HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 Mei 2014

GURU , IBU BAPA DAN DISIPLIN PELAJAR

oleh Dr. Haji Rajiee Hadi

Pada Mesyuarat Agung Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Bukit Gambir (SMBG) 1979, saya telah dilantik menjadi Penolong Setiausaha PIBG. Pengetua (ketika itu disebut ‘Guru Besar’)  SMBG ialah Encik Abas bin Draman.Orangnya lemah lembut,perlahan tutur katanya,,kelihatan pendiam tetapi bersikap ramah apabila didekati.Beliau secara automatik adalah penasihat PIBG. Cikgu Abu Bakar Affandi yang ketika itu aktif dalam politik kepartian setempat dilantik menjadi setiausaha. Saya masih ingat, dengan tekun saya mencatat minit mesyuarat dan apa jua bahan perbahasan daripada perwakilan ibu bapa. Sebagai lepasan MPB, saya dianggap mahir dalam penulisan. Apatah lagi, Encik Abas Draman juga adalah lepasan MPB .

Sebagai guru baru dan dianggap muda saya menerima tanggung jawab dengan penuh minat dan positif. Dalam hati saya berkata; inilah masanya saya mahu belajar secara praktik dan proaktif sebanyak mungkin di lapangan. Saya juga bersedia menjadi penolong setiausaha sukan merangkap ketua rumah sukan. Saya menjadi ketua rumah sukan sesi petang bagi rumah Tun Perak.Manakala setiausaha badan sukan sekolah dipimpin oleh Cikgu Sheikh lsmail bin Sheikh Sailan dan Cikgu Mohamad bin Osman. Saya berbangga kerana melalui pasukan rumah sukan saya inilah telah melahirkan atlit sekolah seperti Tan Ju San (lontar peluru dan merejam lembing), Muhardi, Sukumaran,Aishah,Maria Talib, Suhaila dan Suhaili dalam acara balapan.Kini saya difahamkan ada di antara mereka ,menjadi guru pendidikan jasmani dan doktor perubatan sekarang.

Pada tahun 2002, selepas 23 tahun kemudian; anak ketiga saya Muhammad Haziq memasuki tingkatan satu Sekolah Menengah Agama (disebut juga Sekolah Agama Menengah di bawah kendalian Jabatan Agama lslam Selangor/JAIS ketika itu (sekarang diambil alih KPM) Sungai Merab Luar,Sepang, Selangor Darul Ehsan iaitu sebuah sekolah asrama harian.Dalam suatu mesyuarat agung PIBG sekolah tersebut pada tahun 2002 itu, saya telah dilantik menjadi Timbalan Yang DiPertua PIBG sekolah tersebut. Yang DiPertua atau Pengerusi PIBG pada masa itu disandang oleh Prof Madya Dr Mudaser.Pengetuanya ialah Encik Latif Sadli manakala Penolong Kanannya ialah Ustaz Sufian.

Dan satu tahun kemudiannya, saya dilantik pula menjadi Pengerusi/Yang DiPertua PIBG bagi sesi tahun 2003-2004.Sebagai Pengerusi PIBG dan sekali gus saya terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan sama ada sebagai guru sekolah dan pensyarah maktab perguruan di KPM , sebagai pemimpin kesatuan guru, sebagai penulis yang sering menyuarakan rintihan masyarakat dan sebagai bapa jua,ini menyebabkan ada beberapa perkara yang mana saya berada dalam dilema dan konflik diri.

Semasa Muhammad Haziq di tingkatan 3, beliau adalah di antara pelajar yang telah dikenakan tindakan disiplin digantung hari persekolahan kerana dikatakan memanjat pagar sekolah keluar dari asrama putera tanpa izin guru atau warden ke pasar raya Warta atau Bangi Utama di Bandar Baru Bangi, Selangor . Sebagai Pengerusi PIBG dan sebagai guru yang pernah berkhidmat di SBP tentulah saya lebih gembira jika terlebih dahulu pihak sekolah mengadakan siasatan dalaman dahulu.lni kerana saya mendapat maklumat bahawa semasa pelajar-pelajar ini melanggar disiplin didapati warden tidak ada bertugas ketika itu.
Walaupun ini tidak dapat dipastikan, saya yakin jikalau warden sentiasa memantau dan menjalankan tugas dengan cekap, isu pelanggararan ini boleh dielakkan.lni bersandarkan pengalaman saya semasa bertugas di sebuah sekolah berasrama penuh(SBP) dahulu.Bahkan di SBP sendiri masih terdapat para pelajarnya yang mengingkari disiplin yang dikenakan ke atas mereka.
Ekoran daripada isu ini, saya telah berjumpa Cikgu Mahadi (Allahyarham) kaunselor lepasan UPM dan berbincang mengenai hukuman yang dikenakan ke atas anak saya. Sudah tentulah saya menyatakan kebimbangan kerana peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hanya tinggal beberapa bulan lagi.Hasil perbincangan yang murni dan saling memahami, Muhammad Haziq dibenarkan kembali ke sekolah segera setelah bercuti di rumah selama empat hari.

 Sebagai bapa, saya menasihatkan Muhammad Haziq agar menjadi pelajar yang komited, menghormati guru dan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan tinggal di asrama.Anak lelaki seperti Muhammad Haziq yang seterusnya meningkat ke kelas SMA dan SPM tidak sunyi daripada masalah disiplin. Apabila berada di tingkatan enam barulah Muhammad Haziq sudah boleh menilai baik buruk demi masa hadapannya.Di sinilah saya merasakan peranan PIBG sebagai jambatan penghubung yang merapatkan jurang dan kesilapan komunikasi di antara pihak ibu bapa dan guru. Dan menerusi puisi ‘Di Anjung Kehidupan’ (buat Haziq hari lahirmu              7 Ogos ):

Semalam, haziq pada degup keempat belas
masih berkaca dan punya besar impian
jauh pun perjalanan kerikil membentang
dia pasrah yakin masa depan

Dia putera kita yang peramah
mula mengenal kebebasan makna
tetapi tuan gurunya menasihatkan:
“lihatlah ikan-ikan di akuarium
bisa makan dan berenang sewenangnya
tidak harus bolos menyerang
akan pecahlah arca bertebaran
hilang pangkalan pedoman haluan

Semalam, haziq pada nafas keremajaan
setelah getar usia di hamparan
Ya taiban!Ya taiban! Ya taiban!
cabaran pasti datang di anjung kehidupan

Serdang ,
8/4/2003

Sayugia kita sedia ketahui bahawa setiap pihak khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahukan hubungan Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) dengan pengurusan sekolah perlu ada pada tahap terbaik dan berkesan.Bahkan semua pihak mendambakan hubungan yang harmonis dan saling memahami antara satu sama lain. Apatah lagi hasrat murni ini selaras dan sesuai dengan penubuhan PIBG yang bertujuan menjadi jambatan penghubung di antara rumah dan sekolah serta ibu bapa dan guru.Tambahan pula, semua pihak berharap PIBG dapat memenuhi hasrat mulia itu sesuai dengan perkembangan pesat yang dialami negara.

Justeru,  kita sedia maklum bahawa fungsi utama penubuhan PIBG di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru. PIBG juga berperanan memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah menerusi kegiatan-kegiatan akademik, kebajikan dan sosial seperti mana dalam garis panduan surat pekeliling ikhtisas KPM bilangan 5/2001.
Sehubungan dengan  ini, PIBG adalah gerakan komuniti yang sangat penting dalam sistem pendidikan negara lantaran ia bukan sahaja dianggotai oleh semua lapisan masyarakat, kaum atau keturunan tetapi mencakupi juga pelbagai bidang pekerjaan dan latar profesion. Pelbagai latar dan situasi inilah yang memberi kekuatan kepada PIBG untuk mengorak langkah dan bergerak maju mendukung cita-cita pendidikan bangsa dan negara.
Oleh itu, dalam erti kata lain saya suka juga mengingatkan bahawa PIBG  bukan sahaja sekadar  mengadakan mesyuarat agung malah boleh bergerak aktif melalui forum, wacana ilmu, dialog, seminar  dan perundingan yang boleh mengambil langkah perlu bagi membendung salah laku dan pelanggaran disiplin pelajar-pelajar sekolah. Kendatipun telah bertahun-tahun PIBG memainkan peranan sebagai institusi penghubung antara rumah dan sekolah namun belum banyak kajian yang menyentuh keberkesanan fungsinya.
Namun demikian dalam usaha merealisasikan usaha muafakat pendidikan, PIBG yang dilihat sebagai satu-satu institusi yang boleh berperanan secara berkesan maka penubuhan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) beberapa tahun yang lalu adalah suatu usaha murni dan positif. Soalnya, sejauh manakah keberkesanan badan induk ini dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab serta boleh dijadikan rujukan oleh PIBG lain boleh diperbincangkan secara sihat.
Setiap awal tahun persekolahan  banyak laporan di akhbar, ramai ibu bapa yang merungut kerana PIBG dilihat lebih cenderung dalam aktiviti pungutan derma yang kini ada sesetengah PIBG yang menggunakan istilah ‘yuran PIBG’ dan turut disenaraikan dalam kertas senarai tahunan pelbagai yuran dan buku-buku rujukan  sekolah. Sebenarnya sebahagian besar ibu bapa tidak  berkira sangat dalam soal menderma kepada tabung PIBG.
Namun apa yang menggusarkan kedapatan sesetengah PIBG yang mengenakan derma/yuran  tahunan PIBG yang kononnya diputuskan tetap atau wajib dalam mesyuarat agung  yang melebihi RM100.00 bagi setiap pelajar. Adakah sudah tiba masanya KPM atau PIBGN menetapkan kadar derma tahunan maksimum PIBG agar tidak timbul elemen penyalahgunaan kuasa?
Sebenarnya pungutan derma daripada ibu bapa, orang kenamaan, syarikat dan firma untuk memperoleh sumber kewangan PIBG untuk membantu pembiayaan projek sekolah bukanlah suatu paksaan. Ada PIBG yang beriltizam tinggi menganjurkan motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah dengan tujuan mengwujudkan kesedaran dan keyakinan kendiri ke arah kecemerlangan akademik,sahsiah dan kokurikulum.
Di samping itu ada PIBG yang bermurah hati memberi sumbangan dalam bentuk peralatan seperti projektor, komputer, mesin fotostat, peralatan kokurikulum, prasarana sekolah, hadiah-hadiah dan sebagainya kepada pihak sekolah. Soalnya adakah sumbangan seperti ini boleh mengabaikan pihak lain yang sepatutnya lebih dipertanggungjawabkan? Adakah adil PIBG memberi sumbangan seperti ini dengan menggalas beban ke pundak ibu bapa?
Sememangnya tidak dinafikan ada PIBG yang amat ghairah memfokuskan tanggungjawab lebih ke arah kegiatan sosial berbanding kegiatan kebajikan dan akademik.Tidak salah jika PIBG lebih mengutamakan menganjurkan kelas pemulihan dan kelas-kelas tambahan  percuma bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa lnggeris.
PIBG juga boleh   membantu pelajar-pelajar terutamanya yang kurang cerdas supaya berupaya mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi di bilik darjah demi meningkatkan prestasi dan pencapaian mereka dalam peperiksaan kelak. Selain daripada itu PIBG juga boleh membantu pelajar-pelajar miskin dan memberi sumbangan buku-buku di perpustakaan dari semasa ke semasa. Bukankah buku-buku dan segala sumber ilmu itu merupakan harta tidak ternilai untuk jangka masa panjang?
Kini sudah tiba masanya PIBG wajar berusaha merapatkan hubungan ibu bapa dan masyarakat sekolah  dalam melicinkan usaha mencapai matlamat pendidikan. Sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah  mahu mendidik para pelajar bersikap berjimat cermat dan tidak membazir seperti sering bertukar ganti saban tahun berbagai-bagai pakaian rasmi selain uniform sekolah seperti pakaian seragam kokurikulum, pakaian sukan, tanda nama dan sebagainya maka adalah wajar dirancangkan dengan teliti agar sikap negatif ini boleh diatasi dengan meletakkan kesungguhan dan kesepakatan bersama antara dua pihak.
Dan dengan lebih berkesan PIBG perlu menjurus usaha menyedarkan masyarakat umum khususnya ibu bapa atau penjaga mengenai peranan mereka terhadap pendidikan dan disiplin pelajar. Tegasnya, PIBG wajar bertindak sebagai pemberi dorongan dan ransangan agar ibu bapa atau penjaga berminat dalam menghadapi pelajaran anak-anak. Janganlah dipersalahkan ibu bapa jika ada ibu bapa yang masih berdegil tidak mahu menghadiri mesyuarat agung tahunan kerana mereka juga ada alasan tersendiri.
Sayugia dimaklumi, dengan menganjurkan aktiviti tanpa kutipan bayaran tambahan maka diharapkan hubungan PIBG dan sekolah yang sedia terjalin akan bertambah erat. Aktiviti menganjurkan bengkel keibubapaan, forum/dialog isu-isu pendidikan semasa dan kegiatan bersama pelajar seperti bengkel teknik belajar, motivasi, khemah ibadah, bina semangat  dan sebagainya wajar kerap diadakan secara berkala.

0leh yang demikian dengan usaha sebegini dapatlah  diyakini bahawa matlamat merealisasikan dan mengoperasikan sekolah penyayang dan perkhidmatan penyayang ke arah mengwujudkan budaya ilmu akan melibatkan semua individu dan agensi agar peka dan responsif. Dan yang menarik, diharapkan semua ahli PIBG dan warga pendidik di sekolah akan menyedari bahawa pembentukan generasi cemerlang yang boleh mengisi hasrat dan cita-cita wawasan pendidikan negara adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.
Sebab itu, saya sebagai guru, Yang DiPertua (YDP) PIBG, pemimpin kesatuan guru,bapa dan penulis bebas begitu sering menghadapi dilema dan serba salah apabila PIBG sekarang asyik memikirkan jalan mudah dengan menaikkan yuran tahunan dengan alasan selaras dengan kehendak semasa.Dan dalam masa yang sama, saya sebagai bapa tidak tergamak membebankan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai  beban tanggung jawab yang besar. Jelasnya YDP PIBG bukan jawatan yang sesuai untuk saya yang prihatin terhadap golongan miskin.
Seperkara lagi yang suka saya sentuh ialah isu salah laku pelajar yang sering dimomokkan oleh masyarakat dan media massa yang sering menuding kepada golongan guru dan ibu bapa. Baik guru mahupun ibu bapa, usahlah kalut dengan tohmahan orang ramai yang berbagai-bagai. Jadikan ikhtibar dan refleksi agar kita sama-sama dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa. Di mana-mana negara maju pun masalah disiplin pelajar adalah lumrah dan fitrah yang terpaksa ditangani oleh pihak yang berkenaan.
Kita sedia maklum pelajar dalam alam remaja sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman dan desakan yang mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup.  Fenomena ini mengwujudkan masalah dalam jiwa remaja. Apabila berlakunya  kehilangan atau  kematian orang yang disayangi, mengidap penyakit serius, ibu bapa bertukar pekerjaan, peperiksaan, konflik antara ibu bapa, kurang kasih sayang keluarga dan tiada sokongan keluarga dan sosial maka berlakulah gejala masalah disiplin yang bertali-temali. 
Pada tahun 1993 Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam laporannya telah menyenaraikan tiga faktor diri pelajar yang menyebabkan wujudnya kes pelanggaran disiplin.  Faktor-faktor tersebut termasuk sikap negatif terhadap pelajaran seperti tidak berminat dan mudah jemu; tiada dorongan motivasi akibat kurang kemahiran asas belajar dan lebih mementingkan hiburan serta gangguan kesihatan diri. 0leh itu adakah terfikir oleh guru dan ibu bapa mahu mengatasi permasalahan ini? 
Saya dan rakan-rakan sejawat yang pernah menghadapi masalah disiplin pelajar sedia mengetahui bahawa  pelajar yang bermasalah ini ialah pelajar yang tiada kawalan diri, kurang mengerjakan kerja sekolah dan latihan  di rumah, kurang patuh kepada arahan guru, kurang berminat untuk belajar, kurang hormat guru, suka mengganggu pelajar lain dan suka membuat bising. 

Dan kami juga menyedari bahawa golongan remaja juga boleh menghadapi masalah kesihatan mental dan  lazimnya bertingkah laku agresif termasuk kedegilan, keresahan, tingkah laku bermasalah, penyalahgunaan bahan-bahan terlarang, kemurungan, penderaan dan tingkah laku seksual  dan kehamilan remaja luar nikah. 
Sebagai guru, eloklah kami memberitahu bahawa  pelajar yang melanggar disiplin sebenarnya tidak memahami peranan dan tugas mereka sebagai pelajar. Mereka tidak menyedari bahawa tindakan sedemikian mendatangkan kemudaratan.  Pelajar terbawa-bawa dengan perasaan dan hilang kawalan diri dan  mudah terpengaruh dengan anasir luar.Selain itu pelajar terdedah kepada kehidupan yang bersifat hedonistik atau bersifat mementingkan keseronokan, salah memilih rakan sebaya dan pelajar mengalami masalah penyesuaian atau masalah peribadi.
Namun demikian sebagai guru dan ibu bapa khususnya dalam PIBG apa yang  membimbangkan ialah kesalahan disiplin tegar termasuk penyalahgunaan dadah yang dianggap serius oleh KPM. Kes ini pernah  menular dari peringkat sekolah rendah lagi.  Laporan KPM pada tahun 2009 dikatakan masalah kes dadah  ada elemen  peningkatan di sekolah  rendah iaitu daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus. 
Walaupun KPM dan PIBG Nasional  (PIBGN) sering menegaskan pada keseluruhannya  isu yang melibatkan disiplin  berada dalam situasi terkawal walaupun  membabitkan kes berat seperti pukul buli, gaduh dan  ponteng tegar namun  statistik tahun 2009 KPM menunjukkan  aduan disiplin murid-murid diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos 2009 ialah 65 kes   berbanding 2008 sebanyak 96 kes. KPM menegaskan kes ini terkawal andainya dibandingkan jumlah muri-murid pada tahun 2009 (Utusan Malaysia, 1 Oktober 2009) seramai  3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Bersandarkan   perangkaan ringkas yang saya paparkan di atas, kesan  inilah yang perlu ditangani oleh ketua guru disiplin,  kaunselor  terlatih dan semua guru di sekolah. Pengetua atau Guru Besar selaku pemimpin sekolah sewajarnya memantau  dari  semasa ke semasa prosedur pelaksanaan sesi kaunseling dan program di sekolah agar berjalan secara profesional. Apatah lagi kini wujud kaunselor atau pegawai psikologi sepenuh masa di sekolah.Yang penting, sesi kaunseling di sekolah tidak mengganggu waktu pengajaran-pembelajaran formal di bilik darjah.  
Kendatipun pelajar lelaki lebih cenderung  merokok, menghisap ganja, menghidu gam, menghidu petrol, minum minuman keras, menonton atau menyimpan bahan lucah dan berjudi namun  pelajar perempuan pula lebih cenderung terlibat dengan rokok, bahan lucah dan bercinta.  
Oleh itu sebagai guru saya nenegaskan bahawa peranan guru kaunseling dan guru disiplin mengenal pasti masalah awal salah laku yang sering dilakukan  pelajar amat dialu-alukan; mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka berperanan  membantu pelajar mengurangkan dan seterusnya meninggalkan salah laku tersebut. Sokongan dan dokongan ibu bapa dan setiap ahli komuniti di luar sekolah banyak membantu mencegah salah laku pelajar agar tidak berterusan menjadi barah dalam masyarakat. 
Justeru saya tidak menafikan  banyak kajian  mendapati punca pelajar terlibat dalam salah laku kerana  mereka tidak dapat  memahami pengajaran guru bagi sesetengah mata pelajaran yang diajar. Kesulitan  yang dialami  ini menyebabkan mereka tidak berminat  menumpukan perhatian dan berkecenderungan ponteng kelas  atau sekolah.  
Ekoran daripada itu pelajar salah laku ini, tidak berminat dengan satu-satu mata pelajaran dan tidak menyukai guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Berdasarkan beberapa kajian yang penulis temui mendapati bahawa jikalau pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan maka masalah disiplin tidak akan timbul. Ini disebabkan faktor minat kepada subjek pelajaran dan personaliti si pengajar/guru.
Selain itu  saya dapati ada kajian juga menunjukkan salah satu punca pelajar tidak minat belajar ialah kerana mereka tidak berminat dengan beberapa mata pelajaran yang diajar, tidak membuat tugasan sekolah dan tidak  mengulang kaji pelajaran.  Dengan itu mereka tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru; sebaliknya mereka sering  mengganggu pembelajaran- pengajaran dalam kelas. 
Sebagaimana sedia maklum terdapat banyak masalah yang timbul dalam kehidupan seharian pelajar.  Di peringkat awal, pelajar mula menghadapi konflik dengan keluarga dan rakan sebaya terutama yang melibatkan aspek halangan komunikasi, kebejatan sosial dan silang budaya.  Mereka tidak dapat meluahkan perasaan mereka kerana tidak ada siapa yang boleh dipercayai . Senario ini menyebabkan  wujudnya tekanan perasaan dan konflik dalam diri. Situasi demikian  disebabkan pelajar tersebut memerlukan orang tengah yang berperanan mendidik; berbeza dari guru kelas atau guru subjek. 
 Saya merasakan   mereka memerlukan rakan ‘dewasa’ yang mempunyai hubungan dan struktur kognitif  berbeza daripada seorang guru dan boleh meluahkan perasaan serta rahsia hati tanpa curiga dan berasa gentar. Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah serta maklumat berhubung dengan salah laku pelajar dan  sikap atau persepsi pelajar-pelajar terhadap  perkhidmatan tersebut. 
Kesimpulannya saya berkeyakinan bahawa  untuk melahirkan pelajar yang bermoral bukanlah mudah.  Pembentukan pelajar dipenuhi  beberapa faktor  yang bertali- temali. Jika gagal salah satu faktor ini maka kecewalah sistem pendidikan kebangsaan. 0leh itu kaedah pengajaran dalam bilik darjah  yang membentuk  lima faktor yang saling kait mengait iaitu: rakan sebaya, pengaruh kurikulum dalam sistem pendidikan, kaedah pengajaran yang diterima daripada guru, pengaruh keluarga dan pengaruh persekitaran khususnya media massa, sewajarnya dipraktiskan oleh guru  dengan berhemah lagi bijaksana. 

Pendekatan kasih sayang yang luhur murni tanpa pilih kasih dan tidak prejudis banyak membantu guru menjayakan proses pengajaran-pembelajaran. Tegasnya, bahaya besar akan menimpa masyarakat jika dibiarkan permasalahan salah laku pelajar berterusan. Dan  sudah sewajarnya kerajaan menekankan betapa perlunya pendidikan agama dan moral serta aspek kebahasaan dan komunikasi di sekolah-sekolah diberikan keutamaan dan penilaian kembali. lni selaras dengan hasrat kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam,  dan semangat patriotisme satu Malaysia dalam pentadbiran negara.





















11 Mei 2014

GURU PENCETUS KREATIVITI PENJANA INOVASI: SELAMAT HARI GURU 2014

OLEH    DR. HAJI RAJIEE HADI

SEMASA saya berada di tingkatan dua pada tahun 1968 di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, Sungai Mati Muar,Johor iaitu sekolah yang mempunyai dua aliran: aliran Melayu dan aliran lnggeris ; guru bahasa lnggeris Encik Gan Ju Eng telah bertanyakan saya dalam bahasa lnggeris, ‘Apakah cita-cita saya?’. Dengan spontan dan sudah tentulah dalam bahasa lnggeris juga, saya menjawab dengan penuh bangga bahawa saya mahu menjadi Jeneral dalam pasukan tentera.

Walaupun seisi kelas ketawa tetapi  semangat saya tidak mudah lentur. Sebagai ahli pengakap sekolah pada masa itu, tentulah pekerjaan yang berkaitan pakaian beruniform memikat hati saya.Encik Gan Ju Eng yang menerima jawapan saya terus memperlekehkan cita-cita saya dengan nada sinis dan menakut-nakutkan saya, “Jika kamu mahu jadi Jeneral..kamu mesti cuci tandas dahulu,” Saya terpinga-pinga menerima penjelasan daripada guru bahasa lnggeris saya.Dan saya merasakan pekerjaan tentera itu umpama tukang cuci tandas yang tidak mempunyai sebarang pun keistimewaan.Ataupun saya telah beranggapan bahawa profesion tentera tidak menjanjikan masa hadapan. Dalam erti kata lain, sukar dan menakutkan.

Dan sekarang setelah lebih empat puluh tahun lalu, kata-kata Encik Gan Ju Eng itu masih terngiang-ngiang dan berbekas di kalbu saya.Saya merasakan kata-kata itu memberi persepsi negatif dan bersilang arah di minda saya.Saya tidak nafikan bahawa menjadi seorang anggota tentera ;baik dari peringkat bawahan mahupun pegawai atasan bukanlah semudah  yang disangkakan.Liku-liku perjalanan, ketaatan dan pengorbanan sentiasa melingkari dalam kehidupan seorang tentera.Ketika itu watak Sarjan Hassan dalam filem ‘Sarjan Hassan’ lakonan P.Ramlee begitu  menyentuh sanubari saya. Begitu juga kisah Leftenan Adnan Saidi sebuah kisah benar daripada buku yang saya baca mengenai keberanian seorang perajurit Melayu menentang habis-habisan tentera Jepun di Bukit Candu,Singapura pada perang dunia kedua begitu membakar jiwa,meniup obor semangat patriotik dan nasionalisme dalam jiwa saya. Sebenarnya pendedahan saya dengan buku-buku cerita bercorak cintakan nusa banyak mempengaruhi kehendak dan cita-cita yang bersarang kukuh dalam naluri saya.

Sebagai pelajar yang meminati pelajaran sejarah, saya bukan sahaja membaca kisah-kisah perjuangan pahlawan watan seperti Tuk Bahaman, Dol Said, Maharajela Lela, Tuk Janggut dan Leftenan Adnan Saidi  tetapi saya juga membaca kisah-kisah kepahlawanan lslam zaman lslam seperti Umar Al-Khatab, Usman Affan, Ali bin Abi Talib,Saidina Hamzah, Khalid Al-Walid, Muawiyah bin Abi Suffian, dan termasuk para pejuang tanah air seperti Dipo Negoro di Jawa,lndonesia, Napoleon Bonarpate di Perancis, John of Arch di Jerman ,Ho Chi Minh di Vietnam dan lain-lain lagi.

Justeru apabila saya menjadi guru, kesempatan untuk guru menggunakan kemahiran berkomunikasi bagi menyampaikan maklumat dua hala kepada para pelajar adalah amat penting. Jikalau guru kurang bijak berkomunikasi dan memberi impak yang mengelirukan pemikiran pelajar maka sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada perkembangan minda dan persepsi mereka. Saya tidak mahu, kerana kesilapan guru menggunakan kesempatan berkomunikasi dalam menyampaikan maklumat kerjaya di bilik darjah maka menyebabkan seorang pelajar seperti saya akan berasa keliru mengenai kerjaya tentera pada masa itu.

0leh yang demikian,sebagai guru, saya amat bersetuju andainya budaya berkomunikasi dianggap kemahiran atau kegiatan yang terpenting dalam perhubungan manusia. Apatah lagi komunikasi; sama ada komunikasi lisan, bertulis ataupun isyarat sewajarnya diketahui bagaimana caranya agar berkesan dan difahami. Dengan kata lain, sebarang bentuk komunikasi hanya akan dianggap berkesan jika wahana yang digunakan itu betul,tepat dan mantap.Bakal guru sewajarnya diberikan latihan secukupnya dalam bidang komunikasi ini semasa berada di institusi-instusi perguruan.

Berdasarkan kisah ringkas di atas, akibat kurangnya kemahiran komunikasi guru-pelajar  maka sedikit sebanyak telah menjejaskan misi falsafah pendidikan negara yang mahukan satu usaha berterusan ke  arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.Guru sewajarnya turut membantu dan menggalakkan para pelajarnya  mencapai salah satu matlamat dalam sistem pendidikan iaitu turut membantu negara menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.

Kita sedia maklum bahawa rata-ratanya masyarakat menganggap proses komunikasi sama ada komunikasi lisan,isyarat ataupun bahasa badan dianggap mudah dan remeh. Namun saban hari kita sering menghadapi kegagalan komunikasi berlaku di dalam bilik darjah, di dalam perhimpunan sekolah, bersama rakan sejawat di dalam bilik guru, di bilik-bilik mesyuarat dan sebagainya. Lantas itu, kita sering menerima pelbagai peristiwa dan kesan mengalami salah faham,salah tanggapan dan kekeliruan mesej dalam kehidupan seharian.0leh itu guru-guru hendaklah acapkali menunjukkan teladan yang baik apabila berkomunikasi dengan para pelajar sama ada menggunakan bahasa yang berhemah dan  bertatasusila.

Sehubungan dengan isu atau topik komunikasi ini saya tertarik mahu menghubungkaitkan pengalaman lain semasa saya berada di tingkatan enam Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar DiRaja (SDAD) 1973. Saya masih ingat Cikgu Mohd Rashdi Ramlan, guru subjek ekonomi yang berbicara lembut,jelas dan tegas. Sehinggkan setelah saya menjadi guru saya berbangga sebagai bekas anak muridnya. Saya juga turut berbangga kejayaan kerjayanya  yang mencapai tangga jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (TKPP)KPM. Mohd Rashdi Ramlan atau 'Cikgu Rashdi' (kini Dato’Haji Mohd.Rashdi bin Ramlan) sering memberi motivasi , panduan prospek  kerjaya dan menghubungkaitkan pelajaran ekonomi dengan dunia semasa ketika dalam kelas.Selain Cikgu Rashdi , Cikgu Mohd Radzi Rahim, Cikgu Rahim Omar ,Miss Kim Davis, Cikgu lsmail Mahayuddin, Cikgu Abdul Rahim Ahmad dan lain-lain lagi tidak kurang juga memberi semangat agar  kami terus maju jaya.Guru-guru yang saya sebutkan itu,masing-masing ada cara berkomunikasi  tersendiri yang diselitkan dengan cerita-cerita lucu yang menarik hati kami.

Saya masih ingat ketika itu Cikgu Rashdi masih 'muda belia', masih 'bujang trangtang' dan masih 'meronda-ronda berbasikal di Tanjung Ketapang,Muar'.Saya bersama-sama sahabat sekelas; Tumaisuri, Norizan,Ngarisan,Saadon dan Mohd.Najib. Beliau saling bersapa apabila bertembung kami yang juga ‘meronda-ronda’ makan angin. Seperti biasa pada kelas keesokannya, sahabat saya Najib yang bertubuh gempal akan menjadi bahan usikan Cikgu Rashdi. Walaupun saya tidak bijak sangat dalam subjek Ekonomi seperti sebilangan besar rakan-rakan sekelas saya seperti Borhan (pernah menjawat Datuk Bandar Johor Baharu sehingga Mei,2013), Baharu Kemat (Profesor Ekonomi), Norizan Kulob (Timbalan SUK Johor) Abu Hassan Harun (Guru Kanan Ekonomi) atau Syed Jaafar (Arab, telah kembali ke rahmatullah,2006) tetapi Cikgu Rashdi tetap melayan dengan  cara komunikasi mesranya dengan semua murid dalam kelas dan penuh tanggung jawab.

Cikgu Rashdi juga dikenali sebagai guru yang bergaya dan berketrampilan dalam berpakaian. Rata-rata kami para pelajarnya ketika itu sering memerhatikan  komunikasi bahasa badan dan gayanya dalam berpakaian Apatah lagi Cikgu Rashdi yang kami tahu lepasan siswazah luar negara (Australia) ketika itu sering menjadi idola kami. Kami juga tetap tidak lupa guru-guru kami ketika itu yang sering memberi motivasi juga  kepada kami sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas.

Gambaran yang saya berikan semasa Cikgu Rashdi sebagai guru saya dan Cikgu Rashdi dalam kerjaya seterusnya sebagai Pegawai PPD, Pengetua MCKK, Pengarah JPN dan Timbalan Ketua Pengarah KPM tentulah tidak sama. Namun kata-katanya yang tegas disulami senyum lembut  dan kiasan bermakna tetap berkesan menjadi ingatan kepada saya dan warga KPM yang sentiasa mendampinginya.

Cikgu Rashdi yang kami kenali seorang yang mudah tersenyum.Ada ketikanya senyuman beliau adalah senyuman sinis.Beliau ketika itu kelihatan romantis,berbicara lembut dan mesra pelajar. Ya, mungkin pendekatan psikologi ke atas kami para pelajar tingkatan enam agak berbeza lantaran mungkin kami lebih tampak menuju kematangan.

Saya bertemu seterusnya dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi KPM semasa beliau menginjak setapak demi setapak dalam kerjayanya sebagai pegawai utama PPD, Pengarah JPN Johor dan pegawai atasan di KPM manakala saya ketika penghujung era 1990-an dan 2000 saya terbabit sebagai aktivis utama kesatuan sekerja sektor keguruan.Lantaran itu kami sering bersua di mesyuarat Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM pada zaman Tan Sri Dr Wan Zahid , Datuk Mat Nor Daim, Tan Sri Dr Abdul Shukor (Allahyarham) dan Tan Sri Mohd Rafie (Allahyarham).

Begitulah Cikgu Rashdi, cikgu saya yang saya rasakan diri saya sebagai insan kerdil tetapi saya rapati dan perkenalkan diri saya semula sewaktu roda sejarah kehidupan berputar kembali sewaktu- waktu dahulu. Cikgu Rahsdi tentu berbangga anak muridnya berjaya mencapai kemajuan kelayakan akademik walaupun saya tidak berjaya sehebat beliau menaiki’dari satu tangga ke satu tangga  puncak pangkat dan kerjaya’. Walaupun saya juga telah dianggap 'tua' ketika itu, tetapi rasa hormat dan 'malu' amat menebal juga di jiwa saya.
 
Justeru aspek komunkikasi yang saya perkatakan di atas turut berkait rapat apabila transformasi  kurikulum persekolahan diperkenalkan pada tahun 2011 oleh KPM.Sehubungan ini sudah sewajarnya  aspek komunikas digubah dan diwarnai dalam nafas baru serta diberi penekanan dan menjadi tunjang  utama khususnya bermula dari asas  dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) . Dalam erti kata lain, KSSR merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Saya juga difahamkan bahawa melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 lalu. 0leh itu  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.

Saya sudah menjangkakan,bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh yang yang demikian sudah tentulah penekanan adalah bersandarkan bahasa atau kemahiran lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Sukalah saya menegaskan dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Dan sebagai pensyarah pedagogi dan metodologi di institut latihan perguruan saya sering mengingatkan ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah  sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Lantaran itulah dalam memoir ini telah saya sentuh sejak awal tadi bahawa betapa pentingnya aspek-aspek amalan dalam komunikasi dititikberatkan oleh guru.Apatah lagi apabila KPM memperkenalkan aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Sementelahan pula komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang.

Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik. Maka apabila saya menyebut nama Cikgu Rashdi atau Dato’Haji Mohd Rashdi bin Ramlan sebagai model guru saya yang bijak berkomunikasi berkesan lalu tergetus di hati saya,sekiranya, saya ada 'kelayakan' seperti tahun-tahun 1998-2005 yang mana saya adalah ‘AJK pemilihan tokoh guru kebangsaan'  maka tidak teragak-agak saya akan turut mencalonkan beliau sebagai Tokoh Guru Kebangsaan. Namun atas kecemerlangannya dan takdir llahi,  beliau akhirnya  dipilih dan dinobatkan juga sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2008 ketika saya berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di sebuah IPTA di luar negara. Tiada kata seindah bahasa dengan kalungan tahniah buat  Cikgu Rashdi  yang tidak secara langsung menjadi  model  seorang guru yang petah berkomunikasi dan memberi kesan mendalam kepada para pelajarnya. lnilah impaknya guru itu pencetus kreativiti dan penjana inovasi. Selamat Hari Guru 2014! (DHRH)




5 Mei 2014

SAYA HANYA PENULIS KAMPUNG

oleh DR HAJI RAJIEE HADI

SECARA peribadi, saya pernah menulis untuk ruangan surat pembaca akhbar Utusan Melayu pada tahun 1970 ketika saya di bangku menengah tingkatan empat. Saya menulis mengadu mengenai sistem perparitan dan saliran yang menyebabkan seringkali berlaku banjir kilat di kampung saya khususnya rumah gadang datuk saya, di Kampung Serom 2 Hilir, Sungai Mati, Muar. 0leh kerana di sinilah tanah tumpah darah pertama saya yang mana saya dilahirkan di sini maka segala punca yang membabitkan kesejahteraan alam sekitar turut memberi kesan mendalam terhadap rasa kepekaan atau deria sensitiviti di sanubari saya.

Tidak lama kemudian selepas tersiarnya aduan tulisan saya maka datanglah sebuah jentolak kapal korek memulakan operasi pendalaman parit atau anak sungai yang kian tohor. Sebenarnya pada tahun 1960-an dahulu parit sepanjang kampung saya yang menuju ke Kampung Sungai Keladi dan alirannya terus menjengah masuk ke Sungai Muar ini tidak setohor itu. Di parit inilah saya menyaksikan budak-budak kampung saya berkubang renang sambil mencari haruan,keli dan puyu ( Pekan Serom: Masih Kuingat Lagi: Rajiee Hadi, Mastika, April 1991):


PEKAN SEROM: MASIH KUINGAT LAGI

Sungguhpun kerap pulang ke desa dan pekan kelahiranku
saban waktu sejarah mengembalikan ingatan
semasa kecil air melimpah -ruah
selepas hujan di halaman rumah opah
agung pesaka moyang sejak zaman berzaman
kini tinggal sisa-sisa menyayatkan 
Tempayan purba sepi menyembah bumi 
parit besar kami menangkap keli
mandi-manda riang nakal aku menyusuri sungai
sekampung bermukim mencucuh buluh meriam
hilang gerangan entah ke mana 
resah mengatur liku kehidupan
dibesarkan oleh luas alam berkembang
segala-galanya kini bagai hamparan kenangan.

Pulang semata-mata kerana ibu ayah
kedut wajah bagai kerikil perjalanan hidupku
menyimpan rapi sisa-sisa usia
menempuh menghambat serentetan kekesalan
seperti sepi malam di desa jauh ditinggalkan
suara cengkerik rengetan sang katak bersahutan
mencengkam ke jantung album rindu
seorang pengembara menyimpul igauan malam
tiba-tiba di desa dan pekan terbina catatan 
semuanya berubah dengan kelahiran dan kematian

Pekan Serom, tidak kutemui lagi riakmu
umpama malam-malam lalu dengan gelak tawa taulan
lagu-lagu evergreen berkumandang di pawagam Kimhwa
bujang lapuk jungle april pool watari bertukar ganti
kini detingan besi wajah kusam menyelubungi ngeri
kedai hailam roti bakar ais kepal dijilat  api
warung lontong enak tempeh kuih mata kerbau
celoteh Wak Lip, Atan Salu, Abu Amin
Atan Khatab dan diam Mat Gedebuk
khutbah Cikgu Atan bergema lantang selalu dan
pangkalan jeti panggung serom tiga setia berlagu

Di sini Matnor Kelawar terkubur dalam usia remaja
perahu penambang tanjung selabu hilir mudik
anak-anak kecil menongkah arus
menimba ilmu menyabung nyawa
ada tragedi menyayat hati luput ditelan polusi
dusun semusim di Belemang, Parit Kangkar Sungai Keladi
kini lamunan terhakis dalam hangat rinduku

Pada hari itu aku kembali  menatap potretmu
petang redup bermotosikal bersama ngarisan
gadis manis hujung kampung melambai menyentuh perasaan
bercerita tentang politik ekonomi dan masa depan Melayu
sementara dinding rumah rapuh dimamah ansai
subur pohon nyiur pelepah tua gugur disambar petir
basikal usang di bawah rumah tetangga tersungkur rebah
seterika antik tersembunyi dalam peti misteri
tv tua hitam wajah tidak berseri lagi
pintar si babu mengatur dagangan setiap hari
malam dingin lampu sepanjang jalan bergelap sekian lama
pekerja hari ini  mungkin tidak ambil peduli
asyik mengkhayalkan saham penswastaan melabakan
tanpa keringat menjual pinkform impian termahal

Ah, Pekan Serom menjenguk hadir mimpi-mimpimu
getar menggugat manusuk hati rawanku
geromal Atan Salu senyum Atan Khatab senda Abu Amin
pilu Uda Bakar puterinya menyahut panggilan Illahi
barah meragut kesalnya tidak terperi
pulangnya Mat Gedebuk kian terkumpul dalam sendu puisi
citra Pekan Serom kian hilang bagai kaca-kaca bertaburan
sayunya hati tidak upaya kucantum lagi!

Begitu juga apabila saya masih berdukacita melihatkan jalan kampung saya ini masih beralaskan batu-batu kerikil dan tanah merah.Sedangkan di kampung-kampung sekitar telahpun diturap tar.Tanah-tanah milik Melayu kian hari kian banyak yang tergadai atau terjual. Sehubungan ini saya amat susah hati. Seingat saya dalam tahun 1985 saya telah menulis dalam ruangan ‘Surat Pembaca’ Berita Harian.

 Namun entah bagaimana kemudiannya pada tahun 1989 sewaktu saya membawa murid-murid dari sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur melawat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, saya mengambil kesempatan bersua muka di luar ruang legar Dewan Rakyat lalu menyatakan masalah jalan merah di kampung saya kepada Haji Abdul Ghani Othman             (Dato’, wakil rakyat Parlimen Ledang/ ADUN Serom, kini telah bersara) .

Saya tidak pasti sama ada beliau terkejut atau tidak apabila saya terus meluru bertemunya ketika itu.Dalam pertemuan itu, mungkin tanpa berfikir panjang beliau terus mencadangkan agar saya menubuhkan cawangan Umno di kampung saya. Saya sedar selama ini, sudah turun-temurun cawangan Umno kampung saya  yang minoriti ini bergabung dengan Kampung Serom Satu.Seterusnya Haji Abdul Ghani menegaskan bahawa Kampung Sungai Keladi di penghujung kampung saya  yang turut menggunakan jalan merah kampung saya telah menubuhkan Parti Semangat 46 yang dikepalai oleh Haji Saadon Jabar(Allahyarham).

Kemungkinan ancaman senyap ini mula beliau rasakan. Namun saya juga bertegas bahawa saya bukan mahu bercakap pasal soal politik tetapi soal jalan berturap tar dan soal kebajikan rakyat. Haji Abdu Ghani terdiam dan dialog saya dan beliau hanya setakat itu dan kami kemudian tidak pernah bersua muka hingga ke hari ini. Apa yang saya tahu, selepas itu jalan kampung saya pun terus diturap tar dan kami semua selesa dengan alam sekitar tanpa debu yang menyeka mata, terima kasih. Sajak berjudul  Suatu Permintaan (buat Ngumba): (Rajiee Hadi:Warta Tebrau, 18 Februari 1982) adalah suara hati saya yang mewakili sebahagian besar penduduk kampung saya yang kepinginkan jalan  yang berturap.Ngumba ialah nama pena bagi Datuk Embong bin Yahya Ahli Parlimen Ledang dalam kawasan kampung saya.Beliau ketika itu adalah Timbalan Menteri Penerangan Malaysia. Berikut adalah puisi yang dimaksudkan:


 SUATU PERMINTAAN
(buat Ngumba)

Yang kami pinta hanyalah
kerja nyata
bukan gunting-guntingan pita
atau batu-batu permata.

Yang kami pinta hanyalah
dedikasi luhur
bukan semboyan-semboyan
mahupun slogan
ataupun pepatah kuno.

Yang kami pinta hanyalah
ketegasan sebuah harapan
bukan cuma sensasi melulu
ataupun suatu kejutan kosong.

Tuan-tuan terhormat
lihatlah kami yang terpaku
di celah-celah debu 
tatapan merah menebal.

Andainya dilupa selepas pilihan raya
kami beratap langit bertilam tanah
seperti nenek moyang mewarisi sejak dulu
apalah ertinya sebuah kemerdekaan  masa kini.

Namun di desa ini
kami tumpahkan setia
bersama keteguhan hati ini
takkan goyang ditiup angin
semangat ini takkan lebur ditimpa hujan.

Yang kami pinta hanyalah
sejalur tar menutup 
debu-debu menyeka
yang esok entah musnah ditiup angin.
Serom 2 Hilir, Muar.



Minat saya terhadap bidang penulisan terus bersinar di MPB,Lembah Pantai, Kuala Lumpur 1976-77. Pada tahun 1977 saya telah menyertai Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen anjuran MPB.Sememangnya tidak diduga, saya telah memenangi hadiah utama bagi penulisan puisi dan cerpen. Sayangnya, saya tidak ingat apakah judul puisi dan cerpen itu. Apatah lagi hasil karya itu  telah hilang ditelan zaman.Saya sungguh kesal kerana tidak menyangka pada hari ini, jika hasil tulisan tersebut ada tentu amat bernilai.Saya cuma dapat menerbitkan sebuah antologi/kumpulan puisi stensilan saya berjudul ‘Mereka Yang Pergi’ (1977). Sutau peristiwa lucu semasa saya di MPB ialah saya menggunakan nama samaran ‘Geletek Sayang’ untuk menulis apa jua perkara kebaikan dan cadangan-cadangan membina dan pandangan kritis di papan kenyataan utama Persatuan Pelajar MPB di laluan menuju ke dewan kantin.Saya menulis secara rahsia tanpa diketahui sesiapa.


Tulisan saya itu saya tampalkan di papan kenyataan pada sebelah malam. Pada keesokannya ramai pelajar yang membacanya dan mendapat reaksi yang pelbagai. Sejak itu menjadi tanda tanya, siapakah gerangannya ‘Geletek Sayang’ yang tidak diketahui hingga hari ini.Saya rasa Abdul Kadir Abdullah yang pernah menjadi Yang DiPertua Persatuan Pelajar MPB tentu tersenyum membaca pendedahan saya ini. Saya harap beliau masih ingat lagi isu peritiwa ‘Geletek Sayang’ yang menjadi pojok tumpuan pelajar ketika itu.


Seperkara lagi yang saya suka perkatakan ialah walaupun saya telah  menempa  dalam bidang penulisan sewal 1970-an namun  secara seriusnya ialah setelah puisi ‘Aidilfitri’ disiarkan dalam Berita Minggu pada 26 0gos 1979.Namun demikian saya masih meneruskan penulisan di ruangan surat pembaca, forum pembaca, apa pembaca kata, medan pembaca dan seumpamanya bagi menyampaikan suara hati ‘rakyat bawahan’ dengan pelbagai nama samaran. Antaranya ‘Banyak Tanah Melayu Tergadai di Muar’ kiriman ‘Anak Perantau,Kuala Lumpur’ yang disiarkan dalam ‘Apa Kata Pembaca’ di akhbar Mingguan Malaysia pada 22 Februari 1987.

Saya juga bertanggungjawab menulis berita rencana bergambar mengenai keuzuran dan kedaifan Madrasah Al-Shamsuddiniah, Kundang Hulu, Muar (milik Kiyai Haji Shamsuddin yang terkenal di Johor) yang disiarkan dalam akhbar ‘Berita Minggu’ bertarikh 22 Februari 1981 dengan tajuk besar ‘Madrasah Kian Uzur, Bilakah Bantuan Nak Diberi’. Rencana ini telah menarik perhatian simpati beberapa orang kenamaan di Johor.Sekarang, siapa sangka madrasah yang uzur itu telah bertukar menjadi sekolah agama moden yang mendapat taraf ‘Sekolah Agama Bantuan Kerajaan’ (SABK) dan kini dikenali ‘ Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah’. Kundang Hulu, Muar,Johor.

Kendatipun saya diarahkan bertugas ‘pulang ke kampung’ dan melaporkan diri secara rasmi pada 3 Januari 1978 di Sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar,Johor maka bukan bermakna cita-cita saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan maju jaya dalam bidang penulisan terus berkubur di kampung halaman.Tidak sama sekali.Saya terus menulis jika ada idea atau ilham dengan menggunakan mesin taip usang yang saya tidak ingat milik siapa. Seingat saya, pada tahun 1979 saya dapat membeli mesin taip baru berjenama ‘Olivetti’  dan pada tahun 1980 kemudian saya membeli mesin taip berjenama ‘Olympia’ yang lebih besar.

Pada awal tahun 1978 saya mengajar di SMBG, karya saya mula didengar kawan-kawan di Radio Malaysia (RTM) dalam rancangan ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ terbitan Kamaruddin Ahmad dan Amran Sharif. Penyampai rancangan ini yang gemersik syahdu suaranya ialah Amran Sharif, Mustaza Ma’ah, Chuari Selamat, Ngasri Sain dan Zainal Abas. Sayangnya saya terlepas pandang lantaran siaran radio itu berkemundang pada sebelah malam yang mana saya tidak pasti jaminan siarannya.Kemudian beberapa coretan tulisan saya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan ‘Secebis Kisah’ kelolaan Nora.

Buat permulaan ini, saya sering menggunakan nama samaran seperti Adzie Roha, R.Hadi , ROHA dan R.H.Roy. Walau bagaimanapun nama ringkas saya ‘Rajiee Hadi’ yang berkekalan hingga hari ini.Tetapi oleh kerana saya dianggap berbakat juga dalam penulisan rencana di akhbar dan majalah maka untuk ‘cari makan’ saya gunakan nama samaran Guru Bahasa, Pak Ngah, Adzie Hasra, Cucu Tuk Manja  dan ldah Eeijar .Karya kreatif saya pada masa itu seperti sajak,pantun dan cerpen tersiar juga di Berita Minggu, Bacaria, Watan dan di majalah-majalah seperti Variapop,URTV,Dewi,Jelita,Wanita,Dian,Aktual,Variasari dan Penghibur.. Dan antara yang pahit dan manis pada tahun 1981 saya dapat membeli seutas jam tangan berjenama ‘Citizen Digi-Ana’ buatan asli Jepun berharga hampir RM200/ hasil daripada wang penulisan saya.

Adalah sudah ditakdirkan dengan reda, pada tahun 1982 apabila saya pulang berjoging dari bandar Maharani,Muar kerana bersarapan nasi kukus yang enak di perhentias bas Jalan Maharani melalui jambatan Sultan lsmail dengan menunggang Vespa JM 195, jam tangan yang saya masukkan ke dalam saku seluar sukan telah terjatuh hilang entah di mana tanpa saya sedari. Saya amat bersedih dan air mata cuma bergenang di pelipis mata tanpa saya mahu salahkan sesiapa. Namun jam tangan itu tetap menjadi kenangan dan simbol sebuah perjuangan yang saya perolehi hasil daripada jerih ilham pena kreativiti yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit.


Di SMBG saya berkenalan dengan Cikgu Mokhtar Yusoff (Zahmy) yang sudah dua tahun mengajar di sekolah tersebut. Selain Mokhtar, saya juga memperoleh beberapa orang sahabat karib seperti Cikgu Abu Bakar Sobor (Allahyarham), Cikgu Ali Sugiman (Allahyarham), Cikgu Ghafar Saad (Allahyarham), Cikgu Abu Mansor (Allahyarham),Cikgu Mohamad Aman, Cikgu Alaguru, Cikgu Loke, Cikgu Kuan,Cikgu Shaarani Sapari, Cikgu Poh Lee Koon,Cikgu Abu Bakar Atan,Cikgu Sheikh lsmail, Cikgu Shahruddin Mukhri dan ramai lagi.Pada waktu itu jumlah guru lelaki lebih ramai daripada guru wanita

Rakan-rakan sejawat ini, selain mereka juga guru bahasa, mereka juga adalah guru-guru muda yang masih bujang dan aktif dalam pasukan pengakap daerah dan negeri..Sijil kursus asas manik kayu  786 ,bertarikh 2 Oktober 1977 (No.Pendaftaran: B 0418) yang saya hadiri di Kem Kota Raya, Jalan Padang Tembak,Kuala Lumpur sungguh amat bermakna.Lantaran pembabitan saya secara berterusan dan komited kepada pasukan pengakap maka  saya telah ditauliahkan Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Ketua Pengakap Negara sebagai pemimpin pengakap bagi kumpulan pengakap Bukit Gambir ke-3 (M4810) dengan nombor tauliah: M.19716 bertarikh 13 Disember 1979

Dan kebetulan pula di SMBG, guru lelaki yang masih bujang agak ramai maka aktiviti berpengakap begitu semarak hinggakan kami pernah menghadiri jambori negeri di kem Tangjung Labuh Batu Pahat dan aktiviti berkhemah gabungan kokurikulum di luar daerah seperti di Tanjung Bidara,Melaka, Port Diskson, Negeri Sembilan dan di Teluk Cempedak,Kuantan,Pahang bersama para pelajar pengakap dan pandu puteri. Lucunya tahun demi tahun kami menanti ‘nasi minyak’ antara kami tetapi belum ada sesiapa yang terbuka untuk menjamu kami. Malangnya, sungguhpun kami adalah guru-guru yang aktif berpersatuan namun penantian ke atas kedatangan guru-guru perempuan yang masih bujang bagi dijadikan calon isteri hanya tinggal penantian yang panjang.


Walaupun ada ketikanya kami seperti berebut-rebut apabila ada guru wanita bujang melaporkan diri di SMBG namun penghujungnya kami hampa kerana mereka tunangan orang. Kesudahannya  setiap tahun kehadiran guru bujang wanita begitu menghampakan. Sebab itulah, ramai di antara kami di SMBG ketika itu berkahwin dengan bekas anak murid. Senario pada zaman itu jauh berbeza dengan zaman sekarang. Situasi sekarang berbeza. Di mana-mana dilaporkan guru wanita jauh melebihi lelaki; termasuklah yang belum berumah tangga. Ah, alangkah bertuahnya guru zaman sekarang!

Cikgu Mokhtar Yusoff yang saya sebutkan lebih awal tadi, sudah mula mencipta nama dalam penulisan kewartawanan; termasuk rencana dan berita. Hasil-hasil penulisannya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian dan Watan sering ditunjukkan kepada saya. Saya pun mula bersahabat dan mendekati beliau dengan turut menjadi ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada tahun 1978 dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa kegiatan daerah Muar. PPJ Muar dipimpin oleh Cikgu Aris Tahir atau Said Johor (Allahyarham) seorang aktivis masyarakat yang terkenal di Muar.Mokhtar Yusoff pula adalah setiausaha PPJ Muar dan  merangkap pula AJK PPJ peringkat negeri bersama Zam lsmail, Mas’ud Abdul Rahman, Aris Tahir, Said Jamhari, Matlob,Shukor lsmail, Md.Noh Atan, Juma’noh Abdul Bunga dan lain-lain lagi.


 Apabila saya menghadiri mesyuarat PPJ Muar, menghadiri bengkel penulisan di Tanjung Emas Muar, saya terkenangkan motosikal baru jenis Honda Cub bernombor flat JX 5930 yang saya beli dari sebuah kedai motosikal di Jalan Meriam, Muar seminggu lebih awal sebelum sekolah dibuka pada sesi 1978 tahun pertama saya mengajar.Motosikal baru yang berharga RM1800/ saya beli dengan wang deposit RM600/ yang saya pinjam dahulu daripada pak cik saya. Apabila saya mendapat gaji pertama pada bulan Mac 1978, saya terus segera memulangkan wang pinjaman kepada pak cik tersebut.

Di kampung saya; baik di Serom atau Sungai Mati, nama Nora atau Haji Ali bin Haji Ahmad begitu dikenali sebagai ‘orang surat khabar’.Apatah lagi bagi penduduk di kampung Kesang Tasik atau di Batu 7 Jalan Sungai Mati-Sungai Senduk;nama  sasterawan dan wartawan Nora yang bekerja di Utusan Melayu/Utusan Malaysia sememangnya amat dikenali oleh generasi ketika itu.Nora sering memberi inspirasi kepada anak-anak kampung yang mahu menjadi penulis termasuk saya.Namun masa dan waktu terus berlalu mengikut arus kehidupan. Sehingga hampir 25 tahun selepas pertemuan terakhir 1987 maka saya kemudiannya  mencari dan akhirnya menemui Nora yang ketika itu telah lanjut usia.

 Perjalanan hidup Nora, saya tahu begitu  panjang dan berliku. Beliau tersisih dari kehidupan dan rakan-rakan. Selepas zaman kemuncaknya dalam dunia sastera beliau kini menjalani kehidupan hari tua yang sepi. Kudrat untuk berkarya semakin susut ditambah pula ingatannya semakin berkurangan akibat alzheimer yang dihidapinya.

Demikianlah kenyataan hidup seorang sasterawan Haji Ali Haji Ahmad atau Nora yang pernah mencatatkan nama di persada dunia sastera negara ini.

Pertemuan saya dengan Pak Nora kali ini amat berbeza dengan pertemuan dulu terutama ketika beliau masih bertugas di Utusan Melayu.  Pak Nora yang  saya temui pada 2011 telah berpindah rumah dari Ampang Jaya dan  menetap di Taman Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Pak Nora ketika itu berusia 84 tahun, uzur dan menghidapi alzheimer, perlahan-lahan hilang daya ingatannya. Namun kudrat kemahuannya masih ceria dan bersemangat bercerita tentang sastera , dunia penulisan dan kewartawanan.

Pak Nora lahir di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor pada 25 Jun 1927. Mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis (1951-1959) tetapi kerana minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau diberhentikan.

Kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu pada  sebagai penyunting (editor)1969 hingga 1982. Di samping menulis cerpen, beliau aktif menghasilkan skrip drama (pentas, radio dan tv), novel dan esei. Antara novelnya ialah Puntung Hanyut (1965), Gelodak (1968), Gelandangan (1975) dan Kemarau di Hujung Daun (1977),lktikaf (1994) dan banyak lagi.



Bersama sasterawan Nora (Haji Ali Haji Ahmad) dalam suatu pertemuan baca puisi di UPM, Serdang 1987.

Pada tahun 1976, beliau memenangi hadiah ketiga mengarang novel anjuran GAPENA dengan judul Seribu Musim Kering. Cerpen-cerpennya terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan, Di Kelopak Senja (1973) dan lain-lain lagi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil dan Hadiah Karyawan Sastera Johor.

Hari-hari biasa Pak Nora meneruskan kehidupan  di penghujung senjanya. Sejak enam tahun lalu isterinya, Maznah juga terlantar akibat angin ahmar. Dahulu isterinyalah yang membuat kuih-muih tradisional untuk Pak Nora menghantarnya ke gerai-gerai sekitar Ampang Jaya, Selangor. Kini keadaan sudah banyak merubah hidupnya. Kedua-dua mereka terlantar tidak berdaya dan mengharapkan bantuan anak-anak dan sahabat-handai membantunya.

Apakah dalam mengejar kebendaan masyarakat kita kini, tiada pihak yang menyanjungi insan yang menghasilkan banyak khazanah bangsanya? Saya berharap kita tidak hanya mengenangkan seniman kreatif setelah ketiadaannya. Semoga karya-karya beliau dapat dihayati oleh generasi muda dengan beberapa inisiatif yang boleh difikirkan bersama untuk dihadirkan kembali kepada khalayak.

Saya sebenarnya telah lama berhajat berkunjung ziarah ke rumah Pak Nora. Saya pernah ke rumah beliau di Ampang Jaya dan bermalam di situ pada tahun 1976 dahulu sewaktu melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

Malah saya pernah berkunjung ke meja penyunting ruangan Sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia/Utusan Zaman ketika Pak Nora bertugas di sana. Pak Nora pada ketika itu berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin , Kuala Lumpur.

Semarak obor dan nyalaan semangat  membara dalam bidang penulisan ketika itu dibajai hasil kunjungan saya ke pejabat Utusan Melayu sekaligus mendekati Pak Nora yang menjadi kebanggaan kampung halaman kelahiran saya di Serom,Sungai Mati,Muar, Johor. Kesan kunjungan itu karya-karya saya yang menggunakan pelbagai nama pena yang memaparkan pelbagai kisah kasih sayang dan masyarakat mendapat tempat di akhbarUtusan Malaysia dalam kolum Secebis Kisah yang dikelolakan Pak Nora.

Walaupun seribu musim datang dan pergi namun kenangan saya kepada Pak  Nora tetap segar dalam ingatan. Kami saling berhubung sehinggalah beliau bersara daripada Utusan Melayu pada tahun 1982. Kemudian Pak Nora bergerak cergas dalam pertubuhan Al-Arqam dan mengasuh beberapa penerbitan Al-Arqam dan beberapa penerbitan lain yang bercorak keagamaan dan dakwah.

Pertemuan saya dengan  Pak Nora pada tahun 1987 di majlis baca puisi di UPM Serdang, Selangor. Selepas itu kami berpisah dan tidak kesempatan bertemu. Tetapi ditakdirkan terbuka hati saya  dan berkesempatan berkunjung ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah autobiografi kisah hidup Pak Nora yang ditulisnya tetapi disusun oleh Zakaria Sungip daripada Penerbitan Galeri llmu.

Pak Nora selepas bersara daripada Utusan Melayu lebih dikenali sebagai "Sasterawan Agama" yang terus menerus mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Khalayak bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangannya tetapi turut juga merasakan detak dan nilai rasa, limpahan sungai pengalaman kehidupannya dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah di media-media dakwah tanah air.

Pada awal tahun 2011 saya berjaya menghubungi Zakaria Sungip di Galeri llmu dan daripada beliau akhirnya saya dapat berhubung dengan anak Pak Nora dan dapat mengunjunginya bagi mendapat gambaran sebenar  keadaan beliau.Setahun kemudian saya mendapat khabar bahawa
sasterawan Nora kembali ke rahmatullah pada 7 April 2012 lalu pada usia 85 tahun. Sebagai anak jati Sungai Mati; adakah masyarakat setempat menyedarinya? Adalah wajar pihak yang berkaitan mengenangkan buat sesuatu kepada anak bangsa ini misalnya pihak berkuasa tempatan boleh menamakan sebatang jalan di Sungai Mati atau dalam daerah Tangkak dengan nama pena atau nama penuh beliau.Penulis dan Sasterawan bukanlah mudah dilahirkan.Mereka adalah anugerah alam dengan bakat batini dan deria rasa kurnia Allah SWT.Kini saya anak jati Serom 2 Hilir akan meneruskan legasi dan akan memupuk suburkan sastera bangsa selagi hayat dikandung badan (Dia Yang Pergi: Rajiee Hadi)





DIA YANG PERGI
( Al Fatihah Sasterawan Nora @ Hj. Ali bin Hj. Ahmad)

Sebagai anak sekampung pascamerdeka
segala nukilan kreatif menjadi pedoman
kebanggaan kehebatan kemashyuran
namamu Nora di tinta pena yang meniti
dari waktu remajaku bersemi alam ini

Sebagai anak sekampung yang menyeka debu
merah jalan becak bendang belukar melalang
menjadi teladan generasimu yang di kota
menyalur berita akhbar ternama di utusan
saban minggu mengasuh hati nurani sastera bangsa

Sebagai anak sekampung yang juga menitip
keluh rasa surat pembaca dan secebis kisah
kau dengan tekun membimbing dan membina
setiap bait klausa dan untaian puitis
menjadi nama besar dalam karya dan sebuah nama

Nora, di penghujung hayatmu di luar rumah utusan
nama Sungai Mati sering kau sulam dalam madah
setiap tazkirah kata hikmat pujangga sabda dan firman
katamu kehidupan di sebalik sana nanti kau impikan
kampung kelahiran  pangkalan menemui tanah sejati

Begitulah kudrat iradat yang tercatat
di mana-mana adalah milik Tuhan
kita hanya merancang dan mahu merasakan
manisnya hari di penghujung usia yang kental ini
ada ketikanya kita rapuh dengan fitrah ini
menemui Kekasih Abadi!



Rumah Mahkota Bangi SDE
21/9/2012
(oleh Dr. Haji Rajiee Hadi)
 (Dr. Rajiee Hadi)