HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Disember 2012

SAJAK AKHIR TAHUN

perjalanan semusim 
bermukim dan bermusim
di celahan mendung
dan hujan berterusan
ada kesakitan 
yang tidak diundang
namun ada keriangan
yang terus mendatang

akhir tahun pun
kian menghampiri
terhitungkah jejak-jejak
yang telah pergi
walau ada sekelumit 
ragu di bilah-bilah hari
siapakah antara kita
yang mahu menggigit jemari diri

secantik manakah
aturan angka hari
dapatkah mengubah dan mengatur takdir llahi
andainya tiada persiapan
segala bekalan amalan
untuk teman sejati
di alam sana nanti.


RAJIEE HADI,
Seri Pajam, 11.11.11.

5 Disember 2012

KEPENGARANGAN T.ALIAS TAIB SATU KAJIAN TEKSDEALISME

KAJIAN ini bertujuan mengkaji puisi-puisi T.Alias Taib dari aspek pembinaan teks yang berasaskan Teori Teksdealisme berdasarkan empat prinsipnya: kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme.
Prinsip pertamanya mengkaji sumber pengalaman dan idea dalam proses kepengarangan dengan memberi makna yang baharu.Prinsip kedua dengan meneliti aspek pengekalan dan pembaharuan dalam teks.Prinsip ketiga ialah aspek pengukuhan yang memperlihatkan proses pemantapan dan penyempurnaan teks. Dan seterusnya prinsip keempat menyuguhkan dan menampilkan keperibadian pengarang dan teks.

Oleh yang demikian kajian ini merupakan satu kajian kualitatif yang menggunakan analisis kandungan untuk mengenal pasti sejauh manakah prinsip-prinsip dalam Teori Teksdealisme memperlihatkan keunggulan teks dengan merujuk puisi-puisi pilihan T.Alias Taib (berdasarkan kumpulan puisi persendirian: Pemburu kota,1978, Seberkas Kunci,1985, 0pera,1988, Piramid,1999, Petang Condong,1996 dan puisi-puisi pilihan yang dikutip daripada akhbar-akhbar dan majalah tempatan semasa).

Pengkaji telah menganalisis dan mengenal pasti kehadiran pelbagai unsur yang mendasari prinsip-prinsip 'Teksdealisme' dalam penciptaan si pengarang. Justeru didapati kajian ini menunjukkan teks-teks T.Alias Taib mencapai darjah keunggulannya berdasarkan kajian Teori Teksdealisme. (@Hakcipta Terpelihara.

(sumber: oleh Rajiee bin Abdul Hadi,sedutan tesis M.A, Universiti Kebangsaan Malaysia) 





:

24 November 2012

CETUSAN MINDA 2011



PEMUDA  UMNO KEKAL CARA SENDIRI ?



SAYA berharap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak terikut-ikut politiking jalanan tanpa hala tuju seperti berlaku pada perhimpunan haram 9 Julai lalu. 

Pemuda UMNO ada sejarah perjuangannya tersendiri dan turut memainkan peranan pada masa lampau dalam pengisian kemerdekaan negara. Usahlah umpama tin kosong; tetapi biar diam ubi tetapi berisi, berhasil dan bernilai pada zaman ini.
 
Baru-baru ini beberapa ahli Pemuda UMNO turut mengadakan demonstrasi jalanan dengan ‘memakai baju merah Patriot’ yang turut berarak ke Stadium Merdeka. 


Saya mendambakan agar pergerakan itu melakukan kerja lebih bermakna seperti menubuhkan pasukan penyelidik membongkar kembali statistik tanah, hartanah, tanah simpanan Melayu/Bumiputera yang tinggal berbaki kini.
 

Tidak salah jika kita membentangkan perangkaan perbandingan dengan milik bukan Melayu. Begitu juga kajian statistik terkini golongan profesional Melayu (kerana yang terdahulu sudah meninggal dunia dan bersara) dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, guaman dan teknologi.
 

Buat perbandingan dengan statistik pencapaian bukan Melayu agar orang Melayu tidak leka, celik mata dan buka minda; hasilnya kelak mudah-mudahan ada kesedaran dan daya saing.
 

Kajian yang menyentuh hak Melayu dan bukan Melayu berlandaskan faktor peratusan penduduk wajar dibuat dan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia. Begitu juga perangkaan berhubung dengan pemilikan premis kedai dan bangunan di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, lpoh, Pulau Pinang, Muar dan sebagainya.
 
Sebenarnya banyak tugas dan tanggungjawab yang mendepani pergerakan ini. Tidak salah, jika pergerakan itu bekerjasama dengan tenaga pemikir dan penyelidik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang kini rata-ratanya kini ramai memiliki kelulusan Sarjana Kedoktoran (PhD) dan bergelar Profesor, Profesor Madya dan sebaginya.
 

Dalam erti kata lain, komitmen begini masyarakat mahukan. Bahkan bukan setakat Pergerakan Pemuda UMNO yang diharapkan dapat melakukan ini tetapi juga pertubuhan lain.
 

Walaupun kita tidak dapat mengimpikan pemimpin seperti Syed Jaafar Albar yang digelar Singa UMNO atau Datuk Harun ldris, namun cukup sekadar masih ada lagi pemimpin pergerakan yang mempunyai daya intelektual.
 (sumber: Dr Rajiee Hadi,Berita Harian (BH) 16/7/11)

JANGAN BIAR IDEOLOGI KOMUNIS BERTUNAS
AKHBAR tempatan kelmarin melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa pemimpin utama serta pengikut Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dikatakan sedang berkonvoi dari Sungai Petani menuju ke Pulau Pinang bagi mempromosikan Perhimpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH), yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. 

PDRM juga berjaya merampas beberapa bahan bukti yang dikatakan mengandungi elemen mengagung-agungkan komunisme dan sosialisme termasuk beberapa kemeja-T berwarna merah dan dicetak wajah bekas pemimpin pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng, Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Rashid Maidin dan beberapa pemimpin sosialis dunia yang lain.
 
Pada asalnya tujuan perhimpunan BERSIH adalah untuk menuntut supaya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan melaksanakan satu sistem pilihan raya yang telus, berintregiti dan diyakini semua pihak. Apa yang mendukacitakan ialah perhimpunan BERSIH yang dicadangkan ini dimanipulasikan seluas-luasnya oleh semua pihak berkepentingan untuk tembolok selera politik masing-masing. 


Dengan termeterainya perjanjian damai peletakan senjata pada 1980-an di Hadyai, selatan Thailand, kita seolah-olah kian lupa ancaman komunisme dari dalam. lni ekoran daripada dasar keterbukaan kerajaan kini yang agak berlebihan.
 

Sebagai peringatan faktor berikut boleh memungkinkan segalanya berlaku; bahan bercetak seperti buku biografi mengenai tokoh PKM dan pejuang kiri seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Suryani Abdullah dan ramai lagi yang dijual cetak secara bebas di kedai buku tempatan dalam bahasa Melayu, lnggeris mahupun Mandarin.
 

Dasar terbuka kerajaan yang mengizinkan rakyat dari negara komunis khususnya dari Republik Rakyat China (RRC) yang masuk ke Malaysia dengan pelbagai tujuan tanpa sekatan. Tidak mustahil fahaman komunisme boleh diseludup secara halus melalui unsur chauvinisme sempit.
 

Kunjungan bebas rakyat Malaysia ke negara RRC juga bukan mustahil mendorong mereka membawa balik elemen dan simpati kepada perjuangan negara berkenaan. Saya pernah mengunjungi RRC beberapa tahun dulu dan ketika di Beijing, saya temui beberapa orang tempatan di sana yang cuba menjual atau memberi secara percuma buku ideologi komunis, Maoisme dan Marxisme kepada saya. Namun saya menolak dengan baik.
 (sumber: oleh Dr Rajiee Hadi, BH, 1/7/11)


KAGUM  KEMALA GIGIH BERKARYA
SASTERAWAN, penyair dan penulis esei Kemala atau nama penuhnya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, 70, baru-baru ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara ke-11. 

Kemala adalah penyair tersohor tanah air yang mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih 40 tahun.
 
Kemala anak kelahiran Gombak, Selangor, guru sekolah rendah hingga mencapai tahap pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kegigihannya menimba ilmu dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh sarjana kedoktoran (Doktor Falsafah). 


Beliau kini Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jika tidak silap, saya pernah bertemu Kemala pada 1998 ketika kami sama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 

Pada waktu itu saya dan Kemala sebagai siswa calon PhD di UKM. Saya kagum dengan kegigihannya sebagai mahasiswa walaupun sebagai calon separuh masa dan senior.
 

Saya bangga dengan Kemala yang terus meniti dan menapak mengikut arus zaman.
 
Beliau juga terus berkarya di alam siber dan membentang kertas kerja tanpa mengenal usia.
 
Yang nyata, karya beliau baik dalam puisi atau genre lain bukan saja memiliki nilai estetika bahasa bahkan turut menyuarakan keluh-kesah dan suara hati golongan marhaen dan rakyat terbanyak.
 

Jika Kemala memiliki kriteria dan syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan, maka saya tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.
 

Syabas, Kemala. Saudara adalah contoh dan ikon sebuah kejayaan anak semua bangsa.
 (sumber : oleh Dr Rajiee Hadi,BH , 7/5/11)



KESESAKAN TAHANAN PERLU DITANGANI


ISU tahanan pendatang tanpa izin merusuh dan melarikan diri dari depot tahanan bukanlah isu baru. Bahkan orang ramai masih ingat tidak lama dulu pendatang haram Pakistan dan Afghanistan pernah melarikan diri dari Depot Tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan. 

Namun tidak pasti dan tidak diumumkan di khalayak sama ada tahanan itu sudah ditangkap atau dihantar pulang ke negara asal ataupun belum.
 
Soalnya sekarang, penduduk di Mantin, Pajam, Beranang dan Nilai serta kawasan sekitarnya dihantui kebimbangan dan keresahan kerana kawasan terpencil ini agak mudah untuk tahanan meloloskan diri untuk bersembunyi. Apakah keadaan seumpama ini tidak mengancam keselamatan penduduk? 


Difahamkan pendatang haram ini sudah agak lama ditahan di depot tahanan terbabit dan sudah tentunya pelbagai perancangan boleh dilakukan. Apatah lagi kesan rasa tidak puas hati mereka yang bercambah dari sehari ke sehari menyebabkan berlaku rusuhan dan meloloskan diri.
 

Tahanan pendatang haram ini yang datang dari beberapa negara seperti Myanmar, Nepal, lran, Nigeria, Vietnam, Pakistan, Afghanistan, Indonesia, India, China dan Bangladesh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan makan minum, perlindungan, perubatan dan pelbagai lagi, mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
 

Adakah ini tidak merugikan wang rakyat? Bagaimanakah dengan akta pencegahan yang diluluskan di Parlimen dulu?
 

Sebagai rakyat, kita tidak mahu masalah yang mengancam keselamatan negara dan orang awam dipandang remeh. Satu mekanisme drastik, tegas dan berani wajar dilakukan oleh kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
 
Pelaksanaan hukuman sebatan patut dipraktikkan bagi pendatang asing ini. Menghantar pendatang asing dengan segera ke negara masing-masing dan menyenaraihitamkan nama mereka agar tidak melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen tanpa kompromi wajib dilakukan jika mahu mengelakkan kejadian sama berulang setiap tahun.
 (sumber: Dr Rajiee Hadi,BH, 7/4/11)

22 November 2012

GADIS KECIL DI PINGGIR GAZA



Gadis kecil di pinggir Gaza
(kepada anakku syaqira)



Semalam aku telah piatu
ayah tempat bermanja
ibu teman bermesra
tanpa dosa tanpa kata
kemanusiaan musnah segala

Sambil aku menunggu
ayah pulang menjamah
juadah tengah hari
sajian istimewa ibu
siap sedia menanti
salad maza dan syineena

Tiba-tiba di muka pintu
tubuh wajah ayah
merah simbah berdarah
kesan roket peluru
kejam zionis netanyahu
membunuh ayah di hadapanku

Meluru ibu mahu mendakap
tembakan pun bertubi-tubi
rebah ibu ke bumi
layu terkulai sepi
tanpa dapat menggapai
tubuh ayah dikasihi

Begitulah cebisan hari
gadis kecil di pinggir gaza
lumpuh tidak berdaya
suatu waktu dahulu
dihujani peluru tubuh kecilku
angkara yahudi tidak berperi

Aku hanya menyimpan impian
keamanan dan kasih sayang
saban hari dengan ayah ibu
membilang serpihan waktu
di kem shati kami menghuni
setelah berduka kehilangan
adikku iyad dan tamer
yang baru bergelak ketawa

Hari ini di gubuk usang
yang baru kami diami
titis-titis darah dan air mata
telah menyaksikan tragedi
menimpaku gadis kecil lumpuh
bernama  tasneem al-nahl
tiga belas tahun usiaku
di pinggir gaza yang kelabu!

DR.RAJIEE HADI.
Bangi, Malaysia.
20 November 2012.

(sumber:Harakahdaily.net, 22 Nov. 2012)

13 November 2012

DASAR PENDIDIKAN NEGARA MAHU DIGUGAT?


KEMENTERIAN  Pelajaran Malaysia (KPM) terus berusaha mahu memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Malaysia (BM) di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Namun Dong Zong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam iklan surat khabar Cina tempatan menyeru masyarakat Cina keluar berama-ramai untuk proses menentang Dasar Pendidikan Negara (DPN) pada 25 November ini.

Sama ada MCA pun turut serta mahu menangguk di air keruh atau mahu mensensasikan isu agar dapat menarik perhatian pengundi Cina menjelang PRU 13 sesiapapun boleh menjangkakan sedemikian. Justeru MCA berterusan mahu menjadi 'jaguh' dan kononnya akan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bagi menentang tambahan masa untuk pengajaran-pembelajaran BM di SJKC tahun 4. Adakah ini benar? Penulis difahamkan, projek permulaan ini hanya berfokuskan kepada murid-murid  tahun 4 sahaja? Bagaimana jika meliputi semua kelas di SJK?

Khabarnya MCA ada 25 resolusi untuk menentang DPN. lnikah double standard masyarakat Cina khususnya MCA? Bantuan untuk SJKC sering didesak dan diperolehi tetapi menentang pula DPN. Walhal Timbalan Menteri Pelajaran kini, Datuk Dr Wee Ka Siong adalah 'orang MCA'. Adakah Timbalan Menteri Pelajaran daripada MCA ini gagal menerangkan aspirasi negara melalui sistem pendidikan kepada masyarakat Cina? Jika gagal di manakah maruah Timbalan Menteri Pelajaran ini?Penulis yakin, Dr Wee masih rasional dan bijak berhemah.

Kita tidak mahu apabila timbul kelemahan penguasaan BM di kalangan murid-murid SJK maka 'berbuih-buihlah' ada pihak yang  menyalahkan KPM lantaran tidak berusaha mengatasi kekurangan guru dan prasarana. Tetapi apabila KPM mahu meningkatkan dan memantapkan BM di SJK maka di sisi negatif pula yang mereka bersuara. Justeru dengan ayat lain, sampai bilakah kerajaan mesti berlembut dan bertolak ansur?

Oleh itu  sampai bilakah tidak ada ketegasan bagi setiap pelan pendidikan yang baik? Suatu ketika idea sekolah wawasan yang baik pun ditentang kerana di sudut hati mereka penuh dengan sampah-sarap yang busuk,hanyir dan meloyakan. Adakah kemungkinan, jika generasi akan datang tidak ada keharmonian, kedamaian  dan tidak ada perpaduan dalam kehidupan seharian maka barulah mereka akur dan diam terkedu? (sumber: Harakahdaily.net 13/11/2012 oleh Dr Rajiee Abdul Hadi)

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik)

27 Oktober 2012

ZAM ISMAIL


 “Dialah pemberi paling setia
 Tiap akar ilmu miliknya
 Pelita dan lampu segala
 Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dan dialah bapa  juga sahabat
 Alor kesetiaan mengalirkan nasihat
 Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
 Seribu tahun katanya menjadi hikmat...

 Dua rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang adalah sifat sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru dan mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang pernah menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi “Guru Oh Guru” ini dengan rangkapan:

 Jadilah apapun, pada akhir kehidupanmu, guruku
 Budi yang diapungkan di dulang ilmu
 Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
 Menjadi kenangan ke akhir hayat.”

 Tafsiaran semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan seorang bekas guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau lebih dikenali dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu adalah sesempurna seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis di “papan hitam” sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan. Katanya, “Saya guru dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya kepada masyarakat merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”

 Amat beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru. Penyair Usman mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan hati melalui bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain, guru dihormati dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas muridnya. Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang disambut setiap tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari Pekerja. Maka untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi juga Hari Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima tokoh guru atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74) yang menerima Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan. Tokoh-tokoh guru yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l Thambusamy (62), Wan Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).

 Zam mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya adalah dalam bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang berlatarkan kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang menjadikan  pendidik sebagai kerjayanya. Dan anugerah Tokoh Guru 2004 yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri anugerah tokoh guru yang telah diterimanya sempena Hari Guru.

 Dua tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun sebelumnya, Zam dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun 1996 Zam menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia kejayaannya? “Tidak ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif ketika mendidik pelajar supaya  mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak tinggi, berwawasan dan berperi kemanusiaan yang secara langsung membentuk  masyarakat bertanggungjawab.”

 Kerjaya terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor Bahagian Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996). Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua sekolah (terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR), Seremban melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal erti letih dan bosan.

 Lulusan Sarjana Pendidikan  Universiti  Iowa Utara, USA ini bergiat aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah satu kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor.

 Kini beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui yayasan ini. Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom Hussain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya disempurnakan sempena Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru baru-baru ini,  “Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman Awang Penghubung Sastera Moden Dengan Akar Tradisi.”

 Zam menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi sumbangan kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman ketika mulai memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah menyeru cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri. “Alhamdulilah, saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri yang pernah mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.

 Bidang persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam memberi ruang untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan ko-kurikulum, misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada kesussteraan. Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu dan Sastera Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman berkarya ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih mesra berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami dan menghayati ajaran Zam.

 Pada tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian Zam ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penggubal Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada tahun 1981 sebelumnya menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik Zam menulis buku teks sastera.

 Kegiatan Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang kesusasteraan. Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana melalui kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan untuk terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional 2004. Zam mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967 hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga sekarang. 

 Dalam pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan lalu, Zam terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan dua calon kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Dato’ Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat aktif dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori (Singapura-Johor-Riau). Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Majlis Kerjasama Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).

Yang mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya dalam majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di  peringkat kebangsaan.  Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang Tahun ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi khas yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis sempena perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada tahun 2000. Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya lintas udara jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai yang diketuai Duli Yang Dipertuan Agong.

 Puisi yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap. Dalam hening pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu antaranya dua rangkap yang paling mengharukan:



“...Siapalah kita
 kalau bukan warga sebuah negara merdeka
 Siapalah kita
 di arena antarabangsa
 bersedia mendengar suara
 kalau bukan  warga sebuah negara
 berdaulat dan merdeka.

... tiada kematian paling nikmat
 selain mengasihi tanah leluhur
 dan tanah kelahiran ini
 di sini di bumi keramat ini
 cinta kita terus seubur bersemadi.”

 Di Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca puisinya  dalam majlis pelancaran Tahun Membaca. Pada tahun 1989, Zam terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Baca Puisi Dunia di Yugoslavia. Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru Nasional selain melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika Zam menerima cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah Saddique  kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan Negeri Johor. Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura Sastera Di Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Shaharom Hussain.

Demikianlah, kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan setakat sebagai sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa kesusasteraan menjadi latar kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam profesion gurunya, sebagaimana halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya melalui penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang paling efektif untuk mengenang jasanya selain pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Guru Nasional 2004 yang anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei 2004 lalu. 
(sumber: AF Yassin)

Nota: Zam lsmail atau lsmail Zamzam adalah Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ) ketika DRH menjadi ahli PPJ pada tahun 1978 yang lampau . Beliau banyak mendorong DRH terus maju dalam bidang penulisan. Sajak DRH juga tersiar dalam 'Guru oh Guru' selenggaraan Zam lsmail).


18 Oktober 2012

FRANKFURT


 FRANKFURT


Debar Pertama

APABILA aku keluar dari pesawat Lufthansa LH 0783, pramugarinya yang manis mengucapkan selamat tinggal dalam bahasa Jerman.  Simpatiku mengulum melihat raut wajah mereka tampak keletihan.  Apa tidaknya lantaran tugas yang dilaksanakan sepanjang malam yang panjang.

Dan tiba-tiba aku dicuit kegusaran di muka pintu pesawat kerana disambut dua pegawai imigresen (ataupun mungkin pegawai polis, aku tidak pasti)  Jerman yang berwajag bengis.  Biasanya jarang berlaku di mana-mana lapangan terbang antarabangsa, kedatangan pengunjung disambut “wajah-wajah bengis” yang tersebul di muka pintu pesawat.  Ini menimbulkan pelbagai tafsiran antara kami.  Walau bagaimanapun , setelah dokumen perjalanan kami diperiksa, mereka berpuas hati lalu menyambut “mesra” kehadiran rombongan kami di Frankfurt am Main, Republik Persekutuan Jerman.

            Sebenarnya perjalanan malam yang panjang lebih empat belas jam dalam pesawat tersebut daripada Kuala Lumpur-Bangkok-Frankfurt cukup mengesankan. Memandangkan pesawat berangkat membelah dinihari angkasa dan kesibukan pramugari dan pramugara saban waktu hilir-mudik dalam perut pesawat menyebabkan terlalu payah mata kami untuk ditutup rapat, berehat seketika.  Walaupun ada segelintir penumpang yang enak melelapkan mata tanpa mempedulikan susana sekeliling namun ramai di antara mereka bersembang dan usik mengusik di antara satu sama lain.

            Alhamdulillah, kami sampai ke destinasi yang ditujui pada 6 Oktober 1994 jam 6.45 pagi waktu tempatan (Malaysia:1.41 petang/Bertolak 11.05 malam 5 Oktober 1994).  Keadaan suhu sebaik-baik pesawat mendarat ketika itu 0°C dengan kabus memutih menutupi hampir seluruh landasan dalam jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja.  Ini sudah cukup membautkan aku dan teman-temah serombongan seramai 18 orang deligasi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang diketuai Timbanlan Presidennya Baharuddin Zaina (Baha Zain) dicengkam kedinginan hingga ke tulang sum-sum.

            Apa yang kami insafi , kabus tebal yang melebihi jerebu di Kuala Lumpur menyebabkan situasi di Frankfurt lebih menyeksakan.  Ini membuatkan kami memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi berkali-kali.  Apatah lagi di tanah air ketika itu heboh dilanda “demam jerebu” yang mengusarkan banyak pihak.  Walau apa pun di wajah kami masih terpancar kelopak rinag dengan senyuman menjejaki pengalaman yang melegakan.

            Kami disambut Toni, pengurus rombongan yang siap sedia menanti kami di lapangan terbang.  Toni wanita ramah, fasih berbahasa Inggeris berketurunan Tagalog Filipina kini pemastautin tetap sehingga bersuamikan Benz, warga Jerman.  Dan sepanjang perjalanan, kami melalui lebuh raya sehala tiga lorong yang nyaman dan jauh daripada kesesakan.  Lucunya, Toni memanggil satu per satu  nama kami dengan slanganya yang menghiburkan.  Dan dengan sejelas-jelasnya Toni menghebahkan  sama ada di antara kami akan menginap di Hotel Arkaden di pekan kecil Gravenwiesbach atau Hotel Usingen di Bandar Usingen, pinggir kota Frankfurt.

            Gravenwiesbach dan Usingen ialah dua dearah di luar Bandar yang menghubungkan lapangan terbang dengan kota utamanya Frankfurt am Main dengan jarak 100 km.  Lebuh raya yang kami lalui hanya dihiasi dengan hutan-hutan kecil pokok pine yang sengaja dibiarkan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar.  Tidak seperti kebanyakkan negara lain, yang biasanya jalan menuju lapangan terbang dipenuhi dengan kawasan perumahan atau perindustrian.  Walaupun perjalanan agak sedikit membosankan namun kelincahan Toni yang petang menerangkan serba sedikit tentang kota Frankfurt dan aturcara yang telah disediakan membuatkan kami terhibur.  Sekali-sekala bas kami melintasi padang ragut saujana menghijau dan lading tentang luas terbentang.

            Kami tiba di Bandar Usingen tpat jam 9.37 pagi ( menurut rakaman kaset yang aku buat).  Bagi mereka yang telah ditetapkan menginap di Hotel Usingen (Saudara Baha Zain, Dino S.S., Cikgu Maaruf Mahmud, Fatimah Suryani , Abu Hassan Adam, Syed Salim, Salasiah, dan Reza), sibuk memunggah bagasi masing-masing.  Manakala teman-teman yang lain sibuk mundar-mandir secari sudut sesuai bagi rakaman kamera.  Ketika itu penduduk Usingen dengan pakaian musim dingin yang anggun kelihatan tenang memikat hati kami.  Anehnya , kebanyakan golongan veteran menghuni bandar ini.  Namun rata-ratanya bergaya dengan model terkini serba canggih BMW atau Mercedes Benz.

            Setelah selesai menguruskan penginapan kumpulan keda (saudara T. Alias Taib, Dr. Zakarian Ali, Dr. Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana, Wahid kasran, Dr. Haji Bukhari Lubis atau Rizi S.S., marzuki Ali, Jamaluddin D., Rasanubari Asmaramah, Dr. Sufian Hussain, Wahba, Rashid Ahmad dan aku sendiri) di Hotel Arkeden, Gravenwiesbach, kami semua bertolaj ke kota Frankfurt pada jam 10.35 pagi.   Sebelum tiba kami, menempuh Natrupark, Hochtahus, Saalburg, Bad Homburg, Oberursel, dan beberapa prkan kecil  di pinggir kota.  Sebenarnya kawasan  luar kota yang kami lalui cukup banyak mencambahkan inspirasi dan kuntuman ilham istimewa bagi golongan penulis.  Dan semasa perjalanan ke Frankfurt sejauh 54 km lagi, Baha Zain berbicara lembut dengan humornya tersendiri memperkenalkan satu persatu anggota rombongan kami yang kurang mengenali secara peribadi dan tentang Malam Kesusateraan Malaysia di Fikenhof keesokkannya.  Katanya, di antara kami akan diminta membaca puisi.

            Kami tiba di kota Frankfurt tempat berlangsungnya Frankfurt International Book Fair sekitar jam 12.50 tengah hari.  Kawasan pesta buku terbesar di dunia ini amat luas.  Jikalau hendak dikunjung secara terperinci setiap gerai yang ada , kurang lebih memakan masa seminggu! Selain diadakan pameran buku seluruh dunia daripada pelbagai bahasa, diadakan juga sudut forum, diskusi dan pertemuan antara penebit buku, pengarang dan pembaca amnya.  Mereka saling bertukar maklumat bagi mempertingkatkan mutu dan daya intelek. Yang melucukan dan menggelisahkan, semua anggota rombongan kami berpecah tanpa disedari dan tidak menemui antara satu sama lin sehinggalah jam 4.30 petang pada waktu dan tempat yang ditetapkan.

            Aku (yang sebelum itu merungut kerana keletihan mencari teman-teman) , T. Alias Taib   (Tengku yang rajin membelek-belek buku), Dr. Zakaria Ali (yang tertinggal seketika sewaktu asyik berwawasan di sebalik tiang di sebuah kiosk makanan) dan Syed Salim (yang rajin bagai musafir berkelana) tidak menemui rakan-rakan lain di kompleks pesta tersebut lalu  mengambil keputusan berjalan-jalan di pinggir  terminal trem yang kemudian menerima baik keputusan Syed Salim agar membeli tiket berharga enam Deutschemark (DM) seorang bagi menaiki trem yang merentangi jantung kota Frankfurt. Sebenarnya nilai karcis tersebut boleh digunakan  sehari sama da menaiki trem , bas awam, LRT atau tube di subway (SU).  Dengan cara ini pengguna tidak perlu bimbang akan tersesat atau tertipu.  di sini apa yang aku perhatikan, tidak kelihatan remaja berpeleseran di mana-mana terminal.  Jauh sekali di pusat-pusat membeli-belah.  Golongan remaja juga kurang kelihatan di kota ini.  ini menjadi tanda tanya pada hari perama aku di sini.  Seperkara lagi wajar dipuji ialah tentang kebersihan kota ini yang nampak terserlah.  Agaknya, di dalam diri warga kota ini telah sedia tertanam dispilin sekian lama.

            Pada malam pertama aku di Gravenwiesbach  , agak sukar melelepkan mata.  Aku ke bilik Wahid Kasran.  Beliau begitu “sibuk” dengan bekalan mee segera bersama Mana Sikana, dan Dr. Hj. Bukhari Lubis pun berkeadaan sedemikian.   Mungkin mengalami pelbagai kejutan perubahan cuaca.  Pada keesokannya kami dibawa dengan koc khas bersiar-siar mengelilingi dan melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di kota Frankfurt dengan lebih dekat.  Antaranya Muzium Dinosour, Johann Walfgang Universitat, dan melihat bangunan-bangunan bersejarah peningglan maharaja silam (bangunan yang telah dibaik pulih akibat serangan  bom Perang Dunia Pertama dan Kedua), munyusuri pesisir Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang terkenal itu, mengunjungi beberapa buah took buku dan melawat bekas kediaman mendiang J.W. Goethe.

            Cuaca pagi musim gugur yang dingin menyebabkan baik warga tempatan mahupun para pelancong asing, mesing-masing mengenakan pakaian antidingin dengan pelbagai fesyen yang menawan. Dino S.S. dengan sut jekat labuh yang anggun dan bertopi koboi ala Dallas cukuo bergaya sekali.  Dr. zakaria Ali dengan fesyen kalis salji.  Begitu juga T. Alias Taib yang bagaikan pengintip rahsia 007.  Tidak kurang hebatnya gaya Marzuki Ali, Jamaluddin D., Mana Sikana, dan Wahid Kasran.  Masing-masing Frankfurt yang merupakan salah sebuah kota termaju dan tercanggih di Eropah.

            Kami tiba di rumah Goethe jam 9.55 pagi 7 Oktober 1994.  Setiap rakyat Jerman mengenali nama tersebut.  Bahkan nama itu turut dinobatkan di sebuah university terkemuka di Frunkfurt.  Sebenarnya Goethe atau nama penuhnya Johnn Wolfgang Von Goethe adalah penyair, novelis, dramawan, dan ahli falsafah terkemuka Jerman.  Beliau lahir di Frankfurt pada 28 Ogos 1749.  Goethe belajar pengajian undang-undang  di Leopzing dan Strassburg.  Keistimewaannya berbagai-bagai termasuk  menulis bidang botani dan biologi.  Aku berkesempatan melawat seketika rumah kelahirannya yang terletak di tengah kota Frankfurt merasakan sedikit cemburu lantaran betapa hebatnya warga Jerman menyanjungi pujangga mereka.  Di rumah ini dikhabarkan mengandungi hasil peninggalan Goethe termasuk karya-karya aslinya yang ditulis tangan masiuh disimpan rapi.  Sebuah skarip dramanya yang terkenal, Fausti turut dipamerkan. Yang menarik, bilik kerjanya sebagai seorang seniman membangkitkan sesuatu yang nostalgik kepada para pengunjung.

            Begitulqh Goethe, yqng namanya masih harum walaupun telah  meninggal dunia pada 22 Mac 1832 di Wiemer, Saxe namun penduduk Frankfurt khususnya amat menyanjungi beliau.  Sesungguhnya kunjunganku ke kediaman Goethe memperingatkan kau kepada Allahyarham Ruhi Hayat, Keris Mas, Pak Sako, Rahim Kajai dan Za’ba ( atau yang terdahulu seperti Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi) yang telah pergi meninggalkan alam fana tanpa sesuatu yang wajar untuk kita memperingatinya.  Justeru , sewajarnya kita usahakan sesuatu bagi mereka yang pergi buat dikenang zaman berzaman. Dan sesunggungnya kunjungan ke rumah Goethe memberi makna yang mendalam!


Nasionalisme, Alangkah!...

Bagi kami, Frankfurt terus menuntut kesabaran dan kekuatan iman.  Dan tidak kurang juga memberi pengajaran tidak ternilai tentang makna kepesatan teknologi dan kemelesetan rohani.  Namun demikian sikap menghargi bahasa sendiri amatlah dikagumi. Dimana-mana , kita temui bahasa Jerman terpampang megah, baik di papan slaid iklan di merata-rata jalan, petunjuk arah di terminal trem, bas dan tube, menemui warga kotanya yang terdiri bukan sahaja berbangsa Jerman bahkan pendatang asing dari Timur Tengah dan Afrika.  Mereka tidak memperdulikan sama sekali sama ada audien faham dan sebaliknya apabila menonton teater atau opera.  Yang tersirat, mereka mempunyai nasionalisme dan sudah tersemai patriotism.  Di sana sini bangunan-bangunan batu yang berusia beratus-ratus tahun dijaga rapi dan dibaik pulih kembali.
         
   Dan di sepanjang Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang subur itu,  kami menemui kehebatannya.  Teringat kami Sungai Klang-Gombak di Kuala Lumpur.  Sayu. Ah, alangkah! Tegasnya, apa yang dapat kami tanggapi: rakyat Jerman amat menghargai nilai sejarah walaupun canggih dengan teknologi terkini.


Menjejaki Fikenhof

                 Sehingga jam 4.30 petang 7 Okyober , rombongan kami pulang ke Usingen dan Gravenwiesbach kecuali aku dan Tengku yang mengambil keputusan akan pergi sendiri berasingan daripada yang lain untuk menghadiri Malam Kesusasteraan Malaysia di Jalan Fikenhof 17 sebelum jam 8.30 malam nanti.  Bagi memanfaatkan masa dan perjalanan ini, kami mengambil kesempatan pada sebelah petangnya menyusuri dari satu jalan ke satu jalan di Hallgarten, Frieddberger Land, Vogelsberg dan Alta Gasse bagi mengenali kota Frankfrut  dengan lebih akrab.  Dan apabila aku menuruni tangga menuju ke terminal tube di subway, barulah aku menemui para remajanya (sekaligus jawapan kepada tanda Tanya) yang berkumpul sama ada menanti ketibaan tiub untuk ke detinasi atau bersembang-sembang di kiosk-kiosk
.
            Kami difahamkan, generasi muda Jerman kini mula bertambah bilangannya yang tahu berbahsa Inggeris.  Apabila aku mengajukan pertanyaan kepada sekumpulan remaja tentang bagaimana mereka berinteraksi sesama mereka, maka salah seorang di antara mereka menjelasakan (dalam bahasa Inggeris) bahawa mereka lebaih senang bertemu  dengan teman-teman sebaya di tempat-tempat hiburan yang telah dikhaskan bagi golongan remake dan menggunakan tube sebagai pengangkutan utama.  Yang jelas, remaja Frankfurt tidak mudah diluhat “melepak” di tempat-tempat awam.  Mungkin mereka tahu menghargai masa atau bijak menggunakan akal bicara.

            Seperti kebanyakan kota besar, Frankfurt juga tidadk sunyi daripada pelbagai bentuk kegiatan kesenian.  Bagi bulan Oktober dan November telah sedia disajikan  pelbagai aneka persembahan teater, opera, ballet, cabaret dan okestra daripada pemuzik terkenal seperti Peter Brotzmann, Toshinori Kondo, William Parker dan hamid Drake. Apatah lagi kegiatan kesenian dan kebudayaan kian rancak berikutan Frankrut International Book Fair yang sedang berlansung.  Dan kedinginan yang menyelubungi kota Frankfurt  tidak mematahkan semangat kami.  Walaupun terpaksa memakai tidak kurang empat lapis pakaian dan menghadapi kejutan cuaca, telah aku perjelaskan tadi bahawa aku dan Tengku mahu memanfaatkan perjalanan ini sebaik mungkin.  Baik di terminal  bas dan trem mahupun di setesen tube, orang ramai berjejal mengikut haluan masing-masing dengan pantas.  Mereka tidak mahu membuang masa. Anak-anak remaja lebih gemar menggunakan tube bawah tanah ke destinasi.  Di jalan-jalan raya BMW dan Mercedes bersimpang- siur.  Baik siang ataupun malam, situasi kota Frankfurt tidak jauh bezanya.

            Selepas maghrib, kami tergesa-gesa hendak ke Fikenhof.  Kami tidak pasti sama ada mahu menaiki teksi, bas atau tube.  Toni mengandaikan tambang teksi ke Fikenhof sekiatar DM30 (RM50).  Masalahnya kami tidak pasti  arah ke destinasi tersebut. Kami bertanya beberapa orang yang member pelbagai saanan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Jerman.  Tengku mula gelabah dipagut resah.  Aku cuba mententeramkannya.  Kata putusnya, kami menaiki teksi yang kebetulannya model BMW terbaru!

            Sepanjang perjalanan, kamu mula diselubungi kebimbangan.  Tengku yang duduk di hadapan, cuba berkomunikasi mudah.  Yang nyata, pemandu teksi berketurunan Turki itu tidak boleh berbahasa Inggeris.  Pada mulanya, kami berasa lega. Maklumlah mungkin seagama.  Tetapi dugaan kami meleset. Dengan caranya memandunya yang agak membahawakan sambil merepek-repek menyebut…”I love you… I love you…I love you….”  Lalu diputarnya kaset lagu-lagu berbahasa Jerman berentak ala padang pasir sambil kedua-dua tangannya mengangkat melepasi stereng dan tubuhnya digoyang-goyangkan menyusuri dari satu lorong ke satu lorong.  Kami mula dihimpit pelbagai sangkaan buruk(“Apakah pemandu ini sex-maia ?” “Apakah pemandu ini mabuk?” “Apakah pemandu ini pejuang homoseksual?”   “Apakah pemandu ini  alias penyamun?” – Sekarang kami berada di sebuah kota di Eropah:kejadian-kejadian buruk bila-bila boleh berlaku. Bukan Mustahil).  Dan lebih menggusarkan , pemandu yang mencemaskan itu tanpa sebarang sebab kerap mengherdik kasar.  Jauh di lubuk hati, aku mula membaca beberapa potong doa peninggalan Allahyarham bapaku.

            Dan bagi menghilankan “ketakutan“ aku yang duduk di belakang turut mencelah manyahut, “Ya … habibi… Ya…. Habibi … ! sambil pura-pura ketawa.  Apa lagi semakin ghairah gelagat dan aksinya.  Tidak semena-mena teksi berhenti di sebatang lorang sunyi.  Ah , aku pun berbisik ke arah Tengku menyatakan  beberapa kemungkinan yang akan berlaku.  Kamu mula berdebar.  Dengan  kasar disuruhnya segera kami membuka pintu.  Meter tambang Cuma menunjukkan DM11! Ini menambahkan curiga dan ketidakpastian kami.  Kami mundar-mandir tetapi bersikap tenag hamper sepuluh minit.

            Tiba-tiba dalam lorong yang gelao,sebuah teksi berhenti .  kedua-dua lampunya betul-betul ke arahku.  Kerana terperanjat, beg kembaraku terjatuh bersama-sama alat perakam yang tercampak keluar.  Bateri di dalamnya bertaburan.  Hilang.  Dalam samar-samar kami nampak beberapa wajah. Alhamdulillah wajah Melayu; di antaranya wajah Haji Shaari Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah DBP dan perwakilannya yang terbabit secara langsung dengan pesta buku tersebut.  Syukur, debaran yang mencemaskan betul-betul berada di Jalan Fikenhof 17 , tempat berlangsungnya majlis tersebut sebelum ketibaan rakan-rakan lain.


 Anum, Kupilih Namamu…

          Sebaik sahaja aku dan Tengku muncul di sebuah restoran terkemuka di Finkhof.  Duta besar Malaysia di Jerman, Mohammaf Amir Jaafar dan para kakitangan kedutaan Malaysia telah sedia menanti kami.  Professor Muhammad Haji Salleh  yang kelihatan gembira terus berbisik ke arah kami, mempelawa ke Leiden, Belada.  Sasterwan Negara Muhammad Haji Salleh yang kini sedang membuatpenyelididkan di Lieden, Belanda didatangkan khusus pada malam itu sempena pelacaran kumpulan puisinya Sajak-Sajak Sejarh Melayu (Malaiische Wanderungen) ke bahasa Jerman di samping karya Sasterawan Negara A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu ( Feuer Uber Dem Flub) . Dan selang beberapa minit kemudian, dewan restoran kian meriah dengan kehadiran rakan-rakan daripada PENA.  Mereka berpandangan di antara satu sama lain kerana kami tiba lebih awal.

            Kami difahamkan firma penerbitan Horlemann yang dimiliki Jurgen Horlemann telah menterjemahkan dan menerbitkan sepuluh karya penulis Indonesia, China dan India termasuk karya Premoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Armin Pane, W.S Rendra dan Zhang Xiguo ke bahasa Inggeris.  Sayangnya, Jurgen Horlmann tidak dapat hadir kerana keuzuran.  Dan di majlis tersebut Muhammad Amir Jaafar telah diberi penghormatan melancarkan kedua-dua buku tersebut, antara lain menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suatu petanda dan titik sejarah gemilang buat rakyat Malaysia amnya dan dunai kesusasteraan Melayu khususnya di mata antarabangsa.  Beliau begitu hangat dengan usaha murni dan kerjasama yang dikendalikan oleh penerbit Horlemann dan PENA ini.

            Dan sebaik saja majlis pelancaran , SN Muhammad Haji Salleh diberi penghargaan memperkatakan serba sedikit intisari dan latar karya serta proses kreatif penghasilan kumpulan puisinya  Sajak-Sajak Sejarh Melayu .  Muhammad dengan suara gemersiknya kemudiannya memulakan bacaan petikan “ceretera yang keenam belas” (Sechzehntes Buch); antara lain mengungkapkan:

                “Anum, kupilihmu dari seratus dayang istana,
            kerana kau melembutkan suaraku,
            memulakan rindu kepada malam,
            memadamkan marah kepada sultan.
            Anum, kupilihmu dari seratus kampuna.”

Bacaan Muhammad itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Jerman oleh Puan Beate Carle, Isteri Profesor Dr. Rainer Carle sarjana dari Universiti Hamburg yang mencintai kesusasteraan Melayu secara spontan untuk difahami audien berbahasa Jerman yang hadir:
           
                ‘Anuam , ich wahlie dich aus einhundert Madchen  Madchen des Palastes,
            weil du meine Stimme sanft warden lafst,
            meine Sehnusucht weckst narch der Nacht,
            und meine Wut auf den Sultan besanftigst.
            Anum, ich wahte dich aus einhundert Dorfern”
           
            Pendek kata, Malam Kesusteraaan Malaysia turut memberi penghormatan kepada ketua deligasi PENA Baha Zain, yang membentangkan kertas kerjanya berjudul “Malay Literature and the Furture” (Kesusasteraan Melayu dan Masa Depan.”) kemudian disusuli ucapan pasangan suami isteri , Renate dan Hansheinrich Lōdel memperkatakan tentang pengalaman mereka selama enam bulan menterjemahkan novel SN A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu.  Dan bagi para hadirin khususnya delegasi Malaysia yang hadir pada malam itu, waktu begitu pantas mencecah dinihari.  Kemesraan yang sedia terjalin di antara kami bagaikan sukar dilerai.  Walaupun di luar suhu dingin namun bahang pemanas udara amat  menyegarkan.  Suasana semakin mesra dengan hidangan makan malam  ala Jerman.  Para hadirin yang terdiri daripada beberapa kakitangan Horlemann, para sarjama beramah mesra dalam bahasa Melayu.  Hal ini cukup membanggakan.

            Di wajah masing-masing terpancar kepuasan dan kebanggan kerana majlis tersebut mengandungi seribu pengertian.  Sekurang-kurangnya sastera Melayu dan dunianya kian menambat hati orang Jerman.  Apa yang tersurat, kami terpaksa meninggalkan Jalan Fikenhof 17 dengan seribu warna dan semerbak kuntum mewangi.  Aku dan Tengku turut pulang  sama bas rombongan PENA menuju Gravenwiesbach dalam perjalanan hampir dua jam.   Dan sepanjang perjalanan, kisah perjalananku yang mendebarkan bersama Tengku  turut menjadi bahan gurauan (bagi mereka yang mengatahuinya) buat menghilangkan keletihan.  Dan pada dinihari yang ddakap dingin sepi dibuai malam yang syahdu di Hotel Arkaden , kami lena dan mimpikan kota Paris yang melambai-lambai kehadiran kami!

(sumber: Melintasi Benua, Penerbit Dasar Padu Sdn. Bhd. 1995, Judul Asal ' CATATAN DI FRANKFURT ' oleh DR. RAJIEE HADI )