HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

26 Disember 2017

SHAHNON AHMAD KEMBALI KE RAHMAHTULLAH DI KAJANG

Hasil carian imej untuk SHAHNON AHMAD
Allahyarham SN Shahnon Ahmad 




Penulis (berbaju hijau) bersama SN A. Samad Said, SN Kemala dll. di Surau Madani, Seksy. 3 Bandar Baru Bangi ketika menziarahi jenazah Allahyarham SN Shahnon Ahmad.





Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ, Kajang kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Allahyarham yang juga bekas ahli parlimen Sik dilapor menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun.
Difahamkan jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3, Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur.







Dilahirkan pada tahun 1933 di Sik Kedah, Shahnon mula menghasilkan novel pertamanya, Rentong pada 1956.
Sejak itu nama Shahnon semakin dikenali dalam dunia sastera.
Novel ketiga beliau Ranjau Sepanjang Jalan (1966) dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat ke layar perak pada 1983.
Selain itu, novel Srengenge (1973) dipilih sebagai novel terbaik dan memenangi Panel Hadiah Karya Sastera 1973.
Shahnon menerima anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1982.
sumber :Mkini, 26.12.17

25 Disember 2017

puisi: KISAH SEMALAM

Kerikil jejak dilewati 
teruji belai dan badai
ada ketikanya aku 
setia terus menanti
ada waktunya menata
teka-teki bersilang kata

Aku dambakan hujan 
turun merubah tumbuhan
aku harapkan terik mentari 
mengeringkan nestapa luka
aku nantikan dinihari embun 
mendinginkan sukma
aku impikan kita 
saling menghormati bicara

Setelah dilewati pasti
dua puluh dua tahun berlalu,
ada jendela terbuka 
menghirup udara seketika
dalam rumah hayat semenda
ironisnya tatapku jua 
dalam kegelapan siang
aku terus menanti 
sengsara bagai gelombang
gurindam jiwa

Dan setelah musim 
rona tona warna berlalu
aku menguatkan diri membaca 
fitnah firasat yang punah
dalam aneka warna 
penglipur lara berduka
dan telah lama aku mengoyakkan 
kalendar lusuh itu
melontar jauh ke perigi durjana
selamat tinggal masa lalu.


RAJIEE HADI
Rumah Mahkota,
Bandar Bukit Mahkota,Bangi,SDE.
28 Ogos 2012.


22 Disember 2017

Puisi : Kisah Isteri Yang Hilang

Begini ceteranya:

Aku kehilangan sebahagian waktuku
Yang kupindahkan sebahagian hidupku
Ketika manusia menemui yang palsu
Betapa aku bagai awan terapung
Kerana pelangi petang yang kau kejari

Fikirmu fikirku berputar kelabu
Antara kita mencakar dinding kelabu
Kutahu budimu sepesisir laut biru
Dan kubaca surat-suratmu pada mentari
Namun lampu-lampu di jalanan malam
Seakan pudar sepi membisu

Di kamar yang kini sendu
Kucari dirimu saban waktu
Kucari dirimu jua di celah lipatan jendela
Seakan bayangmu mewarnai kelmarin
Aku mengejar berlari mencari
Hilang kejauhan malam yang dingin

Di antara bulan dan mentari itu
Kubaca lagi surat-surat birumu
Kutahu antara kita selaut budi bersemi
Telah kita jejaki impian dan realiti
Mengutip kerikil dan kristal meniti

Tiba-tiba perjalanan indah kita berbalam
Air mata perkasa lelakiku kering luluh
Terbenam dalam silauan kelam
Dalam kamar seribu getar dingin suram
Kudengar suaramu berulang menghantui mata hatiku

Namun nafasku kini masih mengejar kalimah ya Rabbi
Segar bicara tasbih kasih mesra sejati abadi
Dan menjadi aku kejap melangkah kembali
Biarpun kau tidak di samping doaku kini
Kutidak pasti di manakah pusaramu bersemadi.


RAJIEE HADI,
Bandar Baru Bangi,SDE.
2004-2017.