HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

30 April 2018

Puisi: BERSIHKAN LAMAN INI

kita bersihkan laman  rumah ini
peninggalan warisan nenek moyang
di desa yang kian sepi ditinggalkan
bendang gersang yang tidak dipedulikan
tetangga yang menyulam masa silam

kita bersihkan gubuk pusaka yang kian runtuh
agar kita sentiasa ingat asal-usul dahulu 
buat anak cucu yang tidak betah lagi
menangkap keli memasang lukah di tambatan
kerana sungai jernih telah  jauh dari pandangan

kita bersihkan jerebu kota dan desa
dari serombong muntahan sang haloba
penguasa dan hulubalang petualang 
yang kini memberi sisa-sisa untuk esok
racun onak duri berbisa kalbu terluka

kita bersihkan sarang yang melakari lelangit
walau pintu senja kian menghampiri
kebendaan kota kian rakus menghimpit
kerana tiada jalan lain untuk dipilih
dan kita padamkan segala kotor terpalit!


RAJIEE HADI,
12 Julai 2011. 

(Puisi ini untuk  para pejuang anak semua bangsa, Malaysia tanah airku tercinta)
Puisi ini telah disiarkan juga dalam HARAKAHDAILY pada 13 Julai 2011. 


28 April 2018

Puisi: PILIHAN RAYA


Marilah mari mengundi parti saya parti anda
Parti serupa atau berlainan agenda
parti kita atau parti semua
parti kami atau parti mereka
berlaga waspada diawasi suruhanjaya
bertentang mata pedih lidah bicara
singgah seketika simpang jalur gelora

Marilah mari mula gempita
gendang  canang gegak manifesto
kapal gemawan berarak dari samudera
kelasi nahoda sarat muatan jong di dermaga
di setiap pelabuhan panji-panji berkibar mega
di kota desa bangsawan opera kembali bergema
pada purawara hilang  petanda subur tiba-tiba
ada cetera baru lama digilap arca senjakala

Marilah mari turun gelanggang wadah terbilang
pencak hulubalang beduk nobat palu gemilang
tangkis menangkis gerak tangkas keris dijulang
pedang tombak lembing panah bedilan hujah
bagai subuh sesudah mentari terik malam purnama
berduyun warga dingin bahang suasana warna
percik bara di sulah dahi dalam damai tanah air
ada kelam hanyir longkang dan jernih sungai kehidupan
kita laksanakan mengundi pilihan penentu warisan.

RAJIEE HADI
Mac 2004,

Malaysia.


Puisi:PULANG KE DESA, MENJELANG PILIHAN RAYA

Masih ada
hutan dara di desaku
bukit gunung yang kebiruan
kabus pagi yang segar kedinginan
jalan berturap dan merah terbentang
saling bertentang dalam kedamaian

ada nyaman
tersimpan segar udara
udara pesona idaman
nasi lemak kuih-muih asli kampungan
juadah pagi enak bersantai keluarga
jentera roda di jalan besar
sesekali mencuit degup kota

pulang ke sebuah desa
di sebalik banjaran kecil
menghijau tanah air pertiwi
penghuni menjunjung rukun insani
matahari tersenyum duniawi
ada indah bianglala di sebalik sini

RAJIEE HADI
Tangkak-Muar, 2004.


27 April 2018

Puisi: ANTARA AKU DAN DIA

aku anak marhaen
dia anak bangsawan
moyangku hanya penghulu
bersetia kepada temenggung
tidak punya apa
hanya sekangkang tanah
di desa hulu muara

dia anak bangsawan
pegawai istana negeri
dengan magis kuasa
akrab dengan istana
segala datuk paduka menteri
dijunjung adat berzaman
segala hutan belantara

dia anak pemimpin negara
aku hanya anak pengusaha karet
bersarapan pagi keledek ubi
berbasikal usang ke sekolah
tidak ada drebar peribadi
hanya subur tanah berbakti
kepada ibu pertiwi

dia menjadi ahli parlimen
kemudian timbalan menteri
ketika usia sebaya
aku hanya guru muda
lepasan maktab bahasa
yang gaji bukan luar biasa
tanpa biaya ke universiti

ketika dia mengira ribuan
aku hanya membilang angka
satu persatu tidak seberapa
mampu dengan vespa
dia telahpun nyaman
dalam mercedes
aku hanya garu kepala

ketika aku masih mengira
ratusan yang kecil
dia telahpun jauh
mengira jutaan bilion
meninggalkan aku
yang masih berkira-kira
honorarium sumbangan
sebuah puisi kecilku.



RAJIEE HADI,
BSP, Bangi,SDE,
6 Ogos 2015.

26 April 2018

Puisi: MERDEKA

Adakah aku masih merdeka
di hadapanku kem tahanan
ketika penjara sejarah ini
masih mencipta masalah

Adakah aku masih merdeka
andainya di belantara bukit ini
cengal jati dan meranti
dimusnahkan sesuka hati

Adakah aku masih merdeka
sekiranya setiap inci
di bumi pertiwiku ini
bukan kini milik bangsaku

Adakah aku masih merdeka
saat perasuah kini dipuja
antara kita pun
bercakaran sesama sendiri

Adakah aku masih merdeka
andainya di mana-mana destinasi
petaka diri bagaikan jerangkap samar
peluru di hujung nyawa!


DR RAJIEE HADI,
Kamunting, Perak.
9 Ogos 2015.

25 April 2018

JASA

SEBENARNYA di luar kepompong JASA, tidak ramai yang mengetahui kata singkatan itu (akronim) bermaksud Jabatan Siasah & Agama. Bahkan ramai dalam kalangan mereka bersikap tidak ambil peduli kewujudan jabatan tersebut yang di bawah Kementerian Komunikasi dan Multi Media Malaysia (KKMM).

Sementelahan pula ada yang tidak peduli kerana JASA seolah-olah lebih terserlah sebagai alat propaganda Barisan Nasional/UMNO. Walhal sejak zaman pascamerdeka lagi Jabatan Penerangan yang merupakan salah satu jabatan dalam KKMM (dahulu Kementerian Penerangan) juga berfungsi sebagai alat propaganda kerajaan. Hanya kemungkinan, fungsi alat propaganda itu berbeza berlatarkan masa, waktu, isu dan zaman.


Namun apabila JASA (dahulu bertaraf unit, kemudian dinaikkan ke taraf sebuah jabatan) di bawah Ketua Pengarah terkininya, Datuk Dr Mohd.Puad Zakarshi yang agak vokal dan bersuara lantang menjelang PRU-14 ini maka kewujudan JASA mula disedari masyarakat awam. Sama ada, suka atau benci, sinis atau sadis, begitulah JASA yang tidak bersuluh di dalam gelap; sah sebagai propagandis; bahkan ada ketikanya dicap  oleh 'orang luar di sana' sebagai 'pengampu & pembodek''nombor satu serta berbagai-bagai saranan dan luahan bagi menidakkan kewujudan JASA.

Kendatipun fungsi JASA  ialah mengatur rancangan dan melaksanakan strategi, program dan aktiviti untuk “mendidik serta menyakinkan” rakyat kepada pemimpin negara namun banyak pihak memandang JASA lebih bersikap berpihak kepada parti pemerintah.
Ditubuhkan sejak 1960, JASA juga ditugaskan mengenal pasti dan memantau isu yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, di samping membuat analisis pola dan sikap rakyat terhadap dasar kerajaan.Seingat penulis Dato Zainal Abidin bin Abdul Hamid (mantan Pengetua MPI,Bangi) pernah juga menjawat KP JASA. Tetapi penulis tidak pasti bilakah masanya. Begitu juga, nama Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (mantan pengetua MPI Bangi) pernah juga dikaitkan dengan jawatan utama JASA tetapi tidak dapat dipastikan oleh penulis (jika ada sesiapa yang boleh memberi info; silakan...penulis amat hargai).

Sebelum penulis, mencatat nota pendek ini mengenai JASA; penulis sukacitanya mahu berkongsi pengalaman sejenak (bagaikan menanti sebelum hujan teduh) dengan JASA lebih 10 tahun lalu. Penulis 'meninggalkan'  terlebih dahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih 10 tahun lalu, kemudian Dr Puad masuk berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, menggantikan Allahyarham Dato Razali lsmail.

Dato Razali pernah menjadi 'bos besar' penulis semasa di BPG KPM (pernah menyumbangkan kata pengantar dalam buku penulis 'Cinta Arafah, 2003').  Sebelum itu, beliau/Allahyarham (ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah/pengetua sebuah maktab perguruan di pantai timur, kemudian Pengarah JPT) pernah bersama penulis dilantik sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan sejak zaman KPP KPM Tan Sri Dr Wan Zahid Nordin.

Dipendekkan cerita, ketika JASA sebelum Ketua Pengarahnya Allahyarham Fuad Hassan (Datuk) , Ketua Pengarahnya ketika itu seorang personaliti dari JAKIM (maaf, kurang pasti namanya kerana carian google kurang memaparkan info era tersebut) . JASA ketika itu memerlukan Ketua Pengarah atau "Pak Ustaz" yang pakar dalam hal ehwal agama bagi 'memerangi' dakyah parti pembangkang yang berjenama agama. Dalam bahasa yang jelas, BN memfokuskan untuk menawan semula Kelantan.Penulis tidak pasti pula sama ada "Pak Ustaz" yang mahir bab agama ini,adakah mahir juga ilmu psikologi sosial, psikologi pendidikan bahkan psikologi bahasa dan komunikasi.

Setelah penulis berhubung menerusi telefon, maka penulis bersetuju bertemu bersua muka dengan KP JASA pada suatu tarikh, pada suatu masa yang telah dipersetujui. Oleh kerana situasi penulis ketika itu sudah rasmi sebagai 'warga bebas' tidak terikat dengan mana-mana agensi kerajaan maka tidak ada apa yang menjadi kegentaran di hati.

Apatah lagi berbekalkan pengalaman sebagai 'think tank' (2G 1R) semasa PRU ke-9, 1995 bagi sebuah kerusi parlimen dalam Negeri Selangor dan sebagai penceramah BN ( baca: ketika itu...) dalam kempen sebuah kerusi  parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Penulis bersikp yakin, selesa dan bersahaja.

Dengan resume dan segala dokumen sokongan, penulis ke lbu Pejabat JASA di Jalan Cenderasari Kuala Lumpur (sekarang telah berpindah di Menara MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur). Walaupun sudah berbuat temu janji, penulis bersabar menunggu hampir tiga jam di pejabat Ketua Pengarahnya (sebelum dan selepas zuhur).

Akhirnya penulis berjaya bertemu dengan Ketua Pengarahnya . Sebelum masuk ke bilik KP, penulis sempat menjeling study room dan kelihatan Malik Munip, mantan pensyarah sejarah Universiti Malaya dari Muar sedang menelaah. Penulis membiarkannya sahaja.

Sebenarnya penulis tidak banyak memperoleh maklumat mengenai JASA kerana kecanggihan internet tidak sehebat zaman telefon pintar sekarang. Justeru penulis, hanya banyak bertanya daripada teman-teman (penulis 'bukan orang' Kementerian Penerangan) dan juga petugas pejabat JASA ketika kunjungan penulis masa itu.

Walaupun bos utama JASA ketika itu senyum sinis, penulis hadapi dengan berlapang dada dan berjiwa besar. Selain resume dan dokumen yang telah dilengkapi, penulis juga dikehendaki mengisi jawatan yang dipohon. Oleh kerana, tidak pasti, penulis membiarkan petak kosong kerana mengikuti nasihat kakitangan di situ. Penulis difahamkan KP JASA akan bersara tidak beberapa hari/minggu lagi. Bagi penulis jika menjadi felo JASA pun sudah memadai. 

Dan bukan mustahil pula menurut 'orang dalam' JASA jawatan Timbalan KP atau KP diberikan untuk penulis. Dalam pertemuan tersebut banyaklah perkara/isu semasa yang kami perkatakan bagaikan interbiu tidak secara langsung. Penulis pula tidak rasa terkilan atau kekok kerana sudah biasa 'bercampur' dengan 'orang-orang agama' semasa dalam perkhidmatan lalu. Pertemuan tersebut setakat berakhir begitu sahaja dengan menanti sebuah harapan.

Selepas beberapa bulan peristiwa penulis ke lbu Pejabat JASA, baharulah penulis tahu bahawa seorang rakan  (junior penulis) bernama Gunawan Mohamad meninggal dunia dalam pejabatnya di Johor Baharu. Gunawan ialah Pengarah JASA Negeri Johor dan orang kuat UMNO di selatan Johor.
Dan mengenangkan kenangan penulis dan JASA kini, penulis menganggapnya adalah suatu pengalaman yang amat melucukan! . Apa yang lucunya? 

Sungguhpun penulis secara langsung terbabit berkempen 'turun padang' membantu calon UMNO & BN pada PRU 1995 , tetapi penulis membantu atas semangat nasionalisme dan patriotisme tulen walaupun penulis bukan ahli parti. Apa tidaknya, penulis bukanlah ahli mana-mana parti politik khususnya ahli UMNO (BAHARU). Cerita penulis menjadi ahli UMNO ( Umno lama pun  bermula 1978 tetapi tidak memperbaharui keahlian hingga kini): (Rujuk: 'Saya & UMNO' drrajieehadi.blogspot.com/) dan hanya tinggal nostalgia!

Apabila jawatan KP JASA diisi oleh Allahyarham Fuad Hassan, kemudian disusuli oleh Dr Puad Zakarshi baharulah penulis amat faham dan arif bahawa jawatan KP atau mungkin apa jua jawatan tertinggi dalam JASA diisi atas lantikan dalaman atau dalam erti kata lain atas lantikan politik. Sebab itu apa mahu dihairankan andainya gred  Jusa V7  diperuntukkan kepada jawatan KP JASA. Apabila isu, Datuk Dr Haji Puad Zakarshi 'bersuara' segala kenangan penulis terngiang semula di pelipis memori lalu.
Pohon gaharu buah pala, sudah tahu tidak perlu bertanya pula! (DRH)

 INFO RINGKAS JASA:

·     Yang Di Pertuan Agong semasa titah ucapan perasmian pembukaan parlimen penggal pertama  selepas Pilihan Raya 1958, memperkenankan penubuhan Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK);

·         Tujuan asal penubuhan BHEK adalah untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik,  agama dan Kerajaan;

·   Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia diitubuhkan pada 11 Mei 1960;

·    Pada akhir 1960, BHEK ditukarkan kepada Cawangan Hal Ehwal Khas (CHEK) dan masih di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan;

·   15 Mac 2000, Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Jabatan baharu di bawah Kementerian Penerangan Malaysia dengan menaikkan taraf CHEK sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK);

·     JHEK merupakan sebuah Jabatan tersendiri yang merancang dan merangka strategi berkesan untuk mendidik rakyat dari pelbagai kaum supaya memahami dan menghayati semangat kenegaraan dan kebangsaan serta menerapkan nilai-nilai murni, progresif dan maju bersesuaian dengan arus pembangunan sosiopolitik dan agama;

·         Pada 2004, singkatan JHEK ditukar kepada JASA (Jabatan Siasah dan Agama); dan

·         Mulai 2004, kekal sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) (sumber: www.jasa.gov.my)


BERITA MUTAKHIR:

Datuk Dr. Mohd.Puad bin Zakarshi hari ini mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah JASA. (sila rujuk maklumat lanjut dalam portal berita Malaysiakini, 25 April 2018)  . -DRH.

23 April 2018

Puisi: KISAH SUAMI

Tertunai telah
anai-anai resah
kembara bertahun
merobek rakus
cengal jati itu
semburan ajaib
seorang suami
memadamkan parasit
yang kian nanar

segala impi
bagaikan jampi
bukan ngeri
nikmat terperi
berhari-hari suburi
manikam jauhari
nestapa jauhi
musnah deritai

tercapai telah
segala mimpi
igauan ngeri
tidak mendatangi
Maha Menyayangi
kepada isteri
mengurnia seadanya
satu persatu

ah,luka suami
berdarah lagi
membasahi balutan
tidak siapa peduli
mahu menyelami
mengambil tahu
dalam parah mandiri
masih menanggungi
lara di ufuk nurani!


RAJIEE HADI,

Anggerik Nilai, N9.
22 April 2018.

22 April 2018

POLITIK

JENUH di sana sini, setiap hari dan setiap waktu kini di Malaysia, orang ramai memperkatakan hal-hal dan isu-isu politik semasa. Apatah lagi menjelang PRU-14, gendang perang pilihan raya mula dicanang dan bergema di setiap pelosok tanah air.

Tetapi tidak ramai yang tahu apa itu politik sebenarnya. Bukan setakat menyebut PH, BN atau Pas dan parti-parti lain sahaja.Sebenarnya politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu/sesebuah kumpulan.


Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di sektor korporat,akademik, agama, dan institusi lain. Justeru, sains politik merupakan kajian mengenai tingkah laku politik dan memeriksa kedapatan dan penggunaan kuasa; contohnya keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain (ms.m.wikipedia.org).( Sistem politik Malaysia dalam nota pendek penulis akan datang)

Penulis sungguh amat bertuah kerana semasa berkuliah ijazah pertama di sebuah IPTA tanah air, awal l980-an lalu, kami diwajibkan mengambil kursus Tasawur lslam (selepas itu dinamakan Tamadun lslam) . Kursus ini telah diberikan kepada kami (termasuk kepada pelajar bukan lslam) selama 1-2 jam kredit seminggu. Dan antara bahan kuliah yang kami telaah ialah pemikiran politik lslam Al-Maududi.

Penulis masih ingat, salah seorang pemikir lslam yang penulis sebutkan iaitu Al-Maududi muncul dengan gagasan-gagasan yang sangat besar bagi perkembangan masyarakat lslam.Beliau terkenal dengan pemikiran-pemikiran dan idea-idea tentang kenegaraan. Seringkali semasa berkuliah dan tutorial kami berbahas dan berbincang dengan semangat anak muda matang sambil dikendalikan oleh moderator yang kami hormati Ustaz Haji Abdul Rahim Rafaie.

Yang kami masih ingat, kuliah tersebut banyak mendedahkan kami mengenai biografi Al-Maududi dan bagaimana pemikiran politik lslam Al-Maududi. Para pembaca dan peminat politik lslam boleh telusuri dan menelaah lanjut buku karya Al-Maududi berjudul 'Politik lslam' di perpustakaan awam dan di toko-toko buku berkaitan. Di samping itu boleh merujuk tulisan Rahimah (2005) 'Pandangan Politik Maududi Tentang Negara lslam' (http://repository,usu.ac.id...) . Dalam kolum yang terbatas ini, tidaklah penulis berhasrat mahu mengupasnya secara terperinci.

Sebagai merumuskan nota pendek ini, penulis suka memetik kata-kata pujangga; seorang penyair Jerman (Germany), Bertolt Brecht, (meninggal dunia, 14 0gos 1956, di Berlin Timur)..  " Orang buta yang paling teruk ialah buta politik. Dia pekak. tidak nampak dan tidak mengambil bahagian dalam dunia politik. Dia seolah-olah tidak mahu peduli mengenai kos hidup, harga bijirin,harga tepung, harga sewaan,kos perubatan, sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan-keputusan politik..".


Selanjutnya Bertolt Brecht menyebut,"..Orang buta politik itu,dia berasa seronok sendiri (syok sendiri) dengan sikapnya yang tidak peduli pasal politik, dan megah mengata dia benci politik.Dia tidak tahu bahawa kedunguan daripada sikap berkecualinya itu menyumbang kepada pelacuran, pengabaian kanak-kanak, kecurian dan yang paling teruk sekali ialah ianya menyumbang kepada korupsi dalam kerajaan dan eksploitasi agensi kerajaan." (DRH)




21 April 2018

PAKATAN HARAPAN: MUTIARA KATA TERAKHIR

SEBELUM hari penamaan calon, penulis telah menerima berbagai-bagai info; pro dan kontra mengenai pelbagai isu, topik, serangan balas membalas dan berbagai-bagai kata motivasi, bersemangat dan tidak kurang juga cercaan dan tohmahan daripada whsapp, viral dan mesej.


Hasil daripada tinjauan rawak, penulis dapat menyimpulkan bahawa kira-kira lebih 68% kini rakyat Malaysia yang layak mengundi mahukan pertukaran dan perubahan dalam pemerintahan negara. Mereka tidak mahu sistem yang mereka anggap kini telah bobrok mengalami kerosakan yang berterusan.

Sementara 25% masih sayangkan dan berasa sentimental dengan parti yang telah memerintah lebih 60 tahun ini. Walaupun mereka tidak setuju tampuk utama yang menerajuinya namun mereka lebih sayang parti yang mendominasi selama ini.

Manakala bakinya tidak sampai 10% masih berdiri di atas pagar, tidak bersikap terbuka, masih menganggap segala-galanya rahsia peribadi dan berada dalam dilema,"diluah mati mati emak, ditelan mati bapa."

Rumusannya penulis kutip intisari majoriti pendapat mereka:

"Menyokong dan mengundi PH suatu iltizam peribadi.lni bukan bermakna tidak lslamik dan putus ukhwah. Di sisi lain, PH ada komitmen rakyat & kemanusiaan sejagat.PH lebih 75% ahlinya lslam dengan memiliki pengalaman paling berharga, mempunyai latar disiplin  ilmu duniawi ukhrawi, daya kepemimpinan yang tinggi dan lain-lain yang berbagai-bagai."

(DRH)

20 April 2018

POLITIK PRU 14 : SOALAN ANEKA PILIHAN

SELAIN daripada persepsi, khabar angin, fakta, sumber benar atau palsu, emosi,propaganda, psikologikal dan kemahiran berfikir aras tinggi; kini pelbagai strategi bagi para pakar strategi termasuk para perancang dan kader-kader parti politik mahu menambat hati para penyokong dan bakal-bakal pengundi pada PRU 14 ini di Malaysia.

PRU 14 ini dianggap paling sengit dalam sjarah tanah air selepas 60 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Malaysia (1963).
Bermula daripada hipotesis, kini ada yang mengemukakan pelbagai tesis dan analisis bagi menyokong pendapat masing-masing. 


Berikut adalah antara contoh soalan propaganda yang penulis kutip berdasarkan viral di antara ratusan bentuk di alam maya (sebahagiannya mengadungi aspek ekonomi, pendidikan, bahasa, kebudayaan & survival).  Petikan soalan ini ( dalam bentuk pertanyaan/?) hanyalah sekadar contoh dan bukanlah merupakan pendapat peribadi atau idealisme penulis. lanya sebagai garis panduan dan sampel sahaja. Pembaca berhak bersetuju atau tidak bersetuju.

Penulis tidak bertanggungjawab sekiranya apa jua yang terkandung dalam sampel soalan aneka pilihan ini tidak benar atau benar , mempengaruhi pembaca atau tidak mempengaruhi pembaca atau apa jua kesannya sama ada positif atau negatif.





SUNGGUHPUN JAWAPAN TELAH DITANDA (/) TETAPI PARA PEMBACA TIDAK DIPAKSA BERSETUJU. PILIHLAH JAWAPAN DENGAN SEJUJUR-JUJURNYA HATI ANDA:

1.  Presiden parti mnakah yang telah menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew ?
A. Presiden DAP
B. Presiden PAS
C. Presiden UMNO BN✔

2.  Siapakah yang menyerahkan hak milik tanah Melayu di Genting Highland status hak milik kekal kepada Lim Goh Tong, dan menukar hutan hujan di situ kepada lubuk
judi ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

3.  Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kehilangan 50 bilion saham bumiputera sejak merdeka ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

4.  Siapakah yang menyusutkan keluasan tanah rezab Melayu yang ditinggalkan British hampir 50% sejak merdeka ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

5.  Siapakah yang telah menyerahkan Pulau Batu Putih & Tanjung Pagar kepada Singapura ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

6.  Siapakah yang memberi arahan supaya membunuh orang-orang kampung di Memali, Kedah pada 19 Nov 1985 ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

7.  Negeri manakah peniaga / ekonomi Melayu lebih besar dari bangsa lain ?
A. Negeri UMNO
B. Negeri PAS (Kelantan)✔

8.  Siapakah yg menghilangkan RM 28 bilion setahun dengan audit negara mencatat audit yang pening kepala ?
A. UMNO BN ✔
B. PAS
C. DAP         
               
9.  Siapakah yg me'lego' telaga minyak pada Negara Brunei Darussalamberjumlah 300 billion ?
A. PAS
B. DAP
C. UMNO BN✔

10.  Siapakah merampas Perak ala samseng dan mafia ?
A. PAS
B. DAP
C. UMNO BN✔

11.  Siapakah yang memberi arahan supaya menyumbat ke dalam ISA MP dan rakyat dalam operasi lalang dahulu... ?
A. Presiden PAS
B. Presiden DAP
C. Presiden UMNO BN✔

12.  Siapakah yang selalu menaikan harga barang ?
A. PAS
B. DAP
C. UMNO BN✔

13.  Siapakah yang menolak hukum lslam selama ini?
A. PAS
B. DAP
C. UMNO BN✔

14.  Siapakah yang memberikan subsidi insentif pada kroni IPP, RM 19 billion tetapi pada rakyat subsidi mahu dihapuskan terus ?
A. PAS
B. DAP
C. BN UMNO✔


15.  Siapakah yang menghapuskan kekebalan dan kuasa Raja -Raja melayu sehinggakan boleh dibicarakan Raja-Raja di Mahkamah?
A. PAS
B. DAP
C. BN UMNO ✔

16.  Siapakah 'membela lembu dalam kondo'?
A. Anwar, PKR
B. Nik Aziz, PAS
C. Sharijat, BN UMNO✔
   
17.  Siapakah yang merasmikan kilang Arak Guinness di Sungai Way pada tahun 1968..
A. PAS
B. DAP                                              C. BN UMNO✔

18.  Siapakah yang menukar wang royalti kepada wang ehsan pada tahun 2000 apabila PAS berjaya merampas negeri Terengganu daripada tangan BN dalam PRU 1999 ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

19.  Siapakah yang menghalang kerajaan kedua-dua negeri bermajoriti 95% Melayu (Kelantan dan Terengganu) menikmati hasil royalti Petronas, sedang negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak tidak dikenakan tindakan sama ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

20.  Siapakah yang menghalau peneroka bandar dalam kalangan orang Melayu di Kampung Berembang (KL), Kg Plentong (JB), Kg Chubadak (KL), Kg Malaysia Tambahan (KL)
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

21.  Siapakah yang menghalau Melayu Pulau Pinang dengan helah pembangunan hingga mereka merempat ke Seberang Jaya dan Kedah Selatan ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO GERAKAN BN✔

22.  Siapakah yang menggadai Tanah Rezab Melayu hampir 50% dari 3 juta hektar pada 1948 kepada 1.6 juta hektar pada 1997 ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

23.  Siapakah yang membunuh orang Melayu kerana perbezaan fahaman politik di Kg Memali, Lubuk Merbau dan Hutan Aji ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

24.  Siapakah yang membolot saham AP untuk menantu dan kroni, sedang ia adalah hak setiap rakyat dibawah dasar DEB ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

25.  Siapakah yang melingkupkan dasar DEB hingga milikan ekuiti Melayu tersekat kepada 18% pada 2000. ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

26.  Siapakah yang telah memansuhkan DEB, dan diganti dengan dasar Liberisasi dan Model Ekonomi Baharu yang mesra kapitalis dan anti subsidi?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

27.  Siapakah yang menyelewengkan dana untuk orang Melayu yang miskin dalam program PPRT ? Dari 54 billion yang diperuntukkan kepada orang Melayu hanya 2 billion sahaja yang sampai kepada orang Melayu, 52 billion lagi lesap di telan pentadbiran.
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

28.  Siapakah yang mencipta krisis perlembagaan 1982 yang menyebabkan kuasa Yang DiPertuan Agung terhakis dan hanya sekadar menjadi rubber stamp Parlimen ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

29.  Siapakah pula yang melucutkan kekebalan Raja-Raja Melayu pada awal 1990-an ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

30.  Siapakah yang menggelarkan rajanya ‘NATANG’ bila namanya ditolak sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU 12 yang telah lalu ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

31.  Siapakah yang telah mengubah sempadan kawasan undi majoroti Melayu apabila Melayu sendiri menolak Umno dalam PRU 1999 dan tidak menambah kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada persempadanan semula tahun 2002 ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

32.  Siapakah yang melanggar peruntukan Perlembagaan mengenai hak-hak istimewa orang Melayu untuk mendapat bantuan biasiswa ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

33.  Siapakah yang menukarkan status biasiswa kepada pinjaman PTPTN dengan kadar 4% ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔



34.  Siapakah yang mencemarkan bahasa Melayu dengan istilah-istilah “infotainment”, “boulevard”, “presint”, “bajet” dan lain-lain ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

35.  Siapakah yang menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik pada ketika jurang pendapatan
bandar dan luar bandar semakin melebar ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

36.  Siapakah yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM dan bahasa pengantar Inggeris di universiti- universiti ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

37.  Siapakah yang jual air kepada negara jiran dengan harga 3 sen 1000 liter, dan jual balik kepada rakyatnya sendiri dengan harga 80 sen 1000 liter ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

38.  Siapakah yang menyerah blok minyak kepada negara Brunei tanpa persetujuan dari DUN, Parlimen atau YDPA ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

39.  Siapakah yang cuai menjaga tanah air sendiri hingga Pulau Batu Putih dan Singapura terlepas ke negara orang ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

40.  Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi daripada diajar di sekolah-sekolah dalam tahun 1960-an dahulu ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

41.  Siapakah yang kata Sekolah Agama Rakyat (SAR) tempat melahirkan militan dan ekstrimis Islam dan mengwar-warkan perkataan “Sindrom Qiamulail” kepada  anak-anak yang bersekolah ketika itu ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

42.  Atas alasan itu, siapakah yang menghentikan geran per-kapita kepada SAR hingga menyebabkan sebahagian institusi pendidikan agama hidup segan, mati tak mahu
atau setengahnya berkubur tanpa nesan ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

43.  Siapakah yang mencadangkan pelan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur hingga membuka pemilikan kepada 40% bukan Melayu ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

44.  Siapakah yang kekang akta-akta maklumat, AUKU dan pandangan kedua orang Melayu supaya orang Melayu senang diperbodohkan ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

45.  Siapakah yang menaikkan harga petrol, diesel dan barangan asas ketika itu Melayu adalah golongan  yang miskin di negara ini ?
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔


46.  Siapakah yang mencipta GST membebankan rakyat dengan cukai barangan: ?
1.PAS
2.UMNO✔
3.DAP

47.  Siapakah pula yang memperbodohkan dirinya konon mengaku Melayu sedang nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR ) dibuang dan diguna bahasa penjajah UNITED MALAYSIAN NATIONAL ORGANISATION ( UMNO BAHARU )
A. DAP
B. PAS
C. UMNO BN✔

48. Siapakah yang melakukan pengkhianatan kepada rakyat dengan menjadi tongkat bersalut agama dalam usaha untuk menukar kerajaan yang korup sekarang.
A. DAP
B. PAS✔
C. BN

DAP telah bergabung dengan AMANAH, PPBM dan PKR.
Berdiri dengan nama PH (Pakatan Harapan) menggunakan logo PKR.


Letakkan perkara benar DI TEMPAT YANG BERHAK.

(sumber petikan bebas viral alam maya & internet)

KESIMPULANNYA:

Terserahlah kepada kebijaksanaan anda dan para pembaca sekalian mahu menilai dan memilih mana-mana parti yang bersedia membina semula negara ini; seandainya situasi sekarang dianggap bobrok dan mencemaskan untuk menghadapi hari-hari esok dan masa hadapan. (DRH)


18 April 2018

WAKIL RAKYAT

RASULULLAH atau Pesuruh Allah adalah utusan atau wakil bagi umat manusia yang dipilih Allah SWT sebagai khalifah, pemimpin & pendakwah (daie) bagi menyampaikan wahyu yang 'diturunkan' Allah melalui malaikat Jibrail kepadanya untuk disampaikan kepada umat manusia.


Penulis di lmpiana Hotel, Morib, SDE 14 April 2018


Tanggungjawab sebagai khalifah dan pemimpin dalam lslam bukanlah perkara yang dianggap ringan dan mudah. Walhal akan dituntut di akhirat kelak ; bahkan salah satu ketentuan-Nya akan dihisab sama ada hamba-Nya itu akan dihumbankan ke api neraka yang maha dasyat kepanasannya atau dihimpunkan ke dalam alam jannah firdausi bersama para mukmin yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.


Begitulah kepada 'Wakil Rakyat" dalam sesebuah negara demokrasi pascafeudal yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang dikawal selia oleh sebuah badan bebas; sebagai pemegang amanah untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan.Mereka yang berada dalam organisasi pemilihan wakil rakyat ini juga tidak terlepas daripada timbang tara Allah SWT pada 'hari perhitungan akhir' kelak.


Kepada wakil rakyat yang selepas dipilih kononnya bergelar 'Yang Berhormat' , 'Ahli Parlimen', 'Ahli Dewan Undangan Negeri' dan sebagainya; beringatlah bahawa pada pasca PRU 14 di Malaysia ini, anda bukanlah lagi ditatang bagaikan minyak yang penuh. Dan ingatlah  rakyat tidak lagi membentangkan permaidani merah, dipalu diarak berkompang dan ditabur beras kunyit yang diiringi arakan bunga manggar seperti masa lalu.

Tetapi ingatlah anda sewajarnya mendatangi dengan menyantuni,menghormati dan  menyanjungi rakyat/penduduk setempat yang mengundi anda. Justeru.selamat tinggal masa lalu dan usahlah bermimpi bahawa anda sebagai wakil rakyat mahu diri anda  dipuja puji seperti sang merak di kayangan!

Apatah lagi rakyat kini telah tahu bahawa anda kini memperoleh gaji dan elaun bulanan yang lumayan serta pencen setelah bersara. Itu belum lagi,memperoleh peluang lebih lumayan bagi anda yang mendapat jawatan kerajaan dan menerajui jawatan tertinggi dalam syarikat-syarikat GLC kerajaan dan swasta serta agensi-agensi kerajaan. Justeru tiada sebab anda bersikap tamak membesarkan tembolok anda lagi dengan membaham juga rasuah! Keadaan ini berbeza dengan wakil-wakil rakyat sebelum 1980-an, selepas pascamerdeka dahulu yang hanya mendapat belas ehsan sumbangan elaun seadanya sahaja.


Oleh itu wakil rakyat yang akan menjalankan amanah dan tanggungjawab sudah semestinya  tidak rasuah bahkan benci rasuah dan mengutamakan kebajikan rakyat. Usah mengelak dengan seribu alasan helah bela diri. Zaman madah berhelah sudah berlalu.

Sekiranya wakil rakyat itu berkelulusan pengajian lslam Syariah dan pernah menjadi peguam syarie; tidak ada sebab jika orang awam dalam kawasannya mahu bertanya atau mahu mendapat khidmat nasihat hal-hal kekeluargaan lslam yang berkaitan perundangan lslam. Tetapi apa yang terjadi,  wakil rakyat tersebut mahu mengelaknya.


Kes mahu mengelakkan diri ini pernah terjadi ke atas seorang wakil rakyat dari parti berjenama agama yang pengundinya tahu dia berkelulusan syariah. Dan situasi ini boleh menjerat diri wakil rakyat seperti itu. Semoga kes 'lari daripada tanggungjawab' tidak terjadi lagi. Begitu juga sekiranya wakil rakyat tersebut pernah terlibat dalam bidang keguruan; maka bukan mustahil andainya dia tidak boleh membantu memberi jalan bagi anak-anak para pengundinya yang mahu melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS dan seumpamanya.


Seperkara lagi yang amat mustahak; sikap lupa diri, sombong, bongkak dan lupa daratan; ;baik kepada wakil rakyat tersebut, isteri atau ahli keluarganya. Kes ini pernah terjadi ke atas seorang wakil rakyat (statusnya hingga mencapai tahap jawatan menteri)..apabila beberapa hari menang kali pertama PRU sebagai Ahli Parlimen.


Seorang 'think tank' yang bertindak sebagai 'Mr Mind' semasa kempen dan bersama berkumpul 'berkampung' dengan ahli keluarga wakil rakyat tersebut berasa amat jengkel dan kecewa apabila selepas beberapa hari PRU beliau  menelefon dan memperkenalkan diri kepada si isteri wakil rakyat yang dibantunya. Tetapi dengan angkuh si isteri menjawab selamba tidak mengenalinya dengan pelbagai alasan kesibukan. Kesudahannya beberapa tahun kemudian, wakil rakyat tersebut tidak terpilih lagi; dan kini beliau termangu sendirian menjalani sisa kehidupan sebagai 'pesara sepi'.

Sebenarnya terlalu banyak kes yang mahu penulis dedahkan bersandarkan pengalaman yang penulis temui sendiri. Tetapi contoh dua kes, memadailah sebagai peringatan bahawa langit tidak selalunya indah dan bila-bila masa mendung lara akan menyelubungi alam ini.. (DRH)






17 April 2018

SPR...oh.. SPR

SPR atau Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) adalah salah satu  agensi kerajaan di bawah JPM yang begitu popular saat-saat menjelang musim pilihan raya. Suatu ketika dahulu nama-nama seperti Datuk Harun Din (bukan Allahyarham Datuk Dr Haron Din) , Datuk Abdul Rashid bin Abdul Rahman (kini Tan Sri) begitu sinonim dengan SPR. Rata-ratanya;ahli-ahli SPR terutama yang berjawatan tertinggi adalah bekas pegawai-pegawai kanan PTD yang telah bersara dalam perkhidmatan awam kerajaan.

SPR menyelia,mengelola dan bertanggunjawab dalam urusan pilihan raya di Malaysia yang telah ditetapkan dalam Perkara 114- Perlembagaan Malaysia. Pengerusi SPR sekarang Tan Sri Mohd.Hashim Abdullah yang menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 24 Januari 2016.

Penulis sukacita mahu berkongsi pengalaman dan cerita semasa menjadi Ketua Pegawai SPR@ Ketua Pusat Pos Mengundi di sebuah pos mengundi besar & 'panas' dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada PRU ke-8 pada hari Ahad 21 Oktober 1990. Pada ketika itu usia penulis baharu menjangkau awal 30-an.Walaupun sibuk sedang menyiapkan tesis akhir M.A di UKM secara separuh masa; tetapi itu bukan halangan utama. Pengalaman itu ditempuhi dan perlu digapai sendiri.

Pusat Mengundi 

Sebagai anak muda pada usia matang; penulis banyak terkesan dek banyak membaca buku-buku psikologi, pengurusan, kepemimpinan dan sains sosial. Semasa di bangku persekolahan, penulis tidak banyak kesempatan dan juga tidak dapat diberi ruang dan peluang untuk menjadi pemimpin. Apabila penulis meninggalkan alam kolej dan memulakan kerjaya; penulis sentiasa bersedia turun padang untuk menguji praktik apa yang dibaca dan dipelajari ke alam gelanggang realiti.
                                                                                                                                             
Sebab itu di dunia kerjaya sebagai guru muda;  penulis bersedia menjadi Setiausaha PIBG, ketua pemimpin pasukan pengakap, ketua rumah sukan, ketua panitia mata pelajaran dan sebagainya. Selain itu, penulis bergerak aktif dalam NGO tempatan.

Dan apabila kita ada keberanian untuk menguji daya kepemimpinan kita maka natijahnya amat berguna. lnilah pengalaman sebenarnya. Sebab itu kita sering menemui ada sesetengah individu semasa di alam persekolahan aktif dalam berpersatuan tetapi apabila di alam kerjaya dan dewasa situasi jauh berbeza....terbalik!

Berbalik kepada pokok cerita hubung kaitnya dengan SPR; penulis sendiri "cuba" mempraktikkan ilmu kepemimpinan pada tugasan yang amat penting demi negara. Tidak lebih dua minggu sebelum tarikh PRU (penulis tidak pasti, mungkin tidak lebih satu bulan), penulis dilantik menjadi Ketua Pos Mengundi SPR dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ibu Pejabat SPR "menyerahkan" tanggungjawab mengurus dan mengelola urusan pilihan raya dengan mengwujudkan urus setia SPR di setiap negeri. Penulis sudah tentulah di bawah kawal selia SPR Wilayah Persekutuan. Apabila surat perlantikan diterima secara rasmi, suatu taklimat diberikan kepada ketua-ketua pos dan para pegawai dan petugas di peti-peti undi.


Sabar menunggu giliran untuk mengundi

Sebagai anak muda yang mahu mengotakan apa yang dikata; tentulah penulis teruji dan teruja mahu membuktikan sifat-sifat atau ciri-ciri seorang ketua yang berwibawa, berintegriti, berdisiplin, beramanah, dinamik, tegas, dan cekap. Yang sebenarnya; diri kitalah yang menguji ciri-ciri tersebut ada atau tidak dalam diri kita. Dan kita sedia tahu, Allah Maha Melihat segalanya!.

Walaupun surat perlantikan tidak menyebut secara jelas berhubung dengan cuti tanpa rekod (kerana penulis bertugas lebih 8 jam pada hari cuti mingguan/offday), bayaran elaun, elaun lebih masa dan sebagainya namun penulis tidak mengambil keutamaan hak-hak tersebut kerana lebih mengutamakan berkhidmat untuk negara.

Sebelum tiba kedatangan hari mengundi, penulis telah sedia memberi taklimat akhir kepada para petugas peti undi yang diketuai penulis. Para petugas seingat penulis, tidak kurang 25 orang yang terdiri para penjawat awam daripada pelbagai lapisan usia, pangkat dan gender. Penulis menyedari ada di antara petugas lebih senior daripada penulis, justeru penulis dengan berambut rapi dan kemas telah mengenakan 'bush-jacket' bagi menunjukkan kewibawaan dan ketrampilan yang matang.

Walaupun lucu apabila dikenang-kenangkan pada hari ini tetapi itulah hakikatnya. Penulis telah sedia menempah dua pasang bush-jacket untuk digunakan pada hari PRU (ketka tahun 1990-an, suit ini memiliki prestij tersendiri). Sebelum hari PRU penulis juga telah membuat kaji selidik dan tinjauan kawasan-kawasan yang di bawah tanggungjawab seorang ketua. Maklumlah, tidak seperti zaman sekarang segalanya boleh dirujuk melalui google dan yahoo.

Sebelum waktu subuh, pada hari Ahad 21 Oktober 1990 penulis telah bertolak dari rumah di Seri Kembangan, Selangor kira-kira jam 4.15 pagi menuju Kuala Lumpur. Kira-kira jam 5 pagi penulis sampai di stadium yang menempatkan segala dokumen rasmi dan peti-peti undi yang menurut khabarnya baharu diangkut pindah dari balai polis yang berdekatan. Penulis merasakan diri ini sebagai Pegawai SPR tetap kerana rasa kebertanggungjawaban itu amat tinggi. Apatah lagi mengetahui bahawa tidak ada "kerajaan sebenar" ketika itu. Penulis diberitahu, tempoh tersebut hanya SPR yang bagaikan dianggap seperti "kerajaan sementara yang memegang amanah".

Selepas segala prosedur dipatuhi, penulis pun membawa segala peralatan SPR dengan berkereta sendiri ke peti mengundi dengan memegang amanah/integriti & 'tanggung sendiri'. Prosedur seperti ini juga pernah penulis lalui ketika menjadi Ketua Pengawas peperiksaan pusat SRP/PMR & SPM serta penguji/ pemeriksa peperiksaan lisan dan bertulis SPM & STPM.Oleh itu penulis tidaklah rasa sesuatu yang janggal.

Selepas menunaikan solat subuh di sebuah masjid berdekatan dan bersarapan pagi, penulis membawa segala peralatan SPR ke Pusat Mengundi seawal jam 7.00 pagi. Apabila tiba beberapa orang petugas melaporkan diri, penulis telah membuka segala dokumen SPR dengan bersaksikan tidak kurang 2-3 petugas rasmi. Sebelum jam 9.00 pagi semua persiapan di dewan dan bilik-bilik mengundi serta para petugas telah bersedia dengan siap siaga. Penulis gembira kerana hampir semua petugas di bawah kendalian penulis, mematuhi prosedur & arahan sebagaimana yang disebutkan dalam buku log panduan SPR.

Warga emas tanpa mengira warna kulit setia menunggu giliran
menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih

Sebenarnya ada beberapa kes yang menguji ketegasan dan kecekapan penulis sebagai ketua pos pusat mengundi. Ada seorang pegawai polis berpangkat tinggi cuba masuk tanpa izin ke dalam kawasan pusat mengundi (telah ada notis kawasan larangan masuk tanpa kebenaran). Penulis diberitahu oleh rakan petugas di luar dewan (kerana penulis sedang sibuk bertugas dalam dewan utama). Penulis lalu bergegas dan datang menghampiri pegawai polis tersebut dan bertegas mengarahkannya keluar jika tiada apa jua urusan rasmi/kecemasan.

Pegawai polis tersebut akur; mematuhi arahan penulis. Begitu juga ada ejen-ejen parti yang datang menemui penulis mohon izin agar bakal pengundi yang diiringinya tiada membawa I.C (Kad Pengenalan asal) cuma salinan fotostat dibenarkan mengundi, Penulis bertegas juga tidak membenarkannya dan mencadangkan mereka pulang mengambil I.C asal. Ada juga penulis terpaksa "mengusir" orang-orang politik termasuk VIP/VVIP yang cuba "memancing" dalam kawasan larangan..Mereka sewajarnya faham..waktu berkempen telah pun tamat ketika itu tepat jam 12 malam 20 Oktober 1990.

Sehingga tamat waktu mengundi (tidak pasti 4.00 petang atau 5.00 petang) pada hari itu, penulis dan rakan petugas telah membungkus ,mempateri,& mengunci segala peti/tong kertas undian dan segala dokumen untuk dibawa ke pusat pengiraan utama sebelum jam 7.00 petang dengan selamatnya tanpa sebarang sabotaj dan prejudis. Dipendekkan cerita; jika ada "cerita kongkalikong" di kawasan/wilayah lain ,penulis tidak mahu komen. Sebab itu pada hari ini, jika SPR "dituduh dan dikecam" tidak telus dan sikap berpihak, penulis berasa amat kecewa. Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Namun penulis juga ada 'terasa hati' dengan "SPR Wilayah Persekutuan" kerana sikap tidak peduli penulis rela bertugas pada hari cuti, hari  Ahad dan sikap sambil lewa SPR Wilayah Persekutuan yang tidak memberi atau lambat memberi surat perakuan cuti tanpa rekod; dan penulis hanya mendengar arahan lisan, maka penulis pun 'bercuti' pada hari lsnin 22 Oktober 1990. Adakah penulis telah "dikhianati" tidak dimaklumkan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Apabila penulis mahu memperoleh ganjaran/imbuhan persaraan, rupa-rupanya dalam catatan buku perkhidmatan penulis tertera  pada tarikh tersebut (lsnin ,22.10.1990) dicatat 'CUTI TANPA GAJI' yang bermakna pada waktu perkiraannya dikira penulis telah 'kehilangan satu bulan gaji akhir'. Walaupun penulis membujuk diri lantaran zaman telah berlalu tetapi apa yang penulis mahu agar nasib begini tidak menimpa insan/penjawat lain. Dan harapan penulis agar SPR lebih profesional dan tidak memandang sebelah mata setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat atau setiap individu.
Justeru, apakah penulis tidak berkorban demi negara tercinta? (DRH)