PADA TARIKH 6 OKTOBER 2016 genaplah 22 tahun, ulang tahun saya buat pertama kalinya menginjak kaki di bumi Jerman. Jerman bukanlah asing dalam hidup saya. Sebagai pelajar sejarah dunia dan sebagai pelajar geografi pada zaman persekolahan masa silam, nama Jerman banyak mengingatkan saya mengenai kekuatan dan iltizam satu bangsa yang maju dan gigih meneroka bidang teknologi moden khususnya teknologi automotif dan kejuteraan di samping jatuh bangun politik Nazi.
Karl Benz dan Gottlieb Daimler telah mencipta kerta mewah Mercedes-Benz yang tersohor hingga kini. Manakala nama Adolf Hitler (20 April 1889 - 30 April 1945) ahli politik diktator yang menjadi ketua pemimpin Nazi Jerman, mengingatkan kita pada Perang Dunia 1 yang mana Hitler membina empayar Jerman di Eropah dengan kekuatan tenteranya.
Dan pagi 6 Oktober 1994 waktu tempatan di sana ketika itu saya masih ingat, apabila saya keluar dari pesawat Lufthansa
LH 0783, pramugarinya yang manis mengucapkan selamat tinggal dalam bahasa
Jerman. Simpati saya mengulum
melihat raut wajah mereka tampak keletihan. Apa tidaknya lantaran tugas
yang dilaksanakan sepanjang malam yang panjang.
|
Peta negara Jerman dan jiran di sekitarnya. |
Dan
tiba-tiba saya dicuit kegusaran di muka pintu pesawat kerana disambut dua
pegawai imigresen (ataupun mungkin pegawai polis, saya tidak pasti)
Jerman yang berwajah bengis. Walaupun ada debar pertama namun jauh di hati
saya berbisik menyatakan pada kebiasaannya jarang berlaku di mana-mana lapangan terbang
antara bangsa, kedatangan pengunjung disambut “wajah-wajah bengis” yang tersembul
di muka pintu pesawat. Ini menimbulkan pelbagai tafsiran antara kami.
Walau bagaimanapun , setelah dokumen perjalanan kami diperiksa, mereka
berpuas hati lalu menyambut “mesra” kehadiran rombongan kami di Frankfurt am
Main, Republik Persekutuan Jerman.
Sebenarnya
perjalanan malam yang panjang lebih empat belas jam dalam pesawat tersebut
daripada Kuala Lumpur-Bangkok-Frankfurt cukup mengesankan. Memandangkan pesawat
berangkat membelah dinihari angkasa dan kesibukan pramugari dan pramugara saban
waktu hilir-mudik dalam perut pesawat menyebabkan terlalu payah mata saya dan
teman-teman untuk ditutup rapat dan untuk berehat seketika. Walaupun ada
segelintir penumpang yang enak melelapkan mata tanpa mempedulikan susana
sekeliling namun ramai di antara mereka bersembang dan usik mengusik di antara
satu sama lain.
|
Akhirnya saya sampai di kota raya Frankfurt am Main |
Alhamdulillah,
kami sampai ke destinasi yang ditujui pada 6 Oktober 1994 jam 6.45 pagi waktu
tempatan (Malaysia:1.41 petang/Bertolak 11.05 malam 5 Oktober 1994).
Keadaan suhu sebaik-baik pesawat mendarat ketika itu 0°C dengan kabus memutih
menutupi hampir seluruh landasan dalam jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja.
Ini sudah cukup membuatkan saya dan teman-teman serombongan seramai 18 orang
delegasi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang diketuai Timbalan
Presidennya Baharuddin Zainal ( ketika itu Baha Zain, kini Dato’ (Dr) Baha Zain
Sasterawan Negara ke-12) dicengkam kedinginan hingga ke tulang sum-sum.
Apa yang
menginsafkan saya apabila saya terkenang ketika teringat menyaksikan kabus tebal jerebu di Kuala
Lumpur dan membandingkannya baharulah saya menyedari situasi di Frankfurt lebih menyeksakan lagi. Ini
membuatkan kami memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi berkali-kali. Apatah
lagi di tanah air ketika itu heboh dilanda “demam jerebu” yang menggusarkan
banyak pihak. Walau apa pun di wajah kami masih terpancar kelopak riang dengan senyuman menjejaki pengalaman yang melegakan.
|
Pemandangan Kota Frankfurt am Main
|
Saya dan
teman-teman dari pelbagai lapangan begitu amat mesra sekali. Walaupun ada yang
berkhidmat sebagai guru sekolah, wartawan, pensyarah- profesor universiti, pegawai
kastam, usahawan,pegawai bank, akauntan, pesara kerajaan, pegawai kedutaan, pegawai kanan KPM dan
sebagainya tapi kami bersatu hati sebagai kumpulan penulis. Kami disambut Toni, pengurus rombongan yang
siap sedia menanti kami di lapangan terbang. Toni wanita ramah, fasih
berbahasa Inggeris berketurunan Tagalog Filipina kini pemastautin tetap yang
mana kini bersuamikan Benz, warga Jerman.
Dan sepanjang perjalanan, kami melalui lebuh
raya sehala tiga lorong yang nyaman dan jauh daripada kesesakan. Lucunya,
Toni memanggil satu per satu nama kami dengan slanganya yang
menghiburkan. Dan dengan sejelas-jelasnya Toni menghebahkan sama
ada di antara kami akan menginap di Hotel Arkaden di pekan kecil Gravenwiesbach
atau Hotel Usingen di Bandar Usingen, pinggir kota Frankfurt.
Gravenwiesbach
dan Usingen ialah dua dearah di luar bandar yang menghubungkan lapangan terbang
dengan kota utamanya Frankfurt am Main dengan jarak 100 km. Lebuh raya
yang kami lalui hanya dihiasi dengan hutan-hutan kecil pokok pain (pine) yang
sengaja dibiarkan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar. Tidak seperti
kebanyakan negara lain, yang biasanya jalan menuju lapangan terbang dipenuhi
dengan kawasan perumahan atau perindustrian.
Walaupun
perjalanan agak sedikit membosankan namun kelincahan Toni yang petang
menerangkan serba sedikit tentang kota Frankfurt dan atur cara yang telah
disediakan membuatkan kami terhibur. Sekali-sekala bas kami melintasi
padang ragut saujana menghijau dan ladang kentang luas terbentang.
Saya dan
anggota rombongan tiba di bandar Usingen tpat jam 9.37 pagi ( menurut rakaman
kaset yang saya buat). Bagi mereka yang telah ditetapkan menginap di
Hotel Usingen (Saudara Baha Zain, Dino S.S (Pengarang Kanan Berita Harian/Berita Minggu, Allahyarham), Cikgu Maaruf Mahmud
(novelis remaja tersohor,Allahyarham), Fatimah Suryani , Abu Hassan Adam, Syed Salim, Salasiah, dan
Reza), sibuk memunggah bagasi masing-masing.
|
Saya bersama Dr Abdul Rahman Napiah (mantan Profesor), Profesor Dr Bukhari Lubis, Dr Sufian Hussein dan teman-teman.
Manakala
teman-teman yang lain sibuk mundar-mandir mencari sudut sesuai bagi rakaman
kamera. Ketika itu penduduk Usingen dengan pakaian musim dingin yang
anggun kelihatan tenang memikat hati kami. Anehnya , kebanyakan golongan
veteran menghuni bandar ini. Namun rata-ratanya bergaya dengan model
terkini serba canggih BMW atau Mercedes Benz.
|
Setelah
selesai menguruskan penginapan kumpulan kedua (saudara T. Alias Taib
(Allahyarham), Dr. Zakaria Ali, Dr. Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana, Wahid
Kasran, Dr. Haji Bukhari Lubis atau Rizi S.S., Marzuki Ali, Jamaluddin D. (Allahyarham),
Rasanubari Asmaramah, Dr. Sufian Hussain, Wahba, Rashid Ahmad dan saya sendiri)
di Hotel Arkeden, Gravenwiesbach. Kami semua bertolak ke kota Frankfurt pada
jam 10.35 pagi. Sebelum tiba ,kami menempuh Natrupark, Hochtahus,
Saalburg, Bad Homburg, Oberursel, dan beberapa pekan kecil di pinggir
kota.
Sebenarnya
kawasan luar kota yang kami lalui cukup banyak mencambahkan inspirasi dan
kuntuman ilham istimewa bagi golongan penulis. Dan semasa perjalanan ke
Frankfurt sejauh 54 km lagi, Baha Zain berbicara lembut dengan humornya
tersendiri memperkenalkan satu persatu anggota rombongan kami yang kurang
mengenali secara peribadi dan tentang Malam Kesusateraan Malaysia di Fikenhof
keesokannya. Katanya, di antara kami akan diminta membaca puisi.
|
Wan Hamzah Awang (WAHBA) pengarang kanan Mastika &Utusan Melayu/Utusan Zaman bersama Wahid Kasran, saya dan Allahyarham Jamaluddin D. |
Kami tiba di
kota Frankfurt tempat berlangsungnya Frankfurt
International Book Fair sekitar
jam 12.50 tengah hari. Kawasan pesta buku terbesar di dunia ini amat
luas. Jikalau hendak dikunjung secara terperinci setiap gerai yang ada ,
kurang lebih memakan masa seminggu dua! Selain diadakan pameran buku seluruh dunia
daripada pelbagai bahasa, diadakan juga sudut forum, diskusi dan pertemuan
antara penerbit buku, pengarang dan pembaca amnya. Mereka saling bertukar
maklumat bagi mempertingkatkan mutu dan daya intelek. Yang melucukan dan
menggelisahkan, semua anggota rombongan kami berpecah tanpa disedari dan tidak
menemui antara satu sama lain sehinggalah jam 4.30 petang pada waktu dan tempat
yang ditetapkan.
Saya (yang
sebelum itu merungut kerana keletihan mencari teman-teman) , T. Alias Taib (Tengku yang rajin membelek-belek buku), Dr. Zakaria Ali (yang
tertinggal seketika sewaktu asyik berwawasan di sebalik tiang di sebuah kiosk
makanan) dan Syed Salim (yang rajin bagai musafir berkelana) tidak menemui
rakan-rakan lain di kompleks pesta tersebut lalu mengambil keputusan
berjalan-jalan di pinggir terminal trem yang kemudian menerima baik
keputusan Syed Salim agar membeli tiket berharga enam Deutschemark (DM) seorang
bagi menaiki trem yang merentangi jantung kota Frankfurt.
Sebenarnya
nilai karcis tersebut boleh digunakan sehari sama ada menaiki trem , bas
awam, LRT atau tube di subway (SU). Dengan cara ini pengguna
tidak perlu bimbang akan tersesat atau tertipu. di sini apa yang saya
perhatikan, tidak kelihatan remaja berpeleseran di mana-mana terminal.
Jauh sekali di pusat-pusat membeli-belah mereka mahu berkeliaran tanpa sebab.
Golongan remaja juga kurang kelihatan di kota ini. lni menjadi tanda
tanya pada hari pertama saya di sini. Seperkara lagi wajar dipuji ialah
tentang kebersihan kota ini yang nampak terserlah. Agaknya, di dalam diri
warga kota ini telah sedia tertanam dispilin sekian lama.
Pada malam
pertama saya di Gravenwiesbach , agak sukar melelepkan mata. Saya
ke bilik Wahid Kasran,wartawan kanan Mingguan Malaysia. Beliau begitu “sibuk” dengan bekalan mee segera
bersama Dr. Mana Sikana, dan Dr. Hj. Bukhari Lubis pun berkeadaan
sedemikian. Mungkin mengalami pelbagai kejutan perubahan
cuaca.
Pada
keesokannya kami dibawa dengan koc khas bersiar-siar mengelilingi dan melawat
tempat-tempat menarik dan bersejarah di kota Frankfurt dengan lebih
dekat. Antaranya Muzium Dinosour, Johann Walfgang Universitat, dan
melihat bangunan-bangunan bersejarah peningglan maharaja silam (bangunan yang
telah dibaik pulih akibat serangan bom Perang Dunia Pertama dan Kedua),
munyusuri pesisir Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang terkenal itu,
mengunjungi beberapa buah toko buku dan melawat bekas kediaman mendiang J.W.
Goethe.Terasa syahdu apabila saya betul-betul berada di sungai Maine-Rhine yang
pernah saya temui namanya ketika belajar Geografi dan seterusnya menjadi guru
Geografi.
|
Marzuki Ali (aktivis teater) , Abu Hassan Adam ( mantan Pengarah MSD London) , saya dan Rashid Ahmad dari Utusan Malaysia. |
Cuaca pagi
musim gugur yang dingin menyebabkan baik warga tempatan mahupun para pelancong
asing, masing-masing mengenakan pakaian anti dingin dengan pelbagai fesyen yang
menawan. Dino S.S. dengan sut jaket labuh yang anggun dan bertopi koboi ala
Dallas cukup bergaya sekali. Dr. Zakaria Ali dengan fesyen kalis
salji. Begitu juga T. Alias Taib yang bagaikan pengintip rahsia
007. Tidak kurang hebatnya gaya Marzuki Ali, Jamaluddin D., Mana Sikana,
dan Wahid Kasran. Masing-masing menampilkan gaya di jantung kota Frankfurt yang merupakan salah sebuah kota
termaju dan tercanggih di Eropah.
Kami tiba di
rumah Goethe jam 9.55 pagi 7 Oktober 1994. Setiap rakyat Jerman mengenali
nama tersebut. Bahkan nama itu turut dinobatkan di sebuah universiti
terkemuka di Frunkfurt. Sebenarnya Goethe atau nama penuhnya Johnn
Wolfgang Von Goethe adalah penyair, novelis, dramawan, dan ahli falsafah
terkemuka Jerman. Beliau lahir di Frankfurt pada 28 Ogos 1749.
Goethe belajar pengajian undang-undang di Leopzing dan Strassburg.
Keistimewaannya berbagai-bagai termasuk menulis bidang botani dan
biologi.
Saya
berkesempatan melawat seketika rumah kelahirannya yang terletak di tengah kota
Frankfurt dan merasakan sedikit cemburu lantaran betapa hebatnya warga Jerman
menyanjungi pujangga mereka. Di rumah ini dikhabarkan mengandungi hasil
peninggalan Goethe termasuk karya-karya aslinya yang ditulis tangan masih
disimpan rapi. Sebuah skrip dramanya yang terkenal, Fausti turut dipamerkan. Yang menarik, bilik
kerjanya sebagai seorang seniman membangkitkan sesuatu yang nostalgik kepada
para pengunjung.
Begitulah
Goethe, yang namanya masih harum walaupun telah meninggal dunia pada 22
Mac 1832 di Wiemer, Saxe namun penduduk Frankfurt khususnya amat menyanjungi beliau.
Sesungguhnya kunjungan saya ke kediaman Goethe mengingatkan saya kepada
Allahyarham Syed Sheikh Al-Hadi, Ruhi Hayat (Ahmad Boestamam) , Keris Mas, Pak Sako, Rahim Kajai dan Za’ba ( atau yang
terdahulu seperti Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi) yang telah pergi
meninggalkan alam fana tanpa sesuatu yang wajar untuk kita
memperingatinya. Justeru , sewajarnya kita usahakan sesuatu bagi mereka
yang pergi buat dikenang zaman berzaman. Dan sesungguhnya kunjungan ke rumah
Goethe telah memberi makna yang mendalam kepada saya; apatah lagi sekiranya anda seorang guru atau pensyarah tentu anda berhasrat mahu berkongsi bersama para pelajar anda kelak.
Dan bagi
saya Frankfurt terus menuntut kesabaran dan kekuatan iman. Dan tidak
kurang juga memberi pengajaran tidak ternilai tentang makna kepesatan teknologi
dan kemelesetan rohani. Namun demikian sikap menghargi bahasa sendiri
amatlah dikagumi. Di mana-mana kita
temui bahasa Jerman terpampang megah, baik di papan slaid iklan di merata-rata
jalan, petunjuk arah di terminal trem, bas dan tiub.
Saya juga
menemui warga kotanya yang terdiri bukan sahaja berbangsa Jerman bahkan
pendatang asing dari Timur Tengah dan Afrika. Mereka tidak mempedulikan
sama sekali sama ada audien faham atau sebaliknya apabila menonton teater atau
opera di Jerman. Yang tersirat, mereka mempunyai nasionalisme dan sudah
tersemai patriotisme. Di sana sini bangunan-bangunan batu sasa yang kukuh berusia beratus-ratus tahun dijaga rapi dan dibaikpulihkan dan dipulihara kembali,sebaik mungkin.
Dan di
sepanjang Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang subur itu, kami menemui
kehebatannya. Teringat kami Sungai Klang-Gombak di Kuala Lumpur.
Sayu. Ah, alangkah indah andainya Sungai Klang-Gombak diperindahkan sebegini,getus hati saya. Tegasnya, apa yang dapat saya tanggapi:
rakyat Jerman amat menghargai nilai sejarah walaupun canggih dengan teknologi
terkini.
Sehingga jam
4.30 petang 7 Oktober , rombongan kami pulang ke Usingen dan Gravenwiesbach
kecuali saya dan Tengku yang mengambil keputusan akan pergi sendiri berasingan
daripada yang lain untuk menghadiri Malam Kesusasteraan Malaysia di Jalan
Fikenhof 17 sebelum jam 8.30 malam nanti. Bagi memanfaatkan masa dan
perjalanan ini, kami mengambil kesempatan pada sebelah petangnya menyusuri dari
satu jalan ke satu jalan di Hallgarten, Frieddberger Land, Vogelsberg dan Alta
Gasse bagi mengenali kota Frankfrut dengan lebih akrab.
Dan apabila
saya menuruni tangga menuju ke terminal tiub
(tube) di subway,
barulah saya menemui para remajanya (sekaligus jawapan kepada tanda tanya) yang
berkumpul sama ada menanti ketibaan tiub untuk ke detinasi atau
bersembang-sembang di kiosk-kiosk.
Saya
difahamkan, generasi muda Jerman kini mula bertambah bilangannya yang tahu
berbahasa Inggeris. Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada sekumpulan
remaja tentang bagaimana mereka berinteraksi sesama mereka, maka salah seorang
di antara mereka menjelaskan (dalam bahasa Inggeris) bahawa mereka lebih senang
bertemu dengan teman-teman sebaya di tempat-tempat hiburan yang telah
dikhaskan bagi golongan mereka dan menggunakan tiub sebagai pengangkutan
utama. Yang jelas, remaja Frankfurt tidak mudah dilihat “melepak” di
tempat-tempat awam. Mungkin mereka tahu menghargai masa atau bijak
menggunakan akal bicara.
Seperti kebanyakan kota besar, Frankfurt juga tidak sunyi daripada pelbagai
bentuk kegiatan kesenian. Bagi bulan Oktober dan November telah sedia
disajikan pelbagai aneka persembahan teater, opera, ballet, cabaret dan
okestra daripada pemuzik terkenal seperti Peter Brotzmann, Toshinori Kondo,
William Parker dan Hamid Drake. Apatah lagi kegiatan kesenian dan kebudayaan
kian rancak berikutan Frankrut
International Book Fair yang sedang berlansung. Dan kedinginan yang
menyelubungi kota Frankfurt tidak mematahkan semangat kami.
Walaupun
terpaksa memakai tidak kurang empat lapis pakaian dan menghadapi kejutan cuaca,
telah saya perjelaskan tadi bahawa saya dan Tengku mahu memanfaatkan perjalanan
ini sebaik mungkin. Baik di terminal bas dan trem mahupun di
stesen tiub, orang ramai berjejal mengikut haluan masing-masing dengan
pantas. Mereka tidak mahu membuang masa. Anak-anak remaja lebih gemar
menggunakan tiub bawah tanah ke destinasi. Di jalan-jalan raya BMW dan
Mercedes bersimpang- siur. Baik siang ataupun malam, situasi kota
Frankfurt tidak jauh bezanya.
Selepas
maghrib, saya dan Tengku tergesa-gesa hendak ke Fikenhof. Kami tidak
pasti sama ada mahu menaiki teksi, bas atau tiub. Toni mengandaikan
tambang teksi ke Fikenhof sekitar DM30 (RM50). Masalahnya kami tidak
pasti arah ke destinasi tersebut. Kami bertanya beberapa orang yang
memberi pelbagai saranan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Jerman.
Tengku mula gelabah dipagut resah. Saya cuba mententeramkannya.
Kata putusnya, kami menaiki teksi yang kebetulannya model BMW terbaharu!
|
Saya dan Allahyarham Tengku Alias Taib |
Sepanjang
perjalanan, saya dan Tengku mula diselubungi kebimbangan. Tengku yang
duduk di hadapan cuba berkomunikasi mudah. Yang nyata, pemandu teksi
berketurunan Turki itu tidak boleh berbahasa Inggeris. Pada mulanya, kami
berasa lega. Maklumlah mungkin seagama. Tetapi dugaan kami meleset.
Dengan caranya memandunya yang agak membahayakan sambil merepek-repek
menyebut…”I love you… I love you…I love you….” lalu diputarnya
kaset lagu-lagu berbahasa Jerman berentak ala padang pasir sambil kedua-dua
tangannya mengangkat melepasi stereng dan tubuhnya digoyang-goyangkan menyusuri
dari satu lorong ke satu lorong. Kami mula dihimpit pelbagai sangkaan
buruk(“Apakah pemandu ini sex-mania,hetrosexual ?” “Apakah pemandu ini mabuk?” “Apakah
pemandu ini pejuang homoseksual?” “Apakah pemandu ini juga penyamun?”
– Sekarang kami berada di sebuah kota di Eropah. Kejadian-kejadian buruk
bila-bila masa boleh berlaku. Bukan mustahil. Dan lebih menggusarkan ,
pemandu yang mencemaskan itu tanpa sebarang sebab kerap mengherdik kasar.
Jauh di lubuk hati, saya mula membaca ayat Kursi dan beberapa potong doa peninggalan
Allahyarham bapa saya.
Dan bagi
menghilangkan “ketakutan“ saya yang duduk di belakang turut mencelah menyahut,
“Ya … habibi… Ya…. Habibi … ! sambil pura-pura ketawa. Apalagi semakin
ghairah gelagat dan aksinya. Tidak semena-mena teksi berhenti di sebatang
lorong sunyi. Ah , saya pun berbisik ke arah Tengku menyatakan
beberapa kemungkinan yang akan berlaku. Saya mula berdebar.
Dengan kasar disuruhnya segera kami membuka pintu. Meter tambang cuma
menunjukkan DM11! Ini menambahkan curiga dan ketidakpastian kami. Kami
mundar-mandir tetapi bersikap tenang hampir sepuluh minit.
Tiba-tiba
dalam lorong yang gelap,sebuah teksi berhenti . Kedua-dua lampunya
betul-betul ke arah saya. Kerana terperanjat, beg kembara saya terjatuh
bersama-sama alat perakam yang tercampak keluar. Bateri di dalamnya
bertaburan. Hilang. Dalam samar-samar saya nampak beberapa wajah. Alhamdulillah
wajah Melayu; di antaranya wajah Haji Shaari Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah
DBP ketika itu dan perwakilannya yang terbabit secara langsung dengan pesta
buku tersebut. Syukur, debaran yang mencemaskan betul-betul berada di
Jalan Fikenhof 17 tempat berlangsungnya majlis tersebut. Akhirnya saya berjaya
menjejaki Fikenhof .Dan kami menyimpan ketenangan sebelum ketibaan rakan-rakan
lain.
Sebaik
sahaja saya dan Tengku muncul di sebuah restoran terkemuka di Finkhof.
Duta besar Malaysia di Jerman ketika itu Mohamad Amir Jaafar (kini Datuk,telah bersara) dan para kaki tangan
kedutaan Malaysia telah sedia menanti kami. Profesor Dr Muhammad Haji
Salleh yang kelihatan gembira terus berbisik ke arah kami, mempelawa ke
Leiden, Belanda. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh ketika itu sedang
membuat penyelididkan di Lieden, Belanda didatangkan khusus pada malam itu
sempena pelancaran kumpulan puisinya Sajak-Sajak
Sejarah Melayu (Malaiische
Wanderungen) dalam bahasa Jerman di samping karya Sasterawan Negara A. Samad
Said, Sungai Mengalir Lesu ( Feuer Uber Dem Flub) . Dan
selang beberapa minit kemudian, dewan restoran kian meriah dengan kehadiran
rakan-rakan daripada PENA. Mereka berpandangan di antara satu sama lain
kerana kami tiba lebih awal.
|
Saya bersama para sarjana dan tetamu pada Malam Kesusasteraan Malaysia di Fikenhof, Jerman. |
Kami
difahamkan firma penerbitan Horlemann yang dimiliki Jurgen Horlemann telah
menterjemahkan dan menerbitkan sepuluh karya penulis Indonesia, China dan India
termasuk karya Premoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Armin Pane, W.S Rendra dan
Zhang Xiguo ke bahasa Inggeris. Sayangnya, Jurgen Horlmann tidak dapat
hadir kerana keuzuran.
Dan di
majlis tersebut Muhammad Amir Jaafar telah diberi penghormatan melancarkan
kedua-dua buku tersebut .Beliau antara lain menyifatkan kejayaan tersebut
sebagai suatu petanda dan titik sejarah gemilang buat rakyat Malaysia amnya dan
dunia kesusasteraan Melayu khususnya di mata antara bangsa. Beliau amat
bangga dengan usaha murni dan kerjasama yang dikendalikan oleh penerbit
Horlemann dan PENA ini.
|
Saya pernah menyusuri bersantai di sepanjang Sungai Maine ini. |
Dan sebaik
sahaja majlis pelancaran , SN Muhammad Haji Salleh diberi penghargaan
memperkatakan serba sedikit intisari dan latar karya serta proses kreatif
penghasilan kumpulan puisinya Sajak-Sajak
Sejarah Melayu . Muhammad
dengan suara gemersiknya kemudiannya memulakan bacaan petikan “ceretera yang
keenam belas” (Sechzehntes Buch); antara lain mengungkapkan:
“Anum, kupilihmu dari seratus dayang istana,
kerana kau melembutkan suaraku,
memulakan rindu kepada malam,
memadamkan marah kepada sultan.
Anum, kupilihmu dari seratus kampung.”
Bacaan
Muhammad itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Jerman oleh Puan Beate Carle,
Isteri Profesor Dr. Rainer Carle sarjana dari Universiti Hamburg yang mencintai
kesusasteraan Melayu dengan secara spontan agar mudah difahami audien berbahasa
Jerman yang hadir:
‘Anum , ich wahlie dich aus
einhundert Madchen Madchen des Palastes,
weil du meine Stimme sanft warden lafst,
meine Sehnusucht weckst narch der Nacht,
und meine Wut auf den Sultan besanftigst.
Anum, ich wahte dich aus einhundert Dorfern”
Pendek kata,
Malam Kesusteraaan Malaysia turut memberi penghormatan kepada ketua delegasi
PENA Baha Zain, yang membentangkan kertas kerjanya berjudul “Malay Literature
and the Furture” (Kesusasteraan Melayu dan Masa Depan.”). Kemudian disusuli ucapan pasangan suami
isteri , Renate dan Hansheinrich Lōdel memperkatakan tentang pengalaman mereka
selama enam bulan menterjemahkan novel SN A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu. Dan
bagi para hadirin khususnya delegasi Malaysia yang hadir pada malam itu, waktu
begitu pantas mencecah dinihari.
|
Keratan akhbar Utusan Malaysia,16 November 1994 yang melaporkan rakaman kunjungan saya ke Jerman. |
Kemesraan
yang sedia terjalin di antara kami bagaikan sukar dilerai. Walaupun di
luar suhu dingin namun bahang pemanas udara amat menyegarkan.
Suasana semakin mesra dengan hidangan makan malam ala Jerman. Para
hadirin yang terdiri daripada beberapa kakitangan Horlemann, para sarjama
beramah mesra dalam bahasa Melayu. Hal ini cukup membanggakan saya. Mahu
saya cerita kepada seluruh warga KPM agar mereka semua tahu dan mengerti betapa tinggi darjatnya
bahasa Melayu di bumi Eropah pada malam itu.
Dan di wajah
masing-masing terpancar kepuasan dan kebanggaan kerana majlis tersebut
mengandungi seribu pengertian. Sekurang-kurangnya sastera Melayu dan
dunianya kian menambat hati orang Jerman. Apa yang tersurat, kami
terpaksa meninggalkan Jalan Fikenhof 17 dengan seribu warna dan semerbak kuntum
mewangi.
Saya dan
Tengku turut pulang bersama bas rombongan PENA menuju Gravenwiesbach yang memakan masa perjalanan hampir dua
jam. Dan sepanjang perjalanan, kisah perjalanan saya yang
mendebarkan bersama Tengku turut menjadi bahan gurauan (bagi mereka yang
mengatahuinya) buat menghilangkan keletihan. Dan pada dinihari yang didakap
dingin sepi dibuai malam yang syahdu di Hotel Arkaden , saya lena dibuai dendangan syair ‘anum yang dipilih dari
seratus dayang istana’ dan mimpikan kota Paris yang melambai-lambai kehadiran
kami! (oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al-Latis)
Hak Cipta Terpelihara dilindungi SKMM
Al-Fatihah:
Kepada para sahabat yang telah kembali ke rahmatullah kita titipkan sedekah bacaan surah al-fatihah, agar mereka semua diampunkan Allah SWT dan dihimpunkan roh mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan ahli syurga. (P).