HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

26 September 2016

MELAYU BOLEH HILANG DI DUNIA

Champa (Campa) : Tragis Sebuah Negara Melayu Yang Hilang Daripada Peta Dunia


Peta lndochina (nama asal: Champa kemudian bertukar menjadi Vietnam Utara & Vietnam Selatan.Kini Republik Komunis Vietnam)




BERATUS-RATUS  tahun yang silam. sebelum  bangsa/wangsa Melayu menangisi kehilangan pulau Singapura (nama asal Temasik), kita telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina. Lebih menyakitkan, wilayah tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan bukti tamadun awal rumpun Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan kawasan daratan dan perairan Asia Tenggara.



Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah Champa, yang telah berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka juga akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum Thai (Sukotai, Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China. Champa, atau apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan Houan-Wang (catatan China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang China), dan Tawalisi (catatan Ibnu Battutah).


Kini hanya tinggal sejarah dan penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam dan  Cambodia ( Kemboja) dan menjadi kaum minoriti di bumi sendiri.




Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan dalam legenda Cham sebagai Binasuar Manakala sejarah Dinasti Ming mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun 1360 masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari yang terakhir sebelum terbenam menghilang'’.


 Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam.


Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama iaitu dalam Syair Siti Zubaidah merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri. Bahkan  kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada tahun 1676 hingga 1678 masihi.


Dan catatan itu menyebut  bahawa Raja dan sebahagian besar penduduk negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana. Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M. Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah dihadiahkan sebuah Al-Quran.


Mahkota Kebesaran Champa


Maklumat mengenai raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum.lni kerana  kebanyakan raja-raja Champa semasa era Pandurangga (Phan Rang) sebagai ibu kota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan negeri-negeri Melayu di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.


Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara. Wan Bo dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi panglima perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja Chandranekalawa atau Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet. Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 masihi, Wan Bo bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan yang berpusat di Pandurangga.


Baginda kemudian diisytiharkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan bapa mertuanya Ban-La-Tra-Toan yang telah ditawan dan mangkat dalam tahanan musuh. Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 masihi dan digantikan oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan kemudiannya Wan Abdul Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).

Riwayat Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan regim Nguyen pada tahun 1570. Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang sudah sangat lanjut usianya telah ditawan dan mangkat dalam kurungan sangkar besi semasa diarak ke Kota Hue.


Pada tahun 1577, Datu Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani dan bersama anak saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera Kelantan bertolak dari kota Pangkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet untuk merebut kembali Pandurangga. Sebahagian besar darpadai bumi Champa yang telah jatuh ke tangan Dai-Viet sejak tahun 1471 masihi telah dapat dikuasai semula sehingga hampir ke Kota Hue. Setelah peperangan tamat dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah ditabal menjadi Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Dalam kalangan orang-orang Cham dan Vietnam, baginda lebih dikenali degan pangilan Po Rome,.Manakala orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.


Walau bagaimanapun, dalam tahun 1684 masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan Dai-Viet dan negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop). Po Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di Kemboja untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet. Putera kepada Po Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh Dai-Viet menjadi Raja Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia mengakui untuk membayar ufti kepada kerajaan Nguyen.


Setelah Po Jatamuh mangkat, kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top. Dalam tahun 1692, baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen setelah membuat pakatan dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di Kemboja dan kemudian terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan perbatasan Kemboja.


Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan berundur kembali bersama keluarganya ke Patani . Ayahandanya Po Ibrahim yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di Kampung Brek Bak. Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki kedaulatan sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan rajanya yang terakhir iaitu Po Chong Chan.




Sejarah kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan masa ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam artikel ilmiah yang terhad ini. Namun begitu, ianya bagaikan tidak bermakna pada hari ini kerana hanya tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah kekuasaannya telah susut sedikit demi sedikit sebelum hilang sepenuhnya. Dan kini seolah-olah menjadi tanah air asal untuk kaum Dai-Viet (Vietnam). Apatah lagi selepas perang saudara 1967 (perang ideologi) antara komunisme di utara dan kapitalisme di selatan menjadikan kini Republik  Komunis Vietnam.


Negara Champa telah merakamkan sisi gelap dalam sejarahnya yang sering menyebabkan kejatuhan sesebuah kerajaan di Nusantara.lni disebabkan perpecahan dalam kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta pengkhianatan yang dibuat oleh orang kepercayaan sendiri.Selain itu disebabkan sifat tamakkan ganjaran dunia. Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri pada hari ini tidak kira di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, termasuk di selatan Thailand dan di selatan Filipina, bukan mustahil  kadangkala tidak tahu mengenai kewujudan negara Champa.
Akhirnya saya sampai di Saigon (kini Ho Chi Minh City di selatan) manakala Hanoi City di utara Republik Komunis  Vietnam (dahulu: Kerajaan Melayu Champa)


Justeru, adalah amat mustahil untuk sebuah negara Champa wujud semula pada hari ini. Kadangkala saya terfikir, apakah mungkin kemusnahan Champa sebagaimana yang telah ditakdirkan; boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita semua pada hari ini. Dan bahawa sesungguhnya kegemilangan dan tingkat tamadun bukanlah suatu jaminan untuk sesebuah negara itu akan kekal selama-lamanya, melainkan dengan izin Allah jua.


Begitu juga dengan kehilangan pulau Singapura, boleh kita pelajari dan dijadikan refleksi kendiri, bagaimanakah bentuk dan corak negara kita pada masa akan datang jika kita terus tertipu dengan permainan golongan ultra-kiasu. Saya hanya ingin menekankan kepada dua aspek iaitu kita mesti bersatu dan bersikap amanah. Kita boleh berbeza fahaman dalam aliran politik seperti yang sedia wujud dalam politik kepartian di Malaysia antara UMNO-PAS-AMANAH-PKR dan sebagainya. Namun jangan sesekali berpecah ukhuwah dan menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan tanah air sendiri.


Pada hari ini, ada /beratus-ratus blog,youtube,istagram  dan laman sesawang yang diwujudkan hanya untuk menyerang mereka yang berbeza fahaman politik sesama kita Kendatipun kedapatan agak melampau dan berlebihan hingga 'melondehkan' keaiban  sesama sendiri kepada 'pihak luar' namun boleh dibilang dengan jari bilangan blog yang menyeru kepada mencari titik persamaan dan persefahaman dan menggalakkan penyatuan di sebalik perbezaan yang wujud.

Janganlah menyesal jika anak cucu kita pula kelak pada masa akan datang yang akan menangisi ‘kehilangan’ negara mereka dan menyalahkan serta mengutuk tindakan yang telah kita  buat pada hari ini.(sumber rujukan: lbnu Rushdi).

Disesuaikan  oleh SYEIKH AL-LATIS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan