HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

22 April 2018

POLITIK

JENUH di sana sini, setiap hari dan setiap waktu kini di Malaysia, orang ramai memperkatakan hal-hal dan isu-isu politik semasa. Apatah lagi menjelang PRU-14, gendang perang pilihan raya mula dicanang dan bergema di setiap pelosok tanah air.

Tetapi tidak ramai yang tahu apa itu politik sebenarnya. Bukan setakat menyebut PH, BN atau Pas dan parti-parti lain sahaja.Sebenarnya politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu/sesebuah kumpulan.


Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di sektor korporat,akademik, agama, dan institusi lain. Justeru, sains politik merupakan kajian mengenai tingkah laku politik dan memeriksa kedapatan dan penggunaan kuasa; contohnya keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain (ms.m.wikipedia.org).( Sistem politik Malaysia dalam nota pendek penulis akan datang)

Penulis sungguh amat bertuah kerana semasa berkuliah ijazah pertama di sebuah IPTA tanah air, awal l980-an lalu, kami diwajibkan mengambil kursus Tasawur lslam (selepas itu dinamakan Tamadun lslam) . Kursus ini telah diberikan kepada kami (termasuk kepada pelajar bukan lslam) selama 1-2 jam kredit seminggu. Dan antara bahan kuliah yang kami telaah ialah pemikiran politik lslam Al-Maududi.

Penulis masih ingat, salah seorang pemikir lslam yang penulis sebutkan iaitu Al-Maududi muncul dengan gagasan-gagasan yang sangat besar bagi perkembangan masyarakat lslam.Beliau terkenal dengan pemikiran-pemikiran dan idea-idea tentang kenegaraan. Seringkali semasa berkuliah dan tutorial kami berbahas dan berbincang dengan semangat anak muda matang sambil dikendalikan oleh moderator yang kami hormati Ustaz Haji Abdul Rahim Rafaie.

Yang kami masih ingat, kuliah tersebut banyak mendedahkan kami mengenai biografi Al-Maududi dan bagaimana pemikiran politik lslam Al-Maududi. Para pembaca dan peminat politik lslam boleh telusuri dan menelaah lanjut buku karya Al-Maududi berjudul 'Politik lslam' di perpustakaan awam dan di toko-toko buku berkaitan. Di samping itu boleh merujuk tulisan Rahimah (2005) 'Pandangan Politik Maududi Tentang Negara lslam' (http://repository,usu.ac.id...) . Dalam kolum yang terbatas ini, tidaklah penulis berhasrat mahu mengupasnya secara terperinci.

Sebagai merumuskan nota pendek ini, penulis suka memetik kata-kata pujangga; seorang penyair Jerman (Germany), Bertolt Brecht, (meninggal dunia, 14 0gos 1956, di Berlin Timur)..  " Orang buta yang paling teruk ialah buta politik. Dia pekak. tidak nampak dan tidak mengambil bahagian dalam dunia politik. Dia seolah-olah tidak mahu peduli mengenai kos hidup, harga bijirin,harga tepung, harga sewaan,kos perubatan, sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan-keputusan politik..".


Selanjutnya Bertolt Brecht menyebut,"..Orang buta politik itu,dia berasa seronok sendiri (syok sendiri) dengan sikapnya yang tidak peduli pasal politik, dan megah mengata dia benci politik.Dia tidak tahu bahawa kedunguan daripada sikap berkecualinya itu menyumbang kepada pelacuran, pengabaian kanak-kanak, kecurian dan yang paling teruk sekali ialah ianya menyumbang kepada korupsi dalam kerajaan dan eksploitasi agensi kerajaan." (DRH)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan