BERDASARKAN catatan
sejarah, Sungai Muar yang kini terletak dalam negeri Johor Darul Takzim dan
Sungai Duyung yang terletak dalam negeri Melaka Bandar Raya Bersejarah adalah
penempatan/petempatan (sila rujuk Kamus Dewan) orang-orang Melayu asal (Melayu
asli...bukan Orang Asli istilah yang dipakai selepas merdeka yang berbeza
pengertiannya) yang telah wujud lebih 600 tahun yang lampau.
Sebab itulah
apabila Parameswara yang datang dari Palembang tahun masehi 1401 (masih dalam
Alam Kepulauan Melayu)lalu memudiki Sungai Muar telah mendapati ada 'masyarakat
ketika itu' yang telah sedia mendiami di sepanjang pesisir Sungai Muar.
Pada mulanya Parameswara dan anggota rombongannya mahu membuka 'negeri baharu'
di Muar.Namun melihatkan situasi ketika itu maka baginda telah membatalkan
hasratnya lalu terus memudiki ke Sungai Kesang dan terus ke` Sungai Melaka lalu
berehat di tepi sungai di sebatang pokok.Keadaan pesisir Sungai Melaka ketika
itu masih hutan tebal.Sungai Melaka dan Sungai Duyung ini saling bertemu menuju
ke Selat Melaka.
Apabila baginda melihatkan kehebatan seekor pelanduk yang
dapat mengalahkan beberapa ekor anjing maka timbullah insiprasi baginda untuk
membuka "negeri baharu". Dan berdasarkan nama pokok Melaka tempat
baginda bersandar rehat maka sejak itu terbukalah negeri/kota Melaka pada tahun
1401.Baginda kemudian ditabalkan sebagai Sultan Melaka pertama yang bergelar
"Sultan Muhammad Shah" (setelah memeluk lslam).
Hari ini, ditakdirkan rezeki Allah SWT, ibu kandung saya memiliki dua rumah di
dua tempat itu iaitu di sebuah tempat di pinggir Sungai Muar dan sebuat
tempat di pinggir Sungai Duyung. Secara kebetulan dua tempat ini adalah
penempatan orang Melayu asal yang telah sedia wujud beratus-ratus tahun silam.
Dalam buku Sejarah Melayu disebut Hang Mahmud dan isterinya Dang...(?) telah
membesarkan anaknya Hang Tuah di Kampung Sungai Duyung. Di kampung inilah Hang
Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat,Hang Kasturi,Hang Lekir dan Hang
Lekiu dilahirkan dan dibesarkan. Dan akhirnya sehingga mereka mendapat
perhatian sultan Melaka ketika itu (Sultan Mansur Shah) pada abad ke-15.
Diringkaskan cerita, moyang saya, Penghulu Latis (dikhabarkan juga dari sumber
Madrasah Parit Perupuk, Muar ada seorang pendakwah daripada salasilah nama Latis yang mengajar
agama pada abad 19...saya belum dapat pasti sama ada mempunyai kaitan atau
sebaliknya) menjadi penghulu di mukim Temiang & Sungai Terap di pesisir Sungai Muar pada
abad ke-19.
Pada tahun 1877 moyang saya, Penghulu Latis dan segala penghulu telah bersepakat
dengan Temenggung lsmail bin Temenggung lbrahim mengiktiraf Temenggung Abu
Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar bagi negeri Johor moden. Kesepakatan ini telah
dibuktikan dengan menandatangani surat perjanjian bersama.
Pada ketika itu
jawatan penghulu setaraf menteri atau exco yang turut menganggotai Jemaah
DiRaja.Muar ketika itu umpama sebuah negeri termasuk daerah Kesang (sebab itu
Sultan Ali yang bersengketa iaitu putera Sultan Hussin yang bermastautin di
Teluk Belanga, Singapura mahu mengistiharkan dirinya sebagai "Sultan"
bagi Muar dan Kesang tetapi gagal)
Semasa pemerintahan Maharaja Abu Bakar, negeri Johor terus maju membangun.
Banyak pembangunan dan pembukaan ladang gambir,pokok pinang, kopi,koko dan getah.lni
menggalakkan kehadiran rumpun Melayu dari seluruh pelosok Kepulauan Melayu
termasuk suku Bugis,Jawa,Banjar, Minang (Padang) dan sebagainya. Selain itu
kedatangan imigran/pendatang asing Cina dari China dan lndia (Tamil) dari lndia
Selatan yang dibawa oleh orang-orang lnggeris kian mencurah-curah. Sebab itu
Johor adalah sebuah negeri yang terkenal dengan ladang-ladang getah yang luas
dimiliki konglomerat lnggeris ketika itu.
Justeru, tidaklah menghairankan semasa saya kecil (zaman kanak-kanak atau awal remaja) di sekitar kampung saya ada
'orang tua' yang digelar/disebut nama seperti Mat Bugis, Dolah Banjar, Wak
Jurimi Jawa, Mat Riau,Mat Penang, Mat Arab dan lain-lain lagi.Sebenarnya terlalu banyak
mahu saya catatkan tetapi memadailah setakat ini. Wallahualam. (oleh: Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)
(Rujuk buku
Sejarah Johor oleh Buyong Adil, Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Hikayat
Johor, Hikayat Malim Deman dsb.)
Nota: Haji Rajiee bin Abdul Hadi bin Manja bin Sintal bin Latis (Penghulu Latis) bin ???
Tiada ulasan:
Catat Ulasan