HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

24 Mei 2017

Cerpen: SURATAN ATAU KEBETULAN

KITA bertemu seketika lima belas tahun lalu dan berpisah . ltu adalah hakikat. Setelah berpisah lima belas tahun lalu, kita bertemu semula. ltu juga hakikat. Sekiranya kau bagaikan terkeliru sepertii tidak mahu menerima hakikat situasi diriku dan kerjayaku pada saat ini; adakah kau menyedari bahawasanya kau juga bukan Noreen yang dahulu. Bukan Noreen lima belas tahun lalu yang tersipu-sipu malu di sebalik tudung labuh berwarna jingga atau biru muda.

Dan aku juga tidak akan menemui lagi Noreen si perawan yang kedesaan dengan suara lunak menyimpan malu yang mendalam. Noreen yang ketika itu akan bersembunyi di sebalik tiang kampus mencuri pandang ke arahku tanpa aku ketahui.


Agak melucukan apabila  pertemuan kita selepas lima belas tahun lalu, kau membayangkan aku lima belas tahun yang lalu. Aku yang kelihatan tinggi lampai dengan trend misai dan janggut sejemput ala aktivis ABIM yang popular sejak dekad 1970-an lalu.

Aku juga terkedu apabila bertemu Noreen yang aku lihat sekarang. Noreen yang bukan dalam peta kehidupanku. Dia tidak segan silu ketawa berjela-jela.

Dengan gelaknya tanpa ada batasnya bagaikan menggoda . Dia yang bergaya persis seorang model cantik menawan  yang mula mencipta nama tatkala usia kian merangkak sesaat demi sesaat.Dia juga tidak putus-putus berbicara tanpa sebarang penanda baca.

Menurut  anaknya Rinda, ibunya kadangkala terlupa makan minum apabila bersembang bersama-sama teman-teman yang sealiran jiwanya sehingga berjam-jam lamanya.


Ini membuatkan kadangkala juga Rinda naik berang kerana memendam  gelisah yang berpanjangan. Biarlah,  itu soal dalaman  dan bersifat peribadi antara Noreen dan Rinda.

Aku masih ingat selepas beberapa hari pernikahan kita, aku pulang bermalam di rumah kami di Taman Ujana . Banyak perkara yang aku simpan dan berazam mahu perbetulkan . Bukan sahaja tiang seri dalam rumah ini bahkan segala gaya kehidupan ahli keluarga yang ditinggalkan oleh arwah .


Aku tidak menyalahkan arwah sebagai pesakit diabetis yang mengharungi derita lara menghadapi sikratul maut beberapa bulan di hospital ibu negara. Aku tidak menyesali apa yang aku terima dan hadapi ini dalam jangka waktu yang singkat.


Aku tidak menyalahkan takdir  kerana tidak berkesempatan untuk  aku mengenali lebih jauh ke dasar hati Noreen dan ahli keluarga yang diwarisi ini.


Sebagai seorang pendidik dan ahli psikologi terapi  yang memahami tingkah laku manusia maka tentulah banyak impian dan kaedah pendekatan dan strategi yang aku mahu terapkan. Walau bagaimanapun perkara pokoknya ialah aku memerlukan kerjasama erat daripada Noreen jua.

Jika Noreen meringankan wawasanku dan tidak mengendahkan segala sarananku dan asyik mengeluh dan mengenang kembali kehidupan lampaunya maka cita-cita aku menjadi pudar dan sia-sia belaka.

Aku akan menyimpan kekecewaan ini sepanjang titian hidupku. Aku rela dan pasrah dengan  azam menggunung. Setiap waktu tahajud, aku bangkit bersolat malam memohon ke hadirat  llahi agar aku diberikan ketabahan dan kecekalan menghadapi segala ujian-ujian daripada-Nya untuk kelangsungan sebuah keluarga yang mendambakan kasih sayang daripada seorang suami dan bapa. Aku tidak akan tunduk kepada kegagalan kecuali aku reda dengan segala ketentuan Tuhan.

Pada malam pertama aku bermalam di rumah Taman Ujana, aku tidak pasti sama ada tindakan Noreen itu sengaja dilakukan atau tanpa disedarinya. Dia telah membawa bersama atau dalam erti kata lain, membenarkan anak-anak lelaki yang telah mumayiz  Nizam 7 tahun dan Nizar 4 tahun tidur sebilik bersama aku dan Noreen.

Yang memanaskan lagi hatiku apabila Nizar tanpa merasakan apa-apa kejanggalan tidur  sekatil yang sepatutnya aku dan Noreen tidur bersama. Terus terang aku  masih mengimpikan dan  mahukan  kehangatan serta kenikmatan bulan madu yang masih belum kami kecapi sepenuhnya.


Terlalu banyak yang belum aku terokai dan jelajahi tanah subur, gurun gersang dan rimba liar dalam kembara sebuah kehidupan malam sepasang suami isteri. Adakah Noreen kecewa? Atau adakah aku yang terlalu kecewa?

Aku yang telah mula dapat warm up setelah keletihan menguruskan banyak perkara sepanjang bulan Mei itu, telah merasakan  kian banyak  teruja untuk menikmati sebuah permulaan perjalanan yang kusangka akan panas hingga ke petang.


Aku begitu berdebar  menantikan kehadiran sang malam yang kedinginan  tetapi akan menyelubungi seribu wajah kehangatan yang misteri.

Aku menanti sepanjang siang hari . Dan kian tidak menentu apabila melihatkan Noreen lebih menumpukan titik-bengik Rinda, Nikmah, Nizam dan Nizar. Adakah Noreen tidak memberikan taklimat asuhan ringkas  kepada Rinda, Nikmah,Nizam dan Nizar apa yang patut dan tidak patut mereka lakukan apabila adanya kehadiran  seorang bapa dalam rumah in? Dan adakah dia buat-buat tuli akan kemunculan segera kehadiranku yang halal ini?


Dan adakah dia tidak menghormati aku yang mula bersemi dalam  kehidupannya  kelak yang akan menyerikan perjalanan sebuah keluarga baharu ini.?

Dan memikirkan semua perkara itu aku menjadi buntu tetapi dengan kesabaran hati milikku, aku dapat mengawalnya. Aku masih tidak mengerti apa yang bersarang dalam benak Noreen.

Aku tidak terkejut apabila Noreen bimbang akan hamil pelamin kerana hubungan kami pada malam ketiga berbulan madu di kota Denpasar pulau Bali pulau wisata yang terkenal itu.


Aku dapat merasakan getaran tubuh Noreen yang bagaikan terkena renjatan elektrik  kerana  dia yang tahu destinasi mana dia telah temui. Walaupun malam itu sekadar malam perkenalan bagiku, aku akan membuatkan banyak kejutan lagi sepanjang kehidupan kami bersuami isteri.

Bagiku mahligai indah yang  baharu kami bina  ini bukan untuk satu dua malam. Bahkan bagiku lebih daripada seribu satu malam. Jika boleh setiap kota di seluruh dunia ini, aku mahu bersama menikmati keindahan malam bersama isteriku  di setiap kota.


 Aku sedar Noreen dapat merasakan  puncak kenikmatan yang dinantikan bertahun-tahun pada malam itu, malam selepas beberapa hari majlis rasmi pernikahan kami.

Kemuncak malam itu , sebuah senyuman manis terukir dari kedua-dua bibirnya yang nipis. Aku terkesima dan terpana melihatkan lirik matanya yang menjeling ke arahku di birai katil itu.Namun bibir Noreen yang tidak betah menutup bicara mula bercakap akan hal keluarganya. Namun Noreen tidak putus-putus  menyebut dan  merasakan dirinya akan hamil.


Tetapi  apa yang mengecewakan aku, Noreen juga berkali-kali menzahirkan dia tidak bersedia menerima kehadiran cahaya mata lagi bersamaku. Pelbagai alasan  yang dikemukakan dan diujar Noreen untuk mewajarkan kata-katanya  yang sedikit sebanyak  meremukkan hatiku pada malam itu.

Pada malam pertama aku bermalam di rumah Taman Ujana, aku tidak dapat melaksanakan fungsiku sebagai seorang suami. Dan Noreen juga gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tatkala aku memerlukannya.


Apa tidaknya,Nizar tidur di celahan kami tanpa sepatah kata pun terpancul daripada mulut Noreen. Nizam yang tidur di atas lantai yang bertilam di hujung katil pula  telah beberapa kali dengan tidak semena-mena bangun terkejut di dinihari . Mujur aku menyedari akan gelagat tingkah laku Nizam yang bagaikan berada dalam igauan malam.

Dan sepanjang malam itu aku sukar melelapkan mataku. Sesekali aku menoleh ke arah tubuh Noreen yang bulat itu   dalam posisi mengiring dihimpit Nizar. Aku tidak dapat lena.  Kotak fikirku sentiasa berputar-putar memikirkan apakah yang akan terjadi pada siang keesokannya.


Sebenarnya aku kian menyedari yang  Noreen telah mula dilanda bayu dingin dalam hubungan kami, suami isteri. Yang ketara, Noreen telah mengingkari nasihatku agar tidak menghubungi ahli keluarganya di kampung buat sementara waktu; sama ada melayani panggilan telefon atau berwhasapp.


Aku tahu jiwa Noreen lemah dan rapuh. Noreen mudah terpsiko dan  cepat memikirkan banyak perkara negatif lantaran dia mudah terpengaruh dan tidak punya pendirian yang ampuh dan jitu. Aku bukan  berniat  dan mengarahkan Noreen agar memutuskan silaturrahim antara ahli keluarga mereka. Tetapi niatku demi maslahat dirinya dan kelangsungan rumah tangga kami yang baharu kami tegakkan dengan tiang seri yang belum begitu kukuh.   

 Azan subuh yang sayup-sayup  berkumandang di corong menara masjid yang tidak jauh  dari rumah kami, membuatkan aku segera  terjaga. Dan subuh itu, aku dapat membawa Nizam bersolat jemaah di masjid.

Dan subuh itu, aku anggap sebagai titik permulaan aku sebagai seorang ayah yang mewarnai ahli keluarga baharu ini. Itulah azamku.ltulah tekadku. Adakah ini suatu suratan atau kebetulan, aku tidak pasti. Tidak pasti. Dan tidak pasti.

(karya RAJIEE HADI) Hak Cipta Dilindungi SKMM, Dilarang menciplak atau memplagiat dalam apa jua bentuk sekalipun. Perlanggaran hak cipta akan didakwa di mahkamah.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan