HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

21 Februari 2012

INTERLOK, UTHAYA SANKAR SB & SEBUAH TRAGIS

Penulis rasa isu novel lnterlok semakin dibiarkan berlarutan dikhuatiri kelak masyarakat menganggap seperti ' kebudak-budakan'. 

Sejak awal lagi penulis menekankan bahawa sesiapa yang mahu bercakap mengenai novel lnterlok maka wajib dibaca dan dihayati. Jika tidak dapat dihayati maka membaca hanya sekali tidak memadai. Bacalah dua atau tiga kali ataupun beberapa kali yang disukai.

Penulis rasa tidak perlulah berhujah berdasarkan pengalaman sendiri sebagai seorang Guru Bahasa Melayu, Guru Kesusasteraan Melayu, Pemeriksaan Kertas Peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM, penggiat kesusasteraan, penulis kreatif, wartawan sambilan, stringer sebuah akhbar arus perdana terkemuka dan lain-lain.

Tidak perlu penulis sebutkan yang 'lain-lain' lagi. Apatah lagi salah seorang ahli panelnya Uthaya Sankar SB dilaporkan oleh wartawan portal berita 'seorang novelis dan penulis cerpen terkenal'. Jikalau begitu, elok dan tahniahlah.

Soalnya; jika perbincangan tersebut dibincangkan dari sudut leksikologi , psikosastera dan psikolinguistik maka biarlah dibicarakan dari aspek tersebut. Dan sudah tentulah disiplin pembicara atau ahli-ahli panelnya juga berada dalam lingkungan tersebut.


Begitu juga andainya diperhalusi dari aspek sosiolinguistik,semantik, antropologi dan silang budaya maka keahlian dan kepakaran pembicara juga tidak boleh dipertikaikan lagi. Bak kata bidalan Melayu; jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan tanah tinggi rendah; jika kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga; usahlah menangguk di air keruh; buang yang keruh,ambil yang jernih.

Kepada Uthaya Sankar SB yang penulis rasakan mewakili generasi anak muda pascamerdeka ataupun lebih tepat pasca-Malaysia; Uthaya tentulah mempunyai deria bara yang berkobar-kobar; semarak juang dan idealis memuncak.

Namun sebagai individu yang tahu sedikit sebanyak dunia penulisan, kreatif dan kreativiti adalah lebih baik Uthaya bercakap sebagai seorang seniman kreatif.

Apabila penulis membaca sebuah laporan daripada akhbar bahawa Uthaya juga salah seorang exco pemuda MIC maka penulis rasa agak kurang seronok dan dirasakan adalah malang jika Uthaya berfikir dan berdiri sebagai seorang exco pemuda MIC yang mana tentulah memakai kaca mata yang berkepentingan politik.

Walaupun ini hanya pendapat peribadi penulis sebagai sahabat dan rakan sesama penulis namun sewaktu pertemuan singkat dengannya sewaktu waktu dahulu penulis ada menyebut, " Jangan anda risau. Sesuatu bangsa atau individu itu akan dihormati dan dikagumi bukan kerana asal usul keturunannya tetapi kerana kejayaannya berjaya meningkatkan martabat diri dengan ilmu pengetahuan”.
Tegasnya, bukan kerana perkara-perkara yang remeh-temeh ini.

Sebenarnya penulis pun tidak mengenali sangat siapakah Uthaya Sankar SB ini. Maklumlah antara penulis dan beliau kami berbeza generasi.

Uthaya sudah pasti generasi pasca 13 Mei 69 yang mana era negara kita ke arah pembangunan dalam serba bidang; baik pendidikan, ekonomi mahupun pembinaan sosial.

Kebetulan semasa penulis bertugas di Negara Brunei Darussalam, pada awal pagi sering menonton RTM 1 slot laporan dan komentar akhbar-akhbar Malaysia lalu ternampak Uthaya di kaca TV yang pernah bekerja secara kontrak di RTM ketika itu.

Sebelum itu lama dahulu pernah penulis terserempak dengan beliau kerana ketika itu beliau satu-satunya anak muda keturunan lndia yang ikuti kuliah sarjana di Jabatan Persuratan Melayu UKM manakala penulis ketika itu sudah pun berjaya mendaftarkan diri sebagai mahasiswa PhD di UKM.

Ditakdirkan dalam kesibukan isu Interlok diperkatakan sana sini pada bulan Februari lalu, kebetulan penulis terserempak Uthaya di Shah Alam. Penulis sedang mencari bahan untuk satu projek penyelidikan manakala Sankar sibuk katanya kini bertugas sebagai wartawan di sebuah penerbitan.

Penulis seperti biasa, bertegur-sapa terlebih dahulu kerana berpegang kepada bidalan 'ular jika menyusuri akar takkan hilang bisanya'.

Oleh kerana komitmen dan hambatan waktu, penulis sekadar bertanya khabar dan berbual ringkas kerana kami saling memahami tanggungjawab masing-masing. Penulis bertanyakan tentang pengajian sarjananya di UKM. Beliau memberitahu pengajiannya tidak tamat, separuh jalan.

Penulis bertanyakan juga beliau mendapat ijazah pertama daripada universiti mana dan katanya dari Universiti Malaya dalam bidang pengajian media. Eloklah, ujar penulis jujur.

Apa yang penulis mahu nyatakan bahawa pada mulanya penulis menyangkakan mungkin Uthaya memperoleh disiplin linguistik Melayu atau antropologi ataupun dalam disiplin kesusasteraan Melayu seperti Lim Swee Tin sahabat lama penulis. Namun keadaan di sebaliknya.Tetapi tidak kisahlah.Yang penting ada minat, ada latar penglibatan dan ada kesungguhan.

Begitulah Uthaya Sankar yang penulis temui secara kebetulan. Kemudian penulis cuba memancing bertanyakan isu interlok. Tetapi mungkin situasi ketika itu, Uthaya cuba mengelaknya.

Penulis faham dan akur. Daripada situ penulis diberitahu olehnya bahawa kebolehannya berwacana dalam Bahasa Melayu kerana latarnya mendapat pendidikan formal di sekolah kebangsaan bukan SJK Tamil dan tinggal di kawasan perkampungan Melayu bukan di estet.

Dengan selamba penulis bergurau bahawa jika begitu penulis lebih mengenali masyarakat lndia di Malaysia daripada beliau. Penulis jelaskan bahawa penulis membesar dan bergaul dengan kehidupan di estet sejak dilahirkan dan membesar dalam kelompok komuniti Melayu,Cina dan lndia.

Dalam erti kata lain, penulis sangat masak dengan tingkah ragam dan gaya resam masyarakat lndia ketika itu di estet. Bahkan apa yang ada dalam budaya pemikiran masyarakat lndia di Malaysia ini penulis dapat rasakan.

Sebab itu lnterlok yang penulis pernah baca pada tahun 1970, dapat penulis hayati kerana penulis merasakan terlalu hampir dengan kehidupan itu dan tiada masalah apapun jika tidak dipinda apa jua pun.

lni adalah hakikat dan realiti serta bukan penghinaan; dan merupakan silap faham dan prasangka sia-sia.

Mungkin Uthaya boleh bertutur bahasa Tamil tidak dinafikan. Namun jika dibandingkan latar kehidupan penulis dengan Uthaya yang berlatarkan masyarakat lndia maka penulis yakin melebihi beliau dari aspek latar walaupun penulis gagal untuk belajar bertutur dan menulis Tamil kerana tidak belajar di SJK Tamil.

Sekadar pengalaman membesar dan bekerja sambilan di estet semasa remaja serta pernah mengendalikan kelas tiusyen Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia untuk pelajar lndia yang mengambil SPM dan SRP (PMR) di estet pada tahun 1975. Ah, di manakah Uthaya ketika itu?

Justeru antara dipolitikkan dan disensasikan untuk meraih publisiti berhubung isu interlok yang belum berkesudahan; terserahlah kepada pembaca dan masyarakat untuk menilainya.
Kesimpulannya: Ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. lkutlah rentak dan adat, 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.(sumber:Tajuk asal Surat Terbuka Untuk Uthaya Sankar MKini oleh Dr. Rajiee Hadi)

18 Februari 2012

PENGEMIS DAN ZAKAT SALAH SIAPA?

DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Dan saya  hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi membantu golongan lslam daif.

Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai   termasuk dana bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan,wang,harta,barangan kemas  dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.

Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diwakafkan ataupun diselenggarakan oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal.

Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.

Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja katolik atau mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?

Kepada para pemegang amanah yang alim warak di jabatan atau majlis-majlis agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina kolej universiti,premis dan wisma yang didirikan atas logo lslam boleh mengeringkan derita air mata sang peminta?

Amat memalukan  jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang tidak wajib dimercukan.Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada kemiskinan dan kelaparan umat lslam.

Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah 10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.

Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang  dalam kategori fakir dalam lingkungan  1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan untuk bercucuk tanam.

Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu tahun sahaja,RM12juta  PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.

Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul zakat dan sumber-sumber yang lain.
Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.

Nota ini cuma mahu mencetuskan minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!


(oleh Dr Rajiee Hadi,Presiden Persatuan Pengamal Pendikan, Kuala Lumpur.)