HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

15 Mei 2018

HARI GURU 2018 CACAMARBA?


SELAMAT Hari Guru 2018. Pada kebiasaannya, ucapan rasmi selamat menyambut hari guru yang telah menjangkau lebih 40 tahun diucapkan seluruh tanah air setelah pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan dilancarkan secara rasmi pada setiap kali tanggal 16 Mei. Pada kebiasaanya juga pada 14 & 15 Mei diadakan aktiviti pra-Hari Guru.

Namun pada tahun 2018, kebetulan negara menghadapi PRU-14 , 9 Mei lalu, ada beberapa keganjilan yang telah berlaku pada sambutan Hari Guru tahun ini. Kebetulan penulis berpengalaman dilantik menjadi AJK Pengelola Sambutan Hari Guru peringkat negeri (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) tahun 1990,1991,1992 (turut juga dianggotai En.Abdul Ghafar Mahmud ketika berkhidmat di JPWPKL ,kini Tan Sri, mantan KP KPM). Seingat penulis, semua sambutan Hari Guru peringkat negeri diadakan setelah pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan pada  setiap 16 Mei.


 Di peringkat kebangsaan, kebetulan penulis juga pernah menganggotai AJK lnduk Sambutan Hari Guru Kebangsaan pada tahun 1995 hingga 2005 (turut juga dianggotai En.Alimuddin, ketika itu Yang DiPertua PKPSM,kini Tan Sri, mantan KP KPM).yang telah berlangsung di beberapa negeri sebagai hos/tuan rumah; antaranya Johor, Melaka, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan lain-lain lagi.

Yang manisnya, pada tahun 2002, ketika itu Tan Sri Mohd Rafie Mahat (Allahyarham) sebagai KP KPM dan  penulis sebagai AJK Induk Hari Guru Kebangsaan merangkap Presiden salah satu kesatuan guru telah mengajukan dokumen lengkap pencalonan Tokoh Guru Kebangsaan ke atas Cikgu Abdul Karim bin Abdullah seorang aktivis guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebelum itu, Cikgu Abdul Karim telah pun dinobatkan sebagai seorang tokoh guru peringkat negeri. Dan tahun 2002 beliau adalah salah seorang Tokoh Guru Kebangsaan yang disempurnakan anugerahnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Apa yang penulis ingat, Cikgu Abdul Karim telah menepati syarat & kriteria pencalonan. Usaha beliau melobi sebagai faktor sampingan. Sebagai bekas Guru Besar, aktivis kesatuan guru, aktivis kebahasaan,politik & sosial serta aktif selepas bersara dalam PBPPP maka beliau mendapat beberapa merit atas kegiatannya sebagai pemantau kurikulum dan kokurikulum dalam sekolah/bilik darjah.


Sebagai guru yang telah menempuh pengalaman keguruan sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (1950-an hingga pertengahan 1990-an); perjuangan Cikgu Abdul Karim tidak bersandarkan wang ringgit dan materialisme tetapi lebih kepada semangat nasionalisme dan patriotisme. Sebab itu, (mengikut kehendak semasa ketika itu; dan semasa pemilihannya) beliau juga bergerak cergas sebagai anggota UMNO.

Setelah melakukan penyelidikan ringkas dan refleksi, penulis telah menyiapkan satu kertas kerja ringkas bagi menyokong penuh pencalonan Cikgu Abdu Karim Abdullah sebagai tokoh guru peringkat kebangsaan. Dengan penuh yakin, penulis menyerahkan borang pencalonan lengkap, semua dokumen yang dikemaskini sertakan dokumen bertulis rasmi  pernyataan sokongan penulis sebagai pencadang kepada T.S.Mohd Rafie KP KPM pada mesyuarat Jawatan Kuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan.Dengan tertib, segalanya penuh kerahsiaan kerana mahu menjaga sensitiviti calon-calon lain yang diajukan juga nama-nama mereka ke panel pemilihan (tidak diketahui sehingga menjelang sambutan pelancaran hari guru baharulah dimaklumkan secara rasmi kepada bakal-bakal penerima).

Pada tahun 2018, menjelang bulan Mei 2018, negara gamat dengan persiapan PRU-14, 9 Mei 2018. Yang lucunya, ada pemimpin politik kanan peringkat negeri dari parti pemerintah sebelum PRU-14 telah mengambil kesempatan mempolitikkan sambutan hari guru peringkat negeri mengikut acuan mereka sendiri. Penulis diberitahu ada beberapa buah negeri menyambut sambutan Hari Guru Negeri seawal 4 Mei 2018. Walhal mengikut kebiasaan,lumrah dan tradisi sambutan hari guru peringkat negeri,daerah atau sekolah-sekolah diadakan selepas sambutan pelancaran peringkat kebangsaan 16 Mei atau pada tarikh yang sama.

Justeru tahun ini sambutan peringkat negeri sudah menyongsang atau terbalik. Tokoh-tokoh guru peringkat negeri pun telah diraikan.  Bahkan ada sebuah negeri sambutannya dirasmikan oleh Ketua Perhubungan Negeri sebuah parti politik yang mana personaliti tersebut bertaraf VVIP sebuah kementerian persekutuan. Bahkan sambutan hari guru peringkat sekolah ada yang telah bermula hari ini, 15 Mei 2018.Yang anehnya, pihak KPM sendiri tidak berhalangan dengan mendapat 'kerjasama erat' daripada Pengarah, PPD dan para juak yang mengambil keuntungan dan kesempatan. Sebab itu, pada acara tersebut dipenuhi ucapan-ucapan kempen politik!


Apapun perkara yang sudah berlaku terus berlaku dan telah  berlalu. Yang kalah dan menang dalam PRU-14 , semua pihak sudah mengetahuinya. Siapakah perasmi dalam pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2018 esok 16 Mei belum/tidak diketahui lagi. Yang pasti bukan lagi D.S.Mahadzir Khalid mantan Menteri Pendidikan BN. Dan apakah tokoh-tokoh hari guru tahun ini atau selepasnya dengan tidak secara langsung mestilah seorang aktivis atau penyokong kuat/ahli parti UMNO/BN?

Adakah calon yang bersara pilihan atau perkhidmatannya tidak mencapai 80% dalam perkhidmatan pendidikan tidak layak lagi untuk pencalonan? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang penulis percaya AJK lnduk & AJK Pengelola/Pelaksana bijak merungkai dan menyelesaikannya dengan penuh bijaksana dan berhemah.

Jikalau pemilihan pencapaian akademik bersandarkan faktor meritokrasi yang mengutamakan penghargaan ke atas mereka yang berprestasi atau berkemampuan maka sudah tiba masanya PEMILIHAN TOKOH GURU tidak bersandarkan faktor geopolitik, ras/etnik, agama & kronisme. Seandainya tidak ada calon yang layak dari kaum A,B atau C atau sebaliknya; usahlah dibuat pemilihan tokoh guru seperti calon komponen BN.Pilihlah mereka yang menepati kriteria yang tepat, benar dan betul.

Sekali guru, tetap guru selamanya. Selamat Hari Guru 16 Mei 2018! (DRH)

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan