HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

22 Ogos 2011

SALAH LAKU PELAJAR: SALAH SIAPA?



PELAJAR dalam alam remaja sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman dan desakan yang mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup.  Fenomena ini mengwujudkan masalah dalam jiwa remaja apabila berlakunya  kematian orang yang disayangi, mengidap penyakit serius, ibu bapa bertukar pekerjaan, peperiksaan, konflik antara ibu bapa, kurang kasih sayang keluarga dan tiada sokongan keluarga dan sosial. 

Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu (1993) dalam laporannya telah menyenaraikan tiga faktor diri pelajar yang menyebabkan wujudnya kes pelanggaran disiplin.  Faktor tersebut termasuk sikap negatif terhadap pelajaran seperti tidak berminat dan mudah jemu; tiada dorongan motivasi akibat kurang kemahiran asas belajar dan lebih mementingkan hiburan serta gangguan kesihatan diri. 

Sehubungan itu pelajar yang bermasalah ialah pelajar yang tiada kawalan diri, kurang mengerjakan kerja sekolah dan latihan  di rumah, kurang patuh kepada arahan guru, kurang berminat untuk belajar, kurang hormat guru, suka mengganggu pelajar lain dan suka membuat bising. 

Golongan remaja juga boleh menghadapi masalah kesihatan mental dan  lazimnya bertingkah laku agresif termasuk kedegilan, keresahan, tingkah laku bermasalah, penyalahgunaan bahan-bahan terlarang, kemurungan, penderaan dan tingkah laku seksual  dan kehamilan remaja luar nikah. 

Justeru pelajar yang melanggar disiplin sebenarnya tidak memahami peranan dan tugas mereka sebagai pelajar. Mereka tidak menyedari bahawa tindakan sedemikian mendatangkan kemudaratan.  Pelajar terbawa-bawa dengan perasaan dan hilang kawalan diri dan  mudah terpengaruh dengan anasir luar.Selain itu pelajar terdedah kepada kehidupan yang bersifat hedonistik atau bersifat mementingkan keseronokan, salah memilih rakan sebaya dan pelajar mengalami masalah penyesuaian atau masalah peribadi.

Namun demikian apa yang membimbangkan ialah kesalahan disiplin termasuk penyalahgunaan dadah, telah menular dari peringkat sekolah randah lagi.  Ini terbukti apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (2009)  melaporkan bahawa  walaupun peningkatan sekolah  rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus namun pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius. 

Pada keseluruhannya menurut beliau lagi isu yang melibatkan disiplin  berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul buli, gaduh dan  ponteng tegar.  Statistik tahun 2009 KPM menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Walau bagimanapun  jumlah aduan disiplin murid diterima bagi tempoh januari hingga ogos tahun 2009 ialah 65 kes tetapi menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun 2008 (Utusan Malaysia, 01 Oktober 2009) .

lmpak  daripada perangkaan  inilah yang perlu ditangani oleh seorang kaunselor atau pegawai psikologi yang terlatih. Pengetua atau Guru Besar selaku pemimpin sekolah sewajarnya memantau  dari  semasa ke semasa prosedur pelaksanaan sesi kaunseling dan program di sekolah. Apatah lagi kini wujud kaunselor atau pegawai psikologi sepenuh masa di sekolah.Yang penting, sesi kaunseling di sekolah tidak mengganggu waktu pengajaran-pembelajaran formal di bilik darjah.  

Kendatipun pelajar lelaki lebih cenderung  merokok, menghisap ganja, menghidu gam, menghidu petrol, minum minuman keras, menonton atau menyimpan bahan lucah dan berjudi namun  pelajar perempuan pula lebih cenderung terlibat dengan rokok, bahan lucah dan bercinta.  

Oleh itu peranan guru kaunseling dan guru disiplin mengenal pasti masalah awal salah laku yang sering dilakukan  pelajar amat dialu-alukan; mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka berperanan  membantu pelajar mengurangkan dan seterusnya meninggalkan salah laku tersebut. Sokongan dan dokongan ibu bapa dan setiap ahli komuniti di luar sekolah banyak membantu mencegah salah laku pelajar agar tidak berterusan menjadi barah dalam masyarakat. 

Justeru banyak kajian  mendapati punca pelajar terlibat dalam salah laku kerana  mereka tidak dapat  memahami pengajaran guru bagi sesetengah mata pelajaran yang diajar. Kesulitan  yang dialami  ini menyebabkan mereka tidak berminat  menumpukan perhatian dan berkecenderungan ponteng kelas     tau sekolah.  

Ekoran daripada itu pelajar salah laku ini, tidak berminat dengan satu-satu mata pelajaran dan tidak menyukai guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Berdasarkan beberapa kajian yang penulis temui mendapati bahawa jikalau pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan maka masalah disiplin tidak akan timbul. Ini disebabkan faktor minat kepada subjek pelajaran dan personaliti si pengajar/guru.

Selain itu ada kajian juga menunjukkan salah satu punca pelajar tidak minat belajar ialah kerana mereka tidak berminat dengan beberapa mata pelajaran yang diajar, tidak membuat tugasan sekolah dan tidak  mengulang kaji pelajaran.  Dengan itu mereka tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru; sebaliknya mereka sering  mengganggu pembelajaran- pengajaran dalam kelas. 

Sebagaimana sedia maklum terdapat banyak masalah yang timbul dalam kehidupan seharian pelajar.  Di peringkat awal, pelajar mula menghadapi konflik dengan keluarga dan rakan sebaya terutama yang melibatkan aspek halangan komunikasi, kebejatan sosial dan silang budaya.  Mereka tidak dapat meluahkan perasaan mereka kerana tidak ada siapa yang boleh dipercayai . Senario ini menyebabkan  wujudnya tekanan perasaan dan konflik dalam diri. Situasi demikian  disebabkan pelajar tersebut memerlukan orang tengah yang berperanan mendidik; berbeza dari guru kelas atau guru subjek. 

   Mereka memerlukan rakan ‘dewasa’ yang mempunyai hubungan dan struktur kognitif  berbeza daripada seorang guru dan boleh meluahkan perasaan serta rahsia hati tanpa curiga dan berasa gentar. Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah serta maklumat berhubung dengan salah laku pelajar dan  sikap atau persepsi pelajar-pelajar terhadap  perkhidmatan tersebut. 

Kesimpulannya penulis berkeyakinan bahawa  untuk melahirkan pelajar yang bermoral bukanlah mudah.  Pembentukan pelajar dipenuhi  beberapa faktor  yang bertali- temali. Jika gagal salah satu faktor ini maka kecewalah sistem pendidikan kebangsaan. 0leh itu kaedah pengajaran dalam bilik darjah  yang membentuk  lima faktor yang saling kait mengait iaitu: rakan sebaya, pengaruh kurikulum dalam sistem pendidikan, kaedah pengajaran yang diterima daripada guru, pengaruh keluarga dan pengaruh persekitaran khususnya media massa, sewajarnya dipraktiskan oleh guru  dengan berhemah lagi bijaksana. 

Pendekatan kasih sayang yang luhur murni tanpa pilih kasih dan tidak prejudis banyak membantu guru menjayakan proses pengajaran-pembelajaran. Tegasnya, bahaya besar akan menimpa masyarakat jika dibiarkan permasalahan salah laku pelajar berterusan. Dan  sudah sewajarnya kerajaan menekankan betapa perlunya pendidikan agama dan moral serta aspek kebahasaan dan komunikasi di sekolah-sekolah diberikan keutamaan dan penilaian kembali. lni selaras dengan hasrat kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam  dan semangat patriotisme satu Malaysia dalam pentadbiran negara.

TIPS GURU MENGENALI PELAJAR BERISIKO

 Oleh : Dr.Rajiee Hadi


SELAIN ibu bapa, guru  merupakan sumber utama pelajar  mendapatkan kasih sayang, berkongsi masalah  dan mendapatkan sokongan.  Guru  harus memahami bahawa sekiranya pelajar terlibat dengan tingkah laku berisiko ini bermakna mereka melakukan sesuatu perlakuan yang tidak dapat dikawal dan berterusan memberikan kesan negatif. Ekorannya menimbulkan pertentangan dengan nilai agama dan sosial  yang akhirnya tidak dapat diramalkan kesan buruk yang akan berlaku.
Sebelum  guru  mengenali sama ada pelajar  mereka terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi atau tidak, mereka terlebih dahulu mengetahui dan memahami keperibadian atau tingkah laku mereka.  Dalam keadaan normal,  pelajar sering  berbincang bersama ibu bapa, guru ataupun rakan sebaya.
Dalam beberapa isu kebelakangan ini, kedapatan pelajar yang tidak lagi berminat  menghabiskan masa berehat bersama ahli keluarga mereka. lni  menandakan isyarat atau petunjuk paling awal bahawa anak remaja mereka telah mula mempunyai  masalah dan mula menghindari diri daripada berinteraksi dengan ibu bapa. Perubahan ini akan terbawa-bawa di alam persekolahan yang mana pelajar seperti ini akan berinteraksi bersama rakan-rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama dan saling mempengaruhi.
Guru yang prihatin dengan perubahan awal tingkah laku pelajar  mereka perlu segera mengambil tindakan; bertanyakan kenapa berlakunya perubahan rutin harian yang telah biasa dilakukan dengan baik tetapi berubah sebaliknya. Dengan tindakan awal ini, pelajar yang mahukan perhatian guru akan merasakan dirinya dihargai dan diambil berat. Sebenarnya inilah yang mereka mahukan.
Petunjuk lain termasuklah cara pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan lain, berenggang hubungan  dengan kawan-kawan rapat  di sekolah dan di rumah, cara berpakaian dan penggunaan wang yang mungkin berlebihan.
Guru harus berhati-hati apabila mengesyaki bahawa pelajar mereka telah mula terjebak dengan tingkah laku berisiko. Hubungan dua hala antara guru dengan ibu bapa; khususnya guru darjah/tingkatan  haruslah terjalin tanpa sebarang kepentingan atau prejudis. Kadangkala anak didik kita tidak terlibat dengan perlakuan menyeleweng tetapi mendapati rakan rapat mereka yang terlibat dengan mereka akan berasa bersalah untuk tidak sama-sama turut serta.  Dalam keadaan ini ibu bapa  dan guru sepatutnya terlebih dahulu mengetahui perubahan tingkah laku anak remaja dan pelajar mereka  dengan merujuk  sumber daripada  rakan rapat dan rakan-rakan kawan di sekolah yang selalu berinteraksi dengannya.
Pelajar berisiko  acapkali pandai menyembunyikan aktiviti berisiko tinggi yang telah dilakukan dengan pelbagai cara. Ada yang memberitahu bahawa  mereka tidak terlibat dalam pelanggaran disiplin  tetapi dengan helah bela diri menuding  rakan-rakan mereka yang melakukannya.  Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa atau guru  boleh membawa rakan mereka yang terlibat bagi memastikan sama ada  anak-anak anda  atau pelajar anda juga turut terlibat atau sebaliknya.
Guru sewajarnya mengetahui bahawa ibu bapa yang intim hubungannya dengan anak remaja akan lebih mudah dapat mengesan perubahan tingkah laku anak-anak remaja mereka apabila mula terlibat dnegn tingkah laku berisiko tinggi. Perubahan cara percakapan, tidak suka menghabiskan masa lapang bersama keluarga, mula berbohong, , tidak menghabiskan waktu santai di rumah dan mula tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada amalan keagamaan dan mengabaikan tugasan sekolah di rumah antara lain beberapa petanda pelajar bertingkah laku berisiko. Justeru kerjasama erat guru memperoleh info daripada ibu bapa amatlah membantu.
Bersandarkan senario ini terdapat sekelompok ahli sosiologi Barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak remaja ini mudah terjebak dengan tingkah laku berisiko tinggi berpunca daripada keadaan masyarakat  yang berkonsepkan teknologi elektronik.  Kebebasan dan kemudahan pencapaian maklumat yang digunakan untuk tujuan tidak baik yang berleluasa hari ini memudahkan lagi remaja  terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi.
Guru sewajarnya memahami situasi yang mana kedapatan  ibu bapa dan anak remaja gagal utuk mendapat kata sepakat dalam berbagai-bagai hal disebabkan sikap, persepsi dan matlamat perlakuan di antara kedua generasi ini ternyata berbeza.  Apabila ibu bapa secara berterusan menegur anak remaja yang melewat-lewatkan waktu untuk  bersolat atau bersembahyang misalnya, anak remaja akan menyatakan bahawa waktu bersolat masih panjang.  Contoh ini menunjukkan perbezaan pendapat dua generasi kendatipun telah ditentukan tempoh yang sebaik-baiknya untuk bersolat.
Sehubungan ini dapatlah dirumuskan bahawa konflik  di antara anak remaja dengan  ibu bapa , guru dengan pelajar mudah diatasi apabila di peringkat perhubungan awal anak-anak didik ini    diletakkan peraturan khusus yang perlu dipatuhi  dengan tegas, bijaksana berhemah  demi mewujudkan kesejahteraan  kedua-dua belah pihak. 

PENDIDIKAN PRAPERKAHWINAN : KE MANAKAH ARAH TUJUNYA?


Oleh : Dr.Rajiee Hadi & Mahnessa A. Kadir

SETIAP insan inginkan kebahagiaan dalam kehidupan mereka.  Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan ada hikmah disebaliknya. Oleh yang demikian,  setiap insan tidak bisa hidup tanpa pasangnya.  Secara zahirnya keperluan fizikal mengarah kepada keinginan hidup bersama  antara wanita dan lelaki bukan suatu yang janggal.
Walaupun demikian, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mendirikan rumah tangga kerana sama ada suami atau isteri perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan seperti pengetahuan tentang agama, ilmu psikologi , keutuhan ekomoni dan paling utama ialah persediaan dari segi jasmani dan mental.
Tidak dapat dinafikan pihak kerajaan telah mengambil langkah dalam membantu pasangan yang ingin berkahwin dibekalkan dengan pengetahuan berumah tangga. Pada suatu ketika, setiap pasangan akan ditemuduga sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.  Mereka ditanya  berkatian ilmu agama dan ilmu asas berkaitan rumah tangga. Apa yang menyedihkan, ada juga pasangan tidak dapat menjawabnya walaupun  soalan yang ditanya adalah mudah,ringkas dan jitu sifatnya.  
Pihak yang berkuasa agama memandang serius terhadap isu kedangkalan dalam hal hukum-hakam alam rumah tangga ini. Ada pasangan yang tidak dapat menjawab dengan betul dan ada juga yang tidak dapat menjawab langsung sehinggakan majlis perkahwianan atau pernikahan  tidak dapat dilangsungkan. 
Isu seperti ini tentulah mendapat perhatian serius oleh pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam .Oleh itu langkah drastik diambil dengan memberi syarat perkahwinan ialah pasangan tersebuh dikehendaki menghadir kursus praperkahwinan. Namun dalam isu ini penulis lebih berminat memakai istilah atau frasa pendidikan praperkahwiann bukan kursus. Dengan ini lebih menampakkan kesungguhan dan seriusnya ilmu yang mahu disampaikan dan diterapkan.   Yang menjadi persoalannya, apakah dengan menghadiri pendidikan praperkahwinan hanya dua hari dapat menyalurkan banyak informasi kepada para peserta? Kita fikirkan bersama. 
Apakah pihak tertentu benar-benar telah membuat persediaan modul yang mencakupi aspek perkahwinan disamping mengambil kira isu-isu semasa.  Khususnya berkaitan isu-isu globalisasi dan kegawatan ilmu pengetahuan tentang perkahwinan pada masa kini? Tentu kita tidak dapat menjawabnya dalam masa yang singkat. 
Bagi penulis, pendidikan praperkahwinan tidak banyak  membantu membekalkan ilmu perkhawinan kepada peserta dalam  mempersiapkan  diri sebagai suami atau isteri mengikut syariat Islam.   Tidak ramai peserta yang dapat menumpukan perhatian terhadap kursus tersebut kerana mereka hadir bersama-sama pasangan. Sudah pasti tumpuan mereka bukan kepada materi ilmu yang diberikan tetapi sibuk dengan berkhayal masa depan yang belum pasti cabarannya. 
Perlu diingat, biaya menghadiri pendidikan tersebut bukanlah murah.  Ini bergantung kepada agensi mana yang menganjurkannya.  Apakah pihak berwewenang memantau siapa yang memberi ceramah dan sejauh mana peserta faham apa yang diceramahkan?  Jangan sampai ustaz atau ustazah hanya syok sendiri di hadapan peserta.
 Apa yang penulis risaukan adalah sejauh mana pendidikan perkahwianan ini dapat difahami oleh peserta.  Diharapkan penceramah hendaklah dipilih berdasarkan kepada pengalaman dalam perkahwinan mereka untuk dijadika iktibar dan contoh.  Bukan dari penceramah yang bujang atau dalam erti kata lain , yang tidak pengalaman langsung dalam melayari bahtera perkahwianan sama ada dalam suka dan duka.
Penulis bersetuju jika masa atau jam kursus praperkawinan dilanjutkan.  Perlulah diambilkira pengisian dan penyampaian maklumat itu tepat dan dapat meninggalkan kesan pengetahuan mendalam kepada peserta.  Maka tidaklah sia-sia peserta menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menghadiri kursus tersebut.  Hendaknya mereka yang hadir membawa niat yang baik dan ikhlas kerana Allah dan bukan kerana syarat untuk membolehkan mereka berkahwin.(sumber: Dr Rajiee Hadi & Mahnessa A.Kadir) 

17 Ogos 2011

BERSARA PILIHAN & KE GERBANG PERSARAAN WAJIB

oleh DR RAJIEE HADI
Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
SAYA ingin menyentuh tentang hakikat,kenyataan dan cerita di sebaliknya berhubung frasa topik 'Bersara Pilihan dan Ke Gerbang Persaraan Wajib' sebagai takah-takah yang akan ditempuhi dan dihadapi oleh para pekerja sama ada di sektor awam dan swasta. Bagi pekerja sektor persendirian istilah ';bersara' agak subjektif dan terserahlah kepada individu itu sendiri tanpa batasan dan sempadan.Sehubungan ini sudah tentulah saya hanya memfokuskan kepada para penjawat awam sahaja.

Penjawat awam baik yang berada di tingkat tertinggi kumpulan khas Jusa A mahupun di gred kumpulan sokongan ke bawah, sudah sedia maklum mereka terikat dan tertakluk dengan Perintah Am Kerajaan (General Order) selagi mereka masih berkhidmat. bahkan mereka yang telah layak bersara dan telah bersara juga masih terikat dengan peraturan kerajaan di bawah Akta Pencen yang kini dikawal selia di bawah Bahagian Pascaperkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA).

Kendatipun ada penjawat awam yang berada di puncak gred Jusa atau Turus yang kita sedia maklum telah melalui beberapa penilaian cemerlang dalam perkhidmatan namun tidak sesiapa pun boleh menduga; seperti mana yang dilaporkan di dada-dada akhbar, ada juga di kalangan mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan kuasa seperti salah laku rasuah, masalah moral dan integreti.lnilah apa yang dikatakan cabaran dan pengkhianatan yang tidak diduga sepanjang tempoh perkhidmatan.Mereka yang berkelakuan 'curang' dalam perkhidmatan terimalah padah dan derita nestapa yang berpanjangan; selagi hayat dikandung badan.

Justeru hasil daripada perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja yang di bawah naungan CUEPACS kini persaraan wajib kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun dan kemudian 58 tahun. terpulanglah kepada penjawat selepas usia bersara wajib 55 tahun sama ada mahukan opsyen 56 atau 58.Selepas 58 kakitangan kerajaan masih lagi boleh berkhidmat secara kontrak tahun demi setahun sehingga maksimum 65 tahun bergantung kepada keperluan,kesihatan dan sokongan.

Sehubungan ini, saya mahu meneceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan baru (SSB) dahulu, penjawat awam boleh mohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan ketua jabatan atau majikan.

Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika umur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika umur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara dilluluskan.Namun demikian, saya nasihatkan para pembaca yang berminat membaca topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes ini.

Walau bagaimana pun warga Kementerian Pelajaran Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran /P&P (mungkin ada kementerian lain juga menggariskan klausa dan peraturan tambahan) tidak membenar bersara pilihan tatkala usia 40 tahun atas alasan keperluan kritikal. Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan ke Ketua Pengarah Pelajaran/ Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan.Ingat, bukan semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan kelulusan bahagian-bahagian lain terlebih dahulu.

Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan 5-6 tahun lalu memberitahu bahawa beliau telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan persiapan telah dikemaskinikan. Beliau berasa kecewa kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme dan ketua jabatan yang tidak amanah!

Bayangkan selama hampir 30 tahun beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk memberi markah untuk penilaian prestasi.Walhal jika mengikut prosedur JPA, semua penilai WAJIB bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan.lni jelas melanggar etika dan peraturan.Apatah lagi jika kedapatan ketua jabatan atau ketua pejabat dalam set minda telah tersedia memberi gambaran negatif dan prasangka peribadi kepada penjawat awam di bawahnya.

Menurut penjawat awam tersebut beliau amat hilang kepercayaan dan bertegas memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada majikannya.
2.Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan yang dimahukannya,usianya genap 50 tahun.Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.
3. Tindak pernah dan bebas daripada Tindakan Tatatertib.
4. Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.
5.Tugas yang disandangnya kini bukan kategori perkhidmatan kritikal.
6. Bebas daripada ikatan perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.
7. Bebas daripada Pinjaman Perumahan Kerajaan , Kenderaan Kerajaan dan Cukai Jabatan Hasil Dalam Negeri.
8. Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan-kesalahan yang melanggari syarat.
9.Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan ataupun menerima tawaran perkhidmatan di agensi lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik dan munasabah.
10.Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan 10 perkara di atas maka tepat pada usia tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan' bersara pilihan dengan dibayar kuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya.Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini.

 Di samping menghadapi kesihatan dan maut menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Rancanglah pengisian anda ketika menempuh hari-hari pascaperkhidmatan agar diri anda tidak dilanda kemurungan.

Namun mereka  yang telah mendapat ;'title' itu adalah insan-insan terpilih oleh Allah SWT terutama yang Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri dan Bersara Wajib.Bagi pelepah yang muda di pepohonan, janganlah ketawakan pelepah yang telah jatuh terdampar di permukaan bumi; lambat-laun semua akan merasainya. Selamat berjuang dan usah mengalah dalam kehidupan ini.

8 Ogos 2011

KOMUNIKASI TUNJANG UTAMA KSSR

TRANSFORMASI  kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 ini.


 Justeru  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.


Bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh itu bersandarkan lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk
semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Apatah lagi komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang. Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik.
(Sumber :Dr Rajiee Hadi,  majalah Pendidik , Januari 2011)

PIBG DAN SEKOLAH


SEMUA pihak khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahukan hubungan Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) dengan pengurusan sekolah perlu ada pada tahap terbaik dan berkesan.Bahkan semua pihak mendambakan hubungan yang harmonis dan saling memahami antara satu sama lain. Apatah lagi hasrat murni ini selaras dan sesuai dengan penubuhan PIBG yang bertujuan menjadi jambatan penghubung di antara rumah dan sekolah serta ibu bapa dan guru.Tambahan pula, semua pihak berharap PIBG dapat memenuhi hasrat mulia itu sesuai dengan perkembangan pesat yang dialami negara.

Justeru,  kita sedia maklum bahawa fungsi utama penubuhan PIBG di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru. PIBG juga berperanan memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah menerusi kegiatan-kegiatan akademik, kebajikan dan sosial seperti mana dalam garis panduan surat pekeliling ikhtisas KPM bilangan 5/2001.

Sehubungan dengan  ini, PIBG adalah gerakan komuniti yang sangat penting dalam sistem pendidikan negara lantaran ia bukan sahaja dianggotai oleh semua lapisan masyarakat, kaum atau keturunan tetapi mencakupi juga pelbagai bidang pekerjaan dan latar profesion. Pelbagai latar dan situasi inilah yang memberi kekuatan kepada PIBG untuk mengorak langkah dan bergerak maju mendukung cita-cita pendidikan bangsa dan negara.

Oleh itu, dalam erti kata lain PIBG  bukan sahaja sekadar  mengadakan mesyuarat agung malah boleh bergerak aktif melalui forum, wacana ilmu, dialog, seminar  dan perundingan yang boleh mengambil langkah perlu bagi membendung salah laku dan pelanggaran disiplin pelajar-pelajar sekolah. Kendatipun telah bertahun-tahun PIBG memainkan peranan sebagai institusi penghubung antara rumah dan sekolah namun belum banyak kajian yang menyentuh keberkesanan fungsinya.

Namun demikian dalam usaha merealisasikan usaha muafakat pendidikan, PIBG yang dilihat sebagai satu-satu institusi yang boleh berperanan secara berkesan maka penubuhan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) beberapa tahun yang lalu adalah suatu usaha murni dan positif. Soalnya, sejauh manakah keberkesanan badan induk ini dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab serta boleh dijadikan rujukan oleh PIBG lain boleh diperbincangkan secara sihat.

Setiap awal tahun persekolahan  banyak laporan di akhbar, ramai ibu bapa yang merungut kerana PIBG dilihat lebih cenderung dalam aktiviti pungutan derma yang kini ada sesetengah PIBG yang menggunakan istilah ‘yuran PIBG’ dan turut disenaraikan dalam kertas senarai tahunan pelbagai yuran dan buku-buku rujukan  sekolah. Sebenarnya sebahagian besar ibu bapa tidak  berkira sangat dalam soal menderma kepada tabung PIBG.

Namun apa yang menggusarkan kedapatan sesetengah PIBG yang mengenakan derma/yuran  tahunan PIBG yang kononnya diputuskan tetap atau wajib dalam mesyuarat agung  yang melebihi RM100.00 bagi setiap pelajar. Adakah sudah tiba masanya KPM atau PIBGN menetapkan kadar derma tahunan maksimum PIBG agar tidak timbul elemen penyalahgunaan kuasa?

Sebenarnya pungutan derma daripada ibu bapa, orang kenamaan, syarikat dan firma untuk memperoleh sumber kewangan PIBG untuk membantu pembiayaan projek sekolah bukanlah suatu paksaan. Ada PIBG yang beriltizam tinggi menganjurkan motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah dengan tujuan mengwujudkan kesedaran dan keyakinan kendiri ke arah kecemerlangan akademik,sahsiah dan kokurikulum.

Di samping itu ada PIBG yang bermurah hati memberi sumbangan dalam bentuk peralatan seperti projektor, komputer, mesin fotostat, peralatan kokurikulum, prasarana sekolah, hadiah-hadiah dan sebagainya kepada pihak sekolah. Soalnya adakah sumbangan seperti ini boleh mengabaikan pihak lain yang sepatutnya lebih dipertanggungjawabkan? Adakah adil PIBG memberi sumbangan seperti ini dengan menggalas beban ke pundak ibu bapa?

Sememangnya tidak dinafikan ada PIBG yang amat ghairah memfokuskan tanggungjawab lebih ke arah kegiatan sosial berbanding kegiatan kebajikan dan akademik.Tidak salah jika PIBG lebih mengutamakan menganjurkan kelas pemulihan dan kelas-kelas tambahan  percuma bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa lnggeris.

PIBG juga boleh   membantu pelajar-pelajar terutamanya yang kurang cerdas supaya berupaya mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi di bilik darjah demi meningkatkan prestasi dan pencapaian mereka dalam peperiksaan kelak. Selain daripada itu PIBG juga boleh membantu pelajar-pelajar miskin dan memberi sumbangan buku-buku di perpustakaan dari semasa ke semasa. Bukankah buku-buku dan segala sumber ilmu itu merupakan harta tidak ternilai untuk jangka masa panjang?

Kini sudah tiba masanya PIBG wajar berusaha merapatkan hubungan ibu bapa dan masyarakat sekolah  dalam melicinkan usaha mencapai matlamat pendidikan. Sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah  mahu mendidik para pelajar bersikap berjimat cermat dan tidak membazir seperti sering bertukar ganti saban tahun berbagai-bagai pakaian rasmi selain uniform sekolah seperti pakaian seragam kokurikulum, pakaian sukan, tanda nama dan sebagainya maka adalah wajar dirancangkan dengan teliti agar sikap negatif ini boleh diatasi dengan meletakkan kesungguhan dan kesepakatan bersama antara dua pihak.

Dan dengan lebih berkesan PIBG perlu menjurus usaha menyedarkan masyarakat umum khususnya ibu bapa atau penjaga mengenai peranan mereka terhadap pendidikan dan disiplin pelajar. Tegasnya, PIBG wajar bertindak sebagai pemberi dorongan dan ransangan agar ibu bapa atau penjaga berminat dalam menghadapi pelajaran anak-anak. Janganlah dipersalahkan ibu bapa jika ada ibu bapa yang masih berdegil tidak mahu menghadiri mesyuarat agung tahunan kerana mereka juga ada alasan tersendiri.

Sayugia dimaklumi, dengan menganjurkan aktiviti tanpa kutipan bayaran tambahan maka diharapkan hubungan PIBG dan sekolah yang sedia terjalin akan bertambah erat. Aktiviti menganjurkan bengkel keibubapaan, forum/dialog isu-isu pendidikan semasa dan kegiatan bersama pelajar seperti bengkel teknik belajar, motivasi, khemah ibadah, bina semangat  dan sebagainya wajar kerap diadakan secara berkala.

Kesimpulannya dengan usaha sebegini dapatlah  diyakini bahawa matlamat merealisasikan dan mengoperasikan sekolah penyayang dan perkhidmatan penyayang ke arah mengwujudkan budaya ilmu akan melibatkan semua individu dan agensi agar peka dan responsif. Dan yang menarik, diharapkan semua ahli PIBG dan warga pendidik di sekolah akan menyedari bahawa pembentukan generasi cemerlang yang boleh mengisi hasrat dan cita-cita wawasan pendidikan negara adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.(sumber: oleh Dr Rajiee Hadi, majalah  PENDIDIK,November, 2010)

PENDEKATAN KASIH SAYANG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


SECARA professional,kerjaya guru  berkait rapat dengan  konsep pendekatan pengajaran - pembelajaran (p-p) bagi  mencapai matlamat p - p dengan berkesan. Kamus Dewan (2010) menjelaskan bahawa pendekatan bermaksud perihal , mendekati atau mendekatkan bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Dalam pengertian yang lebih luas, pendekatan juga boleh diertikan sebagai to come near to in any sense atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu  dengan arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran.

Memandangkan pendekatan penting bagi mencapai semaksimum mungkin objektif p-p maka guru yang sentiasa kreatif kerapkali berusaha mengaplikasikan berbagai-bagai pendekatan bagi menambat minat dan hati pelajar terhadap pelajaran.

Justeru, dengan pendekatan humanistik yang  menekankan kasih sayang dan mengutamakan aktualisasi kendiri maka guru sentiasa merujuk kepada motivasi manusia untuk menggunakan potensi pelajar sepenuhnya.Apatah lagi pendekatan yang berpaksikan kasih sayang mengutamakan kepercayaan dan potensi semula jadi dan memperakui pengalaman unik setiap individu.   

Kendatipun ada segelintir masyarakat beranggapan guru kini mula terhakis nilai-nilai kasih sayangnya   lantaran tempias materialisme  namun  masih belum terlambat lagi andainya golongan pendidik/guru berusaha mengubah persepsi tersebut dengan jujur,telus dan ikhlas. 

Walau bagaimanapun  sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan disebabkan  sikap guru yang hanya bertindak sebagai pengajar bukan pendidik yang hanya menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang  dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja.

            0leh yang demikian  pendekatan bertunjangkan kasih sayang guru terhadap pelajar  dalam konteks p-p  bilik darjah  dan aktiviti kokurikulum meliputi:

1.   Guru  sentiasa kreatif dan inovatif  mewujudkan suasana ceria yang sesuai dengan bahasa badan, komunikasi lisan , komunikasi  bertulis, komunikasi isyarat yang pelbagai seperti: menggunakan kata-kata  sapaan yang lebih bersopan jika memberi teguran;  contoh perkataan:   jahat kepada nakal, menggunakan isyarat ibu jari  tangan bukan jari telunjuk bagi menunjukkan arah atau sesuatu, tidak mencebikkan bibir atau membeliakkan mata dan tidak menghamburkan kata-kata jelek  yang mana boleh menggambarkan emosi guru tidak stabil dan kurang bijaksana.

  1. Guru sentiasa memberi semangat kepada pelajar sama ada yang lemah mahupun yang berpotensi kerana setiap pelajar mempunyai potensi diri tersendiri, kemahiran dan kelebihan masing-masing.

  1. Guru memberikan  ganjaran seperti kata-kata pujian kepada pelajar secara berterusan  demi meningkatkan keyakinan minda dan kebolehpercayaan  diri terhadap guru dan mata pelajaran yang dipelajari. Contoh perkataan:
    kamu bijak”, ”kamu cerdik”, ”tahniah kamu berjaya”, ”jawapan kamu betul cuma belum lengkap” dan sebagainya.

  1. Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan terhadap pelajarnya dengan menyediakan  bahan bantu mengajar supaya menarik minat pelajar meningkatkan motivasi  dan  memudahkan proses p-p. Dengan ini pelajar merasakan  dirinya disayangi, dihargai dan diberi perhatian tanpa adanya perbezaan kasih sayang. Dengan ini dapat mengelakkkan  pelajar  mengambil kesempatan  bertemu  kaunselor sekolah  pada masa guru atau mata pelajaran yang kurang diminati.

  1. Guru bersikap terbuka dan  profesional kerana sedia menerima teguran atau cadangan positif sama ada daripada rakan sejawat mahupun pelajar demi kecemerlangan proses p-p.

  1. Guru  sentiasa memberi peluang para pelajar  menunjukkan bakat dan kepemimpinan dalam aktiviti kokurikulum tanpa prasangka.  Dengan ini setiap pelajar akan berasa  diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya guru  perlu melengkapkan pujian dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman,  bermuka manis dan sentuhan tangan yang tidak melanggar batas-batas agama,etika dan budaya. Suara lembut tapi tegas dan berhemah  menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang guru.  Dengan kasih sayang guru dalam p-p ini diharapkan mencapai matlamat untuk mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran  dan tingkah laku ke arah kecemerlangan emosi,jasmani, rohani dan intelek.

            Sesungguhnya matlamat wawasan pendidikan itu sendiri adalah usaha budaya penyayang yang merealisasikan matlamat masyarakat prihatin dan  penyayang .  0leh itu usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung  dan mencapai lunas-lunas tersebut adalah usaha yang murni dan disanjungi.(sumber: Dr Rajiee Hadi, majalah PENDIDIK, Oktober, 2010