HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

12 Februari 2016

PENSYARAH POLITEKNIK KPT TERABAI KEBAJIKAN?

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia (ketika itu), nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? (sekarang Datuk Seri ldris Jusoh). Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.


Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (Rujukan artikel: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily: 18 April 2012)

.


DRH: Sudah masanya semua pensyarah bergabung dan bersatu hati menubuhkan sebuah KESATUAN SEKERJA untuk kebajikan dan masa hadapan para pensyarahnya. Sila rujuk dan dapatkan khidmat nasihat percuma daripada Bahagian Kesatuan Sekerja di Kementerian Sumber Manusia di Kompleks Kerajaan Putrajaya

PPSMI: HORMATI KEPUTUSAN MUKTAMAD KPM: SUATU PERINGATAN SEMULA PROGRAM DWIBAHASA..

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sewajarnya tidak perlu dijadikan polemik oleh semua pihak kerana kami percaya keputusan menghentikan pelaksanaan PPSMI dibuat berlandaskan kajian yang mendalam oleh pihak kerajaan.

Kami percaya keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran itu selepas mengambil kira suara ibu bapa di semua peringkat dan kawasan, pandangan guru-guru di sekolah-sekolah bandar serta luar bandar di samping para cendekiawan, akademik dan orang perseorangan yang arif dalam bidang tersebut. Maka adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula dengan mengambil pandangan sebelah pihak sahaja.

Sebagai pertubuhan yang menghimpun rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia sejak tahun 1950-an hingga kini, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat menyokong langkah kerajaan menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang selari dengan Dasar Pendidikan Negara.
Kami percaya walaupun mempelajari Matematik dan Sains atau lain-lain mata pelajaran dalam bahasa Malaysia sekalipun, kita masih berupaya untuk melahirkan anak-anak dan barisan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu.

Sebagai contoh, sebahagian besar ahli-ahli persatuan kami yang mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah mengunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran kami dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, kejuruteraan atau perubatan di IPT-IPT di Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia sepenuhnya.
Mereka yang telah lulus dan kembali ke tanah air berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Malahan ramai di kalangan kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti terkemuka di negara Barat seterusnya mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan pula berjaya meningkatkan pencapaian mereka dengan memperoleh kelayakan profesional dan menjadi doktor pakar yang di peringkat antarabangsa. Ada yang sudah menjadi naib canselor di IPTA-IPTA terkemuka, ada yang menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan, pegawai-pegawai tertinggi dalam syarikat korporat di samping ahli-ahli politik yang berjaya.

Sebut sahaja nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Yassin, Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (akademik), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed (politik) atau nama-nama seperti Datuk Abdul Rahman Daud (korporat), Datuk Dr. Asmah Omar, dan Dr. Siti Zainon Ismail (sosiobudaya). Mereka ini telah membuktikan bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di peringkat sekolah dan bahasa Indonesia di peringkat universiti bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Jika berlandaskan sejarah pula, bahasa Malaysia sudah ditetapkan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969, kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar menyatakan satu bahasa perpaduan perlu ditetapkan dan sejak itu kerajaan tekun melaksanakan perubahan di mana sekolah-sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditukar ke bahasa Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Perlu diambil perhatian bahawa gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sehingga tidak menukarkan dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat. Ini kerana apabila dua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah, ia akan meningkat kepada lebih 80 peratus apabila memasuki tingkatan empat. Apalagi apabila sampai ke peringkat universiti di mana hampir semua IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris khususnya untuk bidang-bidang profesional.

Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka. Istilah baharu dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu lagi dicipta manakala istilah yang sedia tercipta tidak lagi digunakan. Buku juga tidak akan ditulis dan diterbitkan.
Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Malaysia kerana istilah baharu tidak dicipta dan penggunanya pula tidak lagi fasih menggunakan bahasa Malaysia.

Ahli-ahli Parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Malaysia ketika sidang Parlimen. Oleh kerana terlalu sering memohon "dengan izin" apabila mahu menggunakan istilah Inggeris, tidak mustahil akhirnya nanti mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.
Selanjutnya para wartawan pun akan mendapati sukar untuk membuat liputan persidangan Parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Malaysia. Akibatnya akhbar berbahasa Malaysia tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya.

Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Malaysia ini khayalan belaka? Jika sejarah tulisan jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menakutkan.
Kami percaya, masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan mahasiswa IPT adalah suatu perkara yang serius dan satu penyelesaian munasabah perlu dicari untuk mengatasinya. Mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji di mana-mana pun untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kaedah mengajar bahasa - apa sahaja bahasa sekalipun termasuk bahasa Inggeris - perlu dikaji semula.
Banyak hal yang perlu dilihat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah antaranya tahap kemahiran para guru, korikulum yang sedia ada, alat bantu mengajar yang mencukupi, suasana pembelajaran dan lain-lain.

Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Justeru, penekanan terhadap pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut.
DR. SHAMSUL BAHAR ABDUL KADIRKami mengharapkan agar kerajaan tidak lagi berganjak daripada keputusan menghapuskan PPSMI, seterusnya melaksanakan MBMMBI dengan bersungguh-sungguh serta tidak tunduk terhadap mana-mana pihak yang berusaha untuk menghidupkan PPSMI atau mahupun melahirkan semula sekolah kebangsaan berbahasa pengantar Inggeris.(sumber: Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir, Penulis ialah Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)

11 Februari 2016

PENSYARAH POLITEKNIK SENIOR DI KPT MASIH DIANAKTIRIKAN?


BERDASARKAN  pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bertarikh 6 0gos 2012 permohonan pemangkuan atau kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi (Pensyarah) PPPT gred DH 43/44 ke DH 48 di KPT khususnya di politeknik-politeknik KPT adalah berdasarkan lapan kriteria:

1.Telah disahkan dalam perkhidmatan.
2.Mencapai tahap prestasi (markah LNPT) yang telah ditetapkan bagi tiga tahun gred semasa. Penilaian LNPT bagi tahun pertama di gred semasa hendaklah sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan ke atas.
3.Melepasi tahap kecemerlangan perkhidmatan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.
4.Diperakukan oleh Ketua Jabatan (Pengarah di politeknik).
5.Bebas daripada sebarang hukuman tatatertib.
6.Lulus tapisan keutuhan SPRM.
7.Telah membuat pengisytiharan harta.
8.Telah menandatangani Surat Akuan Pinjaman Pendidikan institusi/tabung pendidikan.

Apabila para pemohon warga KPT yang memenuhi  lapan kriteria di atas maka mereka bolehlah memohon secara talian/online dan mengemukakan kepada Ketua Jabatan (Pengarah politeknik/pengarah bahagian) dengan menyertakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan.

lsunya di sini ialah, alangkah malangnya PPPT senior yang 'berasal' dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang pada mulanya 'dijanjikan' peluang kenaikan pangkat yang lebih baik tetapi janji tidak ditepati! Sebagaimana yang kita sedia maklum KPM kini melaksanakan dasar tempoh berkhidmat(time-based) bagi urusan kenaikan pangkat secara automatik iaitu gred 44 setelah lapan tahun berada dalam PPPS gred 41 dan 12 tahun berada dalam PPPS berkhidmat dalam gred 41/44 untuk ke gred 48 dan begitulah seterusnya.

Bagaimana pula dengan PPPT di KPT yang memiliki ijazah lanjutan seperti sarjana dan PhD? Tetapi kelulusan itu tidak dinilai untuk kenaikan pangkat? Justeru,  apakah gunanya saranan Datuk Seri Khaled Nordin Menteri, Pengajian Tinggi mahu agar pensyarah KPT (termasuk di politeknik) memiliki ijazah lebih tinggi seperti PhD? Tidakkah ini kelakar maharaja lawak?

Adakah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT hanya 'copy & paste' sistem lama KPM yang telah ketinggalan zaman? Di manakah tranformasi dan globalisasi yang dilaung-laungkan itu?

Kedapatan para pensyarah senior sedih kerana KPT bagaikan mengundur ke belakang dalam menentukan kenaikan pangkat ini. Dan bagaikan tidak sehaluan dengan pemikiran PM Datuk Seri Mohd Najib yang mahukan adanya anjakan pardigma yang inovatif agar tranformasi pendidikan berjalan dengan lancar.(sumber: Yang Mengharap: Harakahdaily.net  8/10/12)

DARI SUNGAI MUAR KE SUNGAI DUYUNG

BERDASARKAN catatan sejarah, Sungai Muar yang kini terletak dalam negeri Johor Darul Takzim dan Sungai Duyung yang terletak dalam negeri Melaka Bandar Raya Bersejarah adalah penempatan/petempatan (sila rujuk Kamus Dewan) orang-orang Melayu asal (Melayu asli...bukan Orang Asli istilah yang dipakai selepas merdeka yang berbeza pengertiannya) yang telah wujud lebih 600 tahun yang lampau. 

Sebab itulah apabila Parameswara yang datang dari Palembang tahun masehi 1401 (masih dalam Alam Kepulauan Melayu)lalu memudiki Sungai Muar telah mendapati ada 'masyarakat ketika itu' yang telah sedia mendiami di sepanjang pesisir Sungai Muar.


Pada mulanya Parameswara dan anggota rombongannya mahu membuka 'negeri baharu' di Muar.Namun melihatkan situasi ketika itu maka baginda telah membatalkan hasratnya lalu terus memudiki ke Sungai Kesang dan terus ke` Sungai Melaka lalu berehat di tepi sungai di sebatang pokok.Keadaan pesisir Sungai Melaka ketika itu masih hutan tebal.Sungai Melaka dan Sungai Duyung ini saling bertemu menuju ke Selat Melaka. 


Apabila baginda melihatkan kehebatan seekor pelanduk yang dapat mengalahkan beberapa ekor anjing maka timbullah insiprasi baginda untuk membuka "negeri baharu". Dan berdasarkan nama pokok Melaka tempat baginda bersandar rehat maka sejak itu terbukalah negeri/kota Melaka pada tahun 1401.Baginda kemudian ditabalkan sebagai Sultan Melaka pertama yang bergelar "Sultan Muhammad Shah" (setelah memeluk lslam).


Hari ini, ditakdirkan rezeki Allah SWT, ibu kandung saya memiliki dua rumah di dua tempat itu iaitu di sebuah tempat di pinggir  Sungai Muar dan sebuat tempat di pinggir Sungai Duyung. Secara kebetulan dua tempat ini adalah penempatan orang Melayu asal yang telah sedia wujud beratus-ratus tahun silam. 


Dalam buku Sejarah Melayu disebut Hang Mahmud dan isterinya Dang...(?) telah membesarkan anaknya Hang Tuah di Kampung Sungai Duyung. Di kampung inilah Hang Tuah  dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat,Hang Kasturi,Hang Lekir dan Hang Lekiu dilahirkan dan dibesarkan. Dan akhirnya sehingga mereka mendapat perhatian sultan Melaka ketika itu (Sultan Mansur Shah) pada abad ke-15.



Diringkaskan cerita, moyang saya, Penghulu Latis (dikhabarkan juga dari sumber Madrasah Parit Perupuk, Muar ada seorang pendakwah daripada salasilah nama Latis yang mengajar agama pada abad 19...saya belum dapat pasti sama ada mempunyai kaitan atau sebaliknya) menjadi penghulu di mukim Temiang & Sungai Terap di pesisir Sungai Muar pada abad ke-19.



Pada tahun 1877 moyang saya, Penghulu Latis dan segala penghulu telah bersepakat dengan Temenggung lsmail bin Temenggung lbrahim mengiktiraf Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar bagi negeri Johor moden. Kesepakatan ini telah dibuktikan dengan menandatangani surat perjanjian bersama.


Pada ketika itu jawatan penghulu setaraf menteri atau exco yang turut menganggotai Jemaah DiRaja.Muar ketika itu umpama sebuah negeri termasuk daerah Kesang (sebab itu Sultan Ali yang bersengketa iaitu putera Sultan Hussin yang bermastautin di Teluk Belanga, Singapura mahu mengistiharkan dirinya sebagai "Sultan" bagi Muar dan Kesang tetapi gagal)



Semasa pemerintahan Maharaja Abu Bakar, negeri Johor terus maju membangun. Banyak pembangunan dan pembukaan ladang gambir,pokok pinang, kopi,koko dan getah.lni menggalakkan kehadiran rumpun Melayu dari seluruh pelosok Kepulauan Melayu termasuk suku Bugis,Jawa,Banjar, Minang (Padang) dan sebagainya. Selain itu kedatangan imigran/pendatang asing Cina dari China dan lndia (Tamil) dari lndia Selatan yang dibawa oleh orang-orang lnggeris kian mencurah-curah. Sebab itu Johor adalah sebuah negeri yang terkenal dengan ladang-ladang getah yang luas dimiliki konglomerat lnggeris ketika itu.



Justeru, tidaklah menghairankan semasa saya kecil (zaman kanak-kanak atau awal remaja) di sekitar kampung saya ada 'orang tua' yang digelar/disebut nama seperti Mat Bugis, Dolah Banjar, Wak Jurimi Jawa, Mat Riau,Mat Penang, Mat Arab dan lain-lain lagi.Sebenarnya terlalu banyak mahu saya catatkan tetapi memadailah setakat ini. Wallahualam. (oleh: Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis) 



(Rujuk buku Sejarah Johor oleh Buyong Adil, Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Hikayat Johor, Hikayat Malim Deman dsb.)
Nota: Haji Rajiee bin Abdul Hadi bin Manja bin Sintal bin Latis (Penghulu Latis) bin ???




  


9 Februari 2016

DARI LEMBAH MENUJU KE PUNCAK

SEBELUM Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rata-ratanya penduduk Tanah Melayu menjalankan kegiatan pertanian sara diri sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Bahkan pepatah lama , ‘rezeki secupak,tidak akan jadi segantang’ begitu menebal di sanubari masyarakat Melayu tradisi. Kebanyakan mereka mengusahakan sawah padi , menoreh getah  dan menangkap ikan sungai sebagai punca pendapatan..

Justeru ,bagi penduduk Kampung Serom 2 Hilir dalam Mukim Serom (mengandungi Kampung Serom 1 (satu) hingga Kampung Serom 8 (lapan), pos Sungai Mati  dalam negeri Johor Darul Takzim yang terletak kira-kira 14km dari Bandar Muar (dikenali Bandar Maharani) masih dibelenggu kehidupan desa yang asli serba kekurangan infrastruktur. Apabila mahu ke Bandar  Maharani,Muar mereka akan berkumpul di jeti penambang Tanjung Agas menanti feri kecil yang sering berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang menyeberang Sungai Muar  iaitu sungai terpanjang negeri Johor ke Bandar Maharani,Muar.Tambang feri ketika itu sekitar 10-20 sen sehala perjalanan. Kuih apam balik, kacang rebus dan mee bandung Muar menjadi  sangat popular untuk dijadikan  ole-ole dibawa pulang dan bagaikan suatu kemestian .Apabila jambatan Muar yang dikenali dengan nama Jambatan Sultan lsmail dibuka secara rasmi 1967 maka perkhidmatan feri penambang pun dihentikan sedikit demi sedikit.

Pada zaman itu, penduduk Kampung Serom 2 Hilir yang terletak 1 km dari jalan besar menuju ke Bandar Muar masih menggunakan sumber air perigi dan lampu gasolin dan pelita minyak tanah. Pada malam hari bunyi bersahutan burung-burung hutan adalah suatu kebiasaan. Pada masa itu, cerita hantu kopek, hantu galah, hantu Jepun dan pontianak  menjadi hiasan bibir orang-orang tua dan menakutkan anak-anak remaja dan kanak-kanak. Apatah lagi pada waktu itu siri cerita pontianak lakonan Maria Menado begitu terkenal dan banyak ditayangkan di pawagam seluruh negeri Johor.

Kampung Serom 2 Hilir yang berkongsi sebatang jalan merah  ke Kampung Sungai Keladi di penghujung jalan di pesisir hulu Sungai Muar, tidak ketinggalan mengusahakan pertanian getah, pinang, kelapa, dusun buah-buahan dan tanaman kontan seperti pisang, ubi keladi dan sayur-sayuran. Penduduk Kampung Sungai Keladi, Belemang dan Kampung Serom 3 Panggung (panggung bermaksud lantai yang bertiang di tepi sungai yang dijadikan jeti/pangkalan kecil bagi meninjau ke seberang sungai) menjalankan aktiviti harian memancing,  menjala, memukat dan memasang lukah ikan tapah, mayung, sembilang, keli, udang dan ketam di pesisiran Sungai Muar yang kaya dengan hasil sungainya.

Ibu saya, Misah (dikenali di kampung dengan nama Kintan) adalah anak kedua yang berbapakan Mos bin Haji Hassan (dikenali juga dengan nama Musa) dan beribukan Fatimah  binti Hussein Abang sulung ibu saya ialah Abdul Rahman. Apabila jodoh Mos (tidak lama kemudian meninggal dunia) bersama Fatimah tidak panjang, nenek  saya ’Fatimah’ (saya panggil ’atuk’)berkahwin secara ’salin tikar’ bernikah dengan Puteh bin Midon yang telah kematian isterinya(kakak kepada nenek saya). Puteh, datuk tiri saya (yang saya panggil ’ayah’) membawa dua anak juga iaitu Tijah dan Rahmah. Selepas perkahwinan Puteh dan Fatimah mereka dikuniakan  empat anak iaitu Zainun (Allahyarham), Ahmad, 0nn dan Abdul Hamid. Walaupun dalam keluarga ibu saya ada yang tidak seibu sebapa namun hubungan mereka adik beradik amat akrab seperti adik beradik kandung.Bahkan saya sendiri membesar  sehingga dewasa tidak merasakan wujudnya perbezaan dalam hubungan antara sepupu kami. Hubungan kami di rumah gadang peninggalan datuk moyang kami sungguh meriah dengan kasih sayang.

Ibu saya Misah @ Kintan (kini Hajah Misah) berkahwin dengan Abdul Hadi bin Manja (lahir 1911, Allahyarham, meninggal dunia 1994) pemuda Kampung Sungai Mati, Muar yang telah berusia lewat 30-an pada tahun 1951.Manakala ibu saya ketika itu baharu berusia 18 tahun (lahir 1933) .Abdul Hadi berbapakan Manja  bin Sintal dan beribukan Mimah binti Buang. Manja adalah anak Sintal yang mana datuknya adalah Penghulu Latis yang menjadi penghulu bagi mukim Temiang dan Sungai Terap dalam daerah Muar. Muar ketika itu umpama sebuah negeri. 


Penghulu Latis yang hidup pada abad ke-19 dikhabarkan antara penghulu yang menandatangani surat pengistiharan tahun 1877 kepada Temenggung lsmail yang memperakukan Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar iaitu Sultan Johor moden. .Dan Mimah ialah nenda saya yang berbinti Buang. Nenda Mimah dikatakan daripada susur galur keturunan bergelar "Raja" daripada keturunan raja-raja Bugis dari Kepulauan Melayu Riau.Oleh kerana ibu sebelah nenda saya yang berkahwin dengan "orang kebanyakan" maka gelaran "Raja" telah tidak digunakan lagi. Walaupun nenda saya berkahwin dengan datuk Manja bersaudara sepupu tetapi jodoh mereka tidak panjang.Sebagai anak tunggal, Abdul Hadi tinggal bersama ibunya di sebuah rumah usang berhampiran pekan Sungai Mati di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan lnggeris Pei Hwa, Sungai Mati.


Kemudian Mimah bernikah dengan Limat dan dikuniakan anak-anak: Jaafar, Rajimah, Etan dan Umar. Manja pula bernikah dengan Yamah @ Endut dan dikurniakan anak-anak: Hashim, Nong, Rogayah @ Gayah, Md.Zin dan Nafsiah @Not. Walaupun datuk saya Manja dikhabarkan banyak meninggalkan harta dan tanah pesaka dan berasal daripada keturunan penghulu abad ke-19 yang mana ketika itu penghulu setaraf umapama menteri pada zaman sekarang  namun bapa saya yang sejak kecil hidup dalam daif dan kemiskinan bersama ibu kandungnya tidak pernah menuntut haknya sehingga ke akhir hayatnya.Usia bapa yang lanjut dan matang menyebabkan saya sebagai anaknya memperoleh banyak pengalaman daripada cara didikannya kepada saya.

lbu melahirkan anak sulungnya Mohamad  Zaidin pada tengah hari 27 Disember 1952 di  rumah gadang datuk saya di Kampung Serom 2 Hilir. Anak comel yang berkulit putih cerah kemerah-merahan ini ditatang dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Ketika itu bapa saya sudah pun meninggalkan kerja-kerja kampung membuka,menajak dan membajak tanah bendang di Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati bersama bapa tirinya, Limat. Bapa saya juga pernah  menjadi drebar/pemandu teksi tetapi berhenti kerana menurut ibu saya bapa  sering beriktikaf di Masjid Jame’ Sungai Mati. Nenek Mimah (saya juga memanggilnya ’atuk’) mahukan bapa mendirikan rumah sendiri di belakang rumahnya selepas berkahwin dengan ibu. Tetapi ibu kurang bersetuju. lantaran ada kawan bapa mencadangkan agar bapa mecari rezeki di tempat baru di Wealth Estate iaitu ladang getah milik konglomerat lnggeris (dikenali juga dengan nama Joo Kam Estate), Jementah, Segamat,Johor. Dan pada tahun 1952 bapa dan ibu pun berpindah di tempat baharu.

Setiap menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, bapa dan ibu akan balik ke Kampung Serom 2 Hilir rumah sebelah ibu dan menjenguk juga rumah datuk sebelah bapa di Kampung Sungai Mati.. Jarak antara kampung ini lebih kurang 4 km sahaja.  Apabila ibu mengandungkan saya, ibu juga pulang ke rumah gadang itu. Pada era pramerdeka ketika semangat menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sedang membara dan membakar semangat para nasionalis tanah air maka selepas zuhur sekitar jam 3.00 petang saya pun dilahirkan untuk berhijrah ke alam duniawi dari rahim ibu dengan begitu mudah di rumah datuk saya di bumi bertuah Kampung Serom 2 Hilir.

Saya dan abang sulung Mohamad Zaidin dibawa tinggal bersama bapa dan ibu di Wealth Estate,Jementah, Segamat. Menurut cerita ibu, semasa bayi ,tubuh saya yang montel dan berkulit cerah sering dikelek,ditatang dan dikendong oleh gadis-gadis remaja ,anak jiran-jiran di kuarters ladang tersebut. Bapa dan ibu yang menoreh getah di ladang akan mengambil kami di rumah pengasuh yang dipanggil ’Kak Zai’ pada sebelah tengah hari.

Apabila ibu saya mengandungkan anak ketiganya Zulasri, bapa dan ibu berpindah ke tempat baharu bagi menambah rezeki dengan lebih baik iaitu di Sagil Estate,Tangkak,Johor milik Dunlop Estate  Berhad yang beribu pejabat di Melaka. Di Sagil Estate atau Ladang Sagil kami ditempatkan di kuarters yang bernama Kongsi Sepuluh atau Gunung Ledang Division yang terletak kira-kira 65 km dari Bandar Muar dan 35 km dari Bandar Segamat.Di kuarters ini kami sekeluarga tinggal di barek teres setingkat. Kami berkongsikan air pili yang dipam dari tangki kecil berhampiran rumah. Rumah barek yang tidak berbilik hanya disediakan bilik mandi, ruang dapur dan ruang tidur yang beralaskan ambin papan.Ada juga disediakan pangkin di bahagian luar bagi tujuan berbaring berseorangan atau duduk bersantai.

Pada tahun 1959, abang sulung Mohamad Zaidin  atau ‘Abang Din’ yang amat manja dengan bapa mula menginjak usia tujuh tahun. Demi masa hadapan, bapa yang mahukan anak-anaknya berjaya menuntut ilmu telah sedia berkorban berpisah dengan anak sulungnya. Bapa melepaskan ’Abang Din’ tinggal bersama datuk di Kampung Serom 2 Hilir,Muar. Abang Din mendaftar masuk darjah satu di Abdullah English Primary School di pekan Sungai Mati. Abang Din sering dihantar Tuk Puteh@ayah yang setiap awal pagi mencari rezeki dengan memandu teksi yang disewanya sering menumpangkan Abang Din ke sekolah dengan teksinya. Saya pernah mendengar  cerita bahawa rakan persekolahan Abang Din antaranya ialah Jaafar 0nn seorang seleberiti yang terkenal.Semasa cuti sekolah Abang Din akan pulang ke rumah kami di  kuarters Kongsi Sepuluh..Saya masih ingat, ketika itu usia saya empat tahun, Abang Din berkebolehan dan amat gemar menyanyi lagu Allahyarham P.Ramlee berjudul ’Kalaulah Kaca Menjadi Intan’

Dan tidak siapa pun menduga pada awal tahun pembukaan persekolahan  tahun 1961, Abang Din yang pada pagi itu tidak menumpang teksi Tuk Puteh tetapi membonceng duduk di palang hadapan basikal yang ditunggangi Pak Cik Onn (bapa saudara saya, adik ibu saya yang ketika itu berusia 12 tahun) telah mendapat kemalangan ngeri, dihempap batang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menghempap kepala Abang Din di hadapan Sekolah Menengah lnggeris Pei Hwa, pekan Sungai Mati.  Akibat malapetaka itu, Abang Din meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami pendarahan teruk di tempurung kepalanya. Takdir telah menentukan, Pak Cik Onn terselamat dan panjang umur hingga ke saat ini. 


Saya masih ingat, kejadian itu memberi bekas mendalam dalam kehidupan bapa dan ibu saya. Dan selepas Abang Din meninggal dunia, saya secara peribadi merasakan  jiwa dan raga saya hingga kini bagaikan anak sulung. Saya belajar ke menara gading dan mahu dijadikan teladan dan motivasi kepada adik-adik dan ahli keluarga yang lain.Apabila saya mula bekerja sebagai guru terlatih, saya berasa bertanggungjawab menolong ibu bapa saya yang sudah pun berpindah kerana bersara ke Kampung Serom 2 Hilir pada tahun 1976. Dengan gaji sebagai guru terlatih lepasan maktab yang tidak seberapa ketika itu dapatlah saya membantu ibu bapa saya membaiki rumah Melayu lama di bahagian serambi dan dapur.

Berbalik lepada kisah saya semasa kanak-kanak, apabila saya mula diterima belajar ketika berusia enam tahun (sebenarnya lima tahun)  pada tahun 1961 di Kelas Tumpangan (seakan kelas tadika pada zaman sekarang) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate (SKSE) yang terletak di Central Sagil Estate iaitu kira 20 km dari barek kami. Pada awalnya bapa saya telah menghantar saya ke sekolah dengan berbasikal berulang-alik. Mujur tidak lama kemudian seorang lelaki Cina yang kami panggil ’Ah Kau’ dan kemudian adik iparnya ’Ah Chow’ bersedia menawarkan perkhidmatan menggunakan kereta persendiriannya bagi menghantar saya  dan kawan-kawan pergi-pulang dari sekolah secara bayaran bulanan.


SKSE  ini dikongsi bersama dengan murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang beroperasi pada sebelah petang. Sekolah ini hanya berdindingkan kadbod keras yang memisahkan antara satu kelas dengan satu kelas yang lain.Guru-gurunya  hanya sekitar enam hingga lapan orang. Saya masih ingat antara nama-nama guru yang mengajar SKSE ketika itu ialah Cikgu Mahmud, Cikgu Haris, Cikgu Misdi dan Cikgu Baharom. Tidak ada guru bahasa lnggeris yang mengajar kami. Rakan-rakan sekelas saya antaranya yang masih saya ingat ialah Abdul Rashid Omar (nama gelaran ‘Abu’), Abdul Samat Musa, Ramlah Jalal dan Jamaluddin Mohamad.


Saya hanya bertahan belajar di SKSE hingga setakat darjah empat.Saya bertukar ke sekolah lain kerana ibu bapa saya mementingkan pelajaran Agama lslam kerana ketika itu di ladang tersebut tidak ada sekolah atau kelas fardu ain. Di samping itu SKSE sebuah sekolah di pedalaman yang terlalu banyak ketinggalan terutama aspek ketiadaan guru, kemudahan asas sekolah dan tidak berpotensi menjanjikan masa hadapan. Apatah lagi sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa di ladang hanya berpuas hati anak-anak mereka memperoleh pelajaran asas hinggá setakat darjah enam sahaja.

Kini SKSE hanya tinggal tapak nostalgia.  Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina sekolah kebangsaan di tapak yang baharu di Northern Division,
Ladang Sagil yang jaraknya empat kilometer dari pekan Sagil, Tangkak,Ledang. Dan dengan rasminya pada tahun 1970 SKSE telah berpindah ke tapak dan bangunan baharu bersebelahan jalan besar Muar-Segamat. Kira-kira empat tahun kemudiannya SKSE telah ditukar dengan nama baharu Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang (SKPL). Dengan ’sekolah baharu’ maka penjenamaan semula sekolah ini telah dilakukan secara drastik selari dengan arus perdana sistem pendidikan negara dan statusnya sebagai sekolah bantuan kerajaan sepenuhnya.


Sebenarnya selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian Abang Din pada tahun 1961, bapa dan ibu saya agak serik mahu menghantar saya bersekolah di kampung datuk yang prasarananya lebih baik.Tetapi memandangkan di rumah kongsi tidak ada guru yang boleh mengajar membaca al-Quran, akhirnya saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom Tiga (3), (SKLST) pekan Serom pada tahun 1966 dan masuk ke darjah lima.Di sekolah ini saya menempuh suasana baharu kerana SKLST adalah sekolah yang terdiri hanya murid-murid lelaki sahaja.Murid-murid lelaki sekolah ini agak nakal dan suka membuli pelajar baharu seperti saya.Saya sering berendam air mata teringatkan bapa dan ibu yang jauh di mata.Namun syukurlah sejak zaman kanak-kanak saya bagaikan sudah mengerti makna reda dan sabar menghadapi cabaran ini. Rakan-rakan sekelas yang masih tidak luput di kotak memori saya ialah Abdul Rashid Wahab, Rahmat Johan, Abdul Rahman Limat, Mohamad Zan Abu Bakar, Yunus Chik, Yusof Othman, Hamdi Yasin, Mohamad Zaki Azim, Mohamad Norklar Azli (digelar Matnor Kelawar),Abdul Razak Mohamad, Ngarisan Jurimi, Harun Masdar, Rif’an Said, Md.Deris Tahir  dan lain-lain lagi.

Dan babak kehidupan seterusnya saya tinggal bersama datuk di rumah gadang di Kampung Serom 2 Hilir, tempat saya dilahirkan sehinggalah saya masuk belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, (STMI)  Sungai Mati, Muar pada tahun 1968. Di kampung ini saya belajar mengaji al-Quran  sehingga khatam dengan Puan Zaharah yang mesra dipanggil ’Kak Arah’ iaitu ibu kepada sahabat sekampung saya, ldris Abon yang lebih akrab dipanggil ’Apah’. Di kampung ini juga saya dan adik-adik saya yang turut ikut jejak tinggal di kampung datuk iaitu Zulasri dan Mohamad Shafiee telah belajar kelas agama Jabatan Agama lslam Johor (JAIJ) pada sebelah petang.


Apabila Pak Uteh Abdullah (menantu datuk saya) meninggal dunia pada tahun 1966 dan kemudian disusuli isterinya, Mak Uteh Zainun (adik ibu saya) pada tahun 1967, mereka meninggalkan lapan orang anak yatim piatu iaitu Mohamad Zain, Zabedah, Abdul Karim, Abdul Rashid, Zambroo, Zalina,Nora dan Halib. Pada awal tahun –tahun kematian ibu bapa mereka, datuk saya telah memelihara lapan anak yatim piatu ini bersama saya dan dua adik saya. Dan turut tinggal sama juga sepupu saya Sulaiman dan Abdul Kadir. Oleh itu bagi saya untuk  memperoleh kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada datuk saya tentulah mustahil.Namun masa saya yang terluang banyak disikan  dengan membaca buku-buku cerita, akhbar jawi Utusan Melayu dan novel. Saya juga gemar meneliti buku atlas peta dunia dan membaca bahan yang berkaitan sejarah dan ilmu alam (geografi).

Tidak tinggal  bersama ibu bapa dan kehilangan kasih sayang adalah asam garam kehidupan saya semasa kecil dan remaja..Pada masa itu, bukan tiada remaja nakal yang ponteng sekolah, merokok, menghisap ganja dan berjudi.Mujur saya tidak terjebak dengan elemen negatif yang melanggar disiplin sekolah. Dengan memperoleh keputusan terbaik,kepujian dan lulus semua subjek dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1970 maka melayakkan saya belajar di tingkatan empat.

Kemudian dengan meraih pangkat kedua dan menjadi pelajar terbaik subjek Sejarah  dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1972, saya bersama rakan sekelas iaitu Ngarisan bin Jurimi (pesara Guru Besar), Liza binti Sitam (Allahyarham, bekas kakitangan perkhidmatan awam Negeri Johor), dan Norizan bin Kulob (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor/SUK, mantan Pengrah Jabatan Agama lslam Negeri Johor) telah terpilih sebagai para pelajar cemerlang sekolah dan terpilih memasuki ke tingkatan enam pada tahun 1973 di sekolah  berasrama harian berprestij ketika itu, Sekolah Menengah Dato’Seri Amar DiRaja (SDAD)di Bandar Maharani, Muar, Johor. Saya juga kemudian lulus kertas peperiksaan English Sylabus X MCE iaitu peperiksaan Bahasa lnggeris untuk pelajar dari aliran lnggeris.


Di lereng kehidupan ini, saya mula yakinkan diri akan memulakan pendakian ke puncak kejayaan. Pada awalnya, kerjaya sebagai peguam sentiasa berputik dan tersemat dalam jiwa saya. Apabila ada masa terluang saya akan cuba menghadirikan diri ke galeri awam dalam mahkamah di Bandar Maharani, Muar sekitar tahun 1974 bagi mengikuti tertib prosiding yang dijalankan.Dalam diri saya berazam mahu menjadi seorang pejuang demi masa hadapan keluarga, agama, bangsa dan negara saya. Namun demikian saya sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu merancang. Dan bagaimana pula saya bertukar arah menjadi seorang guru atau pendidik, hanya sejarah dalam kehidupan yang telah melakarnya dari semasa ke semasa  setelah dilantik menjadi guru terlatih pada 3 Januari 1978.(oleh Dr Haji Rajiee Hadi Al-Latis)

AMARAN:  HAK CIPTA TERPELIHARA. DILINDUNGI AKTA SKMM.

CONTOH SURAT PERJANJIAN SEWA BELI KERETA KAEDAH SAMBUNG BAYAR

BACA SYARAT-SYARAT DI BAWAH:

1.Hakcipta@DRH Consultans & Services DAN Syarikat AWAN PRIMA (002413917-D) (Nota: Setiap perkataan,frasa dan terma dalam contoh di bawah adalah bersifat peribadi tidak terikat dengan mana-mana pihak,individu dan perundangan negara.Penulis/Blogger hanya bertujuan menunjukkan CONTOH laras bahasa perundangan dalam bahasa kebangsaan.Semua terma di bawah adalah dengan persetujuan dan pemakluman semua pihak termasuk pembiaya kewangan/bank/syarikat kewangan dengan persetujuan bersama dan tidak mnyalahi atau melanggari Akta Sewa Beli dan Akta JPJ. Jika tiada persetujuan semua pihak terbabit maka  contoh perjanjian ini tidak boleh diguna pakai..Tidak ada unsur paksaan atau apa jua kepentingan yang bersifat keuntungan material.Penulis/Blogger tidak bertanggungjawab apa jua risiko,kerugian atau pertelingkahan. 

2.Mengutip BAHAN di bawah dalam bentuk apa jua pun sama ada secara fotokopi, 'copy n paste' dan dalam apa jua bentuk pun sama ada secara elektronik atau sebaliknya ADALAH SUATU KESALAHAN dari segi Akta Hakcipta, Akta SKMM, Akta Bank Negara Malaysia dan juga Akta Sewa Beli dan Akta JPJ kecuali dengan kebenaran yang dinyatakan di bawah.

3.Sekiranya mahu mengutip/mengambil/fotokopi dan sebagainya bahan berikut maka adalah WAJIB memasukkan secara IKHLAS,JUJUR dan SUKARELA wang/bank in ke dalam akaun BSN no.1000141-00001008-6 (Pn.Nor) sebanyak RM50/ (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) sebagai sedekah/infaq/bayaran caj sukarela bagi setiap SATU SALINAN tanpa sebarang ikat janji. Wang yang telah bank-in tidak boleh dipulangkan atau dituntut semula. Semoga sumbangan wang Tuan/Puan mendapat barakah dan tidak ditimpa sebarang musibah pada kemudian hari kelak. 

4.Sebanyak 10% wang sumbangan Tuan/Puan akan didermakan kepada Tabung Anak-Anak Yatim.

5. Bagi urusan rasmi ;  setelah dokumen siap diisi dan disempurnakan sila dapat pengesahan daripada Pesuruhjaya Sumpah atau Pengesahan Majistret Mahkamah dan Pejabat Setem Hasil LHDN.
6.Terima kasih.


_________________________________________________________________________________



SURAT PERJANJIAN JUAL BELI KERETA KAEDAH SAMBUNG BAYAR

1.         BAHAWASANYA surat perjanjian ini diperbuat pada Tahun:..........Bulan:....................Haribulan.........ANTARA.......................................................................................................No.K/P:......................................Beralamat:..........................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................yang selepas ini dikenali sebagai Penjual atau Penyewa Sewa Beli Pertama atau Penama Pertama sahaja

DENGAN............................................................................................................................ No.K/P:.......................................Beralamat:..........................................................................................................................................................................................................................yang selepas ini dikenali sebagai Pembeli atau Penyewa Sewa Beli Kedua atau Bakal Penama Kedua sahaja.

2.         PENJUAL sesungguhnya bersetuju 'menjual' kereta motor No.Pendaftaran......... jenis ......................................... (keterangan butiran kereta berdasarkan salinan geran/sijil pendaftaran kereta cabutan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia yang dilampirkan bersama ini) dengan cara kaedah sambung bayar kepada Bahagian Pinjaman ...........................mulai tarikh/bulan: ............................................. dengan bayaran bulanan amaun:RM........................(Ringgit Malaysia......................................................................... ..........................................................................sehingga bayaran ansuran bulanan selesai pada tarikh:...........................................................

3.         PENJUAL hendaklah masih bertanggungjawab mengambil dan menyerahkan SURAT PELEPASAN setelah selesai bayaran sehingga tiada sebarang baki dan tunggakan daripada .................................. dan menyerahkan kepada PEMBELI untuk sama-sama bertanggungjawab dalam urusan pertukaran nama daripada penama PENJUAL kepada nama PEMBELI di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

4.         PEMBELI hendaklah bertanggungjawab membayar baki bulanan setiap bulan mulai tarikh yang dipersetujui di atas (tanpa sebarang tunggakan) sehinggalah ke tarikh akhir selesai tanpa baki dan tunggakan sebagaimana yang telah dipersetujui di atas.

5.         PEMBELI wajib membayar kos Cukai Jalan Tahunan dan insuran yang berkaitan (masih menggunakan nama PENJUAL) sehingga melunasi hutang bayaran ansuran bulanan dan seterusnya atas penama PEMBELI setelah hak milik pertukaran nama dibuat.

6.         PEMBELI hendaklah berrtanggungjawab atas apa jua perkara yang berkaitan dengan saman kereta dan keselamatan kereta , kondisi kereta bahagian luar dan dalam kereta, kondisi enjin kereta dan semua yang berkaitan dari semasa ke semasa.

7.         PENJUAL kereta tidak dibenarkan/dilarang sama sekali menuntut semula kereta sama ada ketika ansuran bulanan sedang berjalan dan setelah selesai ansuran bulanan.PEMBELI tidak dibenarkan/dilarang sama sekali memulangkan kereta kepada PENJUAL ketika ansuran sedang berjalan dan setelah selesai pembayaran.Terma PERJANJIAN ini mengandaikan TIDAK ADA masalah berbangkit setelah perjanjian ditandantangani dan dipersetujui bersama.


DENGAN ini kami mengesahkan bahawa terma-terma di atas telah kami persetujui bersama. Pihak PENJUAL dan PEMBELI hendaklah saling bekerjasama dan mematuhi terma-terma yang disebutkan dan dinyatakan di atas tanpa sebarang prasangka dan tanpa sebarang tuntutan. Atas persetujuan ini kami perturunkan tanda tangan di bawah:



PENJUAL                                                                 PEMBELI



.................................................                         …………..................................................
(                                                 )                        (                                                             ) 
Nama:                                                                  Nama:
No: K/P:                                                              No. K/P:                                                     

SAKSI 1:



Nama dan KP:                                              



 SAKSI 2:


 Nama dan KP:


Cop Pengesahan:



8 Februari 2016

SUMBER ARKIB BLOGGER: MENOLEH DAN MENGAMATI KEHIDUPAN



Suatu petang yang santai 'umminessa.blogspot.com' (UN) telah mewawancara Dr. Rajiee Hadi (DRH) seorang tokoh pendidik yang juga mantan aktivis kesatuan guru serta terlibat secara langsung dalam bidang penulisan,kesenian,kebudayaan dan kemasyarakatan. Beliau ialah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia(KKGBMS),mantan Ahli Majlis Jawatankuasa Agung (AMJA)Kongres Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(KONGRES),mantan Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia,mantan Ahli Jawatankuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan dan mantan Pengerusi PIBG salah sebuah sekolah menengah agama di Selangor. Beliau kini ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) . Semoga dapatan wawancara ini menjadi sumber inspirasi kepada semua para pendidik dan para pejuang kemanusiaan.



UMMINESSA: Assalamualaikum,apa khabar Dr?
DR. RAJIEE HADI: Waalaikumussalam wbkt. Alhamdulillah,khabar baik

UMMINESSA :Selamat bertemu dan  terima kasih kerana sudi membuat sesi wawancara bersama UN  dalam bual bicara motivasi pendidikan.  Boleh saya panggil Dr  sahaja?

DR. RAJIEE HADI: Boleh, saya selesa dengan panggilan itu.  Mahu panggil cikgu pun boleh.

UMMINESSA: Saya memilih Dr berdasarkan kepada kejayaan kerjaya pada suatu ketika dan sehingga kini.  Boleh Dr ceritakan pekerjaan  ataupun bidang apakah yang telah Dr diceburi?.

DR. RAJIEE HADI: Begini…Jika’ nak diceritakan panjang ceritanya  dalam hal pengalaman  ini.Maklumlah pelbagai  tempat dan suasana tempat bertugas  khususnya  berkaitan dengan pendidikan. Saya telah berkhidmat di empat buah negeri;Johor,Negeri Sembilan,Wilayah Persekutuan dan Selangor.  Saya pernah berkhidmat sebagai guru pelatih di Selangor,Kuala Lumpur dan Johor.Kemudian sebagai guru terlatih di Johor,Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.Pendek kata, dari sekolah harian hingga ke sekolah berasrama penuh,dari kelas peralihan hinggalah mengajar tingkatan enam selama 17 tahun. Kemudian sebagai pensyarah dan Ketua Unit Pembangunan Keguruan Jabatan Penyelidikan di salah sebuah  institusi perguruan di Malaysia sekitar sepuluh tahun dan bakinya sebagai pensyarah kanan di  salah sebuah universiti luar negara. Saya juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping beberapa buah kolej swasta. Kegiatan lain sebagai penulis bebas dan wartawan sambilan,  perunding motivasi dan psikologi.



UMMINESSA: Hmm..hmmm..  Rupa-rupanya  Dr  ni orang yang hebat ya...  Tak salah saya memilih Dr  dalam sesi ini.

DR. RAJIEE HADI: Oh, ye ke? Saya rasa, sama seperti orang lain. Cuma saya   merasakan mahu mengisi peluang bagi menimba pengalaman yang tidak saya perolehi semasa di bangku sekolah dahulu.Maksud saya dalam soal kepemimpinan.

UMMINESSA: Nampaknya Dr  ni lebih ke arah bidang yang  berkaitan pendidikan, iaitu mendidik dan menyuntik motivasi.  Sejak bilakah  Dr mula berminat dalam profesion ini?

DR. RAJIEE HADI: Kalau nak diceritakan memang panjang. Sejarah bermula   apabila saya berjinak-jinak dengan buku. Beginilah. sebenarnya…sejak kecil saya suka sangat membaca.  Seingat saya usia 5 tahun saya dah masuk   tadika  atau dahulu dipanggil “sekolah tumpang”kerana dah pandai membaca.  Bahan bacaan saya tidak setaraf dengan usia saya .  Contohnya pada usia 6-12 tahun, saya sudah mula membaca buku-buku karangan penulis terkenal seperti karya Hamka,Shakepeare,Abdullah Hussein, Abdul Moes,A.Samad Ahmad  dan ramai lagi. Sehingga sekarang, saya masih minat membaca. Tak kiralah sama ada buku, jurnal atau artikel.  Setiap pagi saya mesti membaca akhbar dan sekurang-kurangnya 1 buku setiap hari.Hahaha..sekarang sudah tentulah saya melayari berita-berita dalam internet termasuk blog. Saya suka bahan bacaan seperti autobiografi,motivasi dan pembangunan kendiri serta  politik semasa.   Jika tidak membaca bagai ada sesuatu yang tidak kena pada hari itu. 

UMMINESSA: Elok benar minat sebegitu diamalkan sehingga kini.  Suatu amalan yang patut dipuji. 

DR. RAJIEE HADI: Terima kasih.  Minat  itu memang datang dalam diri bukan perlu paksaan sebenarnya.Ya..lah faktor persekitaran, latar dan zaman banyak mempengaruhi juga dalam kehidupan saya.

UMMINESSA: Saya setuju dengan Dr.
DR. RAJIEE HADI: Memang patut dipupuk minat ’tu dari awal sebenarnya.Walau ketika itu tiada dorongan sesiapa tetapi bagi saya membaca ketika itu sebagai suatu escapism atau pelarian daripada kesunyian.Manalah banyak hiburan alternatif ketika zaman saya membesar.Tambahan saya jenis tidak suka berhiburan bersama rakan-rakan sebaya.Lebih gemar menyendiri.

UMMINESSA: Bagaimana dengan zaman persekolahan Dr.
DR. RAJIEE HADI: Zaman persekolahan saya tidak mengalami kelengkapan walaupun tahap minimum.Maklumlah sekolah rendah di estet zaman kolonial;tiada guru bahasa lnggeris.Kemudian sekolah rendah di kampung yang terpaksa berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan.Kekadang seorang guru terpaksa mengajar dua buah kelas pada suatu masa yang sama.Terpaksa berkejar ke sana sini mengawal bilik darjah yang berdinding kadbod. Justeru, kebanyakannya saya  sendiri memotivasikan diri saya berdasarkan kepada penelitian dan pemerhatian  dan kepekaan saya terhadap pengaruh  persekitaran tempat tinggal dan keluarga .Apatah lagi sejak kecil seusia 10 tahun saya berdikari tidak tinggal bersama ibu bapa tetapi tinggal bersama datuk yang mempunyai ramai cucu lain.  Minat membaca yang mendalam sejak kecil  banyak membentuk peribadi dan jiwa saya misalnya semasa saya di sekolah rendah, dan menengah rendah saya telah membaca karya penulis tersohor seperti Hamka, Arenawati, Acdiat K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Abdullah Hussin, A.Samad lsmail,A.Samad Ahmad,A. Samad Said dan lain-lain lagi. Dan saya telah membaca kesemua novel yang memenangi   hadiah utama dan saguhati Peraduan Menulis Novel 10 tahun merdeka anjuran DBP.Novel-novel itu saya pinjam daripada ldris(sebenarnya milik abangnya) yang dikenali ”Apah”iaitu rakan zaman kecil saya.Sebenarnya abang sulung  ldris, Asaha Abong (kini Dato’)menjadi idola di kampung saya kerana menjadi pelajar pertama menjejaki kaki ke menara gading,Universiti Malaya,Kuala Lumpur pada awal 1960-an.

UMMINESSA: Seronok mengikuti pengalaman persekolahan Dr.  Apakah yang memotivasikan Dr  membaca?
DR. RAJIEE HADI: Membaca adalah hobi saya. Pada mulanya, saya melihat banyak buku,kitab lama dan majalah klasik di atas loteng rumah datuk saya .Saya ambil kemudian membelek-belek sehingga timbul minat untuk mengetahui isi buku yang saya temui itu.  Jadi saya membacanya satu persatu.  Sehinggalah habis buku dan majalah yang ada saya baca semuanya.  Bahan-bahan kritikan masyarakat tulisan Abdul Rahim Kajai saya baca walhal bukan label kanak-kanak seusia saya ketika itu.

UMMINESSA: Bermakna Dr lebih matang berbanding usia...  betul begitu?.
DR. RAJIEE HADI:  Saya tak menafikannya.  Memang pemikiran saya lebih matang daripada usia.  Contohnya saya suka bergaul dan membincangkan topik-topik semasa dengan orang dewasa.  Sebenarnya menyeronokkan.  Kadang-kadang lucu pun ada.

UMMINESSA: Lucu?. Maksud Dr?
DR. RAJIEE HADI:  Lucu bila saya membicarakan tetang isu –isu semasa.Misalnya tika saya berusia 14-15 tahun saya sudah kritis tentang kemudahan jalan yang tidak berturap,parit yang tersumbat. Walhal bukan setaraf dengan usia saya. Dan saya terus menulis di ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu lalu disiarkan.Gembiranya bukan kepalang! Kadang-kadang kena marah juga bila menyampuk perbualan orang dewasa.  Itulah yang melucukan saya. Saya dapat berbahas dengan orang yang lebih tua daripada saya.Hahaha..tapi tidaklah sehebat Hang Nadim!

UMMINESSA: Baiklah… Tadi Dr  beritahu saya.. banyak bidang yang telah diceburi.  Apakah  jawatan mutakhir Dr ?
DR. RAJIEE HADI:   Pensyarah Kanan di salah sebuah IPTA di Brunei.

UMMINESSA: Hebatnya Dr .  Ok lah .. tentu banyak pengalaman yang dapat Dr perolehi semasa menjawat jawatan Pensyarah Kanan di sana ya…  Boleh Dr  ceritakan sedikit? 

DR. RAJIEE HADI: Bekerja di tempat orang tidak sama dengan di negara sendiri.  Banyak birokrasi.  Saya sejujurnya tak berhasrat ’nak menonjolkan diri, siapa saya di sana. Kena faham-fahamlah.  Nanti mereka  menyangka kita ’nak melobi atau ’nak menunjuk-nunjuk pandai.Namun saya tetap berpegang kepada prinsip jika membabitkan hal-hal akademik.  0leh itu saya hanya bekerja rutin mengikut apa yang ditawarkan  atau diarahkan sahaja.Di samping memberi kuliah,menyelia praktikum mengajar mahasiswa perguruan, saya juga membuat penyelidikan,menulis esei dan membuat kerja-kerja terjemahan bahasa Melayu ke bahasa lnggeris.  Tapi pengalaman lain adalah; seperti dapat melihat sejauh mana kesungguhan pelajar di sana dalam mengejar ilmu...bak kata bidalan ’lain padang,lain belalang.’   


UMMINESSA:Apabila saya amati, Dr  lebih suka berkhidmat dan berbakti untuk orang lain. 
DR. RAJIEE HADI:  Maksud puan?.

UMMINESSA:Ya.. lah..berdasarkan bidang  yang Dr ceburi sebutkan tadi, menunjukkan Dr  berminat berinteraksi  dengan orang ramai.  Sebagai guru atau  pendidik ... ’kan selalu bertemu dan memberikan tarbiyah  kepada orang lain.
DR. RAJIEE HADI:  Betul ‘tu puan.  Saya memang suka bidang yang ada interaksi dan komunikasi dua hala yang positif . Ya.. lah antara pensyarah dengan pelajar contohnya. …

UMMINESSA:Emmm…….. Baiklah Dr.  Boleh Dr jelasakan perkara yang paling tidak disukai terutamanya membabitkan kerjaya Dr?
DR. RAJIEE HADI:  Berbicara tentang perkara yang paling saya tidak suka dalam kerjaya ini banyak berkaitan soal peribadi.  Misalnya,kedudukan  saya ketika saya berkhidmat di Malaysia  hanya staf biasa. Walaupun ada perkara-perkara yang saya rasakan patut berubah tetapi cepat-cepat saya beralah dan tak perlulah  terlalu berat untuk memikirkannya. Kerana tidak ada apa-apa perubahan pun kalau saya mencadangkan atau mengesyorkan sesuatu idea.  Saya paling tidak suka apabila ada individu atau pihak luar yang tidak berkaitan tetapi berkepentingan mencampuri urusan  kerja.Maksudnya yang nyata,mereka  yang tidak berkemahiran. Mereka hanya pandai berkata dan mengarahkan sahaja tapi tidak   ada kemahiran untuk menunjukkan bukti apa yang diperkatakan kepada saya atau stafnya.  Saya pernah juga bersuara  mengenainya tetapi tiada apa tindakan yang diambil.

UMMINESSA: Maksudnya Dr. rasa tak puas hati dengan birokrasi ?.
DR. RAJIEE HADI: Saya tak kata aspek birokrasi sahaja. Tetapi banyak pihak yang memberi pelbagai alasan ’red tape’.  Sebab saya ni memang aktif dalam beberapa persatuan dan kesatuan guru. Banyak perkara dalam Perintah Am Kerajaan saya tahu. Jadi nampaklah di situ berberapa kelemahan kerana ada ketua yang tidak tahu banyak prosedur terutama soal peruntukan kewangan.  Sehingga pada satu tahap, saya merasakan  tidak ada guna bersuara kerana tidak ada keadilan di situ.

UMMINESSA: Nampaknya Dr. memang begitu komitmen dalam karier.
DR. RAJIEE HADI: Memang itu adalah amanah yang diberikan kepada saya.  Saya kena melaksanakan yang terbaik walaupun ada ketikanya dianggap seperti suatu persaingan.

UMMINESSA: Maksud Dr tidak mendapat bantuan mana-mana pihak itu bagaimana?.
DR. RAJIEE HADI:  Maksud saya  semasa saya melanjutkan pelajaran di IPT di peringakat ijazah lanjutan sehingga PhD, saya tidak pernah mendapatkan biasiswa dari mana-mana pihak  baik dari pusat mahupun dari negeri.  Bermakna saya bebas dan mandiri.Saya menjual aset untuk menampung perbelanjaan pengajian ijazah lanjutan.

UMMINESSA:Saya sungguh teruja dengan kesungguhan dan keteguhan Dr untuk mencapai kejayaan tanpa mana-mana bantuan kewangan.  Jadi, apa rahsia Dr sehingga berjaya kini.
DR. RAJIEE HADI: Tidak dinafikan semasa di tingkatan enam, maktab perguruan dan ijazah sarjana muda pendidikan saya dibiaya ala kadar sahaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Walau tidak mencukupi saya berusaha bekerja sambilan mencari sumber rezeki tambahan. Selain sebagai penulis dan wartawan sambilan, saya menjual buku secara jualan langsung ke sekolah-sekolah.Sebab itu saya berkeyakinan bahawa kejayaan saya adalah hasil usaha sendiri dan tidak mengharapkan orang lain untuk mencapai impian dan cita-cita. Allah telah mengurniakan semangat yang tinggi kepada saya di samping sokongan dan seluruh isi keluarga  yang mendoakan kejayaan.

UMMINESSA:Berdasarkan  pengalaman  Dr,  minat membaca  agak mendalam .  Boleh Dr terangkan apakah perkara yang paling diminati selain membaca  dilakukan ketika lapang?.
DR. RAJIEE HADI: Sebenarnya saya  minat dalam seni...drama dan  teater. Dahulu semasa awal perkhidmatan saya dalam bidang perguruan saya pernah berlakon teater ,mendeklamasi puisi, berpengakap dan   masa terluang saya suka membaca. Saya sasarkan membaca buku atau novel, sebuah naskah setiap hari.  Itu adalah amalan saya sejak dahulu lagi. Selain itu saya juga minat menulis puisi.  , menyanyi , berenang , jogging dan aktiviti kembara. Bagi saya masa itu adalah emas dan sangat berharga.Alhamdulillah telah menghasilkan 20 buah buku kreatif dan akademik. Buku terkini (2003) ialah kumpulan puisi perseorangan CINTA ARAFAH yang telah diterbitkan oleh Dwiwangsa Publication.

UMMINESSA:Apakah Dr pernah memenangi sebarang sayembara penulisan?.
DR. RAJIEE HADI: Hahaha.  Ada ’tu adalah dalam genre puisi dan cerpen dalam beberapa sayembara di peringkat maktab,universiti,negeri dan kebangsaan..  Antaranya pada sekitar  tahun 90-an saya merangkul tempat pertama, hadiah RM3ribu dan mengalahkan  beberapa sasterawan terkemuka yang lain waktu tu...dalam sayembara menulis Puisi Bosnia anjuran PENA .Saya menggunakan nama seorang wanita.Hahaha...ramai yang tidak tahu rahsia ini.Seperkara yang tidak dilupai saya adalah salah seorang daripada sepuluh pemenang sagu hati dan memperoleh hadiah RM3 ribu menamakan kereta nasional, Proton Saga,1985. Selain itu,  saya suka menulis cerpen dan  puisi yang seringkali disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan dan luar negara  termasuk di Brunei , lndonesia dan Singapura.  Tetapi kini aktiviti agak minimum kerana kesibukan dengan kerja hakiki saya. Namun kini saya kembali menulis esei  ilmiah dan kreatif semula.Saya berazam menulis buku-buku ilmiah.

UMMINESSA:Tampaknya Dr agak arif dari segi ilmu pendidikan dan mendalami bidang kesusasteraan dan linguistik.
DR. RAJIEE HADI: Bukan apa saya meminati semua  jurusan ilmu tapi yang paling minat psikologi bahasa dan sastera iaitu yang berkisar kognitif dan pemikiran.

UMMINESSA:Dr ada menyebutkan tentang perkara yang paling diminati iaitu membaca , menulis cerpen, puisi dan lain-lain. Bagaimana pula dengan perkara yang paling tidak disukai.
DR. RAJIEE HADI: Perkara yang paling saya tidak suka semasa kanak-kanak dahulu ialah  terpaksa berjauhan  ibu bapa kerana tinggal dengan datuk. Ini kesan masa lalu saya.Saya menyendiri,sensitif tetapi memiliki daya sensitiviti yang tinggi.  Saya terpaksa tinggal dengan datuk sebab di kawasan kuarter ibu bapa,  lokasi sekolah agak jauh dan tidak bersesuaian. Bapa memutuskan  menghantar  saya dan dua adik saya ke rumah datuk  yang berhampiran bandar. Sangat sedih masa itu. Terasa macam anak terbuang saja.  Tapi apabila bapa saya menerangkan sebab mengapa saya di hantar ke kampung barulah  hati saya tenang walau kerap kesayuan. Sehingga sekarang walaupun hampir 50 tahun berlalu  saya masih dapat merasainya perit perpisahan dengan keluarga.

UMMINESSA:Benar apa yang dikatakan bapa  Dr . Bapa Dr sebenarnya memandang masa depan Dr . Dan apa yang terhasil sekarang, Dr agak kuat kini melawan perasaan dalam setiap perjuangan kesan   pengorbanan perasaan Dr berpisah daripada  keluarga pada masa silam.  Dan kini bagaimanakah Dr mengisi masa senggang ?
DR. RAJIEE HADI: Masa senggangg saya biasanya saya membaca dan menulis artikel atau mengarang cerpen dan puisi.

UMMINESSA:Kehidupan sosial Dr?
DR. RAJIEE HADI: Saya suka berpersatuan dan aktif dalam  NGO.Ehemmmm tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya turut berarak bersama-sama para pejuang bahasa Melayu sewaktu menentang PPSMI (Pengajran & Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris). Kebetulan saya juga terlibat ketika penubuhan  Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).  Saya ni sensitif sikit dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku.  Kadang-kadang saya akan bersuara melalui online contohnya apabila ada isu yang dibincangkan tidak berkenan di hati saya akan menghubungi langsung dan berdialog dengan ahli panel sama ada di televisyen,radio mahupun dalam majlis-majlis  dialog terbuka.  Saya memang minat berjuang tentang perkara-perkara yang tidak betul dan  harus diperbetulkan.Ya, saya kritis tapi analitis...  Saya tak suka duduk diam sahaja.Ha..ha..ha..sekarang sesiapa boleh melayari blog saya....tiub bocor blogspot.com
UMMINESSA:Bermakna masa-masa luang Dr diisi dengan perkara yang bermanfaat lah ya.  Jadi tiada istilah rehat nampaknya.
DR. RAJIEE HADI: Emm. Dah minat dan menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan perkara yang saya kurang senang..yelah..mesti ada KBKK...kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif!

UMMINESSA:Berdasrkankan pernyataan Dr dari tadi, dapat saya ambil kesimpulan bahawa Dr seorang yang berdikari , maksud saya semasa menuntut di universiti sehingga ke peringkat PhD , Dr tidak mendapatkan mana-mana biasiswa pun.  0leh itu apakah prinsip Dr sebenarnya.
DR. RAJIEE HADI: Saya berpegang kepada prinsip berdikari tanpa ’ ”tongkat ’. Sebenarnya saya belajar dan menyelidik berdasarkan kemahuan dan minat sendiri bukan mengikut acuan pihak lain.ltu adalah  prinsip saya. Hasil daripada pengamatan positif saya sendiri. . Itulah prinsip mandiri  saya.  Saya berpegang kepada prinsip seperti mana semasa mesyuarat permuafakatan pengurusan KPM  bagi  penentuan PPSMI dahulu saya dan KKGBMS berterus terang menyatakan tidak setuju  berhubung pelaksanaan PPSMI.Saya mengemukakan hujah-hujah akademik di meja mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu. 

UMMINESSA:Dalam erti kata lain, bermakna kita tidak boleh mengharapkan mana-mana pihak untuk menempa kejayaan? Maksudnya berusaha sendiri. Tetapi   pernahkah Dr bergantung dengan mana-mana individu atau pihak hatta dengan keluarga?.
DR. RAJIEE HADI: Kami dari keluarga yang sederhana.  Saya tidak bergantung dengan keluarga kerana kerana datuk saya juga terpaksa memelihara 9 cucunya yang yatim piatu.   Saya lebih memandang kepada adik beradik saya.  Biarlah ibu bapa saya memberikan tumpuan kepada mereka.  Saya tidak bergantung dengan mana-mana pihak pun.Ada juga   frust sebab beberapa kali mohon biasiswa peringkat sarjana dan doktor falsafah diketepikan. Namun kenangan manis yang tidak dapat lupakan ialah kejayaan saya memperoleh ijazah sarjana (M.A) secara separuh masa cuma dua semester atau satu tahun  sahaja di UKM.Kemudian saya ditawarkan terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di universiti yang sama. Bagi saya itu adalah hikmah yang tidak terhingga kerana saya tidak terikat dengan mana-mana agensi atau menggunakan wang rakyat. Saya  bebas.

UMMINESSA:’Bebas’.  Seronok bunyinya ya Dr.
DR. RAJIEE HADI: Memang seronok saya tidak terikat, tidak terasa termakan budi, tidak rasa bersalah kepada masyarakat dan tiada masalah dengan mana-mana  pihak.

UMMINESSA:Berdasarkan   keceriaan Dr ,memang saya dapat lihat Dr menikmati erti kebebasan ini.
DR. RAJIEE HADI: Dapat dizahirkan dengan keceriaan saya sekarang.  Bukan apa puan, saya telah mengalami pelbagai kisah  pahit duka menempuh kejayaan yang saya perolehi sekarang.  Kena banyak bersabar.  Sebab ramai yang mencemburui kejayaan saya.  Saya tidak suka pula untuk bersaing.  Apabila  ada persaingan saya lebih suka  mengalah dan angkat kaki dulu sebelum apa-apa berlaku.Tetapi bukan bererti saya mengalah begitu sahaja tetapi saya akan terus bersemangat menempa kejayaan seterusnya.Maksudnya saya berfikiran positif..

UMMINESSA:Adakah Dr seorang yang suka melihat kebahagiaan orang lain daripada kebahagiaan sendiri?
DR. RAJIEE HADI: Ya. Emmm betul...apa pun bergantung kepada sikon.(situasi dan kondisi)


UMMINESSA:Bagaimana dengan kehidupan rutin Dr?
DR. RAJIEE HADI: Dahulu  ada perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang.Saya ada syarikat konsultans sendiri yang pernah mengendalikan beberapa seminar tetapi tidak aktif.lnsya-Allah, saya akan menggerakkan sepenuh masa pada masa yang sesuai kelak. Maklumlah kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang dan berusaha.  Kenalah banyak menempuhi cabaran dengan penuh kesabaran yang banyak.

UMMINESSA:Betul Dr...  kita kena banyak bersabar dalam setiap perjalanan kehidupan in.Harapan UN kepada  Dr yang secekal ini  yang betah dengan pelbagai kesulitan dan cabaran agar mendorong motivasi kepada guru-guru muda hari ini.
DR. RAJIEE HADI: Bagi saya senang atau sukar kita mesti  sentiasa yakin diri berpaksikan keyakinan kepada Allah dan banyak bersabar.Biar orang menganiaya kita, jangan kita menganiaya orang lain.Ada ubi ada batas....

UMMINESSA:Benar...  Tentu  ada kekuatan dalam diri Dr  .
DR. RAJIEE HADI: Kekuatan dalam diri saya ialah yakin, berdikari dan ada motivasi pembangunan diri sendiri.  Saya suka melihat ke hadapan dan menoleh ke belakang untuk membuat penambahbaikan.Mesti ada wawasan!

UMMINESSA:Dr sudah lama berkecimpung dalam profesion pendidikan . Kalau tidak silap lebih  30 tahun.  Apakah sumbangan yang telah Dr berikankan?
DR. RAJIEE HADI: Pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun. Penglibatan dalam NGO dan organisasi persatuan selama 20 tahun. Penglibatan dalam penulisan sama ada penulisan deskritf dan kreatif.Pengalaman menghadiri dan terlibat dalam seminar di dalam dan luar negara termasuk mengembara  ceruk rantau dalam negeri dan luar negara. Pengalaman yang digarap ini biasanya secara gabung jalin dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dalam kuliah saya kongsikan untuk para pelajar saya.Tujuannya meningkatkan motivasi mereka.Selain itu saya garapkan ke dalam karya-karya kreatif. 

UMMINESSA:Walau banyak kejayaan yang Dr perolehi, tentu ada pelbagai bentuk cabaran dan halangan yang terpaksa Dr hadapi.  Adakah begitu Dr?.
DR. RAJIEE HADI: Biasalah puan, kita bekerja dengan manusia dan persekitaran.Ada interaksi dan komunikasi.Tentu ada halangan-halangannya. Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang kita miliki.  Ramai yang cemburu dengan kejayaan kita dan orang lain.  ltu lumrah kehidupan.  Bagi saya  halangan  perlu saya ditatangi dengan merangka pelan A,pelan B dan seterusnya. Sikap cemburu,dengki dan khianat orang lain  anggaplah suatu persaingan sihat.Kita jangan putus-asa.Dalam diam kita boleh bertindak.Umpama menarik tepung dalam rambut.Rambut tidak putus,tepung tidak tumpah.Apa salahnya kita berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pengalaman baru dan menyebarluaskan kepada ilmu pada orang lain.Berhubung dengan halangan-halang birokrasi,tidak perlulah saya bercerita panjang. Ada yang bersifat personal.Namun peraturan yang sedia ada tidak silap tetapi manusia yang melaksanakannya tidak cekap,tidak amanah.   Yang paling mengecewakan saya ialah apabila bertemu ketua majikan yang opurtunis,hipokrit dan tidak ada pendirian; bagai lalang ditiup angin. 

UMMINESSA:Wah, macam tidak puas hati luahan Dr?
DR. RAJIEE HADI: Tidak puas hati adalah fitrah.Saya manusia hamba-Nya yang serba lemah dan kekurangan.Sebenarnya saya jenis kakitangan yang  bertindak atau menegur mengikut peraturan sedia ada.Perintah Am Kerajaan.  Saya akan merujuk Perintah Am bagi penambahbaikan dalam sesebuah organisasi.Bukan menyembunyikan habuk di bawah karpet. Selain itu perkara yang berkaitan penilaian prestasi yang ada elemen ketidakadilan kerana tidak mematuhi prosedur penilaian.Misalnya semasa zaman penilaian SSB  masih banyak kedapatan Ketua Pejabat yang tidak memanggil staf mereka bagi melaksanakan prosedur penilaian secara telus.Mereka menilai pada padangan luaran dan emosi tetapi bukan kepada sumbangan dan penghasilan kerja kita seperti yang digariskan dalam  panduan skema.  Ini membuatkan saya tidak berpuas hati dan berasa kecewa serta hilang kepercayaan!

UMMINESSA:Baiklah Dr.  Saya rasa bual bicara  kita sudah  ke penghujungnya.  Saya ingin membuat kesimpulan dengan apa yang diperkatakan.  Beginilah Dr.. Pada padangan saya, Dr adalah seorang cekal menerokai  bidang akademik .  Banyak buku Dr telah diterbitkan pada suatu masa dahulu.. begitu juga dengan cerpen dan  puisi.  Penglibatan Dr dalam NGO banyak membawa implikasi positif sehingga hari ini.  Kekuatan Dr adalah prinsip hidup tidak bergantung dengan sesiapa tetapi tidak malu bertanya kepada mereka yang tahu dan berilmu.  Sejarah hidup Dr banyak membantu Dr untuk mengecapi kejayaan di samping pengorbanan ahli keluarga yang sanggup berkongsi suka duka sepanjang kerjaya Dr.  Itu adalah kekuatan dalaman Dr.  Bagi saya Dr orang yang tabah dan kuat menghadapai cabaran dan dugaan  kerana Dr berpaksikan keyakinanan kepada Allah.  Bagaimana Dr? Adalah Dr setuju dengan kesimpulan saya.
D: Tidak ada salahnya puan membuat kesimpulan ini.  Tapi saya ingin melengkapkan lagi rumusan puan ni .  Bagi saya setiap pekerjaan mesti ada perancangan, setelah dirancang lakukan pelaksanaan dengan teratur dan buatlah pemantauan dari semasa ke semasa bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan dapat  dilaksanakan dengan bersistemetik.lnsya-Allah jika dikurniakan kesihatan diri yang sihat walafiat saya akan membuat penyelidikan untuk ijazah Ph.D dalam bidang lain pula.

UMMINESSA:Syabas dan didoakan Dr terus berketrampilan dan berdaya saing dalam kerjaya dan beroleh kejayaan dengan cita-cita Dr yang tidak pernah luntur,tidak kunjung padam itu.Baiklah Dr.  Saya sangat-sangat bertuah dapat mewawancara  dalam sesi bual bicara motivasi ini.    Terima kasih.
DR. RAJIEE HADI: Saya pun bertuah kerana dapat berkongsi apa yang saya miliki dan pernah miliki sebelum ini dalam kerjaya saya.  Bolehlah yang baik diambil sebagai panduan dan yang tidak elok dijadikan sempadan. Yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, yang kurang daripada saya sendiri.Sama-sama.
(sumber: umminessa.blogspot.com/ Blogger ini kini sedang   menyiapkan PhD dalam bidang dakwah dan kepemimpinan di sebuah IPTA Malaysia. Wawancara telah dilakukan  pada tahun 2010)