HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

25 April 2018

JASA

SEBENARNYA di luar kepompong JASA, tidak ramai yang mengetahui kata singkatan itu (akronim) bermaksud Jabatan Siasah & Agama. Bahkan ramai dalam kalangan mereka bersikap tidak ambil peduli kewujudan jabatan tersebut yang di bawah Kementerian Komunikasi dan Multi Media Malaysia (KKMM).

Sementelahan pula ada yang tidak peduli kerana JASA seolah-olah lebih terserlah sebagai alat propaganda Barisan Nasional/UMNO. Walhal sejak zaman pascamerdeka lagi Jabatan Penerangan yang merupakan salah satu jabatan dalam KKMM (dahulu Kementerian Penerangan) juga berfungsi sebagai alat propaganda kerajaan. Hanya kemungkinan, fungsi alat propaganda itu berbeza berlatarkan masa, waktu, isu dan zaman.


Namun apabila JASA (dahulu bertaraf unit, kemudian dinaikkan ke taraf sebuah jabatan) di bawah Ketua Pengarah terkininya, Datuk Dr Mohd.Puad Zakarshi yang agak vokal dan bersuara lantang menjelang PRU-14 ini maka kewujudan JASA mula disedari masyarakat awam. Sama ada, suka atau benci, sinis atau sadis, begitulah JASA yang tidak bersuluh di dalam gelap; sah sebagai propagandis; bahkan ada ketikanya dicap  oleh 'orang luar di sana' sebagai 'pengampu & pembodek''nombor satu serta berbagai-bagai saranan dan luahan bagi menidakkan kewujudan JASA.

Kendatipun fungsi JASA  ialah mengatur rancangan dan melaksanakan strategi, program dan aktiviti untuk “mendidik serta menyakinkan” rakyat kepada pemimpin negara namun banyak pihak memandang JASA lebih bersikap berpihak kepada parti pemerintah.
Ditubuhkan sejak 1960, JASA juga ditugaskan mengenal pasti dan memantau isu yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, di samping membuat analisis pola dan sikap rakyat terhadap dasar kerajaan.Seingat penulis Dato Zainal Abidin bin Abdul Hamid (mantan Pengetua MPI,Bangi) pernah juga menjawat KP JASA. Tetapi penulis tidak pasti bilakah masanya. Begitu juga, nama Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (mantan pengetua MPI Bangi) pernah juga dikaitkan dengan jawatan utama JASA tetapi tidak dapat dipastikan oleh penulis (jika ada sesiapa yang boleh memberi info; silakan...penulis amat hargai).

Sebelum penulis, mencatat nota pendek ini mengenai JASA; penulis sukacitanya mahu berkongsi pengalaman sejenak (bagaikan menanti sebelum hujan teduh) dengan JASA lebih 10 tahun lalu. Penulis 'meninggalkan'  terlebih dahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih 10 tahun lalu, kemudian Dr Puad masuk berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, menggantikan Allahyarham Dato Razali lsmail.

Dato Razali pernah menjadi 'bos besar' penulis semasa di BPG KPM (pernah menyumbangkan kata pengantar dalam buku penulis 'Cinta Arafah, 2003').  Sebelum itu, beliau/Allahyarham (ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah/pengetua sebuah maktab perguruan di pantai timur, kemudian Pengarah JPT) pernah bersama penulis dilantik sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan sejak zaman KPP KPM Tan Sri Dr Wan Zahid Nordin.

Dipendekkan cerita, ketika JASA sebelum Ketua Pengarahnya Allahyarham Fuad Hassan (Datuk) , Ketua Pengarahnya ketika itu seorang personaliti dari JAKIM (maaf, kurang pasti namanya kerana carian google kurang memaparkan info era tersebut) . JASA ketika itu memerlukan Ketua Pengarah atau "Pak Ustaz" yang pakar dalam hal ehwal agama bagi 'memerangi' dakyah parti pembangkang yang berjenama agama. Dalam bahasa yang jelas, BN memfokuskan untuk menawan semula Kelantan.Penulis tidak pasti pula sama ada "Pak Ustaz" yang mahir bab agama ini,adakah mahir juga ilmu psikologi sosial, psikologi pendidikan bahkan psikologi bahasa dan komunikasi.

Setelah penulis berhubung menerusi telefon, maka penulis bersetuju bertemu bersua muka dengan KP JASA pada suatu tarikh, pada suatu masa yang telah dipersetujui. Oleh kerana situasi penulis ketika itu sudah rasmi sebagai 'warga bebas' tidak terikat dengan mana-mana agensi kerajaan maka tidak ada apa yang menjadi kegentaran di hati.

Apatah lagi berbekalkan pengalaman sebagai 'think tank' (2G 1R) semasa PRU ke-9, 1995 bagi sebuah kerusi parlimen dalam Negeri Selangor dan sebagai penceramah BN ( baca: ketika itu...) dalam kempen sebuah kerusi  parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Penulis bersikp yakin, selesa dan bersahaja.

Dengan resume dan segala dokumen sokongan, penulis ke lbu Pejabat JASA di Jalan Cenderasari Kuala Lumpur (sekarang telah berpindah di Menara MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur). Walaupun sudah berbuat temu janji, penulis bersabar menunggu hampir tiga jam di pejabat Ketua Pengarahnya (sebelum dan selepas zuhur).

Akhirnya penulis berjaya bertemu dengan Ketua Pengarahnya . Sebelum masuk ke bilik KP, penulis sempat menjeling study room dan kelihatan Malik Munip, mantan pensyarah sejarah Universiti Malaya dari Muar sedang menelaah. Penulis membiarkannya sahaja.

Sebenarnya penulis tidak banyak memperoleh maklumat mengenai JASA kerana kecanggihan internet tidak sehebat zaman telefon pintar sekarang. Justeru penulis, hanya banyak bertanya daripada teman-teman (penulis 'bukan orang' Kementerian Penerangan) dan juga petugas pejabat JASA ketika kunjungan penulis masa itu.

Walaupun bos utama JASA ketika itu senyum sinis, penulis hadapi dengan berlapang dada dan berjiwa besar. Selain resume dan dokumen yang telah dilengkapi, penulis juga dikehendaki mengisi jawatan yang dipohon. Oleh kerana, tidak pasti, penulis membiarkan petak kosong kerana mengikuti nasihat kakitangan di situ. Penulis difahamkan KP JASA akan bersara tidak beberapa hari/minggu lagi. Bagi penulis jika menjadi felo JASA pun sudah memadai. 

Dan bukan mustahil pula menurut 'orang dalam' JASA jawatan Timbalan KP atau KP diberikan untuk penulis. Dalam pertemuan tersebut banyaklah perkara/isu semasa yang kami perkatakan bagaikan interbiu tidak secara langsung. Penulis pula tidak rasa terkilan atau kekok kerana sudah biasa 'bercampur' dengan 'orang-orang agama' semasa dalam perkhidmatan lalu. Pertemuan tersebut setakat berakhir begitu sahaja dengan menanti sebuah harapan.

Selepas beberapa bulan peristiwa penulis ke lbu Pejabat JASA, baharulah penulis tahu bahawa seorang rakan  (junior penulis) bernama Gunawan Mohamad meninggal dunia dalam pejabatnya di Johor Baharu. Gunawan ialah Pengarah JASA Negeri Johor dan orang kuat UMNO di selatan Johor.
Dan mengenangkan kenangan penulis dan JASA kini, penulis menganggapnya adalah suatu pengalaman yang amat melucukan! . Apa yang lucunya? 

Sungguhpun penulis secara langsung terbabit berkempen 'turun padang' membantu calon UMNO & BN pada PRU 1995 , tetapi penulis membantu atas semangat nasionalisme dan patriotisme tulen walaupun penulis bukan ahli parti. Apa tidaknya, penulis bukanlah ahli mana-mana parti politik khususnya ahli UMNO (BAHARU). Cerita penulis menjadi ahli UMNO ( Umno lama pun  bermula 1978 tetapi tidak memperbaharui keahlian hingga kini): (Rujuk: 'Saya & UMNO' drrajieehadi.blogspot.com/) dan hanya tinggal nostalgia!

Apabila jawatan KP JASA diisi oleh Allahyarham Fuad Hassan, kemudian disusuli oleh Dr Puad Zakarshi baharulah penulis amat faham dan arif bahawa jawatan KP atau mungkin apa jua jawatan tertinggi dalam JASA diisi atas lantikan dalaman atau dalam erti kata lain atas lantikan politik. Sebab itu apa mahu dihairankan andainya gred  Jusa V7  diperuntukkan kepada jawatan KP JASA. Apabila isu, Datuk Dr Haji Puad Zakarshi 'bersuara' segala kenangan penulis terngiang semula di pelipis memori lalu.
Pohon gaharu buah pala, sudah tahu tidak perlu bertanya pula! (DRH)

 INFO RINGKAS JASA:

·     Yang Di Pertuan Agong semasa titah ucapan perasmian pembukaan parlimen penggal pertama  selepas Pilihan Raya 1958, memperkenankan penubuhan Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK);

·         Tujuan asal penubuhan BHEK adalah untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik,  agama dan Kerajaan;

·   Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia diitubuhkan pada 11 Mei 1960;

·    Pada akhir 1960, BHEK ditukarkan kepada Cawangan Hal Ehwal Khas (CHEK) dan masih di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan;

·   15 Mac 2000, Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Jabatan baharu di bawah Kementerian Penerangan Malaysia dengan menaikkan taraf CHEK sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK);

·     JHEK merupakan sebuah Jabatan tersendiri yang merancang dan merangka strategi berkesan untuk mendidik rakyat dari pelbagai kaum supaya memahami dan menghayati semangat kenegaraan dan kebangsaan serta menerapkan nilai-nilai murni, progresif dan maju bersesuaian dengan arus pembangunan sosiopolitik dan agama;

·         Pada 2004, singkatan JHEK ditukar kepada JASA (Jabatan Siasah dan Agama); dan

·         Mulai 2004, kekal sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) (sumber: www.jasa.gov.my)


BERITA MUTAKHIR:

Datuk Dr. Mohd.Puad bin Zakarshi hari ini mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah JASA. (sila rujuk maklumat lanjut dalam portal berita Malaysiakini, 25 April 2018)  . -DRH.

1 ulasan: