HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

27 Mei 2017

DI LAUT MATI: KEMBARA MENCARI DIANA


KEMBARA saya seterusnya ke destinasi Laut Mati (Dead Sea), Jordan yang di utaranya bersempadan Turki, Syria di tenggara, lsrael dan Palestin di barat laut. Pemandangan di Laut Mati amat mengagumkan.Tidak terasa penat walaupun perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Amman Jordan melalui jalan darat hampir empat jam menuju ke arah di sebelah barat laut negara Jordan. Pemandangan  menyerlahkan gunung-ganang dan gurun batu yang terbentang luas merupakan pemandangan yang lumrah dan luas saujana mata memandang.
Sungguhpun cuaca panas dan terik tetapi kerana Jordan ialah negara berhawa sederhana maka di sebalik cuaca panas tetapi suhu dingin dan sejuk menyelubungi diri.Sebab itu rata-rata rakyat Jordan berkulit cerah kemerah-merahan yang mengingatkan kita pengaruh dan hubungan tamadun antara Timur-Barat dan Rome-Arab pada zaman dahulu.Apatah lagi Turki berada di kedudukan sebelah utara Jordan.

Melewati kota purba Petra, sisa kota lama peninggalan pengaruh kerajaan Rome silam, mengingatkan saya mengenai filem-filem lakonan The Rock yang pernah menjadikan latar Petra sebagai lokasi penggambaran. Ah, amat mempesona dan mengasyikkan alam maya ciptaan Yang Maha Berkuasa ini. Dalam kotak minda saya sering membayangkan bagaimanakan hebatnya peperangan demi peperangan berlaku di daerah ini pada zaman silam dahulu..Saya juga berkesempatan menziarahi pusara(makam) Nabi Shuib A.S dan Gua al-Kahfi.

Laut Mati adalah tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat.  Pantainya berada di kedudukan serendah 418 meter di bawah aras laut Mediterranean yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia.  Isipadu airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7%.  Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa.
Oleh sebab itu, tiada satu pun organisma yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh belayar di atas permukaannya.  Tasik itu berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Bahkan sekiranya kita berada di atas permukaan air kita akan terapung-apung tidak tenggelam walaupun kita tidak cekap berenang.   Cabang sungai terbesar yang memasuki Laut Mati ini  ialah Sungai Jordan.

Bagaimanakah Laut Mati ini terbentuk?  Kewujudan Laut Mati atau lebih dikenali  sebagai Tasik Nabi Lut ini sebagaimana yang diterangkan dalam Al Quran berlaku sekitar 1800 SM.  Berasaskan kajian geografi dan arkeologi pula di kalangan penyelidik Jerman mendapati bahawa wujud bandar Sodom dan Gomorrah yang terletak di wilayah  paling  jauh dan terendah di Laut Mati yang suatu  masa dahulu diduduki dengan meluas.

Struktur Laut Mati yang paling menarik perhatian pengkaji ialah kesan yang menunjukkan bagaimana satu malapetaka telah berlaku seperti yang diceritakan dalam Al Quran.   Di pantai Laut Mati  sebelah timur, sebuah semenanjung yang dikenali sebagai 'Al -Lisan' menonjol kelaur ke arah air.  Al -Lisan bermaksud 'Lidah' tetapi semenanjung ini tidak dapat dilihat dari daratan kerana ia jatuh di bawah permukaan air pada sudut yang luas, membahagikan lautan kepada dua bahagian.

Di bahagian kanan, tanahnya amat curam ke bawah sehingga 1200 kaki dalam manakala di sebelah kiri kedalaman sebanyak 50-60 kaki.  Kawasan cetek ini yang melingkari semenanjung Al-Lisan hingga ke bahagian paling selatan adalah wilayah Lembah Sidim.  Kawasan yang cetek ini terbentuk selepas berlakunya kejadian gempa bumi dan keruntuhan besar kesan gempa  tersebut. Di sinilah diyakini oleh pengkaji terletaknya bandar Sodom dan Gomorrah yang diliputi oleh permukaan rata bahagian cetek Laut Mati.


Melintasi Petra Yang Kaya Dengan Peninggalan Arkeologi



Perjalanan saya  ke Jordan termasuk kota Amman, Petra dan hingga ke sempadan Jericho. Saya sudah berkira-kira mahu masuk ke Jericho sekiranya ada petanda terjamin keselamatan saya. Jericho tidak jauh dengan sempadan lsrael yang sentiasa bergolak .lni membuatkan di kejauhan pandangan mata saya terlontar jauh ke bumi Palestin yang didiami secara haram sejak 1948 oleh lsrael. Adakah gadis yang bernama Diana yang muncul dalam mimpi-mimpi saya akan saya temui di tanah bumi Bumi Ambia ini atau sebaliknya hanya Tuhan Yang Maha Menentukan. Jikalau saya tidak menemui Diana, kemungkinan saya akan mengembara terus dalam misi mencari Diana. Oh, di manakah Diana?



Saya sempat menziarahi makam Nabi Shuib A.S. Al-Fatihah

Disebabkan rasa keinsafan mendalam akan nasib malang yang menimpa anak-anak bumi Palestin ini  maka saya titipkan sebuah puisi saya:  ‘Gadis Kecil di Pinggir Gaza (buat anakku Syaqira)’sebagai salam kasih sayang sebuah kemanusiaan:

Semalam aku telah piatu
ayah tempat bermanja
ibu teman bermesra
tanpa dosa tanpa kata
kemanusiaan musnah segala

Sambil aku menunggu
ayah pulang menjamah
juadah tengah hari
sajian istimewa ibu
siap sedia menanti
salad maza dan syineena

Tiba-tiba di muka pintu
tubuh wajah ayah
merah simbah berdarah
kesan roket peluru
kejam zionis netanyahu
membunuh ayah di hadapanku

Meluru ibu mahu mendakap
tembakan pun bertubi-tubi
rebah ibu ke bumi
terkulai layu sepi
tanpa dapat menggapai
tubuh ayah dikasihi

Begitulah cebisan hari
gadis kecil di pinggir gaza
lumpuh tidak berdaya
suatu waktu dahulu
dihujani peluru tubuh kecilku
angkara yahudi tidak berperi

Aku hanya menyimpan impian
keamanan dan kasih sayang
saban hari dengan ayah ibu
membilang serpihan waktu
di kem shati kami menghuni
setelah berduka kehilangan
adikku iyad dan tamer
yang baru bergelak ketawa

Hari ini di gubuk usang
yang baru kami diami
titis-titis darah dan air mata
telah menyaksikan tragedi
menimpaku gadis kecil lumpuh
bernama  tasneem al-nahl
tiga belas tahun usiaku
di pinggir gaza yang kelabu!

RAJIEE HADI,
Mei 2011.
(Gadis Kecil di Pinggir Gaza) : buat anakku syaqira



Tidak diduga akhirnya saya berada di pantai Laut Mati , Jordan


oleh Dr Haji Rajiee Hadi@Sheikh Al-Latis)
Teks, Puisi & Foto Hakcipta Rajiee Hadi/Hakcipta Terpelihara SKMM.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan