menyemak kerja-kerja sekolah. Sikap ibu bapa yang ’memewahkan’ anak-anak lebih membawa kesan negatif dan dapat menggalakkan mereka lebih bersikap malas belajar, lebih suka berfoya-foya dan merayau-rayau di kompleks membeli-belah dengan wang pemberian ibu bapa. lnilah yang kita ,baik; para ibu bapa, golongan pendidik dan masyarakat awam yang prihatin mahu elakkan daripada terus menjadi barah dalam komuniti sosial pada masa akan datang.( oleh Dr Rajiee Hadi & Mahnessa A.Kadir)