HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

7 April 2018

GAJAH SAMA GAJAH BERPERANG

SEJARAH Kesultanan Melayu Melaka yang hebat hampir 600 tahun silam, termasyhur dan tersohor sebagai pusat perdagangan, pusat perkembangan syiar Islam dan persuratan Melayu akhirnya jatuh tersungkur di tangan 'orang asing' kerana sikap tamak, dendam, cemburu dan iri kesumat yang tidak berkesudahan.

Walaupun para perajurit Melayu Melaka bersemangat waja, kental patriotiknya dan gagah perkasa hingga dapat menewaskan serangan pertama 1509 armada Feringgi (Protugis yang datang dari Goa, India) yang diketuai de Suqueirra namun dendam yang berlarutan  menyerang Melaka sekali lagi yang diketuai oleh Alfonso de Albuqarque dapat merobohkan benteng Melayu Melaka dan menewaskannya.

Apakah rahsia kemenangan Protugis? Kerana ada musuh dalam selimut, gunting dalam liputan.  Kerana hasutan dan dalang yang menabur duri kebencian dan kemusnahan orang-orang Melayu seperti Raja Mandeliar dan Si Kitol.  Kerana robohnya kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu ketika itu yang mula berpuak-puak dan bersengketa sesama mereka.

Penulis pada 5 April 2018 di Lexis Hotel PD N9

Kerana perebutan harta, emas dan kuasa maka fitnah digunakan untuk melaga-lagakan sesama sendiri.  Kerana hilangnya semangat juang kependekaran orang-orang Melayu ketika itu lantaran keuzuran Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya serta matinya Hang Jebat.


Bahkan kerana kebanjiran pendatang dan pedagang asing yang lebih mementingkan harta dan kekayaan tanpa meyumbangkan apa-apa untuk pertahanan.  Bahkan kerana mengabaikan ajaran-ajaran agama Islam dan lebih mementingkan hiburan dan perkara-perkara khurafat.  Manakala pemerintah utama waktu itu asyik diulit keseronokan duniawi.

Kini datang lagi setelah ratusan tahun.  Sengketa, dendam dan cemburu yang melingkari isu korupsi, sogokan, salah guna kuasa, video seks dan kesalahan perilaku banyak mencelikkan mata masyarakat, bahkan ada yang kini melalaikan masyarakat.  Di sana sini kedapatan tohmah, cacian dan keaiban didedahkan di khalayak tanpa segan-silu.  Apakah sejarah 'roboh kota Melaka' akan berulang?  Justeru demi masa depan anak-anak dan generasi kita, ingatlah pesan bijak bestari janganlah 'gajah sama gajah berperang, pelanduk yang mati di tengah-tengah'.
(sumber : Harakahdaily: Selasa, 29 Mac 2011 oleh Dr. Rajiee Hadi)

NOTA: SETELAH hampir 10 tahun komentar penulis disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan, kini terbukti berlakunya sengketa antara 'Gajah Baik" dan "Gajah Jahat"... Jika gajah sama gajah berperang seperti bidalan Melayu lama, sudah tentulah yang mati di tengah-tengah ialah sang pelanduk yang bertubuh kerdil.  Tetapi  kini kesungguhan "Gajah Baik" yang memerangi "Gajah Jahat" untuk menghapuskan kebatilan dan kedurjanaan telah menemui pelbagai cabaran dugaan serta pengkhianatan.  Semoga apa yang terjadi kepada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan segala jajahan takluknya yang musnah dan roboh tidak menimpa lagi kepada negara kita, Malaysia tercinta.  Biarlah Kota Melaka yang merupakan 'Negara Bangsa' (Nation State) menjadi batu tanda peringatan kepada kita pada setiap waktu dan zaman dan ikhtibar kepada setiap generasi - (DRH)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan