HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Mac 2018

KAEDAH MENGAJAR PENDIDIKAN ISLAM: SUATU APLIKASI KEPADA MURID-MURID SAUDARA BAHARU DI SEKOLAH RENDAH.



oleh DR RAJIEE HADI , USTAZAH NORUMAZA HASHIM & USTAZAH DR. HAJAH MAHNESSA A.KADIR

PENGENALAN
Dari perpesktif Islam, pengertian proses pengajaran dan pembelajaran  (P&P) merupakan segala perubahan atau peristiwa yang berlaku ke atas diri seseorang atau individu . lni merupakan proses P&P dalam Pendidikan lslam dan ianya merupakan suatu ibadah dan amanah  kepada guru untuk diberikan kepada murid-murid. Ia juga merupakan satu-satunya jalan dan teknik bagi manusia untuk sampai kepada kebenaran (hakikat) yang bertolak dari premis tauhid yang tidak memisahkan dari aspek akal dan jasad sebagai sesuatu yang bersepadu.

Pengajaran dan pembelajaran menurut Islam merupakan pembentukan keseluruhan potensi diri individu dengan berlandaskan nilai-nilai  ketuhanan atau rohani. Sehubungan ini,  agar manusia boleh menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah S.W.T yang terbaik. Sabda Rasulullah  S.A.W yang bermaksud “ Tiada pemberian orang tua  terhadap anaknya  yang lebih utama selain pendidikan yang baik” dan “ajarilah anak-anak kamu kalimah La IIaha IIallah ( tiada tuhan melainkan Allah) sewaktu ia mulai berbicara dan ajarlah mereka untuk membaca La IIaha IIalah sewaktu menghadapi kematian.

2.0 Kaedah  Pengajaran  Berteraskan Pendidikan Menurut Islam.

Mendidik murid-murid saudara baharu perlu menggunakan ilmu yang tepat atau diambil daripada al-Quran dan hadis. Guru perlu mengambilnya sebagai panduan untuk mendidik murid-murid saudara baharu mereka. Iman dan takwa adalah asas dalam pendidikan awal murid-murid khususnya murid-murid saudara baharu kerana dengan asas inilah Rasulullah S.A.W berjaya mendidik para sahabatnya.

            Murid-murid saudara baharu patut diperkenalkan supaya mencintai Rasulullah  S.A.W dan mencintai keluarga baginda. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh At Tabrani daripada Ali bin Abi Talib yang bermaksud ‘ Ajarlah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai nabi kamu, dan mencintai keluarganya serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-Quran  berada di arasy Allah S.W.T bersama-sama  para anbiya’-Nya dan ashfiya-Nya pada hari tiada  naungan melainkan naungan Allah S.W.T sahaja.

Murid-murid saudara baharu juga perlu dibiasakan untuk mentaati kedua ibu bapa dan guru. Perasaan kasih dan takut terhadap ibu bapa dan hormat kepada guru akan menghalang mereka daripada bersikap melawan atau menentang.Guru atau ibu bapa bergaul dengan anak didik mereka hendaklah secara berhikmah dan kasih sayang. Selain itu membiasakan  murid-murid saudara baharu dengan adab susila yang baik sejak mereka masih kecil lagi amat dituntut. Sebagai rujukan asas kepada para pendidik, Allah S.W.T menjelaskan dalam Al-Quran tentang kebijaksanaan Luqman Hakim dalam mendidik anaknya secara berperingkat-peringkat sebagai proses pengajaran dan pembelajaran anaknya.

3.0  PEMERINGKATAN ILMU ISLAM SECARA UMUM

3.1  Pelajaran Peringkat  Pertama
Kebijaksanaan manusia adalah sebenar adalah juga kebijaksanaan Tuhan, ( true human wisdom is also divine wisdom), kedua-duanya tidak boleh dipisahkan . Permulaan bagi semua kebijaksnaan adalah sifat keakuran dan kekuasaan Allah S.W.T. Anak-anak yang baru dilahirkan  ( jika dilahirkan terus daripada ibu bapa Islam ) akan diazankan pada telinga  kanan bayi lelaki dan diqamatkan pada telinga kiri dan bayi perempuan sebagai tanda pengenalan terhadap pencipta yang sebenar.
Tugas ini merupakan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Tindakan ini supaya fikiran dan hati anak-anak yang baru dilahirkan akan dapat menerima kasih sayang daripada AllahS.W.T Mudah-mudahan dengan perlaksanaan amalan ini, setiap bayi akan dapat mengingati pelajaran pertama sehingga ke akhir hayatnya.

3.2  Pelajaran Peringkat Kedua
Murid-murid saudara baharu  akan diajar untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan guru. Ketaatan juga ditegaskan  kepada ibu bapa dan guru agar mereka terus menyedari betapa pentingnya dan berjasanya kedua ibu bapa dan guru dalam hidup mereka. Sifat syukur terhadap Allah S.W.T sebagai pencipta akan diikuti dengan perasaan taat yang tidak berbelah bagi terhadap ibu bapa dan guru.

