HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

17 April 2018

SPR...oh.. SPR

SPR atau Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) adalah salah satu  agensi kerajaan di bawah JPM yang begitu popular saat-saat menjelang musim pilihan raya. Suatu ketika dahulu nama-nama seperti Datuk Harun Din (bukan Allahyarham Datuk Dr Haron Din) , Datuk Abdul Rashid bin Abdul Rahman (kini Tan Sri) begitu sinonim dengan SPR. Rata-ratanya;ahli-ahli SPR terutama yang berjawatan tertinggi adalah bekas pegawai-pegawai kanan PTD yang telah bersara dalam perkhidmatan awam kerajaan.

SPR menyelia,mengelola dan bertanggunjawab dalam urusan pilihan raya di Malaysia yang telah ditetapkan dalam Perkara 114- Perlembagaan Malaysia. Pengerusi SPR sekarang Tan Sri Mohd.Hashim Abdullah yang menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 24 Januari 2016.

Penulis sukacita mahu berkongsi pengalaman dan cerita semasa menjadi Ketua Pegawai SPR@ Ketua Pusat Pos Mengundi di sebuah pos mengundi besar & 'panas' dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada PRU ke-8 pada hari Ahad 21 Oktober 1990. Pada ketika itu usia penulis baharu menjangkau awal 30-an.Walaupun sibuk sedang menyiapkan tesis akhir M.A di UKM secara separuh masa; tetapi itu bukan halangan utama. Pengalaman itu ditempuhi dan perlu digapai sendiri.

Pusat Mengundi 

Sebagai anak muda pada usia matang; penulis banyak terkesan dek banyak membaca buku-buku psikologi, pengurusan, kepemimpinan dan sains sosial. Semasa di bangku persekolahan, penulis tidak banyak kesempatan dan juga tidak dapat diberi ruang dan peluang untuk menjadi pemimpin. Apabila penulis meninggalkan alam kolej dan memulakan kerjaya; penulis sentiasa bersedia turun padang untuk menguji praktik apa yang dibaca dan dipelajari ke alam gelanggang realiti.
                                                                                                                                             
Sebab itu di dunia kerjaya sebagai guru muda;  penulis bersedia menjadi Setiausaha PIBG, ketua pemimpin pasukan pengakap, ketua rumah sukan, ketua panitia mata pelajaran dan sebagainya. Selain itu, penulis bergerak aktif dalam NGO tempatan.

Dan apabila kita ada keberanian untuk menguji daya kepemimpinan kita maka natijahnya amat berguna. lnilah pengalaman sebenarnya. Sebab itu kita sering menemui ada sesetengah individu semasa di alam persekolahan aktif dalam berpersatuan tetapi apabila di alam kerjaya dan dewasa situasi jauh berbeza....terbalik!

Berbalik kepada pokok cerita hubung kaitnya dengan SPR; penulis sendiri "cuba" mempraktikkan ilmu kepemimpinan pada tugasan yang amat penting demi negara. Tidak lebih dua minggu sebelum tarikh PRU (penulis tidak pasti, mungkin tidak lebih satu bulan), penulis dilantik menjadi Ketua Pos Mengundi SPR dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ibu Pejabat SPR "menyerahkan" tanggungjawab mengurus dan mengelola urusan pilihan raya dengan mengwujudkan urus setia SPR di setiap negeri. Penulis sudah tentulah di bawah kawal selia SPR Wilayah Persekutuan. Apabila surat perlantikan diterima secara rasmi, suatu taklimat diberikan kepada ketua-ketua pos dan para pegawai dan petugas di peti-peti undi.


Sabar menunggu giliran untuk mengundi

Sebagai anak muda yang mahu mengotakan apa yang dikata; tentulah penulis teruji dan teruja mahu membuktikan sifat-sifat atau ciri-ciri seorang ketua yang berwibawa, berintegriti, berdisiplin, beramanah, dinamik, tegas, dan cekap. Yang sebenarnya; diri kitalah yang menguji ciri-ciri tersebut ada atau tidak dalam diri kita. Dan kita sedia tahu, Allah Maha Melihat segalanya!.

Walaupun surat perlantikan tidak menyebut secara jelas berhubung dengan cuti tanpa rekod (kerana penulis bertugas lebih 8 jam pada hari cuti mingguan/offday), bayaran elaun, elaun lebih masa dan sebagainya namun penulis tidak mengambil keutamaan hak-hak tersebut kerana lebih mengutamakan berkhidmat untuk negara.

Sebelum tiba kedatangan hari mengundi, penulis telah sedia memberi taklimat akhir kepada para petugas peti undi yang diketuai penulis. Para petugas seingat penulis, tidak kurang 25 orang yang terdiri para penjawat awam daripada pelbagai lapisan usia, pangkat dan gender. Penulis menyedari ada di antara petugas lebih senior daripada penulis, justeru penulis dengan berambut rapi dan kemas telah mengenakan 'bush-jacket' bagi menunjukkan kewibawaan dan ketrampilan yang matang.

Walaupun lucu apabila dikenang-kenangkan pada hari ini tetapi itulah hakikatnya. Penulis telah sedia menempah dua pasang bush-jacket untuk digunakan pada hari PRU (ketka tahun 1990-an, suit ini memiliki prestij tersendiri). Sebelum hari PRU penulis juga telah membuat kaji selidik dan tinjauan kawasan-kawasan yang di bawah tanggungjawab seorang ketua. Maklumlah, tidak seperti zaman sekarang segalanya boleh dirujuk melalui google dan yahoo.

Sebelum waktu subuh, pada hari Ahad 21 Oktober 1990 penulis telah bertolak dari rumah di Seri Kembangan, Selangor kira-kira jam 4.15 pagi menuju Kuala Lumpur. Kira-kira jam 5 pagi penulis sampai di stadium yang menempatkan segala dokumen rasmi dan peti-peti undi yang menurut khabarnya baharu diangkut pindah dari balai polis yang berdekatan. Penulis merasakan diri ini sebagai Pegawai SPR tetap kerana rasa kebertanggungjawaban itu amat tinggi. Apatah lagi mengetahui bahawa tidak ada "kerajaan sebenar" ketika itu. Penulis diberitahu, tempoh tersebut hanya SPR yang bagaikan dianggap seperti "kerajaan sementara yang memegang amanah".

Selepas segala prosedur dipatuhi, penulis pun membawa segala peralatan SPR dengan berkereta sendiri ke peti mengundi dengan memegang amanah/integriti & 'tanggung sendiri'. Prosedur seperti ini juga pernah penulis lalui ketika menjadi Ketua Pengawas peperiksaan pusat SRP/PMR & SPM serta penguji/ pemeriksa peperiksaan lisan dan bertulis SPM & STPM.Oleh itu penulis tidaklah rasa sesuatu yang janggal.

Selepas menunaikan solat subuh di sebuah masjid berdekatan dan bersarapan pagi, penulis membawa segala peralatan SPR ke Pusat Mengundi seawal jam 7.00 pagi. Apabila tiba beberapa orang petugas melaporkan diri, penulis telah membuka segala dokumen SPR dengan bersaksikan tidak kurang 2-3 petugas rasmi. Sebelum jam 9.00 pagi semua persiapan di dewan dan bilik-bilik mengundi serta para petugas telah bersedia dengan siap siaga. Penulis gembira kerana hampir semua petugas di bawah kendalian penulis, mematuhi prosedur & arahan sebagaimana yang disebutkan dalam buku log panduan SPR.

Warga emas tanpa mengira warna kulit setia menunggu giliran
menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih

Sebenarnya ada beberapa kes yang menguji ketegasan dan kecekapan penulis sebagai ketua pos pusat mengundi. Ada seorang pegawai polis berpangkat tinggi cuba masuk tanpa izin ke dalam kawasan pusat mengundi (telah ada notis kawasan larangan masuk tanpa kebenaran). Penulis diberitahu oleh rakan petugas di luar dewan (kerana penulis sedang sibuk bertugas dalam dewan utama). Penulis lalu bergegas dan datang menghampiri pegawai polis tersebut dan bertegas mengarahkannya keluar jika tiada apa jua urusan rasmi/kecemasan.

Pegawai polis tersebut akur; mematuhi arahan penulis. Begitu juga ada ejen-ejen parti yang datang menemui penulis mohon izin agar bakal pengundi yang diiringinya tiada membawa I.C (Kad Pengenalan asal) cuma salinan fotostat dibenarkan mengundi, Penulis bertegas juga tidak membenarkannya dan mencadangkan mereka pulang mengambil I.C asal. Ada juga penulis terpaksa "mengusir" orang-orang politik termasuk VIP/VVIP yang cuba "memancing" dalam kawasan larangan..Mereka sewajarnya faham..waktu berkempen telah pun tamat ketika itu tepat jam 12 malam 20 Oktober 1990.

Sehingga tamat waktu mengundi (tidak pasti 4.00 petang atau 5.00 petang) pada hari itu, penulis dan rakan petugas telah membungkus ,mempateri,& mengunci segala peti/tong kertas undian dan segala dokumen untuk dibawa ke pusat pengiraan utama sebelum jam 7.00 petang dengan selamatnya tanpa sebarang sabotaj dan prejudis. Dipendekkan cerita; jika ada "cerita kongkalikong" di kawasan/wilayah lain ,penulis tidak mahu komen. Sebab itu pada hari ini, jika SPR "dituduh dan dikecam" tidak telus dan sikap berpihak, penulis berasa amat kecewa. Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Namun penulis juga ada 'terasa hati' dengan "SPR Wilayah Persekutuan" kerana sikap tidak peduli penulis rela bertugas pada hari cuti, hari  Ahad dan sikap sambil lewa SPR Wilayah Persekutuan yang tidak memberi atau lambat memberi surat perakuan cuti tanpa rekod; dan penulis hanya mendengar arahan lisan, maka penulis pun 'bercuti' pada hari lsnin 22 Oktober 1990. Adakah penulis telah "dikhianati" tidak dimaklumkan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Apabila penulis mahu memperoleh ganjaran/imbuhan persaraan, rupa-rupanya dalam catatan buku perkhidmatan penulis tertera  pada tarikh tersebut (lsnin ,22.10.1990) dicatat 'CUTI TANPA GAJI' yang bermakna pada waktu perkiraannya dikira penulis telah 'kehilangan satu bulan gaji akhir'. Walaupun penulis membujuk diri lantaran zaman telah berlalu tetapi apa yang penulis mahu agar nasib begini tidak menimpa insan/penjawat lain. Dan harapan penulis agar SPR lebih profesional dan tidak memandang sebelah mata setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat atau setiap individu.
Justeru, apakah penulis tidak berkorban demi negara tercinta? (DRH)








Tiada ulasan:

Catat Ulasan