HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

3 September 2016

CAMBODIA : KEMBARA KEMANUSIAAN & KASIH SAYANG


DALAM siri jelajah kembara saya ke negara-negara dalam Asia yang seterusnya ialah ke destinasi negara Kemboja (Cambodia) khususnya di Phnom Penh City. Saya begitu teruja apabila menjejaki Phnom Penh kerana ibu kota ini  pernah dikenali sebagai "Mutiara Asia" pada zaman 1920-an dan mempunyai seni bentuk bina Perancis dan Khymer.

Phnom Penh menjadi pusat perdagangan, politik dan kebudayaan negara Kemboja mempunyai penduduk satu juta iaitu petempatan yang paling ramai di Kemboja.Bandar ini telah menjadi ibu kota Kemboja sejak abad ke-15, apabila raja Ponhea Yat  memindahkan pusat pemerintahan Kerajaan Khymer . Saya juga bertemu dengan pekerja hotel, gadis Melayu Champa yang pernah bekerja beberapa tahun di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.
Peta negara Cambodia (Lihat lokasi Tonle Sap, tasik paling besar di Asia)

  
Di tengah kota Phnom Penh berhampiran pasar besar, ada restoran halal milik orang Malaysia,  D'Nyonya Penang Restaurant yang mana pengurusnya anak muda Melayu dari Batu Pahat, Johor. Di restoran ini, kita boleh menikmati teh tarik tarik, roti canai dan segala aneka mee; termasuk sate dan lontong cita rasa Malaysia.
D'Nyonya  Penang  Restaurant Phnom Penh.

  
Manakala kota Siem Reap di sebelah barat laut yang bersempadan Thailand, Laos, Vietnam dan China adalah kota atau bandar yang paling pesat pertumbuhannya di Kemboja sebagai kota kecil yang menawan dan tempat persinggahan utama sebelum mengunjungi  candi-candi terkenal (bagi yang bukan lslam) di Angkor. Daya tarikan  Angkor Wat ini menyebabkan Siem Reap telah bangkit menjadi pusat pelancongan utama dan  menjadi kota yang hidup dengan dipenuhi hotel dan tarikan pelancongan lainnya khususnya dari Barat.

Umat Islam di Kemboja sekarang kelihatan mulai bangkit selepas dicengkam kekejaman rejim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-1979) di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang zalim.Beliau dan rejim pimpinannya bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam kira-kira setengah juta rakyatnya termasuk  Islam dan bukan lslam , golongan dewasa, wanita dan bayi. 

Saya  menitiskan air mata menyaksikan sendiri ‘Padang Pembunuhan’ (The Killing Field). Saya merasakan begitulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia dan di negara-negara sahabat saya di Brunei, lndonesia, Singapura dan Thailand. untuk bersama-sama bersyukur kerana masih bebas mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai.Pemerintahan komunis Khmer Rouge membunuh sesiapa sahaja yang beragama. 


Saya sendiri menyaksikan ribuan tengkorak manusia mangsa pembunuhan kejam.


Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja yang bukan sahaja tiada manusia hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge bahkan haiwan juga tiada lagi bernyawa kerana semuanya dibunuh kejam oleh komunis Khmer Rouge. Saya berpeluang melawat lokasi bersejarah seperti tempat seksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh) dan padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil ‘Killing Field’ (Padang Pembunuhan). 

Pokok bercerita .... pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak dan bayi

Di celah-celah pokok rendang di padang itu masih tertegak sebatang ‘pohon pembunuh’ yang digunakan askar komunis Phnom Penh untuk membunuh bayi dan anak kecil tidak berdosa yang menangis tanpa henti-henti mohon simpati Andai kata pokok itu boleh berbicara, pasti diceritakan bagaimana askar Khmer Rouge menghayunkan kepala bayi dan anak kecil ke pokok  itu hingga tidak bernyawa. 

Saya merasakan pohon tersebut turut menangis kesedihan  kerana kekejaman manusia yang tidak bertimbang rasa.Pohon menangis bukan suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam sirah Nabawiyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan tempat Rasulullah S.A.W berkhutbah menangis.

Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar: “Suatu ketika dahulu Nabi Muhammad S.A.W berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala baginda membuat mimbar maka baginda telah berpindah ke mimbar itu.Kemudian batang kurma itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta menangis).Maka Nabi S.A.W mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi) 

Di padang pembunuhan itu, di hadapan ‘pohon pembunuh’ itu juga bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan tembakan ke arah mereka oleh askar yang tiada peri kemanusiaan. Bayi tidak bernyawa itu kemudian disepak dan diterajang ke dalam satu lubang besar yang menempatkan mayat bayi-bayi yang tidak berdosa itu.  Apabila ditanya kepada penduduk tempatan;  mengapakah askar Khmer Rouge sanggup memperlakukan sedemikian lalu mereka memberitahu askar Kemboja itu amat kejam dan tidak berhati perut. 

Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar itu telah dirasuk untuk mencapai matlamat ideologi komunis yang kononnya mahu melahirkan masyarakat sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya supaya bersederhana dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik. 


Saya, di sisi Sungai Mekong


SELAMAT PAGI PHNOM PENH


Mentari di hujung senyuman Mekong
telah lama mengintai derita tanah air
dalam kancah dan pecah penjajah
perang dan berang sesama sendiri
dirimu yang rugi merana di setiap bilah hari

Purnama malam kelmarin kelihatan
di hadapan Royal Palace yang sepi
sesekali anak muda Perancis hilir-mudik
menyusuri warisannya dan meneguk cafe
bangga bertutur bahasanya dengan anak peribumi

angin sendu di Stupa Genosid Memorial
jasad mangsa Choeung Ek dipelihara penuh hormat
kerana angkara algojo Khmer Rouge
kenangan kegelapan suram Him Sophy
boleh didengar di mana-mana setiap masa
kubur 166 ngeri tidak berkepala

kotak gelas tulang dan rumah roh
pokok kekejaman bercerita padang pembunuhan
melingkari sejarah Pol Pot dan konco-konco merahnya
setiap rakyat mewarisi derita sengsara lara
kehilangan bayi, ulama dibunuh seksa, gadis diperkosa
oh! Phnom Penh disemadikan kini dalam kejap udara pagi!


RAJIEE HADI,
Phnom Penh, Cambodia.
6 Jun 2012.

Selepas saya meneroka setiap pelosok Phnom Penh dan persekitarannya (di timur laut Phnom Penh, ialah wilayah Kampung Cham yang didiami majori lslam Melayu Champa) selama tiga hari, saya pun bertolak ke sebelah barat lautnya menuju Siem Reap.  Saya  berada di kota Siem Reap selama tiga malam empat hari. .Saya dapati  di mana-mana sikap rakyat Kemboja (Cambodia) lebih suka berurusan jual beli dengan Dolar USA ( USD) kerana mahukan keuntungan. Sebenarnya nasihat saya, bertegaslah gunakan wang Kemboja (Riel Kemboja). Dengan gunakan Riel kita akan dapat harga yang lebih menguntungkan dalam urusan jual beli di Kemboja.

Terminal bas utama di Phnom Penh

Perjalanan menggunakan jalan darat dengan bas dari Phnom Penh ke Siem Reap sekitar lapan jam dengan tambang 11,000 riel dengan bas Syarikat Sorya yang agak lambat dan banyak kerenahnya. Dengan bas syarikat Paramount sekitar USD 5 agak lancar. Terlalu banyak ragam dan kerenah saya perhatikan gelagat masyarakat Kemboja yang juga pelbagai etnik; baik dalam bas mahupun sepanjang perjalanan yang saya lihat di luar bas.
Salah satu warisan seni bina  bangunan peninggalan Perancis.

Ada yang agak santai buang air kecil sesuka hati di mana-mana. Ada penumpang yang bawa hasil ternakan ayam dan anak kambing hidup dalam bas.Manakala video dalam bas, memutarkan lagu-lagu dan tarian tradisi Kemboja. Kebanyakan lagu yang diputarkan penuh kesyahduan. Walaupun saya tidak faham tetapi dari segi nilai rasa dan emosi, karya seni tradisi itu banyak menyuarakan suara dan rintihan hati rakyat Kemboja pada masa lalu yang punah  kehilangan akibat perang saudara. Sebagai seorang peneliti sosiobudaya dan psikologi segala ragam ini saya amati dari sisi lain.

Saya bertolak dari Phnom Penh sekitar jam 11 pagi dan sampai kota Siem Reap sekitar jam 8 malam. Saya sampai di terminal lalu disambut dalam samar kegelapan malam seorang pemandu teksi beroda tiga (seperti tuttut di Thailand).Walaupun ini adalah pengalaman pertama saya dan tidak mengenali sesiapapun namun saya hanya bertawakal kepada Allah. 

Mujurlah pengetahuan masa lalu, semasa di alam kanak-kanak dan remaja saya suka kepada subjek geografi/ilmu alam dan sangat gemar menelaah atlas peta dunia membuatkan saya sering berfantasi mahu mengembara seluruh dunia, membuatkan saya bersemangat dan bermotivasi tinggi. Yang lucunya dalam hidup saya, di sekolah saya pernah mendapat anugerah pelajar terbaik bagi subjek Sejarah. Tetapi apabila terpilih mengikuti kursus perguruan saya dipilih untuk mengikuti opsyen Geografi/Ilmu Alam. Lantaran itu, jadilah saya seorang guru geografi buat beberapa tahun.

Saya terus dibawa ke kota Siem Reap yang perjalanan dari terminal sekitar 20 minit. Saya bernasib baik mendapat bilik hotel yang sederhana harganya, bersih, ada sarapan dan di tengah kota.Harga hotel sekitar 2-3 bintang puratanya antara  USD 15 -USD 25 . Manakalah 'guest house' bagi pengembara yang mementingkan bajet harganya satu malam sekitar USD 2-5 .

Di Siem Riep masjid yang berhampiran bandar terletak di sebuah perkampungan lslam kira-kira 2km  iaitu di Stueng Thmey Village. Saya  menjamu selera di Restoran Muslim Kemboja (Cambodian Muslim Restaurant) milik Encik Yan Soffy yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa lnggeris dengan baik. Encik Yan Soffy pernah datang dan bekerja di Malaysia semasa zaman mudanya dahulu.Pelbagai menu termasuk makanan Thai yang sudah sebati dengan selera orang Malaysia.Restoran dan perkampungan lslam ini (ada kira 350 buah keluarga) terletak di perkampungan tersebut.

Sebuah sekolah rendah terapung di Tasik Tonle Sap sebuah tasik terbesar di Asia

Sebenarnya Siem Reap merupakan ibu kota lama kerajaan Kemboja purba dan bandar bagi keluarga diraja. Bandar ini terletak di bahagian barat laut negara dan merupakan pusat pelancongan  dan budaya penting di Kemboja kerana menjadi pintu masuk menuju kawasan purbakala kota Angkor yang terkenal. Bandar ini memiliki iklim tropika. Pada tahun 2006, bandar  ini memiliki jumlah penduduk seramai 139,458 orang.Kini tidak mustahil penduduknya telah bertambah lebih 200,000 orang.
  
Angkor Wat di Siem Reap antara tujuh keajaiban dunia

Siem Reap memiliki bangunan tua kolonial dan seni bina  negara China di sekitar pengaruh Perancis dan Dalai Lama.Lapangan terbang antarabangsa Siem Reap menghubungkan bandar ini dengan dunia luar. Di bandar  ini terdapat gedung pertunjukan  tarian tradisional Apsara, pusat cenderamata, kilang kain sutera, sawah padi di perkampungan, desa nelayan, dan suaka burung berhampiran tasik/danau Tonle Sap.Tasik Tonle Sap adalah tasik yang terbesar di Asia. Di tasik ini banyak perkampungan terapung pelarian Vietnam. Saya telah berkunjung ke sebuah sekolah rendah terapung di tasik ini. Perasaan sayu yang mendalam membuatkan saya terkenangkan tanah air saya.

Kata Siem Reap bermaksud 'Kekalahan Siam'(kini Thailand) dan merujuk pada permusuhan dan pertumpahan darah selama berabad-abad dan peristiwa yang diperingati dalam ukiran sejarah dan monumen. Nama ini juga dapat diterjemahkan sebagai 'Kegemilangan Siam', kerana selama 500 tahun sebelum peperangan, kota ini menjadi jalan utama dari Kemboja kuno menuju ke Thailand (Negara Siam ketika itu)

Pada 1901 École Française d'Extrême Orient (EFEO) mula menghubungkaitkan dengan Angkor apabila beliau mula menerokai kembara  ekspedisi memasuki Siam dan Bayon. Pada 1907 Angkor, yang telah direbut daripada Siam dengan paksa, dikembalikan kepada Kemboja. EFEO bertanggungjawab membersihkan situs purbakala ini daripada cengkeraman hutan.

Pada tahun yang sama pelancong pertama tiba di Angkor dan sejumlah 200 orang pelancong  yang tinggal di Angkor selama tiga bulan. Angkor kembali diselamatkan daripada diselubungi hutan tebal dan mula mendapat perhatian dunia.
Ketika ditemui penjelajah Perancis pada abad ke-19, Siem Reap hanyalah berupa desa sederhana.Dengan penguasaan Angkor oleh Perancis pada 1907, Siem Reap mulai berkembang dan menerima gelombang pelancong pertamanya. Grand Hotel d'Angkordibuka tahun 1929 dan candi-candi di Angkor menjadi salah satu daya tarik pelancongan Asia utama hingga akhir 1960-an.
Tokoh terkenal seperti Charlie Chaplin dan Jackie Kennedy, adalah mereka yang pernah mengunjungi Angkor. Pada 1975, sebahagian  besar penduduk kota Siem Reap, bersama seluruh penduduk kota lainnya di Kemboja dianiayai kejam oleh komunis Khmer Merah yang mana baki penduduknya menyelamatkan diri dan tinggal di kawasan kampung pedalaman.
  
Seluruh negara dan rakyat Kemboja menderita di bawah rejim kejam Khmer Merah sehingga kedatangan misi keamanan PBB dan kematian Pol Pot pada 1998 barulah  keamanan mulai terserlah dan membangkitkan industri pelancongan yang sangat penting untuk memulihkan Kemboja. Justeru setelah sekian lama menyep barulah kinii Siem Reap mulai bangkit sejak pertengahan 1990-an.

Kini anak Kemboja ramai yang pintar sehingga ada berjaya melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama umat Islam dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Inilah sumbangan kerajaan Malaysia memberi pendidikan kepada umat Islam di negara penganut Islamnya minoriti. 

Bagaimanapun di sebalik kedaifan itu kini  ramai anak Kemboja berjaya bangkit daripada kesan kancah api perang saudara dan mula  bersaing sesama mereka untuk merebut kejayaan dalam kehidupan. Yang membanggakan rakyat Muslim Kemboja ada yang sudah berjaya  menjawat jawatan Timbalan Menteri, wakil rakyat, ada juga menjadi usahawan berjaya. 

oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh Al-Latis

Teks, Foto & Puisi Hakcipta Rajiee Hadi. Hakcipta Terpelihara SKMM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan