HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

29 Mei 2017

Cerpen: LAYANG-LAYANG

AKU benar-benar berada di suatu persimpangan dalam lebuh kehidupan ini. Namun dalam apa jua situasi dilema,  aku mesti berani memutuskan, sama ada mahu berpisah atau bersatu kembali. Sebagai seorang suami dan ketua keluarga,  aku tidak boleh membuat keputusan yang terburu-buru. Aku tidak mahu dipersalahkan pada kemudian hari.

Aku teringatkan  Puan Sukarni  isteri sahabatku Syeikh Zaidan yang telah membina rumah tangga selama dua puluh dua tahun dengan sembilan cahaya mata tetapi akhirnya runtuh lantaran sikap isterinya yang terlalu beremosi mengikut nafsu amarahnya.

Syeikh Zaidan beristeri lagi. Sebelum pernikahan dengan isteri keduanya, Syeikh Zaidan dengan jujur dan berterus terang telah memberitahukan hasratnya terlebih dahulu kepada Puan Sukarni. Puan Sukarni bersetuju dengan syarat mahu berjumpa dengan bakal isteri kedua Syeikh Zaidan.

Mereka bertemu dan berbincang secara terbuka  di sebuah café di ibu kota. Syeikh Zaidan yang bersangka baik menyangkakan Puan Sukarni juga bersikap jujur. Rupa-rupanya aku diberitahu, di café itu gelanggang  Puan Sukarni dan bakal isteri Syeikh Zaidan saling bertikam lidah dan saling cabar mencabar.


Kesudahannya, sudah jodoh Syeikh Zaidan di Luqh Mahfuz beristerikan  Puan Atiqah.  Kisah rumah tangga Syeikh Zaidan kemuncaknya tidak berakhir ke takah itu.

Aku difahamkan Puan Sukarni  telah berjaya memperoleh tuntutan fasakh dengan bantuan Biro Bantuan Guaman. Dan yang amat menyedihkan kesudahannya setelah sepuluh tahun berlalu, kehidupan Puan Sukarni terus  dihimpit  kesusahan dan kemiskinan.Dan nasib anak-anak yang mahu dikawalnya dalam jagaannya terabai dalam akademik dan kehidupan sosial berkeluarga.

Namun sahabatku Syeikh Zaidan masih berterusan menghulurkan tanggung jawab bulanan yang berupa wang ringgit, barang-barang keperluan dapur dan segala perbelanjaan persekolahan dan perubatan anak-anaknya. Komitmen Syeikh Zaidan ini dilakukan atas rasa kesedaran kepada agama dan rasa kemanusiaan tanpa paksaan atau arahan perintah mahkamah.


Namun Syeikh Zaidan tanpa menuntut hak hadanahnya sebagai seorang ayah kepada sembilan orang anak tetap mahu banyak bertoleransi dalam banyak perkara..Komitmennya  ini telah berlangsung  sehingga  melebihi sepuluh tahun hingga kini.Aku tabik kepada  Syeikh Zaidan yang mengekalkan ciri-ciri kehalusan pekerti dan nilai-nilai kemanusiaannya sebagai hamba Yang Khaliq.

Aku tidak mahu terburu-buru. Walaupun sahabatku Syeikh  Zaidan itu tidak sedikit pun melafazkan cerai taklik atau apa jua cara penceraian dan kaedahnya.  Tetapi dengan tipu helah, muslihat dan air mata seorang wanita akhirnya boleh meruntunkan hati seorang hakim.


Syeikh  Zaidan memberitahuku, dia tidak menerima apa jua notis atau pemberitahuan ataupun surat saman memintanya hadir di mahkamah syariah di Bandar Alam Perdana. Syeikh Zaidan difahamkan daripada sumber-sumber luaran,  Puan Sukarni ada memfailkan notis penceraian yang diajukan oleh  pihak biro .

Oleh kerana Puan Sukarni hanya seorang suri rumah sepenuh  masa, beliau begitu mudah memperoleh khidmat percuma daripada biro tersebut. Manakala para peguam  yang mengendalikan kes Puan Sukarni  akan memperoleh laba setelah membuat tuntutan  caj bayaran daripada biro  berkenaan. Lagi cepat kes dapat diselesaikan, lagi cepat ganjaran yang akan mereka perolehi.

Sebab itu, aku mahu mencontohi sikap  sabar sahabatku Syeikh Zaidan. Kerana kesabaran Syeikh Zaidan, akhirnya terungkai kes tuntutan fasakh Puan Sukarni itu tidak mengikut prosedur dan maklumat dalam pernyataan surat penceraiannya  yang boleh dipertikaikan banyak pihak.

Adakah pernikahan Syeikh Zaidan kali kedua itu suatu kesalahan dosa besar  umpama melakukan jenayah suatu pembunuhan jasad dan jiwa yang kejam? Syeikh Zaidan dengan  sikapnya yang tidak membelakangkan agama tetap tidak mahu mengaibkan sesiapapun dalam kemelut rumah tangganya itu.Aku juga  tidak mahu menyesali seperti nasi sudah menjadi bubur.

Berpisah atau bersatu kembali masih membelenggu dan menjadi kemelut yang melingkari benakku.Seandainya aku berpisah dengan Azlyn, ada juga impak masalahnya buat masa ini.


Jikalau aku bersatu semula dengan Azlyn, selagi dia tidak mematuhi 5-S dalam rukun rumah tangga kami iaitu saling menyayang, saling mengasihi,  saling memahami, saling menghormati dan  saling membantu maka selagi itulah  Azlyn akan bertingkah sengketa lagi sepanjang masa denganku.

Apa yang kita telah sepakati, biarlah perpisahan yang dikehendaki oleh Azlyn ini dilakukan secara baik. Dan Azlyn janganlah mengecewakan hatiku lagi sekiranya aku mahukan Azlyn menepati syarat-syarat yang adil dalam tebus khuluq ini.Aku, Kak Zaida, Kak Yani dan Azlyn sendiri memahami, dalam apa jua kondisi, kami tetap tidak dapat lari daripada permasalahan yang merangkumi soal pengurusan, kewangan dan kengkangan masa.


Namun titik perpisahan ini lebih mudah berjalan lancar sekiranya kita  ke pejabat agama di Bandar Seri Begawan, tempat kita bernikah dahulu. Aku telah menghubungi pejabat kedutaan kita di Negara Brunei Darussalam.. Pihak kedutaan tidak ada masalah untuk membantu kita.

Walau bagaimanapun dalam hatiku tertanya-tanya; siapakah yang akan membayar segala kos perbelanjaan termasuk biaya penerbangan dari KLIA ke Labuan , kos pengangkutan feri dari Labuan ke Bandar Seri Begawan dan pengangkutan darat pergi dan pulang? lnilah persoalan yang mula bersarang dalam kotak fikiranku,Azlyn,Kak Zaida dan Kak Yani.


Apatah lagi,bukan aku yang mahu pembubaran pernikahanku dengan Azyln.. Tetapi Azlyn yang mendesak mahu membatalkan ijab kabul yang suci ini.Walhal pendaftaran pernikahan yang masih baharu ini belum dibuat lagi di Malaysia.

Sudah acapkali aku katakan, aku tidak memaksa Azyln bernikah denganku.  Azyln yang rela dan reda.Apa yang kami alami ketika itu, aku sukakan Azyln. Dan Azyln juga sukakan aku.Azyln juga telah memberitahu secara berterus terang kepada Kak Yani,  dia sudah jatuh hati kepadaku. Azyln tidak mahu berpisah denganku lagi.

Sungguhpun aku masih bertugas di luar negara yang masih berbaki beberapa bulan lagi tetapi itu bukan batu penghalang bagi aku dan Azyln melangsungkan majlis pernikahan yang sederhana.Aku juga dikategorikan klien pejabat agama yang melengkapi syarat-syarat yang dikehendaki.


Kendatipun begitu,  sudah banyak kali juga Kak Zaida dan Kak Yani mengingatkan Azyln agar benar-benar ikhlas menerimaku sebagai suaminya untuk kelangsungan kehidupan di dunia dan akhirat.

Kak Zaida dan Kak Yani juga mengingatkan akan kelebihan dan pengorbanan isteri-isteri yang hidup berpoligami; baik dalam belai mahupun dalam badai. Tetapi ini bukan masalah pokok. Bagi suami isteri yang bermonogami juga soal hati dan perasaan tidak dapat juga ditenteramkan tanpa apa-apa jua pergolakan dalam menjalani bahtera kehidupan suami isteri. Bahkan dalam drama terbaik yang pernah disiarkan di TV9 "Ramadan, Milik Siapakah" telah mempaparkan kegagalan perkahwinan monogami.

Tanyalah kepada Suhardi dan isterinya Lela, Fatahdan isterinya Aisyah, Adon dan isterinya  Hashimah dan lain-lain lagi. Dan aku biarkan lamunanku terhenti melihat layang-layang itu terputus talinya di tengah-tengah padang luas di hadapan resendensi Bukit Puteri. Aku kini menanti dan terus menanti keputusan muktamad daripada Azyln mengenai tebus khuluq yang dipintanya.


AMARAN: Cerpen "Layang-Layang" karya RAJIEE HADI adalah semata-mata cereka/fiksyen. Tidak ada kena mengena sesiapapun; baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan dari semua segi; itu hanya suatu kebetulan sahaja.
Tidak dibenarkan disalin, ditiru,diciplak atau diplagiat dalam apa jua bentuk sekalipun. Melanggar kesalahan hak cipta akan didakwa di mahkamah. Hak cipta dilindungi SKMM. (P).







Tiada ulasan:

Catat Ulasan