HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

24 Mac 2013

PENCERAMAH MOTIVASI KINI BANYAK YANG TEMBERANG ?





APABILA jenama ‘Islam' itu laris, ramai orang menggunakannya. Sama ada mereka itu ikhlas kerana Allah, ataupun kerana ‘market demand' hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Bermula dari pelbagai produk makanan dan barangan cuba dikaitkan dengan agama sehingga kepada pelbagai jenis motivasi. Akhirnya, agama kelihatan murah dan selekeh.

Ubat-ubatan yang entah apa-apa kualitinya dikaitkan kononnya makanan Nabi SAW Sama seperti sesetengah para penjual tamar di Mekah dan Madinah yang apabila melihat orang asing akan berteriak memanggil pembeli dengan menyebut: "Tamar Nabi! Tamar Nabi! Tamar Nabi!"

Saya sering menjawab mereka dengan berkata: "Tamar Nabi SAW baginda sudah pun makan dan habis pada zaman tersebut. Ini tamar awak punya, bukan Nabi SAW punya."

Malangnya, orang yang tidak tahu akan tertipu lalu membeli tamar dengan harga berlipat kali ganda hanya disebabkan laungan ‘tamar Nabi SAW'. Agama sering menjadi alat penipuan dan kepentingan golongan yang pandai mengekplotasikannya.

Tuntutan pasaran

Saya tidak menyatakan semua, tapi sesetengah penceramah motivasi yang tidak mendalami agama juga demikian. Oleh kerana ceramah merupakan pendapat utama ataupun besar bagi sesetengah pihak, maka mereka mencari jalan untuk memenuhi ‘market demand' (tuntuan pasaran).

Apabila mereka melihat unsur agama mendapat sambutan, maka mereka pun memasukkan unsur agama dalam ceramah-ceramah mereka. Malangnya, mereka mula ‘merepek' ataupun mengada-adakan atas nama agama apa yang tiada asas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Contohnya, ada yang menyatakan kita sebelum tidur hendaklah memohon maaf kepada semua kenalan. Jika Islam mewajibkan hal yang seperti ini, tentulah sukar bagi para sahabat yang pada zaman mereka tiada SMS, telefon, WhatsApp ataupun apa sahaja teknologi seperti hari ini.

Islam menyuruh kita memohon maaf apabila kita melakukan kesalahan, bukan setiap kali hendak tidur. Pandangan motivasi seperti itu sekadar menggayakan syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.

Ada pula yang menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan dan minum yang diberikan. Ini adalah kedangkalan faham terhadap hukum syarak. Suami diwajibkan syarak memberikan isteri dan anak-anak makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jika suami gagal memenuhi hal ini tanpa sebab yang sah maka dia berdosa di sisi Allah.

Jika gagal, suami yang sepatutnya meminta maaf kepada isteri dan anak-anak. Lihat arahan Allah kepada suami yang menceraikan isteri yang bermaksud:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu), dan jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah; dan berundinglah antara kamu (dalam hal penyusuan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu (suami) memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (Ingatlah) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."(Surah al-Talaq ayat 6-7)

Hatta dalam iddah dan selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab suami. Inikan pula semasa perkahwinan masih berjalan. Firman Allah lagi yang bermaksud:

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 233).

Walaupun majoriti ulama berpendapat ibu hanya disunatkan ataupun digalakkan menyusukan anaknya, namun mereka tetap berpendapat jika tiada siapa selain ibu yang dapat menyusukan anaknya, maka menjadi wajib ke atas ibu untuk menyusu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, 2/360. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu'asir 1991)

Pandangan timbulkan salah faham

Justeru, anak memang wajib berbuat baik dan menghormati ibu, tetapi dalam Islam tiada ungkapan kena meminta halal susu ibu yang telah kita minum. Sebaliknya, jika seseorang ibu meninggalkan anak tanpa susuan dan tiada gentian yang selayaknya, maka ibu itu berdosa.

Demikian isteri tidak perlu meminta halal dari suami kerana itu adalah tanggungjawab yang Allah fardukan ke atas suami. Hanya isteri memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Nabi SAW mengingatkan suami dan bapa dengan sabda baginda:

"Seseorang cukup berdosa dengan dia cuai terhadap sesiapa yang menjadi tanggungjawabnya untuk memberi makan". (Riwayat Abu Daud, bertaraf hasan)

Pendapat-pendapat seperti itu meletakkan isteri dalam keadaan bersalah kerana memakan nafkah yang suami berikan sehingga kena meminta halal. Malangnya, kurang ditekankan tanggungjawab suami terhadap keluarga. Ini memberikan persepsi yang salah tentang Islam. Juga menjadikan suami sering rasa tidak bersalah atau kurang bersalah atas kecuaiannya.

Ini diwarisi sehingga dalam politik di mana rakyat sentiasa dianggap bersalah sehingga terpaksa akur apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa disebabkan pemberian ataupun kemudahan infrastruktur yang diberikan ataupun disediakan oleh kerajaan. Tanpa mengingatkan itu adalah tanggungjawab penguasa yang jika mereka cuai mereka berdosa.

Nafkah haram?

Ada pula penceramah motivasi yang menyatakan anak-anak yang tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapat bapa itu tidak halal. Isteri dianggap turut berdosa atas pendapatan haram suami. Kita bertanya, apa yang hendak mereka jawab mengenai anak-anak non-muslim yang cemerlang sedang ibu bapa mungkin terlibat dengan riba dan seumpamanya.

Dalam Islam, isteri-anak tidak bersalah atas kerja buat suami. Nafkah yang diberikan suami kepada isteri dan anak adalah halal diterima kerana itu tanggungjawab suami. Dosa hanya ditanggung oleh pihak suami sahaja jika wang itu diterimanya secara haram. Adapun isteri dan anak, mereka menerimanya secara halal kerana ia nafkah yang wajib.

Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas'ud: "Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan".

Jawab ‘Abdullah bin Mas'ud: "Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya." (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675)

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?.

Jawab Ibn ‘Umar: Ya" (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138)

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.

Beliau menjawab: "Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi, memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa."

Ahli motivasi juga jangan lupa, wang yang diperoleh melalui motivasi yang tidak benar dan menggunakan nama Allah dan rasul-Nya secara salah juga termasuk dalam senarai yang haram.

Bacaan datangkan khasiat

Ada pula pakar motivasi mengeluarkan petua kononnya bacaan itu dan ini mendatang pelbagai khasiat. Ada yang kata baca fatihah untuk ibubapa setiap pagi mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan itu. Pemberi rezeki hanyalah Allah. Bilakah Allah menurunkan wahyu kepada mereka ini memberitahu jika manusia baca ayat-ayat ini Dia akan turunkan rezeki?

Inilah yang al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ulas mengenai tipu daya iblis terhadap golongan wu'adz dan tukang cerita ini:

"...maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bidaah dalam bidang ini... di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan."

Mereka lupa sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Bukan tujuan tulisan ini menghalang ahli-ahli motivasi bercakap agama, tetapi pastikan apa yang disebut itu berasas dan benar dari segi faktanya.


(sumber oleh: PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi mana-mana media yang menyiarkannya .Judul asal artikel ini  'Bila Cermah Motivasi Merepek', MK,15 Mac 2013)

3 Mac 2013

SULU: TRAGEDI SEBUAH KEHIDUPAN



MENYELUSURI sejarah silam Kesultanan Sulu pernah  suatu zaman Kesultanan Sulu gah di persada dunia, sejarahnya persis era PEMERINTAHAN KESULTANAN MELAYU MELAKA. Ramai pendakwah dari keturunan Rasulullah S.A.W dan juga WALI SONGO  dari tanah JAWA telah sampai ke kepulauan SULU dan mengislamkan rakyatnya.

 Mereka  ditanam dengan ketauhidan yang sangat kuat dalam hati. Mereka hidup aman damai dengan kasih sayang dan keberkatan melata di bumi SULU yang subur dan pernah menjadi saksi tertegaknya kerajaan ISLAM suatu masa dahulu dengan nama SULU DARUL ISLAM

Kini masyarakat di Kepulauan Sulu hidup dalam keadaan yang amat daif, tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tanpa bekalan elektrik, rumah yang usang beratapkan rumbia berlantaikan buluh, tiada pendidikan yang sempurna, jauh daripada pembangunan dan kecanggihan teknologi, tanpa kewarganegaraan, tersisih dan berserakan di mana-mana. 

Kehidupan kanak-kanak Sulu yang memerlukan pembelaan, pendidikan, dan usaha mengembalikan zaman kanak-kanak
yang gembira.
Kawasan perairan Sulu belum tercemar, dan menjadi tempat pembiakan ikan, di jetinya sahaja
banyak ikan sebesar tapak tangan berenang-renang.

Kehidupan yang sentiasa kelaparan serta susah akibat kemiskinan yang menghimpit dek kesan peperangan yang panjang; era penjajahan Sepanyol, Amerika,Jepun dan kembali berperang dengan Amerika. Di pulau Luzon identiti Kemelayuan dan keislaman telah pudar dan hilang akibat kristianiti dan percampuran perkahwinan penduduk tempatan dengan keturunan Cina,Jepun dan imperialis Amerika.

Bersandarkan  semerbak harum mewangi suara kemanuasiaan sejagat membawa mesej cinta dan kasih sayang untuk semua warga rumpun Nusantara ini maka kita berkongsi derita lara umat Nabi S.A.W dmi sebuah rahsia cinta. Kita memfokuskan untuk menyeru semua pihak yang mahu bersama agar dapat membantu dan meringankan kesusahan rakyat umat Islam di Sulu supaya mereka dapat menikmati makanan dan keperluan asas yang mampu meringankan kesusahan mereka. Sudah sampai masanya kita hulurkan kasih sayang yang lama tidak dinikmati umat Islam di SULU.

Kepulauan Sulu 100% adalah Islam. Sulu pernah didatangi pendakwah Arab yang dikatakan daripada keturunan Rasulullah S.A.W. Mereka inilah yang telah mengislamkan keseluruhan masyarakat di Sulu dan berkahwin dengan masyarakat setempat dan menetap sehingga kini. Masyarakat Sulu sangat menghormati golongan ulama . Mudah-mudahan ada saudara seagama yang bangkit membantu atas dasar kasih sayang, kedamaian dan persaudaraan dalam Islam.

Dengan semangat dan DASAR KASIH SAYANG pada umat baginda Nabi S.A.W sebuah badan NGO 'Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HARUM) tampil mengambil inisiatif merintis MISI KEMANUSIAAN KASIH SAYANG dengan sumbangan berupa pakaian dan wang kepada rakyat SULU TERTINDAS. Beberapa siri Misi Kemanusiaan ini akan dihantar lagi untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung rakyat Islam di sana. Alhamdulillah segala perjalanan selamat cuma memenatkan dan mereka  melihat sendiri kedamaian SULU dan kemelaratan rakyatnya yang menagih seteguk rasa kasih.
Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ini menemani ibunya mengambil air untuk kegunaan harian ; redup mataknya mneceritakan 1001 kisah duka masyarakat Sulu yang hidup tanpa bekalan air dan elektrik sejak sekian lama. 

Namun tragedi pencerobohan apa yang dinamakan 'Tentera DiRaja Kesultanan Sulu' (tidak mewakili keseluruhan rakyat Sulu) ke Lahad Datu,Sabah,Malaysia yang mana kemuncaknya berlaku tembak menembak pada 1 Mac 2013 yang mengakibatkan dua komando VT69 PDRM terbunuh dan beberapa cedera serta terbunuhnya beberapa orang di pihak lawan sungguh menyayat hati. (kini 3/3/2013 5 anggota PDRM telah terbunuh termasuk di Semporna,Sabah)

Penulis mengucapkan takziah yang mendalam kepada kepada semua mangsa saudara se-lslam khususnya kepada keluarga anggota pasukan keselamatan Malaysia yang dipertanggunjwabkan menjaga kedaulatan negara.Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka. Begitulah bermulanya era penjajah Sepanyol sejak abad ke-16 memecahbelahkan kita umat lslam lantaran permusuhan dan dendamnya selepas zaman perang salib.Kita umat lslam dan bangsa rumpun Melayu di wilayah lain; beringat-ingatlah bahawa musuh lslam sentiasa wujud tidak kira mengira waktu dan zaman.








Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ini menemani ibunya mengambil air untuk kegunaan harian; redup matanya menceritakan 1001 kisah duka masyarakat Sulu yang hidup tanpa bekalan air dan elektrik sejak sekian lama.



Beratapkan rumbia, berlantaikan buluh; kedaifan ini melata ke seluruh Kepulauan Sulu.



Pemandangan pekan di Kepulauan Sulu, aktiviti perniagaan di sini juga sekadarnya sahaja. Yang banyak dijual adalah makanan ringan --itu sahaja kemampuan mereka di sini. Selebihnya ubi,kelapa dan sumber alam menjadi sandaran mereka untuk hidup.


Pemandangan laut lepas dan aktiviti laut masyarakat Sulu.


Keadaan sebenar kedai di Kepulauan Sulu ..perhatikan deretan kedai yang usang dan jalan tanah


Rumah di kawasan pantai juga ibarat perkampungan setinggan yang berasak-asak serta laluan yang sempit bertitikan buluh.


Si ibu menangis kerinduan setia menanti kepulangan anak perempuannya yang telah berhijrah dan berkahwin di Malaysia tetapi tidak berani kembali ke Kepulauan Sulu. Air mata kerinduan bergenang di kelopak mata si ibu menceritakan rasa kerinduan kepada anak tercinta, mengenangkan kudrat semakin lemah, beliau berdoa berharap agar dapat menatap wajah dan melepaskan kerinduan kepada anak yang disayangi . Kesan peperangan yang panjang menyebabkan ramai ahli keluarga terpisah dan berpisah.


Keadaan sekolah dari pintu masuk hadapan, ibarat hidup segan mati tidak mahu.Bandingkan SJK Cina dan SJK Tamil di Malaysia.


Keadaan atap sekolah di Sulu yang sangat daif dan berlubang-lubang dan kayu yang mula mereput.


Sekolah saudara se-Islam di Filipina yang tidak mendapat perhatian, namun masih digunakan kerana masih ada yang sanggup mengajar walaupun tidaklah mendapat gaji yang setimpal.


Dua gambar di atas ini menunjukkan bagaimana daifnya sekolah umat ISLAM di SULU, Berbaju pink adalah pengetua sekolah berkenaan . Menurut beliau bantuan untuk sekolah telah lama dihentikan. Namun dengan penuh dedikasi beliau tetap meneruskan usaha mendidik anak-anak muda.


Anak kecil yang tidak bersalah; mereka menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan manusia. Kebanyakan rumah masyarakat di SULU hanya berdindingkan buluh, beratapkan jerami, dikatakan hanya sebuah sahaja rumah batu sempurna di pulau ini


Masjid ini mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan dan menanti lebih sumbangan untuk menampung kos pembinaannya bagi kegunaan umat Islam di sana. Perhatikan lumut-lumut yang terbentuk pada dinding masjid ini.Betapa sukar sekalipun kerana cintakan ISLAM mereka terus berusaha dan yakin dengan bantuan ALLAH ; itulah semangat rakyat Kepulauan Sulau yang kuat tauhidnya kepada ALLAH SWT.


Keadaan dalam masjid yang masih menanti sumbangan untuk disiapkan bagi kegunaan umat Islam di Sulu


Kepulauan SULU mempunyai pantai dan pemandangan yang indah memukau. Tahukan anda kepulauan SULU di iktiraf dunia sebagai mempunyai pantai tercantik di dunia namun--belum diterokai. Rumah ini dihuni keturunan pendakwah Islam (Syarif) yang pernah datang dan mengislamkan rakyat di sini.


Ahli keluarga Pak Harun yang menjadi tempat singgah kami menyelami kesusahan kehidupan mereka yang digambarkan dengan imej negatif oleh media antarabangsa. Garis-garis kedut di mukanya serta wajah sayu anak-anaknya menggamit isi hati kami.


Keadaan lantai rumah beralaskan kepingan buluh yang yang berlubang -lubang menggambarkan kesusahan kehidupan 8 sekeluarga


Dalam kesusahan mereka sangat meraikan tetamu, kehadiran delegasi MISI KEMANUSIAAN KASIH SAYANG mewakili rakyat Malaysia diraikan dengan penuh rasa ikatan persaudraan seolah-olah telah lama berkenalan dan mereka sangat mengharap agar kita bantu membela nasib mereka


Beginilah keadaan dalam rumah umat ISLAM SULU, tiada bilik..inilah tempat tidur satu keluarga. Sesetengah anak lelaki dewasa perlu tidur di luar beralaskan lapik sekadarnya . Perhatikan anyaman buluh yang mulai mereput. Tiada elektrik, sumber air terhad dan tiada apa-apa. Kembali ke zaman Tanah Melayu era 1940-an


Seorang anak muda SULU terpaksa menanti air untuk kegunaan keluarganya. Bekalan air untuk minum dan kegunaan harian terpaksa dicatu di sana.


Biarkan gambar ini menceritakan kesusahan RAKYAT SULU yang tertindas


Gambar anak ini berjaya kami rakam; hibanya hati melihat kemelaratan mereka terpaksa ditanggung anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa.


Pengangkutan utama di SULU...dalam kesesakan lori ini seorang ibu terpaksa menyusukan anak kecilnya yang menangis kelaparan. Menitis air mata seorang ahli misi mengenangkan kesengsaraan yang dihadapai rakyat SULU.


Kehidupan masyarakat yang dinafikan hak dan kewarganegaraan...wajah ini perlu digembirakan . Masyarakat Sulu mempunyai wajah orang Melayu Semenanjung Malaysia.Maklumlah mereka adalah rumpun Melayu  Nusantara. Mereka kuat berpegang pada intipati ajaran Islam-Ketauhidan Kepada Allah.


Persis stor dan tidak layak lagi dihuni...pemandangan ini biasa di SULU namun mereka tetap yakin kepada ALLAH dan kalimah syukur sentiasa meniti dibibir mereka. Begitu berbekas kesan dakwah ISLAM pada jiwa UMAT ISLAM SULU.


Pemandangan indah Kepulauan Sulu yang sangat mendamaikan jiwa ....masih banyak kawasan yang kami tidak sempat pergi ini hanya secebis dari beratus-ratus gugusan pulau di Kepulauan Sulu


Kepulauan Sulu mempunyai "crystal clear water" ....kemasinannya kurang berbanding laut di Malaysia. Sangat berlainan suasana udara pantainya

Begitulah serba sedikti perkongsian foto dan gambaran kehidupan masyarakat Islam di SULU. Penulis mengucapkan syabas dan berterima kasih kepada pasukan misi HARUM. Semoga ada NGO lain baik di Malaysia mahupun di Brunei dan lndonesia bersedia berlapang dada menghulurkan bantuan kepada mereka. 


Maka terfikir di benak penulis; " Alangkah bertuahnya rakyat Malaysia yang membuka pintu pula kepada pendatang luar dari China dan lndia pada zaman silam hingga ke saat ini,Sekiranya kepulauan Sulu dahulu itu 'dimasukkan' ke dalam gagasan Malaysia pada suatu waktu dahulu alangkah beruntungnya nasib mereka yang walang...Begitulah induknya Filipina yang bagaikan 'menyisihkan tidak berlaku adil' kepada wilayahnya Sulu termasuk Mindanao'. Nasib Sabah dan Sarawak amat gemilang setelah bersatu dalam Malaysia.Fikir-fikirkanlah! (DRH) (sumber disesuaikan daripada: http://www.harum2012.blogspot.com