3.3 Pelajaran Peringkat ketiga
Balasan daripada Allah S.W.T terhadap semua tindakan semasa hidup diajar kepada murid-murid saudara baru. Penegasan terhadap kekuasaan Allah S.W.T dalam mengetahui apa sahaja yang diniatkan, diperlakukan dan diperkatakan oleh murid-murid saudara baharu  diberitahu supaya mereka bersedia dengan pengajaran mengenai hari keadilan  dan pembalasan.


3.4 Pelajaran Peringkat keempat
Kewajipan murid-murid saudara baharu untuk menunaikan solat sebanyak lima kali sehari akan ditekankan. Pengajaran diikuti dengan penekanan terhadap bacaan  dan hafalan al-Quran sebagai melengkapi dan menyempurnakan ibadat solat tersebut. Tanggungjawab guru  di sini adalah mengajar anak didik mereka agar boleh membaca al-Quran dan berusaha untuk menghabiskan bacaan keseluruhan al-Quran  antara umur lapan hingga sepuluh tahum. Sementara ibadah seperti solat dan berpuasa itu pula boleh dipraktikkan seawal usia tujuh tahun.
3.5 Pelajaran Peringkat Kelima
Guru akan mendidik murid-murid saudara baharu tentang perbuatan baik dan jahat. Mendidik  murid-murid saudara baharu agar melakukan  perbuatan yang baik dan disukai Allah S.W.T dan melarang serta menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.banyak membantu memupuk keperibadian Islam di jiwa mereka seawal usia.Penjelasan terhadap hak setiap murid-murid saudara baru untuk menyuruh ke arah kebaikan dan melarang perbuatan kejahatan ke atas setiap ahli dalam keluarga yang diberikan.

3.6 Pelajaran Peringkat Keenam
Sifat sabar dalam diri setiap murid-murid saudara baharu diajar. Guru patut mendidik mereka baru agar bersabar ke atas setiap ujian Allah S.W.T dan dalam menempuhi kesusahan dan ketegasan dalam kehidupan. Mereka dididik dan diajar  agar menjauhi sifat berputus asa dan mengalah dalam perkembangan hidup.

3.7 Pelajaran Peringkat Ketujuh
Mendidik murid-murid saudara baharu agar membuang perasaan angkuh dan takbur, sama ada terhadap Allah S.W.T atau sesama manusia. Mereka turut  didedahkan dengan keburukan dan kelemahan sekiranya mempunyai angkuh dan takbur dalam diri.

3.8 Pelajaran Peringkat Kelapan
Melarang murid-murid saudara baharu daripada bersifat angkuh dan meninggi diri sebaliknya sentiasa merendah diri dan bersifat sederhana dalam segala hal. Mereka juga  dididik supaya bersifat merendah diri dalam hal-hal yang berkaitan dan tidak  bersifat keterlaluan dalam sesetengah hal, sebaliknya lebih bersifat sederhana.



3.9 Pelajaran Peringkat Kesembilan
Bersifat sederhana dalam kehidupan patut diajar kepada setiap murid-murid saudara baharu. Perasaan ingin bersederhana sangat penting dalam kehidupan bagi memupuk sifat ikhlas dan reda.

4.0 PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIDIKAN ISLAM
Pendekatan dari segi konsep dalam pendidikan adalah cara mendekati sesuatu. Ianya merujuk kepada bagaimana cara sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Dalam ayat lain pendekatan dalam bidang pendidikan pula merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya dan pendekatan haruslah berlandaskan  kepada modal, prinsip atau teori pembelajaran.
            Justeru pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan sebagai medan dakwah kepada murid-murid saudara baharu adalah di antaranya:
i.                    Pendekatan Deduktif
ii.                  Pendekatan Induktif
iii.                Pendekatan Bersepadu
iv.                Pemusatan Pelajar
v.                  Bertema ( Thematic Approach)

Pendekatan Deduktif didefinisikan sebagai suatu pendekatan mengajar yang
bermula daripada satu atau beberapa rumus, prinsip , hukum atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Pendekatan deduktif ini juga boleh digunakan bagi memperolehi kesimpulan yang baru daripada rumus, prinsip, hukum atau peraturan yang telah diketahui  Contohnya kejadian alam semulajadi seperti awan, langit, gunung, laut dan sebagainya adalah ciptaan Allah S.W.T dan manusia tidak mampu untuk menciptakannya kerana keupayaan  dan kuasa manusia adalah terhad.

            Pendekatan Induktif  pula melibatkan aktiviti mengumpul dan menafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat kesimpulannya  yang mana guru memulakan pengajaranya dengan memberikan beberapa contoh yang khusus tetapi mengandungi satu prinsip yang sama . Justeru berdasarkan kepada contoh yang telah diberi , murid-murid saudara baharu dibimbing memikir, mengkaji , mengenal pasti dan mentafsir maklumat yang terkandung dalam contoh-contoh khusus itu kemudian membuat kesimpulan yang berkenaan.


Contohnya murid-murid saudara baharu ini dikehendaki menyenaraikan nama- nama benda  atau subjek di sekeliling mereka seperti meja , kerusi, kipas,  lampu, tingkap, pintu , buku, pen , pensil dan sebagainya dirumuskan bahawa benda-benda yang disenaraikan dan dikumpulkan itu adalah hasil pembuatan manusia dengan Allah S.W.T mengurniakan akal fikiran kepada manusia untuk mencipta secara kreatif dan inovatif. Sementara guru pula haruslah membantu membimbing dan menghubungkait serta menggabungjalinkan benda-benda ciptaan manusia dan banding beza dengan hasil ciptaan Allah S.W.T.

            Pendekatan pengajaran seterusnya adalah pendekatan bersepadu yang membawa maksud melaksanakan semua unsur yang terdapat dalam kurikulum,  secara bercantum atau bersatu yang mana semua ilmu diajar dengan cara saling berkaitan di antara satu sama lain. Di bawah rancangan KSSR konsep kesepaduan diamalkan dalam penggunaan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Ini adalah bertujuan untuk menjalin  serta mengadunkan unsur-unsur ilmu, nilai, kemahiran belajar dan penggunaan bahasa yang baik.

Contohnya dalam pelajaran wuduk tahap satu, murid-murid saudara baru sebelum mengambil wuduk dikehendaki membaca niat , pada asasnya pelajaran wuduk dalam konsep ibadah namun ianya boleh digabungjalinkan dengan akidah kerana niat merupakan asas penting dalam sesuatu kepercayaan dan amalan kepada Allah S.W.T maka tanpa niat tidaklah sah wuduk tersebut.Guru sewajarnya menerangkan secara jelas hubung kait dan gabung jalin antara aspek akidah (niat) dan ibadah (rukun).

            Pendekatan pengajaran keempat adalah pemusatan pelajar. Menerusi pendekatan pemusatan murid saudara baharu , guru dan murid bersama-sama memainkan peranan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid aktif menyertai komunikasi berbentuk dua hala. Guru menyoal dan murid menjawab dan sebaliknya. Suasana kepepimpinan adalah bersifat demokratik.

Dalam pendekatan ini pencapaian objektif pembelajaran murid-murid saudara baharu diutamakan. Pendekatan ini lebih menekankan perkembangan murid (dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek), pembelajaran kendiri , pengarahan kendiri, kaedah dapatan dan inkuiri penemuan, Selain itu pendekatan pemusatan pelajar  turut menekankan ujian formatif yang menggunakan hasil ujian untuk memperbaiki dan mengatasi kelemahan –kelemahan murud di samping kefahaman dan bahan-bahan bermakna. Contohnya murid- murid saudara baru tahap satu (7-9 tahun)  diajar menghafal sifat-sifat Allah S.W.T seperti wujud,qidam, baqa’  dan seterusnya.



Guru meminta murid-murid saudara baharu ini menghafal secara lisan secara bergilir-gilir atau guru menyebut sifat Allah yang pertama, kemudian guru meminta murid saudara baharu menyebut sifat Allah yang kedua dan selanjutnya.Guru memberi arahan secara berfokus atau berpusat dengan menumpukan kepada seseorang murid atau kumpulan dalam kelas.Dengan ini guru berupaya membantu murid-murid saudara baharu bagi meneguhkan kemahiran mendengar,kemahiran menyebut/sebutan dan kemahiran mengingati/kognitif.
            Menerusi pendekatan pengajaran tersebut murid lebih berminat terhadap pelajaran yang dipenuhi aktiviti dan lebih berupaya menggunakan segala yang telah dipelajari serta memindahkan kepada situasi baru. Naluri ingin tahu dapat diperkembangkan lagi melalui kaedah seperti inkuiri dan penemuan. Dalam aspek ini murid-murid saudara baru sentiasa mempamerkan sifat-sifat sosial yng positif seperti  berkerjasama , bertimbang rasa, tolong menolong dan sebagainya.




            Pendekatan pengajaran yang kelima adalah pendekatan bertema ( Thematic Aproach) .Tema memberi maksud idea yang besar, dengan itu pengajaran tematik bermakna pengajaran yang dismpaiikan  melalui satu idea yang besar , Contohnya tema seperti solat perkara-perkara samiyyat, bersuci dan lain-lain.
Pada kebiasaannnya satu-satu tema kemudiannya dipecahkan kepada komponen-komponen yang kecil. Dalam setiap komponen terdapat lagi topik-topik kecil yang dibincangkan. Contohnya bertemakan puasa Ramadan yang akan dibincangkan adalah sub topik seperti niat berpuasa Ramadan, rukun puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dengan berdasarkan sesuatu tema; pengetahuan murid-murid saudara baru ini dapat dikembangkan secara komprehensif yang berkaitan dengan pelajaran puasa Ramadan.

5.0 BAHAN –BAHAN DAN  PRINSIP-PRINSIP DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
Apabila mendidik dan mengajar serta diselitkan dengan mengukuhkan dakwah lslamiah kepada saudara baharu beberapa prinsip Pendidikan Islam telah digunakan iaitu Prinsip dari  mudah kepada sukar/abstrak ( Minas Sahlah ila Syu’bah), Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh  ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul, Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul), Prinsip  daripada  maujud kepada mujarad dan Prinsip daripada yang spesifik kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am).

