HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

27 Februari 2018

BAHARUDDIN ISMAIL DI SHEFFIELD UK & SEKATAN PASPORT ANTARABANGSA


PENULIS teruja juga apabila dipelawa ke UK mengembara dan menziarahi seluruh UK sebagai seorang 'lelaki' sejak awal tahun 2018 sehingga April 2018. Rakan penulis, Baharuddin lsmail yang telah hampir setahun bersara dalam perkhidmatan kerajaan sebagai pensyarah kanan di sebuah IPG di Sabah tentu sedang seronok menikmati 'percutian bulan madu'.
Baharuddin di UK

Bagi Baharuddin, beliau tidak banyak masalah kerana misi beliau juga menziarahi anaknya yang sedang menuntut di sebuah universiti di Sheffield    di selatan  Yorkshire yang mempunyai penduduk hampir 600 ribu di luar kota London. Sekurang-kurangnya ada juga bantuan pemanduan yang boleh diperoleh. 

Terasa rindu yang menebal di jiwa penulis mahu mengunjungi semula University of Oxford yang pernah penulis kunjungi beberapa tahun yang lampau,  begitu menghambat dan menjentik kalbu. Apatah lagi kesihatan penulis kian hari kian positif dan rasa bersyukur yang amat mendalam anugerah Yang Maha Pengasih. Kewajipan dan tanggungjawab penulis kepada keluarga pun sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini banyak sudah penulis selesaikan.

Namun realitinya penulis menghadapi satu masalah besar yang tidak pernah penulis hebahkan ke pengetahuan awam kecuali dalam kalangan keluarga terdekat. Penulis tidak dibenarkan ke luar negara lantaran pasport antarabangsa telah disekat sejak 2014.



Penulis telah mohon penjelasan daripada Jabatan lmigresen Malaysia.Pihak imigresen menjelaskan bahawa penulis mempunyai rekod yang baik . 
Pihaknya dan KDN tidak ada apa sebab mahu melakukan sekatan perjalanan kecuali atas arahan pihak atasan lain.

Namun atas sebab-sebab yang begitu kabur dan kelabu, adakah ada pihak atau adakah atas arahan daripada  kementerian lain yang 'lebih berkuasa' yang menyebabkan sekatan itu? Adakah pihak berkenaan mahu memberi tekanan kepada penulis dengan sekadar memberikan sebab musabab sekadar 'menghalalkan' cara?


Sebenarnya selepas tahun 2014, penulis telah 3-4 kali merayu dan memberi sebab-sebab dengan bukti sama ada secara bersemuka dan menulis surat rasmi; mengapakah tindakan sekatan pasport antarabangsa penulis tidak wajar dilakukan. Tetapi pertanyaan penulis, tidak menunjukkan respons positif. Senyap ditiup angin lalu.

Namun pada tahun 2016 bulan Mei, penulis ada urusan peribadi di lndonesia, Singapura dan Thailand maka rayuan penulis dengan kebenaran bersyarat telah membenarkan penulis ke luar negara bagi tempoh satu bulan sahaja. Sebab itu penulis rasakan 'pena' penulis terasa begitu kaku dan bisu tanpa sebab. 

Sebagai bakal pengundi di parlimen Putrajaya; adakah penulis perlu mengetengahkan masalah ini? Atau adakah setelah selesai PRU14? Namun dalam ceramah-ceramah politik semasa kini ada juga penceramah yang penuh lantang mengkritik pihak berkenaan yang memberi tekanan psikologi kepada rakyat dengan menyekat perjalanan pasport antarabangsanya.

Kepada Baharuddin dan keluarga teruskan perjalanan anda. lnsya-Allah jikalau ada kurniaan Alllah SWT penulis akan menyusul bagi meneruskan misi perjalanan dan catatan pena sepanjang kembara yang lebih jauh sehingga ke Greenland kelak. Bersabarlah dengan cuaca 3 Celcius dan hujan salji di England sekarang.
Kepada Allah SWT kita berserah. (DRH).








23 Februari 2018

Puisi: REDA

Dewi bersamaku dahulu
indah alam memayungi
hidup melodi simfoni
sembilu samudera tempuhi
diapun pergi selamanya
tidak akan kembali

Puspa mengetuk waktu
tatkala hijab pilu sendu
gema gesekan sitar kecapi
menidurkan saat malamku
dan tiba-tiba pergi jua
berangkat selama-lamanya

Citra & Sukma pun berlabuh
ketika lautan didakap subuh
menghitung saat demi saat
dan hari-hari tanpa pasti
belai badai di gurun sahara
kita layari ampuh bahtera

Kencana trio di suratan ini
menemukan titik kelabu
bersamanya yang penaksaran
kian hilang kompas pedoman
dia gundah dengan nafas akhir
punah & musnah hampa

Terasa kehilangan mendalam
walau anugerah-Mu berpanjangan
dengan anak-anak kurniaan
membuatkan kita kecapekan
pada pelangi bersilih warna
tulus pasrah reda kepada-Nya!


RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota, Bangi.
22 Februari 2018.


18 Februari 2018

MOHAMAD OTHMAN MENINGGAL DUNIA

(Allahyarham Mohamad bin Othman)
MOHAMAD bin Othman menghembuskan nafas terakhir di IJN Kuala Lumpur kira-kira jam 6.27 petang Sabtu 17 Februari 2018 kerana menghidapi komplikasi paru-paru dan jantung ketika usia 70-an tahun.

Sebelum bersara beliau ialah tenaga pengajar program TESL di UPM Serdang. Allahyarham Mohamad bin Othman bukan sekadar ada hubungan persaudaraan dengan penulis bahkan beliau juga sama-sama rakan sekuliah semasa sama-sama melanjutkan pengajian ijazah pertama dahulu. Penulis dan Allahyarham sama-sama mendaftar sebagai mahasiswa guru, sama-sama tinggal di asrama Kolej Ketujuh UPM dan sama-sama berkonvokesyen meraih segulung ijazah sebagai permulaan simbol perjuangan yang panjang.

Banyak kenangan suka duka, masam-masam manis dan lelucon.Penulis masih ingat ketika beliau mendaftar sebagai 'mahasistua' beliau telah memandu volvo klasiknya model 144 gear tangan dari Taman Broleh, Batu Pahat ke kampus hijau Serdang. Ada ketikanya volvo klasik itu tersemput-semput juga di tengah perjalanan lebuh raya PLUS utara-selatan  yang baharu dibuka. Namun hingga ke saat ini penulis tidak tahu ke manakah perginya volvo klasik itu. Semasa sebagai mahasiswa beliau juga memakai kereta antik Austin Morris Minor Mr Bean.

Yang penulis tidak lupa, di pertengahan jalan petrol kehabisan dalam tangki tetapi beliau telah membeli sebotol minyak kelapa di kedai runcit berdekatan lalu menuangkannya ke dalam tangki kereta tersebut. Wow..boleh hidup enjingnya dan berjalan seperti biasa. Dan kereta Austin Minor itulah yang boleh memuatkan 5 penumpang dewasa (termasuk penulis) dan tiga kanak-kanak tanpa kerenah. Begitulah..apabila  kita dalam kesusahan hidup segalanya kita reda dan sentiasa bersyukur. Namun kegemaran Allahyarham yang suka memandu pada waktu malam dan kuat merokok amatlah sukar dihindari walaupun saat-saat di penghujung usia.

Di Tanah Perkuburan lslam UPM Serdang jasadnya selamat disemadikan kira-kira jam 10.45 pagi pada hari Ahad 18 Februari 2018. Dari Allah dia datang, kepada-Nya dia kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan diampunkan segala dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam kalangan ahli-ahli jannah. Al-Fatihah.(DRH)

16 Februari 2018

GONG XI FA CAI 2018

SAYA mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina  yang jatuh pada 16 Februari 2018 kepada seluruh pembaca blog saya khususnya sahabat handai saya dalam kalangan kaum Tioungha khususnya rakan-rakan saya semasa kanak-kanak dan zaman persekolahan dahulu seperti Lim Chong Hai (Ah Tee), Lim Kim Pei (Kimpoi), Eng Hong (Ah Ngee), Ah Chun, Chan, Chew dan ramai lagi. Bahkan ramai di antaranya kini yang telah meninggal dunia.


Mengenang kenangan semasa kecil semasa berjiran dengan kaum Tionghua merupakan suatu memori yang manis. Ada ketikanya ketegangan melanda emosi dan ada ketika cabaran dan persaingan membuatkan kita berazam mengalahkannya dalam apa jua bidang. Saya tidak berduka hati; walaupun takdir dalam bidang akademik menyebelahi saya namun rata-ratanya sahabat-sahabat Tionghua saya yang hanya menamatkan pengajian hingga Tingkatan Lima (MCE) hampir keseluruhan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Mereka menjadi pengedar pelbagai aneka barangan dan menguasai rangkaian bisnes sesebuah daerah atau negeri. Walhal ramai di antara mereka bukan anak ahli-ahli perniagaan. Mereka anak penoreh getah, pekebun sayur, buruh dan guru sekolah. Mereka jugalah rakan pesaing saya semasa saya berusia belasan tahun berniaga buah-buahan di hadapan pasar Pekan Serom 3 Muar,Johor.

Kepada keluarga sebelah bapa mertua saya Allahyarham Harun Abdullah (baba Yong boleh menguasai bahasa Melayu yang fasih, Hokian dan Mandarin serta English) yang masih berstatuskan kaum Tiounghua (bukan lslam) saya berdoa agar kita dapat bertemu kembali seperti tahun-tahun yang silam. Kami juga telah terputus hubungan sejak bapa mertua meninggal dunia lebih 15 tahun lalu. Semoga Allah memberi hidayah.

Kepada rakan-rakan lama yang kini sudah jadi "Apek & Ah Soh", saya difahamkan kini di antara mereka telah bergelar jutawan! Bravo!
Nanti kita jumpa minum kopi 0 klasik Hailam dan roti bakar panas! (DRH)

9 Februari 2018

Puisi: GERHANA

semalam aku hanya
melihat penuh purnama
di tabir menyinsing fajar
kerana alam tahu
aku sedang berduka

semalam aku bersimpuh
antara mimpi & realiti
bulan di atas ubunku
berdarah merah wajah
tidak rela aku nestapa

gerhana itu fitrahmu
berkaca lara air mata
di kejauhan dinihari kembara
di manakah sang pungguk
yang memujamu dahulu

aku masih di sini
setia mengotakan janji
ketika purnama muncul
kusaksi bercahaya cantik
damai dalam sukmaku, semalam.


RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota Bangi.
9 Februari 2018.

5 Februari 2018

ZAHIB MOHAMAD JALANI 'By Pass' di IJN KUALA LUMPUR

ZAHIB MOHAMAD yang kini berusia awal 70-an adalah salah seorang rakan sekuliah saya yang sama-sama menuntut di peringkat ijazah pertama awal 1980-an yang kini dilaporkan dimasukkan ke lnstitut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur. Cikgu Zahib yang berasal dari Melaka dan bersemenda di Muar Johor sebelum ini menerima rawatan di Pantai Medical Centre Melaka.

Anak beliau memberitahu bahawa ayahandanya hari ini menjalani pembedahan 'by pass' di IJN Kuala Lumpur.Kepada semua teman dan pembaca, kita sama-sama mendoakan agar Cikgu Zahib selamat menjalani pembedahan tersebut dan dihindari daripada sebarang komplikasi.

Semoga Cikgu Zahib segera sembuh dan dapt menempuh kehidupan seperti sediakala.
Kepada Allah SWT kita berserah dan mendoakan kesejahteraan beliau. Al-Fatihah.

1 Februari 2018

ABDULLAH SANI YAHYA MENINGGAL DUNIA

KIRA-KIRA jam 4.50 pagi 1 Februari 2018 saya dan rakan-rakan sekuliah semasa menuntut ijazah pertama awal 1980-an telah dimaklumkan oleh anaknya bahawa ayahandanya Abdullah Sani Yahya ( lahir 1953) telah menghembuskan nafas terakhir yang berkemungkinan besar ketika sedang dirawat di Hospital Taiping Perak.. Sebelum itu kami difahamkan beliau menerima rawatan kerana menghadapi masalah komplikasi jantung.

Sepanjang yang saya tahu; di samping Allahyarham aktif dalam badan penulis di utara Perak, beliau juga aktif dalam pertubuhan parti politik tempatan.Karya-karya beliau juga banyak termuat di akhbar-akhbar tanah air (nama penanya'Lahsani') termasuk cerpennya turut serta dalam antologi BUMI HIJAU terbitan 1990, Marwilis Publisher & Distributor, Shah Alam yang saya selenggarakan dahulu.

Kali terakhir saya tersua dengan beliau kira-kira 10 tahun lalu di perhimpunan parti politik tersebut di PWTC, Kuala Lumpur. Tidak banyak yang kami bicarakan; sekadar bertanya khabar dan bertanyakan tempat bertugas kami. Keadaan yang sibuk dan bengit di dalam bangunan PWTC membuatkan kami terpaksa memfokuskan  urusan peribadi dan membuat haluan masing-masing.

Jenazahnya dibawa ke Kampung Kubu Gajah Perak untuk disemadikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan ke dalam golongan ahli-ahli jannah.
Al-Fatihah.