HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 Oktober 2016

SELAMAT MENJAWAT PEGAWAI PASCA PERKHIDMATAN.....

KEPADA para sahabat yang telah dan akan bersara wajib, berdoalah agar anda semua dapat meniti hari demi hari ke saat tarikh yang dinantikan. Dan saya ucapkan selamat bersara dengan beroleh nikmat kesihatan dan segala ganjaran untuk kebahagian anda dan keluarga.

Sehubungan dengan ini, saya juga mahu menceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan Baharu (SSB) dahulu, penjawat awam boleh memohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan bersebab daripada ketua jabatan atau majikan. 

Mercu Tanda Kompleks Kerajaan Persekutuan Putrajaya
Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika berumur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika berumur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara diluluskan. Namun demikian, saya nasihatkan kepada para pembaca yang berminat membincangkan topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes persaraan. 

Walau bagaimanapun, warga Kementerian Pendidikan Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran (mungkin ada kementerian lain yang menggariskan klausa dan peraturan tambahan)  tidak membenarkan bersara pilihan tatkala usia 40 tahun ke atas dengan alasan keperluan kritikal. 

Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan kepada Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah / Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan. Namun, tidak semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan perlu mendapat kelulusan bahagian lain terlebih dahulu.
           
Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan beberapa tahun lalu telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan segala yang diperlukan  telah dikemaskini. Penjawat awam tersebut berasa kecewa  dan hilang kepercayaan kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme oleh ketua jabatan dalaman yang tidak profesional, tidak beretika dan tidak  beramanah.

Bayangkan  selama  lebih 30 tahun  beliau  berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk  memberikan markah atau menilai prestasi. Walhal  jika mengikut prosedur JPA, semua  penilai wajib bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan. Ini   jelas  melanggar etika dan peraturan. 

Kompleks Pejabat JPA Putrajaya
Apatah  lagi  jika   kedapatan  ketua  jabatan  atau   ketua  pejabat  dalam  set minda  telah  tersedia  memberikan  gambaran  negatif  dan  prasangka  peribadi  kepada  seseorang  penjawat awam di bawahnya. Menurut  penjawat awam  tersebut,  beliau  hilang  kepercayaan  dan  bertegas  memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.            Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada  majikannya.

2.       Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan   yang dimahukannya, usianya genap 50 tahun. Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.

3.            Tidak pernah dan bebas daripada dikenakan Tindakan Tatatertib.

4.       Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau  perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.

5.            Tugas yang disandangnya kini bukan kategori  perkhidmatan kritikal.

6.            Bebas daripada     ikatan   perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.

7.        Bebas daripada Pinjaman Perumahan  Kerajaan, Kenderaan Kerajaan dan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

8.         Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan yang melanggari syarat.

9.  Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan ataupun menerima tawaran perkhidmatan di agensi lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik dan munasabah.

10.  Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih  yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.


Berdasarkan 10 perkara di atas, maka tepat pada tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan'  bersara pilihan dengan dibayar berkuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya. Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini.  

Di samping menghadapi kesihatan dan maut yang bakal menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Rancanglah pengisian ketika menempuh hari-hari pascaperkhidmatan agar diri kita tidak dilanda kemurungan. 

Namun mereka  yang telah mendapat 'title' itu ialah insan terpilih oleh Allah S.W.T terutamanya yang Bersara Wajib (55,56,58,60) dan Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri.. Sebagai insan kerdil, tidak salah jika saya mengingatkan kepada penjawat awam yang masih muda bahawa ‘ibarat bagai pelepah yang muda di pepohonan, janganlah ketawakan pelepah yang telah jatuh terdampar di permukaan bumi; lambatlaun semua akan merasainya’. 

Selamat berjuang menempuh fajar baharu dan usah mengalah dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan ini.Sebenarnya bagi penjawat awam yang bersara, demi psikologi dan berkaitan dengan kajian kemurungan selepas bersara dalam pelbagai tesis pascasiswazah, anda cuma beralih ke Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA Kerajaan Malaysia. Dan amat diharapkan agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak mengganggu anda pada saat 'dunia baharu ini'. Dan tidak salah, anda kini adalah "Pegawai Pasca Perkhidmatan'. Hebatnya! 

(oleh Syeikh al-Latis)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan