HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

18 Februari 2018

MOHAMAD OTHMAN MENINGGAL DUNIA

(Allahyarham Mohamad bin Othman)
MOHAMAD bin Othman menghembuskan nafas terakhir di IJN Kuala Lumpur kira-kira jam 6.27 petang Sabtu 17 Februari 2018 kerana menghidapi komplikasi paru-paru dan jantung ketika usia 70-an tahun.

Sebelum bersara beliau ialah tenaga pengajar program TESL di UPM Serdang. Allahyarham Mohamad bin Othman bukan sekadar ada hubungan persaudaraan dengan penulis bahkan beliau juga sama-sama rakan sekuliah semasa sama-sama melanjutkan pengajian ijazah pertama dahulu. Penulis dan Allahyarham sama-sama mendaftar sebagai mahasiswa guru, sama-sama tinggal di asrama Kolej Ketujuh UPM dan sama-sama berkonvokesyen meraih segulung ijazah sebagai permulaan simbol perjuangan yang panjang.

Banyak kenangan suka duka, masam-masam manis dan lelucon.Penulis masih ingat ketika beliau mendaftar sebagai 'mahasistua' beliau telah memandu volvo klasiknya model 144 gear tangan dari Taman Broleh, Batu Pahat ke kampus hijau Serdang. Ada ketikanya volvo klasik itu tersemput-semput juga di tengah perjalanan lebuh raya PLUS utara-selatan  yang baharu dibuka. Namun hingga ke saat ini penulis tidak tahu ke manakah perginya volvo klasik itu. Semasa sebagai mahasiswa beliau juga memakai kereta antik Austin Morris Minor Mr Bean.

Yang penulis tidak lupa, di pertengahan jalan petrol kehabisan dalam tangki tetapi beliau telah membeli sebotol minyak kelapa di kedai runcit berdekatan lalu menuangkannya ke dalam tangki kereta tersebut. Wow..boleh hidup enjingnya dan berjalan seperti biasa. Dan kereta Austin Minor itulah yang boleh memuatkan 5 penumpang dewasa (termasuk penulis) dan tiga kanak-kanak tanpa kerenah. Begitulah..apabila  kita dalam kesusahan hidup segalanya kita reda dan sentiasa bersyukur. Namun kegemaran Allahyarham yang suka memandu pada waktu malam dan kuat merokok amatlah sukar dihindari walaupun saat-saat di penghujung usia.

Di Tanah Perkuburan lslam UPM Serdang jasadnya selamat disemadikan kira-kira jam 10.45 pagi pada hari Ahad 18 Februari 2018. Dari Allah dia datang, kepada-Nya dia kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan diampunkan segala dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam kalangan ahli-ahli jannah. Al-Fatihah.(DRH)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan