HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

26 Mei 2017

Fragmen Cerpen: MENANTI HUJAN TEDUH

   SUDAH berulang-ulang kali aku mengingatkan Tini bahawa aku tidak memaksanya bernikah denganku. Dia yang rela menerimaku sebagai suaminya.Dia yang rela mahu  menjadi penghuni syurga di alam sana kelak pada saat dia di penghujung usia, dia mahukan suami di sisi hingga ke akhir hayat. Tini  mahukan keredaan seorang suami yang boleh membimbingnya ke alam ukhrawani yang kekal abadi.

Sebab itu aku tidak berjanji mahu memberi Tini emas permata dan limpahan harta benda dunia yang bersifat sementara. Sebab itu juga aku sering menegaskan bahawa dirinya dan anak-anak kelak adalah amanah yang aku pikul untuk kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi. Ya, Tini asalkan kau mahu mengikut cara dan kaedahku mencorakkan warna, rona dan tona keluarga, aku akan cuba sebaik mungkin. ltulah janji ikhlasku padamu, Tini.

0leh kerana itu, apabila kau tiba-tiba mahu memutuskan tali hubungan suami isteri antara kita, maka beberapa kali  aku memberi peluang kau berfikir sedalam-dalamnya. Aku terus mendoakan kau berfikir lagi semasak-masaknya. Aku tidak mahu kifarah Allah akan menimpamu pada hari kemudian. Walau bagaimanapun aku memahami gelora batinmu yang menghadapi psikik, dan dengan pendekatan psikoanalisis, aku mahu bertindak umpama menarik rambut dalam tepung; tepung tidak tumpah manakala rambut tidak putus.

Setelah aku mendapat khidmat nasihat daripada pihak kedutaan,  mereka memberi saranan dengan dua cara. Pertama, suami isteri pergi bersama ke pejabat agama lslam yang berkenaan. Terpulanglah jika Tini mahu membawa teman mahram atau sebaliknya. Surat perakuan penceraian atau talaq akan diberikan pada masa itu. ltupun setelah pihak pejabat agama lslam berpuas hati dengan penjelasan pihak suami dan isteri. Surat perakuan itu, mesti dibawa ke pejabat kedutaan untuk disahkan perakuan ketulenannya. Persoalannya Tini, siapakah yang mahu menanggung segala kos perbelanjaannya?

Cara kedua aku diberitahu, mencadangkan pihak isteri sahaja yang pergi ke pejabat agama lslam berkenaan yang ditemani mahram atau ahli keluarga isteri. Namun ahli keluarga tidak dibenarkan menjadi saksi bagi pihak isteri atau suami.  Di pejabat agama lslam, si isteri boleh menyatakan tuntutan atau permohonan secara rasmi. Pihak pejabat agama lslam akan menulis surat kepada si suami dalam tempoh dua minggu untuk membuat tindakan susulan sama ada  si suami akan hadir atau pihak pejabat agama lslam akan membuat keputusan muktamad.Isunya juga, siapakah yang mahu tanggung segala kos biaya dan perbelanjaan ini Tini? Mujurlah aku tidak ‘ghaib’ Tana. Jika tidak, kau kenalah mengiklankan ‘kehilanganku’ di media-media arus perdana. lnilah prosedur dan terma yang sedia termaktub dalam perundangan keluarga lslam.

Tini sedia maklum, aku tidak menganiayai dan menzaliminya. Tidak ada sebab kukuh, kau mahu membubarkan pernikahan kita. Kau telah terima maharnya. Namun kaulah di pihak isteri yang mahu berpisah daripadaku. Justeru, sewajarnya kaulah yang akan menanggung semua perbelanjaan termasuklah memulangkan mahar, hantaran dan cicin pernikahan sebagaimana yang kau telah persetujui. Aku tidak pernah memaksaku.Hanya nawaitu yang tersembunyi dalam kalbumu itu, hanya kau dan Allah Yang Maha Mengetahui.Sanggupkah Tini?

Kau pun sedia maklum, sama ada cerai taklik, fasakh dan tebus talaq itu, ada juga syarat-syaratnya dalam perundangan keluarga lslam.Apa yang aku tahu jika suami tidak pulang ke rumah yang didiami isteri tanpa apa jua sebab ataupun dengan kata lain si suami telah ghaib tidak dapat dihubungi dalam tempoh tidak kurang daripada tiga bulan ataupun si suami tidak melakukan jimak bersama isteri tanpa sebab yang menghalang dalam tempoh tidak kurang satu tahun maka bolehlah si isteri memohon pembubaran  ijab kabulnya. Seandainya si isteri mengalami masalah kejiwaan mestilah dibuktikan dengan laporan bertulis daripada kaunselor berdaftar atau psikiatri ataupun pakar psikologi yang bertauliah.


Dalam erti kata yang lain Tini,  segala-galanya mesti ada bukti laporan bertulis. Yang jelas, tidak timbul isu talaq cara lain kerana bukan aku di pihak suami yang mahu jatuhkan talaq ke atasmu Tana.lni bermakna keputusanmu mahu berpisah juga menimbulkan banyak masalah berbangkit. Sekiranya kita mahu meneruskan pendaftaran dalam negara kita Malaysia, sudah tentu menambahkan lagi perbelanjaan yang banyak dan menghadapi tempoh agak lama dengan kerenah birokrasinya.lni tidak termasuk kedua-dua pihak; kau dan aku akan dikenakan denda dan pelbagai caj sampingan; termasuk diminta menyediakan khidmat peguam syarie yang berbayar. Sekali lagi timbul isu, siapakah yang mahu membayar segala kos tersebut? Tidakkah ini dianggap dungu dan jahil andainya pendaftaran pernikahan dilakukan dalam negara tetapi bertujuan untuk penceraian?Tidakkah itu diangap kerja bodoh dan membazir?

Alangkah moleknya jikalau pendaftaran pernikahan kita dibuat semata-mata untuk bersatu dalam kehidupan bersuami isteri.ltupun seandainya kau bersedia membuat surat perakuan bersumpah. Bukan apa, aku tidak mahu kau akan mempermainkan sendiri janji-janji yang kau bina tetapi kau juga mahu memusnahkan janji-janjimu itu, Kau juga harus ingat, surat pernikahan kita ini mengikut perundangan dalam negara kita diberi tempoh dalam suatu masa tertentu.


Jikalau tamat tempohnya, kita kena perbaharui dan memohon surat pernyataan dan pengesahan daripada pejabat agama lslam tempat kita bernikah dahulu dan daripada pejabat kedutaan negara kita di sana.lni akan membebankan kita kelak. Sebab itu aku katakan, kita berpisah atau bersatu kembali pun menghadapi pelbagai masalah. Namun jika kita berpisah lebih banyak lagi masalahnya. Di luar kaca jendela hujan kian lebat.Baiklah, biarlah dahulu , kita sama-sama menanti hujan teduh.

Fragmen cerpen 'Menanti Hujan Teduh'karya RAJIEE HADI adalah sebahagian cerpen yang boleh disiarkan. Tidak dibenarkan menyalin, memplagiat, menciplak dalam apa jua bentuk sekalipun. Perlanggaran hak cipta akan didakwa di mahkamah.
Cerita dan peristiwa dalam cerpen 'Menanti Hujan Teduh" di atas tidak ada kena mengena dengan sesiapapun; baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.Nama, watak, perwatakan, kejadian dan peristiwa jika ada persamaan; hanyalah suatu kebetulan sahaja:P).












Tiada ulasan:

Catat Ulasan