Penulis di lmpiana Hotel, Morib, SDE 14 April 2018 |
Tanggungjawab sebagai khalifah dan pemimpin dalam lslam bukanlah perkara yang dianggap ringan dan mudah. Walhal akan dituntut di akhirat kelak ; bahkan salah satu ketentuan-Nya akan dihisab sama ada hamba-Nya itu akan dihumbankan ke api neraka yang maha dasyat kepanasannya atau dihimpunkan ke dalam alam jannah firdausi bersama para mukmin yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.
Tetapi ingatlah anda sewajarnya mendatangi dengan menyantuni,menghormati dan menyanjungi rakyat/penduduk setempat yang mengundi anda. Justeru.selamat tinggal masa lalu dan usahlah bermimpi bahawa anda sebagai wakil rakyat mahu diri anda dipuja puji seperti sang merak di kayangan!
Apatah lagi rakyat kini telah tahu bahawa anda kini memperoleh gaji dan elaun bulanan yang lumayan serta pencen setelah bersara. Itu belum lagi,memperoleh peluang lebih lumayan bagi anda yang mendapat jawatan kerajaan dan menerajui jawatan tertinggi dalam syarikat-syarikat GLC kerajaan dan swasta serta agensi-agensi kerajaan. Justeru tiada sebab anda bersikap tamak membesarkan tembolok anda lagi dengan membaham juga rasuah! Keadaan ini berbeza dengan wakil-wakil rakyat sebelum 1980-an, selepas pascamerdeka dahulu yang hanya mendapat belas ehsan sumbangan elaun seadanya sahaja.
Sekiranya wakil rakyat itu berkelulusan pengajian lslam Syariah dan pernah menjadi peguam syarie; tidak ada sebab jika orang awam dalam kawasannya mahu bertanya atau mahu mendapat khidmat nasihat hal-hal kekeluargaan lslam yang berkaitan perundangan lslam. Tetapi apa yang terjadi, wakil rakyat tersebut mahu mengelaknya.
Kes mahu mengelakkan diri ini pernah terjadi ke atas seorang wakil rakyat dari parti berjenama agama yang pengundinya tahu dia berkelulusan syariah. Dan situasi ini boleh menjerat diri wakil rakyat seperti itu. Semoga kes 'lari daripada tanggungjawab' tidak terjadi lagi. Begitu juga sekiranya wakil rakyat tersebut pernah terlibat dalam bidang keguruan; maka bukan mustahil andainya dia tidak boleh membantu memberi jalan bagi anak-anak para pengundinya yang mahu melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS dan seumpamanya.
Seperkara lagi yang amat mustahak; sikap lupa diri, sombong, bongkak dan lupa daratan; ;baik kepada wakil rakyat tersebut, isteri atau ahli keluarganya. Kes ini pernah terjadi ke atas seorang wakil rakyat (statusnya hingga mencapai tahap jawatan menteri)..apabila beberapa hari menang kali pertama PRU sebagai Ahli Parlimen.
Seorang 'think tank' yang bertindak sebagai 'Mr Mind' semasa kempen dan bersama berkumpul 'berkampung' dengan ahli keluarga wakil rakyat tersebut berasa amat jengkel dan kecewa apabila selepas beberapa hari PRU beliau menelefon dan memperkenalkan diri kepada si isteri wakil rakyat yang dibantunya. Tetapi dengan angkuh si isteri menjawab selamba tidak mengenalinya dengan pelbagai alasan kesibukan. Kesudahannya beberapa tahun kemudian, wakil rakyat tersebut tidak terpilih lagi; dan kini beliau termangu sendirian menjalani sisa kehidupan sebagai 'pesara sepi'.
Sebenarnya terlalu banyak kes yang mahu penulis dedahkan bersandarkan pengalaman yang penulis temui sendiri. Tetapi contoh dua kes, memadailah sebagai peringatan bahawa langit tidak selalunya indah dan bila-bila masa mendung lara akan menyelubungi alam ini.. (DRH)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan