HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 Julai 2016

MAKTAB PERGURUAN BAHASA (Language lnstitute): TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG...




PADA bulan Mac 1995 ,saya memulakan era baru dalam bidang pendidikan daripada seorang guru di bilik darjah yang mengendalikan secara terus pengajaran-pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah harian dan berasrama penuh (SBP) hampir 17 tahun di bawah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pendidik guru atau pensyarah di maktab perguruan di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) KPM.

Berbekalkan pengalaman sebagai guru hampir 17 tahun dalam perkhidmatan dan berpengalaman mengajar pelajar-pelajar kelas peralihan (Remove Classes), tingkatan 1,2,3,4,5,6 Rendah dan 6 Atas adalah amat membantu yang mana rata-rata berpendapat kesahan dan kebolehpercayaan itu  tidak boleh dipertikaikan.Walhal untuk menjadi pensyarah maktab perguruan pengalaman minimum lima tahun mengajar di sekolah,sudah dikira memadai.

Sebenarnya maktab perguruan KPM ini bukan sekadar institusi untuk menimba ilmu pendidikan dan pedagogi sahaja.Bahkan apa yang paling utama ialah institusi  ini adalah  ‘sekolah latihan ‘yang membina sahsiah dan  insaniah guru. Di sinilah dahulu kami belajar mendisiplinkan diri, etika berambut rapi dan berpakaian kemas, berinteraksi dan berganding bahu dengan mengikut batasan agama dan budaya setempat serta belajar berketrampilan ketika berkomunikasi dua hala.

Pada mulanya saya tidak pernah mengimpikan mahu berkhidmat di MPI. Walaupun nama MPI pernah hadir dalam kehidupan saya .Saya menyimpan hasrat  sudah sekian lama mahu berkhidmat dan berbakti di MPB (kini IPGM Kampus Bahasa Melayu Malaysia), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Lagu MPB masih menjadi hafalan dan siulan saya sehingga hari ini: (Nota: Versi 2006: Judul 'Maktab Perguruan Bahasa' ditukarkan kepada 'lnstitut Bahasa' dengan sedikit pengubahsuain)

LAGU IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda
Kami pelajar seluruhnya
memegang tujuan yang satu
Institut Bahasa yang berjasa
Lambang bangsa yang berpadu
Bahasa akan kami perkaya
Budaya kami bela
Tetap mempertinggi mutu bangsa
Untuk selama-lamanya
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda
Pencipta: Mustafa Kamil Yassin (Kala Dewata)
Gubahan: A Murad Hamid

 Bukan sekadar lagu MPB bahkan pentas dewan MPB (kini dinamakan Dewan Za’ba) dan sekitar Lembah Pantai masih menjadi nostalgia yang tidak luput daripada memori saya. Di pentas itu saya menyanyi dengan penuh perasaan lagu ‘Selamat Tinggal Bungaku’ dengan iringan band MPB secara bidan terjun.Maklumlah malam itu merupakan minggu terakhir kami di MPB, sebelum kami akan menerima surat posting (penempatan) seawal bulan Januari nanti.

Persembahan saya yang mengejut dan mendapat tepukan sorakan yang memberangsangkan.Selepas menyanyi, pada keesokan harinya Datin Kwok  pensyarah muzik saya begitu bersemangat memuji dan memberi galakan kepada saya.

“Tidak sangka, kamu boleh menyanyi.Kamu bagus menyanyi.Bagus…bagus..bagus”, ujar Datin Kwok berulang-kali. Saya hanya tersipu-sipu.Lagu tersebut begitu tersemat jauh di jiwa saya:

SELAMAT TINGGAL BUNGAKU
Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik air mata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira kukirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik dirimu sendiri

( 
Lagu : Johar Bahar / Ahmad Wan Yet - Lirik : Johar Bahar )


Di pentas dewan MPB itu juga gelanggang saya bersama teater ‘Hari Jadi Nona’ (1976) yang mana saya turut bersama terbabit dalam persembahan sketsa kuda kepang Johor bersama Khairuddin Wahab, Ali Mustari, Selamat 0mar dan lain-lain lagi.Pada tahun 1977 saya bersama Mahali (jika tidak silap) mempersembahan teater ‘Bayang-Bayang'. Saya yang memegang watak ‘wali’ terpaksa meminjam telekung guru pelatih wanita MPI yang tinggal berjiran dengan saya untuk menjayakan teater tersebut.

Justeru MPB tentulah tidak dapat luput daripada kenangan hidup saya.Kisah bunga hutan yang saya bawa dari Cameron Highland ketika hujan turun di tangga bukit MPB terkulai lesu layu dan jatuh bertebaran di tengah gelita malam; adalah sebuah kisah lucu yang tidak kesampaian.

Kisah pensyarah yang menguruskan penempatan Encik Dawam Kahat (yang turut memberi kuliah Kesusasteraan Melayu) yang mencari saya kerana belum menyerahkan borang penempatan tetap menjadi ingatan saya. “Kenapa kamu belum serahkan borang?” Tanya Encik Dawam di hadapan kelas PMIA 2.

Saya diam seketika lalu bertanya, “Boleh saya minta posting ke Sabah Cikgu?”. Mendengarkan permintaan saya,kawan-kawan sekuliah saya semuanya tergelak tanpa mengetahui hujung pangkalnya.Saya tahu mereka yang digelar ‘Sabah Ranger’ dan ‘Sarawak Ranger’ telah mula menampakkan  kemurungan  di raut wajah masing-masing.

Ada yang terpaksa meninggalkan buat sementara tunangan dan kekasih hati. Ada yang berangan-angan mahu memperisterikan gadis Kadazan di pinggir lembah Kundasang,di lereng Kinabalu yang terkenal berkulit putih mulus. Omar Mamat, Kamaruzzaman Abdullah dan  Hassan Topit adalah antara sahabat semaktab saya yang akan dihantar ke Malaysia Timur.

“Mengapa? Kamu tahu, semua kawan kamu nak ke Semenanjung..kamu pula yang nak ke Sabah. Kenapa…?” tanya Encik Dawam lagi.

“Aghh…saya tak ada buah hati pun di sini..” jawapan saya yang bersahaja membuat seisi kelas  ketawa mengilai ;termasuk Encik Dawam pun turut merasakan kelucuan itu.Dipendekkan cerita,peristiwa itu biarlah setakat itu sahaja.Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah yang menjadi sejarah.

Saya telah katakan sejak awal bahawa MPB tetap terpahat di wadi kalbu saya.Sebab itu sejak penghujung tahun 1980-an saya telah ‘mengintai dan merisik’ di BPG bertanyakan mengenai peluang kekosongan jawatan pensyarah di MPB. Tetapi ditakdirkan ketika itu; jawapannya belum ada kekosongan. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)- BERSAMBUNG.


25 Julai 2016

MAKTAB PERGURUAN ISLAM DI BELAKANG TABIR: SHUIB BIN ARSHAD & KISAH JAWI


SAYA ingin sangat bertemu, berjumpa, bersembang dan berbicara dari hati ke hati dengan Ustaz Haji Shuib bin Arshad mantan Pengarah Maktab Perguruan lslam (MPI ketika itu), Bangi, Selangor Darul Ehsan. Kali terakhir saya bertemu beliau pada tahun 2005. Seelepas itu saya meninggalkan  MPI  berkhidmat di luar negara dan beliau juga keluar dari MPI lalu berkhidmat di KPM Bahagian JAPIM sehinggalah beliau bersara.

SAYA tidak dapat dan gagal mengesaninya kerana nama beliau tidak dapat dikesan oleh Google atau Yahoo atau sesiapa yang pernah mengenalinya. Tidak dipastikan di manakah dia berada. Ada sumber mengatakan beliau pulang ke kampung halamannya sama ada di Kedah atau Pulau Pinang.

Jikalau Ustaz Shuib masih terbaca atau sesiapa yang mengetahui; sila hubungan "admin" blog saya  ini. Kerjasama tersebut amat saya alu-alukan. Wassalam. (DRH)

 

KISAH JAWI

 

SAYA sukacitanya memaklumkan (pernah membuat aduan ke pejabat JAWI Kuala Lumpur)  bahawa Bahagian Pendidikan JAWI (wang Baitul Mal?) belum melunaskan lagi bayaran 'upah peluh dan  penat lelah' saya yang pernah mengajar guru-guru JAWI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sekitar awal tahun 2000 di Maktab Perguruan lslam (kini IPG Kampus Pendidikan lslam), Bangi, Selangor Darul Ehsan. Jumlah amuannya saya tidak pasti sama RM2500/ (Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Ratus) ATAU RM2800/ (Ringgit Malaysia Dua Ribu Lapan Ratus).

Ketika itu Penyelia/Pengelola kursus yang diamanahkan  bagi pihak MPI ialah USTAZAH FAUZIAH BINTI RAMLI (kini telah bersara). Manakala pegawai JAWI Bahagian Pendidikan yang dipertanggungjawabkan ialah USTAZ ABDUL RAHMAN yang ketika itu sebagai Ketua Penolong Pengarah (sudah bersara).

Borang tuntutan (dokumen) yang telah siap sempurna saya  telah serahkan kepada Ustazah Fauziah Ramli. Beliau kemudiannya telah menyerahkan ke Bahagian Pendidikan JAWI (menurut katanya, wallahualam). Saya menunggu dari setahun ke setahun tetapi menyepi tanpa berita. Dan sebelum tahun 2005 saya ada ke pejabat Ustaz `Abdul Rahman di Bahagian Pendidikan JAWI dan bertemu dengannya. Setelah disemak, diperiksa dan dicari didapati dokumen/ borang lengkap tuntutan saya  tidak sampai ke pejabatnya (tidak pasti sama ada tidak sampai, hilang atau sebaliknya) Dalam lsu ini: Apakah sebenarnya yang terjadi?

lnilah soal amanah dan integreti. Yang memalukan isu ini membabitkan mereka yang faham mengenai hukum-hakam agama. Adakah isu seperti ini juga mahu menyalahkan Perdana Menteri?


SAYA bukan mahu mempersoalkan'tidak seberapa banyak mana pun amaun itu'. Saya bukan persoalkan isu bersedekah dan halalkan sahaja,. Tetapi saya  mahukan kepastian.
Bagaimanakah nanti ketika mahu meniti siratulmustaqim dan mahu dihisab; tiba-tiba tergendala kerana AMANAH yang tidak dilaksanakan dengan sempurna oleh mereka?

Sayangnya saya tidak menyimpan lagi salinan dokumen tuntutan tersebut. Jika ada, boleh juga saya dedahkan atau ajukan ke pihak berkenaan. Allah jua yang Maha Mengetahui. (DRH)



20 Julai 2016

BUKIT GAMBIR KE KUALA LUMPUR


APABILA saya menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah atau Guru Siswazah di Sekolah Menengah Sungai Besi (SMSB) Kuala Lumpur pada tahun 1992, saya berazam akan menghadapi pelbagai cabaran daripada murid-muridnya yang majmuk dan berlatarbelakangkan dari pelbagai sosiobudaya.

Saya sendiri telah menemui pengetuanya Abdul Manaf bin Abdul Rahman (Haji) untuk bertanyakan kekosongan. Beliau secara terbuka tidak menghadapi masalah menerima saya.  Sekiranya saya mahu berkhidmat pada sesi petang buat masa itu. Saya cuma  diminta berhubung sendiri di JPWKL, Sebenarnya selepas SMSS saya ditempatkan cuma enam bulan di Sekolah Menengah Taman Desa, Kuala Lumpur. 0leh kerana lokasi sekolah ini agak jauh dari rumah saya di Seri Kembangan maka saya mohon dipindahkan ke SMSB.

PADA ketika itu para pelajar SMSB majoritinya adalah anak-anak tentera daripada Kem Sungai Besi. Selebihnya adalah anak-anak dari kampung setinggan yang berdekatan seperti Kampung Selamat (kini Pangsapuri Desa Tasik), Kampung Malaysia Raya, Kampung Perantau,Kampung Pulau, Kampung Baharu Salak Selatan dan lain-lain lagi. Taburan komposisi kaum murid-murid keturunan Melayu, Cina dan lndia tidak jauh bezanya. Apa yang paling pokok , masalah disiplin dan menghadapi pelajar berisiko menjadi topik perbincangan sesama guru.Saya akur dan bersikap profesional.

 Walaupun saya pernah mengajar di Sekolah Menengah Bukit Gambir (SMBG), Muar, Johor pada 1978-1982 yang majmuk juga para pelajarnya tetapi kenakalan murid-murid di sekolah luar bandar tidak sama dengan murid-murid di bandar raya seperti Kuala Lumpur ini.Saya mahukan sesuatu yang mencabar.Di Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Datuk Lokman, Sekolah Menengah Jalan Cheras (digelar sekolah cap kunci),Sekolah Menengah San Peng,Sekolah Menengah St.Gabriel. Sekolah Menengah Confussion adalah antara sekolah yang terkenal dengan kenakalan pelajar dan vandalisme ketika itu. Saya rasa tidak adil jika saya selama-lamanya bagaikan berada di zon selesa di sekolah berasrama penuh. Saya mahu mengaplikasikan gabung jalin pengalaman mendekati para pelajar yang berbagai-bagai rencam latar keluarga.

Sepanjang saya di SMSB 1992-1994/95 saya telah memegang jawatan ketua panitia mata pelajaran, menjadi ‘bendahari’ menguruskan hal kewangan sekolah yang berkaitan yuran yang mana saya ditugaskan menjadi penolong pengetua yang berkaitan soal pengurusan kewangan sekolah dan ketua pusat sumber sekolah.

 Saya masih ingat sewaktu saya memegang jawatan ketua pusat sumber sekolah yang diberi amanah menguruskan perpustakaan, bilik audio visual dan bilik teknologi pendidikan; saya memperkenalkan motto yang berpandukan nama saya ‘R- rajin- A-amanah-J-jujur-I-ikhlas- E-elok- E-efisyen. Syukur, berpandukkan motto tersebut; murid-murid dan guru-guru juga turut terbawa mematuhi disiplin apabila berada di bilik pusat sumber. Dalam erti kata lain, saya tidak perlu berjela-jela menerangkan apakah yang patut dilakukan apabila berada di bilik pusat sumber.

Bersandarkan pengalaman di SMSB saya yakin selain ibu bapa, guru  merupakan sumber utama pelajar  mendapatkan kasih sayang, berkongsi masalah  dan mendapatkan sokongan.  Guru  harus memahami bahawa sekiranya pelajar terlibat dengan tingkah laku berisiko ini bermakna mereka melakukan sesuatu perlakuan yang tidak dapat dikawal dan berterusan memberikan kesan negatif. Ekorannya menimbulkan pertentangan dengan nilai agama dan sosial  yang akhirnya tidak dapat diramalkan kesan buruk yang akan berlaku.

Sebelum  guru  mengenali sama ada pelajar  mereka terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi atau tidak, mereka terlebih dahulu mengetahui dan memahami keperibadian atau tingkah laku mereka.  Dalam keadaan normal,  pelajar sering  berbincang bersama ibu bapa, guru ataupun rakan sebaya.

Dalam beberapa isu saya dapati kedapatan pelajar yang tidak lagi berminat  menghabiskan masa berehat bersama ahli keluarga mereka. lni  menandakan isyarat atau petunjuk paling awal bahawa anak remaja mereka telah mula mempunyai  masalah dan mula menghindari diri daripada berinteraksi dengan ibu bapa. Perubahan ini akan terbawa-bawa di alam persekolahan yang mana pelajar seperti ini akan berinteraksi bersama rakan-rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama dan saling mempengaruhi.

Bagi saya guru yang prihatin dengan perubahan awal tingkah laku pelajar  mereka perlu segera mengambil tindakan; bertanyakan kenapa berlakunya perubahan rutin harian yang telah biasa dilakukan dengan baik tetapi berubah sebaliknya. Dengan tindakan awal ini, pelajar yang mahukan perhatian guru akan merasakan dirinya dihargai dan diambil berat. Sebenarnya inilah yang mereka mahukan.

Selain itu bagi saya, guru sewajarnya mengenal pasti petunjuk lain termasuklah cara pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan lain, berenggang hubungan  dengan kawan-kawan rapat  di sekolah dan di rumah, cara berpakaian dan penggunaan wang yang mungkin berlebihan.

Di SMSB juga saya perhatikan ada guru yang sentiasa  berhati-hati apabila mengesyaki bahawa pelajar mereka telah mula terjebak dengan tingkah laku berisiko. Hubungan dua hala antara guru dengan ibu bapa; khususnya guru darjah/tingkatan  haruslah terjalin tanpa sebarang kepentingan atau prejudis. Kadangkala anak didik kita tidak terlibat dengan perlakuan menyeleweng tetapi mendapati rakan rapat mereka yang terlibat dengan mereka akan berasa bersalah untuk tidak sama-sama turut serta.  Dalam keadaan ini ibu bapa  dan guru sepatutnya terlebih dahulu mengetahui perubahan tingkah laku anak remaja dan pelajar mereka  dengan merujuk  sumber daripada  rakan rapat dan rakan-rakan kawan di sekolah yang selalu berinteraksi dengannya.

Kami para guru menyedari bahawa pelajar berisiko  acapkali pandai menyembunyikan aktiviti berisiko tinggi yang telah dilakukan dengan pelbagai cara. Ada yang memberitahu bahawa  mereka tidak terlibat dalam pelanggaran disiplin  tetapi dengan helah bela diri menuding  rakan-rakan mereka yang melakukannya.  Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa atau guru  boleh membawa rakan mereka yang terlibat bagi memastikan sama ada  anak-anak anda  atau pelajar anda juga turut terlibat atau sebaliknya.

Saya dan rakan sejawat sudah pastilah  mengetahui  menerusi pertemuan guru-ibu bapa atau info daripada  mesyuarat agung Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) bahawa ibu bapa yang intim hubungannya dengan anak remaja akan lebih mudah dapat mengesan perubahan tingkah laku anak-anak remaja mereka apabila mula terlibat dnegn tingkah laku berisiko tinggi. Perubahan cara percakapan, tidak suka menghabiskan masa lapang bersama keluarga, mula berbohong, , tidak menghabiskan waktu santai di rumah dan mula tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada amalan keagamaan dan mengabaikan tugasan sekolah di rumah antara lain beberapa petanda pelajar bertingkah laku berisiko. Justeru kerjasama erat guru memperoleh info daripada ibu bapa amatlah membantu.

Bersandarkan senario ini terdapat sekelompok ahli sosiologi Barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak remaja ini mudah terjebak dengan tingkah laku berisiko tinggi berpunca daripada keadaan masyarakat  yang berkonsepkan teknologi elektronik.  Kebebasan dan kemudahan pencapaian maklumat yang digunakan untuk tujuan tidak baik yang berleluasa hari ini memudahkan lagi remaja  terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi.

Dalam erti kata lain ,guru sewajarnya memahami situasi yang mana kedapatan  ibu bapa dan anak remaja gagal utuk mendapat kata sepakat dalam berbagai-bagai hal disebabkan sikap, persepsi dan matlamat perlakuan di antara kedua generasi ini ternyata berbeza.  Apabila ibu bapa secara berterusan menegur anak remaja yang melewat-lewatkan waktu untuk  bersolat atau bersembahyang misalnya, anak remaja akan menyatakan bahawa waktu bersolat masih panjang.  Contoh ini menunjukkan perbezaan pendapat dua generasi kendatipun telah ditentukan tempoh yang sebaik-baiknya untuk bersolat.

Justeru itu setelah hampir lima tahun (selepas 1995) saya meninggalkan SMSB, saya memperoleh berita gembira mengenai kejayaan sekolah ini.Walaupun kejayaan bukan dari aspek akademik tetapi kejayaan cemerlang dalam kokurikulum telah membuktikan impian falsafah dan misi pendidikan negara tercapai jua. SMSB telah dinobatkan sebagai johan  kebangsaan ‘Pertandingan Dikir Barat Sekolah-Sekolah Malaysia’. Syabas kepada Haji Borhan Md.Zain yang menjadi pengetuanya ketika itu.

Sepanjang saya berkhidmat di sekolah-sekolah; baik di sekolah-sekolah harian di luar bandar mahu di bandar dan juga  di sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa pada tahun-tahun 1978 hingga 1995; saya dapat merumuskan  bahawa konflik  di antara anak remaja dengan  ibu bapa , guru dengan pelajar mudah diatasi apabila di peringkat perhubungan awal anak-anak didik ini    diletakkan peraturan khusus yang perlu dipatuhi  dengan tegas, bijaksana berhemah  demi mewujudkan kesejahteraan  kedua-dua belah pihak. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)

5 Julai 2016

Puisi: DI ANTARA SERIBU SATU KISAH




Maaf singgahsana pena istanaku
kerana membiarkan  laman mindaku
berbulan-bulan sepi tanpa hadirku
kerana kemabukan rasa
dilambung samudera sendaloka
terleka melakar impian
yang kini fatamorgana hampa

Berbulan-bulan saling bertukar cerita
ikat janji dibuai gelombang
sengsara bahtera pijar mentari
ikan-ikan yang tiada berenang di sini
ganas ombak yang menerpa
buat kita waspada

Berhari-hari juga kita tempuhi
harapan dan seri pagi keesokan hari
namun bulan gersang malam jua
yang engkau kejari sesudah nista itu
tidak kuupaya mengucap kata indah
sesudah merdu kecapi dinikmati
engkau pun meludah bumimu
dan menjilat kembali hanyir lukamu
mahu berangkat pergi

kisah seribu satu paparan ini
bukan kekesalan diri seorang nakhoda
kerana itulah kasih sayang hakiki
kerana-Nya ya Rabbi llahi setulus hati
Yang Maha Mengetahui perilakumu
memberiku kekuatan mahu mengemudi
bahtera pincang usang di jasad dirimu
yang pudar di mata dan buta kalbumu!



DR HAJI RAJIEE HADI,
25 Jun 2016.