Prinsip dari  mudah kepada sukar ( Minas Sahlah ila Syu’bah) bermaksud isi  atau kandungan yang akan disampaikan kepada murid-murid perlu ditingkatkan supaya yang mudah didedahkan kepada para pelajar sebelum yang susah diperkenalkan. Sebagai contoh manusia mencipta kereta atau motokar, manusia membina rumah, membuat kerusi meja tetapi Allah S.W.T mencipta angin,hujan,malam,bintang,matahari dan seumpamanya. lnilah kejadian dan fenomena alam yang patut mereka ketahui asal usul kejadian .Setiap yang ada atau wujud mesti ada si penciptanya. 

Pemeringkatan  ini  penting  bagi tujuan supaya murid dapat mengikutinya secara beransur-ansur dan murid yang lemah akan dapat dikesan dan dibantu pembelajarannya. Dalam erti kata lain guru hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip ini dalam semua pengajarannya supaya isi yang disampaikan berkesan dan mencapai objektifnya.

Prinsip dari dekat kepada yang jauh ( Minal Qarib ila Baid). Prinsip ini menjurus kepada memberi bimbingan kepada pelajar untuk mengenali sesuatu topik dengan membawa contoh yang terdekat  dalam proses pembelajaran dan pengetahuan pelajar. Kebiasaannya pelajar berasa agak sukar memahami mata pelajaran akidah yang disampaikan oleh guru atau daripada buku teks. Justeru  guru mestilah kreatif dalam memberi contoh terdekat  dengan mudah serta pengetahuan dan pengalaman para pelajar sehingga dapat menghilangkan kekaburan dan kefahaman mereka.

Dalam bidang ulum syariah ada baiknya contoh diberikan berdasarkan cara murid-murid bersolat atau mendirikan sembahyang.Ada murid-murid saudara baru ini yang telah pun mengalami amalan pengetahuan itu sendiri seperti solat lima waktu sehari semalam. Ini mungkin kerana ada murid-murid ini yang telah mempelajarinya daripada saudara tertua, rakan sebaya atau daripada ibu bapa mereka. Tetapi tidak dinafikan juga ada murid-murid atau ahli keluarga mereka yang tidak pernah solat.

Penyampaian tajuk solat hendaklah dilakukan dari yang dekat kepada jauh seperti
bermula dari memperkenalkan waktu solat fardu dan rakaatnya, niat dan cara mendirikan solat.Berdasarkan prinsip ini guru dapat menyusun langkah dan aktiviti yang sesuai serta kaedah dan teknik yang berkesan untuk memudahkan mencapai objektif pelajaran. Di dalam bilik darjah, semasa pengajaran menggunakan prinsip ini guru dapat mengesan kemampuan murid untuk memahami pelajaran ini dengan membuat penilaian lisan yang berterusan seperti soal jawab di samping penglibatan murid secara maksimum terutama dalam amali solat. Prinsip ini hendaklah diamalkan dalam pengajaran Ulum Syariah yang lain juga.

Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul). Prinsip ini pula berperanan untuk menghubungkan pelajaran yang akan disampaikan dengan perkara yang berlaku dan berkaitan dengan pengalaman dan kehidupan setempat murid. Dalam hal ini guru akan melaksanakan  pengajaran dengan menyelidiki terlebih dahulu pengetahuan sedia ada murid yang mana semasa penerangan guru dimana-mana  langkah samada melalui soalan , gambar bahan dan sebagainya.

             Guru sewajarnya mengaitkan pelajaran yang lalu dengan pelajaran yang baru juga berkaitan dengan prinsip justeru itu di dalam merancang isi pelajaran penyampaiannya juga hendaklah dirancang dengan mengamalkan prinsip dari yang diketahui kepada yang belum diketahui. Guru mengaitkan pengalaman baru dengan pengalaman sedia ada murid-murid saudara baru..

Dalam pelajaran ulum syariah bagi mata pelajaran fekah, murid-murid-murid saudara baharu telah pun tahu mengenai apakah erti wuduk atau mengambil air sembahyang. Sebahagian murid-murid saudara baru telah pun mengalami cara-cara mengambil wuduk dengan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Prinsip ini memberi penekanan kepada amalan yang teratur yang mana bermula dari pengalaman yang ada pada murid dan dikembangkan kepada yang belum diketahui seperti guru memperkenalkan anggota wuduk yang wajib dan sunat, sempadan setiap anggota wuduk tersebut dan cara mengambil wuduk yang betul.Pengajaran berdasarkan prinsip ini akan berjaya mencapai objektifnya apabila guru menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai dan penglibatan pelajar dalam amali wuduk tersebut.

Prinsip  daripada  maujud kepada mujarad bersandarkan daripada  sesuatu benda yang wujud dan boleh dipegang, dilihat dan dirasa membawa kepada sesuatu yang abstrak. Perkara/isu/topik yang abstrak ini memerlukan daya deria yang merangsang pemikiran untuk mengetahuinya dengan bukti-bukti yang wujud di sekitar murid-murid. Justeru menerusi rancangan pengajaran dan isi pengetahuan yang dikembangkan hendaklah berasaskan kepada pengetahuan sedia ada murid-murid; misalnya kewujudan benda-benda di persekitaran mereka.
Dalam pelajaran tauhid misalnya guru mengajar mengenai kewujudan  Allah S.W.T itu wujud dan bukti kewujudan Allah ialah  wujudnya alam ini. Pengetahuan murid-murid yang sedia ada ialah  mereka mengetahu bahawa setiap benda yang ada pada mereka ada pembuatnya. Mereka tahu kerusi yang mereka duduk ada tukangnya, meja yang mereka gunakan ada pembuatnya, kereta yang mereka naiki ada kilang pengeluar dan pembuatnya malah baju yang mereka pakai ada tukang jahitnya, semuanya itu tidak terjadi dengan sendiri, begitu juga dengan alam ini seperti langit, bumi, sungai, lautan dan semua yang mereka nampak, pegang dan rasa penciptanya ialah Allah s.w.t. Alam ini tidak terjadi dengan sendirinya.
Jika kita kagum dengan rekaan kereta yang canggih, rekaan alat-alat teknologi yang hebat tentulah pembuat dan perekanya hebat.Namun ketahuilah bahawa Allah S.W.T lebih maha hebat lagi kerana Allah telah mencipta manusia dan alam.Oleh yang demikian dengan menjalankan prinsip dari yang wujud kepada mujarad atau abstrak maka pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif dapat dicapai.





Prinsip daripada yang spesifik kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am) berperanan untuk membimbing pelajar mengenali  sesuatu tajuk pelajaran dengan menemukan bahagian-bahagian kecil secara beransur untuk disimpulkan menjadi satu fakta atau hukum dan peraturan yang mana bagi memastikan keberkesanannya.

Perkembangan isi pelajaran ianya haruslah disusun berdasarkan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum. Oleh itu dalam pengajaran tersebut, pendekatan induktif dengan prinsip khusus kepada umum adalah berbeza, kerana prinsip ini lebih menekankan kepada perkembangan isi pelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru  menerusi prinsip ini guru hendaklah memilih isi pelajaran yang tersusun dan sesuai serta mempunyai ciri-ciri khusus isi pelajaran .

Contohnya sekiranya guru mengajar mengenai hadas kecil dan hadas besar, guru hendaklah menjelaskan dahulu ciri-ciri khusus hadas kecil atau hadas besar , sebelum membuat satu konsep atau  pengertian yang umum tentang ciri-ciri yang telah diterangkan.

Guru perlu terlebih dahulu memberikan ciri-ciri hadas kecil  seperti kencing, najis binatang, buang air besar, darah dan sebagainya,Selepas itu barulah  guru memberi penjelasan berhubung topik yang berkaitan.

            Prinsip ini akan lebih merangsang murid untuk mengetahui perkembangan isi tersebut sehingga guru memastikan bahawa segala kaedah dan strategi pengajaran yang dijalankan bertepatan dan akhirnya objektif yang ditetapkan tercapai.

KESIMPULAN

Murid-murid atau kanak-kanak khususnya bagi murid-murid saudara baharu sekolah rendah sama ada pada Tahap Satu (7-9 Tahun) dan Tahap Dua (10-12 tahun) merupakan anugerah yang sangat berharga. Justeru sewajarnya guru memberi didikan yang benar dan sempurna agar mereka berkembang menjadi seorang remaja dan dewasa yang menepati ciri-ciri jati diri, sebagaimana yang dikehendaki dalam ajaran lslam.
Guru sewajarnya juga sentiasa memastikan setiap pelajar boleh mengingati dan memahami arahan dan ajaran yang disampaikan oleh guru. Misalnya dalam pelajaran tata cara berwuduk dan rukun-rukun dalam solat.Sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung sudah tentu guru perlu memberi sepenuh perhatian ke atas setiap tingkah laku dan gerak balas murid-murid.Di samping itu wujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang penuh kasih saying dan mesra supaya murid-murid saudara baru ini  berasa seronok dengan subjek Pendidikan lslam dan tidak berada dalam situasi terpaksa.
Sebagai penutup, guru Pendidikan lslam hendaklah sentiasa turut serta bersama murid-murid saudara baharu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Dan yang lebih berkesan, guru hendaklah sentiasa memberikan contoh yang positif sebagai model untuk mereka ikuti sama ada dari sudut bahasa, berpakaian,sikap, perlakuan mahupun penonjolan afektif.Mudah-mudahan kemahiran dan kebijaksanaan guru mengenal pasti ekspresi muka dan gerak badan murid-murid seperti ini akan menjalinkan kesefahaman dan kekal jiwa dan roh lslam untuk selama-lamanya. (sumber tulisan: oleh DR RAJIEE HADI & NORUMAZA HASHIM, DR. MAHNESSA A.KADIR )@ Hakcipta Terpelihara.

 Bibliografi
Al-Quran al- Karim
Abdullah Basmih. 1985, Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada pengertian Al-Quran, Kuala
Lumpur :Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.
Ahmad Mohd. Salleh, 1997 Kuala Lumpur : Pendidikan Islam, Asas Dinamika Guru Jld 1,
Penerbit fajar Bakti.
Atan Long. 1981, Pedagogi-Kaedah Am Mengajar, Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Fariza Md. Sham dll. 2006,Dakwah dan Kaunseling Di Malaysia, Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Ghazali Daruslam. (2001), Pedagogi Pendidikan Islam, Kajang, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Nashuha Jamidin. 1995, Kemahiran Berfikir dan Belajar , Shah Alam : Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Nur Raudah Hj. Siren dll.(2006),Dakwah Islam Semasa, Konsep dan Perlaksanaan,Penerbit
Universiti Malaya.

Latar Belakang Ringkas Penulis:

Dr. Haji Rajiee Abdul Hadi yang juga terkenal dengan nama pena 'Rajiee Hadi' dalam bidang penulisan khususnya penulisan kreatif: puisi & cerpen ialah mantan Pensyarah Kanan Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam.Beliau pernah menjawat Ketua Unit Profesional Pembangunan Keguruan di Jabatan Penyelidikan, Maktab Perguruan lslam (kini IPGM), Bangi, Malaysia dan Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.Beliau juga pernah menjawat sebagai pensyarah sambilan di UNITEN dan UPM Malaysia.Bidang kepakaran beliau dalam pendidikan ialah metodologi pengajaran,komunikasi bahasa dan psikologi bahasa & sastera Beliau juga adalah mantan Ketua Pengarah DRH Consultans & Research Institute di firma perundingan pendidikan & keluarga & kini  Penasihat kepada  Awan Prima Group.

Ustazah Norumaza Hashim berkhidmat lebih 10 tahun sebagai guru siswazah di sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia.Sebelum itu beliau berkhidmat selama 5 tahun sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kelantan Darul Naim, Malaysia.Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuluddin (kepujian) di Universiti Malaya,Kuala Lumpur dan Diploma Pendidikan lslam (cemerlang) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi, Malaysia. Beliau memperoleh Sarjana Pendidikan  (M.Ed.) dalam bidang kaunseling lslam di Universiti Kebangsaan Malaysia,Bangi, Malaysia.

Ustazah Dr. Hajah Mahnessa A.Kadir  memperoleh ijazah PhD daripada  Fakulti Pengajian lslam UKM,Bangi,Malaysia. Beliau berpengalaman menjalani kerja lapangan dakwah di perkampungan Orang Asli dalam daerah Gua Musang, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Agama ( S.A) dalam bidang Usuluddin & Falsafah lslam daripada Universiti Negeri Imam Bonjol, Padang, lndonesia dan Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam kaunseling lslam di Fakulti Pendidikan UKM. Sebelum itu, beliau juga memperoleh Diploma Pendidikan KPLI ( kepujian) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi. Beliau bertugas sebagai pensyarah dan mantan ketua unit di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Nota: Kertas kerja ini telah dibentangkan di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah Malaysia pada  November 2015.

28 Mac 2018

Puisi: PANTUN PRU 14

Dua tiga kucing berlari,
Kucing berlari si kucing kembar,
PRU tinggal beberapa hari,
Mengundi Harapan tidaklah sabar.

lsteri empat isteri satu,
Sama-sama melipat kain,
Tanggunglah derita takutkan hantu,
Kali ini kita UBAH yang lain.

Pakai jubah bulan Rejab,
Bulan Rejab banyak berkat,
Teruslah berhujah tunggu sekejap,
Biarlah mereka saling memikat.

Berpuluh-puluh Datuk Seri,
Ada pula kononnya dibeli,
Berpuluh bilion wang dicuri,
Mengapa pula rakyat dibuli?

Dari Pilah ke Seri Menanti,
Makan durian di tepi jalan,
Harapan itu bakal pengganti,
Suarakan hatimu usah terkilan.

Tun M PM Harapan,
Najib pula tak mahu lepaskan,
Berdebatlah agar kalian mapan,
Hadi Awang sila pastikan.

Kami di kampung menanam ubi,
Emas juga dipandang orang,
Perang PRU bertubi-tubi,
Ada yang sedih ada yang girang.

Ramai ustaz jual ubat,
Jual ubat di padang matsirat,
Ustaz pop suruh bertaubat,
Dia kutuk doakan mudarat.

Tiada Aedes tiada denggi,
Tiada BN tiada GST,
Patut UBAH apa nak tunggu lagi,
Jangan hutang berpeti-peti.

Sudah tua baharu kembara,
Banyak celoteh siang malam,
Kali ini pilihan raya,
Hati-hati si muka talam.

Gendang perang sudah dipalu,
Gegak gempita setiap negeri,
Mudah-mudahan keputusan pemilu,
Harapan rakyat hidup berseri.

PRU ini paling hebat,
Sejarah terukir gabungan parti,
Dalam dewan asyik berdebat,
Pro dan kontra mula mengerti.

Berpatah arang jauhilah sekarang,
Ukhwah itu usah dilupakan,
Apa diharap janjinya orang,
Pakatan Harapan sedia tunaikan.

Berani itu kerana benar,
Usah leka jangan terlena,
Lama benar menanti sinar,
Kelak negara semula dibina.


Berbuka puasa makan lepat,
Berlauk gulai si ikan puyu,
Jika undi sudah dapat,
ltulah tanda we love you.



RAJIEE HADI,
Bangi,SDE.
20 Mac 2018.

6 Mac 2018

puisi: BAYI

Bayi comel itu
keluar dari rahimmu
suatu daerah asing
berbulan-bulan dahulu
berbisik cinta kasih
sukma  rindu selasih

Bayi comel itu
bersemi menyatu berahi
setelah ijab kabul
kulafazkan pasrah
kurniaan Allah pemurah
usiamu di pergentingan

Bayi comel itu
pada malam lelah
di kejauhan waktu
kita bina istana sakti
dalam izin merelakan
anugerah nur Ilahi

Bayi comel itu
kini mengenal alam
membilang ragam
pancaroba kehidupan
yang kelak mewarisi
getaran & cabaran

Maafkan ibu bapamu
kerana tiba waktunya
anakku telah terbeban
saat kelahiran ini
tanah air kecundang
malam menanggung bimbang!

RAJIEE HADI
Putra Nilai N9,
5 Mac 2018.


4 Mac 2018

Puisi: MAAF

Maafkan daku
tidak mengunjungimu
kelmarin malam
di rumah sana
berbuka puasa
tamar istimewa

Maafkan daku
tidak berkesempatan
menikmati tiga rasa
siakap sup berhalia
masakan hidanganmu
kenangan luar negara

Maafkan daku
membiarkan gelisah
menyimpan riang tawa
si lesung pipit itu
bertahun-tahun impikan
penantian rindu

Maafkan daku
mengotakan prinsip
nilai maruah diri
bukan kemahuan hati
sukar dimengerti
buat hari ini

Maafkan daku
membentang sejarah
jalan pilihanmu
bukan kehendakku
walau kuatur rapi
demi masa depanmu!


RAJIEE HADI,
Residensi Bukit Mahkota,
Bangi.
4 Mac 2018.

2 Mac 2018

TRAGEDI SAMPAN KARAM SUNGAI MUAR

MASA terus berlalu, tanpa diduga telah berlaku hampir 45 tahun yang lampau. Pada ketika itu (tarikh dan tahun sebenar penulis tidak pasti..kerana enjin carian google belum wujud lagi; apa yang pasti sebelum tahun 1982, selepas tahun 1978) penulis sebagai guru muda yang bertugas di sebelah sesi petang di sebuah sekolah menengah dalam derah Muar; seperti biasa mahu bersarapan lontong Wak Lip di Pekan Serom 3.


Penulis di jeti  Serom 3 Panggung, Muar 


Suasana awal pagi kira-kira jam 7.30 pagi Pekan Serom 3 bagaikan hinggar-binggar kerana orang ramai berkumpul di sana-sini. Penulis yang baharu sampai ke warung Wak Lip mulalah mendekati beberapa pelanggan di situ. Di situ telah sedia ada seperti biasa; Pak Atan Khatab, Mat Gedebuk, Pak Atan Salu, Encik Mat lkan dan Cikgu Atan, Yang lain-lain, ada berkumpul bersembang di Kedai Buku Pak Hashim.
Gambar Hiasan

Dipendekkan cerita, di warung Wak Lip penulis mendapat gambaran awal mengenai dua buah sampan kotak yang membawa murid-murid Sekolah Kebangsaan Serom 3 dan Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar ,Sungai Mati menyeberangi Sungai Muar seawal jam 7.00 pagi dari pangkalan Kampung Tanjung Selabu, terbalik dan tenggelam  secara tiba-tiba dilanda arus air pasang di Sungai Muar. Jumlah pelajar dalam sampan tersebut yang didayung secara manual sekitar 15-18 orang. Salah seorang pendayung sampan yang digelar namanya 'Ajal' telah sedaya upaya bergelut dan menyambung nyawa bagi menyelamatkan anak-anak kecil yang berusia antara 7-17 tahun.

Tanpa membuang masa, penulis dengan motosikal Honda Cub JX 5930 bergegas ke Serom 3 Panggung yang mana terletak jeti sampan penambang yang berulang-alik setiap hari ke Kampung Tanjung Selabu yang termasuk dalam mukim Jorak daerah Pagoh, Muar. Penulis lihat orag ramai mula berjejeran di sepanjang tebing sungai. Bantuan dari polis marin dan pertahanan awam mula tiba dari bandar Muar.

Sedihnya, sampan dan anak-anak sekolah telah hilang dibawa arus; ada yang menjangkakan arah ke hulu sungai dan ada yang menduga ke muara sungai. Kerja-kerja mencari mangsa sampan kotak diteruskan sepanjang hari dengan bantuan penduduk kampung juga. Penulis tidak boleh berlama berada di situ kerana jam telah menunjukkan angka sebelas pagi. Penulis harus berkemas bersedia untuk ke sekolah.

Gambar Hiasan
Sepanjang petang itu, penulis terasa resah. Di mana-mana orang bercerita. Maklumat belum diterima.Maklumlah tidak ada kemudahan ICT canggih seperti zaman sekarang. Namun ada khabar angin yang dibawa selepas jam 2 petang mula ditemui satu persatu mayat murid-murid sekolah tersebut.

Apabila pulang dari sekolah sekitar jam 6 petang, penulis melintasi Pekan Serom 3 dari Pekan Bukit Gambir. Tanpa berlengah lagi, penulis membelok motosikal ke sebelah kiri jalan menuju jeti Serom 3 Panggung. Setibanya di tempat kejadian, kawasan di tempat kejadian telah dipenuhi orang ramai. Beberapa buah ambulans dengan lampu merah kecemasan telah bersiap sedia. Penulis telah berjaya menyelit di tengah-tengah kumpulan orang ramai mahu melihat sendiri mangsa-mangsa tragedi dengan mata kepala sendiri.
Gambar Hiasan

Penulis difahamkan sudah lebih daripada 5 mangsa yang mati kelemasan telah dibawa ke Hospital Muar sejak tengah hari itu. Pada ketika itu, kerja-kerja mencari mangsa masih diteruskan. Penulis sendiri melihat mangsa-mangsa yang terbaring terbujur kaku yang terdiri kanak-kanak lelaki dan perempuan sekolah rendah sekitar 4 orang dan pelajar perempuan sekolah menengah, 2 orang. Dengan berpakaian sekolah dan berkasut yang lengkap membuatkan penulis sebak dan  air mata berlinangan.

Apa yang penulis tidak lupa, salah satu mayat (murid lelaki sekolah rendah) menggenggam erat sapu tangan yang tersimpul rapi dan utuh wang syiling 20sen. Betapa eratnya genggaman yang tidak dilepaskan; begitulah erat dan sebati ingatannya akan kasih sayang  kedua-dua ibu bapa yang memberikan wang saku persekolahan pada hari itu. Penulis tidak sanggup memaparkan adegan-adegan yang menyayat hati kerana membuatkan peristiwa ironis itu terkesan dan membungkam kembali.Operasi mencari saki baki mangsa berterusan hingga ke malam.

Seperti biasa, tragedi hari itu menjadi berita utama di semua stesen TV. Menteri Besar Johor ketika itu Dato' Othman Saat mula bercakap mengenai tindakan susulan dan projek masa hadapan. Cakap-cakap orang politik bukanlah perkara baharu bahkan sudah jadi klise atau lumrah. Ada sosek-sosek dan ura-ura mahu membina jambatan menghubungkan Kampung Serom 3 Panggung- Kampung Tanjung Selabu. Ada cakap-cakap kerajaan akan memberi bantuan  membekalkan enjin sangkut bot penambang. Dan macam-macam spekulasi selepas tragedi itu.

Selepas beberapa bulan dan menjangkau beralih tahun, penulis mengunjungi ke kawasan tragedi itu. Ada ketikanya sebelah pagi, selepas asar bahkan selepas lsyak. Penulis cuba berimaginasi dan mengumpulkan daya kreativiti dan sensitiviti lalu bertanya diri sendiri; apakah penulis berupaya seperti Shahnon Ahmad menggarap novel dengan paparan peristiwa yang dinamik dan kritis bersandarkan daya kepekaan diri ? Rasa resah, gelisah dan peristiwa tragis berawang-awangan dalam minda penulis dan sering mengusik mimpi dan igauan tatkala tidur.
Gambar Hiasan
Alhamdulillah, penulis berjaya menulis sebuah cerpen yang mengutip daripada tragedi tersebut. lni suatu kejayaan dan kepuasan peribadi. Cerpen tersebut berjudul 'PENANTIAN" yang telah disiarkan dalam majalah MASTIKA, 1 Mei 1983. Bagi mereka yang berkelapangan bolehlah menelusuri di perpustakaan-perpustakaan ternama seperti Perpustakaan Negara, DBP, UKM bagi merujuk koleksi majalah tersebut yang telah dijilidkan.

Setelah 45 tahun, penulis kembali ke lokasi tersebut. Jeti di situ telah diperbaiki dan ada penambaikan seperti tempat persiaran mini. Sesekali ada bot berenjin merentasi seberang sungai. Pelajar-pelajar Kampung Tanjung Selabu tidak lagi bersekolah menyeberangi sungai tersebut. Lantaran kini telah ada kemudahan bas dan prasana lain maka ibu bapa telah beralih ke pekan Jorak. Penulis terfikir, ada baiknya jika di situ, di pinggir tebing jeti penambang Serom 3 Panggung didirikan plak peringatan sebagai memori agar menjadi peringatan dari generasi ke generasi.

'Ajal' nama remaja yang menjadi pendayung sampai pada hari tragedi itu telah terselamat kerana kecekapannya berenang. Ajal juga telah turut sama-sama membantu mencari mangsa-mangsa dalam kejadian itu. Dan setelah 45 tahun berlalu, penulis tidak pasti sama ada  Ajal masih bernafas lagi atau telah pun menemui ajal. Wallahualam.
Al-Fatihah! (DRH)