HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

13 September 2016

DI LERENG PERMULAAN KEHIDUPAN INI



SEBELUM Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rata-ratanya penduduk Tanah Melayu menjalankan kegiatan pertanian sara diri sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Bahkan pepatah lama , ‘rezeki secupak,tidak akan jadi segantang’ begitu menebal di sanaubari masyarakat Melayu tradisi. Kebanyakan mereka mengusahakan sawah padi , menoreh getah  dan menangkap ikan sungai sebagai punca pendapatan..

Lokasi Serom dan Sungai Mati dalam peta Muar


Justeru ,bagi penduduk Kampung Serom 2 Hilir dalam Mukim Serom (mengandungi Kampung Serom 1 (satu) hingga Kampung Serom 8 (lapan), pos Sungai Mati  dalam negeri Johor Darul Takzim yang terletak kira-kira 14km dari Bandar Muar (dikenali Bandar Maharani) masih dibelenggu kehidupan desa yang asli serba kekurangan infrastruktur.


Apabila mahu ke Bandar  Maharani,Muar mereka akan berkumpul di jeti penambang Tanjung Agas menanti feri kecil yang sering berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang menyeberang Sungai Muar  iaitu sungai terpanjang negeri Johor ke Bandar Maharani,Muar.Tambang feri ketika itu sekitar 10-20 sen sehala perjalanan. Kuih apam balik, kacang rebus dan mee bandung Muar menjadi  sangat popular untuk dijadikan  ole-ole dibawa pulang dan bagaikan suatu kemestian .Apabila jambatan Muar yang dikenali dengan nama Jambatan Sultan lsmail dibuka secara rasmi 1967 maka perkhidmatan feri penambang pun dihentikan sedikit demi sedikit.
Jeti Feri Penambang Tangga Batu Tanjung Agas Muar 1963


Pada zaman itu, penduduk Kampung Serom 2 Hilir yang terletak 1 km dari jalan besar menuju ke Bandar Muar masih menggunakan sumber air perigi dan lampu gasolin dan pelita minyak tanah. Pada malam hari bunyi bersahutan burung-burung hutan adalah suatu kebiasaan. Pada masa itu, cerita hantu kopek, hantu galah, hantu Jepun dan pontianak  menjadi hiasan bibir orang-orang tua dan menakutkan anak-anak remaja dan kanak-kanak. Apatah lagi pada waktu itu siri cerita pontianak lakonan Maria Menado begitu terkenal dan banyak ditayangkan di pawagam seluruh negeri Johor.


Kampung Serom 2 Hilir yang berkongsi sebatang jalan merah  ke Kampung Sungai Keladi di penghujung jalan di pesisir hulu Sungai Muar, tidak ketinggalan mengusahakan pertanian getah, pinang, kelapa, dusun buah-buahan dan tanaman kontan seperti pisang, ubi keladi dan sayur-sayuran. Penduduk Kampung Sungai Keladi, Belemang dan Kampung Serom 3 Panggung (panggung bermaksud lantai yang bertiang di tepi sungai yang dijadikan jeti/pangkalan kecil bagi meninjau ke seberang sungai) menjalankan aktiviti harian memancing,  menjala, memukat dan memasang lukah ikan tapah, mayung, sembilang, keli, udang dan ketam di pesisiran Sungai Muar yang kaya dengan hasil sungainya.


Ibu saya, Misah ( dikenali di kampung dengan nama Kintan) adalah anak kedua yang berbapakan Mos (dikenali juga dengan nama Musa) dan beribukan Fatimah  binti Hussein Abang sulung ibu saya ialah Abdul Rahman. Apabila jodoh Mos (tidak lama kemudian meninggal dunia) bersama Fatimah tidak panjang, nenek  saya ’Fatimah’ (saya panggil ’atuk’)berkahwin secara ’salin tikar’ bernikah dengan Puteh bin Midon yang telah kematian isterinya(kakak kepada nenek saya). Puteh, datuk tiri saya (yang saya panggil ’ayah’) membawa dua anak juga iaitu Tijah dan Rahmah. 


Selepas perkahwinan Puteh dan Fatimah mereka dikuniakan  empat anak iaitu Zainun (Allahyarham), Ahmad, 0nn dan Abdul Hamid. Walaupun dalam keluarga ibu saya ada yang tidak seibu sebapa namun hubungan mereka adik beradik amat akrab seperti adik beradik kandung.Bahkan saya sendiri membesar  sehingga dewasa tidak merasakan wujudnya perbezaan dalam hubungan antara sepupu kami. Hubungan kami di rumah gadang peninggalan datuk moyang kami sungguh meriah dengan kasih sayang.


Ibu saya Misah @ Kintan (kini Hajah Misah) berkahwin dengan Abdul Hadi bin Manja (lahir 1911) pemuda Kampung Sungai Mati, Muar yang telah berusia lewat 30-an pada tahun 1951.Manakala ibu saya ketika itu baharu berusia 18 tahun (lahir 1933) .Abdul Hadi berbapakan Manja  bin Sintal bin Latis dan beribukan Mimah binti Buang. Keturunan bapa saya dari susur-galur Penghulu Latis yang pernah menjadi penghulu di Mukim Temiang dalam daerah Muar yang luas umapama sebuah negeri. Penghulu Latis pernah bersama Temenggung lsmail menandatangani peristiharan bersama pada tahun 1877 mengiktiraf pemerintahan Maharaja Abu Bakar bagi Negeri Johor dan jajahan takluknya (rujuk buku: Sejarah Johor oleh Buyong Adil).  


Manja dan Mimah walaupun sepupu tetapi jodoh mereka tidak panjang.Sebagai anak tunggal, Abdul Hadi tinggal bersama ibunya di sebuah rumah usang berhampiran pekan Sungai Mati di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan lnggeris Pei Hwa, Sungai Mati. 


Kemudian Mimah bernikah dengan Limat dan dikuniakan anak-anak: Jaafar, Rajimah, Etan dan Umar. Manja pula bernikah dengan Endut dan dikurniakan anak-anak: Hashim, Nong, Gayah, Md.Zin dan Saemah@Not. Walaupun datuk saya Manja dikhabarkan banyak meninggalkan harta dan tanah pesaka dan berasal daripada keturunan penghulu yang susur galurnya dari zaman Temenggung lbrahim, Muar,  namun bapa saya yang sejak kecil hidup dalam daif dan kemiskinan bersama ibu kandungnya tidak pernah menuntut haknya sehingga ke akhir hayatnya.



lbu melahirkan anak sulungnya Mohamad  Zaidin pada tengah hari 27 Disember 1952 di  rumah gadang datuk saya di Kampung Serom 2 Hilir. Anak comel yang berkulit putih cerah kemerah-merahan ini ditatang dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Ketika itu bapa saya sudah pun meninggalkan kerja-kerja kampung membuka,menajak dan membajak tanah bendang di Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati bersama bapa tirinya, 


Limat. Bapa saya juga pernah  menjadi drebar/pemandu teksi tetapi berhenti kerana menurut ibu saya bapa  sering beriktikaf di Masjid Jame’ Sungai Mati. Nenek Mimah (saya juga memanggilnya ’atuk’) mahukan bapa mendirikan rumah sendiri di belakang rumahnya selepas berkahwin dengan ibu. Tetapi ibu kurang bersetuju. lantaran ada kawan bapa mencadangkan agar bapa mecari rezeki di tempat baru di Wealth Estate iaitu ladang getah milik konglomerat lnggeris (dikenali juga dengan nama Joo Kam Estate), Jementah, Segamat,Johor. Dan pada tahun 1952 bapa dan ibu pun berpindah di tempat baharu.

Setiap menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, bapa dan ibu akan balik ke Kampung Serom 2 Hilir rumah sebelah ibu dan menjenguk juga rumah datuk sebelah bapa di Kampung Sungai Mati.. Jarak antara kampung ini lebih kurang 4 km sahaja.  Apabila ibu mengandungkan saya, ibu juga pulang ke rumah gadang itu. Pada 23 Disember 1955, selepas zuhur sekitar jam 3.00 petang saya pun dilahirkan untuk berhijrah ke alam duniawi dari rahim ibu dengan begitu mudah di rumah datuk saya di bumi bertuah Kampung Serom 2 Hilir.


Saya dan abang sulung Mohamad Zaidin dibawa tinggal bersama bapa dan ibu di Wealth Estate,Jementah, Segamat. Menurut cerita ibu, semasa bayi ,tubuh saya yang montel dan berkulit cerah sering dikelek,ditatang dan dikendong oleh gadis-gadis remaja ,anak jiran-jiran di kuarters ladang tersebut. Bapa dan ibu yang menoreh getah di ladang akan mengambil kami di rumah pengasuh yang dipanggil ’Kak Zai’ pada sebelah tengah hari.

Apabila ibu saya mengandungkan anak ketiganya Zulasri, bapa dan ibu berpindah ke tempat baharu bagi menambah rezeki dengan lebih baik iaitu di Sagil Estate,Tangkak,Johor milik Dunlop Estate  Berhad yang beribu pejabat di Melaka. Di Sagil Estate atau Ladang Sagil kami ditempatkan di kuarters yang bernama Kongsi Sepuluh atau Gunung Ledang Division yang terletak kira-kira 65 km dari Bandar Muar dan 35 km dari Bandar Segamat


Dii kuarters ini kami sekeluarga tinggal di barek teres setingkat. Kami berkongsikan air pili yang dipam dari tangki kecil berhampiran rumah. Rumah barek yang tidak berbilik hanya disediakan bilik mandi, ruang dapur dan ruang tidur yang beralaskan ambin papan.Ada juga disediakan pangkin di bahagian luar bagi tujuan berbaring berseorangan atau duduk bersantai.


Pada tahun 1959, abang sulung Mohamad Zaidin yang amat manja dengan bapa mula menginjak usia tujuh tahun. Demi masa hadapan, bapa yang mahukan anak-anaknya berjaya menuntut ilmu telah sedia berkorban berpisah dengan anak sulungnya. Bapa melepaskan ’Abang Din’ tinggal bersama datuk di Kampung Serom 2 Hilir,Muar. Abang Din mendaftar masuk darjah satu di Abdullah  Primary English School di pekan Sungai Mati. Abang Din sering dihantar Tuk Puteh@ayah yang setiap awal pagi mencari rezeki dengan memandu teksi yang disewanya sering menumpangkan Abang Din ke sekolah dengan teksinya. 
Bangunan Asal Sekolah Kebangsaan Abdullah Sungai Mati,Muar ( Ditubuhkan 10 Mac 1957 dengan nama Goverment Primary English School. Kemudian bertukar nama Abdullah Primary English School).


Saya pernah mendengar  cerita bahawa rakan persekolahan Abang Din antaranya ialah Jaafar 0nn seorang seleberiti yang terkenal.Semasa cuti sekolah Abang Din akan pulang ke rumah kami di  kuarters Kongsi Sepuluh..Saya masih ingat, ketika itu usia saya empat tahun, Abang Din berkebolehan dan amat gemar menyanyi lagu Allahyarham P.Ramlee berjudul ’Kalaulah Kaca Menjadi Intan’


Dan tidak siapa pun menduga pada awal tahun pembukaan persekolahan  tahun 1961, Abang Din yang pada pagi itu tidak menumpang teksi Tuk Puteh tetapi membonceng duduk di palang hadapan basikal yang ditunggangi Pak Cik Onn (bapa saudara saya, adik ibu saya yang ketika itu berusia 12 tahun) telah mendapat kemalangan ngeri, dihempap batang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menghempap kepala Abang Din di hadapan Sekolah Menengah lnggeris Pei Hwa, pekan Sungai Mati.  


Akibat malapetaka itu, Abang Din meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami pendarahan teruk di tempurung kepalanya. Takdir telah menentukan, Pak Cik Onn terselamat dan panjang umur hingga ke saat ini.  Saya masih ingat, kejadian itu memberi bekas mendalam dalam kehidupan bapa dan ibu saya.


Apabila saya mula diterima belajar ketika berusia enam tahun (sebenarnya lima tahun)  pada tahun 1961 di Kelas Tumpangan (seakan kelas tadika pada zaman sekarang) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate (SKSE) yang terletak di Central Sagil Estate iaitu kira 20 km dari barek kami. Pada awalnya bapa saya telah menghantar saya ke sekolah dengan berbasikal berulang-alik. Mujur tidak lama kemudian seorang lelaki Cina yang kami panggil ’Ah Kau’ dan kemudian adik iparnya ’Ah Chow’ bersedia menawarkan perkhidmatan menggunakan kereta persendiriannya bagi menghantar saya  dan kawan-kawan pergi-pulang dari sekolah secara bayaran bulanan.


Beberapa tahun kemudianya SKSE ditukarkan namanya kepada Sekolah Kebangsaan Ladang Sagil (SKLS). Sekolah rendah ini dikongsi bersama dengan murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang beroperasi pada sebelah petang. Sekolah ini hanya berdindingkan kadbod keras yang memisahkan antara satu kelas dengan satu kelas yang lain.Guru-gurunya  hanya sekitar enam hingga lapan orang. 


Saya masih ingat antara nama-nama guru yang mengajar SKSE ketika itu ialah Cikgu Mahmud, Cikgu Haris, Cikgu Misdi dan Cikgu Baharom. Tidak ada guru bahasa lnggeris yang mengajar kami.Saya hanya bertahan belajar di SKSE hingga setakat darjah empat. SKSE kini hanya tinggal tapak nostalgia. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina sekolah kebangsaan di tapak yang baharu di Northern Division, Ladang Sagil yang jaraknya empat kilometer dari pekan Sagil, Tangkak,Ledang dengan nama baharu Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang.



Sebenarnya selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian Abang Din pada tahun 1961, bapa dan ibu saya agak serik mahu menghantar saya bersekolah di kampung datuk yang prasarananya lebih baik.Tetapi memandangkan di rumah kongsi tidak ada guru yang boleh mengajar membaca al-Quran, akhirnya saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom Tiga (3), pekan Serom pada tahun 1966 dan masuk ke darjah lima. Dan babak kehidupan seterusnya saya tinggal bersama datuk di rumah gadang di Kampung Serom 2 Hilir, tempat saya dilahirkan sehinggalah saya masuk belajar di tingkatan satu di sekolah dua aliran bahasa (Bahasa Kebangsaan & Bahasa lnggeris) di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, (STMI)  Sungai Mati, Muar pada tahun 1968. 
Bandar DiRaja, Bandar Maharani Muar terkini


Di kampung ini saya belajar mengaji al-Quran  sehingga khatam dengan Puan Zaharah yang mesra dipanggil ’Kak Arah’ iaitu ibu kepada sahabat sekampung saya, ldris Abon yang lebih akrab dipanggil ’Apah’. Di kampung ini juga saya dan adik-adik saya yang turut ikut jejak tinggal di kampung datuk iaitu Zulasri dan Mohamad Shafiee telah belajar kelas agama Jabatan Agama lslam Johor (JAIJ) pada sebelah petang.



Apabila Pak Uteh Abdullah (menantu datuk saya) meninggal dunia pada tahun 1966 dan kemudian disusuli isterinya, Mak Uteh Zainun (adik ibu saya) pada tahun 1967, mereka meninggalkan lapan orang anak yatim piatu iaitu Mohamad Zain, Zabedah, Abdul Karim, Abdul Rashid, Zambroo, Zalina,Nora dan Halib. Pada awal-awal tahun kematian ibu bapa mereka, datuk saya telah memelihara lapan anak yatim piatu ini bersama saya dan dua adik saya. Dan turut tinggal sama juga sepupu saya Sulaiman dan Abdul Kadir. 


Oleh itu bagi saya untuk  memperoleh kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada datuk saya tentulah mustahil.Namun masa saya yang terluang banyak disikan  dengan membaca buku-buku cerita, akhbar jawi Utusan Melayu dan novel. Saya juga gemar meneliti buku atlas peta dunia dan membaca bahan yang berkaitan sejarah dan ilmu alam (geografi).


Tidak tinggal  bersama ibu bapa dan kehilangan kasih sayang adalah asam garam kehidupan saya semasa kecil dan remaja..Pada masa itu, bukan tiada remaja nakal yang ponteng sekolah, merokok, menghisap ganja dan berjudi.Mujur saya tidak terjebak dengan elemen negatif yang melanggar disiplin sekolah. Dengan memperoleh keputusan terbaik,kepujian dan lulus semua subjek dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1970 maka melayakkan saya belajar di tingkatan empat.


Kemudian dengan meraih pangkat kedua dan menjadi pelajar terbaik subjek Sejarah  dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1972 dan lulus subjek English Language Sylibus X, MCE, saya bersama rakan sekelas iaitu Ngarisan bin Jurimi (pesara Guru Besar), Liza binti Sitam (Allahyarham, bekas kakitangan perkhidmatan awam Negeri Johor), dan Norizan bin Kulob (pernah menjawat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor/SUK dan Pengarah Jabatan Agama lslam Johor) telah terpilih sebagai para pelajar cemerlang sekolah dan terpilih memasuki ke tingkatan enam pada tahun 1973 di sekolah  berasrama harian berprestij ketika itu, Sekolah Menengah Dato’Seri Amar DiRaja (SDAD)di Bandar Maharani, Muar, Johor.


Di lereng kehidupan ini, saya mula yakinkan diri akan memulakan pendakian ke puncak kejayaan. Kerjaya sebagai peguam mula berputik dalam jiwa saya. Apabila ada masa terluang saya akan cuba menghadirikan diri ke galeri awam dalam mahkamah di Bandar Maharani, Muar bagi mengikuti tertib prosiding yang dijalankan.Dalam diri saya berazam mahu menjadi seorang pejuang demi masa hadapan keluarga, agama, bangsa dan negara saya.Dan bagaimana pula saya bertukar arah menjadi seorang guru atau pendidik/pensyarah, hanya sejarah dalam kehidupan yang telah melakarinya dari semasa ke semasa  setelah dilantik menjadi guru terlatih pada 3 Januari 1978.-(oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al Latis)

HAK CIPTA TERPELIHARA DILINDUNGI SKMM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan