Disesuaikan oleh SYEIKH AL-LATIS
SALASILAH Kerajaan Brunei mengikut pada Batu Tarsilah (bersurat?) dimulai dari kisah Awang Alak Betatar iaitu raja pertama yang memeluk agama Islam (1368) bergelar Sultan Muhammad Shah (1368-1402). Catatan dari Tanah Besar China menyebut 'Mohamo Sha'. Dan daripada tradisi lisan (sastera rakyat) diperoleh daripada Syair Awang Semaun yang menyebutkan Brunei berasal dari perkataan “baru nah” setelah rombongan suku Sakai (sukuan Melayu Asli) yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baharu.
Peta Lokasi Negara Brunei Darussalam. |
Setelah mendapatkan kawasan tersebut yang memiliki kedudukan sangat strategik dan diapit oleh bukit dan air, mereka membuka petempatan baharu di situ.Kesesuaian kawasan baharu ini kerana kemudahan untuk melancarkan sistem perhubungan dan pengangkutan.Apatah lagi sungai di situ terdapat banyak ikan sebagai sumber rezeki dan makanan dan lalu mereka pun menyebut perkataan “baru nah” yang bermaksud tempat itu sangat baik, berkenan dan bersesuaian di hati mereka untuk mendirikan negeri seperti yang mereka inginkan.
Buku-buku rujukan/kajian yang berkaitan dengan Syair Awang Semaun. |
Kemudian perkataan “baru nah” itu lama kelamaan berubah menjadi Brunei. Dan dalam erti kata lain, dapatlah kita simpulkan, berdasarkan syair Awang Semaun tadi, bahawa Pateh Berbai adalah pimpinan rombongan suku Sakai (sukuan Melayu Asli) yang melakukan penghijrahan dari luar pulau Borneo untuk mendirikan sebuah negeri. Sebagaimana diketahui umum Melayu Asli sukuan Sakai ini jika ditelusuri daripada sejarah adalah sekumpulan Orang Minangkabau yang melakukan penghijrahan ke pedalaman Riau pada abad ke-14 M lalu.lni turut berlaku juga kepada Suku Ocu, Orang Kuantan, dan Orang Inderagiri. Manakala suku Sakai merupakan kelompok masyarakat daripada Pagar Ruyung yang berhijrah ke daratan Riau sejak berabad-abad lalu.
Dari sinilah (Riau) kelompok masyarakat Sakai yang dipimpin Pateh Berbai berlayar menuju Borneo dan mendirikan sebuah pemukiman. Dari gelar yang digunakan Pateh Berbai pun sangat erat hubungannya dengan gelar bangsawan Pagar Ruyung yang sering menggunakan istilah Patih (Parpatih Nan Sabatang contohnya).
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin tersergam indah. |
Dalam syair Awang Semaun itu juga disebutkan nama saudara daripada Awang Alak Betatar yang mirip dengan nama yang dipakai Kerajaan Minangkabau masa silam seperti gelar “Pateh” dan “Damong”. Begitu pula gelar “Pengiran Bendahara” dan “Pengiran Tumenggong” (Minang: Katumanggungan).
Sementara kedatangan masyarakat Minangkabau yang kedua dapat dilihat dari datangnya kerabat Diraja Minangkabau yang bernama Raja Umar pada masa pemerintahan Sultan Nasruddin (1690-1710). Kemudian Raja Umar yang selanjutnya dikenal dengan Dato Godam ini datang ke Brunei menyamar sebagai saudagar. Beliau merupakan keturunan Bendahara Tanjung Sungayang, Pagar Ruyung. Ayah Dato Godam yang bernama Bendahara Harun kahwin dengan seorang wanita Belanda iaitu anak Jan Van Groenewegen yang menjawat sebagai Residen Belanda di Padang.
Pemandangan di salah sebuah kampung air di Negara Brunei Darussalam. |
Menurut adat Minangkabau, Bendahara Harun merupakan anggota “Basa Ampek Balai” yang menjalankan pentadbiran/urusan pemerintahan kerajaan secara bersama. Keputusan “Basa Ampek Balai” sebelum dilaksanakan haruslah mendapat persetujuan dari Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat. Raja Alam merupakan penguasa kerajaan dan menguasai hukum menurut adat yang turun- temurun. Raja Ibadat adalah raja yang menguasai hukum Islam sebelum dijalankan di tengah masyarakat. Dewan “Basa Ampek Balai” tersebut terdiri daripada:
- Bendahara di Sungai Tarab.
- Tuan Gadang di Batipuh.
- Raja Indomo di Saruaso.
- Angku Kadi di Padang Ganting.
Apa yang nyata, kedatangan gelombang pertama yang dipimpin Pateh Berbai sangat kental nuansa orang Sumatera (sukuan Melayu Asli Sakai) yang menurut sejarah merupakan kelompok masyarakat Pagar Ruyung (Minangkabau) yang hijrah ke pedalaman Riau. Analisis kedua ini yang mendapatkan perakuan daripada sejarawan Brunei adalah keturunan Minang berdasarkan syair Awang Semaun tadi yang menyebutkan nama Awang Alak Betatar yang menggunakan gelar khas Pagar Ruyung.
Kemudian gelombang kedua dengan kedatangan Raja Umar (Dato’ Godam). Dato Godam merupakan seorang yang bijaksana dan terdidik serta memiliki pengetahuan yang tinggi sehingga dirinya cepat dikenali di Brunei. Kehadirannya disambut baik oleh Sultan yang memerintah iaitu Sultan Nasruddin kerana memiliki pengetahuan dan kecekapan dalam pemerintahannya.
Sultan Brunei meminta Dato Godam menetap di Brunei dan disuruh berkahwin dan bersemenda di Brunei. Kerana berasa “terhutang budi”, Sultan Nasruddin menawarkan Dato Godam apa jua permintaan akan baginda penuhi. . Dato Godam kemudian menyatakan keinginannya mempersunting anak Pengiran Tumenggong Pengiran Abdul Kadir yang menjadi isteri ketiga Sultan. Permintaan tersebut dikabulkan Sultan. Bersama perempuan bernama Tandang Sari inilah, Dato Godam kemudian mendapatkan dua anak iaitu Manteri Uban dan Manteri Puteh. Dato Godam berjasa menyelesaikan berbagai-bagai permasalahan yang terjadi pada waktu itu sehingga beliau semakin disukai Sultan. Apa yang dilakukannya tidak lepas daripada pengalamannya semasa bersama Kerajaan Minangkabau lalu.
Penulis sedang menyusuri sungai di Brunei bukan mahu 'membuka negeri baharu' tetapi menjejaki sejarah silamnya. |
Atas permintaan ayahnya Bendahara Harun, Dato Godam berhasrat meninggalkan Brunei untuk kembali ke Minangkabau dengan membawa anaknya, Manteri Uban (nama sebenarnya Abdul Rahman). Dengan berat hati Sultan Nasruddin memberi izin dengan syarat agar anak keduanya, Manteri Puteh tetap tinggal di Brunei sebagai bakal waris yang boleh menguruskan hal pemerintahan dan diharapkan dapat berbakti kepada Sultan sebagaimana yang telah ditunjukkan Dato Godam.
Di samping itu, Sultan Nasruddin berjanji akan menganugerahkan keistimewaan kepada anak cucu Dato Godam sebagai keturunan bangsawan sebagaimana di Minangkabau. Keturunan inilah yang sekarang disebut ‘Awang-awang Damit’ dan dipilih oleh para Sultan Brunei untuk dianugerahi gelar ‘manteri’ iaitu pembesar negara yang turun- temurun.
Penulis di Pasar Tamu Kianggeh Bandar Seri Begawan. |
Sehingga masa kini masih banyak kosa kata Brunei yang mirip dengan bahasa Minang .Berikut adalah sekadar contoh daripada sekian banyaknya pengaruh yang berkaitan dengan kebahasaan, seperti:
- inda (Brunei) – indak (Minang).
- kalat mata (Brunei) – kalok mato / ngantuk (Minang).
- banar (Brunei) – bana (Minang).
- basuh (Brunei) – basuah (Minang).
- hampir (Brunei) / dekat (dalam Bahasa Melayu Standard) – hampia (Minang).
- nini (Brunei) / datuk = Bahasa Melayu Standard – niniak (Minang).
- bulih (Brunei) – buliah (Minang).
Justeru bersandarkan fakta sastera sejarah yang bermula dari Awang Alak Betatar atau kemudian Pateh Berbai beserta rombongan Melayu Asli sukuan Sakai mendirikan suatu pemukiman yang disebut “baru-nah” / Brunei sehingga kedatangan Raja Umar / Dato Godam.Apa yang jelas Brunei sangat erat kaitannya dengan Minangkabau.
Analisis ini mungkin merujuk pada kebenaran atau tidak semuanya ada kemungkinan. lni disebabkan sejarah Brunei dalam kalangan ahli sejarah mahupun masyarakat Brunei; mereka selalu merujuk kepada syair Awang Semaun .Syair ini menceritakan sejarah awal bangsa Melayu Brunei dimulai kira-kira pada abad ke-14 masehi. Manakala masyarakat Minang mengkaji asal usul sejarah suku kaum mereka berdasarkan kitab “Tambo" yang lebih kuno lagi tarikh sejarahnya daripada syair Awang Semaun.
Dalam kitab Tambo sendiri, nenek moyang sukuan Minang diceritakan daripada keturunan Iskandar Dzulkarnain (Alexander The Great) Walau bagaimanapun dalam kitabTambo ini tidak dijelaskan siapakah lsakandar Dzulkarnain ini. Adakahkah Iskandar Dzulkarnain yang disebutkan dalam al-Quran atau Iskandar Dzulkarnain yang lain, adalah tidak pasti. Penulis menyerahkan kepada para penyelidik lain untuk mengkajinya. Namun mengenai indikasi bahawa masyarakat Brunei merupakan keturunan Minangkabau dengan merujuk riwayat syair Awang Semaun yang mengatakan Pateh Berbai / Sultan Ahmad memimpin rombongan kaum Melayu Asli sukuan Sakai yang mencari petempatan baharu untuk mendirikan sebuah negeri sangat meyakinkan.
Walau bagaimanapun, penulis suka memetik pendapat Awang Haji Metassim bin Haji Jibah (2004:137, Dokumentasi, terbitan Pusat Sejarah), "...penulisan sejarah itu boleh direka bentuk, menurut kehendak seseorang individu,penyelidik, penulis atau institusi atau berdasarkan ideologi negara..Penulisan sejarah yang semacam inilah yang sangat ditakuti.Kerana ia bukan sahaja merendahkan nilai saintifik ilmu persejarahan itu, malah ia juga menjadikan bidang ilmu sejarah sebagai suatu propaganda atau manifesto bagi kepentingan golongan atau puak..."
Bahkan menurut pandangan Haji Abdul Latif Haji lbrahim (1989), "sejarah Brunei pada pendapat setempat adalah dirangkum dalam bentuk sejarah seperti hikayat atau syair.Namun tradisi sastera lisan atau yang dibawa dari mulut ke mulut dari satu generasi ke satu generasi yang tidak ditapisi atau disesuaikan dibimbangi mengandungi unsur-unsur penambahan atau unsur-unsur yang berlebihan yang mungkin sahaja boleh menjejaskan akidah...."
Kesimpulannya sebagaimana diketahui sepanjang sejarah Nusantara, tidak diketahui pula penghijrahan Melayu Asli suku Sakai lain kecuali yang mendiami pedalaman Riau (keturunan Minang zaman Pagar Ruyung). Sekiranya mungkin ada sukuan Melayu Asli dari Champa maka sewajarnya ditelaah bersandarkan daripada penelitian sejarah secara pendekatan ilmiah dan kajian kepustakaan. (oleh Syeikh Al-Latis)
(Rujukan: Syair Awang Semaun, The Earl History of Brunei up to 1432 AD by Mohd.Jamil al-Sufri, The Minanggel Wordpress.com, rumpunsuarablogspot.com/ dll.)
Hak Cipta dilindungi SKMM.
Ertinya orang Melayu Brunei ni pendatang dari Brunei.
BalasPadamKerajaan Brunei lama didirikan oleh kaum Dayak Dusun Borneo. Kesultanan Brunei sebenarnya baru muncul pada tahun 1515, bukan tahun 1362
BalasPadamT.kasih.
PadamAda juga kajian mengatakan Kesultanan Brunei yg sekarang ini berasal dari Kerajaan Tidung, Kalimantan Timur. Awang Alak Betatar dikatakan berasal dari Kalimantam Timur. Bila dia masuk Islam & berkahwin dgn Puteri Temasik Kerajaan Johor, maka di situlah bermulanya pengaruh Melayu sampailah sekarang Sultan Brunei berketurunan Melayu...
BalasPadamTerima kasih..Pendapat tetap pendapat.
BalasPadamterimakasih atas informasi sejarah perkongsian antara Brunei dengan Minangkabau dan Kesultanan Indrapura. salam hormat
BalasPadam