HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

25 Ogos 2016

UPM: BERTEMU DR KAMARUDDIN HAJI KACHAR




APABILA menyebut bumi hijau, rata-ratanya kita berfikir tentulah kawasan pertanian yang subur.Namun dalam konteks ini saya mengibaratkan bumi hijau yang juga dikenali ‘kampus hijau’ ialah nama jolokan bagi Universiti Pertanian Malaysia (UPM, kini dikenali Universiti Putra Malaysia) yang terletak di kawasan dataran  menghijau di Serdang, Selangor Darul Ehsan. Dikatakan orang bahawa UPM ialah sebuah universiti yang terluas di dunia.


Di UPM ketika zaman saya bergelar mahasiswa sememangnya cukup kental atau begitu sinonim dengan ilmu dan pengajian yang berkaitan bidang pertanian.Di samping ada kursus Sains Pertanian, UPM juga menyediakan kursus-kursus yang ada pertalian di bidang pertanian seperti Kejuteraan Pertanian, Perniagaan Tani, Pengurusan Pertanian, Sains Tanah, Sains Alam Sekitar dan lain-lain lagi. Dan demi menghadapi persaingan global dalam pendidikan tinggi  mulai awal 1980-an, UPM mula menerima pemodenan dalam perubahan struktur kurikulumnya.


Dan atas sebab inilah maka di antara fakulti yang sedia menerima perubahan dan menawarkan peluang-peluang baharu dalam ijazah pendidikan ialah  Fakulti Perkhidmatan Pendidikan yang dikendalikan oleh Profesor Dr Atan Long (Allahyarham).  Fakulti ini telah dirombak dengan menawarkan kursus-kursus baharu di peringkat ijazah dengan memperkenalkan program Bachelor of Education (Hons) atau Sarjana Muda Pendidikan (Kep.)  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia . Kemudian fakulti ini ditukar nama kepada Fakulti Pengajian Pendidikan yang mana dekan pertamanya ialah Prof Madya Dr Kamaruddin bin Haji Kachar (kemudiannya, Prof  Datuk Dr Kamaruddin Kachar, Timbalan Naib Canselor  HEP).


Justeru atas anjakan paradigma itu maka jabatan-jabatan yang sedia  ada dalam fakulti seperti Jabatan Bahasa, Jabatan Bimbingan Kaunseling, Jabatan Sains Pertanian dan sebagainya merangka dan menawarkan program ijazah pertama; apa yang dinamakan sebagai ‘Bacelor Pendidikan’. Maka bermula pada awal 1980-an baharulah dimulakan program Bacelor Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama/ BP (PBMP), Bacelor Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa lnggeris Sebagai Bahasa Kedua/ BP (TESL) Bacelor Pendidikan dengan Bimbingan dan Kaunseling/BP (B&K) dan seterusnya yang lain-lain. Semua program ijazah pertama ini bertaraf setara dengan sarjana muda dengan kepujian.


Begitulah lintasan ringkas kewujudan Fakulti Pengajian Pendidikan yang mana sebelum ini hanyalah melatih dan menawarkan kursus-kursus diploma sains dalam pendidikan untuk menyediakan guru-guru terlatih di pasaran luar kerjaya keguruan. Dengan kerjasama dengan KPM maka guru-guru yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang berkaitan serta beroleh dalam pencapaian akademik maka ditawarkan kursus Bacelor Pendidikan. 0leh kerana dasar KPM mahukan kian ramai guru berijazah pada masa hadapan maka keterbukaan UPM sangat membantu. KPM menawarkan kepada guru-guru terlatih yang belum berijazah menyambung pengajian dengan tawaran cuti belajar sepenuh masa separuh gaji. KPM juga  menawarkan kepada pelajar-pelajar baharu dengan biasiswa perguruan KPM.


Saya yang mula menjadi guru terlatih pada 1978 tetapi tidak pernah memadamkan hasrat membara  mahu mencapai menara gading yang sudah sekian lama terbenam di tangkai sukma. Semasa saya menjadi pelajar sekolah peringkat STP/HSC 1974, subjek peringkat prinsipal amat terbatas. Saya merasakan seolah-olah pelajar-pelajar zaman saya tidak digalakkan mudah memperoleh semaksimum prinsipal bagi membolehkan kami mudah berjaya masuk universiti.


Apatah lagi, UM dan UKM, ITM (UiTM), Institut Teknologi Kebangsaan (ITK , kini UTM)  tidak banyak memberi peluang kepada kami. Senario ini juah berbeza pada zaman sekarang yang menawarkan konsep sijil terbuka dan peluang yang jauh lebih luas dan banyak. Yang tidak enak bagi pelajar sekarang ialah kurangnya daya tahan, dan tidak ada dorongan kendiri.


Saya tidak ingat mulai tahun bilakah subjek Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu dipecahkan menjadi dua prinsipal. Begitu juga subjek Sejarah dan Kertas Am (Pengajian Am) yang dipecahkan menjadi subjek prinsipal. Apa yang saya ingat, saya bersama-sama guru-guru muda di SMBG dan sekolah-sekolah persekitaran sibuk mengambil peperiksaan STP yang kemudiannya STPM saban tahun tanpa putus asa.


Ada yang bertujuan mahu meningkatkan gred gaji (C2 kepada C1), ada yang mahu melanjutkan pelajaran ke universiti, ada yang mahu mengisi masa lapang dan ada juga yang tidak tahu apakah tujuannya. Pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an mana-mana guru bukan siswazah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti akan dihormati dan dipandang tinggi. Kejayaannya akan menjadi dorongan guru lain dan menjadi bualan semasa masyarakat setempat.


Semasa saya mengajar di SMBG, pada tahun 1981 saya menerima berita Cikgu Azizul Rahman bin Abdul Rahman  dari Sekolah Menengah Tun Seri Lanang, Felda Bukit Serampang,Muar (SMTSL) berjaya ke UKM sambung belajar di bidang linguistik. Azizul ketika itu telah mula menempa nama di bidang penulisan. Rencana sensasinya sering disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia saban minggu.Jauh di hati saya kejayaan Azizul merupakan suatu cabaran yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Pada tahun 1981 saya mengambil STPM lagi tetapi masih mampu memperoleh tiga prinsipal sahaja. Guru-guru yang rajin  mencuba STPM saban tahun ialah Cikgu Abu Bakar Sobor(Allahyarham)  dan Cikgu Ali Sugiman (Allahyarham). Saya tabik kepada mereka kerana sentiasa cekal dan terus berusaha. Sayangnya cuma nasib dan rezeki belum menyebelahi mereka sehingga ke akhir hayat.


Sebenarnya saya tidak mahu membuang masa dengan sia-sia. Kerana saya nampak prospeks masa hadapan. Maka saya pun turut mendaftar belajar secara luar kampus mulai tahun 1979 (semasa itu istilah belajar program jarak jauh belum wujud) dengan Universitas Nasional lndonesia (UNAS), Jakarta, lndonesia dalam jurusan Bahasa dan Sastera lndonesia. Program ini adalah usaha sama antara pihak UNAS dengan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Saya bersama Cikgu Ali Salleh akan menghadiri kuliah pada musim cuti semester di Kuala Lumpur.Kuliah dijalankan di sebuah sekolah menengah berhampiran Kampung Baharu.


Di sinilah semangat saya terus dipupuk kerana kuliah ini turut disertai oleh ramai guru Melayu (termasuk yang bukan Melayu) dari seluruh Malaysia. Ada sesetengahnya sudah berjaya ke tahap sarjana lengkap dan doktorandus. Pensyarah (dosen) yang mengajar,membimbing dan memberi kuliah kepada saya bukan calang-calang individu. Antaranya Bapak Ghazali Dunia, HB Jassin, Drs Sidi Ghazalba, A.S.Broto, Pak Badudu dan beberapa nama lagi.Saya bertahan mengikuti kuliah ini hanyalah setakat tingkat Sarjana Muda.


Saya sama sekali tidak tahu langsung UPM ada menawarkan kursus-kursus bukan Sains. Yang saya tahu, saya cuma mengambil subjek Sains Pertanian di peringkat LCE/SRP dan lulus. Guru Sains Pertanian saya ialah Cikgu Sulaiman Mohamad. Dan sedikit sebanyak saya tahu dan telah berjaya secara amali menanam pokok pisang, ubi keladi dan tembikai di samping menanam sayur-sayuran seperti kacang, bendeh dan terung.


Ketika Allahyarham Tun Razak Perdana Menteri Malaysia ketika itu melancarkan kempen Bumi Hijau maka saya secara proaktif telah menebas dan lalu   membersih semak-samun mencangkul tanah sekeliling rumah datuk saya untuk bercucuk tanam. Walaupun percubaan ketika usia 14 tahun berhasil tetapi saya tidak lepas dimarahi datuk dan nenek saya.


Selain Azizul, pada tahun 1981 itu meletus berita  gempar di SMBG bahawa Cikgu Sheikh lsmail bin Sheikh Sailan seorang guru yang paling aktif di SMBG telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang pengajaran Pendidikan Jasmani. Bersama-sama beliau ialah Cikgu Rama bin Abdullah (seorang guru lndia hindu yang kemudiannya memeluk agama lslam) dari SMTSL ,Muar. Kejayaan rakan sejawat ini memberi impak semangat yang kuat untuk saya ke menara gading.


Cikgu Sheikh lsmail yang aktif dalam pasukan pengakap dan sukan, telah menyebabkan sebilangan besar kami merasakan kehilangannya di SMBG. Dalam diam-diam saya berazam akan mengambil STPM sekali lagi. Biarlah cabaran ini saya hadapi walaupun saya terpaksa membaca buku bertenggek di dahan pokok rambutan bersebelahan rumah ibu saya atau terpaksa mengulangkaji berseorangan di rumah gadang pusaka arwah datuk nenek saya yang tidak jauh dari rumah ibu ataupun terpaksa membawa nota dan duduk di pinggiran batu tebing di sepanjang muara Sungai Muar menjelang hari-hari peperiksaan STPM berlangsung.



Pada tahun 1982 saya tidak mahu ketinggalan, saya memohon melalui  Unit Pusat Universiti (UPU) KPM untuk memohon belajar di jurusan penulisan kreatif dan deskriftif  UM.Pada masa itu program ini popular di Fakulti Sastera dan  Sains Sosial. Apatah lagi penyelarasnya Prof Madya Dr Hashim Awang adalah pembimbing bengkel saya di Bengkel Penulisan Kreatif Wilayah Selatan anjuran DBP/PPJ/Gapena di Muar dari bulan Mei hingga Disember 1981. Kerana saya yakin proses pemilihan UPU maka saya tidaklah berusaha untuk berjumpa Dr Hashim Awang. Pilihan kedua saya ialah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.


Ketika itu Cikgu Shahnon Ahmad (Prof Datuk Dr Shahnon Ahmad) menjadi ‘orang penting’ di fakultinya. Saya cuma berupaya mengirimkan kad  ‘A.R.Register’ yang kemudiannya dibalas dengan tanda tangannya diterima permohonan tetapi gagal. lnilah takdir Allah, yang memberikan saya jodoh terlebih dahulu yang mana saya telah selamat bernikah atau  diijabkabulkan pada 8 April 1982. 


Dan permohonan saya ke UM tidak saya buat tindakan susulan segera kerana fokus buat masa itu telah beralih kepada alam rumah tangga yang baharu dibina. Namun saya tidak putus asa. Kerana tiada sebarang jawapan daripada UPU saya mengambil keputusan mahu ke Kuala Lumpur bersua muka dengan Dr Hashim Awang. Dan hati saya kian bergelora apabila mendapat berita Cikgu Alias Abdul Rahman rakan baik saya yang mengajar di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, Sungai Mati (STMI) berjaya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke kampus hijau UPM dalam program Bacelor Pendidikan (PBMP).

Dan baharulah saya tahu bahawa UPM ada menawarkan program kebahasaan. Selama ini saya memandang UPM hanya ‘sebelah mata’ kerana menyangkakan sudah tentulah saya tidak layak ke UPM kerana menyangkakan UPM menawarkan kursus-kursus berkaitan sains, kejuruteraan dan pertanian sahaja.Dan akhirnya saya kecewa kerana Dr Hashim Awang menjelaskan bahawa mesyuarat muktamad pemilihan akhir di fakulti telah berlangsung dua minggu lalu. Katanya saya terlewat menemuinya. Terasa hampa di jiwa saya tetapi cepat-cepat saya membujuk hati, segala-galanya ada hikmahnya.


Pada tahun 1983, saya tetap mengajukan permohonan ke universiti melalui UPU. Tetapi kali ini salinannya saya ajukan juga ke pejabat pendaftar UPM. Kali ini UPM adalah pilihan pertama.Selepas bulan April saya mendapat tahu ada beberapa rakan telah dipanggil temu duga.Saya risau apabila surat panggilan temu duga belum diterima. Pada akhir April 1983 biras saya Cikgu Mohamad Othman yang mengajar di Batu Pahat telah juga dipanggil temu duga.


Dari sehari ke sehari saya kian risau. lsteri pula telah berbadan dua.Pada awal bulan Mei, saya pun ke UPM menaiki bas ekspres dan turun di tepi pintu masuk UPM bersebelahan lebuh raya PLUS yang baharu dibuka. Ketika itu pintu jalan masuk UPM dibarisi pokok-pokok betik yang subur. Pokok-pokok rambutan, limau dan durian yang rendang dan berjejeran menghijau membuktikan  bahawa bumi hijau di sini tetap mempesonakan.


Di pejabat pendaftar UPM, nasib saya baik kerana dapat bertemu penolong pendaftar yang berbudi bahasa iaitu Encik Sulaiman Md. Atan (bapa Suhaimi Sulaiman, bekas pengacara TV3). Saya pun memberitahu tentang permohonan saya dan mahu mengetahui status permohonan saya. Saya beritahu satu salinan permohonan ada saya ajukan ke pejabat pendaftar .0leh kerana borang permohonan terlalu banyak maka beliau tidak berksempatan mahu menyemak satu persatu. Mujur saya siap sedia satu lagi salinan dan menyerahkan dengan serahan tangan kepadanya. Beliau  juga menyelak fail-fail dokumen  asal saya dan melihat sijil keputusan peperiksaan, sijil-sijil kursus dan surat-surat dan dokumen  sokongan  serta sijil tahap sarjana muda UNAS.


Tiba-tiba wajahnya yang pada mulanya tampak serius bertukar riang. “Saya juga dahulu guru. Dari Jasin, Melaka. Saya juga pernah belajar UNAS dan memperoleh sarjana UNAS. Bagus! Awak ada semangat belajar!”. Dia pun menerima segala dokumen permohonan saya dan berjanji akan cuba membawa ke mesyuarat yang bersidang dalam minggu itu. Dalam hati kecil berbisik, mujur saya tidak terlepas. Alahamdulillah, tuah anak.


Tidak beberapa hari kemudian, pertengahan Mei 1983 saya menerima surat panggilan temu duga peringkat kedua. Saya difahamkan peringkat ketiga adalah panggilan akhir temu duga. Tiba tarikhnya saya bergegas ke Serdang menaiki bas ekspres (kerana belum ada kemampuan membeli kereta) dengan mengusung beg besar yang memuatkan segala buku dan artikel nukilan saya.Walaupun saya terpaksa mengusung beg berat  melebihi 5 kg dari pintu masuk UPM tepi lebuh raya ke pejabat pentadbiran dengan berjalan kaki hampir 2 km namun waktu itu segala-galanya diterima dan ditempuhi dengan reda.


Saya sampai di Pejabat Pentadbiran UPM sekitar jam 1.00 tengah hari. Kemudian saya diminta ke bilik temu duga Fakulti Pengajian Pendidikan di seberang jalan berhadapan padang fakulti.Temu duga akan berlangsung jam 2.00 petang. Saya tidak pasti sama ada tiga atau empat ahli panel yang menemuduga saya.Yang banyak memandang, merenung tajam dan berwajah bengis serius ialah seorang lelaki berkeriting halus ikal rambutnya.


Daripada loghat tuturnya beliau berbicara dalam dialek Negeri Sembilan. Ada ketikanya lelaki itu menyergah saya. Namun saya jawab dengan tenang tanpa gementar. Dari soal latar diri,akademik,kegiatan kemasyarakatan, bakat dan kebolehan, beliau juga bertanya hal personal berkaitan kekeluargaan. Suasana temu duga berlangsung dalam situasi santai,mesra tetapi bertanggungjawab.


Lelaki yang banyak menyoal saya itu ialah Dr Kamaruddin Haji Kachar, dekan fakulti tersebut.Beliau memuji saya kerana belajar luar kampus UNAS dan banyak berkarya di dada-dada akhbar tempatan. Pada masa itu buku saya antologi cerpen bersama ‘Selatan’ terbitan DBP baharu berada di pasaran yang mampu saya tunjukkan. Beliau berbangga kerana dapat melihat sendiri soalan asal kertas Bahasa Malaysia SPM 1981 yang memuatkan cerpen saya ‘Cikgu Azli’ yang pernah  tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada 22 Jun 1980 lalu.


Kehidupan di kampus hijau saya lalui hari demi hari dengan sabar, tabah dan berjiwa besar. Pengetua baharu SMBG, Hussein lsmail telah melakukan kesilapan besar apabila belum diarahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) atau belum menerima arahan Bahagian Biasiswa dan Latihan KPM tetapi pengetua Hussein lsmail telah mengarahkan kerani kewangan sekolah merubah penyata kewangan (Kew.8) memberhentikan gaji saya serta merta kerana kononnya saya ditawarkan oleh Bahagian Biasiswa dan Latihan KPM  dengan kelulusan cuti belajar separuh gaji selama tempoh empat tahun pengajian.  


Pada mulanya saya menyalahkan dan  ‘marahkan’ pihak KPM dan JPN kerana begitu cepat bertindak memotong  atau menahan gaji bulanan saya. lsu ini tidak pun berlaku kepada rakan-rakan saya yang lain. Apabila saya mendapat penjelasan mengenai punca dan sebab; sehingga hari ini saya tidak dapat melupakan kejadian malang yang menimpa saya.  Natijahnya, saya terpaksa menanggung ‘azab sengsara’ hampir satu tahun setengah  saya kehilangan punca pendapatan, tidak berwang!


Hidup tidak berwang umpama anak dagang yang hidup merempat sana sini memohon belas ikhsan daripada orang lain. Lebih kurang empat bulan saya berada di kampus; anak sulung saya Muhammad Hatta dilahirkan pada 3 September 1983.


Satu tahun kemudian lahir seorang puteri,  Halimatuns Saqdiyah pada 25 November 1984. Perbelanjaan susu anak-anak kian bertambah, pakaian, kediaman dan segalanya saya mengharapkan bantuan daripada ibu bapa saya dan saudara mara yang simpati dan mengerti. Semasa cuti panjang semester, saya bersama Yusuf Mustafa dari Muar  (pelajar B.Ed.TESL) yang mempunyai kereta sendiri pergi berjualan buku secara langsung di sekolah-sekolah daerah Muar dan Batu Pahat. Sudah menjadi resmi saya, ‘biarlah derita, kutanggung sendiri’ . Justeru saya tidak suka dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya dan saudara mara. Sejak zaman kanak-kanak dan hingga remaja saya ke maktab, ibu saya tidak pernah tahu yang saya pernah cuma makan roti dan air suam sahaja semasa berbuka puasa.


Oleh yang demikian saya bersyukur kerana memperoleh hasil daripada penjualan buku yang agak lumayan juga. Setelah ditolak modal dan kos, kami berdua memperoleh keuntungan RM12 ribu dibahagi dua.


Dan bagi menampung yuran pengajian , makan minum dan bayaran asrama saya sebagai pelajar, saya memohon pinjaman pelajaran MARA. Saya juga memohon pinjaman Yayasan Johor. Dengan permohonan ini pihak universiti tidak menggesa saya melunasinya. Pihak universiti akan memotong segala hutang-piutang kelak melalui pemotongan yang akan dibuat terus di Pejabat Bendahari. Mujur mekanisme ini mengurangkan beban yang saya tanggung. Saya terus menulis di akhbar-akahbar untuk mencari wang saku.


Walaupun wajah saya diselubungi seribu satu macam permasalahan, saya tetap juga melibatkan diri dalam kehidupan kampus. Menghadiri forum-forum ekonomi dan debat siswa adalah menjadi kegemaran saya. Namun setiap hujung minggu saya akan pulang menemui anak isteri di kampung. Bukan menjadi suatu rahsia, kehidupan mahasiswa berkeluarga penuh badai dan pancaroba. Ada rumah tangga yang karam dan musnah akibat godaan duniawi,  sengketa keluarga dan korban fitnah.


Pada sambutan ‘Malam Tradisi Sastera Rakyat’ di Panggung Percubaan UPM pada awal tahun 1984, saya telah diundang membaca puisi bersama-sama penyair jemputan seperti Zurinah Hassan dan T.Alias Taib. T.Alias Taib yang telah saya kenal sebelum ini menjadi bertambah akrab hubungannya sebagai rakan penyair dengan saya. Pada malam itu teman-teman sekampus seperti Aripin Said, Lahsani, Zainal Abidin lsmail dan Wahab Darus turut membuat persembahan.


Tidak lupa persembahan pensyarah Syed Halim Syed Noh (kini di UM). Prof Madya Dr Kamaruddin Kachar yang temu duga saya dahulu, pada malam itu berucap selaku Timbalan Naib Canselor (HEP, ketika itu). Dalam  ucapan kata-kata aluannya memuji , gembira serta mengucapkan syabas kepada  pihak yang telah menjayakan malam tersebut.


Pengajian saya  sarat dan padat  dengan kuliah yang setiap kursus memakan masa antara dua hingga tiga jam kredit. Sebanyak dua atau tiga kertas kerja  bagi setiap setiap mata kuliah. Kepanjangan kertas kerja antara 25-50 halaman. 0leh kerana kami adalah pelajar perintis maka kami dapat rasakan bahawa kami seperti bahan uji kaji. Walaupun kami semua telah ada sijil perguruan/pendikan ikhtisas yang setaraf diploma namun kami juga diwajibkan menjalani dua kali praktikum iatu yang berkaitan dengan pengajaran Bahasa Melayu dan pengajaran Kesusasteraan Melayu.


Sehubungan itu saya telah menjalani praktikum pusingan pertama di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar (STMI) Sungai Mati, Muar dan pusingan kedua di Sekolah Menengah Seri Serdang, Selangor Darul Ehsan. (SMSS). Saya bersyukur kerana Prof Dr Atan Long (Allahyarham) yang menjadi salah seorang penyelia saya banyak membimbing saya dari aspek pedagogi, psikologi dan metodologi.


Berita yang menggembirakan saya ialah apabila pengajian saya dipendekkan kepada tiga tahun setengah.Saya mendapat pengecualian jam kredit bagi kursus Bimbingan dan Kaunseling dan Gerak Kerja Kokurikulum (Gerko) yang pernah saya pelajari dahulu. Apabila tamat hari peperiksaan yang terakhir pada bulan September 1986, saya merasakan diri saya umpama burung yang terlepas bebas dari sangkar yang menyeksakan. Dan saya terus mengusahakan penerbitan antologi cerpen ‘Bumi Hijau’ yang akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun l990 oleh  Marwilis Punlisher & Distributor Sdn.Bhd.


Antologi cerpen yang memuatkan 17 cerpen pilihan karya bekas mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan UPM ini (telah dijadikan teks kajian mahasiswa generasi kemudian)  banyak memaparkan memori suka duka yang sentiasa bergelut dengan cabaran semasa menuntut ilmu di bumi hijau ini. Bak kata Prof Madya Taha Kadir dalam prakata antologi ini bahawa kejayaan ‘Bumi Hijau’ adalah merupakan rentetan kejayaan kegiatan sastera dan budaya di kampus.Pihak UPM yang sentiasa memberi galakan dan dorongan  turut membantu menambahkan lagi khazanah kesusasteraan bangsa. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi Al-Latis)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan