HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

21 Disember 2016

DR KAMARUDDIN KACHAR KEMBALI KE RAHMATULLAH

PRESIDEN Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Kamaruddin Kachar, 82, telah kembali ke rahmatullah di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, 20 Disember 2016.
Add caption
Anak Allahyarham, Datuk Amir Arif berkata, bapanya itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.45 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, Selangor.Menurut beliau, Allahyarham menghidap penyakit jantung sejak empat tahun lalu dan semakin teruk sejak sebulan lalu.

“Sebelum menghembuskan nafas, arwah berpesan kepada semua anak-anak supaya menjaga emak dengan baik,” kata anak ketiga Allahyarham ketika dihubungi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Che Tom Osman bersama tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Kamaruddin merupakan tokoh Melayu yang banyak menyumbang dan berbakti kepada negara serta pernah menggalas pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Pengarah Pendidikan Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan Timbalan Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia) dan Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM yang diasaskannya selepas Fakulti Perkhidmatan Pendididikan yang ditubuhkan oleh Allahyarham Prof Dr Atan Long. 


Kenangan yang saya tidak lupa ialah beliau tidak lupa menyebut nama saya setiap kali bersua muka dengan saya walaupun telah bertahun-tahun beliau bersara rasmi daripada UPM. Beliau dengan lawak muka bersahaja sering menyebut nama saya "Rajiun@Rojiun". Sebenarnya sebutan itu mula diucapkan sewaktu beliau kali pertama (sebagai Dekan FPP UPM) berucap di hadapan para mahasiswa baharu FPP pada awal tahun 1980-an dahulu. Tentu ada sesuatu yang menarik antara saya dan beliau. Sememangnya  ada sesuatu yang melucukan..Cerita ini sudah saya paparkan dalam buku memoir tulisan saya , TRAVELOG GURU (2015, Awan Prima). 


Jasa beliau neningkatkan taraf akademik golongan guru tetap diingat dan dikenang sepanjang zaman .Dan saya akhirnya jua mengucapkan kalimah "llnalillahwainailahirojiun"..menyebut kalimah "rojiun" buat Allahyarham Ayahanda Dr Kamaruddin. Al- Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada di syurga kelak. Amin ya Rabbal alamin.


16 Disember 2016

SUATU WAKTU DI KUCHING, SARAWAK, BUMI KENYALANG



 Perjalanan  hampir 100  kilometer dari bandar raya  Kuching ke Perkampungan Hari Puisi Nasional ke-9 di Pantai Sematan Daerah Lundu amat mengesankan sebilangan besar para peserta  yang menghadiri pertemuan  pada 2 hingga 6 Ogos 1984 di Sarawak. Lebih 200 peserta yang datang dari Semenanjung, Sabah, Negara Brunei Darussalam, Singapura, Filipina dan Indonesia terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang hebat. Seolah-olah bertepatan dengan temanya ‘Alam, Penyair dan Puisi’ yang mengajak sekalian penyair berkongsi  menimba kepahitan dan getir bagi sebilangan besar penduduk di bumi kenyalang itu. 
 
Bandar Raya Kuching, Sarawak.


          Minda saya ketika itu masih terakam akan kata-kata  Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS)  Adi Badiozaman Tuah (Datuk Dr.) dalam buku cenderamata Hari Puisi  1984 yang antara lain menyebut …” Kita yakin akan dapat mendekatkan diri kita  kepada alam yang mencorakkan  dan mewarnakan kewujudan kita  sebagai makhluk  Allah di dunia  yang fana ini. Kesedaran akan hubungan yang saling bertalian  di antara manusia dengan alam sekitar akan dapat  membuka mata dan hati kita tentang hakikat  bahawa sesungguhnya kita tidak bersendirian di bumi ini …” Nafas Sematan

Dan atas dasar itulah, enam buah bas yang membawa para peserta dengan melalui jalan raya yang bengkang-bengkok, berliku-liku dan berlubanglubang dipenuhi debu  yang menyeka mata hampir  100 km memakan masa lebih tiga jam menuju Pantai Sematan memberi perkongsian  pengalaman dan kenangan yang sukar dilupakan. Apatah lagi, ada bas yang telah mengalami kerosakan pendingin hawa, situasi yang cukup memanaskan hati dan perasaan. 

Kemarahan dalaman yang membuak-buak disogokkan pula dengan berita ramai  peserta kelaparan. Lebih-lebih lagi sewaktu meninggalkan kediaman sementara di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching pada 2.30 petang, rata-rata para peserta tidak berkesempatan  ataupun tidak disediakan makanan  tengah hari  oleh urus setia. Difahamkan pihak urus setia menghadapi kerumitan dan masalah penyelenggaraan dan logistik.


Perjalanan menuju ke Sematan, Sarawak bersama Yusnor EF dan beberapa penulis Singapura
(1984)
           Namun masalah demi  masalah yang dihadapi oleh para peserta  dapat ditenteramkan oleh keindahan  asli Pantai Sematan yang terbentang luas menghadap  Laut China Selatan. Tidak jauh dari pantai itu, kelihatan  jelas Pulau Talang-Talang yang terkenal kerana destinasi  lubuk penyu bertelur. Para peserta yang bagaikan terkurung seperti patuh pada setiap acara yang dijalankan. Lantas Dewan Balai Raya  Sematan yang antik  itu tidak dirasai kekosongannya. 
Lokasi pantai Sematan & Pulau Talang-Talang

Walaupun para peserta  terpaksa menapak juga dari perkampungan puisi ke dewan makan di Sekolah Kebangsaan Sematan, Lundu dan  kemudian berpatah balik ke balai raya  yang hampir 2 km, namun para peserta begitu tabah dan tidak mahu ketinggalan dalam setiap acara. Walau bagaimanapun, kepenatan para peserta diredakan juga oleh beberapa persembahan kesenian masyarakat Sarawak,  sama ada tarian  tradisi, drama, lagu-lagu puisi oleh Abdillah S.M (meninggal dunia 2014) dengan Kumpulan Marhaen dan persembahan muzik tradisional suku kaum bumiputera Sarawak. 

Saya gembira kerana buat pertama kalinya dapat menonton secara langsung tarian tradisional suku kaum Bidayuh, Melanau, Iban Kenyah  dan Dayak Laut yang dipersembahkan   oleh kumpulan Seri Tarina, Seridaya  Sarawak dan  Rumpun Seni
Budaya Sarawak (RUSDA) yang sungguh mengasyikkan sebilangan  besar hadirin yang agak keletihan  pada malam-malam Hari Puisi itu. Kumpulan RUSDA pula berjaya mendramakan kisah ‘Si Tanggang” dalam persembahan taridra yang mengharukan pada malam keduanya.

          Oleh sebab pada masa itu belum wujud lagi Perkampungan Budaya Sarawak seperti yang ada sekarang sebagai produk pelancongan negeri Sarawak, maka persembahan badan-badan kesenian anak negeri ini banyak memberi input dan pengalaman yang menarik. Walaupun  atur cara siangnya dipadatkan dengan  pembentangan dan perbahasan  kertas kerja yang dimulakan pada  hari pertamanya oleh penyair Dharmawijaya  (Allahyarham) dan berikutnya oleh Kemala yang berkisar pada persoalan alam kepenyairan berlandaskan keislaman. 
 
Kampung Pueh, Sematan, Sarawak.

Situasi yang kadangkala hangat runcing diselang-seli pula oleh beberapa kelucuan  dan kegamatan yang memecah keheningan Balai Raya Sematan. Diskusi sastera yang diperkatakan oleh A. Samad Said,  Muhamad Haji Salleh dan Ramli Isin berkisar pengalaman masing-masing cukup menarik. Sebelum itu, Siti Zainon Ismail (Prof. Dr.) turut memberikan warna ke dalam puisi-puisi mutakhirnya seolah-olah terpaksa mempertahankan hujahnya  yang kian menjadi polemik,  dan Zainon gigih sekali mempertahankan dengan tangkisan dan bidasan keilmuannya. 

Pesona Alam

Walau apapun yang dirakamkan dengan tinta pena tentang hari puisi, namun sejenak di Rumah Panjang Kampung Pueh, Lundu pada  hari-hari terakhir saya dan teman-teman penyair di Sematan dapat merasakan getar hidup anak-anak peribumi serta banyak mengenali sahabat handai dari Semenanjung akan arus kemajuan  yang dirasakan,  turut dirasakan apabila Bumi Kenyalang ini bergabung dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 lampau. 

Dan  nikmat pembangunan yang dikecapi oleh sebilangan besar  masyarakatnya  yang selama ini dirasakan terpencil dapat memberi impak dan menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Dan atas  keramahan dan kemesraan  dengan beberapa penari daripada suku kaum Bidayuh Kampung Pueh sudah cukup sebagai oleh-oleh para peserta dari setiap pelosok Asia Tenggara.
          Kenangan terus ‘terikat’ dengan budi mesra Bapa Budayawan Sarawak Datuk Haji Noor Tahir, Menteri Perhutanan Sarawak ketika itu  di kediamannya di Petra Jaya, Kuching pada malam perpisahan. Dirasakan getaran sukma bapa budayawan yang menyampaikan sumbangsih lagu dan turut mendeklamasikan puisi terbawa-bawa dalam kenangan peserta. Jelasnya, nafas dan desah sendu suara kepenyairan A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Siti Zainon Ismail, Adi Badiozaman Tuah (Datuk Dr.), Saiee Driss, Abdillah S.M. dan Mat Segalang (sekadar menyebut beberapa nama) terus meninggalkan kesan  di pesisir Pantai Sematan, khususnya di Bumi Kenyalang dengan terus menyemarakkan alam, penyair dan puisinya. 

Sehingga kini pada tahun 2013, Tasik Biru Bau, Sungai Lundu,  Pantai Sematan, Kampung Pueh dan pulau Talang-Talang masih hidup mekar segar dalam kotak memori nostalgia saya, ketika saya mengunjunginya buat kali kedua. Nama-nama penulis Sarawak yang menyusul kemudian seperti Jais Sahok, Jeniri Amir, Margie Leo, Ratnawati Jamil dan lain-lain terus bertakhta di lanskap sastera tanah air. 

Dan sejak itu, saya banyak menghasilkan sajak-sajak tentang Sarawak.  Antaranya, sajak yang dihasilkan 10 tahun kemudian mengenai pembangunan Sarawak telah disiarkan oleh majalah Mastika’ terbitan April 1994. Kebetulan pula, pengarang majalah Mastika, Ratnawati Jamil ialah anak jati Sarawak:

MENDEPANI KOTA SAMARAHAN
(kepada Unimas)

Masihkah kau menyisip nostalgia
kita bagaikan gerup dengan sisir*
menyimpan segala lara
mencanang setiap kebaikan
tidak kulupa
saat-saat di Sematan
singgah di kota kembang Samarahan
di tanah Lundu termeterai temali ingatan
 di hujung pulau Talang-Talang masih terpandang
 dan deru ombak turut menyisir pesona
tanah Semenanjung yang ditinggalkan
semadi kasihku abadi mencengkam semi
dan masih kuingat lagi
kerikil rentang ke Kampung Pueh
pedalaman gubuk panjang lembut tari anak peribumi
kental mendakap tradisi
kini mahasiswa universiti!


Rajiee Hadi,
Mastika, April, 1994.



Salam puisi yang berkekalan daripada saya. Jadikan alam indah yang terkembang sebagai guru.

oleh: RAJIEE HADI