HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

24 November 2012

CETUSAN MINDA 2011



PEMUDA  UMNO KEKAL CARA SENDIRI ?



SAYA berharap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak terikut-ikut politiking jalanan tanpa hala tuju seperti berlaku pada perhimpunan haram 9 Julai lalu. 

Pemuda UMNO ada sejarah perjuangannya tersendiri dan turut memainkan peranan pada masa lampau dalam pengisian kemerdekaan negara. Usahlah umpama tin kosong; tetapi biar diam ubi tetapi berisi, berhasil dan bernilai pada zaman ini.
 
Baru-baru ini beberapa ahli Pemuda UMNO turut mengadakan demonstrasi jalanan dengan ‘memakai baju merah Patriot’ yang turut berarak ke Stadium Merdeka. 


Saya mendambakan agar pergerakan itu melakukan kerja lebih bermakna seperti menubuhkan pasukan penyelidik membongkar kembali statistik tanah, hartanah, tanah simpanan Melayu/Bumiputera yang tinggal berbaki kini.
 

Tidak salah jika kita membentangkan perangkaan perbandingan dengan milik bukan Melayu. Begitu juga kajian statistik terkini golongan profesional Melayu (kerana yang terdahulu sudah meninggal dunia dan bersara) dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, guaman dan teknologi.
 

Buat perbandingan dengan statistik pencapaian bukan Melayu agar orang Melayu tidak leka, celik mata dan buka minda; hasilnya kelak mudah-mudahan ada kesedaran dan daya saing.
 

Kajian yang menyentuh hak Melayu dan bukan Melayu berlandaskan faktor peratusan penduduk wajar dibuat dan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia. Begitu juga perangkaan berhubung dengan pemilikan premis kedai dan bangunan di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, lpoh, Pulau Pinang, Muar dan sebagainya.
 
Sebenarnya banyak tugas dan tanggungjawab yang mendepani pergerakan ini. Tidak salah, jika pergerakan itu bekerjasama dengan tenaga pemikir dan penyelidik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang kini rata-ratanya kini ramai memiliki kelulusan Sarjana Kedoktoran (PhD) dan bergelar Profesor, Profesor Madya dan sebaginya.
 

Dalam erti kata lain, komitmen begini masyarakat mahukan. Bahkan bukan setakat Pergerakan Pemuda UMNO yang diharapkan dapat melakukan ini tetapi juga pertubuhan lain.
 

Walaupun kita tidak dapat mengimpikan pemimpin seperti Syed Jaafar Albar yang digelar Singa UMNO atau Datuk Harun ldris, namun cukup sekadar masih ada lagi pemimpin pergerakan yang mempunyai daya intelektual.
 (sumber: Dr Rajiee Hadi,Berita Harian (BH) 16/7/11)

JANGAN BIAR IDEOLOGI KOMUNIS BERTUNAS
AKHBAR tempatan kelmarin melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa pemimpin utama serta pengikut Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dikatakan sedang berkonvoi dari Sungai Petani menuju ke Pulau Pinang bagi mempromosikan Perhimpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH), yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. 

PDRM juga berjaya merampas beberapa bahan bukti yang dikatakan mengandungi elemen mengagung-agungkan komunisme dan sosialisme termasuk beberapa kemeja-T berwarna merah dan dicetak wajah bekas pemimpin pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng, Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Rashid Maidin dan beberapa pemimpin sosialis dunia yang lain.
 
Pada asalnya tujuan perhimpunan BERSIH adalah untuk menuntut supaya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan melaksanakan satu sistem pilihan raya yang telus, berintregiti dan diyakini semua pihak. Apa yang mendukacitakan ialah perhimpunan BERSIH yang dicadangkan ini dimanipulasikan seluas-luasnya oleh semua pihak berkepentingan untuk tembolok selera politik masing-masing. 


Dengan termeterainya perjanjian damai peletakan senjata pada 1980-an di Hadyai, selatan Thailand, kita seolah-olah kian lupa ancaman komunisme dari dalam. lni ekoran daripada dasar keterbukaan kerajaan kini yang agak berlebihan.
 

Sebagai peringatan faktor berikut boleh memungkinkan segalanya berlaku; bahan bercetak seperti buku biografi mengenai tokoh PKM dan pejuang kiri seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Suryani Abdullah dan ramai lagi yang dijual cetak secara bebas di kedai buku tempatan dalam bahasa Melayu, lnggeris mahupun Mandarin.
 

Dasar terbuka kerajaan yang mengizinkan rakyat dari negara komunis khususnya dari Republik Rakyat China (RRC) yang masuk ke Malaysia dengan pelbagai tujuan tanpa sekatan. Tidak mustahil fahaman komunisme boleh diseludup secara halus melalui unsur chauvinisme sempit.
 

Kunjungan bebas rakyat Malaysia ke negara RRC juga bukan mustahil mendorong mereka membawa balik elemen dan simpati kepada perjuangan negara berkenaan. Saya pernah mengunjungi RRC beberapa tahun dulu dan ketika di Beijing, saya temui beberapa orang tempatan di sana yang cuba menjual atau memberi secara percuma buku ideologi komunis, Maoisme dan Marxisme kepada saya. Namun saya menolak dengan baik.
 (sumber: oleh Dr Rajiee Hadi, BH, 1/7/11)


KAGUM  KEMALA GIGIH BERKARYA
SASTERAWAN, penyair dan penulis esei Kemala atau nama penuhnya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, 70, baru-baru ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemenang Anugerah Sasterawan Negara ke-11. 

Kemala adalah penyair tersohor tanah air yang mengabdikan diri dalam dunia penulisan khususnya puisi lebih 40 tahun.
 
Kemala anak kelahiran Gombak, Selangor, guru sekolah rendah hingga mencapai tahap pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kegigihannya menimba ilmu dari satu ijazah ke satu ijazah hingga memperoleh sarjana kedoktoran (Doktor Falsafah). 


Beliau kini Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jika tidak silap, saya pernah bertemu Kemala pada 1998 ketika kami sama-sama menuju ke dewan seminar pengajian siswazah di Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 

Pada waktu itu saya dan Kemala sebagai siswa calon PhD di UKM. Saya kagum dengan kegigihannya sebagai mahasiswa walaupun sebagai calon separuh masa dan senior.
 

Saya bangga dengan Kemala yang terus meniti dan menapak mengikut arus zaman.
 
Beliau juga terus berkarya di alam siber dan membentang kertas kerja tanpa mengenal usia.
 
Yang nyata, karya beliau baik dalam puisi atau genre lain bukan saja memiliki nilai estetika bahasa bahkan turut menyuarakan keluh-kesah dan suara hati golongan marhaen dan rakyat terbanyak.
 

Jika Kemala memiliki kriteria dan syarat dalam pencalonan tokoh guru negeri atau kebangsaan, maka saya tidak teragak-agak juga mahu mengesyorkan agar beliau dicalonkan sebagai Tokoh Guru; tidak kiralah sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.
 

Syabas, Kemala. Saudara adalah contoh dan ikon sebuah kejayaan anak semua bangsa.
 (sumber : oleh Dr Rajiee Hadi,BH , 7/5/11)



KESESAKAN TAHANAN PERLU DITANGANI


ISU tahanan pendatang tanpa izin merusuh dan melarikan diri dari depot tahanan bukanlah isu baru. Bahkan orang ramai masih ingat tidak lama dulu pendatang haram Pakistan dan Afghanistan pernah melarikan diri dari Depot Tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan. 

Namun tidak pasti dan tidak diumumkan di khalayak sama ada tahanan itu sudah ditangkap atau dihantar pulang ke negara asal ataupun belum.
 
Soalnya sekarang, penduduk di Mantin, Pajam, Beranang dan Nilai serta kawasan sekitarnya dihantui kebimbangan dan keresahan kerana kawasan terpencil ini agak mudah untuk tahanan meloloskan diri untuk bersembunyi. Apakah keadaan seumpama ini tidak mengancam keselamatan penduduk? 


Difahamkan pendatang haram ini sudah agak lama ditahan di depot tahanan terbabit dan sudah tentunya pelbagai perancangan boleh dilakukan. Apatah lagi kesan rasa tidak puas hati mereka yang bercambah dari sehari ke sehari menyebabkan berlaku rusuhan dan meloloskan diri.
 

Tahanan pendatang haram ini yang datang dari beberapa negara seperti Myanmar, Nepal, lran, Nigeria, Vietnam, Pakistan, Afghanistan, Indonesia, India, China dan Bangladesh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan makan minum, perlindungan, perubatan dan pelbagai lagi, mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
 

Adakah ini tidak merugikan wang rakyat? Bagaimanakah dengan akta pencegahan yang diluluskan di Parlimen dulu?
 

Sebagai rakyat, kita tidak mahu masalah yang mengancam keselamatan negara dan orang awam dipandang remeh. Satu mekanisme drastik, tegas dan berani wajar dilakukan oleh kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
 
Pelaksanaan hukuman sebatan patut dipraktikkan bagi pendatang asing ini. Menghantar pendatang asing dengan segera ke negara masing-masing dan menyenaraihitamkan nama mereka agar tidak melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen tanpa kompromi wajib dilakukan jika mahu mengelakkan kejadian sama berulang setiap tahun.
 (sumber: Dr Rajiee Hadi,BH, 7/4/11)

22 November 2012

GADIS KECIL DI PINGGIR GAZA



Gadis kecil di pinggir Gaza
(kepada anakku syaqira)



Semalam aku telah piatu
ayah tempat bermanja
ibu teman bermesra
tanpa dosa tanpa kata
kemanusiaan musnah segala

Sambil aku menunggu
ayah pulang menjamah
juadah tengah hari
sajian istimewa ibu
siap sedia menanti
salad maza dan syineena

Tiba-tiba di muka pintu
tubuh wajah ayah
merah simbah berdarah
kesan roket peluru
kejam zionis netanyahu
membunuh ayah di hadapanku

Meluru ibu mahu mendakap
tembakan pun bertubi-tubi
rebah ibu ke bumi
layu terkulai sepi
tanpa dapat menggapai
tubuh ayah dikasihi

Begitulah cebisan hari
gadis kecil di pinggir gaza
lumpuh tidak berdaya
suatu waktu dahulu
dihujani peluru tubuh kecilku
angkara yahudi tidak berperi

Aku hanya menyimpan impian
keamanan dan kasih sayang
saban hari dengan ayah ibu
membilang serpihan waktu
di kem shati kami menghuni
setelah berduka kehilangan
adikku iyad dan tamer
yang baru bergelak ketawa

Hari ini di gubuk usang
yang baru kami diami
titis-titis darah dan air mata
telah menyaksikan tragedi
menimpaku gadis kecil lumpuh
bernama  tasneem al-nahl
tiga belas tahun usiaku
di pinggir gaza yang kelabu!

DR.RAJIEE HADI.
Bangi, Malaysia.
20 November 2012.

(sumber:Harakahdaily.net, 22 Nov. 2012)

13 November 2012

DASAR PENDIDIKAN NEGARA MAHU DIGUGAT?


KEMENTERIAN  Pelajaran Malaysia (KPM) terus berusaha mahu memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Malaysia (BM) di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Namun Dong Zong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam iklan surat khabar Cina tempatan menyeru masyarakat Cina keluar berama-ramai untuk proses menentang Dasar Pendidikan Negara (DPN) pada 25 November ini.

Sama ada MCA pun turut serta mahu menangguk di air keruh atau mahu mensensasikan isu agar dapat menarik perhatian pengundi Cina menjelang PRU 13 sesiapapun boleh menjangkakan sedemikian. Justeru MCA berterusan mahu menjadi 'jaguh' dan kononnya akan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bagi menentang tambahan masa untuk pengajaran-pembelajaran BM di SJKC tahun 4. Adakah ini benar? Penulis difahamkan, projek permulaan ini hanya berfokuskan kepada murid-murid  tahun 4 sahaja? Bagaimana jika meliputi semua kelas di SJK?

Khabarnya MCA ada 25 resolusi untuk menentang DPN. lnikah double standard masyarakat Cina khususnya MCA? Bantuan untuk SJKC sering didesak dan diperolehi tetapi menentang pula DPN. Walhal Timbalan Menteri Pelajaran kini, Datuk Dr Wee Ka Siong adalah 'orang MCA'. Adakah Timbalan Menteri Pelajaran daripada MCA ini gagal menerangkan aspirasi negara melalui sistem pendidikan kepada masyarakat Cina? Jika gagal di manakah maruah Timbalan Menteri Pelajaran ini?Penulis yakin, Dr Wee masih rasional dan bijak berhemah.

Kita tidak mahu apabila timbul kelemahan penguasaan BM di kalangan murid-murid SJK maka 'berbuih-buihlah' ada pihak yang  menyalahkan KPM lantaran tidak berusaha mengatasi kekurangan guru dan prasarana. Tetapi apabila KPM mahu meningkatkan dan memantapkan BM di SJK maka di sisi negatif pula yang mereka bersuara. Justeru dengan ayat lain, sampai bilakah kerajaan mesti berlembut dan bertolak ansur?

Oleh itu  sampai bilakah tidak ada ketegasan bagi setiap pelan pendidikan yang baik? Suatu ketika idea sekolah wawasan yang baik pun ditentang kerana di sudut hati mereka penuh dengan sampah-sarap yang busuk,hanyir dan meloyakan. Adakah kemungkinan, jika generasi akan datang tidak ada keharmonian, kedamaian  dan tidak ada perpaduan dalam kehidupan seharian maka barulah mereka akur dan diam terkedu? (sumber: Harakahdaily.net 13/11/2012 oleh Dr Rajiee Abdul Hadi)

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik)