Perjalanan
hampir 100 kilometer dari bandar
raya Kuching ke Perkampungan Hari Puisi
Nasional ke-9 di Pantai Sematan Daerah Lundu amat mengesankan sebilangan besar
para peserta yang menghadiri
pertemuan pada 2 hingga 6 Ogos 1984 di
Sarawak. Lebih 200 peserta yang datang dari Semenanjung, Sabah, Negara Brunei
Darussalam, Singapura, Filipina dan Indonesia terpaksa menghadapi pelbagai
dugaan dan cabaran yang hebat. Seolah-olah bertepatan dengan temanya ‘Alam,
Penyair dan Puisi’ yang mengajak sekalian penyair berkongsi menimba kepahitan dan getir bagi sebilangan
besar penduduk di bumi kenyalang itu.
Bandar Raya Kuching, Sarawak. |
Minda saya ketika itu masih terakam akan kata-kata Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Sarawak
(GPPS) Adi Badiozaman Tuah (Datuk Dr.)
dalam buku cenderamata Hari Puisi 1984
yang antara lain menyebut …” Kita yakin akan dapat mendekatkan diri kita kepada alam yang mencorakkan dan mewarnakan kewujudan kita sebagai makhluk Allah di dunia yang fana ini. Kesedaran akan hubungan yang
saling bertalian di antara manusia
dengan alam sekitar akan dapat membuka
mata dan hati kita tentang hakikat
bahawa sesungguhnya kita tidak bersendirian di bumi ini …” Nafas Sematan
Dan atas dasar itulah, enam buah bas yang
membawa para peserta dengan melalui jalan raya yang bengkang-bengkok,
berliku-liku dan berlubanglubang dipenuhi debu
yang menyeka mata hampir 100 km
memakan masa lebih tiga jam menuju Pantai Sematan memberi perkongsian pengalaman dan kenangan yang sukar dilupakan.
Apatah lagi, ada bas yang telah mengalami kerosakan pendingin hawa, situasi
yang cukup memanaskan hati dan perasaan.
Kemarahan
dalaman yang membuak-buak disogokkan pula dengan berita ramai peserta kelaparan. Lebih-lebih lagi sewaktu
meninggalkan kediaman sementara di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching pada
2.30 petang, rata-rata para peserta tidak berkesempatan ataupun tidak disediakan makanan tengah hari
oleh urus setia. Difahamkan pihak urus setia menghadapi kerumitan dan
masalah penyelenggaraan dan logistik.
Perjalanan menuju ke Sematan,
Sarawak bersama Yusnor EF dan beberapa penulis Singapura
(1984)
Namun masalah demi masalah yang
dihadapi oleh para peserta dapat
ditenteramkan oleh keindahan asli Pantai
Sematan yang terbentang luas menghadap
Laut China Selatan. Tidak jauh dari pantai itu, kelihatan jelas Pulau Talang-Talang yang terkenal
kerana destinasi lubuk penyu bertelur.
Para peserta yang bagaikan terkurung seperti patuh pada setiap acara yang
dijalankan. Lantas Dewan Balai Raya
Sematan yang antik itu tidak
dirasai kekosongannya.
Lokasi pantai Sematan & Pulau Talang-Talang |
Walaupun
para peserta terpaksa menapak juga dari
perkampungan puisi ke dewan makan di Sekolah Kebangsaan Sematan, Lundu dan kemudian berpatah balik ke balai raya yang hampir 2 km, namun para peserta begitu
tabah dan tidak mahu ketinggalan dalam setiap acara. Walau bagaimanapun,
kepenatan para peserta diredakan juga oleh beberapa persembahan kesenian
masyarakat Sarawak, sama ada tarian tradisi, drama, lagu-lagu puisi oleh Abdillah
S.M (meninggal dunia 2014) dengan Kumpulan Marhaen dan persembahan muzik
tradisional suku kaum bumiputera Sarawak.
Saya
gembira kerana buat pertama kalinya dapat menonton secara langsung tarian
tradisional suku kaum Bidayuh, Melanau, Iban Kenyah dan Dayak Laut yang dipersembahkan oleh kumpulan Seri Tarina, Seridaya Sarawak dan
Rumpun Seni
Budaya Sarawak (RUSDA) yang sungguh
mengasyikkan sebilangan besar hadirin
yang agak keletihan pada malam-malam
Hari Puisi itu. Kumpulan RUSDA pula berjaya mendramakan kisah ‘Si Tanggang”
dalam persembahan taridra yang mengharukan pada malam keduanya.
Oleh sebab pada masa itu belum wujud lagi Perkampungan Budaya Sarawak
seperti yang ada sekarang sebagai produk pelancongan negeri Sarawak, maka
persembahan badan-badan kesenian anak negeri ini banyak memberi input dan
pengalaman yang menarik. Walaupun atur
cara siangnya dipadatkan dengan
pembentangan dan perbahasan
kertas kerja yang dimulakan pada
hari pertamanya oleh penyair Dharmawijaya (Allahyarham) dan berikutnya oleh Kemala yang
berkisar pada persoalan alam kepenyairan berlandaskan keislaman.
Kampung Pueh, Sematan, Sarawak. |
Situasi
yang kadangkala hangat runcing diselang-seli pula oleh beberapa kelucuan dan kegamatan yang memecah keheningan Balai
Raya Sematan. Diskusi sastera yang diperkatakan oleh A. Samad Said, Muhamad Haji Salleh dan Ramli Isin berkisar
pengalaman masing-masing cukup menarik. Sebelum itu, Siti Zainon Ismail (Prof.
Dr.) turut memberikan warna ke dalam puisi-puisi mutakhirnya seolah-olah
terpaksa mempertahankan hujahnya yang
kian menjadi polemik, dan Zainon gigih
sekali mempertahankan dengan tangkisan dan bidasan keilmuannya.
Pesona Alam
Walau apapun yang
dirakamkan dengan tinta pena tentang hari puisi, namun sejenak di Rumah Panjang
Kampung Pueh, Lundu pada hari-hari
terakhir saya dan teman-teman penyair di Sematan dapat merasakan getar hidup
anak-anak peribumi serta banyak mengenali sahabat handai dari Semenanjung akan
arus kemajuan yang dirasakan, turut dirasakan apabila Bumi Kenyalang ini
bergabung dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 lampau.
Dan nikmat pembangunan yang dikecapi oleh
sebilangan besar masyarakatnya yang selama ini dirasakan terpencil dapat
memberi impak dan menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Dan atas keramahan dan kemesraan dengan beberapa penari daripada suku kaum
Bidayuh Kampung Pueh sudah cukup sebagai oleh-oleh para peserta dari setiap pelosok
Asia Tenggara.
Kenangan terus ‘terikat’ dengan budi mesra Bapa Budayawan Sarawak Datuk
Haji Noor Tahir, Menteri Perhutanan Sarawak ketika itu di kediamannya di Petra Jaya, Kuching pada
malam perpisahan. Dirasakan getaran sukma bapa budayawan yang menyampaikan
sumbangsih lagu dan turut mendeklamasikan puisi terbawa-bawa dalam kenangan
peserta. Jelasnya, nafas dan desah sendu suara kepenyairan A. Samad Said,
Muhammad Haji Salleh, Kemala, Siti Zainon Ismail, Adi Badiozaman Tuah (Datuk
Dr.), Saiee Driss, Abdillah S.M. dan Mat Segalang (sekadar menyebut beberapa
nama) terus meninggalkan kesan di
pesisir Pantai Sematan, khususnya di Bumi Kenyalang dengan terus menyemarakkan
alam, penyair dan puisinya.
Sehingga
kini pada tahun 2013, Tasik Biru Bau, Sungai Lundu, Pantai Sematan, Kampung Pueh dan pulau
Talang-Talang masih hidup mekar segar dalam kotak memori nostalgia saya, ketika
saya mengunjunginya buat kali kedua. Nama-nama penulis Sarawak yang menyusul
kemudian seperti Jais Sahok, Jeniri Amir, Margie Leo, Ratnawati Jamil dan
lain-lain terus bertakhta di lanskap sastera tanah air.
Dan
sejak itu, saya banyak menghasilkan sajak-sajak tentang Sarawak. Antaranya, sajak yang dihasilkan 10 tahun
kemudian mengenai pembangunan Sarawak telah disiarkan oleh majalah Mastika’
terbitan April 1994. Kebetulan pula, pengarang
majalah Mastika, Ratnawati Jamil
ialah anak jati Sarawak:
MENDEPANI KOTA SAMARAHAN
(kepada Unimas)
Masihkah kau menyisip nostalgia
kita bagaikan gerup dengan
sisir*
menyimpan segala lara
mencanang setiap kebaikan
tidak kulupa
saat-saat di Sematan
singgah di kota kembang
Samarahan
di tanah Lundu termeterai
temali ingatan
di hujung pulau Talang-Talang masih terpandang
dan deru ombak turut menyisir pesona
tanah Semenanjung yang
ditinggalkan
semadi kasihku abadi
mencengkam semi
dan masih kuingat lagi
kerikil rentang ke Kampung
Pueh
pedalaman gubuk panjang
lembut tari anak peribumi
kental mendakap tradisi
kini mahasiswa universiti!
Rajiee Hadi,
Mastika, April, 1994.
Salam puisi yang berkekalan daripada saya. Jadikan alam indah yang terkembang sebagai guru.
oleh: RAJIEE HADI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan