HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

1 Februari 2018

ABDULLAH SANI YAHYA MENINGGAL DUNIA

KIRA-KIRA jam 4.50 pagi 1 Februari 2018 saya dan rakan-rakan sekuliah semasa menuntut ijazah pertama awal 1980-an telah dimaklumkan oleh anaknya bahawa ayahandanya Abdullah Sani Yahya ( lahir 1953) telah menghembuskan nafas terakhir yang berkemungkinan besar ketika sedang dirawat di Hospital Taiping Perak.. Sebelum itu kami difahamkan beliau menerima rawatan kerana menghadapi masalah komplikasi jantung.

Sepanjang yang saya tahu; di samping Allahyarham aktif dalam badan penulis di utara Perak, beliau juga aktif dalam pertubuhan parti politik tempatan.Karya-karya beliau juga banyak termuat di akhbar-akhbar tanah air (nama penanya'Lahsani') termasuk cerpennya turut serta dalam antologi BUMI HIJAU terbitan 1990, Marwilis Publisher & Distributor, Shah Alam yang saya selenggarakan dahulu.

Kali terakhir saya tersua dengan beliau kira-kira 10 tahun lalu di perhimpunan parti politik tersebut di PWTC, Kuala Lumpur. Tidak banyak yang kami bicarakan; sekadar bertanya khabar dan bertanyakan tempat bertugas kami. Keadaan yang sibuk dan bengit di dalam bangunan PWTC membuatkan kami terpaksa memfokuskan  urusan peribadi dan membuat haluan masing-masing.

Jenazahnya dibawa ke Kampung Kubu Gajah Perak untuk disemadikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan ke dalam golongan ahli-ahli jannah.
Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan