HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

16 September 2016

SUATU KETIKA BERSAMA PLKN

PADA tahun 2006 saya menjalankan tugas dan kewajipan saya sebagai Ketua Koordinator dan Ketua Fasilatator Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kawasan zon tengah iaitu di Kem  Geo Kosmo PLKN Behrang Perak Darul Ridhwan, Kem Millenium, Beranang dan Kem Princess Haliza Sepang dalam negeri Selangor Darul Ehsan.

Berkhidmat di PLKN bagi menjayakan program kokurikulum yang berkaitan sastera dan budaya dengan kerjasama DBP (format lama) adalah suatu pengalaman yang mencabar, perlukan kesabaran tinggi tetapi menyeronokkan juga.Berkhidmat di tiga kem PLKN ini saya temui pelbagai cara kepemimpinan, beraneka masalah tetapi boleh segera diatasi.


Bersama para peserta/pelatih PLKN 2006 di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor D.E

Dan saya temui pelbagai lapisan gaya rakan setugas dalam skop penyampaian dan pengajaran. Maklumlah ada di antara petugas-petugas seni ini bukan mereka yang bertauliah dalam bidang pedagogi atau pengajaran.Namun rata-rata mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi demi menyampaikan misi dan visi pihak yang mengajurkannya iaitu Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang di bawah pengawasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

0leh kerana kami rakan setugas dan dikategorikan super matang maka apabila ada masa terluang kami akan bercerita dunia dan pengalaman  dalam kegiatan seni dan kerjaya masa lalu termasuk cabaran-cabaran asam garam rumah tangga.


Saya dan sebahagian pelatih PLKN

Di samping petugas tetap dan petugas yang berkhidmat secara kontrak dengan pihak Jabatan Latihan Khdmat Negara (JLKN) yang di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia, terdapat juga petugas atau fasilatator yang berkhidmat secara sambilan seperti rakan-rakan saya; A.Ghani Abdullah (penulis,mantan Pegawai DBP), Yalal Chin  (dramatis, mantan Pegawai Kebudayaan USM, Allahyarham), Nasir Ali (dramatis, Allahyarham) dan  lbrahim Akhir (dramatis), Haji Taha A. Kadir (mantan Prof Madya UPM), Haji Mutalib (mantan pensyarah), Jamaluddin Kadir (dramatis veteran) dan ramai lagi. 


Yang menyeronokkan, kami sering berseloroh dengan kisah dan kelakar masing-masing lantaran pengalaman dan penglibatan karier masa lalu banyak menjadi modal untuk dijadikan bahan lelucon apabila dimbas dan dikisar kembali. Ada kisah suka,ada kisah duka dan banyak kisah yang menyentuh jiwa. Saya masih terkesan dengan kisah tragis kehidupan peribadi Allahyarham Yalal Chin yang dibawanya hingga ke akhir hayat.


Allahyarham Yalal Chin

Di Kem PLKN Beranang saya bersua kembali dengan rakan lama yang pernah sekuliah dengan saya di UPM dahulu iaitu Sdr Zahid Ahmad (maaf saya terlupa pangkat beliau dalam tentera) yang bertugas sebagai Timbalan Komandan di kem tersebut. Saya tidak pasti; adakah sdr Zahid dipinjamkan daripada KPM ke ATM atau telah bersara awal; saya tidak pasti. Sayangnya, selepas tugas saya di PLKN hubungan kami terputus tanpa disengajakan. Saya tidak pasti di manakah beliau sekarang.



Saya bersama penggiat teater/dramatis  lbrahim Akhir, Mubarak Majid & A.Rahman Adam


Sebenarnya PLKN ialah satu program pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan untuk membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda ,memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah kerahan tenaga dan tidaklah mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakanakan ala Malaysia berteraskan tiga modul utamanya.


Apa yang nyata PLKN yang saya dan rakan-rakan kendalikan dahulu adalah bertujuan lima objektif utama iaitu: 1.Meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, 2)Memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. 3)Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. 4)Menyemarakkan semangat kesukarelaan. 5)Melahrkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

Apa yang kami harapkan , saya dan khususnya semua petugas di kem zon tengah serta semua staf dan pengendali yang terlibat dalam PLKN dan harapan negara agar semua graduan PLKN akan menjadi warganegara yang berguna dan bermanfaat untuk agama,negara dan bangsa Malaysia tanah air tercinta ini.

Selamat Hari Malaysia 16 September 2016!



oleh Dr.Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al-Latis.

Teks & Foto Hak Cipta Penulis dan Hak Cipta Terpelihara Dilindungi SKMMM.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan