HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

8 Februari 2016

SUMBER ARKIB BLOGGER: MENOLEH DAN MENGAMATI KEHIDUPAN



Suatu petang yang santai 'umminessa.blogspot.com' (UN) telah mewawancara Dr. Rajiee Hadi (DRH) seorang tokoh pendidik yang juga mantan aktivis kesatuan guru serta terlibat secara langsung dalam bidang penulisan,kesenian,kebudayaan dan kemasyarakatan. Beliau ialah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia(KKGBMS),mantan Ahli Majlis Jawatankuasa Agung (AMJA)Kongres Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(KONGRES),mantan Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia,mantan Ahli Jawatankuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan dan mantan Pengerusi PIBG salah sebuah sekolah menengah agama di Selangor. Beliau kini ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) . Semoga dapatan wawancara ini menjadi sumber inspirasi kepada semua para pendidik dan para pejuang kemanusiaan.



UMMINESSA: Assalamualaikum,apa khabar Dr?
DR. RAJIEE HADI: Waalaikumussalam wbkt. Alhamdulillah,khabar baik

UMMINESSA :Selamat bertemu dan  terima kasih kerana sudi membuat sesi wawancara bersama UN  dalam bual bicara motivasi pendidikan.  Boleh saya panggil Dr  sahaja?

DR. RAJIEE HADI: Boleh, saya selesa dengan panggilan itu.  Mahu panggil cikgu pun boleh.

UMMINESSA: Saya memilih Dr berdasarkan kepada kejayaan kerjaya pada suatu ketika dan sehingga kini.  Boleh Dr ceritakan pekerjaan  ataupun bidang apakah yang telah Dr diceburi?.

DR. RAJIEE HADI: Begini…Jika’ nak diceritakan panjang ceritanya  dalam hal pengalaman  ini.Maklumlah pelbagai  tempat dan suasana tempat bertugas  khususnya  berkaitan dengan pendidikan. Saya telah berkhidmat di empat buah negeri;Johor,Negeri Sembilan,Wilayah Persekutuan dan Selangor.  Saya pernah berkhidmat sebagai guru pelatih di Selangor,Kuala Lumpur dan Johor.Kemudian sebagai guru terlatih di Johor,Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.Pendek kata, dari sekolah harian hingga ke sekolah berasrama penuh,dari kelas peralihan hinggalah mengajar tingkatan enam selama 17 tahun. Kemudian sebagai pensyarah dan Ketua Unit Pembangunan Keguruan Jabatan Penyelidikan di salah sebuah  institusi perguruan di Malaysia sekitar sepuluh tahun dan bakinya sebagai pensyarah kanan di  salah sebuah universiti luar negara. Saya juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping beberapa buah kolej swasta. Kegiatan lain sebagai penulis bebas dan wartawan sambilan,  perunding motivasi dan psikologi.



UMMINESSA: Hmm..hmmm..  Rupa-rupanya  Dr  ni orang yang hebat ya...  Tak salah saya memilih Dr  dalam sesi ini.

DR. RAJIEE HADI: Oh, ye ke? Saya rasa, sama seperti orang lain. Cuma saya   merasakan mahu mengisi peluang bagi menimba pengalaman yang tidak saya perolehi semasa di bangku sekolah dahulu.Maksud saya dalam soal kepemimpinan.

UMMINESSA: Nampaknya Dr  ni lebih ke arah bidang yang  berkaitan pendidikan, iaitu mendidik dan menyuntik motivasi.  Sejak bilakah  Dr mula berminat dalam profesion ini?

DR. RAJIEE HADI: Kalau nak diceritakan memang panjang. Sejarah bermula   apabila saya berjinak-jinak dengan buku. Beginilah. sebenarnya…sejak kecil saya suka sangat membaca.  Seingat saya usia 5 tahun saya dah masuk   tadika  atau dahulu dipanggil “sekolah tumpang”kerana dah pandai membaca.  Bahan bacaan saya tidak setaraf dengan usia saya .  Contohnya pada usia 6-12 tahun, saya sudah mula membaca buku-buku karangan penulis terkenal seperti karya Hamka,Shakepeare,Abdullah Hussein, Abdul Moes,A.Samad Ahmad  dan ramai lagi. Sehingga sekarang, saya masih minat membaca. Tak kiralah sama ada buku, jurnal atau artikel.  Setiap pagi saya mesti membaca akhbar dan sekurang-kurangnya 1 buku setiap hari.Hahaha..sekarang sudah tentulah saya melayari berita-berita dalam internet termasuk blog. Saya suka bahan bacaan seperti autobiografi,motivasi dan pembangunan kendiri serta  politik semasa.   Jika tidak membaca bagai ada sesuatu yang tidak kena pada hari itu. 

UMMINESSA: Elok benar minat sebegitu diamalkan sehingga kini.  Suatu amalan yang patut dipuji. 

DR. RAJIEE HADI: Terima kasih.  Minat  itu memang datang dalam diri bukan perlu paksaan sebenarnya.Ya..lah faktor persekitaran, latar dan zaman banyak mempengaruhi juga dalam kehidupan saya.

UMMINESSA: Saya setuju dengan Dr.
DR. RAJIEE HADI: Memang patut dipupuk minat ’tu dari awal sebenarnya.Walau ketika itu tiada dorongan sesiapa tetapi bagi saya membaca ketika itu sebagai suatu escapism atau pelarian daripada kesunyian.Manalah banyak hiburan alternatif ketika zaman saya membesar.Tambahan saya jenis tidak suka berhiburan bersama rakan-rakan sebaya.Lebih gemar menyendiri.

UMMINESSA: Bagaimana dengan zaman persekolahan Dr.
DR. RAJIEE HADI: Zaman persekolahan saya tidak mengalami kelengkapan walaupun tahap minimum.Maklumlah sekolah rendah di estet zaman kolonial;tiada guru bahasa lnggeris.Kemudian sekolah rendah di kampung yang terpaksa berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan.Kekadang seorang guru terpaksa mengajar dua buah kelas pada suatu masa yang sama.Terpaksa berkejar ke sana sini mengawal bilik darjah yang berdinding kadbod. Justeru, kebanyakannya saya  sendiri memotivasikan diri saya berdasarkan kepada penelitian dan pemerhatian  dan kepekaan saya terhadap pengaruh  persekitaran tempat tinggal dan keluarga .Apatah lagi sejak kecil seusia 10 tahun saya berdikari tidak tinggal bersama ibu bapa tetapi tinggal bersama datuk yang mempunyai ramai cucu lain.  Minat membaca yang mendalam sejak kecil  banyak membentuk peribadi dan jiwa saya misalnya semasa saya di sekolah rendah, dan menengah rendah saya telah membaca karya penulis tersohor seperti Hamka, Arenawati, Acdiat K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Abdullah Hussin, A.Samad lsmail,A.Samad Ahmad,A. Samad Said dan lain-lain lagi. Dan saya telah membaca kesemua novel yang memenangi   hadiah utama dan saguhati Peraduan Menulis Novel 10 tahun merdeka anjuran DBP.Novel-novel itu saya pinjam daripada ldris(sebenarnya milik abangnya) yang dikenali ”Apah”iaitu rakan zaman kecil saya.Sebenarnya abang sulung  ldris, Asaha Abong (kini Dato’)menjadi idola di kampung saya kerana menjadi pelajar pertama menjejaki kaki ke menara gading,Universiti Malaya,Kuala Lumpur pada awal 1960-an.

UMMINESSA: Seronok mengikuti pengalaman persekolahan Dr.  Apakah yang memotivasikan Dr  membaca?
DR. RAJIEE HADI: Membaca adalah hobi saya. Pada mulanya, saya melihat banyak buku,kitab lama dan majalah klasik di atas loteng rumah datuk saya .Saya ambil kemudian membelek-belek sehingga timbul minat untuk mengetahui isi buku yang saya temui itu.  Jadi saya membacanya satu persatu.  Sehinggalah habis buku dan majalah yang ada saya baca semuanya.  Bahan-bahan kritikan masyarakat tulisan Abdul Rahim Kajai saya baca walhal bukan label kanak-kanak seusia saya ketika itu.

UMMINESSA: Bermakna Dr lebih matang berbanding usia...  betul begitu?.
DR. RAJIEE HADI:  Saya tak menafikannya.  Memang pemikiran saya lebih matang daripada usia.  Contohnya saya suka bergaul dan membincangkan topik-topik semasa dengan orang dewasa.  Sebenarnya menyeronokkan.  Kadang-kadang lucu pun ada.

UMMINESSA: Lucu?. Maksud Dr?
DR. RAJIEE HADI:  Lucu bila saya membicarakan tetang isu –isu semasa.Misalnya tika saya berusia 14-15 tahun saya sudah kritis tentang kemudahan jalan yang tidak berturap,parit yang tersumbat. Walhal bukan setaraf dengan usia saya. Dan saya terus menulis di ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu lalu disiarkan.Gembiranya bukan kepalang! Kadang-kadang kena marah juga bila menyampuk perbualan orang dewasa.  Itulah yang melucukan saya. Saya dapat berbahas dengan orang yang lebih tua daripada saya.Hahaha..tapi tidaklah sehebat Hang Nadim!

UMMINESSA: Baiklah… Tadi Dr  beritahu saya.. banyak bidang yang telah diceburi.  Apakah  jawatan mutakhir Dr ?
DR. RAJIEE HADI:   Pensyarah Kanan di salah sebuah IPTA di Brunei.

UMMINESSA: Hebatnya Dr .  Ok lah .. tentu banyak pengalaman yang dapat Dr perolehi semasa menjawat jawatan Pensyarah Kanan di sana ya…  Boleh Dr  ceritakan sedikit? 

DR. RAJIEE HADI: Bekerja di tempat orang tidak sama dengan di negara sendiri.  Banyak birokrasi.  Saya sejujurnya tak berhasrat ’nak menonjolkan diri, siapa saya di sana. Kena faham-fahamlah.  Nanti mereka  menyangka kita ’nak melobi atau ’nak menunjuk-nunjuk pandai.Namun saya tetap berpegang kepada prinsip jika membabitkan hal-hal akademik.  0leh itu saya hanya bekerja rutin mengikut apa yang ditawarkan  atau diarahkan sahaja.Di samping memberi kuliah,menyelia praktikum mengajar mahasiswa perguruan, saya juga membuat penyelidikan,menulis esei dan membuat kerja-kerja terjemahan bahasa Melayu ke bahasa lnggeris.  Tapi pengalaman lain adalah; seperti dapat melihat sejauh mana kesungguhan pelajar di sana dalam mengejar ilmu...bak kata bidalan ’lain padang,lain belalang.’   


UMMINESSA:Apabila saya amati, Dr  lebih suka berkhidmat dan berbakti untuk orang lain. 
DR. RAJIEE HADI:  Maksud puan?.

UMMINESSA:Ya.. lah..berdasarkan bidang  yang Dr ceburi sebutkan tadi, menunjukkan Dr  berminat berinteraksi  dengan orang ramai.  Sebagai guru atau  pendidik ... ’kan selalu bertemu dan memberikan tarbiyah  kepada orang lain.
DR. RAJIEE HADI:  Betul ‘tu puan.  Saya memang suka bidang yang ada interaksi dan komunikasi dua hala yang positif . Ya.. lah antara pensyarah dengan pelajar contohnya. …

UMMINESSA:Emmm…….. Baiklah Dr.  Boleh Dr jelasakan perkara yang paling tidak disukai terutamanya membabitkan kerjaya Dr?
DR. RAJIEE HADI:  Berbicara tentang perkara yang paling saya tidak suka dalam kerjaya ini banyak berkaitan soal peribadi.  Misalnya,kedudukan  saya ketika saya berkhidmat di Malaysia  hanya staf biasa. Walaupun ada perkara-perkara yang saya rasakan patut berubah tetapi cepat-cepat saya beralah dan tak perlulah  terlalu berat untuk memikirkannya. Kerana tidak ada apa-apa perubahan pun kalau saya mencadangkan atau mengesyorkan sesuatu idea.  Saya paling tidak suka apabila ada individu atau pihak luar yang tidak berkaitan tetapi berkepentingan mencampuri urusan  kerja.Maksudnya yang nyata,mereka  yang tidak berkemahiran. Mereka hanya pandai berkata dan mengarahkan sahaja tapi tidak   ada kemahiran untuk menunjukkan bukti apa yang diperkatakan kepada saya atau stafnya.  Saya pernah juga bersuara  mengenainya tetapi tiada apa tindakan yang diambil.

UMMINESSA: Maksudnya Dr. rasa tak puas hati dengan birokrasi ?.
DR. RAJIEE HADI: Saya tak kata aspek birokrasi sahaja. Tetapi banyak pihak yang memberi pelbagai alasan ’red tape’.  Sebab saya ni memang aktif dalam beberapa persatuan dan kesatuan guru. Banyak perkara dalam Perintah Am Kerajaan saya tahu. Jadi nampaklah di situ berberapa kelemahan kerana ada ketua yang tidak tahu banyak prosedur terutama soal peruntukan kewangan.  Sehingga pada satu tahap, saya merasakan  tidak ada guna bersuara kerana tidak ada keadilan di situ.

UMMINESSA: Nampaknya Dr. memang begitu komitmen dalam karier.
DR. RAJIEE HADI: Memang itu adalah amanah yang diberikan kepada saya.  Saya kena melaksanakan yang terbaik walaupun ada ketikanya dianggap seperti suatu persaingan.

UMMINESSA: Maksud Dr tidak mendapat bantuan mana-mana pihak itu bagaimana?.
DR. RAJIEE HADI:  Maksud saya  semasa saya melanjutkan pelajaran di IPT di peringakat ijazah lanjutan sehingga PhD, saya tidak pernah mendapatkan biasiswa dari mana-mana pihak  baik dari pusat mahupun dari negeri.  Bermakna saya bebas dan mandiri.Saya menjual aset untuk menampung perbelanjaan pengajian ijazah lanjutan.

UMMINESSA:Saya sungguh teruja dengan kesungguhan dan keteguhan Dr untuk mencapai kejayaan tanpa mana-mana bantuan kewangan.  Jadi, apa rahsia Dr sehingga berjaya kini.
DR. RAJIEE HADI: Tidak dinafikan semasa di tingkatan enam, maktab perguruan dan ijazah sarjana muda pendidikan saya dibiaya ala kadar sahaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Walau tidak mencukupi saya berusaha bekerja sambilan mencari sumber rezeki tambahan. Selain sebagai penulis dan wartawan sambilan, saya menjual buku secara jualan langsung ke sekolah-sekolah.Sebab itu saya berkeyakinan bahawa kejayaan saya adalah hasil usaha sendiri dan tidak mengharapkan orang lain untuk mencapai impian dan cita-cita. Allah telah mengurniakan semangat yang tinggi kepada saya di samping sokongan dan seluruh isi keluarga  yang mendoakan kejayaan.

UMMINESSA:Berdasarkan  pengalaman  Dr,  minat membaca  agak mendalam .  Boleh Dr terangkan apakah perkara yang paling diminati selain membaca  dilakukan ketika lapang?.
DR. RAJIEE HADI: Sebenarnya saya  minat dalam seni...drama dan  teater. Dahulu semasa awal perkhidmatan saya dalam bidang perguruan saya pernah berlakon teater ,mendeklamasi puisi, berpengakap dan   masa terluang saya suka membaca. Saya sasarkan membaca buku atau novel, sebuah naskah setiap hari.  Itu adalah amalan saya sejak dahulu lagi. Selain itu saya juga minat menulis puisi.  , menyanyi , berenang , jogging dan aktiviti kembara. Bagi saya masa itu adalah emas dan sangat berharga.Alhamdulillah telah menghasilkan 20 buah buku kreatif dan akademik. Buku terkini (2003) ialah kumpulan puisi perseorangan CINTA ARAFAH yang telah diterbitkan oleh Dwiwangsa Publication.

UMMINESSA:Apakah Dr pernah memenangi sebarang sayembara penulisan?.
DR. RAJIEE HADI: Hahaha.  Ada ’tu adalah dalam genre puisi dan cerpen dalam beberapa sayembara di peringkat maktab,universiti,negeri dan kebangsaan..  Antaranya pada sekitar  tahun 90-an saya merangkul tempat pertama, hadiah RM3ribu dan mengalahkan  beberapa sasterawan terkemuka yang lain waktu tu...dalam sayembara menulis Puisi Bosnia anjuran PENA .Saya menggunakan nama seorang wanita.Hahaha...ramai yang tidak tahu rahsia ini.Seperkara yang tidak dilupai saya adalah salah seorang daripada sepuluh pemenang sagu hati dan memperoleh hadiah RM3 ribu menamakan kereta nasional, Proton Saga,1985. Selain itu,  saya suka menulis cerpen dan  puisi yang seringkali disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan dan luar negara  termasuk di Brunei , lndonesia dan Singapura.  Tetapi kini aktiviti agak minimum kerana kesibukan dengan kerja hakiki saya. Namun kini saya kembali menulis esei  ilmiah dan kreatif semula.Saya berazam menulis buku-buku ilmiah.

UMMINESSA:Tampaknya Dr agak arif dari segi ilmu pendidikan dan mendalami bidang kesusasteraan dan linguistik.
DR. RAJIEE HADI: Bukan apa saya meminati semua  jurusan ilmu tapi yang paling minat psikologi bahasa dan sastera iaitu yang berkisar kognitif dan pemikiran.

UMMINESSA:Dr ada menyebutkan tentang perkara yang paling diminati iaitu membaca , menulis cerpen, puisi dan lain-lain. Bagaimana pula dengan perkara yang paling tidak disukai.
DR. RAJIEE HADI: Perkara yang paling saya tidak suka semasa kanak-kanak dahulu ialah  terpaksa berjauhan  ibu bapa kerana tinggal dengan datuk. Ini kesan masa lalu saya.Saya menyendiri,sensitif tetapi memiliki daya sensitiviti yang tinggi.  Saya terpaksa tinggal dengan datuk sebab di kawasan kuarter ibu bapa,  lokasi sekolah agak jauh dan tidak bersesuaian. Bapa memutuskan  menghantar  saya dan dua adik saya ke rumah datuk  yang berhampiran bandar. Sangat sedih masa itu. Terasa macam anak terbuang saja.  Tapi apabila bapa saya menerangkan sebab mengapa saya di hantar ke kampung barulah  hati saya tenang walau kerap kesayuan. Sehingga sekarang walaupun hampir 50 tahun berlalu  saya masih dapat merasainya perit perpisahan dengan keluarga.

UMMINESSA:Benar apa yang dikatakan bapa  Dr . Bapa Dr sebenarnya memandang masa depan Dr . Dan apa yang terhasil sekarang, Dr agak kuat kini melawan perasaan dalam setiap perjuangan kesan   pengorbanan perasaan Dr berpisah daripada  keluarga pada masa silam.  Dan kini bagaimanakah Dr mengisi masa senggang ?
DR. RAJIEE HADI: Masa senggangg saya biasanya saya membaca dan menulis artikel atau mengarang cerpen dan puisi.

UMMINESSA:Kehidupan sosial Dr?
DR. RAJIEE HADI: Saya suka berpersatuan dan aktif dalam  NGO.Ehemmmm tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya turut berarak bersama-sama para pejuang bahasa Melayu sewaktu menentang PPSMI (Pengajran & Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris). Kebetulan saya juga terlibat ketika penubuhan  Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).  Saya ni sensitif sikit dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku.  Kadang-kadang saya akan bersuara melalui online contohnya apabila ada isu yang dibincangkan tidak berkenan di hati saya akan menghubungi langsung dan berdialog dengan ahli panel sama ada di televisyen,radio mahupun dalam majlis-majlis  dialog terbuka.  Saya memang minat berjuang tentang perkara-perkara yang tidak betul dan  harus diperbetulkan.Ya, saya kritis tapi analitis...  Saya tak suka duduk diam sahaja.Ha..ha..ha..sekarang sesiapa boleh melayari blog saya....tiub bocor blogspot.com
UMMINESSA:Bermakna masa-masa luang Dr diisi dengan perkara yang bermanfaat lah ya.  Jadi tiada istilah rehat nampaknya.
DR. RAJIEE HADI: Emm. Dah minat dan menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan perkara yang saya kurang senang..yelah..mesti ada KBKK...kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif!

UMMINESSA:Berdasrkankan pernyataan Dr dari tadi, dapat saya ambil kesimpulan bahawa Dr seorang yang berdikari , maksud saya semasa menuntut di universiti sehingga ke peringkat PhD , Dr tidak mendapatkan mana-mana biasiswa pun.  0leh itu apakah prinsip Dr sebenarnya.
DR. RAJIEE HADI: Saya berpegang kepada prinsip berdikari tanpa ’ ”tongkat ’. Sebenarnya saya belajar dan menyelidik berdasarkan kemahuan dan minat sendiri bukan mengikut acuan pihak lain.ltu adalah  prinsip saya. Hasil daripada pengamatan positif saya sendiri. . Itulah prinsip mandiri  saya.  Saya berpegang kepada prinsip seperti mana semasa mesyuarat permuafakatan pengurusan KPM  bagi  penentuan PPSMI dahulu saya dan KKGBMS berterus terang menyatakan tidak setuju  berhubung pelaksanaan PPSMI.Saya mengemukakan hujah-hujah akademik di meja mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu. 

UMMINESSA:Dalam erti kata lain, bermakna kita tidak boleh mengharapkan mana-mana pihak untuk menempa kejayaan? Maksudnya berusaha sendiri. Tetapi   pernahkah Dr bergantung dengan mana-mana individu atau pihak hatta dengan keluarga?.
DR. RAJIEE HADI: Kami dari keluarga yang sederhana.  Saya tidak bergantung dengan keluarga kerana kerana datuk saya juga terpaksa memelihara 9 cucunya yang yatim piatu.   Saya lebih memandang kepada adik beradik saya.  Biarlah ibu bapa saya memberikan tumpuan kepada mereka.  Saya tidak bergantung dengan mana-mana pihak pun.Ada juga   frust sebab beberapa kali mohon biasiswa peringkat sarjana dan doktor falsafah diketepikan. Namun kenangan manis yang tidak dapat lupakan ialah kejayaan saya memperoleh ijazah sarjana (M.A) secara separuh masa cuma dua semester atau satu tahun  sahaja di UKM.Kemudian saya ditawarkan terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di universiti yang sama. Bagi saya itu adalah hikmah yang tidak terhingga kerana saya tidak terikat dengan mana-mana agensi atau menggunakan wang rakyat. Saya  bebas.

UMMINESSA:’Bebas’.  Seronok bunyinya ya Dr.
DR. RAJIEE HADI: Memang seronok saya tidak terikat, tidak terasa termakan budi, tidak rasa bersalah kepada masyarakat dan tiada masalah dengan mana-mana  pihak.

UMMINESSA:Berdasarkan   keceriaan Dr ,memang saya dapat lihat Dr menikmati erti kebebasan ini.
DR. RAJIEE HADI: Dapat dizahirkan dengan keceriaan saya sekarang.  Bukan apa puan, saya telah mengalami pelbagai kisah  pahit duka menempuh kejayaan yang saya perolehi sekarang.  Kena banyak bersabar.  Sebab ramai yang mencemburui kejayaan saya.  Saya tidak suka pula untuk bersaing.  Apabila  ada persaingan saya lebih suka  mengalah dan angkat kaki dulu sebelum apa-apa berlaku.Tetapi bukan bererti saya mengalah begitu sahaja tetapi saya akan terus bersemangat menempa kejayaan seterusnya.Maksudnya saya berfikiran positif..

UMMINESSA:Adakah Dr seorang yang suka melihat kebahagiaan orang lain daripada kebahagiaan sendiri?
DR. RAJIEE HADI: Ya. Emmm betul...apa pun bergantung kepada sikon.(situasi dan kondisi)


UMMINESSA:Bagaimana dengan kehidupan rutin Dr?
DR. RAJIEE HADI: Dahulu  ada perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang.Saya ada syarikat konsultans sendiri yang pernah mengendalikan beberapa seminar tetapi tidak aktif.lnsya-Allah, saya akan menggerakkan sepenuh masa pada masa yang sesuai kelak. Maklumlah kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang dan berusaha.  Kenalah banyak menempuhi cabaran dengan penuh kesabaran yang banyak.

UMMINESSA:Betul Dr...  kita kena banyak bersabar dalam setiap perjalanan kehidupan in.Harapan UN kepada  Dr yang secekal ini  yang betah dengan pelbagai kesulitan dan cabaran agar mendorong motivasi kepada guru-guru muda hari ini.
DR. RAJIEE HADI: Bagi saya senang atau sukar kita mesti  sentiasa yakin diri berpaksikan keyakinan kepada Allah dan banyak bersabar.Biar orang menganiaya kita, jangan kita menganiaya orang lain.Ada ubi ada batas....

UMMINESSA:Benar...  Tentu  ada kekuatan dalam diri Dr  .
DR. RAJIEE HADI: Kekuatan dalam diri saya ialah yakin, berdikari dan ada motivasi pembangunan diri sendiri.  Saya suka melihat ke hadapan dan menoleh ke belakang untuk membuat penambahbaikan.Mesti ada wawasan!

UMMINESSA:Dr sudah lama berkecimpung dalam profesion pendidikan . Kalau tidak silap lebih  30 tahun.  Apakah sumbangan yang telah Dr berikankan?
DR. RAJIEE HADI: Pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun. Penglibatan dalam NGO dan organisasi persatuan selama 20 tahun. Penglibatan dalam penulisan sama ada penulisan deskritf dan kreatif.Pengalaman menghadiri dan terlibat dalam seminar di dalam dan luar negara termasuk mengembara  ceruk rantau dalam negeri dan luar negara. Pengalaman yang digarap ini biasanya secara gabung jalin dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dalam kuliah saya kongsikan untuk para pelajar saya.Tujuannya meningkatkan motivasi mereka.Selain itu saya garapkan ke dalam karya-karya kreatif. 

UMMINESSA:Walau banyak kejayaan yang Dr perolehi, tentu ada pelbagai bentuk cabaran dan halangan yang terpaksa Dr hadapi.  Adakah begitu Dr?.
DR. RAJIEE HADI: Biasalah puan, kita bekerja dengan manusia dan persekitaran.Ada interaksi dan komunikasi.Tentu ada halangan-halangannya. Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang kita miliki.  Ramai yang cemburu dengan kejayaan kita dan orang lain.  ltu lumrah kehidupan.  Bagi saya  halangan  perlu saya ditatangi dengan merangka pelan A,pelan B dan seterusnya. Sikap cemburu,dengki dan khianat orang lain  anggaplah suatu persaingan sihat.Kita jangan putus-asa.Dalam diam kita boleh bertindak.Umpama menarik tepung dalam rambut.Rambut tidak putus,tepung tidak tumpah.Apa salahnya kita berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pengalaman baru dan menyebarluaskan kepada ilmu pada orang lain.Berhubung dengan halangan-halang birokrasi,tidak perlulah saya bercerita panjang. Ada yang bersifat personal.Namun peraturan yang sedia ada tidak silap tetapi manusia yang melaksanakannya tidak cekap,tidak amanah.   Yang paling mengecewakan saya ialah apabila bertemu ketua majikan yang opurtunis,hipokrit dan tidak ada pendirian; bagai lalang ditiup angin. 

UMMINESSA:Wah, macam tidak puas hati luahan Dr?
DR. RAJIEE HADI: Tidak puas hati adalah fitrah.Saya manusia hamba-Nya yang serba lemah dan kekurangan.Sebenarnya saya jenis kakitangan yang  bertindak atau menegur mengikut peraturan sedia ada.Perintah Am Kerajaan.  Saya akan merujuk Perintah Am bagi penambahbaikan dalam sesebuah organisasi.Bukan menyembunyikan habuk di bawah karpet. Selain itu perkara yang berkaitan penilaian prestasi yang ada elemen ketidakadilan kerana tidak mematuhi prosedur penilaian.Misalnya semasa zaman penilaian SSB  masih banyak kedapatan Ketua Pejabat yang tidak memanggil staf mereka bagi melaksanakan prosedur penilaian secara telus.Mereka menilai pada padangan luaran dan emosi tetapi bukan kepada sumbangan dan penghasilan kerja kita seperti yang digariskan dalam  panduan skema.  Ini membuatkan saya tidak berpuas hati dan berasa kecewa serta hilang kepercayaan!

UMMINESSA:Baiklah Dr.  Saya rasa bual bicara  kita sudah  ke penghujungnya.  Saya ingin membuat kesimpulan dengan apa yang diperkatakan.  Beginilah Dr.. Pada padangan saya, Dr adalah seorang cekal menerokai  bidang akademik .  Banyak buku Dr telah diterbitkan pada suatu masa dahulu.. begitu juga dengan cerpen dan  puisi.  Penglibatan Dr dalam NGO banyak membawa implikasi positif sehingga hari ini.  Kekuatan Dr adalah prinsip hidup tidak bergantung dengan sesiapa tetapi tidak malu bertanya kepada mereka yang tahu dan berilmu.  Sejarah hidup Dr banyak membantu Dr untuk mengecapi kejayaan di samping pengorbanan ahli keluarga yang sanggup berkongsi suka duka sepanjang kerjaya Dr.  Itu adalah kekuatan dalaman Dr.  Bagi saya Dr orang yang tabah dan kuat menghadapai cabaran dan dugaan  kerana Dr berpaksikan keyakinanan kepada Allah.  Bagaimana Dr? Adalah Dr setuju dengan kesimpulan saya.
D: Tidak ada salahnya puan membuat kesimpulan ini.  Tapi saya ingin melengkapkan lagi rumusan puan ni .  Bagi saya setiap pekerjaan mesti ada perancangan, setelah dirancang lakukan pelaksanaan dengan teratur dan buatlah pemantauan dari semasa ke semasa bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan dapat  dilaksanakan dengan bersistemetik.lnsya-Allah jika dikurniakan kesihatan diri yang sihat walafiat saya akan membuat penyelidikan untuk ijazah Ph.D dalam bidang lain pula.

UMMINESSA:Syabas dan didoakan Dr terus berketrampilan dan berdaya saing dalam kerjaya dan beroleh kejayaan dengan cita-cita Dr yang tidak pernah luntur,tidak kunjung padam itu.Baiklah Dr.  Saya sangat-sangat bertuah dapat mewawancara  dalam sesi bual bicara motivasi ini.    Terima kasih.
DR. RAJIEE HADI: Saya pun bertuah kerana dapat berkongsi apa yang saya miliki dan pernah miliki sebelum ini dalam kerjaya saya.  Bolehlah yang baik diambil sebagai panduan dan yang tidak elok dijadikan sempadan. Yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, yang kurang daripada saya sendiri.Sama-sama.
(sumber: umminessa.blogspot.com/ Blogger ini kini sedang   menyiapkan PhD dalam bidang dakwah dan kepemimpinan di sebuah IPTA Malaysia. Wawancara telah dilakukan  pada tahun 2010)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan