HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

29 Mei 2018

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BERI PERHATIAN POLITEKNIK

LATAR BELAKANG ISU:

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.


Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.


Politeknik Merlimau, Melaka.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').


Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.


Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.


Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.


Politeknik Nilai, Negeri Sembilan DK.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia (ketika itu), nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.


Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? (sekarang Datuk Seri ldris Jusoh). Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?


 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.



Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.


Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (Rujukan artikel: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily: 18 April 2012)




ISU TERKINI SITUASI POLITEKNIK MALAYSIA:


Status kedudukan Politeknik Malaysia (termasuk Kolej Komuniti) sering terumbang-ambing dalam kancah situasi politik negara. Seringkali "berpindah-randah" antara KPM ke KPT kemudian ke KPM ke KPT dan sekali lagi ke KPM selepas PRU 14. Semoga pembubaran KPT dan kembali semula ke KPM akan memberi impak dalam beberapa perubahan dasar dan kebajikan para pensyarahnya. 


Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak DR.


Apa yang nyata, sewajarnya para pensyarah muda Politeknik Malaysia yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas perguruan (Diploma Pendidikan, Diploma KPLI dsb) diberi peluang kursus ikhtisas perguruan seperti Kursus Dalam Cuti di mana-mana IPGM. lni bagi meningkatkan profesionalisme para pensyarah dalam P & P di bilik-bilik kuliah dengan lebih sistematik.

Kenaikan pangkat para pensyarah untuk terus ke gred 52/54/Jusa perlulah setara seperti para pensyarah di IPG dan IPT yang lain-lain. Mana-mana pensyarah yang memiliki ijazah PhD atau master perlu diberikan kenaikan gred yang setaraf dengan kelayakan akademiknya seperti rakan-rakan mereka di IPG. 

Penilaian berdasarkan kemampuan akademik sebagaimana para pensyarah di IPT bolehlah diteruskan dengan syarat validator atau penilainya sewajarlah mereka yang berkelayakan akademik setara atau lebih tinggi daripada itu. Misalnya jika di universiti; pensyarah kanan atau profesor madya akan dinilai prestasinya oleh para profesor. 


Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Baharu, Johor DT.

Adalah tidak masuk akal jika ada para pensyarah politeknik yang memiliki ijazah PhD atau master tetapi validator atau penilainya hanya memiliki ijazah sarjana muda! Sudah pasti, situasi begini boleh dijadikan bahan lelucon!


Sistem time-based seperti yang kini dilaksanakan di sekolah-sekolah di bawah KPM boleh juga disamatarafkan juga dengan kolej-kolej komuniti dan politeknik.
Dan semoga kemasukan para pelajar baharu ke politeknik juga tidak melalui "pintu belakang politik". 

Justeru, Politeknik Malaysia di bawah KPM sudah tentu mahukan merit kecemerlangan para graduannya di pasaran pekerjaan dan demi nama baik dan masa hadapannya.
Oleh itu terima kasih KPM dan selamat maju jaya Politeknik Malaysia dengan dimensi dan perspektif baharu. (DRH)











28 Mei 2018

BEKERJA DI LUAR NEGARA

BAGI rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara; pada kebiasaannya mempunyai pelbagai sebab. Ada yang bekerja di sektor kerajaan negara berkenaan, bekerja di agensi-agensi / pejabat
kerajaan negara asalnya di luar negara, bekerja di sektor swasta negara berkenaan, bekerja di pejabat-pejabat sektor swasta di luar negara; bahkan ada yang bekerja sendiri berdagang di rantau orang untuk mengubah nasib sendiri. Dan tidak kurang juga yang 'merajuk hati' membawa hati dan jasad diri di perantauan.


New York USA


Pengalaman penulis yang telah menjejaki sahabat-sahabat senegara yang telah bertahun-tahun di rantau orang cukup teruja. Ada yang yang telah memperoleh 'Green Card" bekerja atau berkelana di negara Uncle Sam (USA). Kad hijau atau permit bekerja boleh diperbaharui setiap 10 tahun. 

lni memberi peluang mereka mencari rezeki di sana. Ada sesetengahnya telah mendapat status penduduk tetap (PR). Bahkan ada yang telah membulatkan tekad, bertukar taraf kewarganegaraan kerana berasa selesa dengan kehidupan negara berkenaan.

Di antara ribuan rakyat Malaysia yang berada di USA, penulis temui seorang wanita Melayu yang telah memiliki ijazah B.A.Hons dari Universiti Malaya sejak awal tahun 1960-an. Boleh dikatakan hebat, kerana kelayakan akademik ijazah asas pada awal 1960-an bukan calang- calang orangnya. 


Pada awal tahun 1960-an beliau telah bekerja di sektor awam sebagai pegawai penyelidik.Namanya juga terukir sebagai penulis yang telah mencipta nama. Namun entah apa sebabnya beliau "berhijrah" ke USA (ada versi mengatakan beliau 'patah hati') dan bekerja di sana. Pada tahun 1994, beliau ada pulang ke Malaysia.

Sepulangannya ke Malaysia, penulis kebetulan  bertemu di suatu majlis puisi di ibu kota. Beliau masih anggun dan kelihatan sofistikated. Keluhuran budi dan kesopanan tutur bicaranya tidak lekang daripada keterikatan budaya Melayu walaupun sudah bertahun-tahun bermastautin di USA. 

Dan sepulangannya ke Malaysia; sebuah akhbar arus perdana telah mengambil kesempatan memberi ruang atau kolum untuknya menulis corat-coret dari USA.Tulisannya sungguh menarik dan banyak memberi info. Selang beberapa bulan, penulis memndapat khabar beliau berangkat semula ke USA. Dan sehingga kini penulis tidak tahu khabar beritanya.

Selain USA, penulis juga pernah bertemu anak Malaysia bekerja di kota besar Eropah di London, Paris & Frankfurt. Seorang pegawai kanan KPM,  penulis temui di London berkhidmat di kedutaan Malaysia sebagai Pengarah MSD. Sudah tentulah, jawatannya di sana merupakan kenaikan pangkat yang menyebabkan beliau terdorong mahu berkhidmat di kedutaan (Suruhanjaya Tinggi).


London UK

Selain kenaikan pangkat beliau terdedah dengan pelbagai pengalaman diplomatik. Justeru, bekerja di luar negara sebagai pegawai kanan kerajaan Malaysia tidak banyak menyukarkan kehidupannya dengan kerenah birokrasi dan masalah kewangan. Beliau berhak menerima berbagai-bagai insentif dan elaun kehidupan. Ah, sudah tentu lumayan.

Ada juga anak Malaysia yang "mengembara dan menjaja" seluruh Eropah dan bermastautin di Amterdam, Belanda  kerana dorongan rasa cintanya kepada kesenian dan atas sebab-sebab peribadi. Dan kerana pendedahan ke peringkat antarabangsa, karya-karya lukisannya dipandang di mata dunia dan berharga ribuan Euro.

Siapa sangka anak Melayu insan kerdil dari sebuah kampung dalam daerah Muar,berjaya mencipta nama dengan hasil karya seni lukisnya. Kembaranya bertahun-tahun akhirnya beliau bertemu jodoh dengan gadis Eropah (khabarnya Belanda) dan kini mempunyai anak dan keluarga di sana. Dua tahun lalu, pelukis tersohor ini pulang ke kampungnya dan kembali semula ke Eropah.

Pada hari ini ramai anak-anak Malaysia mula berani keluar dari kepompong 'kemiskinan' untuk memperoleh pendapatan yang lebih terutamanya dalam bidang perubatan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat. Mereka mula berani mengorak langkah berani berkhidmat dengan syarikat-syarikat besar antarabangsa dalam bidang petroleum, pembinaan dan multi teknologi.

Penulis juga temui mereka yang berkhidmat di Arab Saudi khususnya di Jeddah, Madinah dan Makkah.Selain itu, para profesional Malaysia bukan begitu asing kini berkhidmat di kota-kota metropolitan di negara-negara teluk seperti di Dubai, Qatar dan Bahrain.Sesetengahnya telah berhijrah lebih 10 tahun di Dubai.


Dubai UAE

Dipendekkan cerita, kerana sebab-sebab peribadi, nilai wang negara asing yang tinggi, gaji dan elaun yang lumayan serta kehidupan yang kondusif maka mendorong individu tersebut rela berhijrah ke luar negara. Faktor-faktor luaran dan dalaman inilah juga mendorong penulis berikhtiar untuk menambah rezeki di luar negara. 

Penulis pernah berfikir; apakah penulis boleh menjawat jawatan KSN (Ketua Setiausaha Negara) suatu jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam? Tentu tidak. Gaji dan elaun sebesar KSN (ketika itulah..)? Tentu tidak! Segala kemudahan dan layanan istimewa? Tentu tidak juga!

Penulis tidak sanggup pada ketika itu  (era  tahun 2000-an) merantau jauh hingga ke USA, Eropah atau ke  Australia mahupun Beijing atau Tokyo tatkala usia yang mula digilap keselesaan. Apatah lagi meninggalkan jauh keluarga yang memerlukan seribu satu macam keperluan dan tuntutan khususnya ibu penulis yang dimamah usia dan kian uzur.

Bandar Seri Begawan Brunei DS

Namun jauh di sanubari penulis berasa amat tidak puas hati kerana perjawatan dan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan KPM begitu terhad  (sebelum era TS Mahyyuddin Mohd Yassin menjadi Menteri Pendidikan)  bahkan tiada peluang langsung. lni termasuk mana-mana penjawat awam yang memiliki ijazah lanjutan Master dan PhD. 

Apatah lagi dengan sikap kronisme dan nepotisme dengan seribu macam muslihat & ampu mengampu. Zaman penulis, bukan sedikit rakan-rakan senior penulis dalam perkhidmatan KPM yang telah berijazah lebih 20 tahun yang bersara ( wajib 55 tahun) hanya berada di tangga maksimum gred 48 dan 41 (ketika itu tiada gred 44) sahaja.

Penulis pernah terfikir; apakah penulis boleh berkhidmat lagi di institusi-institusi dalam negara tetapi bertukar lokasi misalnya di Perlis atau Pulau Pinang, di Kelantan, Sabah atau Sarawak. Pada anggaran penulis perjalanan dengan kapal terbang sekitar dua jam sahaja.Jika penulis bertugas dalam negara; gaji yang diperolehi tidak jauh beza. Cuma di Sabah atau Sarawak bagi penjawat awam dari Semenanjung akan memperoleh elaun wilayah dan pelbagai elaun lain.

Apabila tiba waktunya; penulis tidak perlu sedu-sedan itu. Dengan tekad membulat penulis meninggalkan perkhidmatan awam di Malaysia dan buat beberapa waktu berkhidmat sebagai konsultan dengan beberapa agensi kerajaan. Seperti biasa, penulis mengajukan permohonan rasmi/resume ke sebuah IPTA di luar negara melalui kedutaannya di Kuala Lumpur dan di kementerian berkenaan .

Penulis bernasib baik kerana dipanggil temuduga di pejabat kedutaan tersebut di KL. Dan selepas satu bulan penulis menerima berita gembira ditawarkan jawatan Pensyarah Kanan di sebuah IPTA dengan amaun  nilai wang RM menghampiri gaji KSN! Yang penulis tidak sangka, penulis diberi tempat tinggal percuma bertaraf hotel 3@4 bintang dengan sebuah kereta Nissan percuma. Penulis difahamkan sewa bulanan hotel tersebut sekitar RM3-4 ribu sebulan. 

Penulis amat berterima kasih kepada kerajaan NBDS yang memberi layanan baik  kepada penulis sebagai penjawat awam sepenuh masa di negara tersebut. Dan nostalgia bekerja di luar negara tetap menggamit di sanubari penulis sepanjang jalan kenangan. Terlalu banyak yang penulis mahu hebahkan tetapi memadailah setakat ini. (DRH)

20 Mei 2018

SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI



LATAR BELAKANG ISU


Surat Terbuka Dr. Rajiee Hadi kepada Perdana Menteri


YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
 



Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa akan YAB Datuk Seri umumkan. Dan terkini, kempen pilihan raya DUN Sarawak sedang berlangsung dan hangat bermula.


Namun apa jua maksud tersurat dan tersirat, saya bagi pihak orang-orang Melayu, bangsa peribumi, umat Islam, golongan pendidik, ibu bapa, penulis, sasterawan, budayawan, aktivis masyarakat, para pejuang dan pencinta bahasa dan orang awam yang telah bersama-sama menzahirkan sukma rasa lahir dan jiwa sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pemansuhan muktamad isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah diputuskan oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri menerusi pengumuman yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Sedarilah bahawa keputusan ini telah disambut dengan penuh gembira, titisan air mata kesyukuran dan penghormatan terhadap kerajaan BN pimpinan YAB Datuk Seri dahulu. Lantaran itu usahlah dipersia-siakan perjuangan murni ini.

Namun, seperti mana yang dilaporkan di akhbar-akhbar hari ini bahawa YAB Datuk Seri akan menimbangkan semula pelaksanaan PPSMI dalam dua opsyen adalah sesuatu berita yang amat memeranjatkan, menyedihkan dan tragis. 

Saya bagi pihak rakyat terbanyak mengingatkan agar YAB Datuk Seri jangan sengaja “memainkan perasaan orang Melayu” demi menjaga “sentimen orang lain yang berkepentingan”.

Rakyat terbanyak akan bertambah keliru dan prasangka kerana YAB Tan Sri Muhyiddin pernah mengumumkan bahawa PPSMI adalah suatu keputusan muktamad apabila pemansuhannya diumumkan dahulu. Dan ini kelihatan nampak jelas adanya percanggahan dalam kepemimpinan YAB Datuk Seri. 

Apatah lagi apa yang dikatakan oleh YAB Datuk Seri bercanggah dengan aspirasi dan perjuangan rakyat terbanyak khususnya Melayu-Bumiputera yang menjadi tonggak utama jatuh bangunnya; Umno parti dukungan YAB Datuk Seri.

Justeru, saya bagi pihak umat Melayu-Islam-Bumiputera sekali lagi menyatakan berterus terang dan menyedari bahawa orang-orang Melayu kini mula mual jelak dan marah terhadap mana-mana pemimpin yang tidak bertegas, kelihatan bercanggah dan boleh dianggap ada pergeseran antara dua pemimpin tertinggi.

Dan apa yang lebih penting rakyat tetap menentang habis-habisan mana-mana pemimpin yang lebih mementingkan “periuk nasi” daripada kepentingan perjuangan bangsa, agama dan negara. Harapan kami, agar PRU 2008 lalu tidak umpama, 'nasi sudah menjadi bubur'. Salam.

Dr. Rajiee Hadi
Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
(sumber: Harakahdaily: 16 April 2011)

NOTA ISU TERKINI:

Setelah tujuh tahun surat terbuka penulis yang ditujukan kepada PM DS Najib iaitu ketika sebelum PRU-13 penulis menyarankan agar perlunya penyatuan sesama pemimpin tertinggi dalam parti tetapi kini selepas PRU-14 kesan dan titik hitam yang melanda Umno/ BN telah menjadi kenyataan; sejarah kejatuhan setelah lebih 60 tahun berkuasa. 

Penulis telah mengingatkan betapa perlunya mendengar keresahan hati rakyat. Bahkan Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno sendiri, dalam laporan terbaharu berasa kesal kerana tidak melaporkan situasi realiti sebenar kehendak rakyat. 

Begitulah, apabila nasi sudah menjadi bubur segalanya hanya boleh dijadikan ikhtibar. Sekarang, biarlah Tun Mahathir Perdana Menteri ke-7 pasca PRU-14 diperuntukkan waktu selesanya 100 hari untuk merealisasikam misi dan visinya tanpa diganggu-gugat dengan tohmahan, psiko, perang saraf oleh cybertrooper musuh dan sebagainya. Berilah kepercayaan penuh kepada Tun M. (DRH)



17 Mei 2018

TUN MAHATHIR & PH TERUS MARA




Tun Mahathir  PM ke-7


Dari mataku,
Seorang rakyat biasa,
Melihat seorang tua,
Yang telah habis zamannya,
Masa kegemilangannya,
Telah diam dan tidur,
Namun dikejut dari lenanya,
Melihat jatuh permata hatinya,
Negaranya,
Malaysia.

Dari mataku,
Aku melihat seorang tua,
Terjun ke dalam lumpur,
Mengotorkan dirinya,
Dihina dan dicaci setiap hari,
Walau sebenarnya,
dia mampu untuk diam,
Menikmati hari-hari tuanya,
Dia tetap bangkit,
Berjuang demi kekasihnya,
Negaranya,
Malaysia.

Andai suatu hari,
Anak cucuku bertanya,
Siapakah wira terhebat Malaysia,
Dengan bangga aku katakan,
Dia insan luar biasa,
Seorang tua pada umur 92,
Yang berjuang pada usia senjanya,
Demi negaranya,
Malaysia.

Hari ini,
Satu nama yang akan kekal terpahat,
Dalam hati setiap rakyat Malaysia,
Kau telah buktikan,
Negara ini bukan milik sesiapa,
Ia milik kita semua,
Maruah kami rakyat Malaysia,
tidak akan boleh dijual beli.

Terima kasih,
Dari seorang rakyat biasa,
Dengan penuh rasa hormat,
Buat seorang tua,
Permata Malaysia,
Tun Dr Mahathir Bin Mohamad


Author Unknown





16 Mei 2018

SELAMAT HARI GURU 16 MEI 2018




GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN
DEFINISI
1.     GURU: Guru merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid.

2.     PEMACU: Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran.

3. TRANSFORMASI: Membawa maksud melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.

4.  PENDIDIKAN: Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.

HURAIAN
1.  Tema Hari Guru ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam merealisasi  transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.

2. Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025. Guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.

3.  Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional. Justeru , guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

     (sumber diolah daripada: Unit Komunikasi Korporat, KPM)


Selamat Hari Guru 2018 diucapkan kepada semua warga guru Kementerian Pendidikan Malaysia, para pesara guru/mantan pegawai perkhidmatan pendidikan, semua yang berstatus guru,para pelajar dan bekas pelajar seluruh tanah air; jadikan alam yang terkembang ini sebagai guru. (DRH)

15 Mei 2018

HARI GURU 2018 CACAMARBA?


SELAMAT Hari Guru 2018. Pada kebiasaannya, ucapan rasmi selamat menyambut hari guru yang telah menjangkau lebih 40 tahun diucapkan seluruh tanah air setelah pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan dilancarkan secara rasmi pada setiap kali tanggal 16 Mei. Pada kebiasaanya juga pada 14 & 15 Mei diadakan aktiviti pra-Hari Guru.

Namun pada tahun 2018, kebetulan negara menghadapi PRU-14 , 9 Mei lalu, ada beberapa keganjilan yang telah berlaku pada sambutan Hari Guru tahun ini. Kebetulan penulis berpengalaman dilantik menjadi AJK Pengelola Sambutan Hari Guru peringkat negeri (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) tahun 1990,1991,1992 (turut juga dianggotai En.Abdul Ghafar Mahmud ketika berkhidmat di JPWPKL ,kini Tan Sri, mantan KP KPM). Seingat penulis, semua sambutan Hari Guru peringkat negeri diadakan setelah pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan pada  setiap 16 Mei.


 Di peringkat kebangsaan, kebetulan penulis juga pernah menganggotai AJK lnduk Sambutan Hari Guru Kebangsaan pada tahun 1995 hingga 2005 (turut juga dianggotai En.Alimuddin, ketika itu Yang DiPertua PKPSM,kini Tan Sri, mantan KP KPM).yang telah berlangsung di beberapa negeri sebagai hos/tuan rumah; antaranya Johor, Melaka, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan lain-lain lagi.

Yang manisnya, pada tahun 2002, ketika itu Tan Sri Mohd Rafie Mahat (Allahyarham) sebagai KP KPM dan  penulis sebagai AJK Induk Hari Guru Kebangsaan merangkap Presiden salah satu kesatuan guru telah mengajukan dokumen lengkap pencalonan Tokoh Guru Kebangsaan ke atas Cikgu Abdul Karim bin Abdullah seorang aktivis guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebelum itu, Cikgu Abdul Karim telah pun dinobatkan sebagai seorang tokoh guru peringkat negeri. Dan tahun 2002 beliau adalah salah seorang Tokoh Guru Kebangsaan yang disempurnakan anugerahnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Apa yang penulis ingat, Cikgu Abdul Karim telah menepati syarat & kriteria pencalonan. Usaha beliau melobi sebagai faktor sampingan. Sebagai bekas Guru Besar, aktivis kesatuan guru, aktivis kebahasaan,politik & sosial serta aktif selepas bersara dalam PBPPP maka beliau mendapat beberapa merit atas kegiatannya sebagai pemantau kurikulum dan kokurikulum dalam sekolah/bilik darjah.


Sebagai guru yang telah menempuh pengalaman keguruan sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (1950-an hingga pertengahan 1990-an); perjuangan Cikgu Abdul Karim tidak bersandarkan wang ringgit dan materialisme tetapi lebih kepada semangat nasionalisme dan patriotisme. Sebab itu, (mengikut kehendak semasa ketika itu; dan semasa pemilihannya) beliau juga bergerak cergas sebagai anggota UMNO.

Setelah melakukan penyelidikan ringkas dan refleksi, penulis telah menyiapkan satu kertas kerja ringkas bagi menyokong penuh pencalonan Cikgu Abdu Karim Abdullah sebagai tokoh guru peringkat kebangsaan. Dengan penuh yakin, penulis menyerahkan borang pencalonan lengkap, semua dokumen yang dikemaskini sertakan dokumen bertulis rasmi  pernyataan sokongan penulis sebagai pencadang kepada T.S.Mohd Rafie KP KPM pada mesyuarat Jawatan Kuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan.Dengan tertib, segalanya penuh kerahsiaan kerana mahu menjaga sensitiviti calon-calon lain yang diajukan juga nama-nama mereka ke panel pemilihan (tidak diketahui sehingga menjelang sambutan pelancaran hari guru baharulah dimaklumkan secara rasmi kepada bakal-bakal penerima).

Pada tahun 2018, menjelang bulan Mei 2018, negara gamat dengan persiapan PRU-14, 9 Mei 2018. Yang lucunya, ada pemimpin politik kanan peringkat negeri dari parti pemerintah sebelum PRU-14 telah mengambil kesempatan mempolitikkan sambutan hari guru peringkat negeri mengikut acuan mereka sendiri. Penulis diberitahu ada beberapa buah negeri menyambut sambutan Hari Guru Negeri seawal 4 Mei 2018. Walhal mengikut kebiasaan,lumrah dan tradisi sambutan hari guru peringkat negeri,daerah atau sekolah-sekolah diadakan selepas sambutan pelancaran peringkat kebangsaan 16 Mei atau pada tarikh yang sama.

Justeru tahun ini sambutan peringkat negeri sudah menyongsang atau terbalik. Tokoh-tokoh guru peringkat negeri pun telah diraikan.  Bahkan ada sebuah negeri sambutannya dirasmikan oleh Ketua Perhubungan Negeri sebuah parti politik yang mana personaliti tersebut bertaraf VVIP sebuah kementerian persekutuan. Bahkan sambutan hari guru peringkat sekolah ada yang telah bermula hari ini, 15 Mei 2018.Yang anehnya, pihak KPM sendiri tidak berhalangan dengan mendapat 'kerjasama erat' daripada Pengarah, PPD dan para juak yang mengambil keuntungan dan kesempatan. Sebab itu, pada acara tersebut dipenuhi ucapan-ucapan kempen politik!


Apapun perkara yang sudah berlaku terus berlaku dan telah  berlalu. Yang kalah dan menang dalam PRU-14 , semua pihak sudah mengetahuinya. Siapakah perasmi dalam pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2018 esok 16 Mei belum/tidak diketahui lagi. Yang pasti bukan lagi D.S.Mahadzir Khalid mantan Menteri Pendidikan BN. Dan apakah tokoh-tokoh hari guru tahun ini atau selepasnya dengan tidak secara langsung mestilah seorang aktivis atau penyokong kuat/ahli parti UMNO/BN?

Adakah calon yang bersara pilihan atau perkhidmatannya tidak mencapai 80% dalam perkhidmatan pendidikan tidak layak lagi untuk pencalonan? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang penulis percaya AJK lnduk & AJK Pengelola/Pelaksana bijak merungkai dan menyelesaikannya dengan penuh bijaksana dan berhemah.

Jikalau pemilihan pencapaian akademik bersandarkan faktor meritokrasi yang mengutamakan penghargaan ke atas mereka yang berprestasi atau berkemampuan maka sudah tiba masanya PEMILIHAN TOKOH GURU tidak bersandarkan faktor geopolitik, ras/etnik, agama & kronisme. Seandainya tidak ada calon yang layak dari kaum A,B atau C atau sebaliknya; usahlah dibuat pemilihan tokoh guru seperti calon komponen BN.Pilihlah mereka yang menepati kriteria yang tepat, benar dan betul.

Sekali guru, tetap guru selamanya. Selamat Hari Guru 16 Mei 2018! (DRH)

 

14 Mei 2018

Pakatan Harapan Terus Buru Status Pendatang Asing Terkini?




LATAR BELAKANG PERMASALAHAN

BARISAN Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) ketika PRU 13 lalu patut menyebut dalam akujanji atau manifesto masing-masing bagaimana mahu membendung kemasukan menggila pendatang asing ke negara kita. Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ada yang dikategorikan pendatang tanpa izin/haram (PATI), pendatang tanpa permit, pendatang menyalahgunakan  pas lawatan sosial dan pendatang yang menyalahi peraturan-peraturan lain imigresen.

BN sebagai kerajaan yang memerintah lebih  55 tahun sepatutnya ada pelan pembangunan yang terkawal dan tidak amat bergantung kepada pendatang asing.

Mencontohi Singapura negara maju yang membangun era 1970-an adalah wajar. Singapura telah 'menghalau atau mengusir' pekerja-pekerja asing yang membanjiri republik itu suatu ketika dahulu. Apabila negara tersebut tidak lagi bergantung sangat kepada pekerja asing separuh mahir maka Singapura dapat membendung pelbagai gejala sosial yang kita sedia maklum.

Kini difahamkan jika kita meninjau di beberapa lokasi hospital kerajaan contohnya Hospital Serdang, Selangor , saban hari akan adanya kelahiran anak-anak pekerja lndonesia, Vietnam, Myanmar, lndia, Bangladesh, Filipina bahkan Afrika!  Itu hanya contoh kelahiran di sebuah hospital. Dan bagaimana pula kelahiran di luar hospital dan seumpamanya?

Tidakkah ini memberi impak masalah dan beban sosial pada masa akan datang.? Bak  kata seorang teman; bukan mustahil pula 20-30 tahun akan datang pendatang  asing contohnya pendatang Vietnam ini akan menzahirkan  tanpa segan-silu  keperluan  bahasa Vietnam akan diajukan pula di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan macam-macam perkara yang bukan mustahil kelak.

Justeru adalah bukan cerita lawak jika dikatakan pendatang asing kini telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah.


Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka kian ramai sudah pun ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Itu belum termasuk pendatang asing yang lain. Mereka kini bebas ke mana-mana. Seolah-olah mereka telah ‘menawan’ negara kita .Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang asing termasuk pati bekerja di sektor yang menyalahi undang-undang.


Oleh itu penggunaan frasa 'menawan'  bagaikan   mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tidak begitu berkesan lagi menangani pelbagai karenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengakui penguat kuasa Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang berniaga di gerai-gerai, pasar awam dan sebagainya. Ini baru kesalahan  kecil yang belum lagi termasuk jenayah besar dan sofistikated.

Maka negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang berbagai-bagai kategori pendatang dari seluruh dunia. Dan kita dapati semakin hari semakin galak kehadiran dan jumlahnya makin bertambah.

Pelbagai berita jenayah oleh pendatang yang serius tersiar dalam media elektronik dan media cetak hampir setiap hari bagaikan sudah menjadi semacam fiksyen hiburan.

lsunya kini dalam kempen-kempen PRU 13 lalu; baik BN mahupun PR adakah mana-mana pihak mahu membangkitkan isu membendung kebanjiran pendatang asing ini? Apakah isu seperti ini tidak disedari oleh parti-parti politik yang bertanding? Adakah pihak berkenaan tidak menyedari bahawa ini  boleh memberi banyak kredit patriotik kepada parti mereka pada masa berkempen sekarang? Terserahlah kepada mereka.(sumber: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily, 26/04/13)

NOTA:ISU TERKINI (Pasca PRU 14)

Kini PH menang PRU 14 dan berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan BN selepas 60 tahun.Tahniah.
Kini dilaporkan pendatang asing dilaporkan berada di bumi Malaysia hampir mencecah 7 juta (tidak termasuk PATI) tanpa kawalan. 

Bahkan kehadiran mereka yang banyak melanggar undang-undang temasuk syarat bekerja, tamat tempoh permit, melakukan jenayah dan penipuan, melanggar akta imigresen, perkahwinan tidak berdaftar mengikut prosedur dan berbagai-bagai lagi kesalahan. 

Kini sudah tiba waktunya kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir melalui pelbagai agensi penguat kuasa membanteras penyalahgunaan permit dan perlanggaran undang-undang pendatang asing kini yang telah menjadi barah dan tular sosial. 

Yang penting, berhentikan segera pengambilan pendatang asing, tutup semua agensi pengambilan pendatang asing yang "gila wang". Kita mengorak langkah, segerakan kempen kesedaran pengambilan anak-anak muda /belia tempatan bekerja di semua sektor pekerjaan dalam negara atas semangat patriotisme demi membina semula Malaysia tercinta. Ayuh, Pakatan Harapan! (DRH).

13 Mei 2018

PEGUAM NEGARA ELOK LETAK JAWATAN SEGERA?

Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh menggesa Tan Sri Mohamad Apandi Alu meletakkan jawatan sebagai peguam negara kerana jawatannya sudah tidak dapat dipertahankan.
"Perdana menteri jelas menyatakan beliau tidak mempunyai keyakinan pada beliau dengan mengatakan bahawa ketika ini tiada peguam negara," kata Gobind dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Gobind, antara contoh ketidakyakinan itu adalah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendirian peguam negara bahawa tiada asas untuk siasatan skandal 1MDB tidak boleh diterima.
Apandi pada 2016 membersihkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan berhubung berbilion ringgit yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya meskipun siasatan antarabangsa mendakwa ia adalah sebahagian daripada dana 1MDB.
Najib menafikan sebarang penyelewenagan untuk kepentingan peribadi dan mendakwa ia adalah "derma" daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
"Saya berpendapat sukar, kalaupun bukan mustahil untuk Apandi kekal sebagai peguam negara.
"Menjadi tugas perlembagaan peguam negara untuk beliau antara lain menasihati perdana menteri dan bertindak sebagai pendakwa raya.
"Apandi kini tidak layak menasihati perdana menteri kerana perdana menteri menyatakan ketidakyakinan terhadapnya.
"Justeru saya fikir jawatan Apandi sebagai peguam negara sudah tidak dapat dipertahankan. Dalam situasi ini beliau perlu meletakkan jawatan," katanya. 
(sumber: MKini, 13 Mei 2018)

RAFIZI RAMLI

RAFIZI RAMLI, I write this letter to humbly request that you and your party give Dr Mahathir Mohamad your 100% support for at least two solid years to make things happen.
Please allow him to use his wisdom to choose who should be his Cabinet members and supporting teams.
His decisions will not be perfect and will not make everyone happy. But by giving him full support, Pakatan Harapan (PH) will remove uncertainties, provide hope and create a steady platform for renewal.
The mood of the country today is that we want less politics and more real work. We want a united front to solve real issues not political party disputes.
The majority of us who voted for Pakatan Harapan (PH) do not belong to any of your component parties. We do not care which party gets which or how many Cabinet posts. What we want is a functional leadership that is able to put things into place.
The majority group of voters who gave PH the numbers needed to win did not vote for PKR, DAP, PPBM or Amanah. We voted for PH lead by Mahathir. So, whether or not one of the component parties has more MPs/seats is completely irrelevant to us voters.
We want all of you to be humble and work as one. 
(Res. 'A Plea To Rafizi Ramli" by Anas Zubedy)

11 Mei 2018

TUN MAHATHIR; TAHNIAH SAH PERDANA MENTERI KE-7

TUN Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.  Majlis diadakan di Istana Negara kira-kira jam 9.50 malam.  

Turut hadir isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.  

Istiadat mengangkat sumpah jawatan menjadi antara isu paling hangat dan dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia selepas BN dikalahkan oleh gabungan HARAPAN. 

Ia adalah detik yang bersejarah dari pelbagai segi.  Antaranya ia adalah kali pertama BN diketepikan daripada kerajaan sejak merdeka. 

Sebelum ini Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum bersara secara rasmi pada 2002.  Untuk rekod Dr. Wan Azizah dipersetujui bersama oleh HARAPAN sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.






(petikan & olahan daripada Malaysiakini, 11 Mei 18)

10 Mei 2018

PAKATAN HARAPAN MENANG BERGAYA


TAHNIAH  kepada pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang telah berjaya mengambil-alih Putrajaya daripada kleptokrat Barisan Nasional.

Kejayaan ini pastinya kemenangan rakyat yang telah bersuara untuk menolak segala kepincangan urus tadbir kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Masyarakat dunia kini memerhatikan kita. Keadaan poket rakyat wajib dipulihkan. Masanya bermula hari ini untuk melakukan islah kepada seluruh institusi-institusi kerajaan.

Rakyat juga menunggu untuk kita hadapkan Najib Razak dan konco-konconya ke muka pengadilan, sekaligus mengembalikan wang rakyat ke kantung negara.

Kepada rakan-rakan Pemuda AMANAH dan Pemuda HARAPAN, tanggungjawab kini tergalas di bahu untuk kita merealisasikan perubahan.

Idealisme perjuangan anak muda menuntut iltizam untuk dilaksanakan seluruh janji yang terkandung dalam Buku Harapan.
Terakhir dan terpenting, tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia. Suara rakyat suara keramat.

Keberanian dan komitmen kalian telah membawa cahaya perubahan dalam landskap politik negara. Bersama kita garap Malaysia baru yang lebih gemilang. Merdeka!


Sumber MKini, 10 Mei 2018 oleh  Shazni Munir Mohd Ithnin,  Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional dan Pengarah Mobilisasi Pemuda HARAPAN Malaysia.

Renungan dan Peringatan

Al-Quran : 'Āli `Imrān:26 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."



9 Mei 2018

PRU-14 SELAMAT MENGUNDI

HARI ini, 9 Mei 2018 hari bersejarah buat rakyat Malaysia . Proses sebuah negara demokrasi untuk memilih tampuk pemerintahan baharu ditentukan oleh pilihan rakyat menerusi kertas undi PRU 14 kali ini.

Rakyat bebas memilih mana-mana parti yang difikirkan boleh diyakini, dipercayai dan boleh diharapkan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia bagi lima tahun mendatang. Pilihlah sama ada parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (logo PKR), Parti lslam Se-Malaysia (PAS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.

Penulis tertarik untuk menyiarkan pantun dua kerat,lima rangkap ringkas dan padat tapi penuh makna. Penulis tidak memaksa untuk mempengaruhi mana-mana pembaca untuk mengundi salah satu parti yang penulis ungkapkan dalam model pantun dua kerat berikut:


Perlis ke Sabah belaka,
PH bangunkan jiwa merdeka.

Penuh perasaan penuh harapan,
Undi PH demi masa hadapan.

Kita ubah tukar segera,
Undi PH bina negara.

Sekalian rakyat bersatu hati,
PH sudah terpahat sejati.

Malaysia negara tercinta,
Undi HARAPAN seiya sekata.

(DRH)


SELAMAT MENGUNDI dengan bijak akal & kalbu.

8 Mei 2018

RASUAH: RAKYAT PRIHATIN DALAM PRU-14

APA ITU RASUAH?




PENERIMAAN atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694)terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
  1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  2. Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
  4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]

Gagal Melapor

1. Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah
  • Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM100,000  
  • PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali  
2. Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
  • Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM10,000 
  • PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali 

Anda Dilindungi

Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.
  1. PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
  2. PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
  3. PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009...........

NOTA: Isunya rakyat berharap agar pihak berkuasa tidak bersikap memihak, tidak memilih kes terpilih, tidak konsisten dalam tindakan, tidak mencerminkan kepemimpinan melalui teladan, tidak mematuhi undang-undang dan buku peraturan sendiri dan tidak bersikap bermuka-muka (double standard). Jika SPRM benci rasuah RAKYAT juga amat bencikan rasuah. Bertindaklah dan bekerjasamalah umpama aur dengan tebing. (DRH).

Sumber: rujukan info SPRM

4 Mei 2018

FITNAH: BARAH MAUT DALAM PRU-14


Maksud Fitnah

  • Merendahkan diri seseorang di mata segolongan masyarakat atau
    masyarakat umum.
  • Menyebabkan seseorang tersebut dicemuh, dihina, dibenci atau dikeji.
  • Merosakkan reputasi diri seseorang dalam mana-mana jawatan, profesion
    atau perniagaan
  • Merosakkan kredibiliti seseorang

Jenis Fitnah

Slander � fitnah dalam bentuk pertuturan atau penyiaran melalui medium komunikasi pendengaran atau penglihatan
Libel � fitnah dalam bentuk bahan bercetak seperti akhbar, majalah, buku, gambar, imej, visual

Bentuk Tindakan Fitnah

1. Fitnah Jenayah
Tindakan di bawah Kanun Jenayah (Penal Code) Seksyen 499-502
  • Secara amnya, melibatkan fitnah terhadap pegawai kerajaan dalam kapasiti rasminya atau seseorang yang mungkin boleh menjejaskan
    ketenteraman awam.
  • Jika sabit kesalahan, penjara sehingga 2 tahun dan/atau denda
Tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 (Sedition Act 1948)
  • Hasutan dalam bentuk penerbitan yang menyebabkan kebencian atau mewujudkan kekacauan terhadap pemerintah atau kerajaan
  • Menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan
  • Menimbulkan perasaan benci di kalangan kaum di Malaysia
  • Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM 5,000.00 dan atau penjara sehingga 3 tahun bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan seterusnya , penjara tidak melebihi 5 tahun.
  • Tindakan hanya boleh dimulakan oleh kerajaan melalui Peguam Negara dan tidak melalui individu

2. Fitnah Sivil
Tindakan di bawah Akta Fitnah 1957 (Defamation Act)
  • Tindakan dimulakan atas kapasiti persendirian.
  • Plaintif dalam kes memohon penghakiman dan ganti rugi
Pihak yang Terlibat
  • Plaintif mempunyai hak untuk menentukan defendan dalam kesnya.
  • Selalunya, dalam kes libel, pihak yang terlibat ialah penulis, editor, penerbit, pencetak, dan kadangkala penjual bahan bercetak tersebut.
  • Dalam kes yang melibatkan teknologi maklumat (IT) seperti e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS) dan lain-lain, orang yang bertanggungjawab ialah penulis, penyebar dan pembekal maklumat tersebut.
Bentuk Ganti Rugi dan Penghakiman
  • Ganti Rugi Khas - perkara ini perlu dibuktikan secara khusus oleh plaintif bahawa kerugian tersebut ditanggung. Butir-butir ganti rugi
    mesti diberikan.
  • Ganti Rugi Am � Mahkamah selalunya memutuskan perkara ini berdasarkan fakta kes.
  • Ganti Rugi Teladan (Exemplary Damages) � harus dituntut secara khusus dan mahkamah hanya membenarkannya sekiranya mahu menghukum defendan.
  • Ganti Rugi Teruk (Aggravated Damages) � hanya dibenarkan jika kes fitnah tersebut amat serius.
  • Sekatan/halangan (Injunction) � ini bertujuan menghalang penerbitan atau pencetakan diteruskan pada masa akan datang.
    Memohon Maaf Secara Terbuka � selalunya dalam kes libel, plaintif menuntut agar defendan memohon maaf dengan cara pengiklanan.

Pembelaan

  • Justifaksi (justification) � bukannya satu pembelaan yang mudah kerana defendan harus membuktikan erti perkataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut mempunyai lebih daripada satu maksud.
  • Perlindungan (Absolute Privilege) � perkara ini merangkumi prosiding mahkamah, prosiding parlimen dan semua komunikasi rasmi.
  • Perlindungan Bersyarat � perkara ini terpakai dalam kes penulis tersebut menyuarakan pendapatnya tanpa niat jahat.
  • Komen berpatutan (Fair Comment) � penulisan yang mengandungi fakta dan juga komen yang berpatutan.
  • Fitnah yang tidak sengaja � penulis atau penerbit tidak berniat untuk menerbitkan perkataan fitnah tersebut atau tiada mempunyai pengetahuan hal keadaan tersebut merupakan atau boleh difahamkan sebagai fitnah.
  • Permintaan maaf dan pembayaran ke dalam mahkamah � perkara ini hanyalah bertujuan mengurangkan ganti rugi.
  • Masa yang terbatas (Limitation Act) � tindakan harus dimulakan oleh plaintif dalam masa 6 tahun dari tarikh penerbitan atau penulisan atau pertuturan
  • Kebenaran daripada plaintif � plaintif sendiri telah membenarkan penulisan tersebut. Misalnya, temu bual, komen.
  • Penyebaran secara tidak sengaja (innocent dissemination) � pembelaan ini adalah untuk perpustakaan, penjualan surat khabar atau majalah, kedai buku dan lain-lain.
  • Penerbitan secara tidak sengaja (innocent publication) � sama seperti fitnah yang tidak disengajakan. 

Puisi: FITNAH

fitnah itu
belati menikam
lubuk sanubari
tanpa peduli
jeritan batini

fitnah itu
tusukan duri
onak cakari
mimpi ngeri
nestapa realiti

fitnah itu
busar arjuna
menembusi hati
seksa membara
bertahun sengsara

fitnah itu
racun kalbu
durja derita
siapa peduli
jiwa lara

fitnah itu
serkam api
punah lestari
musnah bestari
membakar diri

fitnah itu
laknat Ilahi
membunuh sesama
saudara sendiri
tamadun insani

DR RAJEE HADI
Nilai N9,
9 Oktober 2017.


Sumber Rujukan :  " Undang-Undang Fitnah" oleh Norhafsah Hamid, Peguam Bela & Peguam Cara Tetuan Adam & Co.dibentangkan di Seminar Penerbitan Kebangsaan di DBP pada 20 Mac 2003.