HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Mei 2017

LAOS: KEMBARA MENJEJAKI TANAH ALAM PERGUNUNGAN



Saya (Penulis) di Dataran Sungai Mekong, Vientiane, Laos (LPDR)
 MENURUT epik Laos, Phra Lak Phra Lam, Vientiane diasaskan oleh Putera Thattaradtha. Thattaradtha telah meninggalkan kerajaan Muong Inthapatha Maha Nakhone selepas adindanya merampas takhta daripadanya. Dia mendirikan sebuah bandar di tebing barat Sungai Mekong, iaitu Maha Thani Si Phan Phao, yang menjadi bandar Udon Thani di Thailand hari ini.

Pada suatu hari pula, seekor naga menyuruh Thattaradtha mendirikan sebuah bandar baru di tebing timur Sungai Mekong. Thattaradtha menamakan bandar ini Chanthabuly Si Sattanakhanahud, yang merupakan bandar Vientiane hari ini.
Sungai Mekong Ditabiri Senja


Namun, kebanyakan sejarawan mempercayai bahawa Vientiane pernah menjadi petempatan Khmer. Pada abad ke-11, apabila orang Lao dan Thai berhijrah dari selatan China ke Indochina, orang Khmer itu dihalau keluar, dibunuh atau diasimilasikan  dalam budaya Lao.


Pada abad ke-14, Vientiane menjadi sebuah bandar penting kerajaan Lan Xang dan dijadikan ibu kotanya pada 1560. Selepas kejatuhan kerajaan Lan Xang pada 1707, Vientiane menjadi sebuah negara kota yang merdeka. Pada 1779 pula, bandar ini pula ditakluki oleh kerajaan Siam.
Perancis mula berkuasa di Indochina dan mengambil alih pemerintahan Vientiane pada 1893 dan menjadikannya pusat pentadbiran Laos pada 1899


Sebagaimana  Phnom Penh, Cambodia di pinggir Sungai Mekong dengan bangunan tradisi warisan Perancis, di dataran Mekong River Front (telah saya jelajahi beberapa bulan lalu hingga ke Siamreap), Vientiane, Laos( kini Lao People Democratic Republic). Laos sebuah negara dalam pemerintahan komunis.Namun maju dan pemodenan jelas terserlah.Rakyatnya kelihatan berdisiplin dan mudah membantu. Apa yang saya perhatikan, kebersihan adalah sikap yang patut dipuji. Setiap pemilik kedai/premis bertanggungjawab membersihkan di hadapan kedai/toko/premis milik mereka. Justeru, banyak aspek kehidupan mereka tidak memerlukan pekerja asing.


Vientine ini juga merupakan kawasan tumpuan para pelancong khususnya dari Eropah  dan Australia,Canada dan USA. Lapangan terbangnya moden dan canggih. Apa yang saya fikirkan selama ini tentang Laos; sebuah negara mundur dan tidak maju tetapi di sebaliknya. Saya rasa selamat berjalan-jalan malam hari di kota ini. Perasaan saya tentu tidak sama jika saya berada di Bukit Bintang atau di Jalan Petaling Kuala Lumpur. Para pelancong dan pengembara seperti saya turut bersantai di penghujung sore menantikan sang mentari memukau alam di cabang Sungai Mekong yang bersejarah seperti ungkapan puisiku; GERIMIS DI VIENTIANE. Puisi berikut ditulis sewaktu saya mula berada di bumi Laos pada 25 November 2012: 


Gerimis pagi menyambutku
vientiane dengan senyum baru
membuka pintu hari
dengan wajah harapan
terjun dingin air

Telah lama bersemenda
negeri dan penghuninya
daratan tanah luas
pergunungan sempadan
indah cantik memukau
mekong mengalir perlahan

tenang dan aman di sini
berabad-abad dahulu
tiada apa yang diburu
kini negeri ini mahu
berdagang saling berbahu

Pintu negeri pun dibuka
urus niaga mula  bercanda
muslihat haloba dalam neraca
jujur peta penimbangtara
moga hari esok hadirku
setia kota tradisi.


RAJIEE HADI,
Vientiane, Laos.
25 November 2012



SUNGAI MEKONG, SUATU SORE
Penulis dan Sungai Mekong Mengalir Lesu

Sungai Mekong menyimpan cerita
legenda perang dan kuasa
di timurnya Myanmar
di baratnya Vietnam
di utaranya China
di selatannya Thailand
sungainya terus membawa sarat
suka derita angkara

Sungai Mekong menyimpan lara
ada luka berdarah
ada punah asmara
ada harapan punah
ada kisah bermadah
sungainya terus membawa muatan
kunjungan dagang pendatang

Sungai Mekong penghubung negara
kasih sayang dagang santeri
impian tanpa sempadan
kapal pun berlabuh
setiap alun pertemuan
tanpa warna fahaman
sejak zaman berzaman!


RAJIEE HADI,
Sungai Mekong,Laos.
26 November 2012,



Alam hutan dan bukit batu kapur memukau pandangan
Seterusnya pada 26 November 2012 saya (penulis) bertolak dari Vientiane menuju Vang Vieng di sebelah utara menggunakan perjalanan darat hampir 4 jam.

Vang Vieng (Laos: ວັງ ວຽງ) adalah sebuah bandar dan daerah yang berorientasikan pelancongan di Laos, yang terletak di Vientiane Province kira-kira empat jam menaiki bas salah satu jalan darat utama.. Bandar ini terletak di pinggir Sungai Nam Song. Ciri yang paling ketara di kawasan ini adalah landskap bukit batu kapur yang mengelilingi di sekitar bandarnya.
 

Vang Vieng mula wujud di sekitar 1353 sebagai lokasi perantaraan antara Luang Prabang dan Vientiane. Asalnya dinamakan Mouang Song selepas mayati Raja Phra Nha Phao Phai Naam dilihat terapung menyusuri sungai, bandar telah ditukar nama Vang Vieng semasa pemerintahan kolonial Perancis dalam tahun 1890-an.  Pembangunan ketara bandar ini dari aspek infrastruktur berlaku sekitar 1964-73 ketika Perang Vietnam apabila AS membangunkan pangkalan Tentera Udara dan landasan yang telah digunakan oleh tentera udaranya. Landasan kapal terbang itu kemudian dipanggil 'Lima tapak 6'. Pada masa sekarang  bandar ini berkembang lebih pesat  disebabkan oleh kehadiran ramai pengembara, pelancong dan pengunjung yang tertarik dengan produk  pelancongan yang bersifat  pengembaraan lasak seperti aktiviti berkayak di Sungai Nam Song, jungle tracking, mengembara ke dalam gua batu kapur dan banyak lagi. 
Di Sebatang Jalan bandar Viang Vieng
  

Vang Vieng telah menjadi sebuah bandar pengembara yang dikelilingi pergunungan dan tanah tinggi yang menghijau dan masih asli dengan perkampungan yang masih tadisi.  Jalan-jalan  utama di sini tersedia rumah tamu, hotel-hotel bajet dan sederhana mewah yang harganya semurah 20ribu kips (sekitar Rm8) hingga 150 ribu kips (RM 50)  pasar mini, bar, restoran termasuk restoran halal (Restoran Nazim,lndian Food), kafe internet, agensi-agensi pelancongan dan bas-bas pelancongan yang membawa ke destinasi domestik dan luar negara iaitu ke Chiengmai, Ho Chi Mint,Bangkok dan sebagainya.

Penulis di Vang Vieng berhadapan restoran halal
Gua terdapat banyak di sini  seperti Tham Phu Kham  dan Tham Jang gua berhampiran Vang Vieng.   Bandar ini terletak di lebuh raya utama utara-selatan, Route 13 dari Luang Prabang ke ibu kota Vientiane. Ia adalah kira-kira lapan jam dengan bas ke Luang Prabang dan empat jam ke Vientiane (152 km). 

Dari Laung Prabang, saya akan terus masuk ke Wilayah Tibet China. Saya teruja mahu ke Tibet; dan jika berkesemapatan mahu rasanya belajar ilmu Kungfu sepertimana dalam filem-filem Shaolin. Pada tahun 2005, saya cuma sempat sampai ke Beijing dan Tianjin dan menjelajahi Tembuk Besar China.

Vang Vieng telah menjadi sebuah bandar yang berorientasikan kembara dengan jalan utama memaparkan rumah tetamu, bar, restoran, kafe internet, agensi-agensi pelancongan dan pelancong barat tertarik dengan berkayak di Nam Song River
.

 

Dengan hanya berjalan kaki yang singkat dari bandar ini saya temui banyak etnik Lao, Kmou, dan kampung-kampung  di sekitarnya. Saya juga melihat Vang Vieng Organic Farm yang  terletak sekitar 4 km ke utara bandar dalam kampung Phoudindaeng. 



Suasana pagi pada rabu 28 November 2012 pagi bergerak perlahan tatkala hujan dengan simfoni rentak lembut. VangVient bandar di kelilingi bukit-bukit dan pergunungan batu kapur di utara Vientiane bergerak seperti biasa. Para pelancong Eropah yang rata-ratanya dari negara bukan berbahasa lnggeris seperti Belgium, Sweeden, Swiszerland,Denmark,Finland dan Norway begitu teruja dengan suasana tradisi bandar dan perkampungan yang jauh berbeza dengan negara mereka
Di Hadapan Pejabat Pentadbiran Daerah Vang Vieng


Sebenarnya inilah produk dan dapatan yang mereka mahu.Mereka bukan mahukan pusat membeli-belah seperti Berjaya Times Square, Midvalley atau Sogo di Kuala Lumpur, Mereka bukan mahu menginap di Hatten Hotel seperti di Melaka. Mereka bukan mahu sibuk atau macet kota seperti di Pulau Pinang atau Johor Baharu.


Sejujur-jujurnya, apa yang mereka mahukan ialah kedamaian dan keaslian serta keunikan tradisi yang tidak terdapat di tempat-tempat mereka. Justeru bawalah mereka ke negara kita Malaysia seperti ke kampung Melayu tradisi, tempat-tempat bersejarah seperti makam Tun Teja, Perigi Hang Tuah atau makam Hang Tuah di Melaka dan beriadah seperti di Taman Negara Pahang, Gunung Ledang,Johor atau keunikan tanah tinggi Kundasang di Sabah.. lsu emosi dan psikologi seperti inilah yang tidak dapat dihayati oleh 'Tourism Malaysia'.

Sungai Nam Song. Viang Vieng
Vang vieng sekilas pandang tidaki jauh juga dengan suasana  kampung tradisi dan kampung baharu di Malaysia.Bagi pelancong atau pengembara Muslim mencari makanan halal amatlah sukar. Walaupun di Amerika mahupun Eropah, kembara saya ke negara-negara dalam Asia tetap ada keunikan dan kepelbagaian budaya dan cita rasa.


Oleh yang demikian dengan adanya sebuah restoran lndia yang diwarwarkan halal sudah memadai untuk mereka bertawakal bagi menggalaskan perut. Sekurang-kurangnya roti nan tandori ayam, nasi goreng ayam, roti prata dal dan teh tarik dapat pengubat rindu Malaysia nun jauh di sana. Salam rindu,Malaysia tanah airku tercinta! (tulisan oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Sheikh Al- Latis)

Teks & Foto Hakcipta Rajiee Hadi @Hakcipta Terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan